Ayub
12 Kemudian Ayub menjawab,
2 “Memanglah kamu orang yang bijak,
Dan kebijaksanaan akan lenyap apabila kamu mati!
3 Tetapi aku juga berpengertian.
Aku tidak lebih rendah daripada kamu.
Siapakah yang tidak tahu akan semua perkara itu?
4 Aku sudah menjadi bahan ketawa bagi sahabat-sahabatku,+
Kerana aku berharap agar Tuhan mendengarkan seruanku.+
Ya, orang yang baik dan tidak bercela seperti aku akan ditertawakan.
5 Orang yang tiada kerunsingan menghina orang yang ditimpa malapetaka.
Mereka berfikir bahawa hanya orang yang tidak teguh dilanda bencana.
6 Seperti orang yang menggenggam berhala pujaan mereka,
Para perompak hidup damai sejahtera,+
Dan orang yang mengundang kemurkaan Tuhan hidup aman sentosa.+
7 Namun bertanyalah kepada binatang-binatang, dan kamu akan diajar;
Bertanyalah juga kepada burung-burung di langit, dan kamu akan diberi pemahaman.
8 Perhatikanlah* bumi, dan kamu akan mendapat ilmu;
Perhatikanlah juga ikan-ikan di laut, dan kamu akan menerima penjelasan.
9 Siapakah yang tidak tahu bahawa
Yehuwalah yang menciptakan semua itu?
10 Nafas kehidupan segala makhluk
Dan nyawa setiap manusia ada dalam tangan-Nya.+
11 Bukankah telinga yang menguji kata-kata,
Sebagaimana lidah mengecap makanan?+
12 Bukankah kebijaksanaan ada pada orang tua?+
Bukankah pengertian ada pada orang yang lanjut usia?
13 Tetapi Tuhanlah yang mempunyai kebijaksanaan dan kekuatan;+
Dialah yang mempunyai pengertian dan Dialah yang akan melaksanakan kehendak-Nya.+
14 Apa yang dirobohkan-Nya tidak dapat dibina semula,+
Dan apa yang telah ditutup-Nya tidak dapat dibuka oleh sesiapa pun.
15 Apabila Dia menahan hujan, segala sesuatu menjadi kering;+
Apabila Dia mencurahkan hujan, bumi digenangi air.+
16 Tuhan amat kuat dan bijaksana;+
Para pendosa dan orang yang menyebabkan orang lain berdosa ada dalam kekuasaan-Nya.
17 Dia memalukan para penasihat,
Dan mempersendakan para hakim.+
18 Dia melepaskan belenggu-belenggu yang dikenakan oleh para raja,+
Dan mengenakan pengikat pada pinggang mereka.
19 Dia merendahkan para imam,+
Dan menggulingkan para pemerintah.+
20 Dia membungkam mulut para penasihat yang dipercayai,
Dan merampas kebijaksanaan daripada orang tua-tua.
21 Dia menghina para pembesar,+
Dan melemahkan orang yang berkuasa.
22 Dia mendedahkan perkara-perkara yang tersembunyi dalam kegelapan,+
Dan menerangi tempat-tempat yang kelam.
23 Dia menjadikan bangsa-bangsa kuat supaya mereka dibinasakan;
Dia menjadikan bangsa-bangsa besar supaya mereka ditawan.
24 Dia merampas pengertian para pemimpin,
Dan membuat mereka mengembara tanpa tujuan di tanah yang tandus.+