Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
6-12 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | LUKAS 17-18
“Tunjukkan Penghargaan”
(Lukas 17:11-14) Semasa dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus lalu di Samaria dan Galilea. 12 Apabila dia masuk ke dalam sebuah pekan, 10 orang pesakit kusta melihatnya dari jauh. Mereka berdiri 13 dan berseru dengan suara yang lantang, “Yesus, Guru, kasihanilah kami!” 14 Apabila dia nampak mereka, dia berkata, “Pergilah berjumpa dengan para imam.” Ketika mereka berjalan ke sana, mereka sembuh.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 17:12, 14
10 orang pesakit kusta: Pada zaman Bible, pesakit kusta biasanya berkumpul atau tinggal bersama-sama supaya mereka dapat saling membantu. (2Ra 7:3-5) Hukum Tuhan menghendaki pesakit kusta diasingkan daripada orang lain. Pesakit kusta juga perlu berseru, “Najis! Najis!” untuk memberikan amaran kepada orang di sekeliling mereka. (Im 13:45, 46) Selaras dengan apa yang dinyatakan dalam Hukum Tuhan, para pesakit kusta itu berdiri jauh dari Yesus.—Lihat Kamus bagi Istilah Bible, “Kusta.”
berjumpa dengan para imam: Semasa di bumi, Yesus Kristus masih tertakluk kepada Hukum Musa. Aturan keimaman (daripada keturunan Harun) masih berkuat kuasa, jadi Yesus mengarahkan pesakit kusta yang disembuhkannya supaya berjumpa dengan imam. (Mt 8:4; Mr 1:44) Selaras dengan Hukum Musa, imam perlu mengesahkan bahawa seorang pesakit kusta sudah sembuh. Kemudian, pesakit yang sudah sembuh itu perlu pergi ke Rumah Tuhan dan membawa persembahan yang telah ditetapkan.—Im 14:2-32.
(Lukas 17:15, 16) Sebaik sahaja seorang daripada mereka sedar bahawa dia sudah sembuh, dia berpatah balik dan memuliakan Tuhan dengan suara yang lantang. 16 Lelaki itu bersujud di depan kaki Yesus dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Dia orang Samaria.
(Lukas 17:17, 18) Yesus berkata, “Ada 10 orang yang disembuhkan, bukan? Di manakah sembilan orang yang lain? 18 Tidak adakah orang lain yang kembali untuk memuliakan Tuhan selain lelaki bangsa asing ini?”
w08 1/8 14-15 per. 8-9
Mengapakah Kita Patut Menunjukkan Penghargaan?
Apakah reaksi Yesus terhadap pesakit kusta lain yang tidak menunjukkan penghargaan? Catatan itu menyambung, “Yesus berkata, ‘Ada 10 orang yang disembuhkan, bukan? Di manakah sembilan orang yang lain? Tidak adakah orang lain yang kembali untuk memuliakan Tuhan selain lelaki bangsa asing ini?’”—Lukas 17:17, 18.
Sembilan pesakit kusta itu bukannya orang jahat. Mereka telah menunjukkan bahawa mereka beriman terhadap Yesus dan bersedia mentaati arahannya untuk pergi ke Yerusalem dan berjumpa dengan para imam. Namun, meskipun mereka amat menghargai perbuatan Yesus yang baik hati, mereka tidak meluahkan penghargaan mereka kepadanya. Sikap mereka mengecewakan Kristus. Bagaimana pula dengan kita? Apabila seseorang berbuat baik kepada kita, adakah kita segera mengucapkan terima kasih dan jika sesuai, menulis mesej untuk mengungkapkan penghargaan kita?
Mencari Permata Rohani
(Lukas 17:7-10) “Katakan kamu mempunyai seorang hamba yang sedang membajak atau menjaga ternakan. Setelah hamba itu pulang dari ladang, siapakah antara kamu yang akan berkata kepadanya, ‘Cepatlah datang dan makanlah di meja’? 8 Sebaliknya kamu akan berkata kepadanya, ‘Sediakanlah makan malam aku dan pakailah apron lalu layanilah aku sehingga aku habis makan dan minum. Selepas itu, barulah kamu boleh makan dan minum.’ 9 Memandangkan apa yang dilakukan oleh hamba itu merupakan kewajipannya, tuannya tidak akan mengucapkan terima kasih kepadanya. 10 Dalam cara yang sama, selepas kamu melakukan segala yang ditugaskan kepada kamu, katakanlah, ‘Kami hamba yang tidak layak dipuji. Apa yang kami lakukan hanyalah kewajipan kami.’”
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 17:10
tidak layak dipuji: Harfiah, “tidak berguna.” Dalam perumpamaan ini, Yesus tidak bermaksud bahawa hamba, iaitu murid-muridnya, harus menganggap diri mereka tidak berguna. Menurut konteks, “tidak layak dipuji” membawa maksud bahawa seorang hamba tidak akan bermegah diri dan berfikir bahawa dia patut dipuji atau diagungkan. Sesetengah cendekiawan menganggap bahawa istilah yang digunakan di ayat ini bermaksud “kami hanyalah hamba yang tidak layak menerima layanan istimewa.”
(Lukas 18:8) Aku berkata kepada kamu: Dia akan menegakkan keadilan bagi mereka dengan segera. Namun, semasa Anak Manusia tiba, dapatkah dia menemui iman sejati di bumi?”
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 18:8
iman sejati: Atau “iman seperti ini.” Dalam bahasa Yunani, istilah ini menunjukkan bahawa Yesus tidak merujuk kepada iman secara umum, tetapi dia memaksudkan iman tertentu, seperti iman balu dalam perumpamaan Yesus. (Lu 18:1-8) Iman sedemikian merangkumi iman terhadap kuasa doa serta iman bahawa Tuhan akan membawa keadilan bagi umat pilihan-Nya. Nampaknya Yesus tidak menjawab soalan tentang iman supaya murid-muridnya dapat berfikir tentang mutu iman masing-masing. Perumpamaan tentang doa dan iman amat wajar kerana Yesus baru sahaja menyebut tentang ujian yang bakal dihadapi murid-muridnya.—Lu 17:22-37.
13-19 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | LUKAS 19-20
Mencari Permata Rohani
(Lukas 19:43) Masanya akan tiba apabila musuh kamu menancapkan kayu-kayu yang tajam di sekelilingmu. Mereka akan mengepung kamu dan mengasak kamu dari semua arah
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 19:43
menancapkan kayu-kayu yang tajam: Atau “membina pagar kubu.” Dalam Kitab Yunani Kristian, kata Yunani khaʹrax hanya muncul di ayat ini. Kata itu bererti “tiang atau kayu tajam yang digunakan untuk memagari suatu kawasan” dan juga “pemasangan yang dibuat oleh tentera dengan menggunakan tiang; pagar kubu.” Kata-kata Yesus menjadi kenyataan pada tahun 70 M apabila tentera Roma di bawah pimpinan Titus, mendirikan tembok, atau pagar kubu, untuk mengepung Yerusalem. Titus mempunyai tiga matlamat: Menghalang orang Yahudi daripada melarikan diri, membuat mereka mengaku kalah, dan menyebabkan penduduk kelaparan supaya mereka menyerah. Askar Roma menebang pokok-pokok di kawasan luar bandar bagi mendapatkan bahan untuk mendirikan pagar kubu ini di sekeliling Yerusalem.
(Lukas 20:38) Dia ialah Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati, kerana mereka semua masih hidup dalam pandangan-Nya.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 20:38
kerana mereka semua masih hidup dalam pandangan-Nya: Bible menunjukkan bahawa mereka yang hidup tetapi terasing daripada Tuhan sebenarnya mati dalam pandangan-Nya. (Ef 2:1; 1Ti 5:6) Begitu juga, walaupun hamba Tuhan yang setia sudah mati, mereka masih hidup dalam pandangan Yehuwa. Hal ini kerana tujuan Yehuwa untuk membangkitkan mereka pasti menjadi kenyataan.—Rm 4:16, 17.
20-26 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | LUKAS 21-22
Mencari Permata Rohani
(Lukas 21:33) Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kataku tidak akan lenyap sama sekali.
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 21:33
Langit dan bumi akan lenyap: Ayat Bible lain menunjukkan bahawa langit dan bumi akan kekal selama-lamanya. (Kej 9:16; Mz 104:5; Pkh 1:4) Maka kata-kata Yesus nampaknya mempunyai maksud kiasan iaitu, biarpun perkara yang mustahil berlaku dan langit serta bumi benar-benar lenyap, kata-kata Yesus akan tetap terlaksana. (Bandingkan Mt 5:18.) Walau bagaimanapun, langit dan bumi di ayat ini juga boleh merujuk kepada langit dan bumi simbolik yang disebut sebagai “langit lama dan bumi lama” di Why 21:1.
kata-kataku tidak akan lenyap sama sekali: Atau “kata-kataku pasti tidak akan lenyap.” Dalam bahasa Yunani, ayat ini menggunakan dua kata nafi diikuti dengan kata kerja. Hal ini menunjukkan bahawa apa yang dinyatakan mustahil berlaku dan menekankan bahawa kata-kata Yesus kekal buat selama-lamanya.
27 OGOS–2 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | LUKAS 23-24
“Ampunilah Orang Lain”
(Lukas 23:34) Tetapi Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka.” Mereka juga membahagi-bahagikan jubah luarnya dengan membuang undi.
cl 297 per. 16
“Mengenal Kasih Kristus”
16 Yesus mencerminkan kasih Bapanya dengan sempurna dalam cara lain—dia “suka mengampuni.” (Mazmur 86:5) Sikap ini jelas kelihatan bahkan sewaktu dia berada pada tiang seksaan. Tangan dan kakinya ditusuk paku dan dia bakal mengalami kematian yang memalukan. Namun, apakah yang dikatakan oleh Yesus? Adakah dia berseru kepada Yehuwa untuk menghukum para pembunuhnya? Tidak. Sebaliknya, Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka.”—Lukas 23:34.
(Lukas 23:43) Maka Yesus berkata kepada lelaki itu, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini: Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.”
g 2/08 11 per. 5-6
Adakah Tuhan Mengampunkan Dosa yang Serius?
Yehuwa tidak hanya memperhatikan dosa yang telah dilakukan tetapi juga sikap pendosa. (Yesaya 1:16-19) Fikirkan dua orang penjahat yang digantungkan di sebelah Yesus. Kedua-duanya telah melakukan jenayah yang berat. Kita tahu hal ini kerana salah seorang daripada mereka mengaku, “Hukuman yang kita terima adil dan setimpal dengan semua perbuatan kita, tetapi lelaki ini [Yesus] tidak membuat apa-apa yang salah.” Kata-kata penjahat itu menunjukkan bahawa dia tahu sesuatu mengenai Yesus. Pengetahuan itu mungkin menyebabkannya mengubah sikapnya. Hal ini ditunjukkan daripada kata-katanya yang seterusnya. Dia merayu Yesus, “Ingatlah aku apabila kamu masuk dalam Kerajaanmu.” Apakah reaksi Kristus terhadap permohonannya yang ikhlas itu? Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini: Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.”—Lukas 23:41-43.
Fikirkanlah: Sebelum Yesus meninggal, dia mengucapkan kata-kata yang penuh belas kasihan terhadap seorang lelaki yang mengaku dirinya layak untuk dihukum mati. Hal ini sungguh menggalakkan! Kita dapat yakin bahawa Yesus Kristus dan Bapanya, Yehuwa, akan berbelas kasihan terhadap semua orang yang benar-benar bertaubat, tidak kira apa perbuatan mereka pada masa lampau.—Roma 4:7.
(Lukas 24:34) Mereka yang berkumpul di sana berkata, “Tuan Yesus benar-benar sudah dibangkitkan dan dia telah menampakkan diri kepada Simon!”
cl 297-298 per. 17-18
“Mengenal Kasih Kristus”
17 Barangkali, sikap suka mengampuni yang ditunjukkan oleh Yesus lebih menonjol dalam cara dia berurusan dengan Rasul Petrus. Petrus sememangnya sangat mengasihi Yesus. Pada 14 Nisan, iaitu malam terakhir kehidupan Yesus, Petrus berkata kepadanya, “Tuan, aku bersedia untuk dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuan.” Tetapi, hanya beberapa jam kemudian, Petrus berkata sebanyak tiga kali bahawa dia tidak mengenal Yesus! Bible memberitahu kita apa yang terjadi setelah Petrus berkata demikian buat kali ketiga: “Tuan Yesus berpaling dan memandang Petrus.” Petrus berasa hancur hati akibat dosanya yang serius. Dia “keluar dan menangis tersedu-sedu.” Semasa Yesus meninggal pada hari itu, Petrus mungkin tertanya-tanya sama ada Tuannya akan mengampuninya.—Lukas 22:33, 61, 62.
18 Petrus tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh jawapannya. Yesus dibangkitkan pada pagi 16 Nisan, dan nampaknya pada hari yang sama, dia mengunjungi Petrus secara peribadi. (Lukas 24:34; 1 Korintus 15:4-8) Mengapakah Yesus memberikan perhatian khusus kepada rasul yang telah menyangkalnya? Yesus mungkin ingin meyakinkan Petrus yang telah bertaubat bahawa dia masih dikasihi dan dihargai oleh Tuannya. Namun, Yesus melakukan lebih banyak lagi untuk meyakinkan Petrus.
Mencari Permata Rohani
(Lukas 23:31) Jika mereka berbuat demikian semasa pokok masih hijau, apakah yang akan berlaku apabila pokok itu layu?”
nwtsty nota pembelajaran untuk Lu 23:31
semasa pokok masih hijau, . . . apabila pokok itu layu: Nampaknya Yesus sedang merujuk kepada bangsa Yahudi. Bangsa itu dikatakan masih hijau kerana Yesus dan sebilangan kecil orang Yahudi yang beriman kepadanya masih berada dalam kalangan mereka. Namun begitu, Yesus bakal dihukum mati, dan orang Yahudi yang setia akan diurapi dengan kuasa suci Tuhan lalu menjadi sebahagian daripada Israel rohani. (Rm 2:28, 29; Ga 6:16) Pada masa itu, bangsa Israel jasmani akan mati secara rohani, dan mereka ibarat pokok yang sudah layu.—Mt 21:43.
(Lukas 23:33) Apabila mereka sampai di tempat yang dipanggil Tengkorak, mereka memakukannya pada tiang bersama-sama dua orang penjenayah itu, seorang di sebelah kanannya dan seorang lagi di sebelah kirinya.
nwtsty media
Paku pada Tulang Tumit
Gambar ini menunjukkan replika tulang tumit manusia yang ditembusi paku besi yang panjangnya 11.5 cm. Artifak yang asal telah ditemui pada tahun 1968 di sebelah utara Yerusalem. Artifak ini wujud sejak zaman Roma. Penemuan ini membuktikan bahawa seseorang yang dihukum mati akan dipakukan pada tiang kayu. Askar Roma mungkin menggunakan paku sebegini untuk menggantungkan Yesus pada tiang. Artifak ini ditemui di dalam sebuah kotak batu yang digunakan untuk menyimpan tulang mayat selepas tubuhnya reput. Maka, seseorang yang dihukum bunuh pada tiang mungkin dikebumikan.