PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 61 1A-3R
  • 2 Petrus

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • 2 Petrus
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
2 Petrus

SURAT PETRUS YANG KEDUA

1 Simon Petrus, seorang hamba dan rasul kepada Yesus Kristus, menulis surat ini kepada mereka yang sudah mempercayai kebenaran yang bernilai, yang juga kami miliki, melalui keadilan Tuhan kita dan Yesus Kristus, Penyelamat kita:

2 Semoga kebaikan hati yang unggul dan kedamaian dikurniakan kepada kamu secara berlimpah-limpah melalui pengetahuan yang tepat+ tentang Tuhan dan Yesus, Tuan kita. 3 Dengan kuasa Tuhan, kita telah dikurniai segala sesuatu yang diperlukan supaya hidup kita bertumpu kepada pengabdian kepada Tuhan. Kita menerima semua itu kerana kita telah memperoleh pengetahuan yang tepat tentang Dia yang telah memanggil kita+ dengan kemuliaan dan kebaikan-Nya. 4 Melalui kemuliaan dan kebaikan-Nya, Dia telah mengurniakan janji-janji yang berharga dan sangat menakjubkan kepada kita.+ Dengan demikian, setelah kamu melepaskan diri daripada keruntuhan akhlak dunia yang dihasilkan oleh keinginan yang salah,* kamu dapat menerima sifat Tuhan.+

5 Itulah sebabnya kamu harus berusaha sedaya upaya+ untuk menambahkan kebaikan kepada iman kamu,+ dan kepada kebaikan kamu, tambahkanlah pengetahuan,+ 6 dan kepada pengetahuan kamu, tambahkanlah kawalan diri, dan kepada kawalan diri kamu,+ tambahkanlah ketabahan, dan kepada ketabahan kamu, tambahkanlah pengabdian diri kepada Tuhan,+ 7 dan kepada pengabdian diri kepada Tuhan, tambahkanlah kasih terhadap sesama saudara, dan kepada kasih terhadap sesama saudara, tambahkanlah kasih terhadap semua orang.+ 8 Jika kamu memiliki semua sifat ini dengan berlimpah-limpah, kamu akan terhindar daripada menjadi tidak aktif atau tidak membuahkan hasil+ sehubungan dengan pengetahuan yang tepat tentang Tuan Yesus Kristus.

9 Jika seseorang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut, dia buta kerana dia menutup matanya dan enggan melihat cahaya.*+ Dia lupa bahawa dia sudah dibersihkan daripada dosa-dosanya+ yang lampau. 10 Oleh itu saudara-saudara, sebagai orang yang sudah dipanggil+ dan dipilih oleh Tuhan, berusahalah dengan lebih bersungguh-sungguh lagi agar kamu tetap setia. Jika kamu terus melakukan hal-hal ini, kamu tidak akan gagal sama sekali.+ 11 Melalui cara ini kamu akan diberkati dengan melimpah dan memasuki Kerajaan kekal+ Tuan dan Penyelamat kita, Yesus Kristus.+

12 Itulah sebabnya aku ingin selalu mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini, walaupun kamu sudah mengetahuinya dan sudah berakar umbi dalam kebenaran yang telah kamu pelajari. 13 Namun pada pendapatku, selagi aku berada di dalam tubuh* ini,+ aku patut mengingatkan kamu lagi tentang hal-hal ini,+ 14 kerana aku tahu bahawa aku akan meninggalkan tubuh ini tidak lama lagi sebagaimana yang telah dinyatakan dengan jelas oleh Tuan Yesus Kristus kepadaku.+ 15 Aku akan sentiasa berusaha sedaya upaya agar setelah aku pergi, kamu sendiri dapat mengingat semula* hal-hal tersebut.

16 Semasa kami memberitahu kamu tentang kuasa dan kehadiran Tuan Yesus Kristus, kami tidak bercakap berdasarkan cerita palsu yang direka dengan licik. Sebaliknya kami telah menyaksikan kemuliaannya dengan mata sendiri.+ 17 Dia telah menerima kehormatan dan kemuliaan daripada Tuhan, Bapa kita. Hal ini berlaku semasa Tuhan yang mulia berfirman kepadanya, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.”+ 18 Ya, kami mendengar suara ini dari langit semasa kami bersamanya di gunung yang suci itu.

19 Maka, keyakinan kami akan nubuat-nubuat yang disampaikan menjadi lebih teguh. Kamu patut dipuji kerana kamu memberikan perhatian kepada nubuat-nubuat sedemikian kerana nubuat-nubuat itu seperti sebuah pelita+ yang bersinar di tempat yang gelap dalam hati kamu, sehingga fajar menyingsing dan bintang fajar+ terbit. 20 Pertama sekali, kamu tahu bahawa tidak ada nubuat dalam Ayat-Ayat Suci yang berasal daripada tafsiran peribadi. 21 Hal ini demikian kerana nubuat tidak pernah dihasilkan menurut kehendak manusia,+ tetapi manusia mengatakan apa yang berasal daripada Tuhan seraya mereka didorong oleh kuasa suci-Nya.*+

2 Pada masa dahulu, ada nabi-nabi palsu yang muncul dalam kalangan umat Tuhan. Begitu juga, guru-guru palsu akan muncul dalam kalangan kamu.+ Secara diam-diam, mereka akan memperkenalkan kumpulan agama yang membinasakan. Mereka bahkan akan menyangkal tuan mereka yang telah membeli mereka.+ Dengan demikian, mereka mendatangkan kemusnahan yang akan menimpa diri mereka sendiri secara mendadak. 2 Banyak orang akan terikut-ikut dengan kelakuan buruk* mereka.+ Akibatnya, haluan kebenaran akan dicela.+ 3 Guru-guru palsu yang tamak ini akan menggunakan kata-kata palsu untuk mengaut keuntungan daripada kamu. Namun, hukuman mereka sudah ditentukan sejak dahulu lagi+ dan tidak akan ditangguhkan. Ya, mereka pasti akan dibinasakan.+

4 Malaikat-malaikat yang berdosa tidak terlepas daripada hukuman Tuhan.+ Dia melemparkan mereka ke dalam Tartarus*+ dan merantai mereka dalam kegelapan yang pekat* untuk menahan mereka sehingga hukuman mereka dilaksanakan.+ 5 Dunia zaman lampau juga tidak terlepas daripada hukuman Tuhan.+ Dia mendatangkan air bah kepada dunia yang didiami orang jahat,+ tetapi menyelamatkan Nuh, seorang lelaki yang menyebarkan apa yang benar di mata-Nya,+ bersama dengan tujuh orang yang lain.+ 6 Tuhan menghukum kota Sodom dan Gomora+ dengan memusnahkan dua kota itu sehingga menjadi abu. Hal ini menjadi amaran* tentang apa yang bakal berlaku kepada orang yang tidak menghormati-Nya.+ 7 Tetapi Dia telah menyelamatkan Lot, seorang lelaki yang baik,+ yang sangat susah hati kerana orang jahat di situ berkelakuan buruk tanpa rasa malu.* 8 Lelaki yang baik ini hidup dalam kalangan mereka, dan dia merana hari demi hari kerana melihat dan mendengar perbuatan jahat mereka. 9 Maka jelaslah bahawa Yehuwa* tahu cara untuk menyelamatkan orang yang mengabdikan diri kepada-Nya supaya mereka dibebaskan daripada cubaan.+ Dia juga tahu cara untuk menahan orang jahat sehingga hari penghakiman agar mereka dimusnahkan,+ 10 terutamanya mereka yang mencuba untuk menajiskan tubuh orang lain,+ dan mereka yang memandang hina terhadap orang yang berkuasa.+

Mereka ini sangat berani dan keras kepala. Mereka tidak takut untuk menghina orang yang dimuliakan oleh Tuhan. 11 Walaupun malaikat-malaikat lebih kuat dan lebih berkuasa, malaikat-malaikat itu pun tidak menuduh guru-guru palsu itu dengan kata-kata hinaan, kerana malaikat-malaikat itu menghormati Yehuwa.*+ 12 Tetapi mereka ini seperti binatang yang tidak berakal, yang bertindak mengikut naluri, dan yang dilahirkan untuk ditangkap dan dibinasakan. Mereka menghina hal-hal yang tidak difahami mereka.+ Haluan mereka yang memudaratkan akhirnya akan membinasakan mereka. 13 Mereka akan menderita kecelakaan sebagai balasan atas haluan mereka yang memudaratkan itu.

Mereka menganggap bahawa menikmati kemewahan hidup* dengan sepuas-puasnya,+ bahkan pada siang hari, merupakan sesuatu yang menyenangkan. Sambil makan bersama kamu, orang yang bagaikan kotoran dan kecacatan ini gemar sekali menyebarkan ajaran palsu.+ 14 Nafsu mereka untuk berzina berkobar-kobar,*+ dan mereka tidak dapat berhenti berbuat dosa. Mereka menggoda orang yang lemah, dan hati mereka sudah terlatih untuk bersikap tamak. Mereka ialah orang yang terkutuk. 15 Mereka meninggalkan haluan yang lurus lalu disesatkan. Mereka telah mengikut haluan Bileam+ anak Beor, yang suka menerima ganjaran daripada perbuatan yang salah.+ 16 Kerana Bileam melanggar hukum, dia telah ditegur.+ Seekor keldai yang tidak dapat bercakap telah bercakap dengan suara manusia dan menghalang perbuatan gila nabi itu.+

17 Guru-guru palsu itu ialah mata air yang kering dan kabus yang ditiup ribut kencang. Kegelapan yang paling pekat telah disediakan untuk mereka.+ 18 Kata-kata mereka kedengaran hebat tetapi langsung tidak bermakna. Mereka menggoda orang yang baru sahaja bertaubat untuk berbuat salah dengan kelakuan buruk mereka sendiri*+ dan dengan membangkitkan keinginan yang salah dalam diri orang sebegitu.+ 19 Guru-guru palsu itu menjanjikan kebebasan kepada mereka, sedangkan guru-guru palsu itu sendiri diperhamba oleh kejahatan.+ Hal ini demikian kerana sesiapa yang dikuasai oleh orang lain merupakan hamba kepada orang itu.*+ 20 Orang yang memperoleh pengetahuan yang tepat mengenai Tuan dan Penyelamat kita, Yesus Kristus, sudah membebaskan diri daripada kenajisan dunia.+ Tetapi jika mereka kemudiannya dikalahkan dan dikuasai lagi oleh kenajisan tersebut, keadaan mereka pada akhirnya menjadi lebih teruk daripada keadaan yang sebelumnya.+ 21 Lebih baik jika mereka tidak memiliki pengetahuan yang tepat tentang haluan yang benar, daripada mengetahuinya tetapi kemudian meninggalkan hukum suci yang telah diterima oleh mereka.+ 22 Pepatah ini tepat menggambarkan apa yang berlaku kepada mereka: “Anjing kembali untuk makan apa yang dimuntahkannya, dan babi yang sudah mandi bergelumang semula di dalam lumpur.”+

3 Saudara-saudara yang dikasihi, inilah surat kedua yang aku tulis kepada kamu. Seperti dalam suratku yang pertama, aku ingin membangkitkan daya pemikiran kamu yang tajam dengan memberi kamu peringatan tentang perkara-perkara tertentu.+ 2 Aku berbuat demikian supaya kamu ingat akan kata-kata yang pernah diucapkan* oleh nabi-nabi suci dan juga perintah-perintah yang diberikan oleh Tuan dan Penyelamat kita kepada kamu melalui para rasul. 3 Mula-mula kamu harus tahu bahawa pada hari-hari terakhir akan muncul orang yang suka memperolok-olokkan hal-hal yang baik. Mereka akan bertindak menurut keinginan sendiri+ 4 dan berkata, “Di manakah kehadirannya yang dijanjikan itu?+ Sejak nenek moyang kita tidur dalam kematian, segala-galanya masih sama sahaja seperti pada permulaan penciptaan dunia.”+

5 Mereka sengaja mengetepikan fakta ini: Sejak dahulu lagi, melalui firman Tuhan, ada langit, dan ada bumi yang dipisahkan daripada air dan berdiri dengan kukuh di tengah-tengah air.+ 6 Dengan air juga, dunia zaman itu telah dimusnahkan, iaitu ketika bumi dibanjiri air.+ 7 Namun melalui firman yang sama, langit dan bumi yang ada sekarang dipelihara untuk dimusnahkan dengan api kelak. Langit dan bumi masih dipelihara sehingga tibanya hari penghakiman dan pembinasaan orang yang tidak menghormati Tuhan.+

8 Namun saudara-saudara yang dikasihi, janganlah lupa akan hal ini: Bagi Yehuwa,* satu hari adalah seperti seribu tahun, dan seribu tahun adalah seperti satu hari.+ 9 Yehuwa* tidak berlambat-lambat untuk menunaikan janji-Nya,+ seperti yang difikirkan oleh sesetengah orang. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.+ 10 Tetapi hari Yehuwa*+ akan datang seperti pencuri.+ Pada hari itu, langit akan lenyap+ dengan bunyi gemuruh, unsur-unsur di langit dan di bumi akan lebur kerana terlalu panas, dan bumi serta segala perbuatan yang dilakukan di dalamnya akan didedahkan.+

11 Memandangkan semua itu akan dimusnahkan dengan cara sedemikian, fikirkanlah bagaimana kamu seharusnya hidup. Kamu seharusnya berkelakuan suci dan melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa kamu mengabdikan diri kepada Tuhan. 12 Hendaklah kamu berbuat demikian sementara kamu menantikan dan sentiasa mengingat akan* kehadiran hari Yehuwa.*+ Pada hari itu, langit akan lenyap+ dalam nyala api, dan unsur-unsur di langit dan di bumi akan lebur kerana bahang api yang terlalu panas. 13 Tetapi kita menantikan apa yang sudah dijanjikan Tuhan, iaitu langit baharu dan bumi baharu.+ Di situ perkara-perkara yang baik akan berkekalan.+

14 Oleh itu, saudara-saudara yang dikasihi, memandangkan kamu menantikan perkara-perkara itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya pada akhirnya Dia mendapati kamu murni, tidak bercacat cela, dan dalam keadaan damai.+ 15 Anggaplah kesabaran Tuan kita sebagai peluang untuk diselamatkan. Paulus, saudara yang kita kasihi, telah menulis tentang hal-hal itu dalam suratnya kepada kamu berdasarkan kebijaksanaan yang diberikan kepadanya.+ 16 Dalam semua suratnya, dia sudah menulis tentang hal-hal itu. Namun, ada beberapa hal dalam suratnya yang sukar difahami. Orang yang kurang pengetahuan* dan tidak mempunyai kepercayaan yang teguh telah memutarbelitkan hal-hal itu sebagaimana mereka juga memutarbelitkan bahagian-bahagian lain daripada Ayat-Ayat Suci. Akibatnya mereka mendatangkan kebinasaan kepada diri mereka sendiri.

17 Saudara-saudara yang dikasihi, memandangkan awal-awal lagi kamu sudah mengetahui hal ini, berwaspadalah supaya kamu tidak disesatkan bersama mereka oleh dusta orang jahat lalu tidak lagi berdiri dengan teguh.+ 18 Berusahalah untuk menerima lebih banyak kebaikan hati yang unggul dan pengetahuan tentang Tuan dan Penyelamat kita, Yesus Kristus. Semoga dia dimuliakan sekarang dan selama-lamanya. Amin.

Atau “oleh hawa nafsu.”

Atau mungkin, “dia rabun jauh malah buta.”

Harfiah, “khemah.”

Atau “dapat menyebut tentang.”

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Bentuk jamak bagi perkataan Yunani a·selʹgei·a. Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau mungkin, “dan mengurung mereka di dalam lubang yang gelap.”

Harfiah, “corak.”

Yunani, a·selʹgei·a. Lihat Kamus.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Iaitu, makan, minum, dan berpesta liar.

Atau “Mata mereka penuh dengan perzinaan.”

Bentuk jamak bagi perkataan Yunani a·selʹgei·a. Lihat Kamus.

Atau “dikuasai oleh sesuatu merupakan hamba kepada perkara itu.”

Atau “hal-hal yang dinubuatkan.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “dan benar-benar menginginkan.” Harfiah, “dan mempercepat.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “yang tidak dididik.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi