Cara Membantu Mereka yang Kurang Mahir Membaca
1. Apakah cabaran semasa mengajar Bible kepada mereka yang kurang mahir membaca?
1 Penghuni rumah yang kurang mahir membaca mungkin berminat akan hal-hal rohani, tetapi mereka mungkin berasa takut apabila melihat Bible atau buku-buku lain. Menawarkan buku Ajaran Bible kepada mereka pada mulanya mungkin kurang sesuai. Bagaimanakah kita dapat membantu mereka secara rohani? Kami telah menanya penyiar yang berpengalaman daripada kira-kira 20 negara. Cadangan mereka adalah seperti berikut.
2. Apakah bahan yang didapati berkesan untuk membantu orang yang kurang mahir membaca?
2 Jika pelajar itu kurang mahir atau tidak pandai membaca, anda mungkin boleh gunakan brosur Dengarlah Cakap Tuhan atau Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya. Seorang perintis dari Amerika Syarikat menunjukkan brosur itu dan menyuruh penghuni rumah pilih brosur yang dia suka. Pejabat cawangan di Kenya melaporkan bahawa bahan ini sangat berkesan kerana masyarakat Afrika biasanya mempelajari sesuatu daripada cerita dan bukannya melalui soal jawab. Orang yang berpendidikan pula mungkin mudah untuk menerima cara pembelajaran dalam bentuk perbincangan. Tetapi, cara ini mungkin menyebabkan orang yang kurang pendidikan berasa tidak selesa. Jika pelajar itu mempunyai sedikit kemahiran membaca, banyak penyiar suka menggunakan brosur Berita Baik daripada Tuhan! atau Buku Cerita Bible Saya.
3. Bagaimanakah kita dapat mengajar kebenaran dengan berkesan kepada mereka yang tidak dapat membaca?
3 Beri Pujian: Orang yang belum belajar membaca mungkin berasa malu, dan ramai di antara mereka berasa tidak bernilai. Langkah pertama untuk mengajar mereka kebenaran adalah dengan membuat mereka berasa selesa. Kebanyakan orang yang tidak dapat membaca sebenarnya pandai dan mampu untuk belajar. Tunjukkan hormat kepada mereka. (1 Ptr. 3:15) Keinginan untuk terus belajar akan bertumbuh jika mereka berasa bahawa usaha yang dicurahkan tidak sia-sia dan mereka sedang membuat kemajuan rohani. Jadi, teruslah memberikan pujian.
Orang yang belum belajar membaca mungkin berasa malu, dan ramai di antara mereka berasa tidak bernilai. Langkah pertama untuk mengajar mereka kebenaran adalah dengan membuat mereka berasa selesa
4. Bagaimanakah kita dapat menggalakkan mereka yang kurang mahir membaca untuk membuat persiapan bagi pembelajaran?
4 Tanpa mengira tahap kemahiran membaca pelajar itu, galakkan dia untuk berusaha membuat persiapan. Beberapa penyiar di Afrika Selatan menggalakkan pelajar mereka untuk meminta bantuan daripada ahli keluarga atau kawan yang dapat membaca dengan baik. Seorang penyiar di Britain menggalakkan pelajarnya membuat persediaan dengan membiarkan mereka menggunakan bukunya semasa membincangkan beberapa perenggan. Cara ini membantu mereka melihat betapa mudahnya untuk mencari jawapan jika membuat persiapan. Seorang saudara di India menggalakkan pelajarnya untuk memperhatikan dan merenungkan terlebih dahulu gambar yang terdapat pada pelajaran minggu depan.
5. Bagaimanakah kita boleh tunjukkan kesabaran semasa mengendalikan pembelajaran Bible?
5 Bersabarlah: Bertumpulah pada isi-isi penting tanpa mengira bahan bacaan yang digunakan dan bantu pelajar memahaminya dengan baik. Pada mulanya, anda boleh mengadakan perbincangan selama 10 hingga 15 minit. Jangan bincangkan terlalu banyak maklumat. Beberapa perenggan bagi setiap sesi sudah mencukupi. Bersabarlah jika pelajar itu membaca dengan perlahan. Dia mungkin akan didorong untuk meningkatkan kemahiran membaca seraya dia memupuk penghargaan kepada Yehuwa. Oleh itu, jemputlah dia menghadiri perjumpaan dari awal lagi. Sebuah sidang di Malaysia mengadakan kelas membaca untuk meningkatkan kemahiran membaca para penyiar dan pelajar Bible.
6. Bagaimanakah kita dapat membantu seseorang belajar membaca?
6 Pelajar Bible akan cepat membuat kemajuan rohani jika mereka belajar membaca. (Mzm. 1:1-3) Jika pelajar itu tawar hati, ingatkan dia tentang beberapa hal yang telah dipelajari untuk membina keyakinannya. Yakinkan dia bahawa usahanya akan diberkati dan galakkan dia berdoa memohon bantuan Yehuwa. (Ams. 16:3; 1 Yoh. 5:14, 15) Beberapa penyiar menggalakkan pelajar mereka untuk menetapkan matlamat yang munasabah dan dapat membantunya membuat kemajuan. Contohnya, mengingati huruf-huruf, mencari serta membaca ayat Bible tertentu, dan akhirnya membaca daripada bahan bacaan Bible edisi mudah. Membantu orang belajar membaca bukan hanya mengajar mereka tetapi juga mendorong mereka agar mahu melakukannya. Hal ini boleh dilakukan sekiranya kelas membaca diadakan. Jika mereka yang mahir membaca juga menyertai kelas ini, kehadiran dan minat yang mereka tunjukkan akan menjadi sumber galakan.
7. Mengapakah kita tidak mahu teragak-agak untuk kongsi kebenaran dengan mereka yang kurang mahir membaca?
7 Yehuwa tidak pandang rendah orang yang kurang pendidikan. (Ayb. 34:19) Yehuwa melihat keadaan hati seseorang. (1 Taw. 28:9) Jadi, janganlah teragak-agak untuk kongsi kebenaran dengan mereka yang kurang mahir membaca. Anda mempunyai banyak bahan bacaan yang boleh digunakan. Akhirnya, anda dapat menggunakan buku Ajaran Bible dan mengajar dia lebih banyak pemahaman tentang Bible.