HABAKUK
1 Nabi Habakuk* telah menerima perkhabaran daripada Tuhan melalui suatu penglihatan:
2 Ya Yehuwa, berapa lama lagi aku harus berseru meminta tolong? Bilakah Engkau akan mendengarkan seruanku?+
Berapa lama lagi aku harus berseru meminta bantuan? Bilakah Engkau akan menyelamatkan aku daripada keganasan?+
3 Mengapakah Engkau membiarkan aku menyaksikan kejahatan?
Mengapakah Engkau membenarkan penindasan terjadi?
Mengapakah kehancuran dan keganasan berlaku di hadapanku?
Mengapakah pergaduhan dan pertengkaran berleluasa?
4 Itulah sebabnya undang-undang menjadi tidak berguna.
Keadilan tidak pernah ditegakkan.
Orang jahat menindas orang yang baik,
Dan keadilan telah diputarbelitkan.+
5 “Lihatlah dan perhatikanlah bangsa-bangsa lain.
Kamu akan hairan dan terperanjat,
Kerana sesuatu pasti akan berlaku pada zaman kamu.
Kamu tidak akan percaya meskipun hal itu diceritakan kepada kamu.+
6 Aku akan menguatkan orang Kasdim.+
Mereka bangsa yang kejam dan bertindak dengan terburu-buru.
Mereka akan mara ke seluas bumi
Untuk menakluki negeri orang lain.+
7 Mereka sangat mengerikan dan menakutkan.
Mereka menetapkan hukum dan kekuasaan sendiri.+
8 Kuda mereka lebih pantas daripada harimau bintang
Dan mereka lebih ganas daripada serigala pada waktu malam.+
Kuda-kuda perang mereka mara ke depan.
Angkatan kuda mereka datang dari jauh,
Lalu mereka menyerbu seperti helang yang menyambar mangsa.+
9 Mereka semua mara untuk melakukan kekejaman.+
Mereka bagaikan angin barat semasa mereka menyerbu.+
Tawanan yang dikumpulkan mereka banyak seperti butir-butir pasir.
10 Mereka mencemuh raja-raja
Dan menghina para pegawai tinggi.+
Mereka mentertawakan semua tempat berkubu+
Dan menambak tanah untuk menawan tempat itu.
11 Kemudian mereka maju seperti tiupan angin.
Tetapi mereka akan didapati bersalah+
Kerana mereka memuliakan tuhan sendiri atas kekuatan yang dikurniakan kepada mereka.”*+
12 Ya Yehuwa, bukankah Engkau sudah wujud sejak dahulu lagi?+
Ya Tuhanku, Tuhan Yang Suci, Engkau tidak dapat mati.*+
Ya Yehuwa, Engkau sudah melantik orang Kasdim untuk melaksanakan penghakiman.
Wahai Batu Pelindungku,+ Engkau sudah memilih mereka untuk menghukum* kami.+
13 Mata-Mu terlalu suci untuk melihat hal yang buruk.
Engkau tidak tahan melihat kejahatan.+
Jadi mengapakah Engkau membiarkan orang melakukan hal yang keji,+
Dan tetap membisu sewaktu orang jahat memusnahkan orang yang lebih baik daripadanya?+
14 Mengapakah Engkau membiarkan manusia diperlakukan seperti ikan di laut,
Atau seperti hidupan laut lain yang tidak mempunyai pemimpin?
15 Musuh itu* menangkap mangsanya dengan mata kail,
Dia memerangkap mereka dengan pukat,
Dan mengumpulkan mereka dengan jaring.
Itulah sebabnya dia amat bersukacita.+
16 Itulah sebabnya dia mempersembahkan korban kepada pukatnya
Dan mempersembahkan kemenyan kepada jaringnya,
Kerana dengan alat-alat itu, dia memperoleh makanan yang berlimpah-limpah
Dan menikmati hidangan yang terbaik.
17 Adakah dia akan terus mengosongkan pukatnya?*
Adakah dia akan terus membunuh bangsa-bangsa tanpa belas kasihan?+
2 Aku akan tetap berdiri di menara pengawal.+
Aku akan berada di atas tembok kota.
Aku akan tetap berjaga-jaga agar dapat mengetahui apa yang akan difirmankan oleh Tuhan menerusi aku,
Dan agar aku dapat mengetahui apa yang akan aku katakan semasa ditegur.
2 Yehuwa berfirman kepadaku,
“Tuliskanlah apa yang dinyatakan dalam penglihatan ini, dan catatkannya dengan jelas pada batu* tulis,+
Supaya orang yang membacanya dengan suara lantang dapat membacanya dengan mudah.*+
3 Segala perkara yang dinyatakan dalam penglihatan ini akan berlaku pada masa yang ditentukan.
Masa itu akan segera tiba, dan segala yang dinyatakan dalam penglihatan ini benar-benar akan berlaku.+
Biarpun masa itu lambat datang,* teruslah menantikannya dengan bersungguh-sungguh!
Hal ini demikian kerana penglihatan ini pasti menjadi kenyataan
Dan tidak akan ditangguhkan!
4 Lihatlah orang yang sombong!
Orang itu tidak jujur.
Tetapi orang yang melakukan apa yang benar akan hidup kerana kesetiaannya.*+
5 Sesungguhnya, wain menyebabkan orang sombong bertindak bodoh.
Itulah sebabnya dia tidak akan berjaya
Walaupun keinginannya besar seperti Kuburan.*
Seperti maut, dia tidak pernah puas.
Dia asyik mengumpulkan semua bangsa,
Dan dia mengumpulkan semua orang untuk menjadi miliknya sendiri.+
6 Tidakkah semua orang itu akan menggunakan peribahasa, kata-kata kiasan, dan sindiran, untuk bercakap tentangnya?+
Mereka akan berkata,
‘Berapa lama lagi hal ini akan berterusan?
Sampai bilakah engkau akan terus mengambil barang yang bukan milikmu?
Malanglah engkau, kerana engkau hanya menyebabkan dirimu berhutang keliling pinggang!
7 Orang yang meminjamkan wang kepadamu akan tiba-tiba bangkit.
Mereka akan bangkit lalu menggoncangmu dengan kuat,
Dan mereka akan merampas harta milikmu.+
8 Engkau telah menumpahkan darah banyak orang.
Engkau telah melakukan keganasan terhadap bumi,+
Terhadap kota-kota, dan terhadap penduduknya.
Engkau telah merampas harta milik banyak bangsa.
Oleh itu, bangsa-bangsa lain akan merampas harta milikmu.+
9 Malanglah orang yang memperoleh keuntungan untuk keluarganya dengan cara yang tidak jujur.
Orang itu membina rumahnya di tempat yang tinggi
Untuk menyelamatkan diri daripada genggaman malapetaka!
10 Engkau telah memalukan keluargamu dengan rancanganmu.
Engkau telah berdosa kerana memusnahkan banyak bangsa.+
11 Batu di tembok akan berseru,
Dan kayu di bumbung akan menggemakan seruan itu.
12 Malanglah orang yang membina sebuah kota dengan menumpahkan darah,
Dan malanglah orang yang membangunkan sebuah pekan dengan melakukan kejahatan!
13 Lihatlah! Orang telah bekerja keras tetapi segala sesuatu yang diusahakan oleh mereka habis dijilat api,
Dan bangsa-bangsa bekerja sekuat tenaga tetapi usaha mereka sia-sia. Bukankah Yehuwa, ketua angkatan syurga, yang menyebabkan hal-hal itu berlaku?+
14 Sebagaimana lautan penuh dengan air,
Bumi juga akan penuh dengan pengetahuan tentang kemuliaan Yehuwa.+
15 Malanglah orang yang marah dan berang,
Yang memberi sahabat-sahabatnya sesuatu untuk diminum sehingga mabuk
kerana ingin melihat keadaan mereka yang telanjang!
16 Engkau akan kenyang dengan kehinaan dan bukannya kemuliaan.
Engkau juga harus minum dan mendedahkan keadaanmu yang tidak bersunat.*
Akan tiba giliranmu untuk minum daripada cawan di tangan kanan Yehuwa,+
Lalu kemuliaanmu akan diselubungi dengan kehinaan.
17 Keganasan yang engkau lakukan terhadap Lebanon akan menimpamu,
Dan kemusnahan yang menakutkan binatang-binatang di situ juga akan menimpamu.
Hal ini demikian kerana engkau telah menumpahkan darah banyak orang,
Dan engkau telah melakukan keganasan terhadap bumi,
Terhadap kota-kota, dan terhadap penduduknya.+
18 Manusia percaya kepada patung berhala
Yang diperbuat daripada kayu, batu, dan besi.
Berhala-berhala ini tidak dapat bersuara,
Jadi apa gunanya berhala bagi orang yang membuatnya?
Segala sesuatu yang engkau dapat daripadanya hanyalah tipu belaka.+
19 Malanglah orang yang berkata kepada sekeping kayu, “Bangunlah!”
Atau kepada sebuah batu yang tidak dapat bercakap, “Bangunlah! Ajarlah kami!”
20 Namun, Yehuwa berada di dalam Rumah-Nya yang suci.+
Berdiam dirilah di hadapan-Nya, hai semua penduduk bumi!’”+
3 Inilah doa Nabi Habakuk dalam bentuk lagu ratapan:
2 “Ya Yehuwa, aku telah mendengar tentang keagungan-Mu.
Ya Yehuwa, aku kagum dengan perbuatan-Mu.
Apabila masanya tiba,* laksanakanlah perbuatan-Mu itu lagi.
Apabila masanya tiba,* tunjukkanlah perbuatan-Mu itu.
Ketika keadaan menjadi huru-hara, janganlah lupa untuk menunjukkan belas kasihan.+
Keagungan-Mu meliputi langit;+
Suara yang memuji-Mu bergema di seluruh bumi.
4 Engkau bersinar-sinar seperti cahaya pada siang hari.+
Tangan-Mu memancarkan dua sinar gemilang.
Di situlah kuasa-Mu disembunyikan.
5 Wabak penyakit mendahului-Mu+
Dan demam panas menyusuli-Mu.
6 Apabila Engkau berdiri tegak, bumi bergegar.+
Apabila Engkau memandang bangsa-bangsa, mereka menggeletar ketakutan.+
Gunung-ganang yang abadi hancur berkecai
Dan bukit bukau yang kekal bersujud.+
Itulah perbuatan-perbuatan-Mu sejak dahulu lagi.
7 Aku melihat kesusahan di dalam khemah-khemah Kusyan.
Kain-kain khemah di tanah Midian bergetar.+
8 Ya Yehuwa, adakah Engkau marah terhadap sungai-sungai?
Adakah sungai-sungai yang membangkitkan api kemurkaan-Mu?
Atau adakah laut yang membuat Engkau berang?+
9 Busur-Mu sudah dikeluarkan dan dipersiapkan.
Kerana sumpah yang dibuat, senjata-Mu* siap untuk digunakan. (Selah)
Dengan sungai-sungai, Engkau membelah bumi.
10 Gunung-ganang meronta kesakitan tatkala melihat-Mu.+
Hujan lebat turun mencurah.
Air yang dalam mengeluarkan suaranya+
Dan mengangkat tinggi tangannya.
11 Matahari dan bulan berdiri kaku di langit tinggi.+
Anak panah-Mu melayang bagaikan sinaran cahaya.+
Tombak-Mu bersinar berkilau-kilauan.
12 Dengan marah, Engkau menjelajahi bumi.
Dengan murka, Engkau memijak bangsa-bangsa.
13 Engkau keluar untuk menyelamatkan umat-Mu; untuk menyelamatkan dia yang Engkau urapi.
Engkau meremukkan ketua rumah orang jahat.
Engkau meruntuhkan tempat itu dari bumbung hingga dasarnya. (Selah)
14 Secara diam-diam, mereka melahap orang yang susah lalu mereka bersorak-sorai.
Semasa mereka mara menentang aku seperti angin ribut,
Engkau membunuh para pahlawan itu dengan senjata mereka sendiri.
15 Dengan menunggangi kuda-Mu, Engkau memijak-mijak samudera
Untuk melintasi lautan luas yang bergelora.
16 Hatiku gementar saat mendengar khabar itu.
Setelah mendengarnya, bibirku bergetar,
Tulangku mula mereput,+
Dan kakiku menggigil ketakutan.
Namun aku akan menantikan ketibaan hari kesengsaraan dengan tenang,+
Kerana hari itu bakal menimpa orang yang menyerang kami.
17 Meskipun pokok ara tidak berbunga,
Dan pokok anggur tidak berbuah;
Meskipun hasil pokok zaitun mengecewakan,
Dan ladang tidak mengeluarkan hasil;
Meskipun kawanan bebiri dan kambing hilang dari kandangnya,
Dan kandang lembu kosong belaka;
18 Aku akan bergirang hati kerana Yehuwa.
Aku akan bersukacita kerana Engkaulah yang menyelamatkan aku.+
19 Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ialah kekuatanku.+
Dia akan menjadikan kakiku setangkas kaki rusa
Dan membuat aku berjalan di tempat-tempat yang tinggi.”+
Kepada pengarah muzik: Untuk diiringi dengan alat muzikku yang bertali.
Mungkin bermaksud “Pelukan yang Hangat.”
Atau mungkin, “Kerana mereka mendewakan kekuatan sendiri.”
Atau mungkin, “kami tidak akan mati.”
Atau “mendisiplinkan.”
Iaitu, orang Kasdim.
Atau mungkin, “terus menghunus pedangnya?”
Atau “papan.”
Atau “lancar.”
Atau “masa itu nampaknya lambat datang.”
Atau mungkin, “imannya; kepercayaannya.”
Lihat Kamus.
Atau mungkin, “dan berjalan terhuyung-hayang.”
Atau mungkin, “Pada zaman kami.”
Atau mungkin, “Pada zaman kami.”
Lihat Kamus.
Atau mungkin, “anak panah-Mu.”