Kita Berasa Senang Hati Membanting Tulang untuk Berkhidmat kepada Yehuwa!
1 Hawari Paulus berasa senang hati untuk “mengorbankan diri” demi menunaikan aktiviti penyebarannya sebagai seorang Kristian. (2 Kor. 12:15) Begitu juga dewasa ini, ramai orang Kristian bekerja dengan tekun sebagai perintis. Mereka yang mempunyai tanggungjawab keluarga yang berat meluangkan masa dalam jadual mereka yang sibuk untuk menyertai aktiviti penyebaran pada setiap minggu. Sesetengah orang yang mempunyai masalah kesihatan yang serius menggunakan tenaga mereka yang terbatas bagi memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan. Alangkah menggalakkan untuk melihat umat Yehuwa, tanpa mengira usia atau keadaan, membanting tulang untuk berkhidmat kepada Yehuwa!
2 Kasih kepada Manusia: Dengan berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada Yehuwa, menunjukkan kasih kepada Tuhan dan kepada manusia, kita akan memperoleh hati nurani yang bersih. Oleh sebab Paulus menggadaikan nyawanya untuk menyerantakan berita baik, dia dapat berkata, “Jika sesiapa antara kamu binasa kelak, hal itu bukan tanggungjawabku.” (Kis. 20:24, 26; 1 Tes. 2:8) Dengan menyertai aktiviti penyebaran sejauh mana keadaan mengizinkan kita, kita tidak akan dipertanggungjawabkan atas kematian orang lain.—Yeh. 3:18-21.
3 Membanting tulang untuk membantu orang lain akan membawa kebahagiaan. (Kis. 20:35) Seorang saudara berkata, “Apabila tibanya waktu petang, dan aku pulang ke rumah selepas sehari suntuk berkhidmat kepada Yehuwa, memang benar aku berasa letih. Namun, aku berasa gembira dan bersyukur kepada Yehuwa kerana memberi aku kegembiraan yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa pun.”
4 Kasih kepada Tuhan: Sebab terpenting kita membanting tulang untuk berkhidmat kepada Yehuwa adalah kerana perbuatan ini menyenangkan hati Bapa kita di syurga. Kasih kepada Tuhan mendorong kita untuk mentaati perintah-perintah-Nya, termasuk kerja penyebaran dan kerja membantu orang lain menjadi murid Yesus. (1 Yoh. 5:3) Walaupun orang bersikap acuh tak acuh atau menentang, kita bersukacita untuk terus bekerja keras demi Yehuwa.
5 Sekarang bukanlah masanya untuk menjadi lalai. Kita hidup pada ‘musim menuai.’ (Mat. 9:37) Seorang petani biasanya bekerja berjam-jam lamanya semasa musim menuai kerana dia mempunyai masa yang terhad untuk mengumpulkan tuaiannya sebelum tanaman-tanaman mula rosak. Masa yang diperuntukkan untuk kerja penuaian rohani juga terhad. Seraya menyedari bahawa kita hidup pada musim menuai, semoga kita terus membanting tulang dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam aktiviti penyebaran.—Luk. 13:24; 1 Kor. 7:29-31.