PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 Mac ms. 8-13
  • Tirulah Cara Yehuwa dan Yesus Berfikir

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Tirulah Cara Yehuwa dan Yesus Berfikir
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • MENIRU CARA YEHUWA BERFIKIR
  • BERSIKAP RENDAH HATI
  • “BERFIKIRAN SIHAT”
  • Dia Belajar Pengampunan daripada Tuannya
    Tirulah Iman Mereka
  • Dia Setia meskipun Menghadapi Cubaan
    Tirulah Iman Mereka
  • Seperti Petrus, Janganlah Berputus Asa!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2023
  • Bergantung pada Yehuwa semasa Membuat Keputusan
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2023
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 Mac ms. 8-13

RENCANA PEMBELAJARAN 10

LAGU 31 Berjalanlah dengan Tuhan!

Tirulah Cara Yehuwa dan Yesus Berfikir

“Hendaklah kamu memperlengkap diri kamu dengan kecenderungan mental yang sama [dengan Kristus].”—1 PTR. 4:​1, nota kaki.

FOKUS

Belajar bagaimana Rasul Petrus meniru pemikiran Yesus dan bagaimana kita juga dapat berbuat demikian.

1-2. Apakah perintah yang terpenting dalam Hukum Musa, dan hal itu merangkumi apa? Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia mengasihi Yehuwa dengan segenap akalnya?

YESUS menyatakan dengan jelas perintah yang terpenting dalam Hukum Musa. Dia berkata, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dengan segenap akal, dan dengan segenap kekuatan.” (Mrk. 12:30) Kita mengasihi Yehuwa dengan segala-gala yang kita miliki. Hal ini merangkumi keinginan, emosi, tenaga, dan akal, atau cara kita berfikir. Sudah tentu, kita tidak mungkin memahami pemikiran Yehuwa dengan sepenuhnya, tetapi kita harus berusaha untuk meniru pemikiran-Nya. Kita dapat berbuat demikian dengan meneliti “fikiran Kristus” kerana Yesus mencerminkan pemikiran Bapanya dengan sempurna.​—1 Kor. 2:16.

2 Yesus mengasihi Yehuwa dengan segenap akalnya. Dia tahu apa yang Yehuwa mahu dia lakukan, jadi dia tidak membiarkan apa-apa pun untuk menghalangnya daripada mengutamakan kehendak Tuhan dalam hidupnya. Biarpun dia harus menderita untuk melakukan apa yang betul, dia tetap bertekad untuk melakukannya.

3. Apakah yang Rasul Petrus belajar daripada Yesus? Petrus menggalakkan rakan seimannya untuk melakukan apa? (1 Petrus 4:1 dan nota kaki)

3 Petrus dan para rasul yang lain berpeluang untuk meluangkan banyak masa bersama Yesus dan dapat belajar cara pemikirannya. Semasa Petrus menulis suratnya yang pertama, dia menggalakkan rakan seimannya untuk memperlengkap diri dengan kecenderungan mental Kristus.a (Baca 1 Petrus 4:1 dan nota kaki.) Istilah “memperlengkap diri” ialah istilah ketenteraan. Maka, semasa kita meniru cara Yesus berfikir, kita dilengkapi untuk melawan keinginan yang salah dan pengaruh dunia Syaitan.​—2 Kor. 10:​3-5; Ef. 6:12.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan cara pemikiran Yesus dan bagaimana kita dapat menirunya. Kita akan mengkaji bagaimana kita dapat (1) meniru cara Yehuwa berfikir, (2) bersikap rendah hati, dan (3) mempunyai fikiran yang sihat.

MENIRU CARA YEHUWA BERFIKIR

5. Bagaimanakah Petrus gagal mencerminkan cara pemikiran Yehuwa?

5 Pernah sekali, Petrus gagal mencerminkan cara Yehuwa berfikir. Yesus memberitahu para rasul bahawa dia harus pergi ke Yerusalem, diserahkan kepada para pemimpin agama, diseksa, dan akhirnya dibunuh. (Mat. 16:21) Memandangkan Yesus ialah Mesias yang dijanjikan dan penyelamat bangsa Israel, Petrus mungkin berasa susah untuk terima hakikat bahawa Yehuwa akan mengizinkan Yesus dibunuh. (Mat. 16:16) Maka, Petrus membawa Yesus ke tepi dan berkata, “Tuan, janganlah cakap begitu. Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.” (Mat. 16:22) Mengapakah cara pemikiran Yesus dan Petrus berbeza? Kerana Petrus gagal mencerminkan cara pemikiran Yehuwa.

6. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa cara pemikirannya selaras dengan pemikiran Yehuwa?

6 Pemikiran Yesus selaras sepenuhnya dengan pemikiran Bapanya di syurga. Yesus berkata kepada Petrus, “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan! Kamu ialah batu sandungan bagiku, kerana fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.” (Mat. 16:23) Yesus tahu bahawa untuk melakukan kehendak Yehuwa, dia perlu menderita dan mati. Maka dia menolak nasihat Petrus walaupun Petrus berniat baik. Daripada pengalaman itu, Petrus belajar bahawa dia perlu menyelaraskan fikirannya dengan fikiran Tuhan. Ini juga pengajaran penting bagi kita.

7. Bagaimanakah Petrus kemudiannya menunjukkan bahawa dia mahu menyelaraskan fikirannya dengan fikiran Yehuwa? (Lihat gambar.)

7 Pada kemudian hari, Petrus menunjukkan bahawa dia mahu menyelaraskan fikirannya dengan fikiran Yehuwa. Apabila masanya tiba bagi orang bukan Yahudi yang tidak bersunat untuk menjadi sebahagian daripada umat Tuhan, Petrus ditugaskan untuk menginjil kepada Kornelius. Orang Yahudi jarang berurusan dengan orang bukan Yahudi. Maka tidak hairanlah Petrus memerlukan bantuan untuk mengubah fikirannya sebelum dia diutus untuk menginjil kepada orang bukan Yahudi. Setelah Petrus memahami pandangan Tuhan tentang orang bukan Yahudi, dia “tidak keberatan” untuk melaksanakan tugasannya itu. (Kis. 10:​28, 29) Dia menginjil kepada Kornelius dan rumah tangganya, dan mereka telah dibaptis.​—Kis. 10:​21-23, 34, 35, 44-48.

Kornelius membawa Petrus dan rakan-rakannya ke tingkat atas di rumahnya.

Petrus memasuki rumah Kornelius (Lihat perenggan 7)


8. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa pemikiran kita selaras dengan pemikiran Yehuwa? (1 Petrus 3:8 dan nota kaki)

8 Beberapa tahun kemudian, Petrus menggalakkan rakan seimannya, “Hendaklah kamu semua sefikiran.” (Baca 1 Petrus 3:8 dan nota kaki.) Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Kita masing-masing harus mencerminkan fikiran Yehuwa, seperti yang tercatat dalam Bible. Sebagai contoh, Yesus menggalakkan pengikutnya untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan dalam hidup mereka. (Mat. 6:33) Seorang penyiar dalam sidang anda mungkin merenungkan kata-kata Yesus ini dan membuat keputusan untuk menceburi khidmat sepenuh masa. Daripada memberitahunya bahawa dia harus memilih cara hidup yang lebih selesa, kita mahu bercakap tentang matlamatnya dengan positif dan menyokongnya.

BERSIKAP RENDAH HATI

9-10. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia sangat rendah hati?

9 Pada malam sebelum dia dibunuh, Yesus mengajar Petrus dan rasul-rasul yang lain pengajaran penting tentang kerendahan hati. Sebelum itu, Yesus mengutus Petrus dan Yohanes untuk menyediakan semua yang diperlukan untuk jamuan makan malamnya yang terakhir bersama para rasul. Barangkali, mereka juga menyediakan besen dan tuala supaya kaki para tetamu dapat dicuci sebelum makan. Namun siapakah yang cukup rendah hati untuk melakukan kerja itu?

10 Tanpa teragak-agak, Yesus melakukan kerja itu biarpun kerja itu biasanya dilakukan oleh seorang hamba. Dia meletakkan jubah luarnya ke tepi, mengambil sehelai tuala lalu mengikat tuala itu pada pinggangnya, dan menuangkan air ke dalam sebuah besen. (Yoh. 13:​4, 5) Kemudian, Yesus membasuh kaki kesemua 12 orang rasulnya, termasuk Yudas yang akan mengkhianatinya. Biarpun hal itu mengambil masa yang lama, Yesus menyelesaikan kerja itu dengan rendah hati. Selepas itu, dia berkata kepada murid-muridnya dengan sabar, “Adakah kamu memahami apa yang sudah aku lakukan untuk kamu? Kamu memanggil aku ‘Guru’ dan ‘Tuan.’ Kata-kata kamu itu benar kerana aku memang Guru dan Tuan kamu. Jika aku sebagai Tuan dan Guru kamu sudah membasuh kaki kamu, kamu juga harus membasuh kaki satu sama lain.” (Yoh. 13:​12-14) Sememangnya, Yesus menunjukkan bahawa dia sangat rendah hati!

Kerendahan hati . . . melibatkan cara kita berfikir tentang diri sendiri dan orang lain

11. Bagaimanakah Petrus menunjukkan bahawa dia sudah belajar untuk bersikap rendah hati? (1 Petrus 5:5 dan nota kaki) (Lihat juga gambar.)

11 Biarpun Petrus dibesarkan dalam kebudayaan yang sangat mementingkan kedudukan, dia belajar untuk bersikap rendah hati daripada teladan Yesus. Selepas Yesus naik ke syurga, Petrus melakukan mukjizat dengan menyembuhkan seorang lelaki yang lumpuh sejak lahir. (Kis. 1:​8, 9; 3:​2, 6-8) Banyak orang nampak mukjizat ini dan berasa sangat kagum. (Kis. 3:11) Adakah Petrus menginginkan pujian dan sanjungan orang? Tidak. Petrus menghalakan semua pujian kepada Yehuwa dan Yesus. Dia berkata, “Lelaki lumpuh yang kamu lihat dan kenal ini telah menjadi kuat kerana nama Yesus, dan kerana kami beriman kepada namanya.” (Kis. 3:​12-16) Pada kemudian hari semasa Petrus menulis surat kepada orang Kristian, dia menggalakkan mereka untuk “mengenakan kerendahan hati.” Dengan menggambarkan sifat ini seperti pakaian, Petrus mungkin teringat masanya Yesus “mengikat” tuala pada pinggangnya lalu mencuci kaki para rasul.​—Baca 1 Petrus 5:5 dan nota kaki.

Petrus dan Yohanes berdiri di Rumah Tuhan. Petrus menunjuk ke arah langit, manakala lelaki yang tempang sejak lahir sudah disembuhkan dan berdiri di sebelah mereka.

Selepas Petrus melakukan mukjizat, dia menghalakan semua pujian kepada Yehuwa dan Yesus. Kita juga dapat menunjukkan kerendahan hati dengan berbuat baik biarpun orang lain tidak melihatnya atau memuji kita (Lihat perenggan 11-12)


12. Seperti Petrus, bagaimanakah kita dapat terus memupuk kerendahan hati?

12 Kita mahu meniru teladan Petrus dengan terus bersikap rendah hati. Ingatlah bahawa kerendahan hati bukan sekadar ucapan di bibir. Dalam bahasa asal, perkataan “kerendahan hati” yang digunakan oleh Petrus menunjukkan bahawa sikap ini melibatkan cara kita berfikir tentang diri sendiri dan orang lain. Maka semasa kita melakukan sesuatu, kita melakukannya kerana kita mengasihi Yehuwa dan orang lain, dan bukannya kerana ingin disanjung. Jika kita sudi menyembah Yehuwa dan membantu saudara saudari dengan sukacita biarpun tiada orang lain yang melihatnya, hal itu menunjukkan bahawa kita rendah hati.​—Mat. 6:​1-4.

“BERFIKIRAN SIHAT”

13. Apakah maksud “berfikiran sihat”?

13 Apakah maksud “berfikiran sihat”? (1 Ptr. 4:7) Seorang Kristian yang berfikiran sihat akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keputusan yang dibuatnya selaras dengan pemikiran Yehuwa. Dia tahu bahawa tiada apa-apa yang lebih penting daripada hubungannya dengan Yehuwa. Dia mempunyai pandangan yang seimbang terhadap dirinya dan sedar bahawa dia tidak mengetahui segala-galanya. Dengan rendah hati, dia juga bergantung pada Tuhan dan sering berdoa.b

14. Bilakah Petrus gagal bergantung pada Yehuwa? Jelaskan.

14 Pada malam sebelum kematiannya, Yesus mengingatkan murid-muridnya, “Malam ini, kamu semua akan tersandung kerana apa yang bakal menimpa aku.” Tetapi Petrus menjawab dengan yakin, “Walaupun mereka semua tersandung kerana apa yang bakal menimpa Guru, aku sama sekali tidak akan tersandung!” Pada malam itu juga, Yesus menasihati mereka, “Teruslah berjaga-jaga dan berdoa.” (Mat. 26:​31, 33, 41) Petrus tidak mengikut nasihat Yesus. Akibatnya, semasa Yesus ditangkap, Petrus menyangkal Yesus dan dia sangat menyesali perbuatannya. (Mat. 26:​69-75) Jika Petrus mengikut nasihat Yesus dari awal lagi, dia mungkin memiliki keberanian untuk mengakui bahawa dia ialah pengikut Yesus.

15. Bagaimanakah Yesus tetap berfikiran sihat pada malam terakhirnya sebagai manusia?

15 Yesus pula berfikiran sihat kerana bergantung sepenuhnya pada Yehuwa. Walaupun Yesus sempurna, dia berdoa berulang kali. Oleh itu, Yesus mendapat keberanian untuk melaksanakan kehendak Tuhan baginya. (Mat. 26:​39, 42, 44; Yoh. 18:​4, 5) Oleh sebab Yesus sentiasa berdoa dan bergantung pada Yehuwa, Petrus telah belajar untuk melakukan hal yang sama sepanjang hidupnya.

16. Bagaimanakah Petrus menunjukkan bahawa dia mempunyai fikiran yang sihat? (1 Petrus 4:7)

16 Bagaimanakah Petrus menunjukkan bahawa dia bergantung pada Yehuwa melalui doa? Selepas dibangkitkan, Yesus meyakinkan Petrus dan rasul-rasul yang lain bahawa mereka akan menerima kuasa suci Tuhan yang akan membantu mereka melaksanakan kerja penyebaran. Namun, Yesus menyuruh mereka untuk tunggu di Yerusalem sehingga hal itu berlaku. (Luk. 24:49; Kis. 1:​4, 5) Apakah yang Petrus lakukan sementara menunggu? Petrus dan rakan seiman yang lain “berdoa dengan tekun.” (Kis. 1:​13, 14) Kemudian dalam suratnya yang pertama, Petrus menggalakkan rakan seimannya untuk berfikiran sihat dan bergantung pada Yehuwa melalui doa. (Baca 1 Petrus 4:7.) Jelaslah, Petrus telah belajar untuk bergantung pada Yehuwa. Hasilnya, dia menjadi seperti tiang dalam sidang.​—Gal. 2:9.

17. Apakah yang perlu kita terus lakukan biarpun kita mempunyai kebolehan tertentu? (Lihat juga gambar.)

17 Untuk berfikiran sihat, kita mesti sering berdoa kepada Yehuwa. Biarpun kita mempunyai kebolehan tertentu, kita sedar kita perlu bergantung pada Yehuwa melalui doa. Jika kita yakin bahawa Yehuwa tahu apa yang terbaik untuk kita, kita akan berdoa untuk meminta bimbingan-Nya, terutamanya semasa kita perlu membuat keputusan yang penting.

Petrus belajar untuk bergantung pada Yehuwa melalui doa. Kita juga dapat berfikiran sihat dengan berdoa meminta bantuan Yehuwa, terutamanya semasa membuat keputusan yang penting (Lihat perenggan 17)c


18. Bagaimanakah kita dapat memastikan fikiran kita menjadi lebih selaras dengan fikiran Yehuwa?

18 Kita bersyukur kerana Yehuwa telah menciptakan kita dengan kebolehan untuk mencerminkan sifat-sifat-Nya. (Kej. 1:26) Sudah tentu, kita tidak dapat meniru teladan Yehuwa dengan sempurna. (Yes. 55:9) Namun, seperti Petrus, kita dapat memastikan fikiran kita menjadi lebih selaras dengan fikiran Yehuwa. Semoga kita terus berusaha untuk meniru fikiran Yehuwa, bersikap rendah hati, dan berfikiran sihat.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT . . .

  • meniru cara Yehuwa berfikir?

  • bersikap rendah hati?

  • “berfikiran sihat”?

LAGU 30 Bapaku, Tuhanku, dan Kawanku

a “Kecenderungan mental,” yang disebutkan di nota kaki bagi 1 Petrus 4:​1, juga boleh diterjemahkan sebagai “sikap” atau “pemikiran.”

b Untuk maklumat lanjut tentang maksud berfikiran sihat, atau sihat secara rohani, lihat bahagian “Ayat Bible Dijelaskan” di jw.org atau aplikasi JW Library®. Lihat rencana “2 Timotius 1:7 Dijelaskan—‘Tuhan Tidak Menjadikan Kita Penakut,’” perenggan “Fikiran yang sihat.”

c KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari berdoa dalam hati sementara menunggu giliran untuk ditemu duga bagi permohonan kerja.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi