Ayub
24 “Mengapakah Tuhan Yang Maha Kuasa tidak menetapkan hari penghakiman?+
Mengapakah orang yang mengenali-Nya tidak melihat hari itu?
2 Orang jahat mengalihkan penanda sempadan tanah orang lain;+
Mereka mencuri bebiri orang lain untuk dijadikan ternakan sendiri.
3 Mereka merampas keldai kepunyaan anak yatim,
Dan mengambil lembu jantan milik balu sebagai cagaran.+
4 Mereka tidak membenarkan orang miskin mengikut jalan besar,
Dan orang papa terpaksa bersembunyi daripada mereka.+
5 Seperti keldai liar,+ orang miskin mencari makanan di padang belantara;
Mereka mencari makanan untuk anak-anak mereka di padang gurun.
6 Mereka terpaksa memungut hasil* di ladang orang lain,
Dan mengumpulkan sisa anggur dari ladang orang jahat.
7 Mereka tidur tanpa jubah pada waktu malam;+
Mereka tidak mempunyai selimut untuk memanaskan badan.
8 Mereka basah kuyup kerana hujan lebat,
Dan mereka terpaksa berlindung di bukit batu.
9 Anak yang kehilangan bapanya dirampas daripada ibunya;+
Dan pakaian orang miskin diambil sebagai jaminan.+
10 Oleh itu mereka terpaksa keluar tanpa pakaian,
Dan mereka kelaparan semasa memikul berkas gandum.
11 Di tepi tembok ladang anggur, mereka berjerih lelah* di bawah panas terik;
Mereka memeras anggur di tempat pemerasan, tetapi mereka sendiri kehausan.+
12 Di kota, orang yang hampir putus nyawa merintih;
Orang yang cedera parah berseru meminta tolong.+
Tetapi Tuhan nampaknya tidak mengambil peduli.*
13 Orang jahat menolak cahaya;+
Mereka tidak mengenal haluan yang terang,
Dan enggan mengikut jalan itu.
14 Pada waktu subuh, para pembunuh bangun;
Mereka membunuh orang miskin dan orang lemah.+
Pada waktu malam, mereka pergi mencuri.
15 Orang yang berzina menantikan waktu senja;+
Mereka menutup muka mereka,
Dan menganggap bahawa tiada orang yang akan melihat mereka.+
16 Pada waktu malam, pencuri memecah masuk ke dalam rumah orang;
Pada waktu siang, mereka bersembunyi,
Dan mereka mengelakkan cahaya.+
17 Bagi mereka, siang hari seperti waktu malam yang mengerikan,
Tetapi mereka berasa senang dengan kegelapan yang biasanya ditakuti orang.
18 Namun mereka akan dihanyutkan oleh air sungai yang deras;
Mereka tidak akan kembali ke ladang anggur mereka,
Dan tanah kepunyaan mereka akan dikutuk.+
19 Seperti air salji yang hilang kerana cahaya matahari dan kemarau,
20 Orang jahat tidak akan dikenang lagi,+ mereka bahkan dilupakan oleh ibu mereka.
Tubuh mereka akan habis dimakan ulat;
Mereka akan dihancurkan seperti pokok yang tumbang.
21 Orang jahat telah menindas balu;
Wanita mandul menjadi mangsa mereka.
22 Meskipun mereka ditinggikan, masa depan mereka tidak terjamin;
Dengan kuasa-Nya, Tuhan akan membinasakan orang yang perkasa.
23 Tuhan membiarkan mereka hidup aman dan makmur,+
Tetapi segala perbuatan mereka sentiasa diawasi oleh-Nya.+
24 Mereka mungkin dimuliakan buat seketika, tetapi mereka akan direndahkan.+
Seperti orang lain, mereka akan mati.+
Mereka akan dilenyapkan seperti gandum yang dipotong daripada tangkai.
25 Dapatkah sesiapa menyangkal kata-kataku,
Dan membuktikan aku pendusta?”