BAB 17
Doa—Penghormatan yang Istimewa
“Pencipta langit dan bumi” ingin mendengar doa kita.—Mazmur 115:15
1, 2. Mengapakah anda berasa bahawa doa ialah penghormatan yang istimewa? Mengapakah kita perlu mengetahui ajaran Bible tentang doa?
BERBANDING dengan alam semesta, bumi sangat kecil. Semasa Yehuwa melihat bumi, orang daripada semua bangsa bagaikan setitis air di dalam baldi. (Mazmur 115:15; Yesaya 40:15) Biarpun kita begitu kecil, Mazmur 145:18, 19 berkata, “Yehuwa dekat kepada semua orang yang berseru kepada-Nya; Dia menghampiri semua orang yang berseru kepada-Nya dengan ikhlas. Dia memenuhi keinginan orang yang takut akan-Nya; apabila mereka berseru meminta tolong, Dia akan mendengar lalu menyelamatkan mereka.” Bukankah itu penghormatan yang cukup istimewa? Yehuwa, Pencipta Yang Maha Kuasa, mahu menghampiri kita dan mendengar doa kita. Ya, doa ialah kurniaan yang berharga daripada Yehuwa.
2 Namun, kita mesti berdoa dengan cara yang betul, barulah Yehuwa akan mendengarnya. Apakah cara yang betul untuk berdoa? Mari kita lihat apa yang diajarkan Bible tentang doa.
MENGAPAKAH KITA BERDOA KEPADA YEHUWA?
3. Mengapakah anda patut berdoa kepada Yehuwa?
3 Yehuwa mahu anda berdoa atau bercakap kepada-Nya. Bagaimanakah kita tahu? Sila baca Filipi 4:6, 7 dan fikirkan jemputan itu. Pemerintah alam semesta sangat mengambil berat tentang anda, dan Dia ingin anda memberitahu-Nya perasaan dan masalah anda.
4. Bagaimanakah doa yang kerap membuat kita lebih akrab dengan Yehuwa?
4 Melalui doa, kita dapat menjadi sahabat baik Yehuwa. Kawan yang sering berbual tentang fikiran, kerisauan, dan perasaan satu sama lain, akan menjadi semakin rapat. Begitu juga, melalui Bible, Yehuwa memberitahu anda fikiran-Nya, perasaan-Nya, dan apa yang akan dilakukan-Nya pada masa depan. Melalui doa pula, anda dapat memberitahu-Nya perasaan anda yang paling dalam. Apabila anda selalu berdoa, hubungan anda dengan Yehuwa akan menjadi lebih kukuh.—Yakobus 4:8.
CARA AGAR DOA KITA DIDENGARI TUHAN
5. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa tidak mendengar semua doa?
5 Adakah Yehuwa mendengar semua doa? Tidak. Pada zaman Nabi Yesaya, Yehuwa memberitahu orang Israel, “Tidak kira berapa banyak kali kamu berdoa, Aku tidak akan mendengarnya, kerana tangan kamu berlumuran darah.” (Yesaya 1:15) Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin melakukan sesuatu yang akan menjauhkan kita daripada Yehuwa dan menyebabkan doa kita tidak didengari-Nya.
6. Mengapakah iman begitu penting? Bagaimanakah anda menunjukkan bahawa anda beriman?
6 Jika kita ingin Yehuwa mendengar doa kita, kita mesti beriman kepada-Nya. (Markus 11:24) Rasul Paulus menjelaskan, “Tanpa iman, tidak ada seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan, kerana sesiapa yang menghadap Tuhan mesti percaya bahawa Dia wujud dan bahawa Dia memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.” (Ibrani 11:6) Namun, hanya berkata kita beriman tidak cukup. Kita mesti membuktikannya dengan mematuhi Yehuwa setiap hari.—Baca Yakobus 2:26.
7. (a) Mengapakah kita harus rendah hati dan bersikap hormat semasa berdoa kepada Yehuwa? (b) Bagaimanakah kita dapat berdoa dengan ikhlas?
7 Kita harus rendah hati dan bersikap hormat semasa berdoa. Mengapa? Semasa bercakap kepada raja atau perdana menteri, kita pasti bersikap hormat. Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Kuasa, maka kita harus lebih rendah hati dan bersikap hormat semasa bercakap kepada-Nya. (Kejadian 17:1; Mazmur 138:6) Kita juga harus berdoa dengan ikhlas dari hati, dan bukannya asyik mengulangi kata-kata yang sama sahaja.—Matius 6:7, 8.
8. Selepas berdoa, apakah yang perlu kita lakukan?
8 Akhirnya, selepas berdoa, kita perlu mengusahakan hal yang kita doakan. Contohnya, jika kita meminta Yehuwa menjaga keperluan harian kita, kita tidak boleh malas dan mengharapkan Yehuwa memberi kita segala-galanya padahal kita mampu bekerja. Sebaliknya, kita harus rajin bekerja dan menerima apa sahaja pekerjaan yang dapat kita lakukan. (Matius 6:11; 2 Tesalonika 3:10) Jika kita meminta bantuan Yehuwa untuk berhenti berbuat salah, kita perlu menjauhi hal-hal yang dapat menggoda kita. (Kolose 3:5) Sekarang, mari kita kaji beberapa soalan tentang doa.
SOALAN YANG SERING DITANYA TENTANG DOA
9. Kita harus berdoa kepada siapa? Apakah yang kita pelajari tentang doa daripada Yohanes 14:6?
9 Kepada siapakah kita harus berdoa? Yesus mengajar para pengikutnya untuk berdoa kepada “Bapa kami yang di syurga.” (Matius 6:9) Yesus juga berkata, “Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan. Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.” (Yohanes 14:6) Maka, kita hanya patut berdoa kepada Yehuwa melalui Yesus. Apakah maksud berdoa melalui Yesus? Maksudnya kita menghormati tugas istimewa yang diberikan Yehuwa kepada Yesus. Kita sudah belajar bahawa Yesus datang ke bumi untuk menyelamatkan kita daripada dosa dan kematian. (Yohanes 3:16; Roma 5:12) Yehuwa juga telah melantik Yesus sebagai Imam Agung dan Hakim.—Yohanes 5:22; Ibrani 6:20.
Anda boleh berdoa pada bila-bila masa
10. Perlukah kita berada dalam kedudukan tertentu semasa berdoa? Jelaskan.
10 Perlukah kita berada dalam kedudukan tertentu semasa berdoa? Tidak, Yehuwa tidak menyuruh kita berlutut, duduk, atau berdiri semasa berdoa. Bible mengajar kita bahawa apa-apa kedudukan yang menunjukkan hormat boleh diterima. (1 Tawarikh 17:16; Nehemia 8:6; Daniel 6:10; Markus 11:25) Bagi Yehuwa, hal yang terpenting bukanlah kedudukan kita, tetapi sikap kita. Doa boleh diucapkan dengan lantang atau dalam hati. Kita boleh berdoa di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa, tidak kira siang atau malam. Semasa berdoa kepada Yehuwa, yakinlah bahawa Dia akan mendengar doa kita meskipun orang lain tidak dapat mendengarnya.—Nehemia 2:1-6.
11. Kita boleh berdoa tentang apa?
11 Kita boleh berdoa tentang apa? Apa-apa sahaja yang disenangi Yehuwa. Bible menyatakan, “Jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak-Nya, Dia mendengarkan kita.” (1 Yohanes 5:14) Bolehkah kita berdoa tentang hal peribadi? Boleh. Berdoa kepada Yehuwa sama seperti bercakap dengan kawan baik. Kita boleh memberitahu Yehuwa apa-apa sahaja yang ada dalam minda dan hati kita. (Mazmur 62:8) Kita boleh meminta-Nya memberi kita kuasa suci, supaya kita mendapat kekuatan untuk berbuat benar. (Lukas 11:13) Kita boleh meminta kebijaksanaan daripada Yehuwa supaya kita dapat membuat keputusan yang baik, dan meminta kekuatan untuk menghadapi kesusahan. (Yakobus 1:5) Kita juga perlu berdoa agar Yehuwa mengampunkan dosa kita. (Efesus 1:3, 7) Selain itu, kita patut berdoa bagi orang lain, termasuk ahli keluarga dan saudara saudari dalam sidang.—Kisah 12:5; Kolose 4:12.
12. Apakah yang harus diutamakan semasa berdoa?
12 Apakah yang harus diutamakan semasa berdoa? Yehuwa dan kehendak-Nya. Kita patut mengucapkan syukur dengan ikhlas atas segala yang dilakukan-Nya bagi kita. (1 Tawarikh 29:10-13) Kita tahu akan hal itu kerana semasa Yesus berada di bumi, dia pernah mengajar murid-muridnya cara berdoa. (Baca Matius 6:9-13.) Dia berkata bahawa mula-mulanya kita harus berdoa agar nama Tuhan disucikan, iaitu dipandang dengan hormat. Kemudian, kita patut berdoa agar Kerajaan Tuhan datang dan agar kehendak Yehuwa terlaksana di seluruh bumi. Selepas berdoa tentang hal-hal itu, barulah kita akan berdoa untuk keperluan sendiri. Jika kita mengutamakan Yehuwa dan kehendak-Nya semasa berdoa, kita menunjukkan bahawa itulah hal yang terpenting bagi kita.
13. Berapa lamakah kita harus berdoa?
13 Berapa lamakah kita harus berdoa? Bible tidak menetapkan tempoh masanya. Panjang atau pendeknya doa kita bergantung pada situasi. Contohnya, kita mungkin mengucapkan doa yang pendek sebelum makan, tetapi berdoa dengan lebih panjang semasa mengucapkan syukur kepada Yehuwa atau memberitahu-Nya kerisauan kita. (1 Samuel 1:12, 15) Kita tidak patut mengucapkan doa yang panjang untuk menunjuk-nunjuk, seperti yang dilakukan sesetengah orang pada zaman Yesus. (Lukas 20:46, 47) Doa sebegini tidak bermakna bagi Yehuwa. Dia menghargai doa yang diucapkan dari hati.
14. Seberapa kerapkah kita harus berdoa? Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa daripada hal ini?
14 Seberapa kerapkah kita harus berdoa? Yehuwa mengundang kita untuk sentiasa bercakap kepada-Nya. Bible berkata bahawa kita patut ‘terus berdoa,’ “berdoa dengan tekun,” dan ‘berdoa sentiasa.’ (Matius 26:41; Roma 12:12; 1 Tesalonika 5:17) Yehuwa selalu sedia mendengar. Kita boleh mengucapkan syukur kepada-Nya setiap hari atas kasih dan kemurahan hati-Nya. Kita juga boleh berdoa agar Dia membimbing, menguatkan, dan melegakan kita. Jika kita benar-benar menghargai penghormatan untuk bercakap kepada Yehuwa, kita akan berdoa pada setiap kesempatan.
15. Mengapakah kita patut berkata “amin” pada akhir doa?
15 Mengapakah kita patut berkata “amin” pada akhir doa? Perkataan “amin” bermaksud “semoga begitu.” Apabila kita berkata “amin,” kita menunjukkan bahawa doa yang kita ucapkan itu ikhlas. (Mazmur 41:13) Bible mengajar kita bahawa jika kita bersetuju dengan doa yang diucapkan di hadapan umum, kita juga patut berkata “amin” dengan lantang atau dalam hati.—1 Tawarikh 16:36; 1 Korintus 14:16.
CARA TUHAN MENJAWAB DOA KITA
16. Adakah Yehuwa akan menjawab doa kita? Jelaskan.
16 Adakah Yehuwa akan menjawab doa kita? Ya. Bible memanggil-Nya “Pendengar doa.” (Mazmur 65:2) Yehuwa mendengar doa yang diucapkan jutaan orang, dan Dia menjawab doa mereka melalui banyak cara.
17. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan malaikat dan hamba-hamba-Nya di bumi untuk menjawab doa kita?
17 Yehuwa menggunakan malaikat dan hamba-hamba-Nya di bumi untuk menjawab doa kita. (Ibrani 1:13, 14) Ramai orang pernah berdoa dan meminta bantuan untuk memahami Bible, lalu dikunjungi Saksi-Saksi Yehuwa tidak lama kemudian. Hal sebegini menunjukkan bahawa para malaikat sedang membantu para Saksi di serata bumi, supaya mereka dapat membawa “berita baik” kepada orang yang berhati jujur. (Baca Wahyu 14:6.) Ramai antara kita juga pernah berdoa kepada Yehuwa tentang masalah atau keperluan sendiri, lalu menerima bantuan yang diperlukan daripada saudara atau saudari Kristian kita.—Amsal 12:25; Yakobus 2:16.
Yehuwa mungkin menjawab doa kita melalui bantuan yang diberikan oleh orang Kristian lain
18. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan kuasa suci-Nya dan Bible untuk menjawab doa kita?
18 Yehuwa menggunakan kuasa suci-Nya untuk menjawab doa kita. Semasa kita memohon bantuan-Nya untuk menangani masalah, Dia membimbing dan menguatkan kita melalui kuasa suci-Nya. (2 Korintus 4:7) Melalui Bible, Yehuwa juga menjawab doa kita dan membantu kita membuat keputusan yang bijak. Semasa membaca Bible, kita mungkin menemui ayat-ayat yang berguna. Yehuwa juga dapat menggerakkan seseorang di perjumpaan untuk memberikan komen yang perlu kita dengar, atau mendorong seorang penatua untuk mengongsi isi penting daripada Bible dengan kita.—Galatia 6:1.
19. Mengapakah Yehuwa kadang-kadang nampaknya tidak menjawab doa kita?
19 Namun, kadang-kadang kita mungkin bertanya, “Kenapa Yehuwa belum jawab doa saya?” Ingatlah, Yehuwa tahu keperluan kita, dan Dia tahu cara dan masa yang terbaik untuk menjawab doa kita. Kita mungkin perlu terus berdoa untuk menunjukkan bahawa kita benar-benar ikhlas dan beriman kepada-Nya. (Lukas 11:5-10) Ada masanya Yehuwa menjawab doa kita dalam cara yang tidak disangka. Contohnya, setelah kita berdoa, Dia mungkin tidak menghilangkan masalah kita, tetapi Dia akan memberi kita kekuatan untuk bertabah.—Baca Filipi 4:13.
20. Mengapakah kita patut selalu berdoa kepada Yehuwa?
20 Doa memang penghormatan yang sangat istimewa! Yehuwa pasti mendengar doa kita. (Mazmur 145:18) Semakin kerap kita berdoa dengan ikhlas kepada Yehuwa, semakin kukuh persahabatan kita dengan-Nya.