MALEAKHI
1 Inilah perkhabaran daripada Yehuwa kepada umat Israel melalui Maleakhi:*
2 “Aku mengasihi kamu,”+ firman Yehuwa.
Tetapi kamu bertanya, “Bagaimanakah Engkau mengasihi kami?”
Yehuwa menjawab, “Bukankah Esau abang Yakub?+ Aku mengasihi Yakub, 3 tetapi Aku membenci Esau.+ Aku telah membuat kawasan pergunungannya terbiar+ dan menyebabkan padang belantara yang didiami serigala menjadi milik pusakanya.”+
4 “Orang Edom* berkata, ‘Kota kami telah dihancurkan, tetapi kami akan kembali dan membinanya semula.’ Namun, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Mereka akan membinanya semula, tetapi Aku akan merobohkannya lagi. Mereka akan dipanggil “negeri kejahatan” dan “orang yang dikutuk oleh Yehuwa selama-lamanya.”+ 5 Kamu akan melihat perkara ini dengan mata sendiri lalu berkata, “Semoga Yehuwa diagungkan di seluruh negeri Israel.”’”
6 “Hai imam-imam yang menghina nama Tuhan,+ demikianlah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, kepada kamu: ‘Seorang anak menghormati bapanya,+ dan seorang hamba menghormati tuannya. Aku bapa kamu,+ tetapi mengapa kamu tidak menghormati Aku?+ Aku tuan kamu, tetapi mengapa kamu tidak takut* kepada-Ku?’
“‘Namun kamu bertanya, “Dengan cara apakah kami menghina nama-Mu?”’
7 “‘Kamu mempersembahkan makanan yang tercemar di atas mazbah-Ku.’
“‘Kemudian kamu bertanya pula, “Bagaimanakah kami mencemari kemuliaan-Mu?”’
“‘Dengan berkata, “Meja Yehuwa*+ boleh dipandang hina.” 8 Apabila kamu membawa binatang yang buta untuk dipersembahkan, kamu berkata, “Apa salahnya?” Apabila kamu mempersembahkan binatang yang tempang atau sakit, kamu berkata, “Apa salahnya?”’”+
“Cubalah berikan binatang seperti itu kepada gabenor kamu. Adakah dia akan senang hati atau menyambut kamu dengan baik?” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
9 “Sekarang, rayulah kepada Tuhan agar Dia mengasihani kita. Tetapi dengan pemberian sebegitu, bagaimana mungkin Dia berkenan kepada kamu?” Demikianlah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
10 “Jika tidak dibayar, siapakah antara kamu yang sudi menutup pintu*+ atau menyalakan api di atas mazbah-Ku?+ Aku tidak berkenan kepada kamu, dan semua pemberian kamu langsung tidak menyenangkan hati-Ku.”+ Demikianlah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
11 “Dari timur sampai ke barat, nama-Ku akan dimuliakan dalam kalangan bangsa-bangsa.+ Di semua tempat, orang akan mempersembahkan korban yang murni demi nama-Ku dan membakar korban sehingga asap naik. Sesungguhnya, bangsa-bangsa akan mengagungkan nama-Ku,”+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
12 “Tetapi kamu menghinanya*+ dengan berkata, ‘Tiada salahnya mencemarkan meja Yehuwa. Makanan dan persembahan di atasnya juga menjijikkan.’+ 13 Kamu juga berkata, ‘Menyusahkan betul!’ lalu mendengus,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. “Kamu membawa binatang yang dicuri, yang tempang, dan yang sakit sebagai persembahan. Tergamak kamu berbuat demikian! Adakah kamu sangka Aku akan menerimanya daripada tangan kamu?”+ firman Yehuwa.
14 “Terkutuklah orang licik yang berikrar kepada-Ku lalu mempersembahkan seekor binatang yang cacat kepada Aku, Yehuwa, padahal dia mempunyai binatang yang sihat antara ternakannya. Akulah Raja yang agung,”+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, “dan nama-Ku akan termasyhur dalam kalangan bangsa-bangsa.”+
2 “Hai para imam, inilah perintah-Ku kepada kamu:+ 2 Kamu harus memuliakan nama-Ku. Namun, jika kamu tidak mahu mendengar dan enggan mengambil peduli, Aku akan menyebabkan kamu dikutuk.+ Aku akan mengubah semua berkat kamu menjadi kutukan.+ Sesungguhnya, Aku sudah mengubah berkat kamu menjadi kutukan, kerana kamu tidak mempedulikan perintah-Ku,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
3 “Lihatlah! Disebabkan kamu, Aku akan menghancurkan benih yang kamu tabur.+ Aku akan melumuri muka kamu dengan najis daripada binatang yang kamu korbankan semasa perayaan-perayaan kamu. Kemudian, kamu akan dibawa ke situ.* 4 Barulah kamu tahu bahawa Aku memberi kamu perintah ini supaya perjanjian-Ku dengan keturunan Lewi tidak dibatalkan,”+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
5 “Perjanjian-Ku dengan mereka mendatangkan kehidupan dan kedamaian. Aku memberi mereka perjanjian ini supaya mereka menghormati* Aku. Dahulu mereka memang menghormati Aku dan menyanjung tinggi nama-Ku. 6 Mereka mengajarkan hukum* yang benar+ dan tidak mengucapkan apa-apa yang jahat. Mereka mempunyai hubungan yang damai dengan-Ku dan melakukan apa yang benar di sisi-Ku.+ Mereka juga membantu ramai orang kembali ke pangkal jalan. 7 Memandangkan imam merupakan utusan Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, merekalah yang patut mengajarkan pengetahuan kepada umat-Ku, dan kepada merekalah umat-Ku harus bertanya tentang hukum-Ku.*+
8 “Namun, kamu telah menyimpang daripada haluan yang benar. Kamu membuat hukum-Ku* menjadi batu sandungan kepada banyak orang.+ Kamu telah melanggar perjanjian-Ku dengan keturunan Lewi,”+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. 9 “Oleh sebab kamu tidak mengikut haluan-Ku dan berat sebelah ketika melaksanakan hukum-Ku, Aku akan menyebabkan kamu dipandang rendah dan dihina oleh orang ramai.”+
10 “Bukankah kita semua mempunyai bapa yang sama?+ Bukankah kita semua diciptakan oleh Tuhan yang sama? Jadi, mengapakah kita tidak setia kepada satu sama lain+ dan melanggar perjanjian nenek moyang kita? 11 Orang Yehuda tidak setia kepada Tuhan dan melakukan perkara yang menjijikkan di Israel dan di Yerusalem. Mereka telah menghina Yehuwa, Tuhan yang mencintai apa yang suci,*+ dan mereka telah mengahwini wanita yang menyembah dewa dewi asing.+ 12 Yehuwa akan melenyapkan sesiapa sahaja daripada khemah-khemah Yakub yang melakukan hal itu, biarpun mereka mempersembahkan korban kepada Yehuwa, ketua angkatan syurga.”+
13 “Selain itu, ada satu lagi perbuatan kamu: Kamu menyebabkan mazbah Yehuwa dibanjiri air mata, tangisan, dan keluhan. Oleh itu, Dia tidak lagi berkenan kepada persembahan kamu ataupun korban yang kamu berikan.+ 14 Lalu kamu bertanya, ‘Mengapa?’ Hal itu demikian kerana Yehuwa telah menjadi saksi antara kamu dengan wanita yang kamu kahwini pada masa muda. Isteri kamu ialah teman hidup kamu dan kamu berdua terikat dalam perjanjian perkahwinan,* tetapi kamu mengkhianatinya.+ 15 Namun ada segelintir orang dalam kalangan kamu yang tidak berbuat demikian kerana mereka masih dibimbing oleh kuasa suci Tuhan.* Apakah yang diingini mereka? Mereka ingin mendapat keturunan yang benar-benar merupakan umat Tuhan. Oleh itu, berjaga-jagalah dengan sikap dan fikiran kamu. Janganlah mengkhianati isteri yang kamu kahwini pada masa muda.” 16 Yehuwa, Tuhan orang Israel, berfirman, “Aku membenci perceraian+ dan orang yang pakaiannya dikotori perbuatan ganas.” Yehuwa, ketua angkatan syurga, juga berfirman, “Berjaga-jagalah dengan sikap dan fikiran kamu. Jauhilah perbuatan khianat.”+
17 “Kamu telah menyebabkan Yehuwa jemu dengan kata-kata kamu.+ Tetapi kamu bertanya, ‘Bagaimanakah kami membuat Tuhan berasa jemu?’ Dengan berkata, ‘Semua orang yang berbuat jahat dianggap baik oleh Yehuwa dan Dia berkenan kepada mereka,’+ atau dengan bertanya, ‘Di manakah Tuhan yang adil itu?’”
3 “Lihatlah! Aku akan menghantar utusan-Ku dan dia akan membuka jalan di hadapan-Ku.+ Lalu dengan tiba-tiba, Aku, Tuan yang benar yang kamu cari, akan datang ke Rumah-Ku.+ Utusan perjanjian yang kamu nanti-nantikan dengan sukacita akan datang. Sesungguhnya, dia pasti akan datang,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
2 “Namun, siapakah yang dapat bertahan pada hari kedatangannya, dan siapakah yang akan bersedia semasa kemunculannya? Dia akan menjadi seperti api yang digunakan untuk memurnikan logam, dan seperti sabun+ yang digunakan untuk membasuh pakaian. 3 Seperti seseorang yang duduk untuk membersihkan dan memurnikan perak,+ dia akan membersihkan orang Lewi dan memurnikan mereka sebagaimana emas dan perak dimurnikan. Dengan demikian, mereka akan menjadi umat yang mempersembahkan korban kepada Aku, Yehuwa, dengan tulus hati. 4 Persembahan daripada penduduk Yehuda dan Yerusalem akan menyenangkan hati Aku, Yehuwa, seperti pada zaman dahulu.+
5 “Aku akan datang kepada kamu untuk melaksanakan penghakiman. Aku akan segera menjadi saksi untuk menuduh ahli sihir,+ penzina, dan mereka yang mengucapkan sumpah palsu.+ Aku juga akan menuduh mereka yang menipu pekerja upahan,+ balu, dan anak yatim,+ serta mereka yang enggan membantu* orang asing.+ Mereka semua tidak menghormati Aku,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
6 “Akulah Yehuwa dan Aku tidak berubah.+ Kamulah keturunan Yakub dan itulah sebabnya kamu belum dibinasakan. 7 Sejak zaman nenek moyang kamu, kamu telah menyimpang daripada peraturan-peraturan-Ku dan tidak mematuhinya.+ Kembalilah kepada Aku, maka Aku akan kembali kepada kamu,”+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
Tetapi kamu bertanya, “Bagaimanakah kami dapat kembali kepada-Mu?”
8 “Mana mungkin manusia merompak Tuhan? Tetapi kamu merompak Aku.”
Lalu kamu bertanya, “Bagaimanakah kami merompak Engkau?”
“Dalam hal memberikan persepuluhan dan sumbangan. 9 Terkutuklah kamu semua* kerana seluruh bangsa telah merompak Aku. 10 Bawalah semua persepuluhan itu ke dalam Rumah-Ku*+ supaya Rumah-Ku ada makanan.+ Ujilah Aku dalam hal ini, dan Aku pasti akan membuka tingkap-tingkap di syurga+ dan mencurahkan berkat ke atas kamu sehingga kamu tidak kekurangan apa-apa pun,”+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
11 “Aku tidak akan membiarkan serangga merosakkan tanaman kamu, dan pokok anggur di ladang kamu akan berbuah lebat,”+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
12 “Semua bangsa akan mengatakan bahawa kamu berbahagia+ kerana negeri kamu akan menjadi tempat bersukacita,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
13 Yehuwa berfirman, “Kata-kata kamu sangat menghina Aku.”
Tetapi kamu bertanya, “Apakah yang telah kami katakan tentang Engkau?”+
14 “Kamu berkata, ‘Sia-sia sahaja menyembah Tuhan.+ Apa gunanya memenuhi kewajipan kita terhadap-Nya, atau menunjukkan bahawa kita menyesali kesalahan kita di hadapan Yehuwa, ketua angkatan syurga? 15 Sekarang kita hendak mengatakan bahawa orang sombonglah yang berbahagia, dan orang yang berbuat jahatlah yang berjaya.+ Mereka berani menguji Tuhan tetapi dapat melepaskan diri.’”
16 Pada masa itu, orang yang takut akan Yehuwa bercakap sesama sendiri, dan Yehuwa mendengar dengan penuh perhatian. Di hadapan Yehuwa, sebuah kitab peringatan ditulis.+ Nama setiap orang yang takut akan-Nya dan merenungkan* nama-Nya dicatat dalam kitab itu.+
17 Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, “Mereka akan menjadi umat-Ku.+ Pada hari Aku bertindak kelak, mereka akan menjadi milik-Ku yang khas.*+ Aku akan berbelas kasihan terhadap mereka sebagaimana seorang bapa berbelas kasihan kepada anaknya yang taat.+ 18 Mereka akan melihat lagi perbezaan antara orang baik dengan orang jahat,+ serta antara orang yang menyembah Aku dengan yang tidak.”
4 Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, “Lihatlah! Hari yang bernyala-nyala seperti relau+ akan datang. Pada hari itu, semua orang yang sombong dan yang berbuat jahat akan menjadi seperti jerami. Mereka akan dimusnahkan, bahkan akar dan dahan mereka pun tidak akan tertinggal. 2 Namun, kamu yang menghormati* nama-Ku akan disinari matahari keadilan,* dan sinarannya akan menyembuhkan kamu. Kamu akan melonjak-lonjak seperti anak lembu yang gemuk.”
3 “Pada hari Aku bertindak, kamu akan menginjak-injak orang jahat seperti debu di bawah kaki kamu,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.
4 “Ingatlah akan Hukum yang Aku berikan kepada hamba-Ku Musa di Gunung Horeb. Itulah perintah dan peraturan yang harus dipatuhi oleh segenap umat Israel.+
5 “Lihatlah! Sebelum Aku, Yehuwa, mendatangkan hari yang hebat dan menakutkan itu,+ Aku akan mengutus Nabi Elia+ kepada kamu. 6 Dia akan mengubah hati bapa menjadi seperti hati anak+ dan mengubah hati anak menjadi seperti hati bapa.* Dengan demikian, Aku tidak akan datang untuk mengambil tindakan lalu memusnahkan bumi.”
(Terjemahan Kitab Ibrani-Aram berakhir, diikuti dengan terjemahan Kitab Yunani Kristian)
Maksudnya “Utusan-Ku.”
Nama lain yang diberikan kepada Esau. Lihat Kamus, “Edom.”
Atau “hormat.”
Iaitu, mazbah-Nya.
Nampaknya merujuk kepada tugas menutup pintu Rumah Tuhan.
Atau mungkin, “menghina Aku.”
Iaitu, ke tempat untuk membuang najis daripada korban-korban.
Atau “takut akan.”
Atau “ajaran.”
Atau “ajaran-Ku.”
Atau mungkin, “ajaran kamu.”
Atau mungkin, “menghina tempat suci yang dikasihi Yehuwa.”
Atau “dan dia ialah isteri kamu yang sah.”
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Atau “yang menafikan hak.”
Atau mungkin, “Kamu semua sedang mengutuk Aku.”
Harfiah, “gudang-Ku.”
Atau “memikirkan.” Atau mungkin, “menghargai.”
Atau “yang amat bernilai.”
Harfiah, “takut akan.”
Atau “matahari kebenaran.”
Atau “membuat hati bapa berbalik kepada anak dan membuat hati anak berbalik kepada bapa.”