Ayub
32 Maka tiga orang sahabat Ayub berhenti bercakap, kerana Ayub amat yakin bahawa dia tidak bersalah.+ 2 Tetapi Elihu anak Barakhel, orang Buz,+ daripada puak Ram, menjadi sangat marah terhadap Ayub. Kemarahannya berkobar kerana Ayub tidak menyanjung keadilan Tuhan dan asyik berkata bahawa dia tidak bersalah.+ 3 Dia juga sangat marah terhadap tiga orang sahabat Ayub, kerana mereka tidak dapat menjawab kata-kata Ayub dan bahkan menyatakan bahawa Tuhan itu jahat.+ 4 Elihu menunggu sehingga mereka semua habis bercakap kerana mereka lebih tua daripadanya.+ 5 Apabila dia melihat bahawa tiga orang itu tidak mampu menjawab kata-kata Ayub, dia menjadi semakin marah. 6 Oleh itu, Elihu anak Barakhel mula bercakap,
“Aku masih muda
Sedangkan kamu semua sudah tua.+
Maka aku menahan diri dan tidak menyatakan pendapatku.+
Aku ingin menunjukkan hormat kepada kalian.
7 Aku berfikir, ‘Biarlah orang yang tua bercakap,
Dan biarlah orang yang lanjut usia memperlihatkan kebijaksanaan mereka.’
8 Tetapi sebenarnya, kuasa suci* daripada Tuhan
Dan nafas daripada Dia Yang Maha Kuasa yang memberikan kebijaksanaan kepada manusia.+
9 Orang yang tua tidak semestinya bijaksana,
Dan orang yang lanjut usia tidak semestinya memahami apa yang benar.+
10 Oleh itu, dengarlah semasa aku bercakap.
Biarlah aku menyatakan apa yang aku tahu.
11 Aku mendengar dengan sabar semasa kamu bercakap;
Aku mendengar dengan teliti semasa kamu menyatakan pendapat kamu,+
Dan menunggu sehingga kamu mencari kata-kata yang sesuai.+
12 Aku memperhatikan kamu semua,
Namun kamu tidak dapat membuktikan kesalahan Ayub
Atau menyangkal hujah-hujahnya.
13 Maka janganlah berkata, ‘Kami tahu segala-galanya;
Tuhanlah yang telah membuktikan Ayub bersalah, bukan manusia.’
14 Ayub tidak menujukan kata-katanya kepadaku,
Maka aku tidak akan menggunakan hujah-hujah kamu untuk menjawab kata-katanya.
15 Hai Ayub, mereka bingung dan tidak dapat memberikan jawapan;
Mereka semua sudah putus akal.
16 Aku menunggu, tetapi mereka berdiam diri;
Mereka hanya berdiri di situ tanpa mengatakan apa-apa lagi.
17 Oleh itu, biarlah aku bercakap
Dan menyatakan apa yang aku tahu,
18 Kerana ada banyak perkara yang ingin kukatakan;
Kuasa suci Tuhan mendorong aku untuk bersuara.
19 Sanubariku terasa seperti kirbat wain yang tertutup rapat,
Yang akan meletup jika penutupnya tidak dibuka.+
20 Biarlah aku bercakap agar hatiku lega!
Aku hendak membuka mulut dan memberikan jawapan.
21 Aku tidak akan berat sebelah,+
Dan aku tidak akan mengampu sesiapa pun,
22 Kerana aku tidak pandai mengampu.
Seandainya aku mengampu, Penciptaku akan segera melenyapkan aku.