Zakharia
9 Berikut merupakan perkhabaran Tuhan:
“Aku, Yehuwa, akan menghukum negeri Hadrakh,
Dan Damsyik ialah sasaran hukuman-Ku.+
Mata Aku, Yehuwa, memperhatikan semua manusia,+
Termasuk suku-suku Israel.
2 Hamat,+ negeri jirannya,* juga akan dihukum;
Demikian juga dengan Tirus+ dan Sidon,+ kerana penduduk kota-kota itu begitu bijaksana.+
3 Tirus telah membina kubu-kubunya.
Perak yang dikumpulkannya begitu banyak seperti debu,
Dan emas yang disimpannya banyak bagaikan tanah di jalan.+
4 Aku, Yehuwa, akan merampas harta milik Tirus;
Tenteranya pula akan dikalahkan dan dihumban ke dalam laut.*+
Kota itu akan musnah dijilat api.+
5 Kota Askelon akan melihatnya lalu menjadi takut;
Kota Gaza akan berasa amat terseksa setelah menyaksikannya,
Begitu juga dengan Ekron, kerana harapannya telah hancur.
Raja di Gaza akan lenyap,
Dan Askelon tidak akan didiami lagi.+
6 Pendatang asing akan menduduki Asdod,
Dan Aku akan mematahkan keangkuhan orang Filistin.+
7 Aku akan menyingkirkan daging yang masih berdarah daripada mulut mereka,
Dan membuang makanan yang menjijikkan daripada celah gigi mereka.
Orang yang masih hidup dalam kalangan mereka akan menjadi milik-Ku.
Mereka akan menjadi seperti ketua suku di Yehuda,+
Dan orang Ekron akan menjadi seperti orang Yebus.+
8 Aku akan berkawal di luar rumah-Ku untuk mempertahankannya,+
Supaya tiada orang yang dapat masuk atau keluar.
Penindas tidak akan dibenarkan menceroboh lagi,+
Kerana Aku sudah melihat penderitaan umat-Ku.
9 Bersukacitalah, hai kota Sion!
Bersoraklah dengan gembira, hai kota Yerusalem!
Lihatlah, rajamu datang!+
Dia adil dan akan menyelamatkanmu.*
Dengan rendah hati,+ dia datang dengan menunggang seekor keldai jantan.
Ya, dia menunggang seekor keldai muda.+
10 Kereta kuda yang digunakan dalam peperangan, akan Aku lenyapkan dari Efraim,
Begitu juga dengan kuda di Yerusalem.
Busur yang digunakan dalam peperangan akan dimusnahkan.
Rajamu akan mengisytiharkan kedamaian kepada bangsa-bangsa;+
Kerajaannya akan terbentang dari laut ke laut,
Dari Sungai Efrat sampai ke hujung bumi.+
11 Hai Sion, kerana darah yang mengesahkan perjanjian antara Aku denganmu,
Aku akan membebaskan pendudukmu yang terkurung dalam lubang kering.+
12 Hai para tawanan yang mempunyai harapan, kembalilah ke kubu perlindungan kamu.+
Hai Sion, Aku memberitahu engkau hari ini,
‘Aku akan memberkatimu sebanyak dua kali ganda.+
13 Yehuda akan menjadi seperti busur yang Aku lengkungkan.
Efraim akan menjadi seperti anak panah-Ku.
Hai Sion, engkau akan menjadi seperti pedang seorang pahlawan.
Aku akan membangkitkan pendudukmu
Untuk menyerang orang Yunani.’
14 Aku, Yehuwa, akan menunjukkan bahawa Aku menyertai umat-Ku;
Anak panah yang Aku lepaskan akan terbang sepantas kilat.
Aku, Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, akan meniup trompet,+
Dan Aku akan maju dengan angin ribut dari selatan.
15 Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, akan mempertahankan mereka.
Musuh yang melontarkan batu kepada mereka akan ditundukkan dan dibinasakan.+
Mereka akan bergembira dan bersorak-sorak, seolah-olah mereka telah minum wain.
Mereka akan berasa puas seperti mangkuk yang telah diisi,
Dan seperti sudut-sudut mazbah yang dilumuri darah.+
16 Pada hari itu, Aku, Yehuwa, Tuhan mereka, akan menyelamatkan mereka,
Sebagaimana seorang gembala menyelamatkan kawanan bebirinya.+
Mereka akan bersinar-sinar di tanah-Ku seperti permata pada mahkota.+
17 Keagungan-Ku tiada tandingnya,+
Kebaikan-Ku sungguh menakjubkan!
Pemuda dan pemudi akan bertambah kuat
Dengan adanya bijirin dan wain baharu.”+