Ladang Sudah Menguning, Siap untuk Dituai
1. Apakah kerja penting yang sedang berlangsung?
1 Selepas memberikan kesaksian kepada seorang wanita Samaria, Yesus memberitahu pengikutnya, “Pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai!” (Yoh. 4:35, 36) Penuaian rohani sedang berlangsung dan Yesus tahu bahawa kerja ini akan dijalankan di seluruh dunia. Meskipun Yesus berada di syurga, dia tetap bergiat dengan aktif dalam kerja penuaian ini. (Mat. 28:19, 20) Apakah bukti yang menunjukkan bahawa kerja ini semakin pesat seraya akhir sistem dunia berkunjung tiba?
2. Apakah perkembangan yang menunjukkan bahawa kerja penuaian sedunia bertambah pesat?
2 Hasil Tuaian Sedunia: Sepanjang tahun aktiviti penyebaran 2009, bilangan penyiar di serata dunia meningkat sebanyak 3.2 peratus. Terdapat peningkatan sebanyak 14 peratus bagi negara-negara yang menyekat kerja penyebaran kita. Bilangan pembelajaran Bible yang dilaporkan setiap bulan melebihi 7,619,000. Berbanding dengan tahun sebelumnya, angka ini mencatatkan pertambahan kira-kira setengah juta pembelajaran Bible, dan juga menjangkaui angka tertinggi penyiar. Memandangkan kerja ini berkembang dengan pesat di banyak kawasan, lebih banyak perintis seberang laut lulusan Gilead diperlukan. Kawasan penyebaran bahasa asing telah membuahkan hasil yang melimpah di banyak negara. Jelaslah, Yehuwa sedang mempercepat kerja ini semasa penghujung musim menuai. (Yes. 60:22) Adakah anda berpandangan positif terhadap “ladang” anda?
3. Apakah pandangan sesetengah penyiar tentang kawasan penyebaran mereka?
3 Hasil Tuaian Tempatan: Sesetengah penyiar mungkin berkata, “Kawasan penyebaran saya tidak begitu berhasil.” Berbanding dengan kawasan lain atau suatu ketika dahulu, hasil di sesetengah kawasan nampaknya tidak begitu menggalakkan. Maka, sesetengah penyiar mungkin menyimpulkan bahawa kebanyakan hasil tuaian di kawasan mereka telah dikumpul dan kini kerja mereka sekadar mengutip saki-baki sahaja. Adakah hal ini benar?
4. Apakah sikap yang patut dipupuk terhadap aktiviti penyebaran kita? Apakah sebabnya?
4 Dari mula hingga akhir, musim menuai ialah masa yang sarat dengan aktiviti. Perasaan mendesak diperlihatkan dalam kata-kata Yesus, “Tuaian sungguh banyak, tetapi penuai hanya sedikit. Berdoalah kepada Pemilik tuaian supaya Dia menghantar orang untuk menuai tuaian-Nya.” (Mat. 9:37, 38) Yehuwa, Pemilik tuaian, bertanggungjawab menentukan bila dan mana hasilnya akan dituai. (Yoh. 6:44; 1 Kor. 3:6-8) Apakah tugas kita? Menurut Bible, kita patut menabur benih pada waktu pagi sampai waktu petang, dan jangan berhenti dalam usaha kita. (Pkh. 11:4-6) Musim menuai akan berakhir tidak lama lagi. Maka, kini bukanlah masanya untuk bersenang-lenang!
5. Biarpun kawasan penyebaran nampaknya kurang berhasil, mengapakah kita perlu meneruskan kerja penyebaran dengan semangat yang membara?
5 Teruslah Menuai: Walaupun kawasan penyebaran kita sering dikunjungi dan nampaknya tidak membuahkan hasil, masih terdapat alasan yang baik untuk bekerja dengan semangat membara dan perasaan mendesak. (2 Tim. 4:2) Pergolakan besar di pentas dunia menyebabkan ramai orang berubah sikap dan memandang masa depan mereka dengan lebih serius. Kaum muda yang kian dewasa mungkin memerlukan keselamatan dan ketenangan minda. Ada pula yang mungkin kagum dengan kegigihan kita. Barangkali mereka yang dahulunya tidak mendengar akan memasang telinga kelak. Bahkan mereka yang berdegil dan enggan mendengarkan mesej kita perlu diingatkan bahawa akhir sudah dekat.—Yeh. 2:4, 5; 3:19.
6. Dalam kawasan penyebaran yang mencabar, bagaimanakah kita dapat mengekalkan semangat yang membara?
6 Dalam kawasan penyebaran yang mencabar, bagaimanakah kita dapat mengekalkan semangat yang membara? Selain daripada kerja penyebaran dari rumah ke rumah, kita juga boleh memberikan kesaksian dalam bentuk yang lain, seperti di kawasan perniagaan atau menerusi telefon. Mungkin kita boleh mencuba pendekatan yang baru dengan mempelbagaikan penyampaian kita. Kita juga boleh menjalankan kerja penyebaran pada masa yang lain seperti pada waktu petang atau semasa lebih ramai orang berada di rumah. Di samping itu, kita boleh mempelajari bahasa baru agar dapat menyampaikan berita baik kepada lebih ramai orang. Kita boleh memperluas aktiviti penyebaran dengan menjadi perintis biasa, atau berpindah ke kawasan yang kekurangan penuai. Sikap yang sewajarnya terhadap kerja menuai akan mendorong kita agar berusaha sedaya upaya dalam kerja yang penting ini.
7. Sampai bilakah harus kita mengumpulkan hasil tuaian?
7 Petani mempunyai masa yang terhad untuk mengumpul hasil tanaman. Selagi kerja belum selesai, mereka tidak akan berehat atau melengahkan usaha mereka. Begitu juga, rasa mendesak yang sama perlu ditunjukkan terhadap penuaian rohani. Sampai bilakah harus kita mengumpulkan hasil tuaian? Sepanjang penghujung sistem ini dan sehingga “akhir zaman.” (Mat. 24:14; 28:20) Seperti Yesus, Penyebar utama Yehuwa, kita ingin menyelesaikan tugas yang telah diamanahkan kepada kita. (Yoh. 4:34; 17:4) Oleh itu, teruslah menjalankan aktiviti penyebaran dengan sukacita, semangat yang membara, dan sikap yang positif sehingga akhir. (Mat. 24:13) Kerja menuai belum berakhir lagi!
[Blurb pada muka surat 2]
Dari mula hingga akhir, musim menuai ialah masa yang sarat dengan aktiviti