-
Matius 26:69-75Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
-
-
69 Semasa Petrus duduk di halaman dalam, seorang hamba perempuan datang kepadanya dan berkata, “Kamu juga bersama dengan Yesus, orang Galilea itu!”+ 70 Tetapi dia menafikan hal itu di hadapan mereka semua dan berkata, “Aku tidak faham apa maksud kamu.” 71 Selepas dia pergi ke kawasan berhampiran pagar, seorang lagi hamba perempuan melihatnya dan berkata kepada orang di situ, “Lelaki ini bersama dengan Yesus, orang Nasaret itu.”+ 72 Sekali lagi dia menafikan hal itu dan bersumpah, “Aku tidak kenal lelaki itu!” 73 Tidak lama kemudian, mereka yang berdiri di situ datang kepada Petrus dan berkata, “Tentu kamu juga salah seorang daripada mereka kerana loghat kamu membuktikannya.” 74 Lalu Petrus bersumpah, “Terkutuklah aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal lelaki itu!” Pada saat itu juga, seekor ayam jantan berkokok. 75 Lalu Petrus teringat kata-kata Yesus, “Sebelum ayam jantan berkokok, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.”+ Dia pun keluar dan menangis tersedu-sedu.
-
-
Markus 14:66-72Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
-
-
66 Semasa Petrus berada di halaman dalam, seorang hamba perempuan imam agung datang kepadanya.+ 67 Apabila dia nampak Petrus berdiri dekat unggun api, dia memandang Petrus lalu berkata, “Kamu juga bersama dengan Yesus, orang Nasaret itu!” 68 Tetapi Petrus menafikan hal itu dan berkata, “Aku tidak kenal dia dan tidak faham apa maksud kamu.” Selepas itu, dia keluar lalu pergi ke kawasan berhampiran pagar. 69 Di sana, hamba perempuan itu melihat dia lagi dan mula berkata kepada orang yang berdiri di sana, “Dia salah seorang murid Yesus.” 70 Sekali lagi, Petrus menafikannya. Tidak lama kemudian, orang yang berdiri di situ berkata sekali lagi kepada Petrus, “Tentu kamu salah seorang daripada mereka kerana kamu pun orang Galilea.” 71 Lalu Petrus bersumpah, “Terkutuklah aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal lelaki yang kamu semua sebutkan itu!” 72 Pada saat itu juga seekor ayam jantan berkokok untuk kali kedua.+ Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam jantan berkokok dua kali, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.”+ Petrus tidak dapat menahan rasa sedih lalu dia mula menangis.
-
-
Yohanes 18:18Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
-
-
18 Sementara itu, hamba-hamba dan para pengawal berasa sejuk, maka mereka menyalakan api dengan arang dan berdiri di situ untuk memanaskan badan. Petrus juga berdiri bersama mereka untuk memanaskan badannya.
-