PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 55 1A-4V
  • 2 Timotius

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • 2 Timotius
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
2 Timotius

SURAT KEDUA KEPADA TIMOTIUS

1 Aku, Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus menurut kehendak Tuhan dan menurut janji-Nya tentang kehidupan yang diperoleh melalui Kristus Yesus,+ 2 menulis surat ini kepada Timotius, anakku yang dikasihi:+

Semoga kamu dikurniai kebaikan hati yang unggul, belas kasihan, dan kedamaian, daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan kita, Kristus Yesus.

3 Aku menyembah Tuhan seperti yang dilakukan oleh nenek moyangku, dan aku berbuat demikian dengan hati nurani yang bersih. Aku bersyukur kepada Tuhan dan aku tidak pernah melupakanmu semasa aku merayu kepada-Nya siang dan malam. 4 Apabila aku teringat akan tangisanmu, aku ingin sekali berjumpa dengan kamu supaya aku dipenuhi dengan sukacita. 5 Hal ini demikian kerana aku teringat akan imanmu yang tulus.+ Mula-mula, nenekmu Lois dan ibumu Euniki menunjukkan iman sedemikian, dan aku yakin bahawa kamu juga memiliki iman yang sama.

6 Itulah sebabnya aku mengingatkan kamu supaya terus menunjukkan semangat yang berkobar-kobar seperti api, apabila kamu menggunakan kurniaan Tuhan yang kamu terima sewaktu aku meletakkan tanganku ke atasmu.+ 7 Hal ini demikian kerana kuasa suci yang diberikan* oleh Tuhan tidak menjadikan kita penakut,+ tetapi memberi kita kuasa,+ kasih, dan fikiran yang sihat. 8 Oleh itu, janganlah malu memberikan kesaksian tentang Tuan kita,+ dan janganlah malu akan aku yang dipenjarakan kerananya. Sebaliknya, bersedialah untuk menanggung kesusahan+ demi berita baik dengan bergantung pada kuasa Tuhan.+ 9 Dia telah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk menjadi umat yang suci,+ bukan kerana perbuatan kita, tetapi kerana tujuan-Nya dan kebaikan hati-Nya yang unggul.+ Sejak dahulu lagi, Dia mengurniai kita kebaikan hati ini melalui Kristus Yesus. 10 Tetapi sekarang kebaikan hati-Nya yang unggul sudah jelas kelihatan apabila Penyelamat kita, Kristus Yesus,+ menampakkan diri. Kristus telah menghapuskan kematian+ dan melalui berita baik,+ dia telah menyingkapkan bagaimana kita dapat memiliki kehidupan+ yang tidak dapat musnah.+ 11 Aku telah dilantik sebagai penyebar, rasul, dan guru, untuk mengisytiharkan berita baik ini.+

12 Itulah sebabnya aku sedang menderita hal-hal ini.+ Namun aku tidak berasa malu+ kerana aku mengenal Dia yang aku percayai, dan aku yakin bahawa Dia dapat menjaga segala-gala yang telah aku percayakan kepada-Nya sampai hari penghakiman.+ 13 Teruslah berpegang pada piawaian* kata-kata sihat*+ yang kamu dengar daripadaku, dan teruslah menunjukkan iman dan kasih yang kamu miliki kerana kamu bersatu dengan Kristus Yesus. 14 Dengan bantuan kuasa suci Tuhan* yang ada dalam diri kita, jagalah harta berharga ini yang diamanahkan kepadamu.+

15 Kamu tahu bahawa semua orang di daerah Asia+ sudah berpaling daripadaku, termasuk Figelus dan Hermogenes. 16 Semoga Tuan kita berbelas kasihan terhadap rumah tangga Onesiforus,+ kerana dia sering menyegarkan aku, dan dia tidak malu akan aku yang dibelenggu di dalam penjara. 17 Sebaliknya, semasa dia berada di Roma, dia mencari aku dengan bersungguh-sungguh dan telah menemui aku. 18 Semoga Tuan kita membolehkannya dikurniai belas kasihan daripada Yehuwa* pada hari penghakiman. Kamu juga tahu benar tentang semua khidmat yang telah dilakukannya di Efesus.

2 Oleh itu, anakku,+ hendaklah kebaikan hati yang unggul, yang ada dalam diri Kristus Yesus, terus memberi kamu kekuatan. 2 Berkenaan perkara-perkara yang telah kamu dengar daripadaku dan yang disahkan oleh banyak saksi,+ amanahkanlah perkara-perkara itu kepada orang yang setia agar mereka juga menjadi layak untuk mengajar orang lain. 3 Sebagai askar Kristus Yesus yang baik,+ bersedialah untuk menanggung kesusahan.+ 4 Seseorang yang berkhidmat sebagai askar tidak akan melibatkan diri* dalam urusan perdagangan* orang awam, agar dia dapat menyenangkan hati orang yang mendaftarkannya sebagai askar. 5 Tambahan lagi, seseorang yang menyertai pertandingan tidak diberi mahkota kecuali dia sudah bertanding mengikut peraturan.+ 6 Petani yang bekerja keras haruslah menjadi orang pertama yang menikmati hasil tuaiannya. 7 Hendaklah kamu sentiasa berfikir tentang apa yang aku katakan. Tuan kita akan memberi kamu pemahaman* dalam segala sesuatu.

8 Ingatlah bahawa Yesus Kristus telah dibangkitkan daripada kematian+ dan dia merupakan keturunan Daud.+ Hal ini selaras dengan berita baik yang aku sebarkan.+ 9 Aku menderita dan dipenjarakan sebagai seorang penjenayah kerana berita baik ini.+ Namun demikian, firman Tuhan tidak dapat dibelenggu.+ 10 Oleh itu, aku terus menanggung segala sesuatu dengan tabah demi umat pilihan Tuhan,+ agar melalui Kristus Yesus, mereka juga mendapat penyelamatan dan mendapat kemuliaan yang abadi. 11 Kata-kata ini dapat dipercayai: Jika kita mati bersamanya, kita juga pasti akan hidup bersamanya;+ 12 jika kita terus bertabah, kita juga akan memerintah sebagai raja bersamanya;+ jika kita menyangkalnya, dia juga akan menyangkal kita;+ 13 meskipun kita tidak setia, Tuhan akan tetap setia, kerana Dia tidak dapat bertindak dalam cara yang bertentangan dengan diri-Nya sendiri.

14 Teruslah mengingatkan mereka tentang hal-hal ini dan berikanlah perintah* kepada mereka di hadapan Tuhan supaya jangan bertengkar tentang kata-kata, kerana perbuatan sedemikian sia-sia sahaja dan memudaratkan* orang yang mendengarnya. 15 Berusahalah sedaya upaya untuk mempersembahkan dirimu kepada Tuhan sebagai orang yang diperkenankan-Nya, sebagai pekerja yang tidak malu dengan pekerjaannya, dan sebagai orang yang mengajar dan menjelaskan firman yang benar dengan baik.+ 16 Tetapi janganlah mendengar kata-kata kosong yang mencemari hal-hal yang suci,+ kerana kata-kata sedemikian akan menyebabkan orang menjadi semakin jauh daripada Tuhan, 17 dan kata-kata sedemikian akan merebak seperti penyakit gangren.* Himeneus dan Filitus termasuk antara mereka yang menyebarkan kata-kata demikian.+ 18 Mereka berdua sudah menyimpang daripada kebenaran dan mengatakan bahawa pembangkitan sudah berlaku.+ Mereka menghancurkan iman sesetengah orang. 19 Namun demikian, asas kukuh yang diletakkan oleh Tuhan tetap bertahan dan mempunyai meterai yang menyatakan, “Yehuwa* mengenal mereka yang merupakan milik-Nya,”+ dan, “Hendaklah setiap orang yang menyeru nama Yehuwa*+ meninggalkan hal-hal yang jahat.”

20 Di dalam sebuah rumah yang besar, bukan sahaja ada perkakas* yang diperbuat daripada emas dan perak, malah ada juga yang diperbuat daripada kayu dan tanah liat. Sesetengah perkakas adalah untuk kegunaan yang mulia, sedangkan yang lain adalah untuk kegunaan yang tidak mulia. 21 Maka, jika sesiapa menjauhkan diri daripada perkakas yang digunakan untuk kegunaan yang tidak mulia, dia akan menjadi alat* untuk kegunaan yang mulia, yang disucikan, yang berguna kepada pemiliknya, dan yang bersedia untuk melakukan setiap perbuatan yang baik. 22 Oleh itu, jauhkanlah diri* daripada nafsu orang muda. Sebaliknya berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk memupuk kebaikan, iman, kasih, dan kedamaian, bersama dengan mereka yang berseru kepada Tuan dengan hati yang bersih.

23 Selain itu, hindarilah perdebatan yang bodoh dan sia-sia+ kerana kamu tahu bahawa perkara sebegitu menyebabkan pertengkaran. 24 Hal ini demikian kerana hamba Tuan tidak perlu bertengkar. Sebaliknya dia perlu bersikap baik hati terhadap semua orang.*+ Dia juga perlu layak untuk mengajar, menahan diri semasa diperlakukan dengan buruk,+ 25 dan menunjukkan kelemahlembutan semasa mengajar orang yang suka menentang.+ Barangkali Tuhan akan mengizinkan orang sebegini untuk bertaubat* dan mendapat pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.+ 26 Dengan itu, meskipun mereka sudah ditangkap hidup-hidup oleh Iblis untuk melakukan kehendaknya, mereka mungkin akan sedar dan melepaskan diri daripada perangkapnya.+

3 Tetapi ketahuilah hal ini: Pada hari-hari terakhir,+ akan tiba masa genting yang sukar dihadapi. 2 Manusia akan mencintai diri sendiri, mencintai wang, bercakap besar, bersikap angkuh, dan menghina Tuhan. Mereka tidak mematuhi ibu bapa, tidak tahu berterima kasih, tidak setia, 3 tidak memiliki kasih sayang, tidak mahu dibawa berbincang, suka memfitnah, tidak tahu mengawal diri, garang, dan tidak mencintai kebaikan. 4 Mereka juga suka berkhianat, keras kepala, sombong, dan mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan. 5 Di depan orang lain mereka nampaknya beribadat kepada Tuhan, tetapi mereka tidak hidup sesuai dengan ibadat mereka.+ Jauhkanlah dirimu daripada mereka semua. 6 Daripada kalangan mereka, muncullah orang yang masuk ke dalam rumah tangga orang lain dengan licik lalu menawan wanita-wanita yang lemah, yang sarat dengan dosa, dan yang dikuasai oleh pelbagai keinginan. 7 Wanita-wanita ini selalu belajar tetapi tidak pernah mendapat pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.

8 Sepertimana Yanes dan Yambres menentang Musa, orang sebegini juga terus menentang kebenaran. Fikiran mereka rosak sepenuhnya, dan mereka tidak diperkenankan Tuhan kerana mereka tidak hidup berdasarkan kepercayaan. 9 Namun begitu, mereka tidak akan berjaya kerana kebodohan mereka akan dilihat dengan jelas oleh semua orang, seperti yang berlaku kepada dua orang itu.+ 10 Tetapi dengan cermat kamu sudah mengikut ajaranku, haluan hidupku,+ tujuanku, imanku, kesabaranku, kasihku, dan ketabahanku. 11 Kamu juga tahu tentang penganiayaan dan penderitaan yang telah aku alami di Antiokhia,+ di Ikonium,+ dan di Listra.+ Aku tabah menghadapi penganiayaan itu, dan Tuan telah menyelamatkan aku daripada semuanya.+ 12 Sebenarnya, semua orang yang mahu mengabdikan diri kepada Tuhan dan hidup bersatu dengan Kristus Yesus juga akan dianiaya.+ 13 Tetapi orang jahat dan penyamar akan menjadi semakin jahat. Mereka akan menyesatkan orang dan mereka sendiri juga akan disesatkan.+

14 Namun, hendaklah kamu terus berpegang pada apa yang telah kamu pelajari dan apa yang telah kamu percayai selepas diyakinkan.+ Kamu tahu siapa yang mengajarkannya kepada kamu 15 dan sejak bayi lagi,+ kamu telah mengenal tulisan-tulisan suci+ yang dapat membantu kamu menjadi bijaksana, dan yang membawa penyelamatan kerana kamu beriman kepada Kristus Yesus.+ 16 Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan+ dan berguna untuk mengajar,+ menegur, membetulkan* segala sesuatu, dan mendidik orang untuk melakukan apa yang benar,*+ 17 agar hamba Tuhan menjadi cekap dan dilengkapi dengan sepenuhnya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.

4 Di hadapan Tuhan dan di hadapan Kristus Yesus yang akan menghakimi+ orang hidup dan orang mati,+ yang akan menampakkan diri,+ dan yang akan datang dalam Kerajaannya,+ aku memberi kamu perintah yang berikut: 2 Khabarkan firman Tuhan+ tanpa berlengah-lengah, baik pada masa yang senang mahupun pada masa yang susah. Berikanlah teguran,+ amaran tegas, dan nasihat dengan penuh kesabaran dan dengan menggunakan seni mengajar.+ 3 Hal ini demikian kerana akan tiba suatu jangka masa apabila orang tidak akan mendengarkan ajaran yang sihat.*+ Tetapi mereka akan menuruti keinginan sendiri dan mengumpulkan guru-guru yang akan menggeletek telinga mereka.*+ 4 Mereka tidak lagi mahu mendengar kebenaran tetapi akan memberikan perhatian kepada cerita-cerita palsu. 5 Tetapi hendaklah kamu memelihara daya pemikiran kamu dalam segala hal, menghadapi kesusahan dengan tabah,+ melakukan kerja seorang penginjil,* dan melaksanakan tugas kamu dengan sepenuhnya.+

6 Aku sudah menjadi seperti korban wain yang dicurahkan,+ dan masa pembebasanku+ sudah sangat dekat. 7 Aku sudah berjuang dalam perjuangan yang baik,+ aku sudah berlari dalam perlumbaan sampai ke akhir,+ dan aku tetap teguh dalam kepercayaan. 8 Sekarang, Tuan yang menghakimi dengan adil+ sudah menyediakan sebuah mahkota untuk aku. Mahkota itu adalah untuk orang yang melakukan apa yang benar.+ Mahkota itu akan diberikan kepada aku pada hari penghakiman sebagai ganjaran.+ Bukan aku sahaja yang akan menerimanya, malah semua orang yang menantikan-nantikan masanya dia menampakkan diri juga akan menerimanya.

9 Berusahalah dengan sedaya upaya untuk datang kepadaku secepat mungkin. 10 Demas+ telah meninggalkan aku kerana dia mencintai sistem dunia ini.* Dia sudah pergi ke Tesalonika, Kreskes sudah pergi ke Galatia, dan Titus sudah pergi ke Dalmatia. 11 Hanya Lukas yang ada bersama-sama aku. Bawalah Markus bersama kamu kerana dia banyak membantu aku dalam tugasku. 12 Aku telah mengutus Tikhikus+ ke Efesus. 13 Apabila kamu datang, bawalah jubah yang aku tinggalkan dengan Karpus di Troas. Bawalah gulungan-gulungan itu juga, terutamanya gulungan yang diperbuat daripada kulit.

14 Aleksander, tukang tembaga itu, telah banyak menyakiti aku. Yehuwa* akan membalas dia setimpal dengan perbuatannya.+ 15 Kamu juga seharusnya berjaga-jaga terhadapnya, kerana dia menentang keras perkhabaran kita.

16 Semasa aku membela diri buat kali pertama, tiada seorang pun yang ada di sisiku. Mereka semua meninggalkan aku. Semoga hal itu tidak dipertanggungjawabkan kepada mereka. 17 Namun, Tuan berdiri berhampiranku dan memberikan kuasa kepadaku, supaya melalui aku kerja penyebaran dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya, dan semua bangsa dapat mendengarnya.+ Aku juga telah diselamatkan daripada mulut singa.+ 18 Tuan kita akan menyelamatkan aku daripada segala perbuatan jahat. Dia akan menyelamatkan aku dan membawa aku ke dalam Kerajaannya di syurga.+ Semoga dia dimuliakan buat selama-lamanya. Amin.

19 Sampaikan salamku kepada Priska dan Akwila+ serta kepada rumah tangga Onesiforus.+

20 Erastus+ tetap tinggal di Korintus, tetapi aku meninggalkan Trofimus+ di Miletus kerana dia sakit. 21 Berusahalah sedaya upaya untuk tiba sebelum musim sejuk.

Ebulus mengirim salam kepada kamu, begitu juga dengan Pudes, Linus, dan Klaudia, serta semua saudara yang lain.

22 Semoga Tuan kita menyertai sikap baik yang kamu tunjukkan. Semoga kebaikan hatinya yang unggul menyertai kamu.

Atau “kerana kecenderungan mental yang diberikan.” Lihat Kamus, “Roh.”

Atau “rangka.”

Atau “berfaedah.”

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “terbelit.”

Atau mungkin, “kegiatan sehari-hari.”

Atau “pengertian.”

Harfiah, “berikanlah kesaksian yang menyeluruh.”

Atau “menghancurkan.”

Sejenis penyakit yang menyebabkan tisu daging mati.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “bejana.”

Atau “perkakas; bejana.”

Harfiah, “larilah.”

Atau “berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan orang.”

Atau “berubah fikiran.”

Atau “meluruskan.”

Atau “dan mendisiplinkan orang menurut piawaian Tuhan yang adil dan benar.”

Atau “berfaedah.”

Atau “akan memberitahu mereka perkara-perkara yang mahu didengar oleh mereka.”

Atau “terus menyebarkan berita baik.”

Atau “zaman sekarang.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”

Lihat Lampiran A5.

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi