RENCANA PEMBELAJARAN 28
Kerajaan Tuhan Sedang Memerintah!
“Kerajaan Tuhan kita dan Kristus-Nya sedang memerintah dunia.”—WHY. 11:15.
LAGU 22 Datanglah Kerajaan Tuhan!
PENGENALANa
1. Kita yakin akan hal apa, dan mengapa?
DALAM dunia sekarang, hubungan keluarga semakin renggang. Ramai orang semakin ganas, mementingkan diri, dan agresif. Banyak orang juga berasa susah untuk mempercayai pihak berkuasa. Semasa melihat keadaan sebegini, anda mungkin berasa bahawa kehidupan kita tidak mungkin bertambah baik. Namun, keadaan dunia sekarang sebenarnya dapat meyakinkan anda bahawa kita memiliki masa depan yang cerah. Mengapa? Kerana kelakuan dan sikap orang sekarang tepat memenuhi nubuat tentang “hari-hari terakhir.” (2 Tim. 3:1-5) Ya, keadaan dunia sekarang jelas membuktikan bahawa nubuat itu sudah menjadi kenyataan, dan hal ini menunjukkan bahawa Kristus Yesus sudah mula memerintah sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Sebenarnya, terdapat banyak lagi nubuat Bible tentang Kerajaan Tuhan. Jika kita mengkaji bagaimana nubuat-nubuat itu menjadi kenyataan pada zaman kita, iman kita akan dikuatkan.
Sebagaimana kepingan puzzle yang dicantumkan dapat menghasilkan satu gambar yang jelas, apabila kita mencantumkan nubuat-nubuat Bible, kita akan mendapat gambaran yang jelas tentang peristiwa-peristiwa dalam jadual masa Yehuwa. (Lihat perenggan 2)
2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini, dan mengapa? (Beri komen tentang gambar pada muka depan majalah.)
2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan (1) sebuah nubuat yang membantu kita tahu bila Kerajaan Tuhan ditubuhkan, (2) beberapa nubuat yang membantu kita memahami bahawa Yesus sudah menjadi Raja di syurga, dan (3) beberapa nubuat yang menunjukkan bagaimana musuh Tuhan akan dilenyapkan. Nubuat-nubuat ini adalah seperti kepingan puzzle dalam permainan susun suai gambar. Sebagaimana kepingan puzzle yang dicantumkan dapat menghasilkan satu gambar yang jelas, apabila kita mencantumkan nubuat-nubuat ini, kita akan mendapat gambaran yang jelas tentang peristiwa-peristiwa dalam jadual masa Yehuwa. Kita juga dapat mengetahui peristiwa yang sudah, sedang, dan akan berlaku.
BAGAIMANA KITA TAHU BILA KERAJAAN TUHAN DITUBUHKAN
3. Daripada Daniel 7:13, 14, apakah yang kita ketahui tentang Raja Kerajaan Tuhan?
3 Nubuat yang tercatat di Daniel 7:13, 14 meyakinkan kita bahawa Kristus Yesus merupakan Raja yang terbaik untuk memerintah Kerajaan Tuhan. Orang dari segala bangsa akan sudi “melayaninya,” dan Kerajaannya tidak akan berakhir. Satu lagi nubuat dalam buku Daniel menyatakan bahawa Yesus akan menjadi Raja selepas akhir tujuh waktu. Dapatkah kita mengetahui bila hal itu berlaku?
4. Bagaimanakah Daniel 4:10-17 membantu kita mengetahui bila Kristus menjadi Raja? Jelaskan. (Lihat juga nota kaki.)
4 Baca Daniel 4:10-17. “Tujuh waktu” itu melambangkan satu jangka masa yang panjangnya 2,520 tahun. Tempoh masa itu mula dikira dari tahun 607 SM, semasa raja terakhir yang duduk di atas takhta Yehuwa di Yerusalem digulingkan oleh orang Babilon. “Tujuh waktu” itu berakhir pada tahun 1914 semasa Yehuwa menabalkan Yesus, iaitu orang yang berhak memerintah, sebagai Raja Kerajaan Tuhan.b—Yeh. 21:25-27.
5. Mengapakah nubuat tentang “tujuh waktu” bermanfaat untuk kita?
5 Mengapakah nubuat ini bermanfaat bagi kita? Apabila kita memahami nubuat tentang “tujuh waktu,” kita diyakinkan bahawa Yehuwa akan menunaikan janji-janji-Nya tepat pada masanya. Yehuwa telah menetapkan masa untuk menubuhkan Kerajaan Tuhan, dan hal itu berlaku tepat pada waktu yang ditentukan-Nya. Maka, Dia akan memastikan agar semua nubuat-Nya yang lain menjadi kenyataan tepat pada waktu yang ditentukan-Nya. Ya, kita boleh yakin bahawa hari Yehuwa “tidak akan ditangguhkan!”—Hab. 2:3.
BAGAIMANA KITA TAHU KRISTUS SUDAH MENJADI RAJA KERAJAAN TUHAN
6. (a) Apakah peristiwa-peristiwa di bumi yang membuktikan bahawa Kristus sudah mula memerintah di syurga? (b) Bagaimanakah nubuat di Wahyu 6:2-8 menegaskan bahawa peristiwa-peristiwa ini pasti berlaku?
6 Menjelang akhir kerja penyebarannya di bumi, Yesus menubuatkan bahawa apabila para pengikutnya melihat peristiwa tertentu berlaku di bumi, itulah tanda bahawa dia sudah mula memerintah di syurga. Sesetengah peristiwa yang disebut oleh Yesus termasuk peperangan, kebuluran, dan gempa bumi. Yesus juga menubuatkan bahawa wabak penyakit akan “terjadi secara berturut-turut di merata tempat,” seperti pandemik COVID-19 baru-baru ini. Peristiwa-peristiwa ini merupakan sebahagian daripada “tanda” kehadiran Kristus. (Mat. 24:3, 7; Luk. 21:7, 10, 11) Lebih daripada 60 tahun selepas Yesus kembali ke syurga, dia memberi Rasul Yohanes suatu penglihatan untuk menegaskan bahawa peristiwa-peristiwa ini pasti berlaku. (Baca Wahyu 6:2-8.) Sejak Yesus menjadi Raja Kerajaan Tuhan pada tahun 1914, semua peristiwa yang dinubuatkannya telah berlaku.
7. Mengapakah keadaan dunia menjadi semakin teruk selepas Yesus menjadi Raja?
7 Mengapakah keadaan dunia menjadi semakin teruk selepas Yesus menjadi Raja? Wahyu 6:2 menjelaskan sebabnya. Hal pertama yang dilakukan Yesus selepas dia menjadi Raja ialah melancarkan peperangan untuk melawan Si Iblis dan roh-roh jahat. Menurut Wahyu bab 12, Syaitan telah kalah, lalu dia dan roh-roh jahatnya dibuang ke bumi. Oleh itu, Syaitan sangat marah dan membawa banyak masalah kepada manusia. Itulah sebabnya Bible menyatakan, “Malanglah bumi.”—Why. 12:7-12.
Kita tidak bersukacita semasa melihat hal yang buruk berlaku. Tetapi nubuat Bible yang menjadi kenyataan meyakinkan kita bahawa Kerajaan Tuhan sedang memerintah (Lihat perenggan 8)
8. Apakah manfaat yang kita raih semasa melihat nubuat-nubuat tentang Kerajaan Tuhan menjadi kenyataan?
8 Mengapakah nubuat-nubuat ini bermanfaat bagi kita? Peristiwa dunia dan perubahan besar dalam sikap kebanyakan orang membuktikan bahawa Yesus sudah menjadi Raja. Jadi, daripada berasa marah dan kecewa semasa melihat orang bersikap mementingkan diri dan saling membenci, kita diingatkan bahawa sikap dan kelakuan mereka sedang memenuhi nubuat Bible, dan hal ini menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan sedang memerintah. (Mzm. 37:1) Apabila Armagedon semakin dekat, kita dapat menjangkakan bahawa masalah dunia akan semakin bertambah. (Mrk. 13:8; 2 Tim. 3:13) Tidakkah anda bersyukur kerana Bapa kita yang di syurga telah membantu kita memahami erti di sebalik semua masalah dunia?
BAGAIMANA MUSUH KERAJAAN TUHAN AKAN DIMUSNAHKAN
9. Bagaimanakah nubuat di Daniel 2:28, 31-35 menggambarkan kuasa dunia yang terakhir? Bilakah kuasa dunia ini mula wujud?
9 Baca Daniel 2:28, 31-35. Nubuat ini juga sedang menjadi kenyataan kerana mimpi Nebukadnezar menunjukkan apa yang akan berlaku “pada kemudian hari,” iaitu selepas Yesus mula memerintah. Semasa Yesus sedang memerintah, salah satu musuhnya di bumi ialah kuasa dunia yang terakhir dalam Bible, yang dilambangkan oleh “kaki patung yang diperbuat daripada besi dan tanah liat.” Kuasa dunia ini mula wujud apabila Britain dan Amerika Syarikat bekerjasama semasa Perang Dunia Pertama dan membentuk Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. Daripada patung dalam mimpi Nebukadnezar, kita juga mengetahui dua hal yang membuat kuasa dunia ini berbeza daripada kuasa-kuasa dunia yang sebelumnya.
10. (a) Bagaimanakah nubuat Daniel tepat menggambarkan Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika? (b) Kita harus berhati-hati terhadap apa? (Lihat kotak “Berwaspadalah terhadap Tanah Liat!”)
10 Pertama, tidak seperti kuasa-kuasa dunia sebelumnya yang dilambangkan oleh logam tulen seperti emas atau perak, Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika dilambangkan oleh campuran besi dan tanah liat. Tanah liat itu melambangkan “manusia biasa,” atau rakyat. (Dan. 2:43, nota kaki) Seperti yang dapat kita lihat dengan jelas dalam dunia sekarang, pengaruh rakyat dalam pilihan raya, gerakan hak sivil, tunjuk perasaan besar-besaran, dan kesatuan buruh, telah melemahkan kuasa dunia ini. Akibatnya, para pemimpin kuasa dunia ini berasa susah untuk melaksanakan apa yang diingini mereka.
11. Bagaimanakah hakikat bahawa Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika sedang memerintah sekarang meyakinkan kita bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir?
11 Kedua, Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika yang dilambangkan oleh kaki patung itu ialah kuasa dunia yang terakhir dalam nubuat Bible. Kuasa dunia ini tidak akan digantikan dengan kuasa dunia yang lain. Sebaliknya, Kerajaan Tuhan akan memusnahkan kuasa dunia ini dan semua kerajaan manusia yang lain semasa Armagedon.c—Why. 16:13, 14, 16; 19:19, 20.
12. Bagaimanakah nubuat Daniel melegakan hati kita dan memberi kita harapan?
12 Apakah manfaat nubuat ini bagi kita? Nubuat Daniel membantu kita bertambah yakin bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Lebih daripada 2,500 tahun yang lalu, Daniel menubuatkan bahawa selepas kuasa dunia Babilon, terdapat empat lagi kuasa dunia yang akan memerintah umat Tuhan. Dia juga menubuatkan bahawa Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika merupakan kuasa dunia yang terakhir. Nubuat Daniel melegakan hati kita dan memberi kita harapan bahawa tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan membinasakan semua kerajaan manusia dan memerintah seluruh bumi.—Dan. 2:44.
13. Apakah yang dilambangkan oleh “raja kelapan” dan “10 orang raja” yang disebut di Wahyu 17:9-12? Bagaimanakah nubuat ini menjadi kenyataan?
13 Baca Wahyu 17:9-12. Kemusnahan yang berlaku akibat Perang Dunia Pertama telah menyebabkan satu lagi nubuat Bible tentang hari-hari terakhir menjadi kenyataan. Selepas perang itu, para pemimpin dunia menginginkan kedamaian sejagat. Oleh itu, mereka menubuhkan Liga Bangsa-Bangsa pada Januari 1920. Pada Oktober 1945, Liga Bangsa-Bangsa telah digantikan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bible menggambarkan PBB sebagai “raja kelapan,” tetapi PBB bukanlah kuasa dunia kerana kuasanya diberikan oleh kerajaan-kerajaan yang menganggotainya. Bible menggambarkan semua kerajaan yang menyokong PBB sebagai “10 orang raja.”
14-15. (a) Bagaimanakah penglihatan di Wahyu 17:3-5 menjadi kenyataan? (b) Apakah yang sedang berlaku kepada para penganut agama palsu?
14 Baca Wahyu 17:3-5. Dalam sebuah penglihatan, Rasul Yohanes melihat seorang pelacur yang dipanggil “Babilon Besar.” Pelacur ini melambangkan semua agama palsu di dunia. Bagaimanakah penglihatan itu menjadi kenyataan? Sejak dahulu lagi, pertubuhan agama palsu telah menyokong dan bersekongkol dengan kuasa politik dunia. Namun tidak lama lagi, Yehuwa akan “menanam rancangan untuk melaksanakan tujuan-Nya dalam hati [para pemimpin politik].” Apabila hal itu berlaku, kuasa-kuasa politik, iaitu “10 orang raja” itu, akan menyerang dan membinasakan semua pertubuhan agama palsu.—Why. 17:1, 2, 16, 17.
15 Bagaimanakah kita tahu bahawa akhir bagi Babilon Besar sudah dekat? Kota Babilon kuno dilindungi oleh air daripada Sungai Efrat. Dalam buku Wahyu, jutaan orang yang menganuti agama palsu disamakan dengan “air” yang melindungi Babilon Besar. (Why. 17:15) Namun buku Wahyu juga menyatakan bahawa air itu akan “menjadi kering.” (Why. 16:12) Hal ini bermaksud ramai orang tidak akan menyokong agama palsu lagi. Tepat seperti yang dinubuatkan, ramai orang hari ini tidak lagi mementingkan agama dan menganggap agama tidak dapat menyelesaikan masalah mereka.
16. Apakah manfaat yang kita raih setelah memahami nubuat tentang penubuhan PBB dan akhir bagi Babilon Besar?
16 Mengapakah nubuat-nubuat ini bermanfaat bagi kita? Memandangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sudah ditubuhkan dan para penyokong agama palsu semakin berkurangan, hal ini menguatkan keyakinan kita bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Namun, ingatlah bahawa agama palsu tidak akan lenyap kerana jumlah pengikutnya semakin berkurang. Sebaliknya seperti yang dibincangkan tadi, Yehuwa akan “menanam rancangan untuk melaksanakan tujuan-Nya” dalam hati “10 orang raja” itu, iaitu kerajaan-kerajaan yang menyokong PBB. Secara tiba-tiba, semua kerajaan itu akan membinasakan Babilon Besar.d (Why. 18:8-10) Peristiwa itu akan menggemparkan seluruh dunia dan membuat banyak orang terkejut. Keadaan hidup pada masa itu juga mungkin bertambah susah. Namun, umat Tuhan mempunyai dua sebab untuk bersukacita. Pertama, agama palsu yang sudah lama menjadi musuh Tuhan Yehuwa akan dilenyapkan buat selama-lamanya. Kedua, tidak lama lagi kita akan diselamatkan daripada dunia jahat Syaitan.—Luk. 21:28.
MENGHADAPI MASA DEPAN DENGAN YAKIN
17-18. (a) Bagaimanakah kita dapat terus menguatkan iman kita? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?
17 Daniel menubuatkan bahawa “pengetahuan yang benar akan berlimpah-limpah.” Nubuat itu memang sudah menjadi kenyataan! Kini kita memahami nubuat-nubuat yang berkaitan dengan zaman kita. (Dan. 12:4, 9, 10) Semasa melihat bagaimana semua nubuat ini menjadi kenyataan dengan begitu tepat, kita berasa kagum terhadap Yehuwa dan Firman-Nya. (Yes. 46:10; 55:11) Oleh itu, teruslah menguatkan iman anda dengan mengkaji Bible dan membantu orang lain membina hubungan yang baik dengan Yehuwa. Jika kita bergantung pada-Nya dengan sepenuh hati, Dia akan melindungi kita dan memberi kita “kedamaian yang berkekalan.”—Yes. 26:3.
18 Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan beberapa nubuat tentang sidang Kristian pada hari-hari terakhir. Kita akan melihat bagaimana nubuat-nubuat ini membuktikan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Kita juga akan melihat bukti yang menunjukkan bahawa Raja kita, Yesus, sedang memimpin pengikutnya yang setia.
LAGU 61 Majulah Saksi-Saksi!
a Kita sedang hidup pada zaman yang paling mendebarkan dalam sejarah manusia! Seperti yang dinyatakan dalam beberapa nubuat Bible, Kerajaan Tuhan sedang memerintah. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji nubuat-nubuat itu untuk menguatkan keyakinan kita terhadap Yehuwa dan membantu kita agar tetap tenang sekarang dan menghadapi masa depan dengan yakin.
b Lihat pelajaran 32 poin 4 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! dan tonton video Kerajaan Tuhan Mula Memerintah pada 1914 di jw.org/ms.
c Untuk maklumat lanjut tentang nubuat Daniel, lihat Menara Pengawal terbitan 15 Jun 2012, ms. 14-19.
d Untuk maklumat lanjut tentang apa yang akan berlaku tidak lama lagi, lihat bab 21 dalam buku Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!