PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 56 1A-3O
  • Titus

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Titus
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Titus

SURAT KEPADA TITUS

1 Aku, Paulus, hamba Tuhan dan rasul Yesus Kristus, yang berpegang pada kepercayaan yang sama seperti iman umat pilihan Tuhan. Aku menjadi rasul menurut pengetahuan yang tepat tentang kebenaran, yang selaras dengan pengabdian kepada Tuhan. 2 Hal-hal ini berdasarkan harapan kehidupan kekal+ yang dijanjikan sejak dahulu lagi oleh Tuhan yang tidak dapat berdusta.+ 3 Pada waktu yang ditentukan-Nya, Tuhan telah menyatakan firman-Nya melalui kerja penyebaran yang telah diamanahkan kepadaku+ menurut perintah Tuhan, Penyelamat kita. 4 Kepada Titus, anakku yang sejati, yang berpegang pada kepercayaan yang sama-sama kita miliki:

Semoga kamu dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Kristus Yesus, Penyelamat kita.

5 Aku meninggalkanmu di Kreta supaya kamu membetulkan perkara-perkara yang perlu dibetulkan dan melantik para penatua di setiap kota, seperti yang telah aku pesan kepadamu: 6 Seorang lelaki yang dilantik haruslah bebas daripada tuduhan dan hanya mempunyai seorang isteri. Anak-anaknya haruslah percaya kepada Kristus, dan tidak dituduh mengamalkan cara hidup yang tidak bermoral* atau suka memberontak.+ 7 Hal ini demikian kerana sebagai pengurus rumah tangga yang dilantik oleh Tuhan, seorang penyelia haruslah bebas daripada tuduhan, tidak keras kepala,+ tidak cepat marah,+ bukan seorang pemabuk, tidak ganas,* dan tidak tamak akan keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur. 8 Sebaliknya, dia haruslah suka menyambut orang dengan ramah,+ mencintai apa yang baik, berfikiran sihat,*+ bersikap adil, setia,+ dan tahu mengawal diri.+ 9 Dia harus berpegang teguh pada firman yang dapat dipercayai* semasa menggunakan seni mengajar,+ supaya dia dapat menggunakan ajaran yang sihat*+ untuk memberikan galakan* dan menegur+ orang yang membantah ajaran itu.

10 Hal ini demikian kerana ada banyak orang yang suka memberontak, bercakap tentang hal-hal yang tidak berfaedah, dan menggunakan tipu daya, terutamanya mereka yang berpegang pada hukum bersunat.+ 11 Kamu perlu menutup mulut orang sedemikian, kerana mereka mengajarkan hal-hal yang tidak sepatutnya diajarkan dan terus merosakkan iman seisi rumah tangga orang demi memperoleh keuntungan secara tidak jujur. 12 Seorang nabi dalam kalangan mereka sendiri pernah berkata, “Orang Kreta selalu berdusta. Mereka seperti binatang buas, dan mereka malas serta gelojoh.”

13 Kesaksian itu memang benar. Oleh itu, hendaklah kamu terus menegur mereka dengan tegas, supaya mereka memiliki iman yang teguh* 14 dan tidak mempedulikan cerita dongeng orang Yahudi ataupun perintah daripada orang yang berpaling daripada kebenaran. 15 Segala perkara bersih bagi orang yang bersih.+ Tetapi tiada sesuatu pun yang bersih bagi orang yang sudah tercemar dan tidak beriman, kerana fikiran dan hati nurani mereka sudah tercemar.+ 16 Mereka mengaku di hadapan umum bahawa mereka mengenal Tuhan, tetapi perbuatan mereka menunjukkan bahawa mereka menyangkal-Nya.+ Hal ini demikian kerana mereka menjijikkan, ingkar, dan tidak layak untuk melakukan apa-apa pekerjaan yang baik.

2 Tetapi hendaklah kamu terus bercakap tentang hal-hal yang selaras dengan ajaran yang sihat.*+ 2 Hendaklah lelaki yang lebih tua bersikap sederhana dalam segala hal, berfikiran matang,* dan berfikiran sihat. Mereka juga haruslah mantap* dari segi iman, kasih, dan ketabahan. 3 Demikian juga, hendaklah wanita yang lebih tua berkelakuan sebagai orang yang suci. Mereka tidak patut memfitnah orang lain atau menjadi hamba kepada banyak wain, dan mereka haruslah mengajarkan apa yang baik. 4 Dengan demikian mereka dapat menasihati* wanita yang lebih muda agar mengasihi suami dan anak-anak sendiri, 5 berfikiran sihat, menjadi suri rumah yang baik, berkelakuan baik dan murni, dan taat kepada suami.+ Dengan itu orang lain tidak akan mencaci firman Tuhan.

6 Begitu juga, teruslah menggesa lelaki yang lebih muda supaya berfikiran sihat.+ 7 Dalam segala perkara, kamu haruslah menjadi teladan dalam melakukan hal-hal yang baik. Ajarkanlah apa yang murni* dengan bersungguh-sungguh.*+ 8 Gunakanlah kata-kata yang sihat,* yang tidak dapat dicela orang,+ supaya orang yang menentang akan berasa malu kerana tidak dapat mengatakan apa-apa yang buruk tentang kita.+ 9 Hendaklah hamba-hamba mentaati tuan mereka dalam segala sesuatu+ dan berusaha menyenangkan hati tuan mereka. Hamba-hamba tidak patut membantah 10 atau mencuri daripada tuan mereka,+ dan hamba-hamba haruslah menunjukkan bahawa mereka dapat dipercayai dengan sepenuhnya. Dengan demikian mereka dapat menghiasi ajaran Tuhan, Penyelamat kita, dalam segala perkara.+

11 Hal ini demikian kerana Tuhan telah menunjukkan kebaikan hati-Nya yang unggul dengan menyelamatkan segala macam orang.+ 12 Kebaikan hati ini melatih kita untuk menolak keinginan duniawi dan segala sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Tuhan,+ dan melatih kita untuk menunjukkan fikiran yang sihat, melakukan apa yang benar, dan mengabdikan diri kepada Tuhan, sementara kita hidup dalam sistem dunia ini.*+ 13 Kita berbuat demikian sambil menanti-nantikan harapan yang menggembirakan+ dan menanti-nantikan Tuhan Yang Maha Kuasa dan Yesus Kristus, Penyelamat kita, disingkapkan dengan penuh kemuliaan. 14 Kristus mengorbankan dirinya+ untuk membebaskan* kita+ daripada segala macam pelanggaran hukum. Dia juga berbuat demikian untuk membersihkan kita, agar kita menjadi umatnya dan miliknya yang istimewa, yang berbuat baik dengan semangat yang berkobar-kobar.+

15 Dengan kuasa yang telah diberikan kepada kamu, teruslah bercakap tentang perkara-perkara ini dan teruslah memberikan nasihat* dan teguran.+ Jangan biarkan sesiapa pun memandang rendah terhadap kamu.

3 Teruslah mengingatkan mereka agar taat dan patuh kepada kerajaan dan pihak berkuasa,+ serta bersedia melakukan setiap perbuatan yang baik. 2 Ingatkan mereka agar tidak memburuk-burukkan sesiapa pun dan menjauhi sikap suka bertengkar. Mereka harus munasabah+ dan sentiasa lemah lembut kepada semua orang.+ 3 Hal ini demikian kerana dahulu kita pun tidak berakal, ingkar, disesatkan, dan diperhamba oleh berbagai-bagai keinginan dan nafsu. Kita terus berbuat jahat dan bersikap iri hati, keji, dan saling membenci.

4 Namun begitu, Tuhan, Penyelamat kita, menunjukkan kebaikan hati+ dan kasih-Nya terhadap manusia. 5 Dia telah menyelamatkan kita, bukan kerana kita melakukan apa yang benar,+ tetapi kerana Dia berbelas kasihan.+ Dia menyelamatkan kita dengan membaharui kita melalui kuasa suci-Nya,*+ dan dengan membersihkan* kita supaya kita diberi hidup yang baharu.+ 6 Dia telah mencurahkan kuasa suci-Nya secara berlimpah-limpah* ke atas kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita.+ 7 Dengan demikian, setelah kita mendapat perkenan Tuhan melalui kebaikan hati-Nya yang unggul,+ kita dapat menjadi pewaris+ yang mempunyai harapan untuk menerima kehidupan kekal.+

8 Kata-kata itu dapat dipercayai, dan aku ingin kamu sentiasa menekankan perkara-perkara tersebut, supaya orang yang telah percaya kepada Tuhan dapat terus menumpukan fikiran kepada usaha mengamalkan perbuatan yang baik. Perkara-perkara tersebut baik dan berfaedah bagi manusia.

9 Tetapi janganlah melibatkan diri dalam perdebatan yang bodoh, pertikaian tentang salasilah keluarga, pertengkaran, dan perkelahian tentang Hukum, kerana semua itu sia-sia dan tidak bermanfaat.+ 10 Jika ada orang yang menyebarkan ajaran palsu,*+ tegurlah orang itu. Setelah menegurnya* buat kali kedua,+ hendaklah kamu menjauhinya,+ 11 kerana orang sedemikian sudah menyimpang daripada jalan yang benar. Dia berbuat dosa dan perbuatannya sendiri telah membuktikan bahawa dia bersalah.

12 Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus+ kepadamu, berusahalah sedaya upaya untuk datang kepadaku di Nikopolis, kerana aku telah memutuskan untuk menghabiskan musim sejuk di situ. 13 Lakukanlah apa yang terdaya untuk membantu Zenas, yang arif dalam Hukum, dan Apolos, supaya mereka tidak kekurangan apa-apa dalam perjalanan mereka.+ 14 Hendaklah saudara-saudara kita juga belajar mengamalkan perbuatan baik, supaya mereka dapat membantu apabila adanya keperluan yang mendesak.+ Dengan demikian, mereka akan sentiasa membuahkan hasil dalam khidmat mereka.+

15 Mereka semua yang ada bersamaku mengirim salam kepadamu. Sampaikan salamku kepada rakan-rakan seiman yang mengasihi kami.

Semoga kebaikan hati Tuhan yang unggul menyertai kamu semua.

Atau “tidak dituduh berkelakuan liar.”

Atau “tidak memukul orang.”

Atau “dapat membuat pertimbangan yang baik.”

Atau “yang setia.”

Atau “berfaedah.”

Atau “nasihat.”

Harfiah, “sihat.”

Atau “berfaedah.”

Atau “serius.”

Harfiah, “sihat.”

Atau “menyedarkan; melatih.”

Atau mungkin, “Ajarlah dengan jujur.”

Atau “serius.”

Atau “berfaedah.”

Atau “zaman sekarang.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”

Harfiah, “menebus.”

Atau “galakan.”

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Harfiah, “memandikan.”

Atau “dengan murah hati.”

Atau “ajaran yang berbeza.”

Atau “memberinya amaran.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi