PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • km 7/12 ms. 4-7
  • Sebelum Menginjil, Anda Mungkin Perlu Mencari

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Sebelum Menginjil, Anda Mungkin Perlu Mencari
  • Kerja Teokratik Kita—2012
  • Bahan yang Berkaitan
  • Tuhan Menjaga Orang Pekak
    Topik-Topik Lain
  • Mengusahakan Kawasan Penyebaran Bahasa Asing
    Kerja Teokratik Kita—2009
  • Cara-Cara untuk Menyebarkan Berita Baik
    Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Apabila Penghuni Rumah Bertutur dalam Bahasa Lain
    Kerja Teokratik Kita—2008
Lihat Selanjutnya
Kerja Teokratik Kita—2012
km 7/12 ms. 4-7

Sebelum Menginjil, Anda Mungkin Perlu Mencari

1. Mengapakah kawasan penyebaran sidang di tempat berbilang bahasa ditugaskan mengikut bahasa?

1 Pada Pentakosta 33 M, murid-murid Yesus menerima daya aktif Tuhan lalu “mula berkata-kata dalam pelbagai bahasa” yang dituturkan pelawat dari pelbagai tempat. (Kis. 2:4) Hasilnya, kira-kira 3,000 orang dibaptiskan. Yang menariknya, kebanyakan pelawat mungkin bertutur dalam bahasa Ibrani atau Yunani yang sering digunakan pada masa itu. Namun, Yehuwa mahu berita Kerajaan Tuhan disampaikan dalam bahasa ibunda mereka. Salah satu sebabnya adalah kerana orang lebih senang menyambut berita baik dalam bahasa ibunda. Maka, di tempat yang mana penduduknya menuturkan pelbagai bahasa, kawasan penyebaran sidang akan ditugaskan mengikut bahasa. (Buku “Diorganisasikan” (Organized-E) ms. 107, per. 2-3) Kawasan penyebaran tidak ditugaskan kepada kumpulan bahasa asing. Jadi, mereka boleh menginjil kepada orang yang menuturkan bahasa mereka dalam kawasan sidang yang menjaga mereka dan sidang-sidang yang berdekatan.

2. (a) Apakah itu kerja mencari? Kerja ini perlu dibuat di mana? (b) Bagaimanakah sidang-sidang dapat saling membantu semasa menginjil di tempat berbilang bahasa? (c) Jika kita menjumpai orang yang bertutur dalam bahasa lain yang berminat, kita harus melakukan apa?

2 Anda boleh terus menginjil dari rumah ke rumah jika penduduk di kawasan anda menuturkan satu bahasa. Tetapi situasinya berbeza jika anda tinggal di kawasan bandar yang berbilang bahasa. Sidang bahasa lain mungkin menginjil di kawasan yang sama. Mereka mungkin memaklumkan anda tentang penghuni yang bertutur dalam bahasa anda. Tetapi tanggungjawab utama untuk mencari penghuni sebegini dipikul oleh sidang atau kumpulan anda. (Lihat kotak “Saling Membantu.”) Maka, anda mungkin perlu menjalankan kerja mencari, iaitu mengetahui di mana penghuni yang bertutur dalam bahasa anda boleh dijumpai. Bagaimanakah kerja mencari boleh dijalankan?

3. Apakah yang perlu diambil kira semasa sidang atau kumpulan menentukan tempat dan masa untuk kerja mencari?

3 Aturan untuk Kerja Mencari: Masa yang diluangkan untuk kerja mencari di tempat berbilang bahasa bergantung pada keadaan tempatan. Contohnya, berapa ramai orang yang bertutur dalam bahasa itu, berapa ramai penyiar yang ada, dan jumlah alamat yang sudah dikumpulkan oleh sidang atau kumpulan anda. Masa dan tenaga yang dicurahkan di setiap kawasan berbeza. Sidang boleh lebih bertumpu pada kawasan berpenduduk tinggi dalam lingkungan kawasan penyebaran mereka dan di kawasan yang tidak terlalu jauh. Namun, amat penting untuk mencari dengan teratur agar lebih banyak orang berpeluang berseru kepada Yehuwa.—Rm. 10:13, 14.

4. (a) Bagaimanakah kerja mencari harus diaturkan? (b) Bagaimanakah anda dapat mencari orang yang menuturkan bahasa anda?

4 Badan penatua, khasnya penyelia aktiviti penyebaran, patut mengatur dan menyelia kerja mencari untuk mengelakkan pengulangan kerja. (1 Kor. 9:26) Bagaimana pula dengan kumpulan bahasa asing? Badan penatua daripada sidang yang menjaga kumpulan ini akan memilih saudara yang layak, seboleh-bolehnya penatua atau pembantu sidang, untuk mengambil pimpinan. Banyak sidang dan kumpulan mempunyai aturan baik. Mula-mula, mereka menggunakan buku panduan telefon atau Internet untuk mengenal pasti nama-nama yang biasa digunakan dalam bahasa mereka. Kemudian, mereka menelefon atau membuat kunjungan bagi menentukan alamat mana yang akan direkodkan. Jika sesuai, badan penatua daripada sidang yang menjaga suatu kumpulan boleh meminta seluruh sidang menyertai kerja mencari dari masa ke masa.—Lihat kotak “Cara Mencari Orang yang Menuturkan Bahasa Anda.”

5. (a) Nyatakan beberapa cadangan yang boleh membantu penyiar semasa kerja mencari. (b) Apakah yang boleh kita katakan semasa kerja mencari?

5 Setiap kali kita menyertai kerja mencari, kita harus ingat akan tujuannya. Kerja ini sebahagian daripada kerja penyebaran, jadi kita mesti berpakaian seperti sedang menginjil. Ramai dapat mengekalkan semangat dan mengasah kemahiran berbahasa jika mereka melatih penyampaian dan bertutur dalam bahasa itu semasa kerja mencari. Kita boleh menghitung masa untuk kerja mencari tetapi bukannya masa menyiapkan peta atau senarai alamat. Apabila kita menjumpai orang yang menuturkan bahasa kita, kita harus berkongsi berita baik dengannya. Biarpun dia tidak berminat, kita harus segera memaklumkan penyelia aktiviti penyebaran atau saudara yang ditugaskan agar rekod kawasan penyebaran boleh dikemaskinikan. Kerja mencari memang penting, namun kita harus seimbang dan menyertai semua aspek kerja penyebaran.—Lihat kotak “Apa yang Boleh Dikatakan semasa Kerja Mencari.”

6. Apakah cabaran semasa mencari orang pekak?

6 Mencari Orang Pekak: Kerja mencari orang pekak mempunyai cabaran tersendiri dan memerlukan banyak usaha dan kegigihan. Orang pekak tidak boleh dikenal pasti menerusi nama, rupa, atau pakaian. Selain itu, ahli keluarga dan kawan mereka mungkin ragu-ragu dan enggan memberikan maklumat kepada penyiar. Cadangan berikut untuk mencari orang pekak juga boleh membantu kita mencari orang yang menuturkan bahasa tertentu.

7. (a) Bagaimanakah kita boleh mendapatkan maklumat tentang orang pekak di kawasan kediaman? (b) Bagaimanakah kita dapat menenangkan hati penghuni rumah yang curiga?

7 Sidang dan kumpulan bahasa isyarat telah berjaya mendapatkan maklumat di kawasan kediaman. Mungkin penghuni rumah nampak jiran, rakan kerja, atau rakan sekolah menggunakan bahasa isyarat. Dia mungkin nampak papan tanda lalu lintas, seperti yang terdapat di sesetengah negara, yang menunjukkan bahawa adanya kanak-kanak pekak di kawasan itu. Barangkali, dia ada saudara-mara yang pekak. Ingatlah bahawa dia mungkin curiga terhadap anda. Tetapi anda boleh menenangkan hatinya dengan bersikap ramah, berterus terang, dan memberikan penjelasan yang singkat. Ada yang mendapat hasil baik dengan menunjukkan Bible atau DVD lain dalam bahasa isyarat, lalu berkata bahawa mereka ingin berkongsi harapan Bible dengan orang pekak. Jika penghuni rumah teragak-agak memberikan maklumat, dia mungkin sudi memberikan alamat anda atau surat jemputan sidang kepada saudara-mara atau kawannya yang pekak.

8. Bagaimanakah sidang berhampiran boleh membantu sidang bahasa isyarat?

8 Satu atau dua hari dalam setahun, sidang bahasa isyarat mungkin menjemput sidang bahasa lain yang berhampiran untuk membantu mereka menjalankan kerja mencari di kawasan bandar. Perjumpaan sebelum kerja penyebaran yang dikendalikan oleh sidang bahasa isyarat boleh mengandungi arahan dan demonstrasi tentang cara menjalankan kerja ini. Setiap kumpulan kereta boleh disertai sekurang-kurangnya seorang penyiar dari sidang bahasa isyarat dan diberikan peta kawasan tertentu.

9. Bagaimanakah kerja mencari boleh dibuat di tempat orang pekak selalu berkumpul?

9 Kerja mencari juga boleh dibuat di tempat orang pekak selalu berkumpul untuk bergaul, beriadah, atau mendapatkan khidmat kebajikan. Penyiar harus memakai pakaian yang sesuai dengan keadaan. Adalah baik untuk bercakap dengan satu atau dua orang dan bukannya sekumpulan orang, agar tidak menarik terlalu banyak perhatian. Jika kerja kita disambut baik, kita boleh bertukar maklumat perhubungan.

10. Bagaimanakah penyiar boleh menjalankan kerja mencari di tempat perniagaan?

10 Satu lagi cara adalah dengan menyediakan peta yang menunjukkan tempat perniagaan dan membuat kunjungan pada masa yang sesuai. Satu peta boleh menunjukkan stesen minyak. Satu lagi mungkin menunjukkan kedai dobi, restoran, hotel, atau perniagaan lain. Jika setiap peta menunjukkan jenis perniagaan yang sama, penyiar boleh menggunakan penyampaian yang sama dan mendapat pengalaman serta kemahiran. Misalnya, ada hotel yang menjaga keperluan pelanggan yang pekak. Jadi, kita boleh menjelaskan kerja kita kepada kerani hotel secara ringkas dan meninggalkan bungkusan yang mengandungi sebuah DVD dan surat jemputan sidang untuk diberikan kepada tetamu yang pekak. Di sesetengah tempat perniagaan, kita boleh tanya sama ada pekerja atau pelanggan tetap mereka menggunakan bahasa isyarat. Jika ada sekolah orang pekak, kita boleh menawarkan DVD kita untuk diletakkan di perpustakaan.

11. Mengapakah kerja mencari merupakan aspek aktiviti penyebaran yang penting?

11 Kerja yang Penting: Usaha mencari penghuni rumah yang menuturkan bahasa anda memakan masa dan tenaga. Tambahan lagi, penduduk di sesetengah kawasan sering berpindah-randah, maka amat susah untuk mengemaskinikan rekod kawasan. Namun begitu, di semakin banyak kawasan, kerja mencari merupakan aspek aktiviti penyebaran yang penting. Yehuwa mengamanahkan kita untuk menginjil, dan Dia tidak berat sebelah. (Kis. 10:34) Dia “mahu semua orang diselamatkan serta mengetahui ajaran benar.” (1 Tim. 2:3, 4) Oleh itu, semoga kita bekerjasama dengan Yehuwa dan satu sama lain untuk mencari orang berbilang bahasa yang berhati “baik dan jujur.”—Luk. 8:15.

[Kotak pada muka surat 5]

Saling Membantu

Jika sidang atau kumpulan memerlukan bantuan untuk kerja mencari, penyelia aktiviti penyebaran boleh menghubungi penatua dari sidang-sidang yang berdekatan. Adalah baik untuk menghubungi sidang yang tidak terlalu jauh atau yang mempunyai sebilangan besar penduduk yang menuturkan bahasa anda. Sidang yang telah dihubungi akan memaklumkan penyiar mereka supaya mencatatkan alamat orang yang menuturkan bahasa itu. Kemudian, alamat ini akan diserahkan kepada penyelia aktiviti penyebaran untuk diberikan kepada sidang atau kumpulan yang meminta bantuan. Penyelia aktiviti penyebaran daripada semua sidang yang terlibat boleh menubuhkan sistem yang praktikal untuk meliputi kawasan berbilang bahasa dan membantu orang berminat menghadiri sidang atau kumpulan yang sesuai.

Jika penyiar menjumpai orang yang menuturkan bahasa lain (atau orang pekak) yang betul-betul berminat, mereka patut mengisi borang Kunjungan Susulan (S-43) dengan segera dan serahkan kepada setiausaha sidang. Dengan ini, orang itu boleh menerima bantuan rohani dengan cepat.—Lihat km 5/11 ms. 3.

[Kotak pada muka surat 6]

Cara Mencari Orang yang Menuturkan Bahasa Anda

• Tanya orang lain—pelajar Bible, ahli keluarga, rakan kerja, dan sebagainya.

• Gunakan buku panduan telefon untuk mencari nama yang biasa digunakan dalam bahasa anda. Buku panduan yang menyenaraikan nama mengikut alamat mungkin terdapat di Internet atau menerusi syarikat telefon.

• Tanpa menarik terlalu banyak perhatian, buat pertanyaan di pusat perkhidmatan awam, seperti perpustakaan, pejabat kerajaan, dan kolej.

• Semak surat khabar untuk pengumuman tentang kegiatan yang diadakan oleh komuniti bahasa asing.

• Lawat kedai dan tempat perniagaan yang disediakan untuk komuniti bahasa asing.

[Kotak pada muka surat 7]

Apa yang Boleh Dikatakan semasa Kerja Mencari

Singkirkan rasa curiga dengan bersikap ramah, ikhlas, dan berterus terang. Selalunya baik untuk menunjukkan bahan bacaan dalam bahasa itu terlebih dahulu.

Berikan salam lalu berkata, “Kami mencari mereka yang menuturkan ______ agar dapat berkongsi harapan Bible dengan mereka. Adakah anda kenal sesiapa?”

Semasa mencari orang pekak, anda boleh berkata, “Helo. Boleh saya tunjukkan sesuatu? [Gunakan pemain video mudah alih untuk memainkan satu ayat Bible Terjemahan Dunia Baharu—Dalam bentuk DVD.] Inilah petikan Bible dalam Bahasa Isyarat Amerika. Kami juga ada video lain yang disediakan tanpa bayaran untuk memenuhi keperluan rohani orang pekak. Adakah anda kenal sesiapa yang pekak atau kurang pendengaran yang berbahasa isyarat?” Jika penghuni rumah tidak ingat, berikan contoh tempat yang sering dikunjungi oleh orang pekak, seperti tempat kerja, sekolah, atau kawasan kediaman.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi