SURAT KEPADA SIDANG DI KOLOSE
1 Aku, Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus menurut kehendak Tuhan, dan saudara kita Timotius+ 2 menulis surat ini kepada umat suci Tuhan dan saudara-saudara setia di Kolose yang bersatu dengan Kristus:
Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita.
3 Kami sentiasa bersyukur kepada Tuhan, iaitu Bapa kepada Tuan kita, Yesus Kristus, semasa kami berdoa untuk kamu, 4 kerana kami mendengar tentang iman kamu kepada Kristus Yesus dan kasih kamu kepada semua umat suci. 5 Kamu berbuat demikian kerana harapan yang menantikan kamu di syurga.+ Sebelum ini, kamu sudah mendengar tentang harapan ini melalui perkhabaran tentang kebenaran berita baik 6 yang disampaikan kepada kamu. Berita baik ini membuahkan hasil dan tersebar ke seluruh dunia.+ Halnya sama seperti apa yang berlaku dalam kalangan kamu sejak hari kamu mendengar dan mengetahui dengan tepat tentang kebaikan hati Tuhan yang sebenar. 7 Itulah yang telah kamu pelajari daripada Epafras,+ seorang hamba seperti kami, yang kami kasihi. Dia berkhidmat dengan setia kepada Kristus bagi pihak kami. 8 Dia juga telah memberitahu kami tentang kasih kamu yang dihasilkan melalui kuasa suci Tuhan.*
9 Itulah sebabnya sejak hari kami mendengar tentang hal itu, kami tidak pernah berhenti berdoa untuk kamu.+ Kami memohon agar kamu dipenuhi dengan pengetahuan yang tepat+ mengenai kehendak Tuhan, dan agar kamu memiliki segala kebijaksanaan dan pemahaman rohani.+ 10 Dengan demikian, jalan hidup kamu akan selaras dengan kehendak Yehuwa,* menyenangkan hati-Nya dengan sepenuhnya, dan membuahkan hasil dalam setiap kerja baik kamu. Selain itu, pengetahuan yang tepat tentang Tuhan yang kamu miliki akan terus bertambah.+ 11 Semoga kuasa Tuhan yang mulia memberi kamu segala kekuatan yang diperlukan,+ agar kamu tabah menempuh segala sesuatu dengan sabar dan sukacita. 12 Pada masa yang sama, bersyukurlah kepada Bapa kita yang menjadikan kamu layak untuk menerima sebahagian daripada warisan yang dijanjikan kepada umat suci+ yang berada dalam cahaya.
13 Dia telah menyelamatkan kita daripada kuasa kegelapan+ dan memindahkan kita ke dalam kerajaan Anak-Nya yang dikasihi. 14 Melalui Anak-Nya, kita ditebus dan dibebaskan, dan dosa kita diampunkan.+ 15 Anak itu merupakan gambaran kepada Tuhan yang tidak kelihatan+ dan anak sulung antara semua ciptaan,+ 16 kerana segala sesuatu yang lain diciptakan melalui dia, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, baik yang kelihatan mahupun yang tidak kelihatan,+ sama ada takhta, pemimpin, kerajaan, atau penguasa. Segala sesuatu yang lain diciptakan melaluinya+ dan diciptakan untuknya. 17 Dia wujud sebelum segala sesuatu yang lain,+ dan melaluinya segala sesuatu yang lain diciptakan. 18 Dia ialah kepala bagi tubuh, dan tubuh itu ialah sidang.+ Dialah permulaan segala sesuatu dan anak sulung daripada kalangan orang mati.+ Dengan demikian, dia menjadi orang yang pertama dalam segala sesuatu. 19 Tuhan berasa senang hati untuk menjadikan segala sesuatu lengkap dalam diri Anak-Nya.+ 20 Melalui Anak-Nya, Dia berbaik semula dengan segala sesuatu yang lain,+ baik yang di bumi mahupun yang di syurga. Tuhan berdamai dengan mereka melalui darah Anak-Nya+ yang dicurahkan pada tiang seksaan.*
21 Sememangnya, kamu pernah terasing daripada Tuhan dan menjadi musuh-Nya, kerana fikiran kamu tertumpu kepada perbuatan yang jahat. 22 Namun, Tuhan kini berbaik semula dengan kamu menerusi kematian dia yang mengorbankan tubuhnya. Dia melakukannya agar kamu dapat dipersembahkan di hadapan Tuhan dalam keadaan yang suci, tanpa cela, dan bebas daripada tuduhan.+ 23 Sudah tentu, kamu harus tetap beriman,+ bertapak pada asas+ yang kukuh, berdiri teguh,+ dan tidak berganjak daripada harapan berita baik yang sudah kamu dengar dan yang sudah disebarkan kepada semua ciptaan di bawah langit.+ Aku, Paulus, menjadi hamba untuk menyebarkan berita baik itu.+
24 Aku sekarang bersukacita walaupun aku menderita demi kamu.+ Demi tubuh Kristus, iaitu sidang,+ aku berasa bahawa aku belum mengalami kesengsaraan dengan sepenuhnya sebagai anggota tubuh Kristus.+ 25 Demi kamu, aku menjadi hamba bagi sidang ini, sesuai dengan tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga+ yang diamanahkan oleh Tuhan kepadaku. Aku diamanahkan tugas untuk menyebarkan firman Tuhan dengan sepenuhnya, 26 iaitu untuk mengkhabarkan rahsia suci+ yang telah disembunyikan semenjak sistem-sistem dunia yang lampau*+ dan semenjak generasi-generasi yang lalu. Tetapi kini rahsia suci itu telah disingkapkan kepada umat suci Tuhan.+ 27 Tuhan berasa senang hati untuk memberitahu mereka tentang rahsia suci itu yang telah disingkapkan dalam kalangan bangsa-bangsa lain.+ Inilah rahsia suci yang penuh dengan kemuliaan dan kekayaan rohani itu: Kristus bersatu dengan kamu, dan hal ini bererti kamu mempunyai harapan untuk menikmati kemuliaannya.+ 28 Kita mengisytiharkan dia kepada semua orang, dan kita menasihati dan mengajar mereka dengan segala kebijaksanaan agar kita dapat mempersembahkan setiap orang kepada Tuhan sebagai pengikut Kristus yang matang.+ 29 Untuk tujuan ini aku bekerja dengan keras. Aku berusaha sedaya upaya dengan kekuatan Tuhan yang sedang bekerja dalam diriku.+
2 Aku ingin kamu sedar betapa besarnya pergelutan yang aku lalui demi kamu dan demi mereka yang berada di Laodikia,+ serta demi semua orang yang belum pernah berjumpa dengan aku. 2 Aku berhasrat supaya mereka mendapat kelegaan hati+ dan disatupadukan oleh kasih.+ Dengan demikian, mereka akan memperoleh semua kekayaan yang datang daripada pemahaman yang jelas dan yang pasti, dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang Kristus, iaitu rahsia suci Tuhan.+ 3 Dalam Kristus, semua kebijaksanaan dan pengetahuan, yang bagaikan harta karun, tersembunyi dengan cermat.+ 4 Aku berkata demikian supaya tidak ada seorang pun yang akan memperdayakan kamu dengan kata-kata yang licik. 5 Biarpun aku tidak ada bersama kamu, tetapi hati aku ada bersama kamu. Aku berasa gembira untuk melihat ketertiban+ kamu dan keteguhan iman kamu kepada Kristus.+
6 Kamu sudah menerima Kristus Yesus, Tuan kita. Oleh itu, teruslah hidup bersatu dengannya. 7 Hendaklah kamu berakar umbi dan dibina dalamnya.+ Hendaklah kamu memantapkan iman kamu,+ seperti yang sudah diajarkan kepada kamu, dan hendaklah kamu berlimpah-limpah dengan rasa syukur.+
8 Berwaspadalah agar tidak ada sesiapa pun yang memperhamba kamu* dengan falsafah dan tipu daya kosong+ yang berdasarkan adat istiadat manusia, yang berdasarkan perkara-perkara asas di dalam dunia, dan yang tidak berdasarkan ajaran Kristus. 9 Hal ini demikian kerana Kristus dipenuhi sifat-sifat Tuhan.+ 10 Dengan demikian, melalui dia, iaitu kepala semua kerajaan dan pihak berkuasa, kamu tidak kekurangan apa-apa pun.+ 11 Melalui dia, kamu sudah disunat, bukan dengan sunat yang dilakukan oleh manusia, tetapi dengan sunat milik Kristus,+ iaitu dengan membuang keinginan tubuh yang berdosa.+ 12 Hal itu demikian kerana kamu dikuburkan bersamanya dalam pembaptisannya.+ Sebagai pengikutnya, kamu juga dibangkitkan bersamanya+ kerana kamu beriman kepada perbuatan berkuasa yang dilakukan oleh Tuhan, iaitu Dia yang membangkitkan Kristus daripada kematian.+
13 Tambahan lagi, walaupun kamu sudah mati kerana dosa kamu dan kerana kamu tidak bersunat, Tuhan telah menjadikan kamu hidup bersama-sama Kristus.+ Dia dengan baik hati telah mengampunkan segala dosa kita.+ 14 Dia memadamkan Hukum+ yang mengandungi perintah-perintah+ dan yang mendedahkan kesalahan kita.+ Dia telah menyingkirkan Hukum dengan memakukannya pada tiang seksaan.*+ 15 Melalui tiang seksaan,* Dia mengalahkan kerajaan dan pihak berkuasa, lalu menunjukkan bahawa mereka sudah ditakluki+ dengan mempamerkan mereka di hadapan umum dalam perarakan kemenangan-Nya.
16 Oleh itu, janganlah biarkan sesiapa pun memberitahu kamu apa yang mesti kamu makan atau minum,+ atau memberitahu kamu bahawa kamu mesti menyambut suatu perayaan, bulan baharu,+ atau hari Sabat.+ 17 Semua itu cumalah bayangan kepada hal-hal yang akan datang,+ tetapi perkara yang sebenar ialah Kristus.+ 18 Janganlah biarkan sesiapa pun menyebabkan kamu tidak dapat menerima hadiah kamu.+ Orang sebegini suka berpura-pura rendah hati, dan mereka suka menyembah malaikat.* Mereka “berpegang teguh”* pada perkara-perkara yang sudah dilihat dan menjadi sombong tanpa alasan yang baik kerana cara fikiran mereka seperti fikiran manusia yang berdosa. 19 Mereka tidak mengikut Kepala kita.+ Melalui Kepala itu, seluruh tubuh mendapat apa yang diperlukan dan seluruh tubuh tersusun rapi melalui setiap sendi dan otot. Kepala itu membantu pertumbuhan tubuh, dan Tuhanlah yang menyebabkan pertumbuhannya.+
20 Jikalau kamu sudah mati bersama Kristus dan menolak hal-hal asas di dunia,+ mengapakah kamu masih hidup seolah-olah kamu sebahagian daripada dunia? Mengapakah kamu terus taat kepada perintah-perintah berikut:+ 21 “Jangan pegang, atau jangan rasa, atau jangan sentuh”? 22 Semua perintah itu hanyalah peraturan dan ajaran manusia, yang berkaitan dengan hal-hal yang akan binasa sesudah diguna pakai.+ 23 Perintah-perintah itu kelihatannya bijaksana tetapi tidak dapat membantu orang melawan keinginan yang berdosa. Hal ini demikian kerana mereka menentukan cara ibadat sendiri, berpura-pura rendah hati, dan menyeksa tubuh dengan teruk.+
3 Jika kamu dibangkitkan bersama Kristus,+ teruslah mencari perkara-perkara di syurga, di tempat Kristus sedang duduk di sebelah kanan Tuhan.+ 2 Teruslah memusatkan fikiran kamu pada perkara-perkara di syurga,+ dan bukannya pada perkara-perkara di bumi.+ 3 Hal ini demikian kerana kamu sudah mati, dan selaras dengan kehendak Tuhan, kehidupan kamu sudah tersembunyi bersama Kristus. 4 Apabila Kristus yang membawa kehidupan+ menjadi nyata, kamu juga akan menjadi nyata bersamanya dan menikmati kemuliaan dengannya.+
5 Oleh itu, matikanlah keinginan dalam anggota tubuh kamu*+ sehubungan dengan perbuatan seks yang tidak bermoral,* kenajisan, hawa nafsu yang tidak terkawal,+ keinginan yang jahat, dan ketamakan, yang merupakan penyembahan berhala. 6 Kemurkaan Tuhan akan menimpa mereka yang melakukan perkara-perkara sedemikian. 7 Kamu juga pernah mengamalkan perkara-perkara sedemikian dalam kehidupan kamu dahulu.+ 8 Tetapi sekarang kamu mesti menyingkirkan hal-hal ini daripada diri kamu: Perasaan berang, kemarahan, kejahatan,+ kata-kata hinaan,+ dan kata-kata lucah,+ daripada mulut kamu. 9 Janganlah saling berdusta.+ Tanggalkanlah keperibadian* lama+ dengan amalan-amalannya, 10 dan hendaklah kamu mengenakan keperibadian baharu,+ yang diperbaharui melalui pengetahuan yang tepat dan menurut gambaran Dia yang menciptakannya.+ 11 Menurut keperibadian baharu ini, tidaklah penting sama ada seseorang itu orang Yunani, orang Yahudi, orang yang bersunat, orang yang tidak bersunat, orang asing, orang Skithia,* hamba, ataupun orang bebas. Kristuslah segala-galanya, dan kita semua bersatu dengannya.+
12 Selaras dengan hal itu, sebagai umat Tuhan yang terpilih,+ yang suci, dan yang dikasihi, hendaklah kamu mengenakan belas kasihan,+ kebaikan hati, kerendahan hati,+ kelemahlembutan,+ dan kesabaran.+ 13 Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati,+ biarpun kamu ada alasan untuk berasa tersinggung.+ Sepertimana Yehuwa* mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.+ 14 Selain hal-hal ini, hendaklah kamu mengenakan kasih,+ kerana kasih ialah ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.+
15 Semoga kedamaian daripada Kristus berkuasa dalam hati kamu,*+ kerana kamu sebenarnya dipanggil untuk menikmati kedamaian itu sebagai anggota di dalam satu tubuh. Jadi, tunjukkanlah kesyukuran kamu. 16 Semoga perkhabaran Kristus yang membawa segala kebijaksanaan melimpah dalam diri kamu. Teruslah mengajar dan menggalakkan* satu sama lain dengan mazmur,+ puji-pujian kepada Tuhan, dan lagu rohani yang dinyanyikan dengan perasaan syukur.* Bernyanyilah kepada Yehuwa* dari lubuk hati kamu.+ 17 Apa sahaja yang kamu lakukan dan katakan, lakukanlah semuanya atas nama Tuan Yesus, dan melaluinya, ucapkanlah syukur kepada Tuhan, Bapa kita.+
18 Hai para isteri, taatilah suami kamu+ kerana hal ini wajar di mata Tuan kita. 19 Hai para suami, teruslah mengasihi isteri kamu+ dan janganlah berlaku kasar* terhadap mereka.+ 20 Hai anak-anak, patuhilah ibu bapa kamu dalam segala perkara+ kerana hal ini menyenangkan hati Tuan kita. 21 Hai bapa-bapa, janganlah menyakiti hati* anak-anak kamu,+ supaya mereka tidak menjadi tawar hati.* 22 Hai hamba-hamba, patuhilah tuan kamu di bumi dalam segala perkara.+ Jangan berbuat demikian hanya semasa mereka mengawasi kamu, semata-mata untuk menyenangkan hati manusia. Tetapi lakukannya dengan tulus hati dan dengan rasa takut akan Yehuwa.* 23 Apa sahaja yang kamu lakukan, lakukannya dengan sepenuh jiwa, seolah-olah kamu melakukannya untuk Yehuwa*+ dan bukannya untuk manusia, 24 kerana kamu tahu bahawa kamu akan menerima warisan daripada Yehuwa* sebagai ganjaran.+ Abdikanlah diri kepada Tuan kita Kristus. 25 Orang yang berbuat salah pasti akan mendapat balasan untuk perbuatannya yang salah,+ kerana Tuhan tidak berat sebelah.+
4 Hai kamu yang menjadi tuan, perlakukanlah hamba kamu dengan cara yang baik dan adil, kerana kamu tahu bahawa kamu juga mempunyai Tuan di syurga.+
2 Teruslah berdoa dengan tekun.+ Seraya kamu berbuat demikian, berjaga-jagalah dan ucapkanlah syukur.+ 3 Pada masa yang sama, berdoalah juga bagi kami,+ supaya Tuhan membuka pintu agar kami dapat mengkhabarkan firman itu. Dengan demikian, kami dapat mengisytiharkan rahsia suci tentang Kristus (sebenarnya, disebabkan rahsia suci itulah aku sekarang dibelenggu di dalam penjara),+ 4 dan aku dapat mengumumkannya dengan jelas sebagaimana yang harus aku lakukan.
5 Teruslah hidup dengan bijaksana dalam hubungan kamu dengan mereka yang bukan sebahagian daripada sidang Kristian, dan gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.*+ 6 Hendaklah kata-kata kamu sentiasa menyenangkan dan enak didengari, seperti makanan yang ditambahkan dengan garam.+ Dengan demikian, kamu akan tahu cara untuk menjawab setiap orang.+
7 Tikhikus,+ saudaraku yang dikasihi, akan memberitahu kamu segala berita tentang aku. Dia berkhidmat kepada Tuan dengan setia dan merupakan hamba Tuan seperti aku. 8 Aku mengutus dia kepada kamu supaya kamu dapat mengetahui keadaan kami. Dengan itu, dia dapat melegakan hati kamu. 9 Dia akan datang bersama Onesimus,+ saudaraku yang setia dan yang dikasihi, yang dulu pernah bersama kamu. Mereka akan memberitahu kamu tentang semua perkara yang berlaku di sini.
10 Aristarkhus,+ seorang tahanan seperti aku, mengirim salam kepada kamu. Begitu juga dengan Markus,+ iaitu sepupu Barnabas (mengenai Markus, kamu sudah menerima arahan untuk menyambutnya+ jika dia datang kepada kamu), 11 dan Yesus yang digelar Yustus. Mereka semua ialah orang yang bersunat. Mereka sahajalah rakan sekerjaku demi Kerajaan Tuhan, dan merekalah yang menjadi sumber kelegaan hati yang besar bagiku.* 12 Epafras,+ seorang hamba Kristus Yesus yang juga daripada kalangan kamu, mengirim salam kepada kamu. Dia selalu berdoa dengan bersungguh-sungguh bagi pihak kamu, supaya kamu dapat berdiri teguh sebagai orang yang matang dan mempunyai keyakinan yang kukuh akan semua kehendak Tuhan. 13 Aku memberikan kesaksian bahawa dia berusaha dengan gigih untuk kamu dan untuk mereka yang berada di Laodikia dan di Hierapolis.
14 Lukas,+ doktor yang kita kasihi, mengirim salam kepada kamu, begitu juga dengan Demas.+ 15 Sampaikan salamku kepada saudara-saudara di Laodikia, dan kepada saudari Nimfa serta sidang yang berkumpul di rumahnya.+ 16 Setelah surat ini dibacakan kepada kamu, aturkanlah supaya surat ini turut dibacakan+ di sidang Laodikia. Kamu juga harus membaca surat yang dikirim kepada sidang Laodikia. 17 Selain itu, beritahulah Arkhipus,+ “Berikanlah perhatian kepada tugas yang kamu terima sebagai pengikut Tuan kita, supaya kamu dapat melaksanakannya.”
18 Aku, Paulus, menulis salam ini dengan tanganku sendiri.+ Ingatlah akan aku yang dibelenggu di dalam penjara.+ Semoga kebaikan hati Tuhan yang unggul menyertai kamu semua.
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Kamus.
Atau “zaman-zaman lampau.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “membawa kamu pergi sebagai mangsanya.”
Lihat Kamus.
Atau mungkin, “Melalui Kristus.”
Atau “suka mengikut cara ibadat malaikat.”
Ungkapan ini diambil daripada kata-kata yang diucapkan semasa seseorang menyertai kumpulan agama kafir.
Harfiah, “anggota tubuh kamu yang ada di bumi.”
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Harfiah, “orang.”
“Orang Skithia” merujuk kepada orang yang tidak bertamadun.
Lihat Lampiran A5.
Atau “menguasai hati kamu.”
Atau “menasihati.”
Atau “lagu rohani yang indah; lagu rohani yang dinyanyikan dengan cara yang menyenangkan.”
Lihat Lampiran A5.
Atau “terlampau marah.”
Atau “menjengkelkan.”
Atau “patah semangat.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Atau “dan belilah masa.”
Atau “merekalah yang membantu dan menguatkan aku.”