Pergolakan Politik Memenuhi Nubuat Bible
Orang hari ini sangat berpecah belah kerana isu politik. Rakyat membantah undang-undang yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka, dan mereka menyuarakan pandangan mereka dengan agresif. Pada peringkat kerajaan pula, ahli parlimen dan pegawai-pegawai saling membangkang dan enggan mengalah. Situasi sebegini menyebabkan pergolakan politik yang menjejaskan kebolehan sebuah kerajaan untuk bertindak.
Namun, pergolakan politik di Amerika Syarikat dan Britain (yang juga dikenali sebagai United Kingdom) patut diberi perhatian khas. Mengapa? Kerana Bible telah meramalkan, atau menubuatkan, bahawa pergolakan politik akan berlaku di kedua-dua negara ini. Bible juga menyatakan bahawa semasa pergolakan itu, sebuah Kerajaan di syurga yang didirikan oleh Tuhan akan mengubah keadaan di bumi.
Pergolakan politik “yang akan berlaku pada kemudian hari”
Buku Daniel dalam Bible mengandungi sebuah nubuat yang menggemparkan. Dalam nubuat itu, Tuhan menyatakan “apa yang akan berlaku pada kemudian hari.” Semasa Daniel menulis nubuat itu, dia sedang menggambarkan peristiwa besar dalam sejarah manusia yang akan berlaku pada masa depan.—Daniel 2:28.
Tuhan menyampaikan nubuat itu menerusi sebuah mimpi kepada raja Babilon. Dalam mimpinya, raja Babilon nampak sebuah patung yang sangat besar, yang diperbuat daripada pelbagai jenis logam. Nabi Daniel menjelaskan bahawa setiap bahagian patung itu, dari kepala sampai kaki, melambangkan kuasa dunia dalam sejarah yang akan bangkit dan jatuh.a Akhirnya, patung itu akan dihentam oleh sebuah batu dan dimusnahkan dengan sepenuhnya. Batu itu ialah Kerajaan Tuhan.—Daniel 2:36-45.
Menurut nubuat itu, Kerajaan Tuhan akan menggantikan semua kerajaan manusia. Itulah Kerajaan yang dimaksudkan oleh Yesus semasa dia mengajar para pengikutnya untuk berdoa, “Datanglah Kerajaan-Mu.”—Matius 6:10.
Namun, adakah nubuat itu menyebut tentang pergolakan politik? Ya! Mengenai patung tersebut, Bible menyatakan, “Sebahagian kakinya diperbuat daripada besi, dan sebahagian lagi diperbuat daripada tanah liat.” (Daniel 2:33) Bahagian-bahagian lain patung itu diperbuat daripada logam tulen, manakala kakinya merupakan campuran dua unsur yang berbeza. Hal ini bermaksud bahawa kuasa dunia yang dilambangkan oleh kaki patung akan berbeza daripada kuasa-kuasa dunia yang sebelumnya. Apakah perbezaannya? Perhatikan penjelasan dalam nubuat Daniel:
Nubuat itu menyatakan bahawa kuasa dunia yang dilambangkan oleh kaki patung akan mengalami pergolakan politik. Kekuatan kuasa dunia ini akan dilemahkan kerana rakyatnya sendiri.
Nubuat Daniel menjadi kenyataan pada zaman kita
Kaki patung itu melambangkan kuasa dunia terbesar pada zaman kita, iaitu perikatan antara Amerika Syarikat dan Britain. Apakah yang membuktikannya?
Sebahagian daripada kaki patung itu “diperbuat daripada tanah liat, dan sebahagian lagi diperbuat daripada besi.” (Daniel 2:42) Campuran ini menyebabkan kaki itu menjadi lemah. Dewasa ini, pengaruh Amerika Syarikat dan Britain menjadi lemah kerana rakyatnya sendiri. Sebagai contoh, rakyatnya sering berbalah dan melakukan protes. Selain itu, wakil yang diundi rakyat sering tidak sependapat dalam banyak isu penting. Disebabkan perpecahan sebegini, kerajaan di kedua-dua negara ini susah melaksanakan keputusan yang dibuat.
Keadaan kerajaan-kerajaan sudah dinubuatkan di Daniel bab 2
Mari kita lihat beberapa butiran dalam nubuat Daniel dan bagaimana nubuat itu menjadi kenyataan hari ini:
Nubuat: “Kerajaan itu akan berpecah belah, tetapi sebahagian kerajaan itu masih kuat seperti besi.”—Daniel 2:41.
Penjelasan: Walaupun Amerika Syarikat dan Britain mengalami pergolakan politik, dua negara ini mempunyai pasukan tentera yang kuat. Oleh itu, mereka masih kuat seperti besi dan dapat melakukan sesuatu yang mempengaruhi pentas dunia.
Nubuat Menjadi Kenyataan
Dalam senarai negara mengikut perbelanjaan ketenteraan yang disediakan pada tahun 2023, jumlah perbelanjaan Amerika Syarikat dan Britain adalah lebih banyak daripada jumlah perbelanjaan 12 negara seterusnya yang teratas dalam senarai.—Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm.
“Kerjasama antara U.K. dengan A.S. dalam bidang pertahanan . . . telah menjadi perikatan yang paling kukuh yang pernah wujud antara dua negara, yang melibatkan perkongsian idea dan teknologi yang paling canggih. . . . Kami bekerja bersama, berganding bahu, dan berjuang bersama.”—Markas Strategik, Menteri Pertahanan U.K., April 2024.
Nubuat: “Sebahagian jari kaki patung itu diperbuat daripada tanah liat, dan sebahagian lagi diperbuat daripada besi, maka sebahagian daripada kerajaan itu kuat dan sebahagian lagi lemah.”—Daniel 2:42.
Penjelasan: Walaupun Amerika Syarikat dan Britain mempunyai kekuatan tentera yang besar, sistem pemerintahan demokratik dua negara ini menyebabkan kerajaannya susah melaksanakan keputusan, terutamanya apabila suatu keputusan tidak mendapat sokongan majoriti besar.
Nubuat Menjadi Kenyataan
“Menurut sesetengah penganalisis politik, perpecahan dalam politik Amerika mengehadkan kebolehan negara itu untuk membawa impak di seluruh dunia, tidak kira dari segi keselamatan atau perdagangan.”—“The Wall Street Journal.”
“Pergolakan politik sekarang, yang tidak pernah berlaku di Britain sebelum ini, telah menyimpangkan perhatian ahli politik daripada isu sebenar rakyat. Akibatnya, penjawat awamb tidak dapat melaksanakan perubahan dengan cekap untuk membantu rakyat.”—Institute for Government.
Nubuat: “Kerajaan itu akan bercampur dengan manusia biasa. Tetapi kedua-duanya tidak akan bersatu.”—Daniel 2:43, nota kaki.
Penjelasan: Suara rakyat memainkan peranan dalam menentukan dasar kerajaan, tetapi hasilnya tidak selalunya memuaskan semua pihak.
Nubuat Menjadi Kenyataan
“Hari ini, pandangan kebanyakan orang Amerika terhadap politik dan ahli politik sangat negatif.”—Pusat Penyelidikan Pew.
“Dalam 50 tahun yang lalu, kepercayaan rakyat Britain terhadap kerajaan dan ahli politik mereka tidak pernah menjunam ke tahap yang begitu rendah seperti sekarang.”—“Pusat Kajian Sosial Kebangsaan.”
Nubuat Daniel tentang masa depan kita
Menurut nubuat Daniel, semasa Kerajaan Tuhan datang untuk menggantikan semua kerajaan manusia, kuasa dunia yang sedang memerintah ialah perikatan Amerika Syarikat dan Britain.—Daniel 2:44.
Buku Wahyu juga mengandungi nubuat tentang apa yang akan berlaku semasa Kerajaan Tuhan menggantikan kerajaan manusia. Nubuat itu kata bahawa “raja-raja di seluruh bumi” akan bersatu untuk menentang Tuhan Yehuwac semasa perang Armagedon, iaitu “perang yang akan tercetus pada hari besar Tuhan Yang Maha Kuasa.” (Wahyu 16:14, 16; 19:19-21) Semasa perang ini, Yehuwa akan membinasakan semua kerajaan manusia. Maka lenyaplah semua kuasa dunia yang dilambangkan oleh patung besar dalam nubuat Daniel.
Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Apakah Itu Perang Armagedon?”
Nubuat Daniel tentang pergolakan politik sekarang bermanfaat untuk anda
Nubuat Bible tentang pergolakan politik yang sedang berlaku di Amerika Syarikat dan Britain adalah tepat. Setelah memahami nubuat ini, anda akan mempunyai pandangan yang berbeza tentang situasi dunia hari ini.
Anda akan faham mengapa Yesus tidak mahu para pengikutnya mencampuri urusan politik dunia. (Yohanes 17:16) Anda juga akan faham mengapa Yesus, selaku Raja Kerajaan Tuhan, berkata, “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini.”—Yohanes 18:36.
Anda akan yakin bahawa tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan mengubah keadaan di dunia dan mendatangkan semua berkat yang dijanjikan Tuhan.—Wahyu 21:3, 4.
Anda tidak perlu risau persengketaan antara negara-negara akan menghancurkan bumi suatu hari nanti.—Mazmur 37:11, 29.
Nubuat Daniel menyatakan bahawa perikatan Amerika Syarikat dan Britain, yang dilambangkan oleh bahagian kaki patung, ialah pemerintahan manusia yang terakhir. Selepas itu, seluruh bumi akan diperintah oleh sebuah Kerajaan yang sempurna, iaitu Kerajaan Tuhan di syurga!
Untuk belajar lebih lanjut tentang apa yang akan dilakukan Kerajaan Tuhan bagi manusia, tonton video Apa Itu Kerajaan Tuhan?
a Lihat kotak “Kuasa-Kuasa Dunia dalam Nubuat Daniel.”
b Penjawat awam ialah orang yang bekerja atau berjawatan bagi pihak kerajaan.
c Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?”