Gunakan Bible dengan Mahir
1. Mengapakah Bible begitu berguna?
1 Memberitakan dan mengajar kebenaran dengan jelas. Mendedahkan ajaran palsu dan adat istiadat manusia. Kita boleh berbuat demikian dengan menggunakan Firman Tuhan yang terilham secara mahir.—2 Tim. 2:15; 1 Ptr. 3:15.
2. Apakah yang dapat membantu kita untuk mencari ayat-ayat Bible dengan lebih mahir?
2 Tingkatkan Pengetahuan Anda tentang Bible: Seperti penggunaan suatu alat, kemahiran seseorang lahir apabila pengetahuannya tentang alat tersebut bertambah. Dengan membaca Bible dari mula hingga akhir, anda mendapat gambaran keseluruhan tentang tema Bible. Anda juga dibantu untuk mengingati dan mencari ayat-ayat Bible dengan lebih mudah. Seraya pengetahuan anda tentang Bible bertambah, anda akan berbicara dengan lebih bersemangat dan yakin semasa memberi kesaksian kepada orang secara tidak formal dan dalam kerja penyebaran.—1 Tes. 1:5.
3, 4. (a) Sebutkan beberapa cara untuk meningkatkan pengetahuan kita tentang Bible. (b) Pernahkah anda menggunakan cara lain untuk meningkatkan pengetahuan tentang Bible?
3 Pupuklah tabiat untuk membuka Bible anda dan mengikuti pembacaannya semasa perjumpaan. Semasa membuat pembelajaran peribadi dan persiapan untuk perjumpaan, semak dan renungkan cara untuk menerapkan ayat-ayat rujukan Bible. Ramai mendapati bahawa membaca ayat-ayat Bible secara langsung daripada Bible adalah lebih baik daripada membacanya menerusi komputer atau cetakan kerana mereka dapat mencari ayat-ayat tersebut dengan lebih mudah semasa hendak digunakan dalam kerja penyebaran nanti.—Yoh. 14:26.
4 Sesetengah keluarga menetapkan masa untuk menghafal ayat-ayat Bible. Mereka menggunakan kad atau kertas kecil yang ditulis dengan ayat rujukan Bible pada muka hadapan dan petikan Bible pada muka belakang. Ahli keluarga bergilir-gilir menggunakan kad-kad ini untuk menguji sama ada mereka dapat menyebut petikan Bible atau mengingati dari mana ayat Bible itu diambil. Kita juga boleh meningkatkan kemahiran dengan menggunakan Bible semasa berlatih memberi penyampaian dan menjawab bantahan atau soalan.
5. Mengapakah kita ingin meningkatkan kemahiran menggunakan Bible?
5 Nilai Bible tiada tolok bandingnya. Hanya Bible mengandungi tulisan-tulisan yang dapat memberi orang “kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan.” (2 Tim. 3:15) Memandangkan kebanyakan orang di kawasan penyebaran kita tidak mengetahui tentang intan mutiara yang terkandung dalam Bible, kita mempunyai alasan yang baik untuk meningkatkan kemahiran kita dan menunjukkan kepada mereka apa yang sebenarnya terkandung dalam Bible.—Ams. 2:1-5.