-
Matius 12:9-14Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
-
-
9 Selepas bertolak dari sana, dia memasuki sebuah rumah ibadat. 10 Di situ ada seorang lelaki yang sebelah tangannya lumpuh.+ Jadi beberapa orang bertanya kepada Yesus, “Salahkah untuk menyembuhkan orang pada hari Sabat?” Sebenarnya, mereka sedang mencari alasan untuk menuduh Yesus.+ 11 Yesus menjawab, “Andai kata kamu mempunyai seekor biri-biri, tetapi biri-biri itu jatuh ke dalam sebuah lubang pada hari Sabat, tidakkah kamu akan menarik biri-biri tersebut keluar daripada lubang itu?+ 12 Sudah tentu manusia jauh lebih berharga daripada biri-biri! Jadi berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.” 13 Kemudian Yesus berkata kepada lelaki yang sebelah tangannya lumpuh itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Dia menghulurkan tangannya dan tangannya pun sembuh. 14 Tetapi orang Farisi keluar dari situ dan mula berpakat untuk membunuh Yesus.
-
-
Lukas 6:6-11Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
-
-
6 Pada hari Sabat yang lain,+ dia pergi mengajar di rumah ibadat. Di sana terdapat seorang lelaki yang tangan kanannya lumpuh.+ 7 Para jurutulis hukum dan orang Farisi memperhatikan Yesus dengan teliti untuk melihat sama ada dia akan menyembuhkan orang pada hari Sabat atau tidak. Mereka berbuat demikian kerana ingin mencari alasan untuk menuduhnya. 8 Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka.+ Jadi dia berkata kepada lelaki yang sebelah tangannya lumpuh itu, “Bangunlah dan berdirilah di tengah.” Maka lelaki itu bangun lalu berdiri di situ. 9 Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Aku hendak tanya kamu semua: Apakah yang wajar kita lakukan pada hari Sabat? Hal yang baik atau jahat, membunuh atau menyelamatkan nyawa?”+ 10 Dia memandang mereka semua lalu berkata kepada lelaki itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Lelaki itu menghulurkan tangannya dan tangannya pun sembuh. 11 Tetapi mereka naik berang dan mula berbincang sesama sendiri tentang apa yang hendak dilakukan terhadap Yesus.
-