SURAT KEPADA SIDANG-SIDANG DI GALATIA
1 Aku, Paulus, ialah seorang rasul yang tidak diutus atau dilantik oleh manusia. Aku dilantik oleh Yesus Kristus+ dan Tuhan, Bapa kita,+ yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian. 2 Aku dan semua saudara yang ada bersamaku menulis surat ini kepada sidang-sidang di Galatia:
3 Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus. 4 Kristus menyerahkan dirinya untuk dosa-dosa kita+ supaya dia dapat menyelamatkan kita daripada sistem dunia* yang jahat ini.+ Hal ini selaras dengan kehendak Tuhan, Bapa kita.+ 5 Semoga Tuhan dimuliakan untuk selama-lamanya. Amin.
6 Aku sangat hairan. Tuhan sudah memanggil kamu menerusi kebaikan hati Kristus yang unggul, tetapi dengan begitu cepat kamu telah berpaling daripada-Nya lalu mendengar berita baik yang lain,+ 7 padahal tidak ada berita baik yang lain. Sebenarnya ada orang yang sedang menimbulkan masalah bagi kamu+ dan mahu memutarbelitkan berita baik tentang Kristus. 8 Namun, biarpun salah seorang daripada kami atau malaikat dari syurga mengisytiharkan kepada kamu berita baik yang berbeza daripada berita baik yang telah kami khabarkan kepada kamu, biarlah dia dikutuk. 9 Kami telah mengatakannya sebelum ini, dan sekarang aku mengatakannya sekali lagi: Jika sesiapa mengisytiharkan kepada kamu berita baik yang berbeza daripada apa yang sudah kamu terima, biarlah dia dikutuk.
10 Adakah aku sedang mencuba untuk menyenangkan hati orang atau menyenangkan hati Tuhan? Jika aku masih mencuba untuk menyenangkan hati orang, aku bukanlah hamba Kristus. 11 Saudara-saudara, aku mahu kamu tahu bahawa berita baik yang aku isytiharkan kepada kamu tidak berasal daripada manusia.+ 12 Aku tidak menerima berita baik ini daripada manusia, dan aku tidak diajar tentangnya. Sebaliknya, Yesus Kristuslah yang menyingkapkannya kepadaku.
13 Kamu tentu pernah mendengar tentang kelakuanku sebelum ini. Sebagai penganut agama Yahudi,+ aku tidak henti-henti menganiaya sidang Tuhan dengan kejam dan berusaha untuk membinasakan mereka.+ 14 Berbanding dengan ramai orang yang sebaya dan sebangsa denganku, aku membuat lebih banyak kemajuan dalam hal agama Yahudi, dan aku jauh lebih bersemangat dalam hal mengamalkan adat istiadat nenek moyangku.+ 15 Namun begitu, Tuhan yang menyebabkan aku keluar daripada rahim ibuku dan yang telah memanggil aku melalui kebaikan hati-Nya yang unggul,+ berasa senang hati 16 untuk menggunakan aku bagi menyingkapkan Anak-Nya. Dengan demikian, aku dapat mengisytiharkan berita baik tentangnya kepada bangsa-bangsa lain.+ Selepas Dia memilih aku untuk berbuat demikian, aku tidak segera meminta nasihat daripada sesiapa pun. 17 Aku juga tidak pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan mereka yang telah menjadi rasul sebelum aku. Sebaliknya, aku pergi ke negeri Arab dan kemudian kembali ke Damsyik.+
18 Tiga tahun kemudian aku pergi ke Yerusalem+ untuk melawat Kefas,*+ dan aku tinggal dengan dia selama 15 hari. 19 Tetapi aku tidak berjumpa dengan para rasul yang lain kecuali Yakobus,+ adik Tuan kita. 20 Aku bersumpah di hadapan Tuhan bahawa aku tidak berdusta tentang perkara-perkara yang aku tulis kepada kamu.
21 Setelah itu, aku pergi ke kawasan-kawasan di Siria dan Kilikia.+ 22 Tetapi sidang-sidang di Yudea yang bersatu dengan Kristus belum pernah bersemuka dengan aku. 23 Selama ini, mereka hanya mendengar orang lain berkata, “Lelaki yang dahulunya menganiaya kita,+ kini mengkhabarkan berita baik tentang kepercayaan yang hendak dimusnahkannya dahulu.”+ 24 Oleh itu, mereka mula memuliakan Tuhan kerana aku.
2 Selepas 14 tahun, aku kembali ke Yerusalem bersama Barnabas.+ Aku juga membawa Titus bersamaku.+ 2 Aku kembali ke situ kerana Tuan menyingkapkan bahawa aku harus berbuat demikian. Di situ, aku berjumpa hanya dengan saudara-saudara yang dipandang tinggi lalu memberitahu mereka berita baik yang aku sebarkan kepada bangsa-bangsa lain. Aku berbuat demikian untuk memastikan bahawa cara aku berlari, baik dahulu mahupun sekarang, tidaklah sia-sia. 3 Meskipun Titus+ yang ada bersamaku ialah orang Yunani, dia tidak dipaksa untuk bersunat.+ 4 Tetapi hal itu menjadi masalah kerana saudara-saudara palsu telah menyelinap ke dalam sidang untuk mengintip kita.+ Mereka ingin merampas kebebasan+ yang sedang kita nikmati sebagai orang yang bersatu dengan Kristus Yesus, supaya mereka dapat memperhamba kita semula.+ 5 Kami tidak mengalah atau tunduk kepada mereka+ biarpun untuk seketika,* agar kamu dapat terus berpegang pada kebenaran berita baik.
6 Namun mengenai mereka yang dianggap penting,+ latar belakang mereka tidak penting bagi aku kerana Tuhan tidak melihat penampilan luar seseorang. Saudara-saudara yang dipandang tinggi itu tidak menyampaikan sesuatu yang baharu kepada aku. 7 Mereka nampak bahawa aku telah diamanahkan tugas untuk menyampaikan berita baik kepada orang yang tidak bersunat,+ sepertimana Petrus diamanahkan tugas untuk menyampaikan berita baik kepada orang yang bersunat. 8 (Hal ini demikian kerana Dia yang memberikan kuasa kepada Petrus untuk menjadi rasul kepada orang yang bersunat juga memberikan kuasa kepada aku untuk menjadi rasul kepada bangsa-bangsa lain.)+ 9 Apabila mereka juga nampak bahawa aku dikurniai kebaikan hati yang unggul,+ Yakobus,+ Kefas,* dan Yohanes, iaitu mereka yang bagaikan tiang dalam sidang, menghulurkan tangan kanan mereka kepada aku dan Barnabas,+ sebagai tanda bahawa kami ini rakan sekerja. Mereka bersetuju bahawa kami akan pergi kepada orang daripada bangsa-bangsa lain, manakala mereka akan pergi kepada orang yang bersunat. 10 Hanya satu permintaan mereka, iaitu supaya kami terus memperhatikan orang yang miskin, dan aku telah berusaha dengan sedaya upaya untuk berbuat demikian juga.+
11 Semasa Kefas*+ datang ke Antiokhia,+ aku bersemuka dengannya dan menentangnya, kerana dia jelas sekali bersalah. 12 Sebelum orang yang diutus oleh Yakobus+ tiba, dia selalu makan dengan orang daripada bangsa lain.+ Tetapi setelah mereka tiba, dia mengasingkan dirinya dan tidak lagi makan dengan orang daripada bangsa lain, kerana dia takut akan orang daripada golongan bersunat.+ 13 Orang Yahudi yang lain ikut berpura-pura* seperti dia, sehingga Barnabas pun terpengaruh untuk berpura-pura* seperti mereka. 14 Apabila aku nampak bahawa mereka tidak berjalan mengikut kebenaran berita baik,+ aku berkata kepada Kefas* di hadapan semua orang di situ, “Kamu orang Yahudi, tetapi kamu hidup seperti orang daripada bangsa lain dan bukannya seperti orang Yahudi. Jadi mengapakah kamu sekarang memaksa orang daripada bangsa lain untuk hidup menurut kebiasaan orang Yahudi?”+
15 Kita dilahirkan sebagai orang Yahudi dan bukannya seperti orang berdosa daripada bangsa-bangsa lain. 16 Kita sedar bahawa seseorang hanya akan memperoleh perkenan Tuhan dengan beriman+ kepada Yesus Kristus,+ dan bukannya dengan mematuhi hukum. Jadi kita beriman kepada Kristus Yesus supaya kita memperoleh perkenan Tuhan melalui iman itu, dan bukannya kerana kita mematuhi hukum. Hal ini demikian kerana tidak ada sesiapa pun yang dapat memperoleh perkenan Tuhan dengan mematuhi hukum.+ 17 Jika kita masih dianggap sebagai orang berdosa meskipun kita berusaha untuk mendapat perkenan Tuhan melalui Kristus, adakah hal ini bererti bahawa Kristus menggalakkan kita untuk terus berbuat dosa? Tentu tidak! 18 Jika aku membina semula hal-hal yang pernah aku robohkan, maka aku menunjukkan bahawa aku sudah melanggar hukum. 19 Aku sudah dibebaskan daripada* hukum kerana aku mematuhi hukum itu,+ agar aku dapat hidup untuk Tuhan. 20 Aku sekarang dipakukan pada tiang bersama-sama Kristus.+ Maka yang hidup sekarang bukan lagi aku+ tetapi Kristus yang hidup bersatu dengan aku. Sememangnya, hidup yang sedang aku jalani sekarang ialah hidup yang berdasarkan iman kepada Anak Tuhan.+ Dia mengasihi aku dan telah menyerahkan dirinya bagi aku.+ 21 Aku tidak menolak kebaikan hati Tuhan yang unggul,+ kerana andai kata melalui hukum, seseorang dapat memperoleh perkenan Tuhan, kematian Kristus sia-sia sahaja.+
3 Wahai orang Galatia yang tidak berakal! Siapakah yang telah menipu kamu?+ Yesus Kristus telah dipakukan pada tiang, dan bukankah hal ini sudah digambarkan dengan jelas kepada kamu?+ 2 Ada satu perkara yang hendak aku tanya kepada kamu: Adakah kamu menerima kuasa suci Tuhan* kerana kamu mematuhi hukum atau kerana kamu beriman kepada apa yang didengari?+ 3 Mengapakah kamu begitu tidak berakal? Selepas kamu memulakan perjalanan mengikut haluan rohani, adakah kamu menamatkannya dengan mengikut haluan manusia yang tidak sempurna?+ 4 Kamu telah mengalami begitu banyak penderitaan. Adakah semua itu sia-sia sahaja? Aku pasti semua itu tidak sia-sia! 5 Adakah dia* yang memberikan kuasa suci Tuhan dan yang melakukan perbuatan yang menakjubkan+ dalam kalangan kamu, melakukannya kerana kamu mematuhi hukum atau kerana kamu beriman kepada apa yang didengari? 6 Dalam cara yang sama, Abraham “beriman kepada Yehuwa,* lalu mendapat perkenan-Nya.”+
7 Sudah tentu kamu tahu bahawa mereka yang beriman ialah keturunan Abraham.+ 8 Awal-awal lagi ayat suci menyatakan bahawa Tuhan akan berkenan kepada orang daripada bangsa-bangsa lain kerana mereka beriman. Oleh itu, ayat suci mengisytiharkan berita baik yang berikut kepada Abraham terlebih dahulu: “Melalui engkau, semua bangsa akan diberkati.”+ 9 Oleh itu, mereka yang beriman diberkati bersama-sama Abraham yang beriman.+
10 Semua orang yang bergantung pada perbuatan yang menurut hukum, hidup di bawah kutukan. Hal ini demikian kerana ada tertulis, “Terkutuklah setiap orang yang tidak mematuhi semua yang tertulis dalam gulungan Hukum.”+ 11 Lagipun, jelaslah bahawa tiada seorang pun yang boleh mendapat perkenan Tuhan melalui hukum,+ kerana ada tertulis, “Orang yang melakukan apa yang benar akan hidup kerana dia beriman.”+ 12 Hukum tidak menuntut seseorang untuk beriman. Sebaliknya, Hukum itu menyatakan, “Sesiapa yang mematuhi Hukum akan hidup.”+ 13 Kristus telah membeli kita.+ Dia membebaskan kita+ daripada kutukan Hukum dengan menjadikan dirinya sebagai orang yang terkutuk untuk menggantikan kita, kerana ada tertulis, “Terkutuklah setiap orang yang digantungkan pada tiang.”+ 14 Hal ini berlaku supaya berkat yang dijanjikan kepada Abraham juga dapat diterima oleh bangsa-bangsa lain melalui Kristus Yesus.+ Dengan demikian, kita dapat menerima kuasa suci Tuhan yang telah dijanjikan+ kerana kita beriman.
15 Saudara-saudara, biarlah aku menggunakan sebuah contoh: Sebaik sahaja sebuah perjanjian disahkan, tidak ada sesiapa pun yang boleh membatalkannya atau menambahkan apa-apa padanya, meskipun perjanjian itu hanya disahkan oleh manusia. 16 Janji-janji Tuhan telah disampaikan kepada Abraham dan kepada seorang keturunannya.+ Ayat suci tidak menyatakan, “kepada keturunanmu,” seolah-olah jumlah mereka banyak. Sebaliknya, ayat suci menyatakan, “kepada seorang keturunanmu,” yang merujuk kepada seorang sahaja, iaitu Kristus.+ 17 Selanjutnya, aku mengatakan hal ini: Hukum yang wujud 430 tahun kemudian,+ tidak memansuhkan perjanjian yang pernah dibuat oleh Tuhan dan tidak membatalkan janji itu. 18 Jika warisan itu diberikan berdasarkan hukum, maka warisan itu tidak lagi diberikan berdasarkan sebuah janji. Tetapi Tuhan yang baik hati telah memberikan warisan itu kepada Abraham melalui sebuah janji.+
19 Jika demikian, mengapakah Hukum diberikan? Hukum itu diberikan* kemudian untuk mendedahkan perbuatan yang salah,+ sehingga ketibaan keturunan+ yang menerima janji Tuhan. Tuhan memberikan Hukum itu kepada para malaikat, dan para malaikat+ mengisytiharkannya melalui seorang perantara.+ 20 Seorang perantara tidak diperlukan apabila hanya satu pihak terlibat, dan Tuhan hanya satu. 21 Adakah hal ini bermaksud Hukum bertentangan dengan janji-janji Tuhan? Sudah pasti tidak! Andai kata sebuah hukum yang diberikan mampu memberikan hidup, maka perkenan Tuhan dapat diperoleh melalui hukum itu. 22 Namun, Ayat-Ayat Suci telah menyerahkan semua orang sebagai tahanan dosa, agar mereka yang beriman kepada Yesus Kristus dapat menerima janji Tuhan.
23 Sebelum iman sejati tiba, kita dilindungi oleh hukum dan diserahkan sebagai tahanan hukum, dan kita menantikan iman yang bakal disingkapkan itu.+ 24 Dengan demikian, Hukum telah menjadi penjaga* yang memimpin kita kepada Kristus,+ agar melalui iman, kita diperkenankan Tuhan.+ 25 Tetapi memandangkan iman sejati sudah tiba,+ kita tidak memerlukan penjaga* itu lagi.+
26 Sebenarnya, kamu semua ialah anak-anak Tuhan+ kerana kamu beriman kepada Kristus Yesus.+ 27 Hal ini demikian kerana kamu semua yang sudah dibaptis dan bersatu dengan Kristus telah menjadi seperti Kristus.+ 28 Tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani,+ antara hamba dengan orang bebas,+ dan antara lelaki dengan wanita,+ kerana kamu semua bersatu sebagai pengikut Kristus Yesus.+ 29 Jika kamu milik Kristus, kamu sememangnya keturunan Abraham,+ dan kamu ialah pewaris+ kepada apa yang telah dijanjikan.+
4 Aku mengatakan bahawa selagi seorang pewaris itu masih kanak-kanak, dia tidak berbeza daripada seorang hamba. Biarpun dia ialah tuan atas segala perkara, 2 dia masih berada di bawah pengawasan penjaga-penjaga dan para pengurus rumah tangga, sehingga hari yang sudah ditetapkan oleh bapanya tiba. 3 Begitu juga, semasa kita masih kanak-kanak, kita diperhamba oleh perkara-perkara asas dalam dunia.+ 4 Namun begitu, Tuhan mengutus Anak-Nya pada akhir jangka masa yang ditetapkan. Anak itu dilahirkan oleh seorang wanita+ dan hidup di bawah hukum.+ 5 Dia diutus untuk membeli dan membebaskan orang yang hidup di bawah hukum,+ supaya kita dapat menjadi anak angkat Tuhan.+
6 Memandangkan kamu anak-anak Tuhan, Dia telah mengutus kuasa suci-Nya+ yang diberikan kepada Anak-Nya ke dalam hati kita.+ Kuasa suci itu berseru, “Abba,* Bapa!”+ 7 Jadi kamu bukan lagi hamba tetapi kamu ialah anak Tuhan. Jika kamu anak Tuhan, kamu juga dijadikan pewaris oleh Tuhan.+
8 Walau bagaimanapun, semasa kamu tidak mengenal Tuhan, kamu menjadi hamba kepada mereka yang sebenarnya bukan tuhan. 9 Tetapi sekarang kamu sudah mengenal Tuhan, atau lebih tepat lagi, kamu sudah dikenali oleh Tuhan. Jadi, mengapakah kamu kembali kepada perkara-perkara asas yang sia-sia+ dan tidak berguna? Mengapakah kamu mahu menjadi hamba kepada perkara-perkara itu sekali lagi?+ 10 Kamu sangat teliti dalam hal merayakan hari, bulan,+ musim, dan tahun tertentu. 11 Aku bimbang akan kamu, kerana nampaknya usahaku untuk membantu kamu sia-sia sahaja.
12 Saudara-saudara, dahulu aku juga seperti kamu. Maka, aku merayu kepada kamu supaya menjadi seperti aku sekarang.+ Kamu tidak berbuat salah terhadapku. 13 Tetapi kamu tahu bahawa aku berpeluang untuk mengkhabarkan berita baik kepada kamu buat kali pertama kerana penyakitku. 14 Biarpun keadaan fizikalku merupakan ujian bagi kamu, kamu tidak memandang hina terhadapku atau berasa jijik terhadapku.* Sebaliknya, kamu menyambut aku seperti menyambut malaikat Tuhan atau menyambut Kristus Yesus. 15 Di manakah kebahagiaan yang pernah kamu miliki? Aku memberikan kesaksian bahawa pada masa itu, jika boleh, kamu tentu akan mencungkil mata kamu dan memberikannya kepadaku.+ 16 Maka, adakah aku sudah menjadi musuh kamu kerana aku memberitahu kamu kebenaran? 17 Ada orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memenangi hati kamu, tetapi tujuan mereka tidak baik. Mereka mahu memisahkan kamu daripada aku supaya kamu mahu mengikut mereka. 18 Walau bagaimanapun, adalah baik jika seseorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memenangi hati kamu bagi tujuan yang baik. Adalah baik juga jika hal itu selalu berlaku, dan bukan hanya semasa aku ada bersama kamu. 19 Anak-anakku yang dikasihi,+ sekali lagi aku harus menderita kesakitan, seperti kesakitan yang dialami oleh wanita yang melahirkan anak. Aku harus menderita kerana kamu, sehingga kamu mencerminkan keperibadian Kristus.* 20 Aku ingin bersama-sama kamu sekarang dan bercakap kepada kamu dengan cara yang berbeza, kerana kamu sudah membuat aku bingung.
21 Hai kamu yang mahu hidup di bawah hukum, beritahulah aku: Tidakkah kamu mendengar apa yang dinyatakan dalam Hukum? 22 Misalnya, ada tertulis bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki, seorang dilahirkan oleh hamba perempuan+ dan seorang lagi dilahirkan oleh wanita bebas.*+ 23 Anak yang dilahirkan oleh hamba perempuan sebenarnya dilahirkan dalam cara yang biasa,+ tetapi anak yang dilahirkan oleh wanita bebas* dilahirkan kerana janji Tuhan.+ 24 Perkara-perkara itu mempunyai erti kiasan.* Wanita-wanita itu melambangkan dua perjanjian. Perjanjian daripada Gunung Sinai+ ialah Hagar, dan anak-anaknya dilahirkan sebagai hamba. 25 Hagar melambangkan Gunung Sinai,+ iaitu sebuah gunung di negeri Arab, dan dia melambangkan Yerusalem sekarang ini, kerana dia sudah diperhamba bersama anak-anaknya. 26 Tetapi Yerusalem di syurga itu bebas, dan dia ialah ibu kita.
27 Seperti yang tertulis, “Bergembiralah, hai wanita mandul yang belum melahirkan anak! Bersoraklah dan berserulah dengan sukacita, hai wanita yang belum mengalami sakit bersalin, kerana bilangan anak-anak wanita yang terabai itu lebih banyak daripada bilangan anak-anak wanita yang bersuami.”+ 28 Saudara-saudara, sama seperti Ishak, kamu ialah anak-anak yang dilahirkan kerana janji Tuhan.+ 29 Tetapi, sebagaimana anak yang dilahirkan dalam cara yang biasa mula menganiaya anak yang dilahirkan daripada kuasa suci Tuhan,+ hal yang sama juga berlaku sekarang.+ 30 Namun begitu, apakah yang dinyatakan dalam ayat suci? “Usirlah hamba perempuan itu dan anaknya, kerana anak hamba perempuan itu sama sekali tidak akan menjadi pewaris bersama anak wanita bebas* itu.”+ 31 Oleh itu saudara-saudara, kita bukanlah anak hamba perempuan, tetapi kita anak wanita bebas* itu.
5 Kristus membebaskan kita agar kita menikmati kebebasan sedemikian. Oleh itu, berdirilah dengan teguh+ dan janganlah biarkan diri kamu ditundukkan sekali lagi di bawah kuk* perhambaan.+
2 Aku, Paulus, memberitahu kamu bahawa jika kamu disunat, apa yang dilakukan oleh Kristus tidak akan membawa manfaat kepada kamu.+ 3 Sekali lagi aku mengingatkan setiap orang yang akan disunat bahawa mereka wajib mematuhi segenap Hukum.+ 4 Kamu yang mencuba untuk mendapat perkenan Tuhan menerusi hukum sudah terpisah daripada Kristus+ dan sudah meninggalkan kebaikan hatinya yang unggul. 5 Tetapi bagi kita, kita sedang berharap dan menanti-nantikan perkenan Tuhan yang hanya dapat diperoleh menerusi kuasa suci Tuhan dan iman kita. 6 Bagi mereka yang bersatu dengan Kristus Yesus, bersunat atau tidak bersunat tidak ada nilainya.+ Sebaliknya, yang bernilai ialah iman yang membuahkan hasil melalui kasih.
7 Dahulu kamu berlari dengan baik.+ Siapakah yang menghalang kamu daripada terus mematuhi kebenaran? 8 Ajaran sedemikian tidak berasal daripada Dia yang memanggil kamu. 9 Sedikit ragi membuat seluruh adunan naik.+ 10 Aku yakin bahawa kamu yang bersatu dengan Tuan+ kita tidak akan mempunyai pandangan yang berbeza. Tetapi orang yang menimbulkan masalah bagi kamu,+ tidak kira siapa dia, dia akan menerima hukuman yang sewajarnya. 11 Bagi aku, saudara-saudara, andai kata aku masih menyebarkan ajaran tentang sunat, mengapakah aku masih dianiaya? Jika aku masih menyebarkan ajaran tentang sunat, sepatutnya tiang seksaan* tidak lagi menjadi batu sandungan.+ 12 Bagi orang yang mencuba untuk mengelirukan kamu, aku berharap mereka akan mengembiri diri sendiri.*
13 Saudara-saudara, kamu sudah dipanggil untuk menikmati kebebasan. Tetapi jangan gunakan kebebasan itu sebagai kesempatan untuk mengejar keinginan yang berdosa.+ Sebaliknya, hendaklah kasih mendorong kamu untuk menjadi hamba kepada satu sama lain,+ 14 kerana seluruh Hukum disimpulkan dalam satu perintah, iaitu, “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”+ 15 Tetapi jika kamu asyik menyakiti dan membawa penderitaan kepada satu sama lain,+ berhati-hatilah supaya kamu tidak saling membinasakan.+
16 Namun demikian, aku berkata: Teruslah berjalan menurut bimbingan kuasa suci Tuhan.+ Dengan demikian, kamu sama sekali tidak akan menurut keinginan yang berdosa.+ 17 Keinginan tubuh yang berdosa berlawanan dengan kuasa suci Tuhan, dan kuasa suci Tuhan berlawanan dengan keinginan tubuh yang berdosa. Kedua-duanya saling bertentangan sehingga kamu tidak melakukan hal-hal yang ingin kamu lakukan.+ 18 Tambahan lagi, jika kamu dibimbing oleh kuasa suci Tuhan, kamu tidak berada di bawah hukum.
19 Perbuatan yang terhasil daripada keinginan yang berdosa dapat dilihat dengan jelas, iaitu perbuatan seks yang tidak bermoral,*+ kenajisan, kelakuan buruk,*+ 20 penyembahan berhala, penggunaan ilmu sihir,*+ permusuhan, perkelahian, kecemburuan, ledakan kemarahan, pertengkaran, perpecahan, pembentukan kumpulan agama,* 21 perasaan iri hati, kemabukan,+ pesta liar, dan hal-hal seperti itu.+ Aku memberi kamu amaran tentang hal-hal itu sekarang, sepertimana aku telah memberi kamu amaran dahulu: Orang yang mengamalkan perbuatan sebegitu tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.+
22 Sebaliknya, buah kuasa suci Tuhan ialah kasih, sukacita, kedamaian, kesabaran,* kebaikan hati, kebaikan,+ iman, 23 kelemahlembutan, dan kawalan diri.+ Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara sedemikian. 24 Selain itu, orang yang merupakan milik Kristus Yesus sudah mematikan* segala nafsu dan keinginan tubuh yang berdosa.+
25 Jika kita hidup menurut bimbingan kuasa suci Tuhan, biarlah kita terus menunjukkan perbuatan yang selaras dengan bimbingan kuasa suci Tuhan.+ 26 Janganlah kita menjadi sombong,+ saling membangkitkan persaingan,+ dan iri hati terhadap satu sama lain.
6 Saudara-saudara, jika seseorang mengambil langkah yang salah sebelum menyedarinya, kamu yang matang secara rohani haruslah mencuba untuk membetulkannya dengan lemah lembut.+ Tetapi perhatikanlah diri kamu+ supaya kamu sendiri tidak tergoda.+ 2 Teruslah membantu satu sama lain untuk memikul beban,+ dan dengan demikian, kamu melakukan apa yang dinyatakan dalam hukum Kristus.+ 3 Jika seseorang menyangka bahawa dirinya penting, padahal tidak,+ dia sedang menipu dirinya sendiri. 4 Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri,+ dan dengan demikian, dia akan berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya dan bukannya kerana dia membandingkan diri dengan orang lain.+ 5 Hal ini demikian kerana setiap orang harus memikul tanggungan* masing-masing.+
6 Selain itu, hendaklah sesiapa yang diajar tentang firman Tuhan mengongsi semua perkara baik dengan orang yang menyampaikan ajaran itu.+
7 Janganlah menipu diri sendiri. Tuhan tidak dapat diperbodoh. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.+ 8 Orang yang menanam menurut keinginan yang berdosa akan menuai kebinasaan daripada keinginannya yang berdosa itu. Tetapi orang yang menanam menurut bimbingan kuasa suci Tuhan akan menuai kehidupan kekal daripada kuasa suci Tuhan.+ 9 Oleh itu, teruslah berbuat baik tanpa berputus asa. Jika kita tidak berputus asa,* kita akan menuai hasilnya pada waktu yang ditetapkan.+ 10 Maka selagi kita berpeluang, marilah kita berbuat baik kepada semua orang, terutamanya kepada saudara saudari kita yang seiman.
11 Lihatlah betapa besarnya huruf yang aku tulis kepada kamu dengan tanganku sendiri!
12 Mereka semua yang mencuba memaksa kamu untuk disunat ialah orang yang mahu menyenangkan hati orang lain.* Mereka berbuat demikian hanya untuk mengelak daripada dianiaya kerana tiang seksaan* Kristus. 13 Bahkan mereka yang membiarkan diri disunat pun tidak mematuhi Hukum,+ tetapi mereka mahu kamu disunat supaya mereka dapat menggunakan kamu sebagai alasan untuk bercakap besar. 14 Semoga aku tidak membanggakan apa-apa pun kecuali tiang seksaan* Tuan kita, Yesus Kristus.+ Disebabkan dia, dunia sudah mati* dalam pandanganku, dan aku pun sudah mati dalam pandangan dunia. 15 Tidaklah penting sama ada bersunat atau tidak bersunat.+ Yang penting ialah ciptaan yang baharu.+ 16 Semoga Israel milik Tuhan, iaitu mereka yang hidup menurut prinsip itu, menikmati kedamaian dan belas kasihan.+
17 Mulai sekarang, janganlah sesiapa pun menyusahkan aku, kerana pada tubuhku ada tanda-tanda selar yang menunjukkan bahawa aku hamba Yesus.+
18 Saudara-saudara, semoga kebaikan hati Tuan Yesus Kristus yang unggul menyertai sikap baik yang kamu tunjukkan. Amin.
Atau “zaman.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Juga dipanggil Petrus.
Harfiah, “sejam.”
Juga dipanggil Petrus.
Juga dipanggil Petrus.
Atau “bermuka dua.”
Atau “bermuka dua.”
Juga dipanggil Petrus.
Harfiah, “mati terhadap.”
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Atau “Tuhan.”
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “ditambahkan.”
Atau “pembimbing; guru.”
Atau “pembimbing; guru.”
Perkataan bahasa Ibrani atau Aram yang bermaksud “Ya Bapa!”
Atau “meludah padaku.”
Atau “sehingga Kristus terbentuk dalam diri kamu.”
Iaitu, seorang wanita yang bukan hamba.
Iaitu, seorang wanita yang bukan hamba.
Atau “Perkara-perkara itu boleh dianggap sebagai sebuah drama simbolik.”
Iaitu, seorang wanita yang bukan hamba.
Iaitu, seorang wanita yang bukan hamba.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Atau “memotong organ seks sendiri; menjadi sida-sida.” Maka orang itu tidak lagi layak untuk melaksanakan hukum yang disokongnya.
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Yunani, a·selʹgei·a. Lihat Kamus.
Atau “spiritisme.” Lihat Kamus, “Ilmu sihir.”
Atau “mengikut ajaran manusia.” Lihat Kamus, “Kumpulan agama.”
Atau “kepanjangsabaran.”
Harfiah, “memakukan pada tiang.”
Atau “tanggungjawab.”
Atau “tidak menjadi letih.”
Atau “mahu memberikan tanggapan yang baik secara luaran.”
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Atau “dihukum bunuh pada tiang.”