BAB 12
Bagaimanakah Anda Dapat Menjadi Sahabat Tuhan?
1, 2. Siapakah sahabat-sahabat Yehuwa?
SIAPAKAH yang akan anda pilih sebagai sahabat? Anda tentu memilih orang yang anda suka, yang sefahaman dengan anda, yang baik hati, dan yang ada sifat-sifat baik.
2 Tuhan Yehuwa memilih sesetengah manusia sebagai sahabat-Nya. Contohnya, Abraham ialah sahabat Yehuwa. (Yesaya 41:8; Yakobus 2:23) Yehuwa juga menyukai Daud dan berkata bahawa Daud ‘menyenangkan hati-Nya.’ (Kisah 13:22) Nabi Daniel juga “sangat berharga di mata Tuhan.”—Daniel 9:23.
3. Mengapakah Abraham, Daud, dan Daniel dapat menjadi sahabat Yehuwa?
3 Mengapakah Abraham, Daud, dan Daniel dapat menjadi sahabat Yehuwa? Yehuwa memberitahu Abraham, “Engkau telah mendengar kata-kata-Ku.” (Kejadian 22:18) Orang yang rendah hati dan taat kepada Yehuwa akan menjadi sahabat-Nya. Sesebuah bangsa juga dapat menjadi sahabat Tuhan. Yehuwa berkata kepada bangsa Israel, “Patuhilah firman-Ku. Maka Aku akan menjadi Tuhan kamu dan kamu akan menjadi umat-Ku.” (Yeremia 7:23) Jika anda mahu menjadi sahabat Yehuwa, anda perlu mentaati-Nya.
YEHUWA MELINDUNGI SAHABAT-NYA
4, 5. Bagaimanakah Yehuwa melindungi sahabat-Nya?
4 Bible menjelaskan bahawa Yehuwa “mencari orang yang menyembah-Nya dengan sepenuh hati agar Dia dapat menunjukkan kekuatan-Nya kepada mereka.” (2 Tawarikh 16:9) Di Mazmur 32:8, Yehuwa berjanji kepada sahabat-Nya, “Aku akan memberimu pengertian dan mengajarmu jalan yang harus ditempuh. Aku akan memberimu nasihat dan Aku akan memerhatikanmu.”
5 Ada satu musuh yang kuat, yang tidak mahu kita menjadi sahabat Tuhan. Tetapi Yehuwa mahu melindungi kita. (Baca Mazmur 55:22.) Sebagai sahabat Yehuwa, kita menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Kita setia kepada-Nya, bahkan pada waktu yang susah. Seperti pemazmur, kita ada keyakinan ini: “Engkau [Yehuwa] ada di sebelah kananku, maka aku tidak akan sekali-kali goyah.” (Mazmur 16:8; 63:8) Bagaimanakah Syaitan cuba menghalang kita daripada menjadi sahabat Tuhan?
TUDUHAN SYAITAN
6. Apakah yang dikatakan Syaitan tentang manusia?
6 Dalam Bab 11, kita belajar bahawa Syaitan telah mencabar Yehuwa dan menuduh-Nya sebagai penipu. Syaitan juga berkata bahawa Tuhan tidak adil kerana tidak memberi Adam dan Hawa kebebasan untuk menentukan apa yang betul dan salah bagi diri sendiri. Daripada buku Ayub, kita belajar bahawa Syaitan berkata bahawa manusia menyembah Tuhan hanya kerana mereka menginginkan sesuatu daripada-Nya, bukan kerana mereka mengasihi-Nya. Syaitan bahkan berkata bahawa dia boleh membuat sesiapa sahaja meninggalkan Tuhan. Mari kita kaji kisah Ayub dan lihat bagaimana Yehuwa melindunginya.
7, 8. (a) Apakah pandangan Yehuwa tentang Ayub? (b) Apakah dakwaan Syaitan tentang Ayub?
7 Siapakah Ayub? Dia seorang lelaki yang baik, yang hidup kira-kira 3,600 tahun yang lalu. Yehuwa berkata bahawa pada masa itu, tiada orang di bumi seperti Ayub, yang sangat menghormati Tuhan dan membenci kejahatan. (Ayub 1:8) Dia benar-benar sahabat Yehuwa.
8 Syaitan mendakwa bahawa Ayub menyembah Yehuwa demi kepentingan diri. Syaitan berkata kepada Yehuwa, “Bukankah Engkau selalu melindunginya dan keluarganya serta segala miliknya? Engkau memberkati segala usahanya, dan ternakannya juga bertambah banyak di seluruh negeri. Tetapi jika Engkau menghulurkan tangan-Mu dan mengambil segala miliknya, dia pasti akan mengutuk Engkau secara terang-terang.”—Ayub 1:10, 11.
9. Yehuwa mengizinkan Syaitan untuk buat apa?
9 Syaitan menuduh bahawa Ayub menyembah Yehuwa hanya untuk mendapat berkat. Syaitan juga berkata bahawa dia dapat membuat Ayub berhenti menyembah Yehuwa. Yehuwa tidak setuju dengan Syaitan, tetapi Dia mengizinkan Syaitan untuk menguji Ayub. Dengan itu, Ayub dapat menunjukkan sama ada dia benar-benar mengasihi Yehuwa atau tidak.
SYAITAN MENYERANG AYUB
10. Bagaimanakah Syaitan menyerang Ayub? Apakah reaksi Ayub?
10 Mula-mula Syaitan merampas atau membunuh semua ternakan Ayub. Kemudian Syaitan membunuh hampir semua hamba Ayub. Ayub kehilangan segala-galanya. Akhirnya, Syaitan mendatangkan ribut untuk membunuh 10 orang anak Ayub. Namun Ayub tetap setia kepada Yehuwa. “Walaupun semua hal tersebut menimpa Ayub, dia tidak berdosa atau menyalahkan Tuhan.”—Ayub 1:12-19, 22.
Yehuwa memberkati Ayub kerana Ayub sahabat yang setia
11. (a) Apakah hal lain yang dilakukan Syaitan terhadap Ayub? (b) Apakah reaksi Ayub?
11 Syaitan tidak putus asa. Dia mencabar Tuhan dengan berkata, “Jika Engkau menghulurkan tangan-Mu dan menyakiti tubuhnya, dia pasti akan mengutuk Engkau secara terang-terang.” Kemudian Syaitan membuat Ayub dijangkiti penyakit yang teruk. (Ayub 2:5, 7) Sekali lagi, Ayub tetap setia kepada Yehuwa. Dia berkata, “Sampai mati pun aku akan tetap setia kepada Tuhan!”—Ayub 27:5.
12. Bagaimanakah Ayub membuktikan bahawa Syaitan ialah pembohong?
12 Ayub tidak tahu apa-apa tentang tuduhan Syaitan. Dia tidak memahami mengapa hidupnya begitu susah, dan dia bahkan menyangka bahawa Yehuwalah penyebab masalahnya. (Ayub 6:4; 16:11-14) Walaupun begitu, Ayub tetap setia kepada Yehuwa. Dia membuktikan bahawa dia menjadi sahabat Yehuwa, bukan untuk kepentingan diri, tetapi kerana dia mengasihi Tuhan. Tuduhan Syaitan sudah terbukti salah!
13. Apakah hasil baik kesetiaan Ayub?
13 Meskipun Ayub tidak tahu apa yang terjadi di syurga, dia setia kepada Tuhan dan membuktikan bahawa Syaitan itu jahat. Akhirnya, Yehuwa memberkati Ayub kerana dia seorang sahabat yang setia.—Ayub 42:12-17.
SYAITAN JUGA MENUDUH ANDA
14, 15. Apakah tuduhan Syaitan terhadap semua orang?
14 Kisah Ayub mengajar kita hal yang penting. Hari ini, Syaitan menuduh bahawa kita menyembah Yehuwa untuk mendapat berkat. Di Ayub 2:4, Syaitan berkata, “Apabila nyawa seseorang terancam, dia pasti akan mengorbankan segala-galanya supaya dapat terus hidup.” Ya, Syaitan menuduh semua orang, bukan Ayub sahaja. Ratusan tahun selepas Ayub meninggal, Syaitan masih menghina Yehuwa dan menuduh hamba-hamba-Nya. Di Amsal 27:11, Yehuwa berkata, “Hai anakku, jadilah bijak dan gembirakanlah hatiku, supaya aku dapat menjawab dia yang mencela aku.”
15 Bagaimanakah anda dapat membuktikan bahawa Syaitan ialah pembohong? Taatilah Yehuwa dan jadilah sahabat-Nya yang setia. Biarpun anda perlu membuat perubahan yang besar untuk menjadi sahabat-Nya, ingatlah bahawa itulah keputusan yang terbaik! Keputusan itu sangat serius. Syaitan kata anda akan meninggalkan Tuhan semasa anda menghadapi masalah, dan dia cuba menyesatkan anda supaya anda tidak setia kepada Tuhan. Bagaimana?
16. (a) Apakah sesetengah cara yang digunakan oleh Syaitan untuk menghalang orang daripada menyembah Yehuwa? (b) Bagaimanakah Si Iblis mungkin cuba menghalang anda daripada menyembah Yehuwa?
16 Syaitan menggunakan banyak cara untuk menghalang kita daripada menjadi sahabat Tuhan. Dia menyerang seperti “seekor singa yang mengaum sambil mencari mangsa untuk dibaham.” (1 Petrus 5:8) Maka, janganlah hairan apabila kawan, keluarga, atau orang lain cuba menghalang anda belajar Bible dan melakukan apa yang betul. Anda mungkin rasa seperti sedang diserang.a (Yohanes 15:19, 20) Syaitan juga menyamar “sebagai malaikat cahaya” supaya dapat memperdaya kita dan membuat kita tidak mentaati Yehuwa. (2 Korintus 11:14) Satu lagi cara Syaitan cuba menghalang kita daripada menyembah Yehuwa adalah dengan membuat kita fikir bahawa kita tidak layak menyembah Tuhan.—Amsal 24:10.
PATUHI PERINTAH YEHUWA
17. Mengapakah kita mentaati Yehuwa?
17 Kita dapat membuktikan bahawa Syaitan ialah penipu jika kita mentaati Yehuwa. Apakah yang dapat membantu kita? Bible berkata, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap kekuatan kamu.” (Ulangan 6:5) Kita mentaati Yehuwa sebab kita mengasihi-Nya, dan kasih yang mendalam kepada Yehuwa akan mendorong kita untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Rasul Yohanes menulis, “Mengasihi Tuhan bererti mematuhi perintah-Nya. Perintah-Nya pun tidak membebankan.”—1 Yohanes 5:3.
18, 19. (a) Menurut Yehuwa, apakah sesetengah hal yang perlu kita jauhi? (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa tidak akan menyuruh kita melakukan sesuatu yang di luar kemampuan kita?
18 Yehuwa juga memberitahu kita hal-hal yang perlu dijauhi, seperti yang terdapat dalam kotak “Bencilah Apa yang Dibenci Yehuwa.” Anda mungkin berasa bahawa sesetengah hal itu tidaklah begitu buruk, tetapi apabila anda membaca dan memikirkan ayat-ayat Bible di situ, anda akan sedar bahawa mentaati perintah Yehuwa memang tindakan yang bijak. Barangkali, anda akan mendapati bahawa kehidupan anda perlu diubah. Biarpun hal itu tidak mudah, perubahan itu akan membuat anda berasa bahagia dan sejahtera kerana anda dapat menjadi sahabat Tuhan yang setia. (Yesaya 48:17, 18) Bagaimanakah kita tahu bahawa tidak mustahil untuk berubah?
19 Yehuwa tidak akan menyuruh kita membuat sesuatu yang di luar kemampuan kita. (Ulangan 30:11-14) Dia Sahabat baik kita, dan Dia mengenali kita lebih baik daripada kita mengenali diri sendiri. Dia tahu kekuatan dan kelemahan kita. (Mazmur 103:14) Rasul Paulus memberitahu kita, “Tuhan yang setia tidak akan membiarkan kamu menghadapi godaan yang tidak dapat kamu tanggung. Semasa kamu digoda, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu dapat menanggungnya dengan tabah.” (1 Korintus 10:13) Yakinlah bahawa Yehuwa akan selalu memberi kita kekuatan untuk melakukan apa yang betul. Dia akan memberi anda “kuasa luar biasa” ketika anda menghadapi kesusahan. (2 Korintus 4:7) Setelah mendapat bantuan Yehuwa, Paulus berkata, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”—Filipi 4:13.
BELAJAR UNTUK MENCINTAI APA YANG DICINTAI TUHAN
20. Sifat-sifat apakah yang ingin anda tiru? Mengapa?
20 Untuk menjadi sahabat Yehuwa, kita bukan sahaja perlu menghentikan perbuatan yang tidak disukai-Nya. (Roma 12:9) Kita juga perlu mencintai hal-hal yang dicintai-Nya, seperti yang tercatat di Mazmur 15:1-5. (Baca.) Sahabat Yehuwa akan meniru sifat-sifat-Nya seperti “kasih, sukacita, kedamaian, kesabaran, kebaikan hati, kebaikan, iman, kelemahlembutan, dan kawalan diri.”—Galatia 5:22, 23.
21. Bagaimanakah anda dapat memupuk sifat-sifat baik yang dicintai Tuhan?
21 Bagaimanakah anda dapat memupuk sifat-sifat baik itu? Bacalah dan kajilah Bible selalu. Dengan itu, anda akan tahu apa yang dicintai Yehuwa. (Yesaya 30:20, 21) Apabila anda berbuat demikian, anda akan semakin mengasihi Yehuwa, dan kasih itu akan mendorong anda untuk mentaati-Nya.
22. Apakah hasilnya jika anda mentaati Yehuwa?
22 Perubahan yang perlu anda buat sama seperti menanggalkan pakaian lama dan memakai pakaian baharu. Bible berkata bahawa anda perlu ‘menanggalkan keperibadian lama’ dan “mengenakan keperibadian baharu.” (Kolose 3:9, 10) Hal itu tidak mudah, tetapi apabila kita mentaati Yehuwa, kita akan “diberkati dengan berlimpah-limpah.” (Mazmur 19:11) Jadi, taatilah Yehuwa dan buktikan bahawa Syaitan ialah penipu. Sembahlah Yehuwa, bukan untuk mendapat berkat, tetapi kerana anda mengasihi-Nya. Dengan itu, anda dapat menjadi sahabat sejati Tuhan!
a Hal itu tidak bermaksud Syaitan sedang mengawal orang yang cuba menghalang anda belajar Bible. Namun, Syaitan ialah “tuhan sistem dunia ini” dan ‘seluruh dunia berada di bawah kuasanya.’ Jadi tidak hairanlah sesetengah orang cuba menghalang kita daripada menyembah Yehuwa.—2 Korintus 4:4; 1 Yohanes 5:19.