“Kumpulkanlah Umat Ini”
1. Apakah persamaan konvensyen distrik dan konvensyen antarabangsa dengan perhimpunan orang Israel selepas mereka meninggalkan Mesir?
1 Tidak lama selepas meninggalkan Mesir, Yehuwa mengarahkan Musa mengumpulkan umat-Nya di Gunung Sinai untuk mendengar Firman-Nya agar mereka taat dan mengajar anak-anak mereka taat kepada-Nya. (Ul. 4:10-13) Peristiwa itu tentu menguatkan iman dan tidak dapat dilupakan! Tidak lama lagi, umat Yehuwa akan berkumpul di konvensyen distrik dan konvensyen antarabangsa untuk diajar oleh Yehuwa. Apakah yang perlu kita lakukan agar mendapat manfaat sepenuhnya?
2. Apakah persediaan yang diperlukan bagi menghadiri konvensyen?
2 Bersedialah: Yehuwa memerintahkan orang Israel untuk bersedia bagi perhimpunan bersejarah di Gunung Sinai. (Kel. 19:10, 11) Begitu juga, semua yang akan menghadiri konvensyen perlu membuat persediaan rapi, termasuk mereka yang ada bahagian semasa program. Contohnya, ramai perlu mengambil cuti daripada kerja sekular. Situasi anda mungkin seperti Nehemia. Dia mahu meninggalkan kerjanya sebagai juru minuman Raja Artahsasta untuk membantu membina semula tembok Yerusalem. Dia tahu bahawa raja mungkin tidak bersetuju. Nehemia berdoa lalu menyampaikan permintaannya dengan berani dan sopan. Raja membenarkannya pergi dan menyokong projek pembinaan tersebut! (Neh. 2:1-9) Selain daripada memohon cuti, sudahkah anda membuat aturan bagi perjalanan dan tempat tinggal? Para penatua gembira memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Rancanglah untuk tiba awal bagi setiap sesi, dan bersedialah untuk “lebih bersungguh-sungguh” memberikan perhatian kepada apa yang akan anda dengar.—Ibr. 2:1.
3. Apakah yang akan membantu mempersiapkan hati kita bagi program konvensyen?
3 Satu lagi aspek penting untuk membuat persediaan termasuk mempersiapkan hati kita agar dapat mendengar dan belajar. (Ezr. 7:10) Program konvensyen akan dimuat naik lebih awal di laman Web jw.org. Semua tajuk ceramah berserta satu atau dua ayat Bible yang menjadi tema akan disenaraikan. Maklumat ini sangat bermanfaat untuk dibincangkan semasa malam Penyembahan Keluarga beberapa minggu sebelum konvensyen. Beberapa penyiar mencetak program untuk mengambil nota ringkas semasa konvensyen.
4. Bagaimanakah ibu bapa dapat mengajar anak-anak melalui konvensyen?
4 Ajar Anak Anda: Salah satu tujuan perhimpunan di Gunung Sinai adalah agar ibu bapa dapat “mengajar anak-anak mereka.” (Ul. 4:10) Konvensyen memberi ibu bapa peluang yang baik untuk melakukan hal yang sama. Ibu bapa patut duduk bersama anak-anak semasa sesi berlangsung dan membantu mereka menumpukan perhatian. Bincanglah maklumat program bersama keluarga setiap hari selepas program berakhir dan juga semasa penyembahan keluarga.
5. Apakah manfaat menghadiri konvensyen yang akan datang?
5 Perhimpunan di Gunung Sinai membantu orang Israel menghargai peluang istimewa sebagai umat Tuhan. (Ul. 4:7, 8) Konvensyen yang akan datang dirancang agar kita mendapat manfaat dalam cara yang sama. Selama tiga hari, kita akan bebas daripada dunia Syaitan dan menikmati kesegaran rohani serta pergaulan yang membina dalam firdaus rohani. (Yes. 35:7-9) Seraya hari Yehuwa semakin dekat, janganlah abaikan peluang tahunan untuk berkumpul bersama-sama bagi menggalakkan satu sama lain!—Ibr. 10:24, 25.