SURAT PETRUS YANG PERTAMA
1 Petrus, seorang rasul+ Yesus Kristus, menulis surat ini kepada penduduk sementara, iaitu umat pilihan Tuhan, yang tercerai-berai di Pontus, Galatia, Kapadokia,+ Asia, dan Bitinia. 2 Tuhan, Bapa kita, telah memilih kamu menurut apa yang sudah diketahui-Nya terlebih dahulu.+ Dia menyucikan kamu dengan kuasa suci-Nya*+ supaya kamu mematuhi-Nya dan direnjis dengan darah Yesus Kristus:+
Semoga kamu dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian yang melimpah.
3 Terpujilah Tuhan dan Bapa kepada Tuan Yesus Kristus. Kerana belas kasihan-Nya yang besar, Dia menyebabkan kita dilahirkan semula.+ Dia berbuat demikian agar kita dapat menerima harapan yang berkekalan+ melalui pembangkitan Yesus Kristus.+ 4 Dia juga berbuat demikian agar kita menerima warisan yang tidak dapat musnah, tidak tercemar, dan tidak akan pudar.+ Warisan ini disimpan di syurga bagi kamu+ 5 yang dilindungi oleh kuasa Tuhan, kerana kamu beriman. Tuhan melindungi kamu supaya kamu menerima penyelamatan yang akan disingkapkan pada jangka masa yang terakhir. 6 Disebabkan hal itu, kamu sangat gembira, meskipun untuk seketika waktu kamu harus berdukacita kerana menanggung berbagai-bagai cubaan.+ 7 Hal-hal itu berlaku supaya iman kamu yang telah diuji membolehkan kamu menerima pujian, kemuliaan, dan kehormatan, apabila Yesus Kristus disingkapkan.+ Mutu iman kamu yang telah diuji+ jauh lebih bernilai daripada emas yang dapat binasa, meskipun emas itu telah diuji* dengan api. 8 Meskipun kamu tidak pernah melihat Kristus, kamu mengasihinya. Meskipun kamu tidak melihatnya sekarang, kamu beriman kepadanya dan berasa sangat gembira kerana kamu sudah memperoleh sukacita yang besar dan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. 9 Hal ini demikian kerana kamu yakin bahawa iman kamu akan membawa penyelamatan untuk kamu.+
10 Penyelamatan ini telah diteliti dengan tekun dan diselidiki dengan cermat oleh para nabi yang bernubuat tentang kebaikan hati Tuhan yang dikurniakan kepada kamu.+ 11 Awal-awal lagi, Tuhan telah menggunakan kuasa suci-Nya untuk memberitahu mereka bahawa Kristus akan menderita+ dan kemudiannya dimuliakan. Itulah sebabnya mereka sentiasa membuat penyelidikan untuk mengetahui apa yang akan berlaku kepada Kristus+ dan bila hal-hal tersebut akan berlaku. 12 Tuhan menyingkapkan kepada para nabi bahawa mereka tidak berkhidmat kepada diri sendiri, tetapi kepada kamu. Para nabi itu menulis tentang perkara-perkara yang disampaikan kepada kamu, iaitu perkara-perkara yang kamu dengar sekarang daripada orang yang menyebarkan berita baik kepada kamu. Mereka telah menyebarkannya kepada kamu dengan bantuan kuasa suci Tuhan yang dikirim dari syurga.+ Malaikat-malaikat pun ingin sekali memahami perkara-perkara itu.
13 Oleh itu, persiapkanlah minda kamu untuk melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh.+ Peliharalah daya pemikiran kamu dengan sepenuhnya+ dan berharaplah pada kebaikan hati yang unggul, yang akan diberikan kepada kamu semasa Yesus Kristus disingkapkan. 14 Sebagai anak-anak yang patuh, jangan lagi dibentuk oleh keinginan kamu yang dahulu, semasa kamu tidak mempunyai pengetahuan tentang Tuhan. 15 Tuhan Yang Suci telah memanggil kamu. Maka, hendaklah kamu menjadi suci seperti Dia dalam segala tingkah laku kamu.+ 16 Hal ini demikian kerana ada tertulis, “Kamu mesti suci, kerana Aku suci.”+
17 Bapa menghakimi setiap orang tanpa berat sebelah+ menurut perbuatan mereka. Jika kamu berseru kepada-Nya, hendaklah kelakuan kamu disertai rasa takut akan Tuhan+ semasa kamu menjadi penduduk sementara di dalam dunia ini. 18 Kamu tahu bahawa perkara-perkara yang dapat musnah, seperti perak atau emas, tidak membebaskan* kamu+ daripada cara hidup yang sia-sia yang diwariskan kepada kamu oleh nenek moyang kamu.* 19 Tetapi kamu dibebaskan dengan darah Kristus+ yang berharga.+ Darahnya seperti darah anak bebiri yang tidak bercacat cela dan yang murni.+ 20 Memang, Tuhan sudah memilihnya sebelum dunia ini diasaskan,*+ tetapi dia disingkapkan pada akhir masa ini demi kamu.+ 21 Melaluinya, kamu percaya kepada Tuhan+ yang membangkitkannya daripada kematian+ dan yang memberinya kemuliaan,+ supaya kamu beriman dan berharap kepada Tuhan.
22 Memandangkan kamu patuh kepada kebenaran, kamu sudah menyucikan diri. Hasilnya, kamu memiliki kasih sayang yang ikhlas terhadap satu sama lain.+ Oleh itu, kasihilah satu sama lain dengan mendalam daripada hati kamu.+ 23 Kamu telah dilahirkan semula+ bukan daripada benih yang dapat musnah, tetapi daripada benih* yang tidak dapat musnah.+ Kamu telah dilahirkan semula melalui firman daripada Tuhan yang hidup dan abadi.+ 24 Hal ini demikian kerana “semua manusia adalah seperti rumput, dan kemuliaan mereka adalah seperti bunga di padang. Rumput akan layu, dan bunga akan gugur, 25 tetapi firman Yehuwa* akan kekal buat selama-lamanya.”+ “Firman” ini merupakan berita baik yang diisytiharkan kepada kamu.+
2 Oleh itu, buanglah segala kejahatan,+ penipuan, kemunafikan,* perasaan iri hati, dan semua kata hinaan, daripada diri kamu. 2 Seperti bayi yang baru lahir,+ pupuklah keinginan akan susu yang murni* yang terkandung dalam firman Tuhan, supaya dengannya kamu dapat membesar lalu mendapat penyelamatan.+ 3 Hal ini demikian kerana kamu sudah merasakan* bahawa Tuan kita baik hati.
4 Dia ialah batu yang hidup, yang dibuang oleh manusia,+ tetapi dia dipilih oleh Tuhan dan berharga bagi-Nya.+ Semasa kamu datang kepadanya, 5 kamu yang merupakan batu-batu hidup sedang dibina untuk menjadi sebuah rumah rohani,+ supaya kamu menjadi imam-imam yang suci. Dengan demikian kamu dapat mempersembahkan korban rohani+ yang diperkenankan Tuhan melalui Yesus Kristus.+ 6 Ada tertulis dalam Ayat-Ayat Suci, “Lihatlah! Aku meletakkan sebuah batu yang terpilih di Sion. Batu itu ialah batu penjuru utama yang berharga. Sesiapa yang menaruh iman kepadanya tidak akan kecewa* sama sekali.”+
7 Oleh itu, dia berharga bagi kamu kerana kamu percaya. Tetapi bagi mereka yang tidak percaya, “batu yang dibuang oleh para pembina bangunan+ telah menjadi batu penjuru yang utama”+ 8 dan “batu sandungan dan batu yang menyebabkan orang terjatuh.”+ Mereka tersandung kerana mereka tidak mematuhi firman Tuhan. Itulah kesudahan yang menantikan mereka. 9 Tetapi kamu ialah “bangsa yang terpilih, imam-imam yang berkhidmat sebagai raja, bangsa yang suci,+ dan umat yang dijadikan milik Tuhan,+ supaya kamu mengisytiharkan kemuliaan”*+ Dia yang telah memanggil kamu keluar daripada kegelapan untuk masuk ke dalam cahaya-Nya yang menakjubkan.+ 10 Dahulu kamu bukan umat Tuhan, tetapi sekarang kamu ialah umat Tuhan.+ Dahulu kamu tidak menerima belas kasihan, tetapi sekarang kamu menerima belas kasihan.+
11 Saudara-saudara yang dikasihi, aku menggesa kamu yang merupakan orang asing dan penduduk sementara+ supaya terus menjauhi keinginan berdosa+ yang berperang melawan kamu.+ 12 Hendaklah tingkah laku kamu sentiasa baik dalam kalangan bangsa-bangsa lain.+ Dengan demikian, walaupun mereka menuduh kamu berbuat salah, mereka akan menyaksikan perbuatan kamu yang baik.+ Hasilnya, mereka akan memuliakan Tuhan pada hari Dia membuat pemeriksaan.
13 Demi Tuan, tunduklah kepada semua orang yang berkuasa,*+ baik kepada raja+ sebagai orang yang lebih tinggi kedudukannya, 14 mahupun kepada gabenor yang diutus oleh raja untuk menghukum orang yang berbuat salah dan untuk memuji orang yang berbuat baik.+ 15 Hal ini demikian kerana Tuhan menghendaki kamu berbuat baik agar kamu dapat menutup mulut* orang yang tidak munasabah yang mengucapkan kata-kata bodoh.+ 16 Hiduplah sebagai umat yang bebas,+ tetapi gunakanlah kebebasan kamu untuk menjadi hamba Tuhan+ dan bukannya sebagai alasan* untuk berbuat salah.+ 17 Hormatilah segala macam orang,+ kasihilah semua saudara seiman,*+ takutlah akan Tuhan,+ dan hormatilah raja.+
18 Hendaklah para hamba taat dan mempunyai rasa takut yang sepatutnya terhadap tuan mereka,+ bukan hanya terhadap tuan yang baik dan munasabah, tetapi juga terhadap tuan yang susah untuk disenangkan. 19 Tuhan berasa senang hati jika seseorang tabah menanggung kesusahan* dan mengalami ketidakadilan kerana ingin mempunyai hati nurani yang bersih di hadapan Tuhan.+ 20 Apakah kebaikannya jika kamu dipukul kerana kamu berdosa dan kamu tabah menanggungnya?+ Tetapi jika kamu tabah menanggung penderitaan kerana melakukan apa yang baik, hal ini menyenangkan hati Tuhan.+
21 Sebenarnya kamu dipanggil untuk menempuh haluan ini, kerana Kristus sendiri sudah menderita bagi kamu+ dan memberi kamu teladan agar kamu mengikut jejaknya dengan teliti.+ 22 Dia tidak melakukan dosa,+ dan mulutnya tidak mengucapkan kata-kata dusta.+ 23 Semasa dia dihina,+ dia tidak membalas dengan hinaan.+ Semasa dia menderita,+ dia tidak mengancam orang, tetapi dia mempercayakan dirinya kepada Dia yang menghakimi+ dengan adil. 24 Dengan tubuhnya sendiri, dia menanggung dosa kita+ semasa dia dipakukan pada tiang,*+ supaya kita dibebaskan daripada dosa* dan hidup untuk melakukan apa yang benar. “Melalui lukanya, kamu disembuhkan.”+ 25 Dahulu kamu seperti biri-biri yang sesat,+ tetapi sekarang kamu telah kembali kepada gembala+ dan penyelia jiwa* kamu.
3 Demikian juga, hai para isteri, taatilah suami kamu,+ supaya jika suami kamu tidak patuh kepada firman Tuhan, kelakuan kamu dapat menyebabkan mereka patuh. Kamu tidak perlu berkata apa-apa,+ 2 kerana mereka sudah menyaksikan kelakuan kamu yang murni+ dan sikap hormat kamu yang mendalam. 3 Janganlah menghias diri kamu dengan apa yang dapat dilihat oleh orang lain, misalnya dengan gaya rambut yang keterlaluan,* dengan perhiasan emas,+ atau dengan pakaian yang mewah. 4 Sebaliknya, hiaslah batin kamu dengan sikap tenang dan lemah lembut.+ Itulah perhiasan yang tidak dapat musnah dan yang sangat bernilai di mata Tuhan. 5 Demikianlah caranya wanita suci pada zaman dahulu, yang berharap kepada Tuhan, menghias diri. Mereka taat kepada suami mereka, 6 seperti Sara yang mematuhi Abraham dengan memanggilnya tuan.+ Kamulah anak-anak Sara jika kamu terus berbuat baik dan tidak menyerah kepada rasa takut.+
7 Demikian juga, hai para suami, teruslah tinggal dengan isteri kamu dengan penuh pengetahuan.* Hormatilah mereka,+ kerana mereka ialah kaum wanita yang merupakan bejana yang lebih lemah, dan kerana mereka juga merupakan pewaris yang akan menerima kurniaan kehidupan bersama-sama kamu.+ Dengan itu, doa-doa kamu tidak akan terhalang.
8 Akhirnya, hendaklah kamu semua seia sekata,*+ menunjukkan simpati, memiliki kasih sayang terhadap satu sama lain, berbelas kasihan,+ dan bersikap rendah hati.+ 9 Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan+ atau hinaan dengan hinaan.+ Sebaliknya, balaslah kejahatan dengan perbuatan yang baik,*+ kerana kamu dipanggil untuk mengikut haluan ini supaya kamu boleh mewarisi berkat.
10 Hal ini demikian kerana “sesiapa yang mahu menikmati kehidupan dan hidup bahagia mesti berjaga-jaga supaya tidak mengatakan apa yang jahat+ dan tidak mengucapkan dusta. 11 Hendaklah dia berpaling daripada apa yang jahat+ dan melakukan apa yang baik.+ Hendaklah dia berusaha untuk mendapatkan dan mengekalkan* kedamaian.+ 12 Mata Yehuwa* melihat orang yang berbuat benar, dan telinga-Nya mendengar rayuan mereka.+ Tetapi Yehuwa* menentang* orang yang melakukan kejahatan.”+
13 Sesungguhnya, siapakah yang akan mencederakan kamu jika kamu berbuat baik dengan bersemangat?+ 14 Namun biarpun kamu harus menderita kerana melakukan apa yang benar, kamu akan berasa gembira.+ Walau bagaimanapun, janganlah takut akan apa yang ditakuti oleh orang lain,* dan janganlah menjadi resah.+ 15 Sebaliknya, akuilah dalam hati kamu bahawa Kristus ialah Tuan dan bahawa dia suci. Hendaklah kamu sentiasa bersedia untuk membela diri di hadapan setiap orang yang menuntut penjelasan tentang harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut+ dan hormat yang mendalam.+
16 Hendaklah hati nurani kamu sentiasa bersih,+ supaya orang yang mencela kamu dalam cara apa pun akan menjadi malu+ kerana kelakuan kamu yang baik sebagai pengikut Kristus.+ 17 Jika Tuhan mengizinkan kamu menderita kerana kamu melakukan apa yang baik,+ hal itu lebih baik daripada kamu menderita kerana melakukan apa yang jahat.+ 18 Hal itu demikian kerana Kristus, yang melakukan apa yang benar, mati sekali untuk selama-lamanya demi orang yang melakukan apa yang salah.+ Dengan itu, dia dapat memimpin kamu kepada Tuhan.+ Dia dibunuh dalam tubuh jasmani+ tetapi dihidupkan dalam tubuh roh.+ 19 Dalam keadaan itulah dia pergi dan menyampaikan perkhabaran* kepada roh-roh di penjara,+ 20 yang dahulunya ingkar pada zaman Nuh.+ Pada masa itu, semasa bahtera dibina,+ Tuhan menanti dengan sabar. Bahtera itu membawa beberapa orang, iaitu lapan orang,* supaya mereka selamat mengharungi air bah.+
21 Peristiwa itu melambangkan pembaptisan yang kini menyelamatkan kamu melalui pembangkitan Yesus Kristus. Pembaptisan bukanlah penyingkiran kotoran daripada tubuh, tetapi merupakan permohonan kepada Tuhan untuk hati nurani yang bersih.+ 22 Kristus pergi ke syurga, dan kini dia berada di sebelah kanan Tuhan.+ Para malaikat, penguasa, dan pemerintah, dijadikan taat kepadanya.+
4 Memandangkan Kristus sudah menderita sebagai manusia,+ hendaklah kamu memperlengkap diri kamu dengan azam* yang sama. Hal ini demikian kerana orang yang sudah menderita sebagai manusia tidak lagi mengamalkan perbuatan berdosa.+ 2 Dengan demikian, dia tidak lagi menurut keinginan manusia+ tetapi menghabiskan sisa hidupnya untuk melakukan kehendak Tuhan.+ 3 Sebelum ini, sudah cukup lama kamu melakukan kehendak bangsa-bangsa.+ Kamu berkelakuan buruk tanpa rasa malu,* menurut nafsu yang tidak terkekang, minum berlebihan, berpesta liar, berpesta minum, dan menyembah berhala yang menjijikkan.+ 4 Mereka berasa hairan kerana kamu tidak lagi berlari bersama mereka mengikut haluan tidak bermoral yang keji. Itulah sebabnya mereka menghina kamu.+ 5 Tetapi mereka akan memberikan pertanggungjawaban kepada dia yang bersedia menghakimi orang hidup dan orang mati.+ 6 Sebenarnya, itulah sebabnya berita baik diisytiharkan juga kepada orang mati.+ Dengan demikian, walaupun mereka dihakimi secara jasmani mengikut pandangan manusia, mereka dapat hidup secara rohani menurut pandangan Tuhan.
7 Tetapi akhir segala sesuatu sudah dekat. Oleh itu, hendaklah kamu berfikiran sihat+ dan sentiasa bersedia* untuk berdoa.+ 8 Namun yang terpenting, kasihilah satu sama lain dengan mendalam,+ kerana kasih dapat menutup banyak dosa.+ 9 Hendaklah kamu suka menyambut satu sama lain dengan ramah tanpa bersungut-sungut.+ 10 Setiap orang daripada kamu sudah menerima kurnia daripada Tuhan. Maka gunakanlah kurnia itu untuk berkhidmat kepada satu sama lain sebagai hamba* yang baik, yang menerima kebaikan hati Tuhan yang unggul. Kebaikan hati itu telah dinyatakan dalam pelbagai cara.+ 11 Jika seseorang berkata-kata, hendaklah dia menyampaikan perkhabaran daripada Tuhan; jika seseorang berkhidmat kepada orang lain, hendaklah dia berbuat demikian dengan bergantung pada kekuatan yang diberikan oleh Tuhan.+ Dengan itu, Tuhan dapat dimuliakan dalam segala hal+ melalui Yesus Kristus. Semoga kemuliaan dan kuasa-Nya berkekalan buat selama-lamanya. Amin.
12 Saudara-saudara yang dikasihi, apabila kamu mengalami cubaan yang bagaikan api,+ janganlah kamu terkejut seolah-olah sesuatu yang ganjil sedang berlaku terhadap kamu. 13 Sebaliknya, memandangkan kamu turut menderita bersama-sama Kristus,+ hendaklah kamu terus bergembira,+ supaya pada waktu kemuliaannya disingkapkan, kamu dapat bergembira dan melimpah dengan sukacita.+ 14 Jika kamu dihina kerana nama Kristus, kamu berbahagia+ kerana kuasa suci Tuhan yang mulia ada pada kamu.
15 Namun, janganlah seorang pun antara kamu menderita kerana membunuh, atau mencuri, atau melakukan kesalahan, atau mencampuri urusan orang lain.+ 16 Tetapi jika seseorang menderita kerana dia seorang Kristian, dia tidak patut berasa malu.+ Sebaliknya hendaklah dia terus memuliakan Tuhan dengan terus hidup sebagai orang Kristian. 17 Masa yang ditetapkan sudah tiba, dan penghakiman akan bermula dari rumah Tuhan.+ Jika penghakiman ini bermula dengan kita,+ apakah yang akan berlaku kepada orang yang tidak patuh kepada berita baik daripada Tuhan?+ 18 “Sekiranya orang yang baik mesti bekerja keras untuk diselamatkan, apakah yang akan berlaku kepada orang yang tidak menghormati Tuhan dan orang yang berdosa?”+ 19 Maka, hendaklah mereka yang menderita kerana melakukan kehendak Tuhan terus mempercayakan diri kepada Pencipta yang setia sambil berbuat baik.+
5 Aku juga seorang penatua. Aku pernah menyaksikan penderitaan Kristus, dan aku akan mengambil bahagian dalam kemuliaan yang bakal disingkapkan.+ Inilah nasihatku* kepada para penatua yang ada dalam kalangan kamu: 2 Hendaklah kamu menggembala kawanan Tuhan+ yang ada di bawah jagaan kamu. Di hadapan Tuhan, berkhidmatlah sebagai penyelia dengan rela,* dan bukannya secara terpaksa;+ lakukannya dengan bersemangat, dan bukannya kerana mencintai keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur;+ 3 jadilah teladan bagi kawanan,+ dan janganlah menguasai mereka yang merupakan milik Tuhan.+ 4 Semasa ketua gembala+ disingkapkan, kamu akan menerima mahkota kemuliaan yang tidak akan rosak.+
5 Dalam cara yang sama, hendaklah lelaki yang lebih muda mentaati lelaki yang lebih tua.*+ Kamu semua harus rendah hati* semasa berurusan dengan satu sama lain, kerana Tuhan menentang orang yang angkuh tetapi Dia menunjukkan kebaikan hati yang unggul kepada orang yang rendah hati.+
6 Oleh itu, rendahkanlah diri kamu di bawah tangan Tuhan yang perkasa, agar Dia dapat meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan.+ 7 Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan,+ kerana Dia mengambil berat tentang kamu.+ 8 Teruslah memelihara daya pemikiran kamu dan berjaga-jagalah.+ Si Iblis, musuh kamu, sedang merayau-rayau seperti seekor singa yang mengaum sambil mencari mangsa untuk dibaham.+ 9 Tetapi kamu harus menentang dia+ dengan iman yang teguh kerana kamu tahu bahawa semua saudara seiman* di dunia sedang mengalami penderitaan yang sama.+ 10 Namun, selepas kamu menderita buat suatu jangka waktu yang singkat, Tuhan yang penuh dengan kebaikan hati yang unggul akan menyempurnakan latihan kamu. Dialah yang telah memanggil kamu untuk menikmati kemuliaan-Nya yang kekal+ kerana kamu bersatu dengan Kristus. Dia akan meneguhkan kamu,+ Dia akan menguatkan kamu,+ dan Dia akan mengukuhkan kamu. 11 Semoga Dia berkuasa buat selama-lamanya. Amin.
12 Melalui Silvanus,*+ yang aku anggap sebagai seorang saudara yang setia, aku menulis kepada kamu dengan menggunakan beberapa patah kata untuk menggalakkan kamu, dan untuk memberikan kesaksian yang sungguh-sungguh bahawa inilah kebaikan hati Tuhan yang sejati. Berpegang teguhlah pada kebaikan hati itu. 13 Wanita* yang berada di Babilon, yang juga merupakan wanita terpilih, mengirim salam kepada kamu, begitu juga dengan Markus,+ anakku. 14 Sambutlah satu sama lain dengan ciuman sebagai tanda kasih.
Semoga kamu semua yang bersatu dengan Kristus menikmati kedamaian.
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Atau “dimurnikan.”
Harfiah, “menebus.”
Atau “kepada kamu melalui adat istiadat kamu.”
Merujuk kepada kelahiran anak-anak Adam dan Hawa.
Iaitu, benih yang dapat menghasilkan hidup baharu.
Lihat Lampiran A5.
Atau “sifat bermuka dua.”
Atau “tidak bercampur.”
Atau “mengalami.”
Harfiah, “dimalukan.”
Harfiah, “kebaikan,” iaitu sifat dan perbuatan-Nya yang terpuji.
Atau “semua institusi manusia.”
Harfiah, “memberangus.”
Atau “penutup.”
Atau “kasihilah persaudaraan.”
Atau “kesedihan; kesakitan.”
Atau “pokok.”
Atau “supaya perbuatan dosa kita dimatikan.”
Atau “nyawa.”
Harfiah, “dengan mengikat tocang.”
Atau “teruslah bertimbang rasa terhadap isteri kamu; teruslah memahami isteri kamu.”
Atau “sefikiran.”
Harfiah, “berkat.”
Harfiah, “mengejar.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “muka Yehuwa menentang.”
Atau mungkin, “akan ancaman orang lain.”
Atau “mengisytiharkan berita penghakiman.”
Atau “jiwa.” Lihat Kamus.
Atau “tekad; kecenderungan mental.”
Bentuk jamak bagi perkataan Yunani a·selʹgei·a. Lihat Kamus.
Atau “berjaga-jaga.”
Atau “pengurus rumah tangga.”
Atau “rayuanku.”
Atau “jagalah kawanan dengan teliti dan dengan rela.”
Atau “para penatua.”
Atau “mengenakan kerendahan hati.”
Harfiah, “bahawa persaudaraan kamu.”
Juga dipanggil Silas.
“Wanita” boleh merujuk kepada sebuah sidang.