Dengar dan Belajar
1. Mengapakah kita perlu mencurahkan lebih banyak usaha semasa mendengar program konvensyen dan belajar daripadanya?
1 Konvensyen distrik 2013 bakal bermula. Banyak usaha telah dicurahkan untuk menyediakan program yang memenuhi pelbagai keperluan umat manusia di serata dunia. Sudahkah anda membuat persiapan untuk menghadiri ketiga-tiga hari konvensyen? Ada banyak hal yang dapat mengalih perhatian kita daripada program konvensyen, jadi berusahalah sebaik-baiknya untuk bertumpu. Memandangkan sesi konvensyen lebih panjang daripada perjumpaan, kita perlu menumpukan perhatian buat masa yang lebih lama. Tambahan lagi, kita mungkin letih kerana perlu membuat perjalanan, dan sebagainya. Bagaimanakah kita boleh tetap bertumpu agar dapat mendengar program dan belajar daripadanya?—Ul. 31:12.
2. Bagaimanakah kita dapat mempersiapkan hati sendiri untuk program konvensyen yang akan disampaikan?
2 Sebelum Konvensyen Bermula: Laman web rasmi kita, www.pr418.com, memaparkan program konvensyen, termasuk tajuk semua ceramah dan satu atau dua ayat Bible yang menjadi tema. Dengan melayari Internet dan membaca maklumat ini terlebih dahulu, kita dapat mempersiapkan hati sendiri untuk apa yang akan disampaikan. Semasa malam Penyembahan Keluarga, bolehkah anda meluangkan masa untuk memupuk minat keluarga anda terhadap program konvensyen?
3. Bagaimanakah kita dapat mendengar dengan sepenuh perhatian?
3 Semasa Program: Jika boleh, pergilah ke tandas sebelum sesi bermula. Cuba matikan telefon bimbit anda agar anda sendiri dan orang lain dapat bertumpu pada program. Sekiranya anda perlu menerima panggilan penting, pastikan anda tidak mengganggu orang lain. Pastikan juga tablet elektronik anda tidak mengganggu orang lain semasa program. Elakkan diri daripada makan atau minum semasa program. (Pkh. 3:1) Pandanglah penceramah. Jika dia membacakan ayat Bible, ikuti pembacaannya dalam Bible anda. Buatlah catatan ringkas.
4. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka untuk dengar dan belajar?
4 Kanak-kanak juga perlu mendengar dan belajar. Amsal 29:15 berkata, “Anak yang dibiarkan menurut sesuka hatinya akan memalukan ibunya.” Maka, ibu bapa digalakkan untuk duduk bersama anak-anak dan pastikan bahawa mereka bertumpu pada program, dan bukannya bercakap, menghantar mesej, atau merayau-rayau. Biarpun mereka terlalu muda untuk memahami semua maklumat yang disampaikan, anak-anak dapat dilatih untuk duduk dengan diam sambil bertumpu pada program.
5. Mengapakah kita perlu mengulang kaji program konvensyen? Apakah caranya?
5 Selepas Tamatnya Program Setiap Hari: Jangan keluar hingga lewat malam. Tidur awal supaya anda mendapat rehat yang secukupnya. Buatlah ulang kaji agar anda dapat mengingati apa yang didengar. Maka, cubalah ambil beberapa minit setiap petang untuk membincangkan program bersama keluarga anda. Jika anda keluar makan di restoran bersama kawan, bawalah buku nota anda dan kongsi satu atau dua isi penting yang anda suka. Apabila anda pulang dari konvensyen, anda boleh membincangkan cara menerapkan maklumat tersebut semasa malam Penyembahan Keluarga. Anda juga boleh meluangkan masa untuk membincangkan maklumat daripada bahan bacaan yang baru.
6. Adakah mencukupi sekadar menghadiri setiap sesi konvensyen? Jelaskan.
6 Kita tidak akan memperoleh manfaat, jika kita menghadiri jamuan makan tanpa menjamu selera. Begitu juga dengan jamuan rohani yang disediakan semasa konvensyen distrik. Kita bukan sekadar perlu menghadiri setiap sesi program, tetapi dengarlah dengan sepenuh perhatian dan terapkan apa yang dipelajari. Dengan ini, kita akan memperoleh manfaatnya.