PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 8 1A-4V
  • Rut

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Rut
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Rut

RUT

1 Pada zaman pemerintahan para hakim,+ kebuluran berlaku di Israel. Oleh itu, seorang lelaki meninggalkan kota Betlehem+ di daerah Yehuda bersama isterinya dan dua orang anak lelakinya. Mereka berpindah ke negeri Moab+ dan tinggal di situ sebagai orang asing. 2 Lelaki itu bernama Elimelekh,* dan isterinya bernama Naomi.* Anak-anak lelaki mereka bernama Mahlon dan Kilyon. Mereka berasal dari Efrata (atau Betlehem) di daerah Yehuda. Mereka tiba di negeri Moab lalu menetap di situ.

3 Selepas suatu jangka waktu, suami Naomi, iaitu Elimelekh, meninggal. Maka tinggallah Naomi bersama dua orang anak lelakinya. 4 Kemudian anak-anak lelakinya berkahwin dengan wanita Moab, seorang bernama Orpa dan seorang lagi bernama Rut.+ Mereka tinggal di Moab kira-kira 10 tahun. 5 Selepas itu, kedua-dua orang anak lelaki Naomi, iaitu Mahlon* dan Kilyon,* juga meninggal. Demikianlah Naomi kehilangan suami dan anak-anaknya. 6 Kemudian Naomi mendengar bahawa Yehuwa telah memberkati umat-Nya dengan memberikan makanan kepada mereka. Maka dia meninggalkan Moab untuk pulang ke daerah asalnya bersama dua orang menantunya.

7 Naomi meninggalkan tempat tinggalnya bersama dengan kedua-dua orang menantunya. Dalam perjalanan ke daerah Yehuda, 8 Naomi berkata kepada mereka, “Pulanglah ke rumah ibu kamu masing-masing. Semoga Yehuwa menunjukkan kasih setia kepada kamu,+ sebagaimana kamu telah menunjukkan kasih setia kepadaku dan kepada suami kamu yang telah meninggal. 9 Semoga Yehuwa memberkati kamu dengan seorang suami supaya kamu akan mendapat ketenangan di rumahnya.”+ Naomi mencium mereka dan mereka pun menangis dengan kuat. 10 Mereka berkata kepada Naomi berkali-kali, “Tidak! Kami akan ikut mak balik kepada bangsa mak.” 11 Tetapi Naomi menjawab, “Pulanglah anakku. Mengapa kamu hendak mengikut aku? Dapatkah aku melahirkan anak-anak lelaki lagi untuk menjadi suami kamu?*+ 12 Pulanglah anakku. Aku sudah terlalu tua untuk berkahwin lagi. Sekiranya aku masih ada harapan untuk berkahwin lagi pada malam ini juga dan mendapat anak lelaki, 13 sanggupkah kamu menunggu sehingga mereka besar? Sanggupkah kamu hidup membujang demi mereka? Janganlah begitu, anakku. Aku sangat sedih apabila memikirkan keadaan kamu. Kamu terpaksa menderita kerana Yehuwa sedang menentang aku.”+

14 Rut dan Orpa menangis lagi dengan kuat. Kemudian Orpa mencium ibu mentuanya lalu beredar. Tetapi Rut enggan meninggalkan ibu mentuanya. 15 Maka Naomi berkata, “Lihatlah, birasmu sudah pulang kepada bangsanya dan dewa-dewanya. Pulanglah bersamanya juga.”

16 Tetapi Rut menjawab, “Janganlah suruh saya meninggalkan mak. Benarkanlah saya mengikut mak. Ke mana saja mak pergi, ke sanalah saya hendak pergi juga. Di mana saja mak tinggal, di situlah saya hendak tinggal juga. Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Tuhan yang mak sembah, akan saya sembah juga.+ 17 Di mana saja mak meninggal, di situlah saya hendak meninggal dan dikebumikan. Biarlah Yehuwa menghukum saya dengan seberat-beratnya jika saya membiarkan apa-apa pun memisahkan kita kecuali kematian.”

18 Apabila Naomi melihat bahawa Rut berkeras hendak pergi bersamanya, dia tidak lagi memujuk Rut untuk pulang. 19 Kemudian mereka berdua meneruskan perjalanan sehingga mereka tiba di Betlehem.+ Sebaik sahaja mereka tiba di situ, seluruh penduduk kota menjadi heboh. Para wanita di situ bertanya, “Betulkah dia itu Naomi?” 20 Tetapi Naomi berkata kepada mereka, “Janganlah panggil saya Naomi. Panggillah saya Mara,* kerana Tuhan Yang Maha Kuasa telah membiarkan kehidupan saya menjadi sangat pahit.+ 21 Ketika saya pergi, saya berkelimpahan. Tetapi Yehuwa telah membiarkan saya kembali dengan tangan kosong. Jadi mengapa kamu memanggil saya Naomi, sedangkan Yehuwa Yang Maha Kuasa telah menentang saya dan mendatangkan penderitaan kepada saya?”+

22 Demikianlah Naomi kembali dari negeri Moab+ bersama Rut, menantunya yang berbangsa Moab. Mereka tiba di Betlehem pada permulaan musim menuai barli.+

2 Naomi mempunyai seorang saudara lelaki daripada keluarga suaminya, Elimelekh. Saudara ini bernama Boaz,+ dan dia sangat kaya.

2 Rut, wanita Moab itu, berkata kepada Naomi, “Benarkanlah saya pergi ke ladang untuk mengumpulkan sisa barli yang ditinggalkan oleh para penuai.+ Saya akan ikut di belakang sesiapa sahaja yang berbelas kasihan terhadap saya.” Naomi menjawab, “Pergilah, anakku.” 3 Maka Rut pergi ke ladang dan berjalan di belakang para penuai untuk mengumpulkan sisa barli. Kebetulan dia tiba di sebuah ladang milik Boaz,+ iaitu saudara Elimelekh.+ 4 Tidak lama kemudian, Boaz tiba dari Betlehem. Dia berkata kepada para penuainya, “Semoga Yehuwa menyertai kamu semua.” Mereka menjawab, “Semoga Yehuwa memberkati tuan.”

5 Kemudian Boaz bertanya kepada pemuda yang menjadi ketua pekerjanya, “Siapakah wanita muda itu?” 6 Ketua pekerja itu menjawab, “Wanita itu orang Moab,+ dan dia baru datang bersama Naomi dari negeri Moab.+ 7 Dia berkata, ‘Benarkanlah aku mengumpulkan barli* yang tercicir.’+ Sejak pagi lagi dia bekerja, dan dia baru sahaja berhenti untuk berehat sebentar di pondok.”

8 Boaz berkata kepada Rut, “Anakku, janganlah pergi ke ladang yang lain. Teruslah memungut sisa barli di ladangku bersama dengan para pekerja wanitaku.+ 9 Lihatlah di mana mereka bekerja, dan ikutlah mereka. Aku telah melarang para pekerja lelaki daripada mengganggu kamu. Apabila kamu haus, minumlah air dari tempayan yang telah diisikan oleh mereka.”

10 Maka Rut berlutut dan bersujud ke tanah lalu berkata kepada Boaz, “Mengapakah tuan berbelas kasihan dan mengambil berat terhadap saya? Saya hanyalah orang asing.”+ 11 Boaz menjawab, “Aku telah mendengar segala sesuatu yang kamu lakukan untuk ibu mentuamu sejak suamimu meninggal. Kamu telah meninggalkan ibu bapa dan negerimu untuk tinggal bersama bangsa yang tidak kamu kenal.+ 12 Semoga Yehuwa memberkatimu sesuai dengan segala perbuatanmu.+ Semoga Yehuwa, Tuhan orang Israel, memberikan ganjaran yang sepenuhnya kepadamu kerana kamu telah bernaung di bawah sayap-Nya.”+ 13 Kemudian Rut berkata, “Tuan telah menggalakkan dan melegakan hati saya meskipun saya tidak setaraf dengan pekerja tuan. Semoga tuan terus menunjukkan belas kasihan kepada saya.”

14 Pada waktu makan, Boaz berkata kepada Rut, “Marilah makan. Celupkanlah rotimu ke dalam cuka.” Jadi Rut duduk bersama-sama para penuai yang lain. Kemudian Boaz memberinya barli panggang untuk dimakan. Rut makan sehingga kenyang. Setelah makan, dia masih ada lebihan makanan. 15 Apabila dia pergi untuk memungut sisa barli,+ Boaz berkata kepada para pekerja lelakinya, “Biarlah dia memungut barli* yang tercicir dan janganlah menghalangnya.+ 16 Cabutlah juga beberapa batang barli dari berkas-berkas kamu dan tinggalkannya di ladang supaya Rut dapat mengumpulkannya. Janganlah melarang dia berbuat demikian.”

17 Rut terus memungut sisa barli di ladang itu sehingga petang.+ Apabila dia mengirik* semua barli yang dipungutnya, dia mendapat kira-kira satu efa* barli. 18 Dia membawa barli yang telah dikumpulkan itu ke kota lalu menunjukkannya kepada ibu mentuanya. Dia juga memberi ibu mentuanya lebihan barli panggang yang disimpannya.+

19 Ibu mentuanya bertanya kepada Rut, “Di mana kamu mengumpulkan sisa barli hari ini? Kamu bekerja di ladang siapa? Semoga orang yang menunjukkan kebaikan hati kepadamu itu diberkati.”+ Rut menjawab, “Saya bekerja di ladang seorang lelaki yang bernama Boaz.” 20 Naomi berkata kepadanya, “Semoga dia diberkati oleh Yehuwa, Tuhan yang sentiasa menunjukkan kasih setia, baik kepada orang yang masih hidup mahupun orang yang sudah mati.”+ Naomi menyambung, “Lelaki itu saudara kita+ yang berhak untuk menebus kita.”+ 21 Kemudian Rut, wanita Moab itu, menambah, “Boaz juga berkata kepada saya, ‘Teruslah memungut sisa barli bersama para pekerjaku sehingga mereka habis menuai ladangku.’”+ 22 Naomi berkata kepada Rut, “Ya anakku, lebih baik kamu bekerja dengan para pekerja wanitanya. Jika kamu pergi ke ladang lain, kamu mungkin akan diganggu.”

23 Maka Rut terus mengikuti para pekerja wanita Boaz untuk memungut sisa tuaian sehingga habis musim menuai barli dan gandum.+ Sepanjang masa itu, dia tetap tinggal bersama ibu mentuanya.+

3 Naomi berkata kepada Rut, “Anakku, aku harus mencari seorang suami untukmu+ agar kamu dapat hidup bahagia. 2 Boaz, yang telah membenarkan kamu bekerja bersama para pekerja wanitanya itu, merupakan saudara kita.+ Pada petang ini, dia akan menampi* barli di tempat mengirik tuaian. 3 Maka pergilah mandi dan sapulah minyak wangi pada dirimu. Kemudian pakailah bajumu yang terbaik dan pergilah ke tempat mengirik tuaian. Tetapi jangan tunjukkan dirimu kepada Boaz sehingga dia habis makan dan minum. 4 Perhatikanlah tempat dia berbaring. Setelah dia tidur, pergilah dan bukalah selimut pada kakinya lalu baringlah di situ. Kemudian, dia akan memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan.”

5 Rut menjawab, “Saya akan melakukan segala yang mak pesan.” 6 Kemudian Rut pergi ke tempat mengirik tuaian dan melakukan semuanya seperti yang disuruh oleh ibu mentuanya. 7 Sementara itu, Boaz habis makan dan minum. Dia berasa senang hati lalu pergi berbaring di tepi timbunan barli. Selepas itu, Rut datang dengan diam-diam dan membuka selimut yang menutupi kaki Boaz lalu berbaring di situ. 8 Pada tengah malam, Boaz terjaga daripada tidur. Dia bangun dan ternampak seorang wanita sedang berbaring dekat kakinya. 9 Dia bertanya, “Siapakah kamu?” Rut menjawab, “Saya Rut, hamba tuan. Bentangkanlah jubah tuan ke atas saya kerana tuanlah yang berhak untuk menebus saya.”+ 10 Maka Boaz berkata, “Anakku, semoga Yehuwa memberkatimu. Kamu tidak mencari seorang pemuda, baik yang kaya mahupun yang miskin. Dengan perbuatanmu ini, kamu menunjukkan kasih setia yang lebih besar daripada apa yang telah kamu lakukan sebelum ini.+ 11 Janganlah khuatir, anakku. Aku akan memenuhi segala permintaanmu.+ Semua orang di kota ini tahu bahawa kamu memang wanita yang sangat baik. 12 Memang benar aku berhak menebusmu,+ tetapi ada seorang lagi saudaramu yang lebih dekat daripada aku. Dia lebih berhak menebus kamu.+ 13 Oleh itu, bermalamlah di sini. Esok pagi, jika saudara itu mahu menebusmu, biarlah dia berbuat demikian.+ Namun jika dia enggan menebusmu, aku bersumpah demi Yehuwa, Tuhan yang hidup, bahawa aku sendiri akan menebusmu. Sekarang tidurlah di sini sehingga esok pagi.”

14 Maka Rut berbaring dekat kakinya sehingga pagi. Kemudian dia bangun ketika hari masih gelap supaya tidak dilihat orang. Dia berbuat demikian kerana Boaz tidak mahu orang tahu bahawa seorang wanita telah datang ke tempat mengirik tuaian itu. 15 Boaz berkata kepada Rut, “Bawalah dan bentangkanlah kain labuh yang ada padamu.” Maka Rut membentangkan kain labuh itu lalu Boaz menuangkan enam bakul* barli ke atas kain itu. Kemudian dia memberikannya kepada Rut untuk dibawa pulang. Selepas itu, Boaz pergi ke kota.

16 Rut kembali kepada ibu mentuanya lalu ibu mentuanya bertanya, “Apa yang telah berlaku, anakku?” Rut memberitahu ibu mentuanya semua yang telah dilakukan oleh Boaz. 17 Dia menambah, “Boaz juga berkata, ‘Jangan kembali kepada ibu mentuamu dengan tangan kosong.’ Maka dia memberi saya enam bakul barli.” 18 Kemudian Naomi berkata, “Tunggu sahaja anakku. Kamu akan menyaksikan kesudahan perkara ini. Boaz tidak akan berhenti selagi dia tidak menyelesaikan perkara ini pada hari ini juga.”

4 Boaz pergi ke pintu gerbang kota+ dan duduk di sana. Pada masa itu, saudara dekat* yang disebut oleh Boaz+ lalu di situ. Boaz berkata kepada orang itu, “Marilah, hai kawan, duduklah di sini.” Orang itu pun datang lalu duduk di sana. 2 Kemudian Boaz menjemput 10 orang pemimpin kota+ untuk datang. Dia berkata kepada mereka, “Marilah duduk di sini.” Mereka pun duduk di sana.

3 Boaz berkata kepada saudaranya,+ “Naomi telah balik dari negeri Moab,+ dan dia perlu menjual tanah milik saudara kita Elimelekh.+ 4 Saya rasa bahawa kamu harus diberitahu tentang hal ini. Maka dengarlah kata-kata saya. Jika kamu ingin membeli tanah itu, belilah di hadapan penduduk dan para pemimpin kota.+ Tetapi jika kamu enggan menebus tanah itu, beritahulah saya. Hal ini demikian kerana kamulah yang pertama berhak menebusnya. Kemudian barulah saya.” Orang itu menjawab, “Saya sudi menebus tanah itu.”+ 5 Boaz berkata lagi, “Baiklah, tetapi kamu haruslah ingat bahawa tanah itu bukan sahaja milik Naomi. Tanah itu juga milik Rut, wanita Moab yang merupakan isteri kepada anak lelaki Naomi yang telah meninggal. Jadi kamu harus membeli tanah itu daripada mereka berdua. Dengan demikian, tanah tersebut akan tetap menjadi milik keturunan orang yang mati itu.”+ 6 Orang itu menjawab, “Kalau begitu, saya tidak dapat menebusnya. Jika saya menebusnya, hal itu akan merugikan saya. Maka biarlah saya melepaskan hak saya untuk menebus tanah itu. Kamulah yang menebus tanah itu.”

7 Untuk mengesahkan segala urusan berkenaan hak menebus dan penukaran hak milik, orang Israel pada zaman itu akan melakukan hal berikut: Seseorang akan menanggalkan kasutnya+ lalu memberikan kasut itu kepada yang seorang lagi. Inilah caranya orang Israel mengesahkan suatu perjanjian. 8 Maka, semasa saudara itu berkata kepada Boaz, “Kamulah yang membeli tanah itu,” dia menanggalkan kasutnya. 9 Boaz berkata kepada para pemimpin kota dan semua orang di situ, “Hari ini, kamu semua menjadi saksi+ bahawa saya akan membeli daripada Naomi segala-gala yang dimiliki oleh Elimelekh, Kilyon, dan Mahlon. 10 Selain itu, saya akan mengahwini balu Mahlon, iaitu Rut, wanita Moab itu. Dengan cara ini, tanah milik Mahlon akan tetap menjadi milik keturunannya.+ Namanya juga tidak akan lenyap daripada kalangan saudaranya dan penduduk kota ini. Hari ini, kamu semua menjadi saksi akan hal ini.”+

11 Maka para pemimpin dan semua orang di pintu gerbang kota berkata, “Kami semua akan menjadi saksi! Semoga Yehuwa memberkati isterimu* agar dia menjadi seperti Rahel dan Lea, yang telah melahirkan banyak anak untuk Israel.+ Semoga kamu makmur di Efrata+ dan mendapat nama yang baik di Betlehem.+ 12 Semoga Yehuwa mengurniakan keturunan kepadamu melalui wanita ini dan menjadikan keluargamu seperti keluarga Perez,+ iaitu anak Tamar dan Yehuda.”+

13 Jadi Boaz mengahwini Rut dan bersetubuh dengannya. Yehuwa memberkati Rut, dan dia mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. 14 Para wanita berkata kepada Naomi, “Pujilah Yehuwa! Hari ini, Dia telah mengurniakan seorang penebus kepadamu. Semoga nama anak yang dilahirkan itu terkenal di seluruh Israel! 15 Menantumu yang begitu mengasihi kamu,+ lebih baik daripada tujuh orang anak lelaki. Sekarang dia telah melahirkan seorang cucu yang akan menyegarkan hidupmu dan memeliharamu pada usia tua.” 16 Naomi mengambil anak itu lalu memeluknya, dan dia menjadi pengasuh anak itu. 17 Para wanita yang berjiran dengan Naomi berkata, “Seorang anak lelaki telah dilahirkan untuk Naomi.” Maka mereka menamakan anak itu Obed.+ Dia menjadi bapa Isai,+ dan Isai menjadi bapa Daud.

18 Inilah senarai keturunan Perez:+ Perez menjadi bapa Hezron;+ 19 Hezron menjadi bapa Ram; Ram menjadi bapa Aminadab;+ 20 Aminadab+ menjadi bapa Nahason; Nahason menjadi bapa Salmon; 21 Salmon menjadi bapa Boaz; Boaz menjadi bapa Obed; 22 Obed menjadi bapa Isai;+ dan Isai menjadi bapa Daud.+

Maksudnya “Tuhanku ialah Raja.”

Maksudnya “Kesenangan.”

Mungkin berasal daripada perkataan Ibrani yang bermaksud “menjadi lemah; jatuh sakit.”

Maksudnya “Tidak Berdaya.”

Lihat Kamus, “Berkahwin dengan balu saudara lelaki.”

Maksudnya “Pahit.”

Atau mungkin, “berkas barli.”

Atau mungkin, “berkas barli.”

Proses memisahkan buah daripada tangkai.

Lihat Lampiran B14.

Proses mengasingkan biji-bijian daripada sekam.

Mungkin 6 seah. Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “penebus.”

Harfiah, “isteri yang akan memasuki rumahmu.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi