PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 50 1A-4W
  • Filipi

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Filipi
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Filipi

SURAT KEPADA SIDANG DI FILIPI

1 Surat ini daripada Paulus dan Timotius, hamba kepada Kristus Yesus, dan ditujukan kepada semua umat suci di Filipi+ yang bersatu dengan Kristus Yesus, termasuk para penyelia dan pembantu sidang:+

2 Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus.

3 Aku selalu bersyukur kepada Tuhanku semasa aku teringat akan kamu. 4 Setiap kali aku merayu kepada Tuhan bagi kamu semua, aku merayu dengan sukacita,+ 5 kerana kamu telah menyumbang kepada* penyebaran berita baik sejak hari pertama sehingga sekarang. 6 Aku yakin akan hal ini: Dia yang memulakan pekerjaan baik dalam kalangan kamu akan melaksanakannya sehingga selesai+ pada hari Kristus Yesus.+ 7 Memang aku patut berfikir sedemikian tentang kamu semua, kerana kamu sentiasa dekat di hatiku. Seperti aku, kamu juga menikmati kebaikan hati yang unggul dengan menyokong aku semasa aku dibelenggu di dalam penjara,+ semasa aku mempertahankan berita baik, dan semasa aku berusaha untuk memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik.+

8 Aku sangat rindu akan kamu semua, dan aku mengasihi kamu dengan kasih yang dimiliki Kristus Yesus. Tuhan boleh menjadi saksiku dalam hal ini. 9 Aku terus berdoa agar kasih kamu akan semakin bertambah+ dan disertai dengan pengetahuan yang tepat+ dan daya pertimbangan yang baik.+ 10 Aku juga berdoa agar kamu dapat mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting,+ supaya sehingga pada hari Kristus, kamu tidak bercacat cela dan tidak membuat orang lain tersandung.+ 11 Selain itu, aku berdoa agar melalui Yesus Kristus, kamu akan berlimpah-limpah dengan buah yang diperkenankan Tuhan,+ supaya kemuliaan dan pujian diberikan kepada Tuhan.

12 Saudara-saudara, aku mahu kamu tahu bahawa keadaanku sebenarnya telah menyebabkan kerja penyebaran berita baik menjadi semakin maju. 13 Para Pengawal Maharaja dan semua orang yang lain tahu+ bahawa aku dibelenggu di dalam penjara+ demi Kristus. 14 Oleh sebab aku dibelenggu di dalam penjara, kebanyakan saudara yang berkhidmat kepada Tuan kita digalakkan, dan mereka menjadi lebih berani untuk mengkhabarkan firman Tuhan tanpa rasa takut.

15 Memang, ada sesetengah orang yang mengisytiharkan Kristus kerana mereka iri hati dan suka berkelahi, tetapi yang lain melakukannya dengan niat yang baik. 16 Kumpulan yang kedua mengisytiharkan Kristus kerana didorong oleh kasih. Mereka tahu bahawa aku telah dilantik untuk mempertahankan berita baik.+ 17 Tetapi kumpulan yang pertama mengisytiharkan Kristus kerana mereka suka bertengkar, bukannya kerana mereka berniat baik. Mereka ingin menyusahkan aku semasa aku dibelenggu di dalam penjara. 18 Apakah hasilnya? Kristus telah diisytiharkan dengan segala cara, tidak kira orang yang mengisytiharkannya berniat baik atau tidak, dan aku bersukacita kerana hal itu. Sebenarnya aku akan terus bersukacita, 19 kerana aku tahu bahawa melalui doa kamu yang sungguh-sungguh+ dan melalui sokongan daripada kuasa suci Tuhan* yang juga diberikan kepada Yesus Kristus,+ hal ini akhirnya akan membawa penyelamatan kepadaku. 20 Aku yakin dan aku berharap agar aku tidak akan sekali-kali berasa malu dan agar aku dapat bercakap dengan berani.* Dengan demikian, tidak kira aku hidup atau mati, Kristus akan diagungkan melalui aku sekarang, sebagaimana dia sentiasa diagungkan dahulu.+

21 Bagiku, jika aku hidup, aku hidup demi Kristus,+ dan jika aku mati, hal itu berfaedah.+ 22 Jika aku masih hidup di dalam tubuh ini sebagai manusia, kerjaku akan membuahkan lebih banyak hasil. Namun, aku tidak menyatakan yang mana yang akan aku pilih. 23 Antara dua perkara ini, aku tidak tahu mana satu yang harus aku pilih. Aku ingin dibebaskan dan berada bersama Kristus+ kerana hal itu tentunya jauh lebih baik.+ 24 Tetapi demi kamu, lebih baik aku tetap hidup di dalam tubuh ini sebagai manusia. 25 Aku yakin akan hal itu, maka aku tahu bahawa aku akan terus hidup dan berada bersama kamu semua, supaya kamu membuat kemajuan dan menikmati sukacita yang berasal daripada iman kamu. 26 Dengan demikian semasa aku hadir dalam kalangan kamu lagi, kamu yang merupakan pengikut Kristus Yesus, akan meraih kegembiraan yang berlimpah-limpah kerana aku.

27 Hendaklah kamu hidup* sesuai dengan apa yang dituntut oleh berita baik tentang Kristus.+ Dengan demikian, sama ada aku datang berjumpa dengan kamu atau tidak, aku dapat mendengar tentang keadaan kamu dan mengetahui bahawa kamu berdiri teguh dan bersatu dalam fikiran, berjuang dengan sehati sejiwa+ demi kepercayaan yang berdasarkan berita baik, 28 serta tidak gentar sama sekali akan orang yang menentang kamu. Semua itu merupakan bukti daripada Tuhan bahawa mereka akan musnah+ tetapi kamu akan selamat.+ 29 Hal ini demikian kerana kamu telah diberi penghormatan, bukan sahaja untuk beriman kepada Kristus, tetapi juga untuk menderita deminya.+ 30 Kamu sedang berjuang dalam hal yang sama seperti aku. Perjuanganku ini telah kamu lihat dahulu,+ dan sekarang kamu mendengar bahawa aku masih berjuang.

2 Jika kamu dapat saling menggalakkan kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, jika kamu dapat melegakan hati orang lain kerana kamu didorong oleh kasih, jika kamu dapat mengambil berat terhadap satu sama lain, dan jika kamu dapat menunjukkan belas kasihan dan kasih yang mendalam, 2 maka jadikanlah sukacitaku sempurna dengan hidup seia sekata, dengan menunjukkan kasih yang sama, dengan bersatu padu, dan dengan menunjukkan fikiran yang sama.+ 3 Janganlah suka bertengkar+ atau bersikap sombong.+ Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri.+ 4 Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.+

5 Hendaklah kamu memiliki fikiran dan sikap yang juga dimiliki Kristus Yesus.+ 6 Walaupun dia seperti Tuhan,+ dia tidak pernah berfikir untuk merebut kedudukan Tuhan agar menjadi setara dengan-Nya.+ 7 Sebaliknya dia melepaskan segala-gala yang dimilikinya dan menjadi seperti seorang hamba.+ Ya, dia menjadi seorang manusia.+ 8 Bukan itu sahaja, semasa dia datang sebagai seorang manusia, dia merendahkan diri dan menunjukkan kepatuhan sampai mati,+ ya, sehingga dia mati pada tiang seksaan.*+ 9 Itulah sebabnya Tuhan meninggikan dia kepada kedudukan yang lebih tinggi,+ dan Tuhan dengan baik hati memberinya nama yang lebih tinggi daripada segala nama yang lain.+ 10 Dengan itu, atas nama Yesus, semua yang ada di syurga, di atas bumi, dan di bawah bumi harus berlutut,+ 11 dan setiap orang harus mengaku di hadapan umum bahawa Yesus Kristus ialah Tuan kita.+ Dengan demikian Tuhan, Bapa kita, dimuliakan.

12 Saudara-saudaraku yang dikasihi, kamu sentiasa patuh, bukan sahaja ketika aku ada bersama kamu, tetapi lebih-lebih lagi sekarang, semasa aku tidak ada bersama kamu. Maka, hendaklah setiap seorang daripada kamu berusaha supaya kamu diselamatkan. Teruslah melakukan hal itu dengan rasa takut dan hormat. 13 Tuhan menguatkan kamu untuk melakukan hal-hal yang menyenangkan hati-Nya. Dia memberi kamu keinginan dan kekuatan untuk bertindak. 14 Teruslah melakukan segala sesuatu tanpa bersungut-sungut+ atau bertengkar,+ 15 supaya kamu menjadi tulus dan murni, menjadi anak-anak Tuhan+ yang tidak bercela dalam kalangan generasi yang jahat dan menyeleweng,+ dapat bersinar seperti cahaya di dalam dunia ini,+ 16 dan dapat terus berpegang teguh pada firman yang memberikan kehidupan.+ Dengan demikian, pada hari Kristus, aku akan mempunyai sebab untuk bersukacita kerana aku tahu bahawa aku tidak berlari atau bekerja keras dengan sia-sia. 17 Biarpun aku menjadi seperti korban wain yang dicurahkan+ ke atas korban yang kamu berikan,+ iaitu khidmat suci kamu* yang didorong oleh iman, aku berasa gembira dan bersukacita bersama kamu semua. 18 Dengan cara yang sama, kamu juga harus bergembira dan bersukacita bersamaku.

19 Jika selaras dengan kehendak Tuan Yesus, aku berharap agar aku dapat mengutus Timotius+ kepada kamu tidak lama lagi, supaya aku mendapat galakan semasa aku menerima berita tentang kamu. 20 Dia benar-benar mengambil berat tentang kamu semua, dan aku tidak mempunyai sesiapa lagi yang bersikap sepertinya. 21 Semua orang lain mencari kepentingan sendiri dan bukannya kepentingan Yesus Kristus. 22 Tetapi kamu tahu bahawa Timotius sudah membuktikan kelayakannya. Seperti anak+ yang bekerja keras bersama bapanya, dia bekerja keras bersama aku untuk menyebarkan berita baik. 23 Maka aku berharap agar aku dapat mengutus dia kepada kamu sebaik sahaja aku mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku. 24 Ya, jika hal itu selaras dengan kehendak Tuan kita, aku yakin bahawa aku sendiri akan datang kepada kamu tidak lama lagi.+

25 Tetapi sementara itu, aku berpendapat bahawa aku perlu mengutus Epafroditus kepada kamu. Dia ialah saudaraku, rakan sekerjaku, dan rakan seperjuanganku yang telah kamu utus untuk menjaga keperluanku.+ 26 Dia ingin sekali berjumpa dengan kamu semua, dan dia menjadi murung kerana kamu sudah mendengar bahawa dia jatuh sakit. 27 Memang benar dia jatuh sakit dan hampir mati. Tetapi Tuhan berbelas kasihan terhadapnya, dan bukan terhadap dia sahaja tetapi terhadap aku juga, supaya aku tidak bertambah sedih. 28 Oleh itu, aku mengutus dia kepada kamu tanpa berlengah-lengah, supaya kamu bersukacita semula apabila berjumpa dengan dia, dan aku pun tidak akan begitu risau lagi. 29 Maka sambutlah dia dengan penuh sukacita seperti yang biasa dilakukan terhadap pengikut Tuan kita yang lain. Hendaklah kamu sentiasa menghargai orang seperti dia,+ 30 kerana demi kerja Kristus,* dia telah mempertaruhkan nyawanya dan hampir mati agar dapat memberi aku pertolongan yang tidak dapat kamu berikan.+

3 Akhirnya saudara-saudaraku, teruslah bersukacita kerana Tuan kita.+ Aku tidak keberatan untuk menulis tentang perkara-perkara yang sama kepada kamu, dan hal itu adalah untuk keselamatan kamu.

2 Berwaspadalah terhadap anjing-anjing;* berwaspadalah terhadap orang yang berbuat jahat; berwaspadalah terhadap mereka yang mendesak orang agar disunat.*+ 3 Hal ini demikian kerana kita sudah menerima sunat yang sejati.+ Kitalah orang yang bergantung pada kuasa suci Tuhan untuk menjalankan khidmat suci, yang berbangga kerana Kristus Yesus,+ dan yang tidak menaruh keyakinan kepada perkara-perkara jasmani. 4 Sebenarnya, berbanding dengan orang lain, aku mempunyai alasan yang lebih baik untuk menaruh keyakinan kepada perkara-perkara jasmani.

Jika ada sesiapa yang berfikir bahawa dia mempunyai alasan untuk menaruh keyakinan kepada perkara-perkara jasmani, aku mempunyai alasan yang lebih baik: 5 Aku disunat pada hari kelapan,+ aku merupakan keturunan Israel daripada suku Benyamin, dan aku ialah orang Ibrani yang dilahirkan oleh orang Ibrani;+ aku ialah orang Farisi+ yang berpaut pada hukum; 6 aku menganiaya sidang dengan penuh semangat;+ aku sangat teliti semasa melakukan apa sahaja yang benar di sisi hukum. 7 Tetapi kerana Kristus, perkara-perkara yang dahulunya menguntungkan bagiku kini aku anggap merugikan.*+ 8 Sesungguhnya aku juga menganggap bahawa semua hal merugikan, kerana pengetahuan tentang Tuanku, iaitu Kristus Yesus, jauh lebih bernilai. Deminya, aku sanggup meninggalkan segala-galanya dan menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku dapat memperoleh Kristus 9 dan didapati bersatu dengannya sebagai orang yang diperkenankan Tuhan. Aku diperkenankan Tuhan kerana aku beriman+ kepada Kristus,+ bukannya kerana aku mematuhi Hukum.+ 10 Inilah matlamatku: Aku ingin mengenal Kristus, mengetahui kuasa yang membangkitkannya,+ menderita sepertinya,+ dan membiarkan diriku menjadi seperti dia dalam hal kematiannya.+ 11 Aku berbuat demikian dengan bersungguh-sungguh agar aku berpeluang untuk menerima pembangkitan* yang lebih awal.+

12 Aku tidak bermaksud bahawa aku sudah menerima hadiah itu atau bahawa aku sudah menjadi sempurna. Kristus Yesus telah memilih aku untuk menerima hadiah itu,+ dan aku masih berusaha dengan bersungguh-sungguh+ agar aku dapat memperolehnya. 13 Saudara-saudara, aku tidak menganggap bahawa aku sudah memperoleh hadiah itu. Tetapi ada satu perkara yang aku lakukan: Melupakan perkara yang di belakang+ dan berusaha dengan gigih untuk mencapai perkara yang di hadapan.+ 14 Tuhan sudah memanggil aku melalui Kristus Yesus untuk menerima kehidupan di syurga,+ dan aku sedang berlari ke arah tujuanku, iaitu untuk menerima hadiah itu.+ 15 Oleh itu, hendaklah sesiapa sahaja yang matang+ antara kita menunjukkan sikap dan pemikiran sebegitu. Jika fikiran kamu menghala kepada mana-mana kecenderungan yang lain, Tuhan akan menyingkapkan sikap yang betul kepada kamu. 16 Walau bagaimanapun, tidak kira apa tahap kemajuan kita, marilah kita terus maju dengan cara yang sama.

17 Saudara-saudara, hendaklah kamu semua mengikut teladanku.+ Teruslah memperhatikan orang yang hidup menurut teladan kami. 18 Hal ini demikian kerana ada ramai orang yang sering aku sebutkan dahulu kini hidup sebagai musuh kepada tiang seksaan* Kristus. Maka sekarang aku menyebut tentang mereka dengan air mata yang berlinangan. 19 Mereka bertuhankan perut sendiri, mereka bangga akan hal-hal yang seharusnya memalukan, dan fikiran mereka hanya tertumpu kepada hal-hal duniawi.+ Kesudahan mereka ialah kemusnahan. 20 Namun kewarganegaraan kita+ di syurga,+ dan kita sedang menanti-nantikan penyelamat kita, iaitu Tuan Yesus Kristus,+ yang berada di syurga. 21 Dengan kuasanya yang besar, dia akan mengubah tubuh kita yang lemah ini menjadi seperti tubuhnya yang mulia,+ dan dia akan menjadikan segala sesuatu tunduk kepadanya.+

4 Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi dan rindui, sukacitaku dan mahkotaku,+ hendaklah kamu berdiri teguh+ sebagai pengikut Tuan kita menurut cara yang telah aku sebutkan sebelum ini.

2 Aku menggesa Euodia dan Sintikhe agar berkhidmat kepada Tuan kita dengan seia sekata.+ 3 Rakan sekerjaku yang sejati, aku memohon kepada kamu agar terus membantu kedua-dua wanita ini yang telah berjuang demi berita baik di sisiku bersama dengan Klemen dan rakan sekerjaku yang lain. Nama mereka tercatat dalam kitab kehidupan.+

4 Hendaklah kamu sentiasa bersukacita kerana kamu hidup bersatu dengan Tuan kita. Sekali lagi aku berkata: Bersukacitalah!+ 5 Hendaklah sikap munasabah+ kamu diketahui semua orang. Tuan kita sudah dekat. 6 Janganlah khuatir akan apa-apa pun.+ Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur.+ 7 Dengan demikian kesejahteraan+ daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati+ dan fikiran kamu melalui Kristus Yesus.

8 Akhirnya saudara-saudara, teruslah memikirkan* semua perkara yang benar, semua perkara yang serius, semua perkara yang diperkenankan Tuhan, semua perkara yang murni, semua perkara yang patut dikasihi, semua perkara yang terhormat, semua perkara yang baik, dan semua perkara yang patut dipuji.+ 9 Amalkanlah hal-hal yang telah kamu lihat, dengar, terima, dan pelajari daripadaku.+ Dengan demikian, Tuhan kedamaian akan menyertai kamu.

10 Sebagai hamba kepada Tuan kita, aku sangat bersukacita kerana akhirnya kamu mengambil berat terhadapku sekali lagi.+ Sebenarnya kamu memang mengambil berat terhadapku, cuma kamu tidak berpeluang untuk menunjukkannya. 11 Aku berkata demikian bukan kerana aku berkekurangan. Aku sudah belajar untuk berpuas hati dengan apa yang aku miliki dalam apa jua keadaan.+ 12 Aku tahu bagaimana hidup serba kekurangan+ dan bagaimana hidup dalam kelimpahan. Aku sudah mempelajari rahsia untuk berpuas hati dalam segala perkara dan dalam segala keadaan, sama ada aku kenyang atau lapar, dan sama ada aku hidup dalam kelimpahan atau hidup serba kekurangan. 13 Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.+

14 Namun demikian, kamu sungguh baik kerana membantu aku semasa aku menanggung kesengsaraan. 15 Sebenarnya, kamu semua yang berada di Filipi juga tahu bahawa setelah kamu mula mempelajari berita baik, dan ketika aku meninggalkan Makedonia, tiada satu sidang pun selain kamu yang membantu aku atau menerima bantuan daripadaku.+ 16 Semasa aku di Tesalonika, kamu telah mengirim bantuan untuk memenuhi keperluanku, bukan hanya sekali tetapi sebanyak dua kali. 17 Perkara yang benar-benar aku ingini bukanlah pemberian kamu. Sebaliknya, aku menginginkan berkat yang akan membawa lebih banyak keuntungan* ke dalam akaun kamu. 18 Aku sudah mempunyai segala yang aku perlukan, bahkan lebih daripada itu. Kini aku tidak kekurangan apa-apa lagi setelah menerima pemberian yang kamu kirimkan melalui Epafroditus.+ Pemberian kamu itu seperti bau yang harum,+ dan merupakan korban yang diterima dan disenangi oleh Tuhan. 19 Maka Tuhanku, yang berlimpah-limpah dengan kekayaan yang mulia, akan memenuhi segala keperluan kamu+ melalui Kristus Yesus. 20 Semoga Tuhan dan Bapa kita dimuliakan untuk selama-lamanya. Amin.

21 Sampaikan salamku kepada setiap umat suci Tuhan yang bersatu dengan Kristus Yesus. Saudara-saudara yang ada bersamaku mengirim salam kepada kamu. 22 Semua umat suci Tuhan, terutamanya mereka yang berada dalam rumah tangga Kaisar,*+ mengirim salam kepada kamu.

23 Semoga kebaikan hati Tuan Yesus Kristus yang unggul menyertai sikap baik yang kamu tunjukkan.

Atau “kerana kamu mengambil bahagian dalam kerja memajukan.”

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”

Atau “Teruslah hidup sebagai rakyat.”

Lihat Kamus.

Atau “khidmat kamu kepada orang ramai.”

Atau mungkin, “kerja Tuan.”

Iaitu, orang yang jahat dan tidak bermoral.

Atau “yang mencederakan anggota tubuh.”

Atau mungkin, “aku tinggalkan dengan rela hati.”

Harfiah, “pembangkitan daripada kematian.”

Lihat Kamus.

Atau “merenungkan.”

Merujuk kepada kekayaan rohani.

Gelaran bagi maharaja Roma.

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi