RENCANA PEMBELAJARAN 36
LAGU 103 Gembala—Kurniaan Tuhan
Dapatkan Bantuan Para Penatua
“Adakah sesiapa antara kamu yang sakit? Hendaklah dia memanggil para penatua sidang.”—YAK. 5:14.
FOKUS
Dapatkan bantuan rohani daripada para penatua apabila anda memerlukannya.
1. Bagaimanakah kita tahu biri-biri Yehuwa sangat berharga di mata-Nya?
BIRI-BIRI Yehuwa sangat berharga di mata-Nya. Dia membeli mereka dengan nyawa Anak kesayangan-Nya dan melantik para penatua untuk menjaga mereka. (Kis. 20:28) Yehuwa mahu biri-biri-Nya dijaga dengan lemah lembut. Di bawah pimpinan Kristus, para penatua menyegarkan kawanan Tuhan dan melindungi mereka daripada bahaya rohani.—Yes. 32:1, 2.
2. Yehuwa lebih prihatin terhadap siapa? (Yehezkiel 34:15, 16)
2 Yehuwa mengasihi semua biri-biri-Nya. Tetapi Dia lebih prihatin terhadap mereka yang menderita dan lemah secara rohani. Dia menggunakan para penatua untuk membantu mereka. (Baca Yehezkiel 34:15, 16.) Namun, Dia mahu kita meminta bantuan apabila kita memerlukannya. Pada masa sedemikian, kita bukan sahaja patut berdoa kepada Tuhan, tetapi kita juga patut meminta bantuan daripada “gembala dan guru” di sidang.—Ef. 4:11, 12.
3. Apakah yang akan kita belajar dalam rencana ini?
3 Dalam rencana ini, kita akan belajar tentang bagaimana Yehuwa menggunakan para penatua untuk membantu kita semasa kita lemah secara rohani. Kita akan membincangkan soalan berikut: Bilakah kita patut meminta bantuan para penatua? Mengapakah kita patut meminta bantuan mereka? Dan bagaimanakah mereka akan membantu kita? Biarpun sekarang kita kuat secara rohani, jawapan kepada soalan-soalan itu akan meningkatkan penghargaan kita terhadap aturan Tuhan ini dan membantu kita apabila kita memerlukannya pada masa depan.
BILAKAH KITA PATUT MEMINTA BANTUAN PARA PENATUA?
4. Bagaimanakah kita tahu Yakobus 5:14-16, 19, 20 merujuk kepada seseorang yang sakit secara rohani? (Lihat juga gambar.)
4 Yakobus menjelaskan bagaimana Yehuwa menggunakan para penatua untuk membantu kita. Dia menulis, “Adakah sesiapa antara kamu yang sakit? Hendaklah dia memanggil para penatua sidang.” (Baca Yakobus 5:14-16, 19, 20.) Bagaimanakah kita tahu Yakobus sedang merujuk kepada seseorang yang sakit secara rohani? Orang yang sakit itu disuruh untuk mencari penatua, dan bukannya doktor. Selain itu, Yakobus menjelaskan bahawa dia dapat sembuh apabila dosanya diampunkan. Jadi, kedua-dua hal ini merujuk kepada orang yang sakit secara rohani. Jika kita sakit secara fizikal dan ingin sembuh, kita perlu berjumpa dengan doktor, beritahu dia masalah kita, dan ikut arahannya. Begitu juga, jika kita ingin sembuh secara rohani, kita perlu berjumpa dengan penatua, beritahu mereka masalah kita, dan ikut nasihat Bible yang mereka berikan.
Apabila kita jatuh sakit, kita akan berjumpa dengan doktor. Begitu juga, apabila kita sakit secara rohani, kita perlu berjumpa dengan para penatua (Lihat perenggan 4)
5. Bagaimanakah kita tahu kita mula lemah secara rohani?
5 Menurut Yakobus bab 5, kita perlu meminta bantuan para penatua sebelum hubungan kita dengan Yehuwa terjejas. Bible kata bahawa kita mungkin menipu diri tentang keadaan rohani kita. (Yak. 1:22) Maka, kita harus jujur dengan diri sendiri. Sesetengah orang Kristian di Sardis fikir mereka menyenangkan hati Yehuwa, tetapi hal itu tidak benar. (Why. 3:1, 2) Bagaimanakah kita dapat memeriksa keadaan rohani kita? Satu cara adalah dengan membandingkan semangat kita untuk ibadat sejati sekarang dengan pada masa dahulu. (Why. 2:4, 5) Tanyalah diri, “Adakah saya mengabaikan pembacaan dan perenungan Bible? Adakah saya lalai membuat persiapan dan menghadiri perjumpaan? Adakah semangat saya untuk menginjil sudah berkurang? Adakah saya mengutamakan keseronokan atau kebendaan?” Jika jawapan anda “ya” untuk mana-mana soalan ini, bertindaklah untuk mengatasinya sebelum keadaan rohani anda menjadi semakin teruk. Jika anda memerlukan bantuan untuk mengatasi kelemahan anda atau anda telah melanggar prinsip Bible, anda patut mencari para penatua.
6. Apakah yang patut kita buat jika kita telah melakukan dosa yang serius?
6 Ada dosa yang begitu serius sehingga seseorang mungkin dikeluarkan daripada sidang jika dia tidak bertaubat. (1 Kor. 5:11-13) Andai kata kita melakukan dosa yang serius, kita perlu mendapatkan bantuan para penatua untuk membaiki hubungan kita dengan Yehuwa. Jika kita mahu dosa kita diampunkan atas dasar korban tebusan Yesus, kita mesti “menunjukkan melalui perbuatan bahawa [kita] sudah bertaubat.” (Kis. 26:20) Salah satu cara kita menunjukkan bahawa kita sudah bertaubat adalah dengan mencari para penatua.
7. Siapakah lagi yang memerlukan bantuan para penatua?
7 Para penatua juga membantu mereka yang bergelut dengan keinginan yang salah. (Kis. 20:35) Contohnya, sebelum dibaptis, anda mungkin pernah menyalahgunakan dadah, melihat pornografi, atau hidup tidak bermoral. Jadi, anda mungkin bergelut dengan keinginan untuk melakukan tabiat itu semula. Anda tidak perlu menghadapi cabaran ini seorang diri. Anda boleh bercakap dengan seorang penatua yang anda rasa selesa dan yakin bahawa dia akan mendengar luahan anda. Dia akan memberi anda nasihat yang praktikal dan mengingatkan anda bahawa Yehuwa akan senang hati jika anda mematuhi-Nya. (Pkh. 4:12) Anda mungkin tawar hati kerana perlu bergelut dengan keinginan yang salah. Namun, para penatua akan mengingatkan anda bahawa apabila anda mendapatkan bantuan rohani, hal itu menunjukkan anda rendah hati dan mementingkan hubungan anda dengan Yehuwa.—1 Kor. 10:12.
8. Adakah anda perlu berjumpa dengan penatua setiap kali anda membuat kesilapan? Berikan contoh.
8 Anda tidak perlu berjumpa dengan penatua setiap kali anda membuat kesilapan. Contohnya, anda mungkin mengucapkan kata-kata yang telah menyakiti hati seorang saudara atau saudari kerana anda tidak dapat mengawal kemarahan anda. Jika hal itu berlaku, ikutlah nasihat Yesus untuk berdamai dengan rakan seiman anda. (Mat. 5:23, 24) Anda juga dapat membuat penyelidikan untuk belajar cara memupuk sifat kelemahlembutan, kesabaran, dan kawalan diri dengan lebih baik. Apabila Euodia dan Sintikhe tidak dapat menyelesaikan perselisihan mereka, Paulus meminta seorang saudara di sidang untuk membantu mereka. (Flp. 4:2, 3) Begitu juga, jika anda tidak dapat menyelesaikan masalah anda, anda dapat meminta bantuan para penatua.
MENGAPAKAH KITA PATUT MEMINTA BANTUAN PARA PENATUA?
9. Mengapakah rasa malu tidak patut menghalang kita daripada berjumpa dengan para penatua? (Amsal 28:13)
9 Kita memerlukan iman dan keberanian untuk meminta bantuan apabila kita melakukan dosa yang serius atau apabila kita bergelut dengan keinginan yang salah. Rasa malu tidak patut menghalang kita daripada berjumpa dengan para penatua. Mengapa? Kerana Yehuwa telah menyediakan bantuan para penatua untuk memastikan hubungan kita dengan-Nya tetap kuat. Semasa kita berjumpa dengan para penatua, kita menunjukkan bahawa kita yakin kepada Yehuwa, memerlukan bantuan-Nya, dan patuh kepada-Nya. (Mzm. 94:18) Jika kita mengakui dan meninggalkan dosa kita, kita yakin kita akan mendapat pengampunan Yehuwa.—Baca Amsal 28:13.
10. Apakah yang akan berlaku jika kita cuba untuk menyembunyikan dosa kita?
10 Jika kita cuba untuk menyembunyikan dosa kita, keadaan rohani kita akan menjadi semakin parah. Apabila Raja Daud cuba untuk menyembunyikan dosanya, dia menderita secara rohani, emosi, dan fizikal. (Mzm. 32:3-5) Sepertimana penyakit atau luka besar akan menjadi lebih teruk jika tidak dirawat, keadaan rohani kita juga akan menjadi semakin teruk jika kita tidak mendapatkan bantuan para penatua. Yehuwa tidak mahu hubungan kita dengan-Nya terjejas. Jadi, Dia menggalakkan kita untuk berjumpa dengan penatua supaya kita dapat pulih secara rohani.—Yes. 1:5, 6, 18.
11. Apakah yang akan berlaku jika kita menyembunyikan dosa yang serius?
11 Jika kita menyembunyikan dosa serius yang kita lakukan, hal itu akan mempengaruhi kita dan orang lain. Tuhan mungkin tidak lagi mencurahkan kuasa suci-Nya ke atas sidang lalu kedamaian sidang akan terancam. (Ef. 4:30) Selain itu, jika kita tahu rakan seiman kita telah melakukan dosa yang serius dan kita menyembunyikan perbuatannya, kita turut menanggung dosanya. (Im. 5:1) Jadi, kita harus menggalakkan dia untuk berjumpa dengan para penatua. Jika dia tidak melakukan hal itu selepas suatu jangka masa, kasih dan kesetiaan kita kepada Yehuwa harus menggerakkan kita untuk melaporkan hal itu kepada para penatua. Dengan berbuat demikian, kita memastikan sidang tetap bersih dan membantu orang yang berdosa itu untuk memulihkan hubungannya dengan Yehuwa.
BAGAIMANAKAH PARA PENATUA MEMBANTU KITA?
12. Bagaimanakah para penatua membantu orang yang lemah secara rohani?
12 Bible menggalakkan para penatua untuk membantu orang yang lemah secara rohani. (1 Tes. 5:14) Jika anda telah berbuat dosa, mereka akan menanyakan soalan-soalan untuk ‘menimba,’ atau memahami perasaan dan fikiran anda. (Ams. 20:5) Berusahalah untuk bercakap kepada mereka secara jujur dan terbuka, biarpun anda pemalu atau berasa segan untuk bercakap tentang apa yang telah berlaku. Janganlah risau bahawa para penatua akan menghakimi anda kerana mengucapkan “kata-kata yang melulu.” (Ayb. 6:3) Para penatua tidak akan segera membuat kesimpulan. Sebaliknya, mereka akan mendengar dengan teliti untuk mengetahui situasi anda dengan lebih baik sebelum memberi anda nasihat daripada Bible. (Ams. 18:13) Para penatua sedar bahawa menggembala kawanan Tuhan mengambil masa. Maka, mereka mungkin berjumpa dengan anda lebih daripada sekali untuk membantu anda.
13. Bagaimanakah doa para penatua dan nasihat Bible dapat membantu anda? (Lihat juga gambar.)
13 Semasa anda berjumpa dengan penatua, mereka tidak mahu buat anda rasa lebih bersalah. Sebaliknya, mereka akan berdoa bagi pihak anda dan doa yang mereka ucapkan “sangat berkesan.” Mereka juga akan “menyapu minyak pada [anda] atas nama Yehuwa.” (Yak. 5:14-16) “Minyak” itu merujuk kepada kebenaran dalam Firman Tuhan. Para penatua akan menggunakan Bible untuk melegakan hati anda dan memulihkan hubungan anda dengan Yehuwa. (Yes. 57:18) Nasihat Bible yang para penatua kongsi dapat menguatkan tekad anda untuk melakukan apa yang betul. Melalui mereka, anda seolah-olah dapat mendengar Yehuwa berkata, “Inilah jalannya. Ikutlah jalan ini!”—Yes. 30:21.
Para penatua menggunakan Bible untuk melegakan hati dan menggalakkan orang yang sakit secara rohani (Lihat perenggan 13-14)
14. Menurut Galatia 6:1, bagaimanakah para penatua membantu seseorang yang telah mengambil “langkah yang salah”? (Lihat juga gambar.)
14 Baca Galatia 6:1. Seorang Kristian yang telah mengambil “langkah yang salah” tidak mengikut standard Yehuwa. Dia mungkin telah membuat keputusan yang tidak bijak atau telah melakukan dosa yang serius. Dengan penuh kasih, para penatua akan “mencuba untuk membetulkannya dengan lemah lembut.” Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “membetulkan” juga boleh menggambarkan perbuatan membetulkan kedudukan tulang yang terkehel agar tulang itu dapat sembuh dengan baik. Seorang doktor yang mahir akan berhati-hati semasa dia cuba membetulkan tulang pesakitnya agar tidak menambah kesakitannya. Begitu juga, para penatua akan cuba memberi nasihat dalam cara yang baik hati kepada seseorang yang sakit secara rohani agar mereka tidak menambah kesakitannya. Bible juga menggalakkan para penatua untuk ‘memperhatikan diri sendiri.’ Semasa mereka membantu kita, para penatua sedar bahawa mereka juga tidak sempurna dan cenderung berbuat salah. Jadi, mereka tidak akan berfikir bahawa mereka lebih baik daripada kita. Sebaliknya, mereka akan bersikap rendah hati dan berbelas kasihan terhadap kita.—1 Ptr. 3:8.
15. Apakah yang dapat kita lakukan jika kita menghadapi masalah?
15 Kita dapat mempercayai para penatua. Mereka dilatih untuk memberikan nasihat berdasarkan Bible, terus membantu kita menangani masalah kita, dan tidak membongkar maklumat peribadi kita. (Ams. 11:13; Gal. 6:2) Para penatua mempunyai keperibadian dan pengalaman yang berbeza-beza. Jika kita menghadapi suatu masalah, kita dapat berjumpa dengan mana-mana penatua yang kita rasa selesa. Tetapi adalah penting kita tidak meminta nasihat daripada setiap penatua kerana berharap salah seorang daripada mereka akan setuju dengan pandangan kita. Jika kita berbuat demikian, kita seolah-olah mahu ‘telinga kita digeletek’ dan bukannya belajar “ajaran yang sihat” daripada Firman Tuhan. (2 Tim. 4:3) Apabila kita berjumpa dengan seorang penatua tentang masalah kita, dia mungkin bertanya jika kita telah berjumpa dengan penatua lain dan apa nasihat mereka kepada kita. Seorang penatua yang rendah hati juga akan meminta nasihat daripada penatua yang lain.—Ams. 13:10.
TANGGUNGJAWAB KITA
16. Apakah tanggungjawab kita?
16 Walaupun para penatua dilantik untuk menjaga kita, mereka tidak akan membuat keputusan bagi kita. Kita masing-masing ada tanggungjawab untuk menyenangkan hati Yehuwa melalui kata-kata dan perbuatan kita setiap hari. (Rm. 14:12) Dengan bantuan Yehuwa, kita dapat mengatasi apa sahaja cabaran dan tetap setia kepada-Nya. Oleh itu, para penatua akan membantu kita memahami fikiran Yehuwa daripada Firman-Nya. Dengan mengikut nasihat Bible, kita dapat melatih “daya penilaian” kita untuk membuat keputusan yang bijak.—Ibr. 5:14.
17. Apakah seharusnya tekad kita?
17 Kita sangat bersyukur kerana dapat menjadi biri-biri Yehuwa! Yehuwa telah mengutus “gembala yang baik,” iaitu Yesus, untuk membayar tebusan bagi kita supaya kita berpeluang untuk hidup selama-lamanya. (Yoh. 10:11) Selain itu, melalui aturan para penatua, Yehuwa telah menunaikan janji-Nya ini: “Aku akan memberi kamu para gembala yang bertindak selaras dengan kehendak-Ku. Mereka akan memberi kamu pengetahuan dan pemahaman.” (Yer. 3:15) Maka, apabila kita lemah atau sakit secara rohani, kita tidak patut teragak-agak untuk mencari para penatua. Semoga kita bertekad untuk meraih manfaat sepenuhnya daripada aturan Yehuwa ini!
LAGU 31 Berjalanlah dengan Tuhan!