SURAT YOHANES YANG PERTAMA
1 Kami menulis surat kepada kamu mengenai firman yang memberikan hidup,+ iaitu firman yang sudah ada sejak permulaan, yang telah kami dengar, yang telah kami lihat dengan mata sendiri, yang telah kami perhatikan, dan yang telah kami sentuh dengan tangan sendiri. 2 (Ya, kehidupan kekal+ telah dinyatakan kepada kami, dan kami telah melihatnya. Sekarang kami memberikan kesaksian+ tentangnya dan melaporkannya kepada kamu. Kehidupan itu berasal daripada Bapa dan telah dinyatakan kepada kami.) 3 Kami melaporkan kepada kamu apa yang sudah kami lihat dan dengar,+ supaya kamu dapat bersatu dengan kami, sepertimana kami bersatu dengan Bapa dan dengan Anak-Nya, iaitu Yesus Kristus.+ 4 Kami menulis tentang semua ini supaya sukacita kita dapat disempurnakan.
5 Inilah perkhabaran yang kami dengar daripada Yesus, yang kini kami umumkan kepada kamu: Tuhan itu cahaya,+ dan pada-Nya tidak ada kegelapan sama sekali. 6 Jika kita berkata, “Kita bersatu dengan Tuhan,” padahal kita masih hidup dalam kegelapan, kita sedang berdusta dan tidak mengamalkan apa yang benar.+ 7 Namun, jika kita hidup dalam cahaya sebagaimana Tuhan sendiri ada dalam cahaya, maka kita semua akan bersatu, dan darah Anak-Nya, iaitu Yesus, akan membersihkan kita daripada semua dosa.+
8 Jika kita berkata, “Kita tidak mempunyai dosa,” kita sedang menipu diri sendiri,+ dan kebenaran tidak ada dalam diri kita. 9 Jika kita mengakui dosa kita, Tuhan akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala yang jahat, kerana Dia setia dan adil.+ 10 Tetapi jika kita berkata, “Kita tidak berbuat dosa,” kita menjadikan Tuhan pendusta, dan firman-Nya tidak ada dalam diri kita.
2 Anak-anak yang dikasihi, aku menulis kepada kamu tentang hal-hal ini supaya kamu tidak berbuat dosa. Namun jika seseorang berbuat dosa, kita mempunyai seorang penolong* yang melakukan apa yang benar, iaitu Yesus Kristus,+ yang ada bersama Bapa.+ 2 Dia merupakan korban pendamaian,*+ bukan sahaja untuk dosa kita,+ tetapi juga untuk dosa semua orang di dunia.+ 3 Jika kita terus mematuhi perintahnya,* hal itu menunjukkan bahawa kita mengenalnya. 4 Jika seseorang berkata, “Aku mengenalnya,” tetapi tidak mematuhi perintahnya, dia ialah seorang pendusta, dan kebenaran tidak ada dalam dirinya. 5 Tetapi jika seseorang mematuhi kata-katanya, dia menunjukkan bahawa dia benar-benar mengasihi Tuhan.+ Demikianlah kita tahu bahawa kita bersatu dengannya.+ 6 Sesiapa yang mengatakan bahawa dia sedang bersatu dengannya mesti terus hidup mengikut jejaknya.+
7 Saudara-saudara yang dikasihi, perintah yang aku tulis ini bukanlah perintah yang baharu, tetapi perintah lama yang sudah kamu terima sejak mula lagi.+ Perintah lama ini merupakan perkhabaran yang telah kamu dengar. 8 Namun perintah yang aku tulis ini boleh juga dikatakan perintah yang baharu, kerana kebenarannya nyata pada diri Yesus dan juga pada diri kamu. Hal ini demikian kerana kegelapan sedang berlalu, dan cahaya yang sejati sedang bersinar.+
9 Jika seseorang mengatakan bahawa dia berada dalam cahaya tetapi membenci+ saudaranya, dia masih berada dalam kegelapan.+ 10 Orang yang mengasihi saudaranya tetap berada dalam cahaya+ dan tidak ada sesuatu pun dalam dirinya yang akan menyebabkannya tersandung. 11 Tetapi orang yang membenci saudaranya berada dalam kegelapan. Dia berjalan dalam kegelapan+ dan tidak tahu ke mana dia sedang pergi,+ kerana kegelapan itu sudah membutakan matanya.
12 Anak-anak yang dikasihi, aku menulis kepada kamu kerana dosa kamu sudah diampunkan demi nama Yesus.+ 13 Bapa-bapa, aku menulis kepada kamu kerana kamu sudah mengenal Yesus yang telah wujud sejak permulaan. Para pemuda, aku menulis kepada kamu kerana kamu sudah mengalahkan Si Jahat.+ Anak-anak kecil, aku menulis kepada kamu kerana kamu sudah mengenal Tuhan, Bapa kita.+ 14 Bapa-bapa, aku menulis kepada kamu kerana kamu sudah mengenal Yesus yang telah wujud sejak permulaan. Para pemuda, aku menulis kepada kamu kerana kamu teguh,+ kerana firman Tuhan tetap ada dalam diri kamu,+ dan kerana kamu telah mengalahkan Si Jahat.+
15 Janganlah mengasihi dunia ini atau perkara-perkara di dalam dunia ini.+ Jika seseorang mengasihi dunia, kasih terhadap Bapa tidak ada dalam dirinya.+ 16 Hal ini demikian kerana segala sesuatu di dalam dunia ini, iaitu keinginan tubuh yang berdosa,+ keinginan mata,+ dan sikap suka menunjuk-nunjukkan* harta milik sendiri, tidak berasal daripada Bapa, tetapi berasal daripada dunia. 17 Selain itu, dunia dan segala sesuatu di dalamnya yang diingini oleh manusia sedang berlalu,+ tetapi orang yang melakukan kehendak Tuhan akan hidup selama-lamanya.+
18 Anak-anak yang dikasihi, sekaranglah waktu yang terakhir. Kamu pernah mendengar bahawa musuh Kristus* akan datang.+ Banyak musuh Kristus sudah pun muncul,+ maka kita tahu bahawa sekaranglah waktu yang terakhir. 19 Mereka sudah meninggalkan kita kerana mereka tidak termasuk dalam golongan kita.+ Jika mereka termasuk dalam golongan kita, tentu mereka akan tetap bersama-sama kita. Tetapi mereka meninggalkan kita, maka nyatalah bahawa bukan semua orang termasuk dalam golongan kita.+ 20 Dia yang suci telah mengurapi kamu,+ dan kamu semua mempunyai pengetahuan. 21 Aku menulis kepada kamu, bukan kerana kamu tidak mengetahui kebenaran,+ tetapi kerana kamu mengetahuinya, dan kerana tidak ada dusta yang berasal daripada kebenaran.+
22 Seseorang yang tidak percaya bahawa Yesus ialah Kristus merupakan seorang pendusta.+ Seseorang yang tidak percaya kepada Bapa dan Anak merupakan musuh Kristus.*+ 23 Sesiapa yang tidak percaya kepada Anak tidak diperkenankan Bapa.+ Tetapi sesiapa yang mengakui bahawa dia percaya kepada Anak+ diperkenankan Bapa.+ 24 Apa yang telah kamu dengar sejak awal lagi mesti tetap ada dalam diri kamu.+ Jika apa yang telah kamu dengar sejak awal lagi tetap ada dalam diri kamu, maka kamu juga akan tetap bersatu dengan Anak dan Bapa. 25 Inilah yang dijanjikannya* kepada kita: Kehidupan yang kekal.+
26 Aku menulis kepada kamu tentang mereka yang mencuba menyesatkan kamu. 27 Kuasa suci Tuhan* yang mengurapi kamu+ tetap ada dalam diri kamu, dan kamu tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar kamu. Tuhan menggunakan kuasa suci itu untuk mengajar kamu tentang segala sesuatu,+ dan hal itu benar dan bukan dusta. Oleh itu, hendaklah kamu tetap bersatu dengannya*+ selaras dengan apa yang diajarkan oleh Tuhan melalui kuasa-Nya. 28 Maka anak-anak yang dikasihi, teruslah bersatu dengannya.* Dengan demikian, kita dapat bercakap dengan berani*+ pada waktu dia disingkapkan, dan kita tidak akan berasa malu lalu menjauhinya semasa kehadirannya. 29 Jika kamu tahu bahawa Yesus diperkenankan Tuhan, maka kamu juga tahu bahawa semua orang yang berbuat benar ialah anak Tuhan.+
3 Lihatlah betapa besarnya kasih Bapa kepada kita!+ Dia mengizinkan kita disebut sebagai anak-anak Tuhan.+ Sesungguhnya kita ialah anak-anak Tuhan. Dunia tidak mengenal kita,+ kerana dunia tidak mengenal-Nya.+ 2 Saudara-saudara yang dikasihi, sekarang kita ialah anak-anak Tuhan,+ tetapi apa yang akan berlaku kepada kita kelak masih belum menjadi nyata.+ Kita tahu bahawa apabila Tuhan menunjukkan diri-Nya, kita akan menjadi seperti-Nya kerana kita akan melihat Dia dalam keadaan-Nya yang sebenar. 3 Semua orang yang menaruh harapan ini kepada Kristus* menyucikan diri sendiri,+ sebagaimana Yesus Kristus juga suci.
4 Setiap orang yang mengamalkan perbuatan berdosa juga mengamalkan perbuatan yang melanggar hukum, maka dosa ialah pelanggaran hukum. 5 Kamu juga tahu bahawa Yesus Kristus telah menampakkan diri untuk menghapuskan dosa kita,+ dan tidak ada dosa pada dirinya. 6 Setiap orang yang tetap bersatu dengannya tidak akan mengamalkan perbuatan berdosa.+ Orang yang mengamalkan perbuatan berdosa tidak pernah melihat atau mengenal dia. 7 Anak-anak yang dikasihi, janganlah biarkan sesiapa pun menyesatkan kamu. Yesus diperkenankan Tuhan, dan orang yang mengamalkan apa yang benar juga diperkenankan Tuhan. 8 Orang yang mengamalkan perbuatan berdosa berasal daripada Iblis, kerana Iblis telah berbuat dosa sejak permulaan.+ Tujuan Anak Tuhan menampakkan diri adalah untuk menghancurkan perbuatan Iblis.+
9 Setiap orang yang merupakan anak Tuhan tidak mengamalkan perbuatan berdosa,+ kerana kuasa suci Tuhan* tetap ada pada orang itu, dan dia tidak dapat mengamalkan perbuatan berdosa kerana dia ialah anak Tuhan.+ 10 Anak-anak Tuhan dan anak-anak Iblis dapat diketahui dengan jelas melalui fakta ini: Sesiapa yang tidak mengamalkan apa yang benar tidak berasal daripada Tuhan, begitu juga dengan sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya.+ 11 Hal ini demikian kerana inilah perkhabaran yang kamu dengar sejak permulaan: Kita harus saling mengasihi.+ 12 Janganlah kita menjadi seperti Kain yang berasal daripada Si Jahat dan yang membunuh adiknya.+ Mengapakah dia membunuh adiknya? Dia membunuh adiknya kerana perbuatannya sendiri jahat,+ tetapi perbuatan adiknya baik.+
13 Saudara-saudara, janganlah kamu hairan bahawa dunia membenci kamu.+ 14 Kita tahu bahawa kita sudah mati, tetapi sekarang kita hidup semula+ kerana kita mengasihi saudara-saudara kita.+ Orang yang tidak mengasihi saudara-saudaranya tetap berada dalam kematian.+ 15 Setiap orang yang membenci saudaranya merupakan pembunuh,+ dan kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak akan menerima kehidupan abadi.+ 16 Kita mengenal kasih kerana Kristus menyerahkan nyawanya untuk kita.+ Maka kita juga mesti menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita.+ 17 Jika ada sesiapa yang mampu menyara kehidupan sendiri dan melihat saudaranya memerlukan bantuan tetapi enggan berbelas kasihan terhadapnya, dapatkah kita mengatakan bahawa orang itu mengasihi Tuhan?+ 18 Anak-anak yang dikasihi, pastikanlah bahawa kasih kamu bukan sekadar ucapan di bibir,+ sebaliknya hendaklah kasih kamu tulus dan dibuktikan melalui perbuatan.+
19 Demikianlah caranya kita mengetahui bahawa kita berasal daripada kebenaran. Kita memiliki keyakinan dalam hati* bahawa Tuhan mengasihi kita 20 meskipun hati kita mungkin menyalahkan kita. Hal ini demikian kerana Tuhan lebih besar daripada hati kita dan mengetahui segala sesuatu.+ 21 Saudara-saudara yang dikasihi, jika hati kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Tuhan dengan berani.*+ 22 Kita akan menerima apa sahaja yang kita minta daripada-Nya,+ kerana kita mematuhi perintah-perintah-Nya dan melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati-Nya. 23 Sesungguhnya, inilah perintah-Nya: Kita harus beriman kepada nama Anak-Nya, Yesus Kristus,+ dan kita harus saling mengasihi+ sebagaimana yang telah diperintahkan kepada kita. 24 Orang yang mematuhi perintah-Nya akan tetap bersatu dengan-Nya, dan Dia akan bersatu dengan orang sedemikian.+ Melalui kuasa suci yang diberikan-Nya kepada kita, kita tahu bahawa Dia tetap bersatu dengan kita.+
4 Saudara-saudara yang dikasihi, janganlah kamu mempercayai setiap pernyataan yang diilhami.+ Sebaliknya, ujilah pernyataan-pernyataan yang diilhami itu untuk mengetahui sama ada pernyataan itu berasal daripada Tuhan atau tidak,+ kerana banyak nabi palsu telah muncul di dunia.+
2 Beginilah caranya kamu mengenal pasti pernyataan yang diilhami oleh Tuhan: Setiap pernyataan yang mengakui bahawa Yesus Kristus telah datang sebagai manusia berasal daripada Tuhan.+ 3 Namun, setiap pernyataan yang tidak mengakui bahawa Yesus telah datang sebagai manusia tidak berasal daripada Tuhan,+ tetapi berasal daripada musuh Kristus.* Kamu sudah mendengar bahawa pernyataan sedemikian akan datang,+ dan sekarang pernyataan sedemikian sudah ada di dunia.+
4 Anak-anak yang dikasihi, kamu berasal daripada Tuhan, dan kamu sudah mengalahkan nabi-nabi palsu itu,+ kerana Dia yang bersatu dengan kamu+ itu lebih besar daripada dia yang bersatu dengan dunia.+ 5 Nabi-nabi palsu itu berasal daripada dunia.+ Itulah sebabnya apa yang dikatakan oleh mereka berasal daripada dunia, dan dunia juga mendengarkan mereka.+ 6 Tetapi kita berasal daripada Tuhan. Sesiapa yang mengenal Tuhan, mendengarkan kita.+ Sesiapa yang tidak berasal daripada Tuhan, tidak mendengarkan kita.+ Begitulah caranya kita mengenal pasti sama ada pernyataan yang diilhami itu benar atau palsu.+
7 Saudara-saudara yang dikasihi, marilah kita terus mengasihi satu sama lain,+ kerana kasih berasal daripada Tuhan. Sesiapa yang mempunyai kasih merupakan anak Tuhan dan dia mengenal Tuhan.+ 8 Sesiapa yang tidak mempunyai kasih, belum lagi mengenal Tuhan, kerana Tuhan itu kasih.+ 9 Inilah caranya Tuhan menunjukkan kasih kepada kita: Tuhan telah mengutus Anak tunggal-Nya+ ke dunia supaya melalui Anak-Nya kita memperoleh kehidupan.+ 10 Inilah kasih yang dimaksudkan: Tuhan mengutus Anak-Nya sebagai korban pendamaian*+ untuk dosa kita,+ bukan kerana kita telah mengasihi Tuhan, tetapi kerana Dia mengasihi kita.
11 Saudara-saudara yang dikasihi, jika Tuhan mengasihi kita dengan cara sedemikian, kita pun mesti mengasihi satu sama lain.+ 12 Tiada seorang pun pernah melihat Tuhan.+ Jika kita terus mengasihi satu sama lain, maka Tuhan tetap ada dalam diri kita, dan kasih-Nya disempurnakan dalam diri kita.+ 13 Kerana Tuhan telah memberi kita kuasa suci-Nya, kita tahu bahawa kita tetap bersatu dengan Tuhan dan Tuhan tetap bersatu dengan kita. 14 Selain itu, Bapa telah mengutus Anak-Nya sebagai penyelamat dunia.+ Kami sendiri telah melihat hal itu dan sekarang kami memberikan kesaksian tentangnya. 15 Jika seseorang mengakui bahawa Yesus ialah Anak Tuhan,+ maka Tuhan tetap bersatu dengannya dan dia tetap bersatu dengan Tuhan.+ 16 Kita sudah tahu dan percaya bahawa Tuhan mengasihi kita.+
Tuhan itu kasih.+ Sesiapa yang sentiasa menunjukkan kasih tetap bersatu dengan Tuhan, dan Tuhan tetap bersatu dengannya.+ 17 Demikianlah caranya kasih disempurnakan dalam diri kita, supaya kita dapat bercakap dengan berani*+ pada hari penghakiman nanti, kerana hidup kita di dunia ini seperti hidup Kristus. 18 Rasa takut akan mengongkong kita. Namun orang yang mengasihi Tuhan tidak berasa takut,+ kerana kasih yang sempurna dapat mengusir rasa takut. Jika seseorang berasa takut, kasihnya belum lagi sempurna.+ 19 Kita menunjukkan kasih, kerana Tuhan menunjukkan kasih kepada kita terlebih dahulu.+
20 Jika sesiapa berkata, “Aku mengasihi Tuhan,” tetapi membenci saudaranya, orang itu pendusta.+ Hal ini demikian kerana jika dia tidak mengasihi saudaranya yang dapat dilihatnya,+ dia tidak dapat mengasihi Tuhan yang tidak pernah dilihatnya.+ 21 Inilah perintah yang diberikannya* kepada kita: Sesiapa yang mengasihi Tuhan mesti mengasihi saudaranya juga.+
5 Sesiapa yang percaya bahawa Yesus ialah Kristus merupakan anak Tuhan.+ Sesiapa yang mengasihi Bapa, mengasihi anak-anak-Nya juga. 2 Inilah caranya kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Tuhan:+ Kita mengasihi Tuhan dan melaksanakan perintah-Nya. 3 Mengasihi Tuhan bererti mematuhi perintah-Nya.+ Perintah-Nya pun tidak membebankan,+ 4 kerana semua orang yang merupakan anak Tuhan dapat mengalahkan dunia.+ Kita telah mengalahkan dunia dengan iman kita.+
5 Siapakah yang dapat mengalahkan dunia?+ Hanya orang yang percaya bahawa Yesus ialah Anak Tuhan.+ 6 Yesus Kristus telah datang dengan air dan darah. Dia datang bukan dengan air sahaja,+ tetapi dengan air dan darah.+ Kuasa suci Tuhan memberikan kesaksian tentang hal ini,+ kerana kuasa suci Tuhan ialah kebenaran. 7 Ada tiga saksi: 8 Kuasa suci Tuhan,+ air,+ dan darah;+ ketiga-tiganya memberikan kesaksian yang sama.
9 Jika kita menerima kesaksian yang diberikan oleh manusia, kesaksian yang diberikan oleh Tuhan pasti lebih unggul, kerana Tuhan sendiri telah memberikan kesaksian tentang Anak-Nya. 10 Orang yang beriman kepada Anak Tuhan sudah mempercayai kesaksian yang diberikan kepadanya. Tetapi orang yang tidak beriman kepada Tuhan telah menjadikan Tuhan pendusta,+ kerana dia tidak mempercayai kesaksian yang diberikan oleh Tuhan tentang Anak-Nya. 11 Inilah kesaksian yang diberikan oleh Tuhan: Dia memberi kita kehidupan kekal,+ dan kehidupan itu diberikan melalui Anak-Nya.+ 12 Sesiapa yang menerima Anak itu, mempunyai kehidupan kekal. Tetapi sesiapa yang tidak menerima Anak Tuhan, tidak mempunyai kehidupan kekal.+
13 Aku menuliskan hal-hal ini kepada kamu yang beriman kepada nama Anak Tuhan,+ supaya kamu tahu bahawa kamu mempunyai kehidupan kekal.+ 14 Inilah keyakinan* kita terhadap Tuhan:+ Jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak-Nya, Dia mendengarkan kita.+ 15 Memandangkan kita tahu bahawa Dia mendengar apa sahaja permintaan kita, kita yakin bahawa kita akan menerima perkara yang kita minta, kerana kita sudah memintanya daripada Tuhan.+
16 Jika seseorang melihat saudaranya melakukan dosa yang tidak mengakibatkan kematian, dia harus berdoa bagi saudaranya, dan Tuhan akan memberikan kehidupan kepada saudara itu.+ Ya, Tuhan akan memberikan kehidupan kepada orang yang dosanya tidak mengakibatkan kematian. Namun, ada dosa yang mengakibatkan kematian,+ dan aku tidak mengatakan bahawa dia patut berdoa bagi orang yang melakukan dosa sedemikian. 17 Semua kejahatan ialah dosa,+ tetapi ada dosa yang tidak mengakibatkan kematian.
18 Kita tahu bahawa semua orang yang merupakan anak Tuhan tidak mengamalkan perbuatan berdosa. Mereka dijaga oleh Anak Tuhan, dan Si Jahat tidak dapat mengapa-apakan mereka.*+ 19 Kita tahu bahawa kita berasal daripada Tuhan, tetapi seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.+ 20 Namun, kita tahu bahawa Anak Tuhan sudah datang,+ dan dia sudah memberi kita pengertian, supaya kita memperoleh pengetahuan tentang Tuhan yang benar. Kita bersatu dengan Tuhan yang benar+ melalui Anak-Nya Yesus Kristus. Ya, inilah Tuhan yang benar, dan inilah kehidupan yang kekal.+ 21 Anak-anak yang dikasihi, jauhkanlah diri kamu daripada berhala.+
Atau “pembela.”
Atau “korban untuk memohon pengampunan.”
Boleh merujuk kepada Yesus atau Tuhan dalam ayat ini dan dalam ayat 4 hingga 6.
Atau “membangga-banggakan.”
Lihat Kamus, “Anti-Kristus.”
Lihat Kamus, “Anti-Kristus.”
Boleh merujuk kepada Yesus atau Tuhan.
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Boleh merujuk kepada Yesus atau Tuhan.
Boleh merujuk kepada Yesus atau Tuhan.
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Atau “Tuhan.”
Harfiah, “benih-Nya.” Iaitu, benih yang dapat menghasilkan hidup baharu.
Atau “Kita memujuk hati kita.”
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Lihat Kamus, “Anti-Kristus.”
Atau “korban untuk memohon pengampunan.”
Atau “supaya kita memiliki keyakinan.” Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Boleh merujuk kepada Yesus atau Tuhan.
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Atau “dan mereka tidak berada dalam cengkaman Si Jahat.”