Yesaya
1 Berikut merupakan penglihatan tentang Yehuda dan Yerusalem, yang diberikan kepada Yesaya*+ anak Amoz pada masa pemerintahan Uzia,+ Yotam,+ Ahas,+ dan Hizkia,+ iaitu raja-raja Yehuda:+
2 Dengarlah hai langit, dan berikanlah perhatian hai bumi,+
Kerana demikianlah firman Yehuwa:
3 Lembu kenal akan pemiliknya,
Dan keldai pun tahu akan tempat tuannya meletakkan makanan;
Tetapi orang Israel tidak mengenal Aku.*+
Umat-Ku tidak mempunyai pemahaman.”
4 Malanglah kamu, hai bangsa yang berdosa!+
Kamu umat yang sarat dengan perbuatan yang salah!
Kamu keturunan yang jahat dan anak-anak yang keji!
Kamu telah menolak Yehuwa;+
Kamu tidak menghormati Tuhan Israel Yang Suci;
Kamu telah meninggalkan-Nya.
5 Mengapakah kamu terus memberontak? Bahagian manakah di tubuh kamu yang dapat dipukul lagi?+
Kepala kamu sudah penuh dengan luka,
Dan hati kamu sudah diserang penyakit.+
6 Dari kepala sampai telapak kaki, tiada sebahagian pun tubuh kamu yang sihat.
Tubuh kamu diliputi luka, lebam, dan kudis,
Yang belum diubati, dibalut, ataupun dirawat dengan minyak.+
7 Negeri kamu sudah terbiar,
Dan kota-kota kamu sudah dibakar habis.
Di depan mata kamu sendiri, orang asing memakan hasil tanah kamu.+
Negeri kamu sudah tandus, seolah-olah dimusnahkan oleh orang asing.+
8 Kota Sion dibiarkan seperti pondok di ladang anggur,
Seperti pondok di kebun timun,
Dan seperti kota yang dikepung.+
9 Jika Yehuwa, ketua angkatan syurga, tidak membiarkan beberapa orang antara kita terselamat,
Kita sudah menjadi seperti Sodom,
Dan menjadi seperti Gomora.+
10 Hai para penguasa Sodom,*+ dengarlah firman Yehuwa.
Hai penduduk Gomora,+ perhatikanlah ajaran* Tuhan kita.
11 Yehuwa berfirman, “Apa gunanya kamu mempersembahkan begitu banyak korban bagi-Ku?+
Aku sudah bosan dengan biri-biri jantan yang dipersembahkan sebagai korban bakar+ dan lemak binatang yang digemukkan.+
Aku tidak suka dengan darah+ anak lembu jantan,+ biri-biri, dan kambing.+
12 Mengapakah kamu memijak halaman Rumah-Ku?
Siapakah yang menyuruh kamu berbuat demikian+
Semasa kamu datang menghadap Aku?+
13 Jangan mempersembahkan korban bijirin lagi; semua itu sia-sia saja.
Aku muak dengan kemenyan yang kamu bakar.+
Kamu menyambut perayaan bulan baharu+ serta hari Sabat+ dan mengadakan perhimpunan,+
Tetapi Aku tidak tahan melihat kamu menggunakan ilmu sihir+ semasa kamu menghadiri perhimpunan-perhimpunan suci kamu.
14 Aku benci akan perayaan bulan baharu dan perayaan-perayaan kamu yang lain.
Semua itu sudah menjadi beban bagi-Ku,
Dan Aku lelah memikulnya.
15 Semasa kamu menadahkan tangan untuk berdoa,
Aku menutup mata dan tidak memperhatikan kamu.+
Tidak kira berapa banyak kali kamu berdoa,+
Aku tidak akan mendengarnya,+
Kerana tangan kamu berlumuran darah.+
16 Bersihkanlah diri kamu; sucikanlah diri kamu.+
Hentikanlah segala kejahatan yang kamu lakukan di depan Aku.
Jangan berbuat jahat lagi.+
17 Belajarlah berbuat baik dan lakukanlah apa yang adil.+
Tegurlah orang yang menindas,
Pertahankanlah hak anak yatim,
Dan tegakkanlah keadilan bagi para balu.”+
18 Yehuwa berfirman, “Marilah kita selesaikan perkara ini.+
Walaupun dosa-dosa kamu merah marak,
Semuanya akan menjadi putih seperti salji;+
Biarpun dosa-dosa kamu merah seperti darah,
Semuanya akan menjadi putih seperti bulu biri-biri.
19 Jika kamu sudi mentaati Aku,
Kamu akan menikmati hasil tanah kamu.+
20 Tetapi jika kamu memberontak dan tidak mahu taat,
Kamu akan mati dibunuh pedang.+
Aku, Yehuwa, telah berfirman.”
21 Kota yang dahulunya setia,+ kini menjadi seperti pelacur!+
Dahulu kota itu penuh dengan keadilan,+
Dan kebaikan ada di dalamnya.+
Tetapi sekarang hanya pembunuh yang tinggal di sana.+
22 Hai kota, perakmu sudah menjadi sisa leburan,+
Dan minuman kerasmu sudah dicampurkan dengan air.
23 Para pemimpinmu keras kepala dan bersubahat dengan pencuri.+
Mereka semua suka menerima rasuah dan tamak akan hadiah.+
Mereka tidak menegakkan keadilan bagi anak yatim,
Dan mereka tidak mempedulikan aduan para balu.+
24 Oleh itu, Yehuwa, Tuan yang benar, ketua angkatan syurga,
Tuhan Israel Yang Maha Kuat, berfirman,
“Dengarlah, Aku akan melenyapkan musuh-Ku,
Dan Aku akan mendatangkan pembalasan terhadap lawan-Ku.+
25 Aku akan bertindak melawanmu.
Aku akan menyingkirkan segala kotoranmu,*
Dan Aku akan memurnikanmu dengan sepenuhnya.+
26 Aku akan melantik hakim untukmu seperti dahulukala
Dan memberimu penasihat seperti pada mulanya.+
Selepas itu, barulah engkau akan dikenali sebagai Kota Keadilan, Pekan Kesetiaan.+
27 Aku akan menebus Sion kerana Aku adil.*+
Aku akan menebus penduduknya yang kembali kerana Aku* baik.
28 Orang yang memberontak dan orang yang berdosa akan dihancurkan bersama-sama,+
Dan orang yang meninggalkan Aku, Yehuwa, akan dibinasakan.+
29 Mereka akan berasa malu kerana pokok-pokok besar yang disukai mereka,+
Dan mereka akan berasa aib kerana taman-taman* yang dipilih mereka.+
30 Mereka akan menjadi seperti pokok besar yang layu daunnya,+
Dan seperti taman yang tidak diairi.
31 Orang yang kuat akan menjadi seperti benang,*
Dan perbuatannya akan menjadi seperti percikan api;
Kedua-duanya akan terbakar bersama-sama,
Dan tiada sesiapa pun yang dapat memadamkan api itu.”