PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • km 3/07 ms. 3-4
  • Surat Daripada Badan Pimpinan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Surat Daripada Badan Pimpinan
  • Kerja Teokratik Kita—2007
Kerja Teokratik Kita—2007
km 3/07 ms. 3-4

Surat Daripada Badan Pimpinan

SEPERTI Yesus, kita berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan, “Biarlah nama-Mu disucikan.” Hasrat kita untuk hidup selaras dengan doa itu dapat diperlihatkan dengan jelas dalam kehidupan kita sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Maklumlah, sekadar mengetahui nama Tuhan tidak memadai. Kita harus mengambil setiap kesempatan yang ada untuk mengagungkan nama-Nya. Tanpa diragui, hak istimewa untuk dipanggil sebagai salah seorang daripada Saksi-Saksi Yehuwa merupakan penghormatan yang unggul.​—Mat. 6:​9, NW; Yes. 43:⁠10.

Selaras dengan apa yang tercatat di Mazmur 110:​3, umat Yehuwa dengan rela hati melaksanakan kerja yang telah diperintahkan-Nya. Mengapakah manusia dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur menghabiskan masa dan tenaga mereka dalam kerja penyebaran? Sebab yang terutama ialah kasih mereka kepada Tuhan dan dedikasi peribadi mereka kepada-Nya. Ulangan 6:​5, 6, NW, mengarahkan kita supaya mengasihi Yehuwa dengan ‘sepenuh hati, jiwa, dan tenaga hidup.’ Kasih yang mendalam ini menggerakkan kita supaya menggunakan masa, tenaga, dan sumber kita untuk membantu dalam memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan, termasuklah penyertaan kita dalam aktiviti penyebaran dengan sepenuhnya mengikut situasi kita.

Arahan Yehuwa untuk mengkhabarkan berita baik tentang Kerajaan-Nya di seluruh bumi adalah berasaskan kasih-Nya terhadap umat manusia. Dia tidak ingin sesiapapun dibinasakan tetapi ingin semua orang bertaubat daripada cara hidup yang salah dan kembali kepada Yehuwa dengan harapan kehidupan abadi. (2 Ptr. 3:⁠9) Yehuwa berkata, “Aku tidak suka melihat orang berdosa mati. Aku lebih suka melihat mereka bertaubat dan hidup.” (Yeh. 33:11) Semasa kita melibatkan diri dalam aktiviti penyebaran, kita sedang memberikan bukti yang nyata akan kasih Yehuwa terhadap umat manusia. Hal ini menyumbang kepada kegembiraan dan kepuasan hati apabila kita menyertai kerja yang penting ini.

Kasih kita yang mendalam untuk Yehuwa dicerminkan melalui pandangan kita terhadap Firman yang diilhamkan-Nya, yakni Kitab Suci. Tanpa Bible, kita tidak mungkin mengenali Tuhan dan menghampiri-Nya, seperti yang digalakkan di Yakobus 4:⁠8. Malahan, kita tidak akan tahu mengapa kita wujud dan apa masa depan kita. Kita tidak akan tahu yang nenek moyang kita, Adam, merupakan punca masalah-masalah kita. (Rm. 5:12) Kita juga tidak akan mengenal betapa besarnya kasih Tuhan kerana memberikan satu-satunya Anak Lelaki yang diperanakkan-Nya sebagai tebusan bagi kita. Dengan pelbagai cara yang lain, Yehuwa memberikan kita sebahagian daripada pengetahuan-Nya, hikmat-Nya, dan pengertian-Nya. Kita benar-benar menghargai kurniaan-Nya, yakni Firman yang diilhamkan daya aktif-Nya! Rasa terima kasih kita akan kurniaan yang mengagumkan ini menggerakkan kita untuk ‘membeli waktu’ bagi membaca, menelaah, dan merenungi kata-kata-Nya. (Ef. 5:​15, 16; Mzm. 1:​1-3) Kita tidak patut berasa berat hati untuk meluangkan masa bagi membaca Firman Tuhan setiap hari. Sebaliknya, kasih kita untuk Yehuwa akan ‘menarik’ kita kepada Firman-Nya dan dengan itu membolehkan kita untuk menambahkan pengertian kita tentang-Nya serta mendalamkan lagi kasih kita terhadap-Nya.

Kita telah belajar daripada Bible bahawa apabila Adam melakukan dosa terhadap Yehuwa, dia telah menjerumuskan keturunannya, termasuklah setiap satu daripada kita, ke dalam keadaan yang teruk, menyedihkan, dan tanpa harapan. Namun, Tuhan berupaya dan sudah menyediakan jalan keluar untuk umat manusia, dengan mengambil langkah-langkah bagi memastikan bahawa tujuan-Nya untuk bumi ini akan menjadi kenyataan.​—Kej. 3:⁠15.

Sudah pasti, setiap seorang daripada kita mempunyai keinginan yang kuat agar dapat digunakan oleh Yehuwa untuk menyucikan nama-Nya yang agung. Seraya bertambahnya pengetahuan kita tentang betapa agungnya Tuhan Yehuwa, kita digerakkan supaya bekerjasama dengan-Nya serta organisasi-Nya untuk menyerantakan nama dan tujuan-Nya yang agung. Kita diberi jaminan akan perkenan dan berkat-Nya sekarang dan untuk selama-lamanya di dalam dunia baru.

Kami, sebagai anggota Badan Pimpinan ingin memberi kepastian akan kasih kami terhadap saudara saudari sekalian. Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha gigih anda dalam menggunakan masa yang tinggal sebelum “kesengsaraan besar” untuk mencapai seberapa banyak orang yang mungkin dengan berita baik. (Pny. 7:​14, NW) Dengan berbuat demikian, anda memberi mereka peluang yang sama seperti peluang yang telah anda terima, iaitu peluang untuk memperoleh pengetahuan tentang Tuhan dan Kristus yang membawa kehidupan abadi.​—Yoh. 17:⁠3.

Saudara-saudaramu,

Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi