SURAT KEDUA KEPADA SIDANG DI TESALONIKA
1 Surat ini daripada Paulus, Silvanus,* dan Timotius.+ Surat ini ditujukan kepada sidang di Tesalonika yang bersatu dengan Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus:
2 Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus.
3 Saudara-saudara, kami harus sentiasa mengucapkan syukur kepada Tuhan untuk kamu. Kami memang patut berbuat demikian kerana iman kamu bertumbuh secara luar biasa dan kasih kamu semua terhadap satu sama lain juga semakin mendalam.+ 4 Maka kami membangga-banggakan kamu+ di hadapan sidang-sidang Tuhan, kerana kamu tetap tabah dan beriman semasa menanggung bermacam-macam penganiayaan dan kesusahan.*+ 5 Semua ini membuktikan bahawa penghakiman Tuhan adil, dan disebabkan hal ini, kamu semua telah dianggap layak untuk mewarisi Kerajaan Tuhan, yang deminya kamu mengalami penderitaan.+
6 Penghakiman Tuhan ini memang adil, kerana Dia akan mendatangkan kesengsaraan sebagai balasan kepada orang yang mendatangkan kesengsaraan kepada kamu.+ 7 Tetapi bagi kamu yang mengalami kesengsaraan, kamu akan menerima kelegaan bersama-sama kami semasa Tuan Yesus+ muncul bersama malaikat-malaikatnya+ yang perkasa dari syurga 8 dalam api yang menyala-nyala. Dia akan mendatangkan pembalasan terhadap mereka yang tidak mengenal Tuhan, dan terhadap mereka yang tidak mentaati berita baik tentang Yesus, Tuan kita.+ 9 Hukuman yang akan dijatuhkan kepada mereka ialah kebinasaan yang kekal,+ dan mereka akan terpisah daripada hadirat Tuan dan daripada kuasanya yang mulia. 10 Hal ini akan berlaku semasa dia datang untuk menerima kemuliaan bersama umatnya yang suci. Pada hari itu semua yang menaruh iman kepadanya akan berasa kagum terhadapnya. Oleh sebab kamu mempercayai kesaksian yang kami sampaikan kepada kamu, kamu akan tergolong bersama mereka.
11 Itulah sebabnya kami selalu berdoa untuk kamu semua supaya Tuhan kita menganggap kamu layak untuk menerima panggilan-Nya,+ dan supaya dengan kuasa-Nya, Dia akan melaksanakan sepenuhnya semua hal baik yang diperkenankan-Nya dan menyempurnakan apa yang sedang kamu lakukan kerana didorong oleh iman. 12 Dengan demikian nama Tuan Yesus akan dimuliakan melalui kamu, dan kamu juga akan dimuliakan kerana kamu bersatu dengannya. Kemuliaan ini diberikan berdasarkan kebaikan hati yang unggul daripada Tuhan kita dan Tuan Yesus Kristus.
2 Namun, saudara-saudara, mengenai kehadiran Tuan kita, Yesus Kristus,+ dan mengenai hal kita dikumpulkan bersama-sama kepadanya,+ inilah permintaan kami kepada kamu: 2 Janganlah membiarkan fikiran kamu cepat dikelirukan, dan janganlah kamu cemas jika kamu mendengar bahawa hari Yehuwa*+ sudah tiba. Kamu mungkin mendengar hal itu melalui pernyataan yang nampaknya diilhami oleh Tuhan,+ melalui kata-kata orang, atau melalui surat yang nampaknya berasal daripada kami.
3 Janganlah biarkan orang menyesatkan* kamu dengan cara apa pun, kerana hari itu tidak akan datang sebelum kemurtadan+ berlaku dan sebelum orang jahat+ yang patut dibinasakan itu+ disingkapkan. 4 Dia ialah penentang, dan dia menganggap dirinya lebih tinggi daripada sesiapa sahaja yang digelar “tuhan” atau benda-benda yang dipuja. Dia bahkan duduk di dalam Rumah Tuhan dan memperagakan dirinya sebagai tuhan. 5 Tidakkah kamu ingat bahawa aku sering memberitahu kamu hal-hal ini semasa aku bersama-sama kamu?
6 Namun sekarang, kamu tahu bahawa ada sesuatu yang menghalang orang jahat itu daripada disingkapkan sebelum masa yang ditentukan tiba. 7 Sesungguhnya, kejahatan itu sedang dilakukan secara tersembunyi,+ dan akan terus disembunyikan sehingga apa yang menghalangnya sekarang itu sudah tiada. 8 Setelah itu, orang jahat itu akan disingkapkan. Pada waktu kehadiran Tuan Yesus menjadi nyata,+ orang jahat itu akan dilenyapkan dan dibinasakan melalui kuasa yang keluar daripada mulut Yesus.+ 9 Kuasa Syaitan menyebabkan orang jahat itu hadir+ dan melakukan segala macam perkara yang menakjubkan, keajaiban dan mukjizat yang menipu orang,+ 10 dan segala tipu muslihat yang jahat untuk menyesatkan orang.+ Mereka yang disesatkan itu enggan menerima dan mengasihi kebenaran yang membawa penyelamatan. Maka sebagai balasan, mereka akan dibinasakan. 11 Itulah sebabnya Tuhan membiarkan mereka ditipu oleh pengaruh yang menyesatkan sehingga mereka percaya kepada dusta itu.+ 12 Dengan demikian mereka semua akan dihukum kerana mereka menyukai kejahatan dan tidak percaya kepada kebenaran.
13 Saudara-saudara yang dikasihi oleh Yehuwa,* kami mesti sentiasa bersyukur kepada Tuhan untuk kamu, kerana sejak awal-awal lagi, Tuhan telah memilih kamu+ untuk diselamatkan dengan menyucikan kamu+ melalui kuasa suci-Nya.* Dia memilih kamu kerana kamu beriman kepada kebenaran. 14 Untuk hal inilah Tuhan memanggil kamu melalui berita baik yang kami khabarkan. Dengan itu kamu dapat memperoleh kemuliaan Tuan Yesus Kristus.+ 15 Maka saudara-saudara, hendaklah kamu berdiri teguh+ dan terus berpegang pada ajaran yang diturunkan kepada kamu,+ sama ada secara lisan ataupun melalui surat daripada kami. 16 Tuhan, Bapa kita, mengasihi kita+ dan memberi kita kelegaan hati yang kekal dan harapan yang cerah+ kerana kebaikan hati-Nya yang unggul. Kami berdoa agar Dia dan Tuan kita, Yesus Kristus, 17 melegakan hati kamu dan meneguhkan* kamu agar kamu sentiasa dapat melakukan dan mengatakan apa yang baik.
3 Akhirnya saudara-saudara, teruslah berdoa untuk kami,+ supaya firman Yehuwa* terus tersebar dengan cepat+ dan dimuliakan, seperti yang terjadi dalam kalangan kamu. 2 Berdoalah juga supaya kami diselamatkan daripada orang yang keji dan jahat,+ kerana iman bukanlah milik semua orang.+ 3 Tetapi Tuan kita setia, dan dia akan menguatkan kamu dan melindungi kamu daripada Si Jahat. 4 Sebagai pengikut Tuan kita, kami yakin bahawa kamu sedang melaksanakan dan akan terus melaksanakan arahan yang kami berikan kepada kamu. 5 Semoga Tuan kita terus membimbing hati kamu supaya kamu mengasihi Tuhan+ dan bertabah+ demi Kristus.
6 Saudara-saudara, atas nama Tuan Yesus Kristus, kami mengarahkan kamu agar menjauhi semua saudara yang tidak bertatatertib,*+ dan yang tidak hidup menurut ajaran* yang kamu* terima daripada kami.+ 7 Kamu sendiri tahu bagaimana kamu seharusnya mencontohi kami,+ kerana kami sentiasa bertatatertib dalam kalangan kamu, 8 dan kami tidak pernah makan makanan sesiapa pun dengan percuma.*+ Sebaliknya, kami bekerja keras dan membanting tulang siang dan malam, kerana kami tidak ingin menjadi beban yang berat dari segi kewangan kepada sesiapa pun dalam kalangan kamu.+ 9 Bukannya kami tidak berhak+ untuk berbuat demikian, tetapi kami ingin menunjukkan teladan yang baik supaya kamu dapat mencontohi kami.+ 10 Sebenarnya semasa kami bersama kamu, kami pernah memberikan arahan ini: “Sesiapa yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.”+ 11 Hal ini demikian kerana kami mendengar bahawa ada sesetengah orang dalam kalangan kamu yang tidak bertatatertib.+ Mereka langsung tidak bekerja dan suka mencampuri urusan orang lain.+ 12 Atas nama Tuan Yesus Kristus, kami mengarahkan dan menasihati orang sebegitu agar makan makanan yang diperoleh mereka sendiri dan tidak mencampuri urusan orang lain.+
13 Tetapi saudara-saudara, hendaklah kamu terus berbuat baik tanpa berputus asa. 14 Jika ada sesiapa yang tidak mematuhi kata-kata kami dalam surat ini, berwaspadalah terhadap* orang itu dan jangan lagi bergaul dengannya+ supaya dia berasa malu. 15 Namun, janganlah menganggapnya sebagai musuh. Sebaliknya, teruslah menasihatinya+ sebagai seorang saudara.
16 Semoga Tuan kedamaian sentiasa mengurniai kamu kedamaian dalam segala hal.+ Semoga Tuan kita menyertai kamu semua.
17 Aku, Paulus, menulis salam ini dengan tanganku sendiri.+ Beginilah caranya aku menulis, dan gaya tulisan ini menjadi tanda pengenal dalam setiap suratku.
18 Semoga kebaikan hati Tuan Yesus Kristus yang unggul menyertai kamu semua.
Juga dipanggil Silas.
Atau “kesengsaraan.”
Lihat Lampiran A5.
Atau “menggoda.”
Lihat Lampiran A5.
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Atau “menguatkan.”
Lihat Lampiran A5.
Boleh merujuk kepada orang yang tidak hidup selaras dengan prinsip-prinsip Tuhan.
Atau “arahan.”
Atau mungkin, “mereka.”
Atau “tanpa membuat bayaran.”
Harfiah, “tandailah.”