Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
7-13 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YAKOBUS 3-5
“Menunjukkan Kebijaksanaan daripada Tuhan”
(Yakobus 3:17) Tetapi, kebijaksanaan yang datang dari syurga pertama-tamanya murni, lalu suka akan kedamaian, munasabah, sedia mematuhi, penuh belas kasihan dan perbuatan yang baik, tidak berat sebelah, dan tidak bermuka dua.
Adakah Anda Mempunyai ‘Kebijaksanaan dari Syurga’?
9 “Murni.” Kemurnian bererti suci dan tidak bercela dari segi fizikal dan batin. Bible mengaitkan kebijaksanaan dengan hati kita. Jika hati kita dipenuhi keinginan yang jahat dan najis, kita tidak dapat memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan. (Amsal 2:10; Matius 15:19, 20) Tetapi, jika kita berusaha memelihara hati yang murni, kita dapat ‘berpaling daripada apa yang jahat dan buat apa yang baik.’ (Mazmur 37:27; Amsal 3:7) Itulah sebabnya sifat pertama yang disenaraikan di Yakobus 3:17 ialah kemurnian, kerana jika kita tidak bersih dari segi moral dan rohani, kita tidak dapat mencerminkan sifat-sifat lain dalam ayat itu.
10 “Suka akan kedamaian.” Kebijaksanaan daripada Tuhan menggerakkan kita untuk berusaha memupuk kedamaian, yang merupakan salah satu aspek buah kuasa suci Tuhan. (Galatia 5:22) Kita tidak akan merosakkan perpaduan yang menyatukan umat Yehuwa. (Efesus 4:3) Jika timbulnya situasi yang mengganggu kedamaian sidang, kita juga akan berusaha memulihkan keadaan. Mengapakah hal ini sangat penting? Bible menyatakan, ‘Teruslah hidup dengan damai. Dengan demikian, Tuhan yang penuh dengan kasih dan kedamaian akan menyertai kamu semua.’ (2 Korintus 13:11) Apabila kita berusaha hidup dengan damai, Tuhan kedamaian akan menyertai kita. Cara kita melayan rakan seiman akan mempengaruhi hubungan kita dengan Yehuwa. Maka, bagaimanakah kita dapat memupuk kedamaian?
Adakah Anda Mempunyai ‘Kebijaksanaan dari Syurga’?
12 “Munasabah.” Apakah erti munasabah? Menurut para cendekiawan, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “munasabah” di Yakobus 3:17 sebenarnya amat susah untuk diterjemahkan. Ada orang yang menterjemahkan perkataan ini sebagai “lemah lembut,” “sabar,” dan “bertimbang rasa.” Tetapi erti harfiah perkataan ini ialah “mengalah.” Bagaimanakah kita dapat menunjukkan sifat ini?
Adakah Anda Mempunyai ‘Kebijaksanaan dari Syurga’?
14 “Sedia mematuhi.” Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “sedia mematuhi” hanya muncul sekali dalam Kitab Yunani Kristian. Menurut seorang cendekiawan, perkataan ini “biasanya digunakan dalam konteks ketenteraan,” dan membawa erti “mudah dibimbing” dan “bersedia untuk tunduk.” Seseorang yang memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan selalu bersedia untuk tunduk kepada ajaran Bible. Dia tidak akan berkeras dengan pendirian sendiri. Dia sudi membuat perubahan jika dia mendapati bahawa keputusannya atau pendiriannya tidak selaras dengan prinsip-prinsip Bible. Adakah anda mempunyai reputasi sedemikian?
“Penuh Belas Kasihan dan Perbuatan yang Baik”
15 “Penuh belas kasihan dan perbuatan yang baik.” Sifat belas kasihan amat penting kerana Bible menyatakan bahawa kebijaksanaan Tuhan “penuh belas kasihan.” Perhatikan bahawa “belas kasihan” dan “perbuatan yang baik” disebutkan bersama. Bible selalu menyatakan bahawa orang yang berbelas kasihan prihatin terhadap orang lain dan rela menghulurkan bantuan. Sebuah buku rujukan Bible menyatakan bahawa belas kasihan bererti “bersedih atas kesusahan orang lain dan berusaha untuk membantunya.” Maka orang yang memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan tidak bersikap dingin. Sebaliknya, dia bersikap ramah dan peka terhadap perasaan dan keperluan orang lain. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan sifat ini?
Adakah Anda Mempunyai ‘Kebijaksanaan dari Syurga’?
18 “Tidak berat sebelah.” Kebijaksanaan daripada Tuhan dapat mengatasi rasa prasangka dan semangat kebangsaan. Jika kita dibimbing oleh kebijaksanaan Tuhan, kita akan berusaha untuk menyingkirkan rasa prasangka atau sikap berat sebelah dari hati kita. (Yakobus 2:9) Kita tidak akan memberikan layanan istimewa kepada orang kerana mereka berpendidikan tinggi, kaya, atau memikul tanggungjawab dalam sidang. Kita juga tidak akan memandang rendah rakan seiman yang miskin atau berpendidikan rendah. Jika Yehuwa mengasihi mereka, kita juga patut mengasihi mereka.
19 “Tidak bermuka dua.” Perkataan Yunani untuk “bermuka dua” boleh merujuk kepada “seorang pelakon yang memainkan suatu watak.” Pada zaman kuno, pelakon Yunani dan Roma memakai topeng yang besar semasa membuat persembahan. Maka perkataan Yunani untuk “bermuka dua” digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang suka berpura-pura. Sudah pasti kita tidak mahu memiliki sikap bermuka dua. Kita mahu kebijaksanaan daripada Tuhan mempengaruhi cara kita memandang dan melayan rakan seiman.
Mencari Permata Rohani
(Yakobus 4:5) Ayat suci menyatakan, “Kecenderungan yang terpendam dalam diri kita berkobar-kobar dengan keinginan dan rasa iri hati.” Adakah kamu berfikir bahawa kata-kata ini sia-sia sahaja?
w08 15/11 20 per. 6
Sorotan daripada Surat Yakobus dan Surat Petrus
4:5—Dalam ayat ini, Yakobus sedang mengutip ayat mana? Sebenarnya, Yakobus tidak mengutip mana-mana ayat yang spesifik. Namun, kata-kata dalam ayat ini mungkin didasarkan pada idea yang tersirat dalam ayat-ayat seperti Kejadian 6:5; 8:21; Amsal 21:10; dan Galatia 5:17.
(Yakobus 4:11, 12) Saudara-saudara, jangan lagi mencela satu sama lain kerana sesiapa yang mencela atau menghakimi saudaranya sebenarnya mencela dan menghakimi hukum. Jika kamu menghakimi hukum, kamu bukanlah orang yang mematuhi hukum. Sebaliknya kamu sudah menjadi hakim. 12 Hanya ada satu Pemberi Hukum dan Hakim, dan Dia sahaja yang dapat menyelamatkan dan membinasakan orang. Jadi, siapakah kamu sehingga kamu mahu menghakimi orang lain?
w97 15/11 20-21 per. 8
Iman Membuat Kita Sabar dan Mendorong Kita untuk Berdoa
8 Mencela rakan seiman ialah dosa. (Yakobus 4:11, 12) Namun, ada sesetengah orang mengkritik rakan seiman, barangkali kerana mereka sombong atau kerana mereka ingin meninggikan diri mereka dengan merendahkan orang lain. (Mazmur 50:20; Amsal 3:29) Istilah Yunani yang diterjemahkan “mencela satu sama lain” dapat membawa maksud bahawa permusuhan wujud antara dua pihak dan mereka membuat tuduhan palsu atau membesar-besarkan apa yang telah berlaku. Hal ini disamakan dengan menghakimi seorang saudara. Tetapi bagaimanakah hal ini sama dengan ‘mencela dan menghakimi hukum Tuhan’? Jurutulis hukum dan orang Farisi suka menghakimi orang menurut piawaian sendiri. Dengan berbuat demikian, mereka sebenarnya “mencari jalan untuk menolak hukum Tuhan.” (Markus 7:1-13) Begitu juga, jika kita mengutuk seorang saudara yang diterima oleh Yehuwa, sebenarnya kita sedang ‘menghakimi hukum Tuhan’ dan secara tidak langsung kita sedang menyatakan bahawa terdapat kekurangan pada hukum Tuhan. Lagipun, jika kita mengkritik saudara kita secara tidak adil, hal itu bererti bahawa kita tidak mematuhi hukum kasih.—Roma 13:8-10.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
w10 1/9 23-24
Kepada Siapakah Seharusnya Dosa Diakui?
Tuhan tidak memberi manusia hak atau kuasa untuk mengampunkan dosa yang dilakukan terhadap-Nya; Dia sahaja yang dapat melakukan hal itu. Bible memberitahu kita dengan jelas, “Jika kita mengakui dosa kita, Tuhan akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala yang jahat, kerana Dia setia dan adil.” (1 Yohanes 1:9) Namun, kepada siapakah dosa-dosa demikian seharusnya diakui?
Memandangkan hanya Tuhan yang dapat mengampunkan dosa, pengakuan dosa harus dibuat kepada-Nya. Itulah yang dilakukan oleh Daud, seperti yang disebutkan tadi. Namun, apakah dasarnya agar dosa kita dapat diampunkan? Bible memberitahu kita, “Bertaubatlah, dan berpalinglah kepada Tuhan supaya dosa kamu dihapuskan. Dengan itu, Yehuwa sendiri akan menyegarkan kamu.” (Kisah 3:19) Ya, agar dosa seseorang diampunkan, dia bukan sahaja harus menyedari dan mengakui dosanya, tetapi dia juga mesti berhenti melakukan apa yang salah. Langkah yang terakhir ini sering kali susah dilakukan. Tetapi Tuhan telah menyediakan bantuan untuk kita.
Ingatlah kata-kata Yakobus yang disebutkan tadi, “Hendaklah kamu saling mengakui kesalahan dan berdoa untuk satu sama lain agar kamu disembuhkan.” Yakobus berkata lagi, “Doa yang sungguh-sungguh daripada orang yang melakukan apa yang benar sangat berkesan.” (Yakobus 5:16) “Orang yang melakukan apa yang benar” barangkali merujuk kepada “penatua sidang” yang disebutkan di ayat 14. Dalam sidang Kristian, ada para penatua yang ditugaskan untuk membantu mereka yang ingin memperoleh pengampunan Tuhan. “Para penatua” tidak dapat menghapuskan dosa sesiapa pun, kerana tidak ada seorang pun yang diberi hak dan kuasa untuk mengampunkan kesalahan manusia yang dilakukan terhadap Tuhan. Namun, mereka memenuhi syarat secara rohani untuk menegur dan membantu seseorang yang melakukan dosa serius. Mereka dapat membantunya menyedari betapa serius dosanya dan pentingnya untuk bertaubat.—Galatia 6:1.
Mengapakah Kita Mengakui Dosa?
Tidak kira sama ada dosa seseorang serius atau tidak, orang yang berdosa itu telah merosakkan hubungannya dengan Tuhan dan orang lain. Akibatnya, perasaan bersalah menyebabkan hati nuraninya terganggu. Hati nurani ialah kurniaan daripada Pencipta kita. (Roma 2:14, 15) Jadi, apakah yang dapat dilakukan jika hati nurani seseorang terganggu?
Jawapannya terdapat di buku Yakobus, yang menyatakan, “Adakah sesiapa antara kamu yang sakit [secara rohani]? Hendaklah dia memanggil para penatua sidang supaya mereka berdoa untuknya dan menyapu minyak padanya atas nama Yehuwa. Doa yang diucapkan dengan iman akan menyembuhkan orang sakit itu, dan Yehuwa akan menjadikannya sihat semula. Jika dia telah berbuat dosa, dia akan diampuni.”—Yakobus 5:14, 15.
Dalam ayat ini, para penatua diarahkan untuk menjaga keperluan kawanan Tuhan. Mereka bukan sahaja perlu mendengar pengakuan dosa seseorang, tetapi mereka juga perlu berusaha untuk “menyembuhkan orang sakit itu.” Yakobus menyebutkan dua hal yang dapat dilakukan oleh para penatua.
Pertama, ayat itu ada menyebut tentang “menyapu minyak padanya.” Hal ini membawa maksud menggunakan kuasa Firman Tuhan untuk menyembuhkannya. Rasul Paulus menjelaskan bahawa “Firman Tuhan itu hidup, berkuasa . . . dan dapat menilai fikiran dan niat hati seseorang.” (Ibrani 4:12) Dengan menggunakan Bible secara mahir, para penatua dapat membantu orang yang sakit secara rohani untuk melihat masalahnya dari akar umbinya lalu mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk membaiki hubungannya dengan Tuhan.
Kedua, ayat itu ada menyebut tentang “doa yang diucapkan dengan iman.” Biarpun doa para penatua tidak dapat mengubah penghakiman Tuhan, doa-doa ini dianggap penting oleh Tuhan, yang ingin sekali mengampunkan dosa atas dasar korban tebusan Kristus. (1 Yohanes 2:2) Tuhan rela membantu para pendosa yang bertaubat dengan tulus dan yang “menunjukkan melalui perbuatan bahawa mereka sudah bertaubat.”—Kisah 26:20.
Alasan utama bagi kita untuk mengakui dosa yang dilakukan terhadap orang lain atau terhadap Tuhan adalah supaya kita mendapat perkenan Tuhan. Yesus Kristus menunjukkan bahawa kita harus menyelesaikan masalah dengan orang lain dan berdamai dengan mereka sebelum kita dapat beribadat kepada Tuhan dengan hati nurani yang baik. (Matius 5:23, 24) Amsal 28:13 menyatakan, “Sesiapa yang menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya, tetapi sesiapa yang mengakui dan meninggalkan dosanya akan mendapat belas kasihan.” Jika kita merendahkan diri di hadapan Tuhan Yehuwa dan memohon ampun, kita akan diperkenankan-Nya dan ditinggikan pada waktunya.—1 Petrus 5:6.
14-20 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 1 PETRUS 1-2
Mencari Permata Rohani
(1 Petrus 1:10-12) Penyelamatan ini telah diteliti dengan tekun dan diselidiki dengan cermat oleh para nabi yang bernubuat tentang kebaikan hati Tuhan yang dikurniakan kepada kamu. 11 Awal-awal lagi, Tuhan telah menggunakan kuasa suci-Nya untuk memberitahu mereka bahawa Kristus akan menderita dan kemudiannya dimuliakan. Itulah sebabnya mereka sentiasa membuat penyelidikan untuk mengetahui apa yang akan berlaku kepada Kristus dan bila hal-hal tersebut akan berlaku. 12 Tuhan menyingkapkan kepada para nabi bahawa mereka tidak berkhidmat kepada diri sendiri, tetapi kepada kamu. Para nabi itu menulis tentang perkara-perkara yang disampaikan kepada kamu, iaitu perkara-perkara yang kamu dengar sekarang daripada orang yang menyebarkan berita baik kepada kamu. Mereka telah menyebarkannya kepada kamu dengan bantuan kuasa suci Tuhan yang dikirim dari syurga. Malaikat-malaikat pun ingin sekali memahami perkara-perkara itu.
w08 15/11 21 per. 10
Sorotan daripada Surat Yakobus dan Surat Petrus
1:10-12. Para malaikat ingin sekali meneliti dan memahami kebenaran rohani yang dalam, yang ditulis oleh para nabi Tuhan dahulukala, sehubungan dengan sidang Kristian yang terurap. Namun, hal-hal tersebut hanya menjadi jelas setelah Yehuwa mula berurusan dengan sidang Kristian yang terurap. (Ef. 3:10) Tidakkah kita seharusnya meniru teladan para malaikat dan berusaha untuk menyelidiki “kebijaksanaan Tuhan yang dalam”?—1 Kor. 2:10.
(1 Petrus 2:25) Dahulu kamu seperti biri-biri yang sesat, tetapi sekarang kamu telah kembali kepada gembala dan penyelia jiwa kamu.
it-2 393 per. 1
Penyelia
Penyelia Tertinggi. Satu Petrus 2:25 menyatakan, “Dahulu kamu seperti biri-biri yang sesat.” Nampaknya Petrus memetik kata-kata di Yesaya 53:6. Petrus kemudiannya menyatakan, “Tetapi sekarang kamu telah kembali kepada gembala dan penyelia jiwa kamu.” Gembala yang dimaksudkan pastilah merujuk kepada Tuhan Yehuwa, kerana orang yang menerima surat Petrus tidak menyimpang daripada Kristus Yesus. Sebaliknya, mereka telah kembali kepada Tuhan Yehuwa, gembala umat-Nya melalui Kristus Yesus. (Mz 23:1; 80:1; Yer 23:3; Yeh 34:12) Yehuwa juga dipanggil penyelia jiwa kita kerana Dia memeriksa hati kita. (Mz 17:3) Pemeriksaan (Yn., e·pi·sko·peʹ) itu dapat dikaitkan dengan penghakiman Tuhan. Contohnya, penduduk Yerusalem pada abad pertama Masihi telah diperiksa [Yn., e·pi·sko·pesʹ] atau dihakimi oleh Tuhan lalu dihukum oleh-Nya. (Lu 19:44) Kadangkala pemeriksaan Tuhan juga dapat membawa hasil yang baik. Contohnya, Bible menyebut tentang orang yang “memuliakan Tuhan pada hari Dia membuat pemeriksaan [Yn., e·pi·sko·pesʹ].”—1Pt 2:12.
21-27 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 1 PETRUS 3-5
“Akhir Segala Sesuatu Sudah Dekat”
(1 Petrus 4:8) Namun yang terpenting, kasihilah satu sama lain dengan mendalam, kerana kasih dapat menutup banyak dosa.
w99 15/4 22 per. 3
Cara Mengenal Pasti dan Mengatasi Kelemahan Rohani
Akhirnya, ingatlah kata-kata galakan Rasul Petrus ini: “Akhir segala sesuatu sudah dekat. Oleh itu, hendaklah kamu berfikiran sihat dan sentiasa bersedia untuk berdoa. Namun yang terpenting, kasihilah satu sama lain dengan mendalam, kerana kasih dapat menutup banyak dosa.” (1 Petrus 4:7, 8) Memang mudah untuk membiarkan ketidaksempurnaan diri dan orang lain untuk mempengaruhi hati dan fikiran sehingga menjadi rintangan atau batu sandungan. Syaitan kenal benar kelemahan manusia ini. Dia suka menimbulkan perpecahan agar dapat menguasai umat Tuhan. Oleh itu, kita harus mempunyai kasih yang ikhlas dan bertindak dengan cepat untuk menutupi dosa orang lain. Dengan demikian, kita tidak ‘memberikan peluang kepada Iblis’ untuk memecahbelahkan perpaduan kita.—Efesus 4:25-27.
Mencari Permata Rohani
(1 Petrus 4:6) Sebenarnya, itulah sebabnya berita baik diisytiharkan juga kepada orang mati. Dengan demikian, walaupun mereka dihakimi secara jasmani mengikut pandangan manusia, mereka dapat hidup secara rohani menurut pandangan Tuhan.
w08 15/11 21 per. 8
Sorotan daripada Surat Yakobus dan Surat Petrus
4:6—Ayat ini menyebut tentang berita baik yang diisytiharkan kepada “orang mati.” Siapakah “orang mati” yang dimaksudkan? Mereka ialah orang yang telah mati secara rohani ‘kerana dosa dan kesalahan mereka.’ (Ef. 2:1) Namun, setelah mendengar berita baik dan beriman kepada Tuhan, mereka “hidup secara rohani.”
28 OKTOBER–3 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 PETRUS 1-3
“Sentiasa Mengingat akan Kehadiran Hari Yehuwa”
(2 Petrus 3:9, 10) Yehuwa tidak berlambat-lambat untuk menunaikan janji-Nya, seperti yang difikirkan oleh sesetengah orang. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat. 10 Tetapi hari Yehuwa akan datang seperti pencuri. Pada hari itu, langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh, unsur-unsur di langit dan di bumi akan lebur kerana terlalu panas, dan bumi serta segala perbuatan yang dilakukan di dalamnya akan didedahkan.
w06 15/12 27 per. 11
Yehuwa Akan “Menegakkan Keadilan”
11 Namun, bagaimanakah seharusnya kita memahami jaminan Yesus bahawa Yehuwa akan menegakkan keadilan “dengan segera”? Firman Tuhan menunjukkan bahawa “walaupun Tuhan sabar,” Dia akan menegakkan keadilan dengan cepat apabila saatnya sudah tiba. (Lukas 18:7, 8; 2 Petrus 3:9, 10) Pada zaman Nuh, sewaktu Banjir Besar datang, orang jahat dibinasakan dengan segera. Hal yang sama berlaku pada zaman Lot, iaitu semasa Tuhan menurunkan api dari langit untuk memusnahkan orang yang jahat. Yesus berkata, “Demikianlah keadaannya pada hari Anak Manusia menampakkan diri.” (Lukas 17:27-30) Sekali lagi, “kebinasaan akan tiba-tiba menimpa” orang yang jahat. (1 Tesalonika 5:2, 3) Ya, kita dapat yakin sepenuhnya bahawa jika saatnya sudah tiba untuk melaksanakan keadilan, Yehuwa tidak akan menangguhkan pembinasaan dunia Syaitan.
(2 Petrus 3:11, 12) Memandangkan semua itu akan dimusnahkan dengan cara sedemikian, fikirkanlah bagaimana kamu seharusnya hidup. Kamu seharusnya berkelakuan suci dan melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa kamu mengabdikan diri kepada Tuhan. 12 Hendaklah kamu berbuat demikian sementara kamu menantikan dan sentiasa mengingat akan kehadiran hari Yehuwa. Pada hari itu, langit akan lenyap dalam nyala api, dan unsur-unsur di langit dan di bumi akan lebur kerana bahang api yang terlalu panas.
w06 15/12 19 per. 18
“Hari Besar Yehuwa Sudah Dekat”
18 Rasul Petrus menggalakkan kita untuk sentiasa mengingat akan “kehadiran hari Yehuwa.” Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Salah satu caranya adalah dengan ‘berkelakuan suci dan melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa kita mengabdikan diri kepada Tuhan.’ (2 Petrus 3:11, 12) Kita dapat menantikan kedatangan “hari Yehuwa” dengan sabar jika kita tetap sibuk berkhidmat kepada Tuhan. Kata Yunani yang diterjemahkan sebagai “sentiasa mengingat akan” secara harfiah bererti “mempercepat.” Kita memang tidak dapat mempercepat kedatangan hari Yehuwa. Namun, seraya kita menantikan hari itu, masa seolah-olah akan berlalu dengan jauh lebih cepat jika kita sibuk berkhidmat kepada Tuhan.—1 Korintus 15:58.
Mencari Permata Rohani
(2 Petrus 1:19) Maka, keyakinan kami akan nubuat-nubuat yang disampaikan menjadi lebih teguh. Kamu patut dipuji kerana kamu memberikan perhatian kepada nubuat-nubuat sedemikian kerana nubuat-nubuat itu seperti sebuah pelita yang bersinar di tempat yang gelap dalam hati kamu, sehingga fajar menyingsing dan bintang fajar terbit.
w08 15/11 22 per. 2
Sorotan daripada Surat Yakobus dan Surat Petrus
1:19—Siapakah “bintang fajar,” bilakah bintang ini terbit, dan bagaimanakah kita tahu bahawa hal ini telah berlaku? “Bintang fajar” ialah Yesus Kristus yang datang dengan kuasa sebagai raja. (Why. 22:16) Pada tahun 1914, Yesus menjadi Raja Kerajaan Mesias, dan hal itu menandakan permulaan hari yang baharu. Semasa rupa Yesus berubah di bumi, murid-muridnya nampak penglihatan yang menunjukkan kemuliaan dan kuasa Yesus dalam Kerajaan Tuhan. Penglihatan itu menjamin bahawa nubuat dalam Firman Tuhan pasti menjadi kenyataan. Jika kita mengkaji Firman Tuhan dengan teliti, kebenaran Bible akan bersinar dan kita akan tahu bahawa Bintang Fajar itu sudah terbit.
(2 Petrus 2:4) Malaikat-malaikat yang berdosa tidak terlepas daripada hukuman Tuhan. Dia melemparkan mereka ke dalam Tartarus dan merantai mereka dalam kegelapan yang pekat untuk menahan mereka sehingga hukuman mereka dilaksanakan.
w08 15/11 22 per. 3
Sorotan daripada Surat Yakobus dan Surat Petrus
2:4—Apakah itu “Tartarus,” dan bilakah para malaikat yang memberontak terhadap Tuhan dilemparkan ke situ? Tartarus merujuk kepada keadaan yang terhina seperti yang dialami oleh banduan yang dipenjarakan. Hanya makhluk roh yang ditahan dalam keadaan yang terhina itu, dan bukannya manusia. Keadaan itu merupakan kegelapan mental yang paling gelap sehubungan dengan tujuan Tuhan yang gemilang. Mereka yang berada dalam Tartarus tidak memiliki harapan masa depan. Pada zaman Nuh, Tuhan melemparkan para malaikat yang memberontak terhadap-Nya ke dalam Tartarus, dan mereka tetap berada dalam keadaan yang paling hina itu sehingga mereka dibinasakan.