SOALAN-SOALAN BAGI MEREKA YANG INGIN DIBAPTIS
Bahagian 2: Kehidupan Kristian
Semasa mengkaji Bible, anda telah belajar tentang perkara yang dikehendaki Yehuwa dan cara untuk hidup menurut piawaian-Nya yang benar. Selepas itu, anda mungkin telah membuat banyak perubahan dalam tingkah laku dan sikap anda. Oleh sebab anda bertekad untuk hidup mengikut piawaian Yehuwa, anda layak menjadi seorang penginjil yang diperkenankan Tuhan.
Dengan mengulang kaji soalan-soalan berikut, anda akan diingatkan tentang piawaian Yehuwa yang benar dan hal-hal yang dapat anda lakukan untuk mendapat perkenan-Nya. Maklumat ini akan membantu anda sedar betapa pentingnya melakukan segala sesuatu dengan hati nurani yang murni dan demi kemuliaan Yehuwa.—2 Kor. 1:12; 1 Tim. 1:19; 1 Ptr. 3:16, 21.
Kini, anda tentu ingin menyertai organisasi Yehuwa dan tunduk kepada pemerintahan-Nya. Soalan-soalan dan ayat-ayat Bible berikut akan membantu anda meneliti pemahaman anda tentang ketundukan kepada aturan Yehuwa, sama ada dalam sidang, keluarga, atau sistem politik dunia. Anda akan lebih menghargai aturan Yehuwa untuk mendidik umat-Nya dan menguatkan iman mereka. Salah satu aturan itu ialah perjumpaan. Anda digalakkan untuk menghadirinya dan memberikan komen menurut kemampuan anda.
Bahagian ini juga akan menekankan pentingnya menginjil secara tetap, supaya anda dapat membantu orang lain mengenali Yehuwa dan hal-hal yang dilakukan-Nya untuk manusia. (Mat. 24:14; 28:19, 20) Selain itu, bahagian ini akan mengingatkan anda bahawa pembaktian dan pembaptisan merupakan hal yang serius. Apabila anda menyambut dan membalas kebaikan hati Yehuwa yang unggul, yakinlah bahawa usaha anda dihargai Yehuwa.
Apakah piawaian orang Kristian tentang perkahwinan? Apakah satu-satunya dasar dalam Bible yang mengizinkan seseorang untuk bercerai?
“Belum pernahkah kamu membaca bahawa Dia yang menciptakan manusia pada mulanya menciptakan lelaki dan perempuan? Belum pernahkah kamu membaca bahawa Dia juga berfirman, ‘Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu’? Maka, mereka bukan lagi dua tetapi satu. Oleh itu, mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia. . . . Sesiapa yang menceraikan isterinya padahal isterinya tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, dia berzina jika dia berkahwin dengan wanita lain.”—Mat. 19:4-6, 9.
Mengapakah pasangan yang tinggal bersama sebagai suami isteri patut berkahwin secara sah? Jika anda sudah berkahwin, adakah perkahwinan anda sah dan diiktiraf oleh pihak kerajaan?
“Teruslah mengingatkan mereka agar taat dan patuh kepada kerajaan dan pihak berkuasa.”—Tit. 3:1.
“Hendaklah perkahwinan dihormati oleh semua orang, dan katil perkahwinan haruslah tidak tercemar, kerana Tuhan akan menghakimi orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral dan orang yang berzina.”—Ibr. 13:4.
Apakah peranan anda dalam keluarga?
“Hai anakku, dengarkanlah ajaran bapamu, dan janganlah mengetepikan bimbingan ibumu.”—Ams. 1:8.
“Suami ialah kepala isteri sebagaimana Kristus ialah kepala sidang . . . Hai para suami, teruslah mengasihi isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi sidang.”—Ef. 5:23, 25.
“Hai bapa-bapa, janganlah memperlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah. Sebaliknya, teruslah besarkan mereka dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.”—Ef. 6:4.
“Hai anak-anak, patuhilah ibu bapa kamu dalam segala perkara kerana hal ini menyenangkan hati Tuan kita.”—Kol. 3:20.
“Hai para isteri, taatilah suami kamu.”—1 Ptr. 3:1.
Mengapakah kita patut menghargai nyawa?
“[Tuhan] memberikan kehidupan dan nafas serta segala sesuatu kepada semua orang. . . . Kita hidup, bergerak, dan wujud kerana Dia.”—Kis. 17:25, 28.
Mengapakah kita tidak harus membunuh orang, termasuk menggugurkan kandungan?
“Jika beberapa orang bergaduh lalu mencederakan seorang wanita hamil dan . . . jika wanita itu atau anaknya mati, hukumannya ialah nyawa ganti nyawa.”—Kel. 21:22, 23.
“Semasa aku dalam kandungan ibuku, Engkau sudah melihat aku. Sebelum bahagian-bahagian tubuhku wujud, sebelum anggota tubuhku dibentuk, hari-hari pertumbuhannya sudah tercatat dalam kitab-Mu.”—Mzm. 139:16.
“Perkara yang dibenci oleh Yehuwa . . . tangan yang menumpahkan darah orang yang tidak bersalah.”—Ams. 6:16, 17.
Apakah perintah Tuhan mengenai darah?
“Menjauhi darah, . . . [dan] binatang yang mati dicekik.”—Kis. 15:29.
Mengapakah kita mesti mengasihi saudara saudari kita?
“Aku memberi kamu satu perintah baharu: Kamu harus saling mengasihi. Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu, kamu juga harus saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.”—Yoh. 13:34, 35.
Untuk melindungi orang lain daripada dijangkiti penyakit berjangkit atau penyakit berjangkit yang boleh membawa maut: (a) Mengapakah seseorang yang menghidap penyakit berjangkit tidak patut melakukan perbuatan-perbuatan seperti memeluk atau mencium orang lain? (b) Mengapakah dia tidak patut tersinggung jika orang lain tidak menjemputnya ke rumah mereka? (c) Mengapakah seseorang yang mungkin menghidap penyakit berjangkit, barangkali kerana pernah menyalahgunakan dadah atau mengamalkan gaya hidup yang tidak bermoral, patut menjalani ujian darah sebelum berdating? (d) Mengapakah seseorang yang menghidap penyakit berjangkit patut memaklumkan koordinator badan penatua tentang keadaannya sebelum dia dibaptis?
“Jangan berhutang apa-apa kepada sesiapa pun, tetapi kamu harus saling mengasihi, . . . ‘Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Seseorang yang mempunyai kasih tidak akan berbuat jahat terhadap orang lain.”—Rm. 13:8-10.
“Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”—Flp. 2:4.
Mengapakah Yehuwa mahu kita mengampuni orang lain?
“Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati, biarpun kamu ada alasan untuk berasa tersinggung. Sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.”—Kol. 3:13.
Apakah yang harus anda lakukan jika rakan seiman memfitnah anda atau melakukan tipu muslihat terhadap anda?
“Jika saudara kamu berdosa terhadap kamu, pergilah kepadanya dan nyatakan kesilapannya antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mendengarkan kamu, kamu sudah membantu saudaramu kembali ke pangkal jalan. Tetapi jika dia enggan mendengar, bawalah satu atau dua orang bersama-samamu, kerana setiap perkara dapat disahkan dengan adanya keterangan dua atau tiga orang saksi. Jika dia enggan mendengar kata-kata mereka, maklumkanlah sidang. Jika sidang pun tidak diendahkannya, anggaplah dia sebagai orang daripada bangsa-bangsa lain dan pemungut cukai.”—Mat. 18:15-17.
Apakah pandangan Yehuwa terhadap dosa-dosa berikut?
▪ Perbuatan seks yang tidak bermoral
▪ Menggunakan patung dan lambang dalam penyembahan
▪ Hubungan sejenis (homoseksual)
▪ Mencuri
▪ Berjudi
▪ Kemabukan
“Janganlah menipu diri sendiri. Orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, orang yang menyembah berhala, orang yang berzina, lelaki yang rela ditiduri lelaki lain, lelaki yang meniduri lelaki, orang yang mencuri, yang tamak, yang mabuk, yang suka mencaci, dan yang memeras ugut, tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.”—1 Kor. 6:9, 10.
Mengenai perbuatan seks yang tidak bermoral, yang merangkumi pelbagai perbuatan seks di luar perkahwinan, apakah tekad anda?
“Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan seks yang tidak bermoral!”—1 Kor. 6:18.
Mengapakah kita patut menjauhi semua bahan yang dapat mempengaruhi fikiran atau menyebabkan ketagihan, kecuali bagi tujuan perubatan?
“Present your bodies as a living sacrifice, holy and acceptable to God, a sacred service with your power of reason. And stop being molded by this system of things, but be transformed by making your mind over, so that you may prove to yourselves the good and acceptable and perfect will of God.”—Rm. 12:1, 2.
Apakah sesetengah perbuatan yang berkaitan dengan roh-roh jahat yang dilarang oleh Tuhan?
“Jangan mengamalkan ilmu ramal atau ilmu sihir. Jangan mencari petanda atau menjadi tukang sihir. Jangan mengenakan jampi kepada orang lain, dan jangan mencari bomoh atau meminta nasihat daripada tukang tilik. Jangan meminta petunjuk daripada orang mati.”—Ul. 18:10, 11.
Jika seseorang melakukan dosa yang serius, apakah yang harus dilakukannya dengan serta-merta jika dia ingin memulihkan hubungannya dengan Yehuwa?
“‘Aku akan mengakui dosaku kepada Yehuwa.’ Aku tidak menyembunyikan kesalahanku, dan aku mengakui dosaku kepada-Mu.”—Mzm. 32:5.
“Adakah sesiapa antara kamu yang sakit? Hendaklah dia memanggil para penatua sidang supaya mereka berdoa untuknya dan menyapu minyak padanya atas nama Yehuwa. Doa yang diucapkan dengan iman akan menyembuhkan orang sakit itu, dan Yehuwa akan menjadikannya sihat semula. Jika dia telah berbuat dosa, dia akan diampuni.”—Yak. 5:14, 15.
Jika anda tahu bahawa seorang rakan seiman telah melakukan dosa yang serius, apakah yang patut anda lakukan?
“Jika seseorang mengetahui atau melihat perbuatan dosa orang lain, sebagai seorang saksi, dia harus melaporkan perbuatan itu. Jika dia mendengar pengumuman bahawa saksi diminta untuk memberikan keterangan tentang salah laku itu dan dia enggan berbuat demikian, dia sudah berdosa dan mesti menanggung akibatnya.”—Im. 5:1.
Jika pengumuman dibuat di sidang bahawa seseorang bukan lagi Saksi-Saksi Yehuwa, bagaimanakah kita patut memperlakukannya?
“Aku menulis kepada kamu supaya kamu tidak lagi bergaul dengan saudara Kristian yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, yang tamak, yang menyembah berhala, yang suka mencaci, yang mabuk, atau yang memeras ugut. Bahkan janganlah makan bersama dengan orang sedemikian.”—1 Kor. 5:11.
“Jika seseorang datang kepada kamu dan tidak menyampaikan ajaran itu, janganlah menyambut dia ke dalam rumah kamu ataupun mengucapkan salam kepadanya.”—2 Yoh. 10.
Mengapakah sahabat rapat anda haruslah orang yang mengasihi Yehuwa?
“Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak, tetapi orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.”—Ams. 13:20.
“Janganlah disesatkan. Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.”—1 Kor. 15:33.
Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa neutral dalam hal politik?
“Mereka bukanlah sebahagian daripada dunia, sepertimana aku [Yesus] bukan sebahagian daripada dunia.”—Yoh. 17:16.
Mengapakah anda harus mematuhi kerajaan?
“Setiap orang harus taat kepada pihak berkuasa, kerana semua kuasa datang daripada Tuhan. Pihak berkuasa yang ada sekarang diberi kedudukan masing-masing menurut aturan Tuhan.”—Rm. 13:1.
Jika undang-undang manusia bercanggah dengan perintah Tuhan, apakah yang akan anda lakukan?
“Kami mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.”—Kis. 5:29.
Apakah ayat-ayat Bible yang dapat membantu anda untuk tidak menjadi sebahagian daripada dunia semasa memilih pekerjaan?
“Satu bangsa tidak akan mengangkat pedang untuk melawan bangsa yang lain, dan mereka tidak akan belajar berperang lagi.”—Mi. 4:3.
“Keluarlah daripadanya [Babilon Besar], hai umat-Ku, jika kamu tidak mahu turut menanggung dosa-dosanya, dan jika kamu tidak mahu menerima sebahagian daripada tulah-tulahnya.”—Why. 18:4.
Apakah jenis hiburan dan aktiviti riadah yang akan anda terima atau tolak?
“Yehuwa . . . membenci orang yang suka akan keganasan.”—Mzm. 11:5.
“Bencilah apa yang jahat dan berpautlah pada apa yang baik.”—Rm. 12:9.
“Teruslah memikirkan semua perkara yang benar, semua perkara yang serius, semua perkara yang diperkenankan Tuhan, semua perkara yang murni, semua perkara yang patut dikasihi, semua perkara yang terhormat, semua perkara yang baik, dan semua perkara yang patut dipuji.”—Flp. 4:8.
Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa tidak beribadat bersama kumpulan agama lain?
“Kamu tidak boleh makan di ‘meja Yehuwa’ dan pada masa yang sama makan di meja roh-roh jahat.”—1 Kor. 10:21.
“‘Keluarlah daripada kalangan mereka, dan asingkanlah diri daripada mereka,’ firman Yehuwa, ‘dan jangan lagi menyentuh perkara yang najis’; ‘lalu Aku akan menerima kamu.’”—2 Kor. 6:17.
Apakah prinsip Bible yang dapat membantu anda menentukan sama ada anda patut menyertai suatu perayaan atau tidak?
“Mereka bergaul dengan bangsa-bangsa itu dan meniru perbuatan mereka. Mereka asyik menyembah patung-patung berhala bangsa-bangsa itu. Hal itu menjadi jerat bagi mereka.”—Mzm. 106:35, 36.
“Orang mati tidak tahu apa-apa pun.”—Pkh 9:5.
“Mereka bukanlah sebahagian daripada dunia, sepertimana aku bukan sebahagian daripada dunia.”—Yoh. 17:16.
“Sudah cukup lama kamu melakukan kehendak bangsa-bangsa. Kamu berkelakuan buruk tanpa rasa malu, menurut nafsu yang tidak terkekang, minum berlebihan, berpesta liar, berpesta minum, dan menyembah berhala yang menjijikkan.”—1 Ptr. 4:3.
Apakah kisah Bible yang dapat membantu anda menentukan sama ada anda patut menyambut hari jadi atau tidak?
“Tiga hari kemudian, iaitu pada hari jadi Firaun, dia mengadakan jamuan yang besar bagi semua pegawainya. Raja memerintahkan supaya ketua pengurus minuman dan ketua pengurus roti dikeluarkan dari penjara, lalu dibawa ke hadapan semua pegawainya. Firaun mengembalikan jawatan ketua pengurus minuman itu . . . Tetapi ketua pengurus roti digantungkan pada tiang.”—Kej. 40:20-22.
“Semasa majlis hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias mempersembahkan tarian yang membuat Herodes berasa sangat gembira. Maka dia bersumpah untuk memberi gadis itu apa sahaja yang dimintanya. Gadis itu menurut arahan ibunya dan berkata, ‘Berilah saya kepala Yohanes Pembaptis di atas sebuah dulang.’ Dia mengutus orang ke penjara untuk memancung kepala Yohanes.”—Mat. 14:6-8, 10.
Mengapakah anda ingin mengikut bimbingan para penatua?
“Patuhilah mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu dan tunduklah kepada mereka, kerana mereka sedang menjaga kamu dan akan bertanggungjawab kepada Tuhan. Dengan demikian, mereka dapat menjalankan tugas dengan sukacita dan bukannya dengan keluh-kesah, kerana hal itu akan merugikan kamu.”—Ibr. 13:17.
Mengapakah anda dan keluarga anda perlu meluangkan masa secara tetap untuk membaca dan mengkaji Bible?
“Berbahagialah orang yang suka akan hukum Yehuwa, dan yang membaca serta merenungkan hukum itu siang dan malam! Dia akan menjadi seperti pokok yang ditanam di tepi sungai, yang berbuah pada musimnya, dan yang tidak layu dedaunnya. Dia akan berjaya dalam segala usahanya.”—Mzm. 1:2, 3.
Mengapakah anda suka menghadiri perjumpaan dan memberikan komen?
“Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudaraku; Aku akan memuji-Mu di tengah-tengah sidang.”—Mzm. 22:22.
“Marilah kita memperhatikan satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik. Janganlah abaikan perjumpaan kita seperti yang biasa dilakukan oleh sesetengah orang. Sebaliknya hendaklah kita menggalakkan satu sama lain, lebih-lebih lagi seraya kamu nampak hari itu semakin mendekat.”—Ibr. 10:24, 25.
Apakah kerja terpenting yang diberikan oleh Yesus kepada kita?
“Maka, pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka. . . . Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.”—Mat. 28:19, 20.
Semasa kita memberikan derma untuk kegiatan Kerajaan Tuhan atau membantu saudara saudari, Yehuwa ingin kita menunjukkan sikap apa?
“Muliakanlah Yehuwa dengan memberi-Nya harta milikmu yang berharga.”—Ams. 3:9.
“Hendaklah setiap orang melakukan apa yang telah diputuskan dalam hati masing-masing. Janganlah melakukannya dengan berat hati atau secara terpaksa, kerana Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.”—2 Kor 9:7.
Orang Kristian harus bersedia untuk menghadapi apa?
“Berbahagialah orang yang dianiaya kerana melakukan apa yang benar, kerana Kerajaan di syurga milik mereka. Berbahagialah kamu apabila orang menghina, menganiaya, dan mengatakan segala macam perkara yang keji untuk memfitnah kamu kerana kamu pengikutku. Hendaklah kamu bergembira dan melimpah dengan sukacita, kerana ganjaran kamu besar di syurga. Ingatlah bahawa nabi-nabi sebelum kamu juga dianiaya dalam cara yang sama.”—Mat. 5:10-12.
Apabila seseorang dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, apakah penghormatan besar yang dimilikinya?
“Firman-Mu membuat hatiku gembira dan bersukacita, kerana aku menyandang nama-Mu, ya Tuhan Yehuwa.”—Yer. 15:16.