SURAT DARIPADA YAKOBUS
1 Yakobus,+ yang menjadi hamba Tuhan dan hamba Tuan Yesus Kristus, menulis surat ini kepada 12 suku yang tercerai-berai di merata tempat:
Salam sejahtera!
2 Saudara-saudaraku, bersukacitalah apabila kamu ditimpa pelbagai cubaan,+ 3 kerana kamu tahu bahawa mutu iman kamu yang telah diuji akan menghasilkan ketabahan.+ 4 Biarlah ketabahan kamu mencapai tujuannya, supaya kamu menjadi serba lengkap, tidak bercela dalam segala hal, dan tidak kekurangan apa-apa pun.+
5 Oleh itu, jika ada sesiapa antara kamu yang kurang bijaksana, hendaklah dia terus meminta kebijaksanaan daripada Tuhan.+ Tuhan tidak akan memarahinya.* Sebaliknya, Tuhan akan menunaikan permintaannya kerana Dia murah hati terhadap semua orang.+ 6 Apabila seseorang membuat permintaan, dia mesti beriman+ dan tidak ragu-ragu sama sekali,+ kerana orang yang ragu-ragu bagaikan ombak di laut yang diumbang-ambingkan angin. 7 Sebenarnya, orang sebegini tidak dapat mengharapkan apa-apa daripada Yehuwa,* 8 kerana dia tidak tetap pendirian+ dan teragak-agak dalam segala perbuatannya.
9 Saudara yang miskin harus berbesar hati apabila ditinggikan.+ 10 Saudara yang kaya pula harus berbesar hati apabila direndahkan,+ kerana orang kaya akan lenyap seperti bunga di padang. 11 Semasa matahari terbit, panas teriknya melayukan tanaman sehingga bunganya gugur dan hilanglah keindahannya. Demikianlah orang kaya dan segala usahanya akan lenyap.+
12 Berbahagialah orang yang tetap tabah semasa menghadapi cubaan,+ kerana setelah dia mendapat perkenan Yehuwa,* dia akan menerima mahkota kehidupan+ yang dijanjikan oleh-Nya kepada mereka yang sentiasa mengasihi-Nya.+ 13 Semasa seseorang menghadapi cubaan, dia tidak patut berkata, “Tuhan sedang mencubai aku.” Hal ini demikian kerana Tuhan tidak boleh dicubai oleh kejahatan, dan Dia juga tidak mencubai sesiapa pun dengan hal-hal yang jahat. 14 Sebaliknya, setiap orang dicubai semasa dia digoda dan diumpan oleh keinginannya sendiri.+ 15 Apabila keinginan itu menjadi subur, maka lahirlah dosa, dan perbuatan dosa akhirnya akan menyebabkan kematian.+
16 Saudara-saudaraku yang dikasihi, janganlah tertipu. 17 Setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna berasal dari syurga+ dan diturunkan oleh Bapa, Sumber segala cahaya.+ Dia tidak berubah-ubah seperti bayang-bayang.+ 18 Sesuai dengan kehendak-Nya, Dia memberi kita kehidupan melalui firman-Nya yang benar.+ Dengan itu, kita dapat menjadi hasil pertama yang dipilih daripada semua makhluk ciptaan-Nya.+
19 Saudara-saudaraku yang dikasihi, ketahuilah hal ini: Setiap orang mesti cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata+ dan lambat naik marah.+ 20 Hal ini demikian kerana seseorang yang dikuasai kemarahan tidak dapat melakukan apa yang benar di mata Tuhan.+ 21 Oleh itu, singkirkanlah semua kekotoran dan segala sesuatu yang jahat daripada diri kamu.*+ Dengan rendah hati, izinkanlah Tuhan menanamkan firman-Nya dalam diri kamu kerana firman-Nya dapat menyelamatkan kamu.
22 Namun, hendaklah kamu melakukan apa yang difirmankan oleh Tuhan.+ Janganlah mendengar sahaja dan menipu diri sendiri dengan pemikiran yang salah. 23 Orang yang hanya mendengar firman Tuhan tetapi tidak melakukannya+ ibarat seseorang yang melihat wajahnya dalam cermin, 24 memandang dirinya, lalu beredar dan segera lupa akan wajahnya. 25 Tetapi jika seseorang meneliti hukum yang sempurna+ dan yang membawa kebebasan, dan terus mematuhinya, orang itu akan bahagia, kerana dia melakukan apa yang didengarinya dan tidak menjadi pendengar yang cepat lupa.+
26 Jika seseorang menganggap dirinya penyembah Tuhan* tetapi tidak mengekang* lidahnya dengan baik,+ dia menipu dirinya sendiri* dan ibadatnya sia-sia sahaja. 27 Di mata Tuhan, Bapa kita, inilah ibadat* yang murni dan suci: Menjaga anak yatim+ dan balu+ yang menderita,+ dan memastikan diri tidak dicemari oleh dunia ini.+
2 Saudara-saudaraku, wajarkah kamu beriman kepada Tuan Yesus Kristus yang mulia dan pada masa yang sama bersikap berat sebelah?+ 2 Katakan ada dua orang yang datang ke perjumpaan kamu, seorang memakai cincin emas pada jari-jemarinya dan berpakaian mewah, manakala seorang lagi miskin dan berpakaian buruk. 3 Kamu menghormati orang yang berpakaian mewah itu dan berkata, “Sila duduk di tempat yang baik ini.” Tetapi kepada orang miskin itu pula kamu berkata, “Berdirilah di sana,” atau “Duduklah di atas lantai dekat alas kakiku.”+ 4 Jika kamu berbuat begitu, tidakkah hal ini menunjukkan bahawa kamu bersikap berat sebelah+ dan menghakimi orang dengan jahat?+
5 Ketahuilah, saudara-saudaraku yang dikasihi: Walaupun sesetengah orang dianggap miskin dalam pandangan dunia, Tuhan telah memilih mereka dan menjadikan mereka kaya dalam iman.+ Mereka akan mewarisi Kerajaan yang dijanjikan oleh Tuhan kepada orang yang mengasihi-Nya.+ 6 Namun, kamu memandang rendah pada orang miskin. Bukankah orang kaya yang menindas kamu+ dan mengheret kamu ke mahkamah? 7 Bukankah mereka yang menghina nama mulia yang kamu sandang? 8 Ayat suci menyatakan, “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”+ Jika kamu mengamalkan hukum agung* ini, kamu sedang melakukan apa yang baik. 9 Tetapi jika kamu terus bersikap berat sebelah,+ kamu berdosa dan hukum itu juga menunjukkan dengan jelas bahawa kamu telah melanggar hukum.+
10 Jika seseorang mematuhi seluruh Hukum tetapi melanggar salah satu perintah, dia sudah melanggar seluruh Hukum.+ 11 Tuhan yang berfirman, “Jangan berzina,”+ juga berfirman, “Jangan membunuh.”+ Meskipun kamu tidak berzina, tetapi jika kamu membunuh, kamu telah melanggar hukum. 12 Teruslah bercakap dan berkelakuan seperti orang yang akan dihakimi menurut hukum orang yang bebas.*+ 13 Orang yang tidak berbelas kasihan akan dihakimi tanpa belas kasihan.+ Belas kasihan lebih unggul daripada penghakiman.
14 Saudara-saudaraku, apa gunanya jika seseorang berkata bahawa dia beriman tetapi tidak menunjukkannya melalui perbuatan?+ Dapatkah iman sebegitu menyelamatkannya?+ 15 Andai kata seorang saudara atau saudari tidak mempunyai pakaian atau makanan seharian yang mencukupi, 16 tidak ada gunanya kamu berkata, “Semoga kamu sejahtera. Harap kamu makan sekenyang-kenyangnya dan mempunyai pakaian yang cukup untuk memanaskan badan,” tetapi tidak memberinya keperluan asas hidup.+ 17 Begitu juga, iman yang tidak disertai perbuatan ialah iman yang mati.+
18 Namun mungkin ada yang berkata, “Kamu ada iman, tetapi aku ada perbuatan. Tunjukkanlah iman kamu yang tidak disertai perbuatan, dan aku akan menunjukkan imanku menerusi perbuatanku.” 19 Kamu percaya Tuhan hanya satu, bukan? Bagus. Tetapi roh-roh jahat pun percaya, dan mereka menggigil kerana takut akan Tuhan.+ 20 Hai orang yang berfikiran cetek, adakah kamu memerlukan bukti bahawa iman tanpa perbuatan ialah iman yang tidak berguna? 21 Fikirkan Abraham, bapa kita yang mempersembahkan anaknya Ishak di atas mazbah. Bukankah dia dianggap sebagai orang yang berbuat benar kerana perbuatannya itu?+ 22 Jelaslah bahawa imannya diiringi perbuatan, dan melalui perbuatannya, imannya menjadi sempurna.+ 23 Maka, berlakulah ayat yang berbunyi, “Oleh sebab Abraham beriman kepada Yehuwa,* dia diterima sebagai orang yang menyenangkan hati Tuhan,”+ dan dia dikenali sebagai “sahabat Yehuwa.”*+
24 Sekarang kamu tahu bahawa seseorang diterima sebagai orang yang berbuat benar bukan hanya kerana imannya, tetapi juga kerana perbuatannya. 25 Demikian juga halnya dengan Rahab, pelacur itu. Bukankah dia diterima sebagai orang yang berbuat benar kerana perbuatannya? Dia telah menyambut pengintip-pengintip* dengan ramah dan menghantar mereka keluar melalui jalan lain.+ 26 Oleh itu, sebagaimana tubuh yang tidak bernyawa* ialah tubuh yang mati,+ demikian juga iman yang tidak disertai perbuatan ialah iman yang mati.+
3 Saudara-saudaraku, sepatutnya beberapa orang sahaja antara kamu yang menjadi guru,* kerana kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih tegas.+ 2 Kita semua sering berbuat silap.*+ Jika seseorang tidak pernah berbuat silap dalam pertuturannya, dia ialah orang sempurna yang dapat mengekang seluruh tubuhnya. 3 Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menuruti kehendak kita. Dengan kekang, kita mengawal seluruh tubuh kuda. 4 Demikian juga dengan kapal. Walaupun kapal sangat besar dan digerakkan oleh angin yang kencang, jurumudi dapat mengawalnya dengan kemudi yang sangat kecil dan menggerakkannya ke arah yang diingini.
5 Begitu juga, lidah ialah anggota badan yang kecil, tetapi lidah dapat bercakap besar. Lihatlah betapa kecilnya api yang diperlukan untuk membakar hutan yang luas! 6 Lidah bagaikan api.+ Anggota tubuh yang penuh dengan kejahatan ini dapat menajiskan seluruh tubuh+ dan menghancurkan kehidupan seseorang serta membawa kebinasaan seperti api daripada Gehena.* 7 Manusia dapat menjinakkan dan sudah menjinakkan semua jenis binatang liar, burung, reptilia,* dan hidupan laut. 8 Tetapi tiada seorang pun yang dapat menjinakkan lidah. Lidah tidak dapat dikawal, dapat menyakiti orang, dan penuh dengan racun yang membawa maut.+ 9 Kita menggunakan lidah untuk memuji Yehuwa,* Bapa kita, tetapi kita juga menggunakannya untuk mengutuk manusia yang diciptakan “menurut gambaran Tuhan.”+ 10 Kata-kata pujian dan kutukan diucapkan daripada mulut yang sama.
Saudara-saudaraku, perkara ini tidak seharusnya berlaku.+ 11 Dapatkah air yang segar* dan air yang pahit keluar dari mata air yang sama? 12 Saudara-saudaraku, pokok ara tidak dapat menghasilkan buah zaitun, dan pokok anggur tidak dapat menghasilkan buah ara, bukan?+ Begitu juga, mata air yang masin tidak dapat mengeluarkan air yang segar.
13 Siapakah antara kamu yang bijaksana dan berpengertian? Dia harus membuktikannya menerusi kelakuan yang baik dan membiarkan kebijaksanaan itu mendorongnya untuk melakukan segalanya dengan lemah lembut. 14 Namun, jika perasaan cemburu yang kuat+ dan sikap suka bertengkar*+ wujud dalam hati kamu, janganlah bercakap besar+ tentang kebijaksanaan kamu. Jika kamu berbuat demikian, kamu sedang berbohong. 15 Kebijaksanaan seperti ini tidak berasal dari syurga, tetapi bersifat duniawi,+ bersifat seperti binatang, dan berasal daripada roh-roh jahat. 16 Hal ini demikian kerana di mana ada rasa cemburu dan sikap suka bertengkar,* di situ akan berlakunya kekacauan dan bermacam-macam kejahatan.+
17 Tetapi, kebijaksanaan yang datang dari syurga pertama-tamanya murni,+ lalu suka akan kedamaian,+ munasabah,+ sedia mematuhi, penuh belas kasihan dan perbuatan yang baik,+ tidak berat sebelah,+ dan tidak bermuka dua.+ 18 Lagipun, buah kebaikan ditanam dalam suasana yang damai+ untuk* orang yang berusaha mewujudkan kedamaian.+
4 Apakah punca perbalahan dan pergaduhan antara kamu? Bukankah semua itu berpunca daripada keinginan berdosa yang sentiasa berlawanan dalam diri kamu?+ 2 Kamu mengingini sesuatu, tetapi kamu tidak mendapatnya. Kamu terus membunuh dan sangat mengingini harta milik orang lain, namun kamu masih tidak memperolehnya. Kamu terus bergaduh dan berkelahi,+ tetapi kamu tidak mendapatnya kerana kamu tidak meminta. 3 Meskipun kamu meminta, kamu tidak mendapatnya kerana kamu meminta untuk tujuan yang salah. Kamu hendak menggunakan apa yang kamu minta itu untuk memuaskan keinginan kamu yang berdosa.
4 Hai para penzina,* tidakkah kamu tahu bahawa persahabatan dengan dunia bererti permusuhan dengan Tuhan? Oleh itu, sesiapa yang ingin menjadi sahabat dunia menjadikan dirinya musuh Tuhan.+ 5 Ayat suci menyatakan, “Kecenderungan* yang terpendam dalam diri kita berkobar-kobar dengan keinginan dan rasa iri hati.”+ Adakah kamu berfikir bahawa kata-kata ini sia-sia sahaja? 6 Meskipun begitu, kebaikan hati Tuhan yang unggul membantu kita mengatasi kecenderungan* itu. Itulah sebabnya ayat suci menyatakan: “Tuhan menentang orang yang angkuh,+ tetapi Dia menunjukkan kebaikan hati yang unggul kepada orang yang rendah hati.”+
7 Oleh itu, taatlah kepada Tuhan+ dan lawanlah Iblis,+ maka Iblis akan lari daripada kamu.+ 8 Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.+ Basuhlah tangan kamu, hai orang yang berdosa,+ dan murnikanlah hati kamu,+ hai orang yang tidak tetap pendirian. 9 Bersedihlah, merataplah, dan menangislah.+ Biarlah gelak ketawa kamu bertukar menjadi ratapan, dan sukacita kamu menjadi dukacita. 10 Rendahkanlah diri kamu di hadapan Yehuwa,*+ dan Dia akan meninggikan kamu.+
11 Saudara-saudara, jangan lagi mencela satu sama lain+ kerana sesiapa yang mencela atau menghakimi saudaranya sebenarnya mencela dan menghakimi hukum. Jika kamu menghakimi hukum, kamu bukanlah orang yang mematuhi hukum. Sebaliknya kamu sudah menjadi hakim. 12 Hanya ada satu Pemberi Hukum dan Hakim,+ dan Dia sahaja yang dapat menyelamatkan dan membinasakan orang.+ Jadi, siapakah kamu sehingga kamu mahu menghakimi orang lain?+
13 Sekarang dengarlah, hai kamu yang berkata, “Hari ini atau esok kami akan pergi ke kota selama setahun untuk berniaga dan mencari keuntungan,”+ 14 padahal kamu tidak tahu apa yang akan berlaku dengan hidup kamu hari esok.+ Kamu bagaikan kabus yang muncul seketika lalu lenyap begitu sahaja.+ 15 Sepatutnya kamu berkata, “Jika Yehuwa* mengizinkan,+ kami akan hidup dan melakukan hal ini atau hal itu.” 16 Tetapi sekarang kamu bersikap angkuh dan bercakap besar tentang diri sendiri. Bercakap besar seperti itu ialah perbuatan yang jahat. 17 Oleh itu, jika seseorang mengetahui cara untuk melakukan apa yang betul tetapi tidak melakukannya, dia sudah berdosa.+
5 Sekarang, dengarlah hai orang kaya. Menangislah dan meraunglah kerana kesengsaraan akan menimpa kamu.+ 2 Kekayaan kamu sudah reput dan pakaian kamu sudah dimakan gegat.+ 3 Emas dan perak kamu sudah berkarat. Karat itu akan menjadi saksi yang mendedahkan kesalahan kamu dan memakan daging kamu. Harta yang telah kamu timbun akan menjadi seperti api pada hari-hari terakhir.+ 4 Kamu tidak membayar upah kepada para pekerja yang menuai di ladang kamu. Dengarlah! Upah itu terus berteriak, dan seruan para penuai yang meminta tolong telah sampai ke telinga Yehuwa,* ketua angkatan syurga.+ 5 Kamu hidup mewah di bumi dan sibuk mengejar kesenangan diri. Kamu masih menggemukkan diri* pada hari penyembelihan.+ 6 Kamu menghukum dan membunuh orang yang melakukan apa yang benar. Itulah sebabnya kamu menghadapi tentangan.
7 Oleh itu, saudara-saudara, bersabarlah sehingga waktu kehadiran Tuan bermula.+ Lihatlah bagaimana petani menantikan hasil tanahnya yang berharga. Dia menunggu dengan sabar sehingga tibanya hujan musim luruh dan hujan musim bunga.+ 8 Jadi, kamu juga harus bersabar.+ Teguhkanlah hati kamu kerana waktu kehadiran Tuan sudah dekat.+
9 Saudara-saudara, janganlah kamu bersungut-sungut terhadap satu sama lain supaya kamu tidak dihakimi.+ Lihatlah! Hakim sudah berdiri di depan pintu. 10 Saudara-saudara, perhatikanlah para nabi yang menyampaikan perkhabaran atas nama Yehuwa.*+ Teladanilah mereka kerana mereka tabah menanggung penderitaan+ dan menunjukkan kesabaran.+ 11 Lihatlah! Kita mengatakan bahawa orang yang menghadapi cubaan dengan tabah ialah orang yang bahagia.*+ Kamu sudah mendengar tentang ketabahan Ayub+ dan bagaimana Yehuwa* memberkatinya pada akhirnya.+ Dengan ini, kamu tahu bahawa Yehuwa* berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.+
12 Saudara-saudaraku, ingatlah hal yang penting ini: Jangan lagi bersumpah. Jangan bersumpah demi langit, bumi, atau apa-apa sahaja. Katakan “Ya” semasa kamu bermaksud ya, dan katakan “Tidak” semasa kamu bermaksud tidak.+ Dengan ini kamu tidak akan dihakimi.
13 Adakah sesiapa antara kamu yang menghadapi kesusahan? Hendaklah dia sentiasa berdoa.+ Adakah sesiapa yang berasa senang hati? Hendaklah dia menyanyikan lagu pujian.+ 14 Adakah sesiapa antara kamu yang sakit? Hendaklah dia memanggil para penatua+ sidang supaya mereka berdoa untuknya dan menyapu minyak padanya+ atas nama Yehuwa.* 15 Doa yang diucapkan dengan iman akan menyembuhkan orang sakit* itu, dan Yehuwa* akan menjadikannya sihat semula. Jika dia telah berbuat dosa, dia akan diampuni.
16 Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui kesalahan+ dan berdoa untuk satu sama lain agar kamu disembuhkan. Doa yang sungguh-sungguh daripada orang yang melakukan apa yang benar sangat berkesan.+ 17 Elia pun orang yang mempunyai perasaan seperti kita. Semasa dia berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk meminta agar hujan tidak turun, tanah tidak dibasahi hujan selama tiga tahun enam bulan.+ 18 Kemudian dia berdoa lagi, lalu hujan turun dari langit dan tanah mengeluarkan hasil.+
19 Saudara-saudaraku, jika sesiapa antara kamu disesatkan lalu menyimpang daripada kebenaran, dan seorang lagi membantunya kembali, 20 ketahuilah bahawa dia yang membantu orang yang berdosa untuk berpaling daripada haluan yang salah+ akan menyelamatkan nyawa* orang yang berdosa itu dan menutupi banyak dosa.+
Atau “tidak akan mencari kesalahannya.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Atau mungkin, “dan kejahatan yang melimpah dalam diri kamu.”
Atau “menganggap dirinya alim.”
Atau “mengawal.”
Harfiah, “menipu hati sendiri.”
Atau “agama.”
Atau “diraja.”
Harfiah, “hukum kebebasan.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “utusan-utusan.”
Atau “tidak ada nafas.”
Hal ini demikian kerana bukan semua orang layak menjadi guru dalam sidang.
Harfiah, “tersandung.”
Lihat Kamus.
Atau “binatang menjalar.”
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “manis.”
Atau mungkin, “dan cita-cita tinggi demi kepentingan diri.”
Atau mungkin, “dan cita-cita tinggi demi kepentingan diri.”
Atau mungkin, “oleh.”
Atau “kamu yang tidak setia.”
Lihat Kamus, “Roh.”
Lihat Kamus, “Roh.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “hati kamu.”
Lihat Lampiran A5.
Atau “diberkati.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Atau mungkin, “orang yang lelah.”
Lihat Lampiran A5.
Atau “jiwa.” Lihat Kamus.