YUNUS
1 Yehuwa berfirman kepada Yunus*+ anak Amitai, 2 “Pergilah ke Niniwe,+ kota yang besar itu. Umumkanlah berita penghakiman kepada penduduknya, kerana Aku telah memperhatikan kejahatan yang dilakukan oleh mereka.”
3 Tetapi Yunus memutuskan untuk melarikan diri daripada Yehuwa dan pergi ke Tarsis. Maka dia pergi ke Yope dan menjumpai sebuah kapal yang akan belayar ke Tarsis. Setelah membayar wang tambang, dia menaiki kapal itu dan belayar bersama anak-anak kapal ke Tarsis, agar dia dapat menjauhkan diri daripada Yehuwa.
4 Kemudian Yehuwa membuat angin kencang bertiup di laut lalu terjadilah ribut dahsyat yang menyebabkan kapal itu hampir hancur. 5 Anak-anak kapal menjadi sangat takut dan mula berseru kepada tuhan masing-masing untuk meminta tolong. Mereka membuang muatan kapal itu ke dalam laut untuk meringankan kapal.+ Tetapi Yunus telah pun turun ke bahagian bawah kapal dan berbaring di situ lalu tertidur dengan nyenyak. 6 Maka kapten kapal mendekati Yunus lalu berkata, “Mengapa kamu masih tidur? Bangunlah dan berserulah kepada tuhanmu! Mudah-mudahan Tuhan yang benar akan mengasihani kita, dan kita tidak akan binasa.”+
7 Anak-anak kapal berkata kepada satu sama lain, “Marilah kita membuang undi+ untuk mengetahui siapa yang menyebabkan kita ditimpa bencana ini.” Maka mereka membuang undi dan Yunuslah yang kena.+ 8 Mereka bertanya kepada Yunus, “Siapakah yang menyebabkan kita ditimpa bencana ini? Apa pekerjaanmu? Kamu datang dari mana? Apa bangsamu dan di mana negerimu?”
9 Dia menjawab, “Aku orang Ibrani. Aku menyembah Yehuwa, Tuhan yang berkuasa atas syurga. Dialah Tuhan yang menciptakan laut dan darat.”
10 Yunus juga memberitahu mereka bahawa dia telah melarikan diri daripada Yehuwa. Setelah mendengar kata-katanya, mereka menjadi lebih takut lalu berkata, “Mengapa kamu buat begitu?” 11 Ribut menjadi semakin kencang. Maka mereka bertanya, “Apa yang harus kami lakukan terhadapmu supaya ribut ini reda?” 12 Dia menjawab, “Buanglah aku ke dalam laut lalu ribut ini tentu akan reda. Aku tahu bahawa akulah yang menyebabkan ribut dahsyat ini menimpa kamu semua.” 13 Tetapi anak-anak kapal masih berusaha untuk mendayung kapal itu ke daratan. Namun usaha mereka sia-sia sahaja kerana laut semakin bergelora.
14 Oleh itu, mereka berseru kepada Yehuwa, “Ya Yehuwa, janganlah biarkan kami binasa kerana orang ini. Ya Yehuwa, janganlah menyalahkan kami atas kematian orang yang tidak bersalah, kerana semua ini terjadi menurut kehendak-Mu.” 15 Kemudian mereka mengangkat Yunus dan mencampakkannya ke dalam laut, lalu laut menjadi tenang semula. 16 Maka para anak kapal itu menjadi sangat takut akan Yehuwa,+ lalu mereka mempersembahkan korban kepada Yehuwa dan bersumpah untuk menyembah-Nya.
17 Sementara itu, Yehuwa menyebabkan seekor ikan besar menelan Yunus. Jadi Yunus berada di dalam perut ikan itu selama tiga hari dan tiga malam.+
2 Dari dalam perut ikan itu, Yunus berdoa kepada Yehuwa, Tuhannya.+ 2 Dia berkata,
“Ya Yehuwa, dalam kesusahanku, aku berseru kepada-Mu, dan Engkau menjawab seruanku.+
3 Engkau melemparkan aku ke tempat yang dalam, sampai ke dasar samudera.
4 Aku berkata, ‘Engkau telah mengusir aku dari hadirat-Mu!
Dapatkah aku melihat lagi Rumah-Mu yang suci?’
5 Aku hampir lemas kerana air laut meliputiku.+
Lautan yang dalam mengepungku,
Dan rumpai laut melilit kepalaku.
6 Aku tenggelam ke dasar laut.*
Pintu gerbang bumi mengurung aku buat selama-lamanya.
Tetapi ya Yehuwa, Tuhanku, Engkau telah menarik aku keluar dari lubang yang dalam.+
7 Ketika jiwaku berada di ambang maut, aku ingat akan Engkau, ya Yehuwa.+
Doaku sampai ke hadirat-Mu, ya doaku sampai ke Rumah-Mu yang suci.+
8 Orang yang menyembah berhala meninggalkan Engkau, sumber kasih setia.*
9 Tetapi bagi aku, aku akan melaungkan pujian kepada-Mu dan mempersembahkan korban kepada-Mu.
Aku akan menepati segala janjiku kepada-Mu.+
Ya Yehuwa, Engkaulah Penyelamatku.”+
10 Kemudian, atas perintah Yehuwa, ikan itu memuntahkan Yunus ke darat.
3 Yehuwa berfirman kepada Yunus untuk kali kedua,+ 2 “Pergilah ke Niniwe,+ kota besar itu. Beritahulah penduduk kota itu perkhabaran yang Aku sampaikan kepadamu.”
3 Yunus mentaati firman Yehuwa+ dan pergi ke kota Niniwe.+ Niniwe ialah sebuah kota yang sangat besar, sehingga memakan masa tiga hari untuk mengelilinginya dengan berjalan kaki. 4 Yunus memasuki kota itu dan berjalan sepanjang hari sambil mengisytiharkan perkhabaran ini:* “Dalam masa 40 hari lagi, Niniwe akan dihancurkan!”
5 Penduduk Niniwe menaruh iman kepada Tuhan.+ Maka segenap rakyat mengumumkan bahawa mereka akan berpuasa. Mereka semua juga memakai kain guni, tidak kira orang biasa atau orang yang berpangkat tinggi. 6 Sewaktu raja Niniwe mendengar perkhabaran itu, dia bangun dari takhtanya lalu menanggalkan pakaian dirajanya. Kemudian dia memakai kain guni dan duduk di atas abu.* 7 Raja juga mengisytiharkan perintah ini kepada segenap penduduk Niniwe:
“Inilah perintah daripada raja dan para pembesar: Semua orang dilarang makan apa-apa pun. Mereka tidak boleh meminum air atau menjamah sebarang makanan, begitu juga dengan semua binatang, tidak kira lembu atau bebiri. 8 Manusia dan binatang mesti memakai kain guni. Semua orang mesti berseru kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh dan berhenti melakukan perbuatan yang jahat dan kejam. 9 Mungkin Tuhan yang benar akan mengubah fikiran-Nya dan tidak lagi murka, maka kita tidak akan dibinasakan.”
10 Tuhan yang benar melihat perbuatan mereka. Dia nampak bahawa mereka telah berpaling daripada haluan yang jahat.+ Maka Dia mempertimbangkan semula keputusan-Nya dan tidak mendatangkan bencana yang telah difirmankan-Nya sebelum ini.+
4 Namun Yunus sama sekali tidak senang hati dengan perkara itu, lalu dia menjadi sangat marah. 2 Kemudian dia berdoa kepada Yehuwa, “Ya Yehuwa, semasa aku berada di negeriku, bukankah aku sudah berkata bahawa hal ini pasti akan berlaku? Sesungguhnya, aku tahu bahawa Engkau Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. Engkau tidak cepat murka dan penuh dengan kasih setia.+ Engkau juga bersedia untuk mengubah fikiran dan tidak menjatuhkan hukuman. Itulah sebabnya aku berusaha melarikan diri ke Tarsis.+ 3 Sekarang, ya Yehuwa, ambillah nyawaku kerana lebih baik aku mati daripada hidup.”+
4 Yehuwa bertanya, “Patutkah engkau menjadi begitu marah?”
5 Selepas itu, Yunus keluar dari kota itu dan pergi ke bahagian timur kota dan duduk di sana. Dia mendirikan sebuah pondok, lalu berteduh di situ sambil menunggu apa yang akan terjadi kepada kota itu.+ 6 Kemudian Tuhan Yehuwa menumbuhkan sepohon labu air* untuk memberikan naungan kepada Yunus supaya dia berasa selesa. Yunus sangat senang hati dengan tanaman itu.
7 Ketika fajar menyingsing pada keesokan harinya, Tuhan yang benar menyebabkan seekor ulat menyerang tanaman itu sehingga layu. 8 Setelah matahari terbit, Tuhan mendatangkan angin timur yang panas. Matahari juga memancar dengan begitu terik sehingga Yunus hampir pengsan. Dia sangat ingin mati dan asyik berkata, “Lebih baik aku mati daripada hidup.”+
9 Tuhan bertanya kepada Yunus, “Patutkah engkau menjadi begitu marah kerana labu air itu?”+
Maka dia menjawab, “Memang aku patut marah. Aku sangat marah sehingga aku mahu mati!” 10 Namun Yehuwa berfirman, “Labu air itu tumbuh dalam satu malam dan mati dalam satu malam. Engkau langsung tidak menumbuhkannya atau memeliharanya, tetapi engkau masih berasa kasihan terhadap tanaman itu. 11 Maka, tidak patutkah Aku berasa kasihan terhadap Niniwe, kota besar itu?+ Ada banyak binatang di kota itu dan ada lebih daripada 120,000 orang di kota itu yang tidak tahu membezakan apa yang benar daripada apa yang salah.”+
Maksudnya “Burung Merpati.”
Lihat Kamus.
Harfiah, “dasar pergunungan.”
Atau mungkin, “Orang yang menyembah berhala tidak lagi setia kepada-Mu.”
Atau mungkin, “dan setelah berjalan sepanjang hari, dia mengisytiharkan perkhabaran ini:”
Perbuatan ini menunjukkan bahawa seseorang sedang berdukacita atau sedang menyesal atas dosa yang dilakukannya.
Atau mungkin, “sepohon pokok jarak.”