Mazmur
Untuk pengarah muzik. Lagu yang digubah oleh Daud.
64 Ya Tuhan, dengarlah seruanku kerana aku berasa sungguh gelisah.+
Peliharalah nyawaku daripada serangan musuh yang mengerikan.
2 Lindungilah aku daripada komplot orang yang jahat,+
Dan daripada kumpulan orang yang keji.
3 Lidah mereka tajam seperti pedang;
Kata-kata mereka yang kejam bagaikan anak panah
4 Yang dihalakan ke arah orang yang tidak bersalah.
Secara tiba-tiba dan tanpa rasa takut, mereka memanah orang dari tempat persembunyian.
5 Mereka asyik mengucapkan kata-kata yang jahat;*
Mereka berbincang tentang cara untuk memasang perangkap.
Mereka berkata, “Tiada sesiapa yang akan nampak.”+
6 Mereka memikirkan cara baharu untuk berbuat jahat;
Secara diam-diam, mereka merancang pelbagai muslihat yang licik;+
Sesungguhnya, fikiran dan hati mereka masing-masing sukar diselami.
7 Tetapi Tuhan akan memanah mereka secara mengejut,+
Dan mereka akan dicederakan oleh anak panah-Nya.
8 Kata-kata mereka sendiri akan mengakibatkan kejatuhan mereka;+
Semua orang yang melihat mereka akan menggelengkan kepala.
9 Kemudian semua orang akan menjadi takut;
Mereka akan mengisytiharkan perbuatan Tuhan,
Dan mereka akan memahami segala tindakan-Nya.+
10 Orang yang baik akan berlindung kepada Yehuwa dan bersukacita kerana Dia;+
Semua orang yang tulus hati akan berasa bangga kerana Tuhan.