PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 45 1A-1627
  • Roma

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Roma
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Roma

SURAT KEPADA SIDANG DI ROMA

1 Aku, Paulus, seorang hamba Kristus Yesus yang dipanggil untuk menjadi rasul. Yesus telah melantik aku untuk mengisytiharkan berita baik daripada Tuhan.+ 2 Sejak dahulu lagi, berita baik itu telah dijanjikan oleh Tuhan melalui nabi-nabi-Nya dalam Ayat-Ayat Suci. 3 Berita baik itu adalah tentang Anak-Nya yang dilahirkan di bumi, yang merupakan keturunan Daud.+ 4 Melalui kuasa suci Tuhan,* dia dikenal pasti sebagai Anak Tuhan+ semasa dia dibangkitkan daripada kematian.+ Ya, dialah Yesus Kristus, Tuan kita. 5 Melaluinya, aku* menerima kebaikan hati yang unggul dan tugas sebagai rasul,+ agar orang daripada bangsa lain+ dapat beriman kepadanya dan mematuhinya. Aku melakukan semua ini untuk memuliakan namanya. 6 Kamu juga termasuk dalam golongan mereka, iaitu orang daripada bangsa-bangsa lain yang sudah dipanggil untuk menjadi milik Yesus Kristus. 7 Oleh itu, aku menulis surat ini kepada semua orang di Roma yang dikasihi oleh Tuhan, dan yang dipanggil untuk menjadi umat-Nya yang suci:

Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus.

8 Mula-mula, aku bersyukur kepada Tuhanku melalui Yesus Kristus bagi kamu semua, kerana iman kamu menjadi buah mulut orang di seluruh dunia. 9 Aku menjalankan khidmat suci kepada Tuhan dengan sepenuh jiwa raga, dan aku melakukan segala sesuatu demi berita baik tentang Anak-Nya. Tuhanlah saksiku bahawa aku sentiasa menyebut kamu dalam doa-doaku+ 10 dan merayu agar aku diberi peluang untuk melawat kamu, jika itulah kehendak Tuhan. 11 Aku ingin sekali berjumpa dengan kamu supaya aku dapat memberi kamu kurniaan rohani agar kamu diteguhkan; 12 atau, dalam kata lain, supaya kamu dapat menggalakkan aku melalui iman kamu, dan aku dapat menggalakkan kamu+ melalui iman aku.

13 Saudara-saudara, aku mahu kamu tahu bahawa sudah banyak kali aku hendak datang kepada kamu, agar usahaku dalam kalangan kamu berhasil, sebagaimana usahaku dalam kalangan bangsa-bangsa lain telah berhasil. Tetapi sampai sekarang, aku dihalang daripada berbuat demikian. 14 Aku mempunyai kewajipan,* baik kepada orang Yunani mahupun orang asing;* baik kepada orang yang berpendidikan mahupun orang yang tidak berpendidikan. 15 Itulah sebabnya aku ingin sekali mengisytiharkan berita baik kepada kamu semua di Roma.+ 16 Aku tidak berasa malu untuk mengisytiharkan berita baik.+ Sebenarnya, berita baik itu ialah bukti akan kuasa Tuhan dan dapat menyelamatkan semua orang yang beriman,+ bermula dengan orang Yahudi+ dan kemudiannya orang Yunani.+ 17 Orang yang beriman dapat melihat bahawa Tuhan menyingkapkan kebenaran-Nya melalui berita baik, dan hal ini menguatkan iman mereka,+ tepat seperti yang tertulis, “Orang yang berbuat benar akan hidup kerana beriman.”+

18 Sesetengah orang tidak mematuhi Tuhan dan tidak melakukan apa yang benar. Mereka melakukan hal-hal yang salah untuk menghalang orang daripada mengetahui kebenaran,+ dan Tuhan di syurga akan menunjukkan kemurkaan-Nya+ terhadap mereka, 19 kerana Tuhan telah memberi mereka bukti yang mencukupi agar mereka dapat mengenali-Nya.+ 20 Sejak dunia diciptakan, sifat-sifat-Nya yang tidak kelihatan, iaitu kuasa-Nya+ yang kekal dan kedudukan-Nya sebagai Tuhan,+ dapat dilihat dengan jelas melalui segala yang diciptakan-Nya.+ Itulah sebabnya mereka tidak dapat berdalih. 21 Walaupun mereka mengenali Tuhan, mereka tidak memuliakan-Nya sebagai Tuhan dan tidak bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya, pemikiran mereka sudah menjadi tumpul dan hati mereka yang bebal diselubungi kegelapan.+ 22 Mereka mengaku bahawa mereka bijaksana, tetapi sebenarnya mereka bodoh, 23 dan mereka tidak memuliakan Tuhan yang tidak dapat musnah. Sebaliknya, mereka memuliakan patung berhala yang dibentuk menurut rupa manusia yang dapat musnah, burung-burung, binatang berkaki empat, dan reptilia.*+

24 Oleh sebab mereka mahu menurut keinginan hati sendiri, Tuhan membiarkan mereka untuk melakukan perbuatan yang najis supaya mereka memalukan tubuh sendiri. 25 Mereka menggantikan kebenaran Tuhan dengan dusta, dan menghormati serta menyembah apa yang diciptakan, dan bukannya Pencipta. Dialah yang harus dipuji buat selama-lamanya. Amin. 26 Itulah sebabnya Tuhan menyerahkan mereka kepada nafsu seks yang keji.+ Kaum wanita tidak menggunakan tubuh menurut cara yang semula jadi.+ 27 Begitu juga halnya dengan kaum lelaki. Mereka tidak mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan dengan wanita, tetapi mempunyai nafsu berahi yang berkobar-kobar terhadap satu sama lain, iaitu lelaki dengan lelaki.+ Mereka melakukan apa yang menjijikkan dan akibatnya mereka menerima balasan* yang setimpal dengan kesalahan mereka.+

28 Oleh sebab mereka enggan mendapat pengetahuan yang tepat tentang* Tuhan, Tuhan menyerahkan mereka kepada keadaan mental yang tidak diperkenankan-Nya dan mengizinkan mereka untuk membuat hal-hal yang tidak patut dilakukan.+ 29 Mereka penuh dengan kepalsuan,+ kejahatan, ketamakan,+ keburukan, dan kedengkian.+ Mereka penuh dengan keinginan untuk membunuh+ dan menyebabkan orang menderita.+ Mereka suka berkelahi, menipu,+ mengumpat, 30 dan memfitnah.+ Mereka membenci Tuhan, bersikap biadab, angkuh, bercakap besar, merancang hal-hal yang jahat, tidak mematuhi ibu bapa,+ 31 tidak berpengertian,+ tidak berpegang pada janji, tidak berperikemanusiaan, dan tidak berbelas kasihan. 32 Mereka tahu benar bahawa menurut hukum Tuhan yang adil, orang yang sering melakukan hal-hal sedemikian harus dihukum mati.+ Namun, mereka bukan sahaja terus melakukan hal-hal itu malah berasa senang hati semasa orang lain berbuat demikian.

2 Oleh itu saudara, tidak kira siapa kamu, kamu tidak boleh membela diri jika kamu menghakimi orang lain.+ Hal itu demikian kerana semasa kamu menghakimi orang lain, kamu sedang menjatuhkan hukuman atas diri sendiri, kerana kamu sendiri pun mengamalkan perkara-perkara yang sama.+ 2 Kita tahu bahawa Tuhan akan menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengamalkan perbuatan sebegitu, dan penghakiman-Nya selaras dengan apa yang benar.

3 Saudara, kamu menghakimi orang yang mengamalkan perbuatan sebegitu padahal kamu sendiri melakukan hal yang sama. Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan terlepas daripada penghakiman Tuhan? 4 Atau adakah kamu meremehkan kebaikan hati,+ kemurahan hati,+ dan kesabaran+ Tuhan yang melimpah? Adakah kamu tidak tahu bahawa Tuhan menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia ingin memimpin kamu untuk bertaubat?+ 5 Kamu keras kepala dan enggan bertaubat. Oleh itu, kamu sedang mengundang kemurkaan Tuhan yang akan diperlihatkan pada hari kemurkaan-Nya, dan Dia akan menghakimi dengan adil.+ 6 Dia akan membalas setiap orang menurut perbuatan masing-masing:+ 7 Orang yang berusaha untuk mendapat kemuliaan dan kehormatan dengan sentiasa berbuat baik akan dikurniai tubuh yang tidak boleh musnah+ dan kehidupan kekal. 8 Sebaliknya orang yang suka bertengkar, mengingkari kebenaran, dan melakukan kejahatan akan ditimpa hukuman dan kemurkaan Tuhan.+ 9 Setiap orang yang berbuat jahat akan ditimpa kesengsaraan dan penderitaan, bermula dengan orang Yahudi, dan kemudiannya orang Yunani. 10 Namun, setiap orang yang berbuat baik akan menerima kemuliaan, kehormatan, dan kedamaian, bermula dengan orang Yahudi,+ dan kemudiannya orang Yunani.+ 11 Hal itu demikian kerana Tuhan tidak berat sebelah.+

12 Jika sesiapa yang tidak berada di bawah hukum Tuhan melakukan dosa, dia akan binasa walaupun dia tidak mengetahui hukum itu.+ Tetapi, jika sesiapa yang berada di bawah hukum melakukan dosa, dia akan dihakimi menurut hukum itu.+ 13 Hal itu demikian kerana orang yang mendapat perkenan Tuhan bukanlah orang yang mendengar hukum. Sebaliknya, orang yang melakukan apa yang selaras dengan hukum akan diperkenankan Tuhan.+ 14 Apabila orang daripada bangsa-bangsa lain yang tidak mempunyai hukum melakukan apa yang selaras dengan hukum,+ hal ini menunjukkan bahawa mereka sendiri tahu apa yang betul dan apa yang salah walaupun mereka tidak mempunyai hukum. 15 Merekalah yang menunjukkan bahawa prinsip-prinsip yang terkandung dalam hukum itu tertulis dalam hati mereka. Selain itu, hati nurani mereka juga menjadi saksi, dan fikiran mereka membantu mereka untuk mengetahui sama ada perbuatan mereka betul atau salah. 16 Menurut berita baik yang aku khabarkan, hal itu akan berlaku pada hari Tuhan menggunakan Kristus Yesus untuk menghakimi hal-hal yang dirahsiakan oleh manusia.+

17 Kamu digelar orang Yahudi+ dan kamu bergantung pada hukum. Kamu juga membangga-banggakan hubungan kamu dengan Tuhan. 18 Kamu mengetahui kehendak-Nya dan dapat mengenal pasti perkara-perkara yang unggul, kerana kamu telah diajar mengikut Hukum.+ 19 Kamu yakin bahawa kamu ialah penuntun orang buta, cahaya kepada mereka yang berada dalam kegelapan, 20 pendidik kepada orang yang tidak munasabah, dan guru kepada anak muda. Kamu sudah menguasai kebenaran dan pengetahuan asas* yang terdapat dalam Hukum. 21 Namun begitu, mengapakah kamu mengajar orang lain tetapi tidak mengajar diri sendiri?+ Kamu memberitahu orang, “Jangan mencuri,”+ tetapi mengapakah kamu sendiri mencuri? 22 Kamu berkata, “Jangan berzina,”+ tetapi mengapakah kamu sendiri berzina? Kamu membenci berhala, tetapi mengapakah kamu sendiri merompak rumah berhala? 23 Kamu berbangga kerana memiliki hukum, tetapi mengapakah kamu memalukan Tuhan dengan melanggar Hukum? 24 Tepat seperti yang tertulis, “Kerana kamu, nama Tuhan kini dihina oleh bangsa-bangsa lain.”+

25 Sebenarnya, kamu harus mematuhi hukum,+ barulah sunat+ kamu itu berfaedah. Tetapi jika kamu melanggar hukum, kamu seperti orang yang tidak bersunat walaupun kamu sudah bersunat. 26 Jika seseorang yang tidak bersunat+ mematuhi perintah Tuhan yang termaktub dalam Hukum, bukankah dia dianggap sebagai orang yang sudah bersunat, walaupun dia tidak bersunat?+ 27 Kamu sudah bersunat dan memiliki hukum bertulis. Tetapi memandangkan kamu melanggar hukum, orang bukan Yahudi yang tidak bersunat akan menghakimi kamu, kerana mereka mematuhi Hukum. 28 Sesiapa yang merupakan orang Yahudi secara luaran bukanlah orang Yahudi yang sebenar,+ dan sunat luaran bukanlah sunat yang sebenar.+ 29 Sebaliknya, orang Yahudi yang sebenar ialah orang yang berjiwa Yahudi,+ dan sunat yang diterimanya ialah sunat di hati,+ yang dibimbing oleh kuasa suci Tuhan dan bukannya berdasarkan hukum bertulis.+ Orang sebegini akan menerima pujian, bukan daripada manusia,+ tetapi daripada Tuhan.

3 Jika demikian, apakah kelebihan orang Yahudi? Atau apakah manfaatnya bersunat? 2 Ada banyak kelebihannya. Mula-mula, mereka telah diamanahkan perkhabaran suci daripada Tuhan.+ 3 Bagaimana pula jika ada orang Yahudi yang tidak percaya? Adakah hal ini bermaksud bahawa Tuhan tidak dapat dipercayai lagi? 4 Tentu tidak! Meskipun setiap orang berdusta,+ firman Tuhan sentiasa benar.+ Seperti yang tertulis, “Apabila Engkau berfirman, firman-Mu benar. Apabila Engkau dituduh, Engkau akan menang.”+ 5 Tetapi jika kejahatan kita menonjolkan keadilan Tuhan, apakah yang dapat kita katakan? Adakah Tuhan tidak adil apabila Dia menunjukkan kemurkaan-Nya? (Itulah cara pemikiran sesetengah orang.) 6 Sudah pasti tidak! Andai kata Tuhan tidak adil, bagaimanakah Dia dapat menghakimi dunia ini?+

7 Namun, jika dustaku menonjolkan kebenaran Tuhan sehingga orang memuliakan-Nya, mengapakah aku juga dihakimi sebagai orang yang berdosa? 8 Mengapakah kita tidak berkata, “Lakukanlah perkara yang jahat supaya perkara yang baik akan muncul”? Ada beberapa orang yang membuat tuduhan palsu bahawa kami berkata demikian. Mereka memang wajar dihukum.+

9 Kalau begitu, adakah orang Yahudi mempunyai kedudukan yang lebih baik? Sama sekali tidak! Seperti yang telah dijelaskan, orang Yahudi dan orang Yunani semuanya dikuasai dosa.+ 10 Tepat seperti yang tertulis, “Tidak ada seorang pun yang melakukan apa yang benar.+ 11 Tidak ada seorang pun yang mempunyai pengertian, dan tidak ada seorang pun yang mencari Tuhan. 12 Semua orang sudah menyeleweng, mereka semuanya sudah menjadi tidak berguna. Tidak ada seorang pun yang menunjukkan kebaikan hati, seorang pun tidak.”+ 13 “Mulut mereka ialah kubur yang terbuka, lidah mereka mengeluarkan tipu daya.”+ “Racun ular berbisa ada di bibir mereka.”+ 14 “Mulut mereka penuh dengan sumpahan dan kata-kata yang pahit.”+ 15 “Kaki mereka bergerak dengan cepat untuk menumpahkan darah.”+ 16 “Kemusnahan dan kesengsaraan ada di jalan-jalan mereka, 17 dan mereka tidak mengenal haluan kedamaian.”+ 18 “Tidak ada perasaan takut akan Tuhan di depan mata mereka.”+

19 Sekarang kita tahu bahawa semua perkara yang dinyatakan dalam Hukum ditujukan kepada mereka yang berada di bawah Hukum itu, supaya tidak seorang pun dapat berdalih, dan semua orang di dunia akan diadili oleh Tuhan.+ 20 Oleh itu, tidak ada sesiapa pun yang dapat memperoleh perkenan Tuhan dengan mematuhi hukum,+ kerana hukum itu menyingkapkan dengan jelas apa itu dosa.+

21 Menurut kesaksian yang diberikan dalam Hukum dan Ajaran Para Nabi, kita sekarang tahu bahawa seseorang boleh mendapat perkenan Tuhan tanpa mematuhi Hukum Musa.+ 22 Ya, semua orang yang beriman boleh mendapat perkenan Tuhan melalui iman mereka kepada Yesus Kristus. Tidak ada perbezaan antara sesiapa pun kerana+ 23 semua orang sudah berdosa dan gagal mencerminkan kemuliaan Tuhan.+ 24 Tuhan memperlihatkan kebaikan hati-Nya yang unggul+ dengan membebaskan mereka melalui tebusan yang dibayar oleh Kristus Yesus.+ Melalui kurniaan percuma itu,+ mereka dianggap sebagai orang yang diperkenankan-Nya. 25 Tuhan menyerahkan Kristus sebagai korban supaya orang yang beriman kepada darah Kristus+ dapat berdamai dengan-Nya.*+ Dengan demikian, Tuhan memperlihatkan keadilan-Nya, kerana Dia bersabar dan mengampunkan dosa-dosa yang dilakukan pada masa lampau. 26 Dia juga memperlihatkan keadilan-Nya+ sekarang dengan berkenan kepada orang yang beriman kepada Yesus.+

27 Hukum yang berkaitan dengan perbuatan boleh membuat seseorang bercakap besar. Tetapi patutkah kita bercakap besar?+ Sama sekali tidak. Hal ini demikian kerana hukum yang berkaitan dengan iman jelas menunjukkan bahawa tidak ada sesiapa pun yang mempunyai alasan untuk bercakap besar. 28 Bagi kita, seseorang mendapat perkenan Tuhan kerana imannya dan bukan kerana dia mematuhi hukum.+ 29 Adakah Dia Tuhan kepada orang Yahudi sahaja?+ Bukankah Dia juga Tuhan kepada orang daripada bangsa-bangsa lain?+ Ya, Dia ialah Tuhan kepada orang daripada bangsa-bangsa lain juga.+ 30 Tuhan hanya satu.+ Dia akan berkenan kepada orang yang bersunat kerana mereka beriman.+ Dia juga akan berkenan kepada orang yang tidak bersunat kerana mereka beriman.+ 31 Jadi, adakah hal ini bermaksud bahawa kita menghapuskan hukum kerana iman kita? Tentu tidak! Sebaliknya, kita meneguhkan hukum.+

4 Jika demikian, apakah yang dapat kita katakan tentang apa yang sudah diterima oleh Abraham, nenek moyang kita? 2 Misalnya, andai kata Abraham mendapat perkenan Tuhan kerana perbuatannya, dia tentu mempunyai sebab untuk berasa bangga. Tetapi dari sudut pandangan Tuhan, dia tidak mempunyai sebab untuk berbangga. 3 Ada ayat yang menyatakan, “Oleh sebab Abraham beriman kepada Yehuwa,* dia mendapat perkenan-Nya.”+ 4 Seorang pekerja biasanya menerima gaji bukan kerana majikannya baik hati, tetapi kerana dia berhak untuk menerima gajinya. 5 Sebaliknya, jika seseorang beriman kepada Tuhan dan tidak bergantung pada perbuatan sendiri, dia akan mendapat perkenan Tuhan meskipun dia berdosa.+ 6 Itulah yang dimaksudkan oleh Daud apabila dia berkata tentang kebahagiaan seseorang yang mendapat perkenan Tuhan walaupun perbuatannya tidak selaras sepenuhnya dengan hukum. Daud berkata, 7 “Berbahagialah orang yang kejahatan mereka diampunkan oleh Tuhan, dan yang dosa mereka dihapuskan* oleh Tuhan! 8 Berbahagialah orang yang dosanya tidak diperhitungkan oleh Yehuwa!”*+

9 Adakah kebahagiaan ini hanya untuk orang yang bersunat? Atau adakah kebahagiaan ini untuk orang yang tidak bersunat juga?+ Seperti yang dikatakan sebelum ini, “Oleh sebab Abraham beriman kepada Tuhan, dia mendapat perkenan-Nya.”+ 10 Bilakah Abraham mendapat perkenan Tuhan? Sebelum atau sesudah dia bersunat? Dia mendapat perkenan Tuhan sebelum dia bersunat. 11 Tuhan menyuruh Abraham untuk bersunat sebagai tanda*+ bahawa dia diperkenankan Tuhan, kerana dia beriman walaupun dia belum bersunat. Dengan demikian, Abraham menjadi bapa kepada orang yang beriman+ tetapi yang tidak bersunat agar mereka diperkenankan Tuhan. 12 Abraham juga menjadi bapa kepada orang yang bersunat, bukan sahaja kepada orang yang berpaut pada hukum bersunat, tetapi juga kepada orang yang mengikuti jejak iman Abraham+ sebelum dia bersunat.

13 Abraham dan keturunannya menerima janji untuk mewarisi dunia bukan kerana dia mematuhi hukum,+ tetapi kerana dia beriman kepada Tuhan dan mendapat perkenan-Nya.+ 14 Hal ini demikian kerana jika apa yang dijanjikan oleh Tuhan hanya diberikan kepada orang yang mematuhi hukum, maka tidak ada gunanya orang beriman kepada Tuhan, dan janji Tuhan akan menjadi sia-sia. 15 Sebenarnya Hukum mendatangkan kemurkaan Tuhan.+ Jika tidak ada hukum, maka pelanggaran pun tidak ada.+

16 Abraham menerima janji Tuhan kerana imannya, dan Tuhan memperlihatkan kebaikan hati yang unggul melalui janji itu.+ Maka semua keturunan Abraham juga menerima janji itu,+ baik orang yang mematuhi Hukum mahupun orang yang mempunyai iman seperti iman Abraham, bapa kepada kita semua.+ 17 (Hal itu tepat seperti yang tertulis, “Aku sudah menjadikan kamu bapa kepada banyak bangsa.”)+ Janji itu pasti terlaksana. Abraham beriman kepada Tuhan yang menghidupkan orang mati. Dialah yang berfirman tentang perkara-perkara yang belum terjadi seolah-olah perkara-perkara itu sudah terjadi.* 18 Abraham berharap dan beriman bahawa dia akan menjadi bapa kepada banyak bangsa meskipun hal itu nampaknya mustahil. Dia percaya akan kata-kata ini: “Keturunanmu akan menjadi banyak sekali.”+ 19 Pada masa itu, umur Abraham kira-kira 100 tahun+ dan Sara sudah terlalu tua untuk melahirkan anak.+ Abraham berfikir bahawa dia tidak mungkin mendapat keturunan. Namun begitu, imannya tidak menjadi lemah. 20 Dia sama sekali tidak ragu akan janji Tuhan. Sebaliknya dia menjadi kuat kerana imannya. Dia memuliakan Tuhan 21 dan yakin sepenuhnya bahawa Tuhan dapat melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya.+ 22 Maka, “dia mendapat perkenan Tuhan.”+

23 Kata-kata “dia mendapat perkenan Tuhan” tertulis bukan hanya untuk Abraham,+ 24 tetapi untuk kita juga. Kita juga akan diperkenankan Tuhan kerana kita percaya kepada Dia yang membangkitkan Tuan kita, Yesus, daripada kematian.+ 25 Yesus dibunuh untuk dosa kita+ dan dibangkitkan supaya kita mendapat perkenan Tuhan.+

5 Sekarang kita sudah mendapat perkenan Tuhan kerana iman kita.+ Jadi, marilah kita menikmati kedamaian* dengan Tuhan melalui Tuan kita, Yesus Kristus.+ 2 Melalui iman kepadanya, jalan terbuka bagi kita untuk menerima kebaikan hati yang unggul. Memandangkan kita sudah menerima kebaikan hati itu sekarang,+ marilah kita bersukacita atas harapan untuk menerima kemuliaan Tuhan. 3 Bukan itu sahaja, tetapi marilah kita bersukacita* semasa menghadapi kesengsaraan,+ kerana kita tahu bahawa kesengsaraan menghasilkan ketabahan;+ 4 selanjutnya, ketabahan membantu kita mendapat perkenan Tuhan;+ dan perkenan Tuhan membawa harapan.+ 5 Harapan ini tidak akan mengecewakan kita,+ kerana melalui kuasa suci Tuhan yang telah diberikan kepada kita, kasih-Nya telah dicurahkan ke dalam hati kita.+

6 Sememangnya, semasa kita tidak berdaya,+ Kristus telah mati untuk manusia yang berdosa, pada masa yang telah ditetapkan. 7 Jarang ada orang yang sanggup mati untuk seseorang yang melakukan apa yang benar. Tetapi ada orang yang mungkin rela mati untuk seseorang yang baik. 8 Namun, beginilah caranya Tuhan menunjukkan kasih-Nya kepada kita: Kristus telah mati untuk kita semasa kita masih berdosa.+ 9 Maka, melalui darah Kristus,+ kita mendapat perkenan Tuhan, dan kita yakin bahawa hal ini akan menyelamatkan kita daripada kemurkaan-Nya.+ 10 Dahulu kita musuh Tuhan, tetapi melalui kematian Anak-Nya,+ kita sudah berbaik semula dengan Tuhan. Sekarang, memandangkan kita sudah berbaik semula dengan Tuhan, kita pasti akan diselamatkan kerana kini Kristus hidup. 11 Bukan itu sahaja, kita juga bersukacita kerana melalui Tuan kita, Yesus Kristus, kita dapat menjalinkan hubungan dengan Tuhan dan berbaik semula dengan-Nya.+

12 Maka, dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian.+ Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.+ 13 Dosa sudah ada di dalam dunia sebelum Hukum diberikan. Tetapi tanpa hukum, tiada orang yang akan dituduh melakukan dosa.+ 14 Namun begitu, sejak zaman Adam sampai ke zaman Musa, kematian memerintah sebagai raja, bahkan atas mereka yang tidak berbuat dosa seperti yang dilakukan oleh Adam semasa dia melanggar perintah Tuhan. Adam menggambarkan dia yang bakal datang.+

15 Kurniaan Tuhan berbeza daripada dosa. Disebabkan dosa satu orang, banyak orang mati. Tetapi Tuhan telah mencurahkan kurniaan percuma dan kebaikan hati-Nya yang unggul secara melimpah kepada banyak orang+ melalui kebaikan hati satu orang,+ iaitu Yesus Kristus. 16 Selain itu, hasil yang diraih melalui kurniaan yang percuma berbeza daripada hasil yang dibawa oleh dosa satu orang.+ Hal ini demikian kerana setelah satu orang berdosa, semua manusia didapati bersalah.+ Tetapi Tuhan memberikan kurniaan percuma-Nya setelah banyak manusia melakukan dosa, supaya mereka mendapat perkenan-Nya.+ 17 Melalui dosa satu orang, maut mula memerintah sebagai raja.+ Tetapi kita yakin bahawa melalui Yesus Kristus,+ orang akan hidup dan memerintah sebagai raja.+ Mereka akan meraih manfaat daripada kebaikan hati Tuhan yang melimpah dan kurniaan-Nya yang percuma lalu mereka akan mendapat perkenan-Nya.+

18 Oleh itu, sebagaimana dosa satu orang menyebabkan semua orang didapati bersalah,+ begitu juga perbuatan benar satu orang membolehkan semua orang+ mendapat perkenan Tuhan dan menerima kehidupan.+ 19 Disebabkan keingkaran satu orang, banyak orang menjadi pendosa.+ Begitu juga, disebabkan kepatuhan satu orang, banyak orang mendapat perkenan Tuhan.+ 20 Tuhan memberikan Hukum supaya dosa ditonjolkan dengan lebih jelas.+ Namun, apabila dosa semakin bertambah, kebaikan hati yang unggul juga semakin bertambah. 21 Apakah tujuannya? Sebagaimana dosa dan maut memerintah sebagai raja,+ begitu juga kebaikan hati yang unggul akan memerintah sebagai raja agar orang mendapat perkenan Tuhan. Dengan itu, orang dapat meraih kehidupan yang kekal melalui Yesus Kristus, Tuan kita.+

6 Maka, apakah yang harus kita katakan? Haruskah kita terus berdosa agar kebaikan hati yang unggul bertambah? 2 Tentu tidak! Memandangkan kita sudah dibebaskan daripada dosa,+ bagaimanakah kita dapat terus hidup dalam dosa?+ 3 Atau tidakkah kamu tahu bahawa kita semua yang sudah dibaptis dan yang bersatu dengan Kristus Yesus,+ juga dibaptis dalam kematiannya?+ 4 Jadi, oleh sebab kita sudah dibaptis dalam kematiannya,+ kita sudah dikuburkan dengannya. Dengan demikian, sebagaimana Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian dan menempuh kehidupan yang baharu melalui kemuliaan Bapa, kita juga harus menempuh kehidupan yang baharu.+ 5 Jika kita sudah mati seperti dia, kita juga pasti akan dibangkitkan seperti dia,+ dan dalam cara-cara inilah kita bersatu dengan dia.+ 6 Kita tahu bahawa keperibadian lama kita sudah dipakukan pada tiang bersamanya.+ Dengan itu, tubuh kita yang berdosa tidak lagi berkuasa atas kita,+ dan kita tidak lagi menjadi hamba dosa.+ 7 Hal itu demikian kerana apabila seseorang mati, hutang dosanya sudah dilangsaikan.*

8 Jika kita sudah mati bersama Kristus, kita percaya bahawa kita juga akan hidup bersamanya. 9 Kita tahu bahawa Kristus, yang sekarang sudah dibangkitkan daripada kematian,+ tidak akan mati lagi.+ Kematian tidak lagi menjadi tuan yang berkuasa atas dirinya. 10 Dia mati sekali sahaja+ untuk menyingkirkan dosa. Tetapi dia hidup supaya dia dapat melakukan kehendak Tuhan. 11 Demikian juga dengan kamu. Kamu harus menganggap bahawa kamu sudah mati sehubungan dengan dosa, tetapi kamu hidup untuk melakukan kehendak Tuhan melalui Kristus Yesus.+

12 Oleh itu, janganlah biarkan dosa terus memerintah sebagai raja atas tubuh kamu yang boleh mati,+ supaya kamu tidak menurut keinginan tubuh kamu. 13 Jangan terus menyerahkan tubuh kamu kepada dosa untuk melakukan apa yang salah. Sebaliknya, serahkanlah diri kamu kepada Tuhan sebagai orang yang dahulunya mati tetapi kini sudah hidup semula. Serahkanlah tubuh kamu kepada Tuhan untuk melakukan apa yang benar.+ 14 Jangan izinkan dosa menjadi tuan yang berkuasa atas kamu, kerana kamu tidak lagi berada di bawah hukum+ tetapi berada di bawah kebaikan hati Tuhan yang unggul.+

15 Apakah kesimpulannya? Patutkah kita berbuat dosa kerana kita tidak lagi berada di bawah hukum tetapi berada di bawah kebaikan hati Tuhan yang unggul?+ Tentu tidak! 16 Tidakkah kamu tahu bahawa jika kamu menyerahkan diri kepada seseorang untuk mematuhinya, kamu menjadi hamba orang itu?+ Maka, jika kamu ialah hamba dosa,+ kamu akan mati.+ Tetapi jika kamu ialah hamba Tuhan dan mematuhi-Nya, kamu akan mendapat perkenan-Nya. 17 Namun, aku bersyukur kepada Tuhan kerana kamu dahulunya hamba dosa, tetapi sekarang dengan rela hati kamu mematuhi Tuhan dan menurut apa yang sudah diajarkan-Nya kepada kamu. 18 Ya, oleh sebab kamu sudah dibebaskan daripada dosa,+ kamu menjadi hamba kepada Tuhan dan melakukan apa yang benar.+ 19 Oleh sebab kamu lemah kerana dosa, aku menggunakan kata-kata yang mudah difahami orang. Dahulu kamu menyerahkan tubuh kamu sebagai hamba kepada kenajisan dan pelanggaran hukum untuk melakukan perbuatan yang melanggar hukum. Jadi, sekarang serahkanlah tubuh kamu sebagai hamba untuk melakukan apa yang benar dan suci.+ 20 Hal ini demikian kerana semasa kamu menjadi hamba dosa, kamu tidak diwajibkan untuk melakukan apa yang benar.

21 Apakah hasil perbuatan kamu semasa kamu menjadi hamba dosa? Perkara-perkara yang sekarang menyebabkan kamu berasa malu, dan yang akhirnya mengakibatkan kematian.+ 22 Namun, sekarang kamu sudah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba Tuhan. Hasilnya ialah kehidupan yang suci,+ yang membawa kehidupan kekal.+ 23 Upah dosa ialah kematian,+ tetapi kurniaan daripada Tuhan ialah kehidupan kekal+ melalui Kristus Yesus, Tuan kita.+

7 Saudara-saudara, aku sedang bercakap kepada kamu yang memahami hukum. Tidakkah kamu tahu bahawa Hukum ialah tuan yang berkuasa atas seseorang selagi dia masih hidup? 2 Sebagai contoh, seorang wanita yang sudah berkahwin terikat kepada suaminya oleh hukum selagi suaminya masih hidup. Tetapi jika suaminya mati, dia dibebaskan daripada hukum suaminya.+ 3 Oleh itu, jika wanita itu berkahwin dengan lelaki lain semasa suaminya masih hidup, wanita itu dikatakan berzina.+ Tetapi jika suaminya mati, dia dibebaskan daripada hukum suaminya. Maka jika dia berkahwin dengan lelaki lain, dia tidak berzina.+

4 Begitu juga, saudara-saudaraku, melalui korban Kristus, kamu tidak lagi terikat kepada Hukum.* Sebaliknya, kamu menjadi milik dia yang dibangkitkan daripada kematian+ agar kamu dapat membuahkan hasil untuk memuliakan Tuhan.+ 5 Semasa kita hidup menurut keinginan tubuh, nafsu berdosa yang disingkapkan oleh Hukum bekerja dalam tubuh kita untuk membuahkan hasil yang membawa kematian.+ 6 Sekarang, kita tidak lagi terikat kepada Hukum.+ Maka kita tidak menjadi hamba dengan cara yang lama, yang berdasarkan hukum bertulis.+ Sebaliknya, kita menjadi hamba dengan cara yang baharu, yang berdasarkan bimbingan kuasa suci Tuhan.+

7 Jika demikian, apakah yang dapat kita katakan? Adakah Hukum itu mempunyai cacat cela?* Tentu tidak! Tanpa Hukum, aku tidak akan mengenal dosa.+ Sebagai contoh, jika Hukum tidak menyatakan, “Jangan menginginkan milik orang lain,”+ aku tidak akan tahu bahawa keinginan sebegitu adalah salah. 8 Melalui hukum itu, dosa mencari kesempatan untuk membangkitkan segala macam keinginan terhadap milik orang lain dalam diriku. Sebelum hukum wujud, dosa itu mati.+ 9 Sebenarnya, sebelum hukum wujud, aku hidup. Apabila hukum datang, dosa hidup semula, tetapi aku mati.+ 10 Hukum sepatutnya membawa kehidupan,+ tetapi aku mendapati bahawa hukum mendatangkan kematian. 11 Hal itu demikian kerana melalui hukum, dosa mencari kesempatan untuk menggoda dan membunuh aku. 12 Maka Hukum itu suci, dan setiap perintahnya suci, adil, dan baik.+

13 Jadi adakah hal ini bererti bahawa apa yang baik* menyebabkan kematianku? Sama sekali tidak! Dosalah yang menyebabkan kematianku. Dosa menyebabkan kematianku melalui apa yang baik untuk menunjukkan apa itu dosa.+ Dengan demikian, hukum menyingkapkan bahawa dosa amat memudaratkan.+ 14 Kita tahu bahawa Hukum ialah milik Tuhan, tetapi aku tidak sempurna dan dijual sebagai hamba dosa.+ 15 Sebenarnya, aku tidak memahami perbuatanku sendiri. Aku tidak mengamalkan perkara-perkara yang ingin aku lakukan. Sebaliknya, aku melakukan perkara-perkara yang aku benci. 16 Tetapi jika aku melakukan perkara-perkara yang tidak aku inginkan, hal ini bererti aku setuju bahawa Hukum itu baik. 17 Tetapi sekarang, yang melakukan perkara-perkara itu bukan aku tetapi dosa yang ada dalam diriku.+ 18 Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu pun yang baik dalam diriku atau dalam tubuhku yang tidak sempurna. Hal itu demikian kerana walaupun aku mempunyai keinginan untuk berbuat baik, aku tidak dapat melakukannya.+ 19 Aku tidak melakukan perkara baik yang ingin aku lakukan, sebaliknya aku sering melakukan perkara jahat yang tidak ingin aku lakukan. 20 Jika aku melakukan perkara-perkara yang tidak ingin aku lakukan, hal ini bererti bahawa yang melakukan perkara-perkara itu bukanlah aku, tetapi dosa yang ada dalam diriku.

21 Oleh itu, aku mendapati bahawa hukum ini ada dalam diriku: Apabila aku mahu melakukan apa yang baik, apa yang jahat ada padaku.+ 22 Dalam hatiku, aku sangat menyukai hukum Tuhan.+ 23 Tetapi aku mendapati bahawa terdapat hukum lain yang berperang melawan hukum akal fikiranku,+ dan hukum itu ialah dosa+ dalam tubuhku yang menguasai aku. 24 Alangkah malangnya aku ini! Siapakah yang akan menyelamatkan aku daripada tubuh yang akan mati ini? 25 Tuhanlah yang akan menyelamatkan aku melalui Tuan kita, Yesus Kristus, dan aku bersyukur kepada-Nya! Sesungguhnya, akal fikiranku merupakan hamba kepada hukum Tuhan. Tetapi tubuhku yang berdosa merupakan hamba kepada hukum dosa.+

8 Oleh itu, mereka yang bersatu dengan Kristus Yesus tidak akan dijatuhi hukuman mati. 2 Hal itu demikian kerana hukum kuasa suci Tuhan yang menyebabkan orang bersatu dengan Kristus Yesus telah membebaskan kamu+ daripada hukum dosa dan kematian. 3 Perkara yang tidak dapat dilakukan oleh Hukum+ kerana ketidaksempurnaan manusia+ sudah dilakukan oleh Tuhan. Dia telah mengutus Anak-Nya ke bumi+ dalam rupa manusia*+ untuk memansuhkan dosa. Dengan demikian Dia menjatuhkan hukuman atas dosa manusia. 4 Maka, jika kita menurut bimbingan kuasa suci Tuhan+ dan bukannya menurut keinginan tubuh, kita dapat melakukan perkara yang benar seperti yang tertulis dalam Hukum.+ 5 Bagi orang yang hidup menurut keinginan tubuh, fikiran mereka tertumpu kepada keinginan tubuh,+ tetapi bagi orang yang hidup menurut bimbingan kuasa suci Tuhan, fikiran mereka tertumpu kepada hal-hal yang selaras dengan kuasa suci Tuhan.+ 6 Jika seseorang menumpukan fikirannya kepada keinginan tubuh, hal itu membawa kematian.+ Sebaliknya jika seseorang menumpukan fikirannya kepada hal-hal yang selaras dengan kuasa suci Tuhan, hal itu membawa kehidupan dan kedamaian.+ 7 Seseorang yang menumpukan fikirannya kepada keinginan tubuh menjadi musuh Tuhan+ kerana dia tidak mentaati hukum Tuhan. Sebenarnya dia tidak dapat mentaati hukum Tuhan. 8 Maka orang yang hidup menurut keinginan tubuh tidak dapat menyenangkan hati Tuhan.

9 Tetapi jika kuasa suci Tuhan benar-benar ada dalam diri kamu, kamu akan hidup menurut bimbingan kuasa suci Tuhan+ dan bukannya menurut keinginan tubuh. Sesiapa yang tidak mempunyai fikiran Kristus, orang itu bukan milik Kristus. 10 Tubuh kamu mati kerana dosa, tetapi jika kamu bersatu dengan Kristus,+ kuasa suci Tuhan akan memberi kamu kehidupan kerana kamu melakukan apa yang benar. 11 Tuhan telah menggunakan kuasa suci-Nya untuk membangkitkan Yesus daripada kematian. Jika kuasa suci-Nya ada dalam diri kamu, Tuhan yang membangkitkan Kristus Yesus daripada kematian+ juga akan menghidupkan tubuh kamu+ yang boleh mati melalui kuasa suci-Nya.

12 Saudara-saudara, kita mempunyai kewajipan, tetapi kewajipan kita bukanlah untuk menurut keinginan tubuh kita.+ 13 Hal itu demikian kerana jika kamu hidup menurut keinginan yang berdosa, kamu pasti akan mati;+ tetapi jika kamu bergantung pada kuasa suci Tuhan dan mematikan amalan yang berdosa, kamu akan hidup.+ 14 Semua orang yang dibimbing oleh kuasa suci Tuhan sememangnya ialah anak-anak Tuhan.+ 15 Kuasa suci Tuhan tidak menjadikan kita hamba atau menyebabkan kita berasa takut sekali lagi. Tetapi melalui kuasa suci-Nya, kita dijadikan anak-anak* Tuhan. Lalu kuasa suci Tuhan menggerakkan kita untuk berseru, “Abba,* Bapa!”+ 16 Kuasa suci+ Tuhan dan hati kita bersama-sama memberikan kesaksian bahawa kita ialah anak-anak Tuhan.+ 17 Memandangkan kita ialah anak-anak Tuhan, kita akan menerima warisan daripada Tuhan, dan Dia akan memberi kita warisan yang sama seperti yang diberikan kepada Kristus.+ Tetapi kita haruslah menderita seperti Kristus,+ supaya kita dimuliakan bersamanya.+

18 Aku berpendapat bahawa segala penderitaan yang kita alami sekarang tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang akan disingkapkan menerusi kita.+ 19 Semua ciptaan sangat menanti-nantikan masanya anak-anak Tuhan disingkapkan.+ 20 Semua ciptaan perlu menjalani kehidupan yang sia-sia,+ bukan menurut kehendak sendiri tetapi menurut kehendak Tuhan. Namun demikian, Tuhan telah menyediakan dasar bagi harapan mereka. 21 Maka, ciptaan dapat dibebaskan+ daripada menjadi hamba tubuh yang boleh musnah lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan. 22 Kita tahu bahawa sehingga sekarang, semua ciptaan sama-sama mengerang dan menderita kesakitan. 23 Malah, kita yang sudah menerima hasil yang pertama, iaitu kuasa suci Tuhan, juga mengerang dalam batin.+ Kita sangat menanti-nantikan masanya Tuhan menjadikan kita anak angkat-Nya+ dan membebaskan kita daripada tubuh yang berdosa melalui tebusan Kristus. 24 Hal ini demikian kerana dengan berharap, kita diselamatkan. Tetapi harapan yang kelihatan bukanlah harapan, kerana siapakah yang mengharapkan sesuatu yang sudah dilihatnya? 25 Tetapi jika kita mengharapkan+ sesuatu yang tidak kelihatan,+ kita akan terus menanti-nantikan hal itu dengan tabah.+

26 Dalam cara yang sama, kuasa suci Tuhan datang menolong kita semasa kita lemah.+ Ada kalanya, kita tidak tahu apa yang patut didoakan. Pada saat-saat sebegitu, walaupun kita tidak dapat meluahkan perasaan kita menerusi kata-kata, kuasa suci Tuhan akan merayu bagi pihak kita. 27 Tuhan yang menyelidiki hati+ semua manusia mengerti apa yang dimaksudkan oleh kuasa suci-Nya, kerana kuasa suci itu menurut kehendak-Nya dan merayu bagi pihak umat-Nya yang suci.

28 Kita tahu bahawa Tuhan memastikan semua perbuatan-Nya terlaksana dengan teratur demi kebaikan mereka yang mengasihi Tuhan, iaitu orang yang dipanggil menurut kehendak-Nya.+ 29 Tuhan telah menentukan terlebih dahulu bahawa sebagai golongan pertama yang mendapat perhatian-Nya yang khusus, mereka akan menjadi seperti Anak-Nya.+ Dengan demikian Anak itu akan menjadi Anak sulung+ antara banyak saudara.+ 30 Lagipun, mereka yang telah ditentukan terlebih dahulu+ itu juga merupakan orang yang telah dipanggil oleh-Nya,+ dan mereka yang dipanggil oleh-Nya telah mendapat perkenan-Nya.+ Akhirnya, mereka yang mendapat perkenan-Nya telah dimuliakan oleh-Nya.+

31 Oleh itu, apakah yang boleh kita katakan tentang semua perkara itu? Jika Tuhan berpihak kepada kita, siapakah yang dapat melawan kita?+ 32 Tuhan tidak menghalang Anak-Nya daripada mengalami penderitaan, tetapi menyerahkannya untuk kita semua.+ Jika begitu, sudah pasti Tuhan dan Anak-Nya akan memberi kita segala sesuatu yang lain dengan senang hati, bukan? 33 Siapakah yang dapat melontarkan tuduhan terhadap umat pilihan Tuhan?+ Tuhan sendiri yang berkenan kepada mereka.+ 34 Siapakah yang dapat menghukum mereka? Tiada sesiapa pun yang dapat berbuat demikian kerana Kristus Yesus telah mati, dibangkitkan daripada kematian, dan kini berada di sebelah kanan Tuhan.+ Dialah yang akan merayu bagi pihak kita.+

35 Apakah yang dapat memisahkan kita daripada kasih Kristus?+ Adakah kesengsaraan atau penderitaan atau penganiayaan atau kelaparan atau keadaan telanjang atau bahaya atau pedang?+ 36 Seperti yang tertulis, “Demi-Mu, kami diancam maut sepanjang hari, dan kami dilayan seperti biri-biri yang akan disembelih.”+ 37 Tetapi dalam semua hal ini, kita akan mendapat kemenangan+ yang mutlak melalui dia yang mengasihi kita. 38 Aku yakin bahawa baik kematian atau kehidupan atau malaikat-malaikat atau kerajaan atau perkara yang ada sekarang atau perkara yang akan datang atau kuasa-kuasa+ 39 atau ketinggian atau kedalaman atau mana-mana ciptaan lain, tidak dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan yang ditunjukkan melalui Kristus Yesus, Tuan kita.

9 Sebagai pengikut Kristus, aku sedang bercakap benar. Hati nuraniku dibimbing oleh kuasa suci Tuhan dan aku tidak berdusta semasa aku mengatakan bahawa 2 aku sangat berdukacita dan sangat sakit hati. 3 Demi saudara-saudaraku, iaitu mereka yang sebangsa denganku, aku sanggup dipisahkan daripada Kristus sebagai orang yang terkutuk. 4 Mereka orang Israel, dan Tuhan telah menjadikan mereka anak angkat-Nya.+ Tuhan telah membuat perjanjian-perjanjian dengan mereka, dan memberi mereka kemuliaan,+ Hukum,+ janji-janji-Nya,+ dan peluang untuk memberikan khidmat suci kepada-Nya.+ 5 Merekalah keturunan nenek moyang kita,+ dan Kristus berasal daripada keturunan mereka.+ Hendaklah Tuhan yang berkuasa atas segala sesuatu dipuji untuk selama-lamanya. Amin.

6 Meskipun demikian, hal ini tidak bermaksud bahawa apa yang difirmankan oleh Tuhan sudah gagal, kerana bukan semua orang yang berasal dari Israel ialah “orang Israel” yang sebenar.+ 7 Biarpun mereka keturunan Abraham, hal ini tidak bermaksud mereka semuanya anak Abraham yang sebenar.+ Sebaliknya ada tertulis, “Keturunanmu akan datang daripada Ishak.”+ 8 Maksudnya, bukan semua keturunan Abraham merupakan anak-anak Tuhan yang sebenar.+ Hanya anak-anak yang dilahirkan menurut janji+ Tuhan dianggap sebagai keturunan Abraham yang sebenar. 9 Hal itu demikian kerana Tuhan telah berjanji, “Pada waktu yang ditentukan, Aku akan datang dan Sara akan melahirkan seorang anak lelaki.”+ 10 Bukan itu sahaja, tetapi semasa Ishak, nenek moyang kita, menjadi bapa kepada anak kembar di dalam rahim Ribka,+ 11 Tuhan membuat pilihan sesuai dengan tujuan-Nya. Dia memilih sesiapa yang diingini-Nya, dan pilihan-Nya tidak bergantung pada perbuatan seseorang. Oleh sebab itu, sebelum kedua-dua orang anak itu lahir, dan sebelum mereka melakukan apa yang baik atau yang jahat, 12 Tuhan sudah berfirman kepada Ribka, “Yang sulung akan menjadi hamba kepada yang bongsu.”+ 13 Seperti yang tertulis, “Yakub Aku kasihi, tetapi Esau Aku benci.”+

14 Jika demikian, apakah yang dapat kita katakan? Adakah Tuhan tidak adil? Sudah pasti tidak!+ 15 Tuhan berfirman kepada Musa, “Aku akan mengasihi sesiapa sahaja yang hendak Aku kasihi, dan Aku akan menunjukkan belas kasihan kepada sesiapa sahaja yang hendak Aku tunjukkan belas kasihan.”+ 16 Oleh itu, keputusan Tuhan tidak bergantung pada keinginan ataupun daya usaha seseorang. Sebaliknya, Tuhan yang berbelas kasihan akan membuat pilihan-Nya sendiri.+ 17 Beginilah yang dikatakan dalam ayat suci mengenai Firaun:* “Aku membiarkan kamu terus hidup atas sebab ini: Untuk menunjukkan kuasa-Ku melalui kamu dan untuk mengisytiharkan nama-Ku di serata bumi.”+ 18 Jelaslah, Tuhan berbelas kasihan kepada orang yang dikehendaki-Nya tetapi Dia membiarkan orang lain berkeras kepala.+

19 Sekarang kamu akan bertanya kepadaku, “Jika tiada sesiapa pun yang dapat melawan kehendak Tuhan, mengapakah Dia masih menyalahkan manusia?” 20 Tetapi saudara-saudara, siapakah kamu sehingga berani membantah apa yang difirmankan oleh Tuhan?+ Bolehkah sebuah tembikar berkata kepada orang yang membentuknya, “Mengapakah kamu membuat aku seperti ini?”+ 21 Tidakkah tukang tembikar berhak menggunakan segumpal tanah liat+ untuk membuat dua buah tembikar, satu untuk kegunaan yang mulia dan satu lagi untuk kegunaan yang hina? 22 Orang jahat yang membangkitkan kemurkaan Tuhan bagaikan tembikar yang memang patut dibinasakan oleh-Nya. Walaupun Tuhan ingin menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kuasa-Nya kepada orang sebegini, Dia sangat bersabar terhadap mereka, 23 supaya kemuliaan-Nya yang berlimpah-limpah dinyatakan kepada tembikar yang layak menerima belas kasihan-Nya.+ Awal-awal lagi, Tuhan sudah mempersiapkan tembikar-tembikar ini supaya dimuliakan. 24 Kitalah tembikar-tembikar tersebut. Tuhan bukan sahaja memanggil kita daripada kalangan orang Yahudi, tetapi juga daripada bangsa-bangsa lain.+ 25 Dalam buku Hosea, Tuhan berfirman, “Orang yang bukan umat-Ku+ akan Aku sebut ‘umat-Ku,’ dan wanita yang tidak Aku kasihi akan Aku sebut ‘kekasih-Ku.’+ 26 Di tempat yang dahulunya Aku berkata, ‘Kamu bukan umat-Ku,’ di situlah mereka akan disebut ‘anak-anak Tuhan yang hidup.’”+

27 Selain itu, Yesaya berseru tentang orang Israel, “Walaupun bilangan orang Israel sebanyak pasir di pantai, hanya saki-baki dalam kalangan mereka yang akan diselamatkan,+ 28 kerana Yehuwa* akan menghakimi semua penduduk di bumi, dan penghakiman-Nya akan dilaksanakan secara tuntas dan singkat.”*+ 29 Yesaya juga bernubuat, “Jika Yehuwa,* ketua angkatan syurga, tidak meninggalkan keturunan bagi kita, kita sudah menjadi seperti Sodom dan Gomora.”+

30 Oleh itu, apakah yang dapat kita katakan? Walaupun bangsa-bangsa lain tidak berusaha mendapat perkenan Tuhan,+ mereka telah mendapat perkenan-Nya kerana mereka beriman.+ 31 Sebaliknya, walaupun orang Israel berusaha mematuhi hukum agar mendapat perkenan Tuhan, usaha mereka gagal. 32 Apakah sebabnya? Mereka berusaha untuk mendapat perkenan Tuhan berdasarkan perbuatan sendiri dan bukannya berdasarkan iman. Oleh itu mereka tersandung pada “batu sandungan.”+ 33 Seperti yang tertulis, “Lihatlah! Aku akan meletakkan di Sion sebuah batu sandungan dan sebuah batu+ yang menyebabkan orang terjatuh. Namun, sesiapa yang beriman kepadanya tidak akan dikecewakan.”+

10 Saudara-saudara, aku ingin agar orang Israel diselamatkan, dan aku merayu kepada Tuhan tentang hal itu.+ 2 Aku boleh memberikan kesaksian bahawa mereka berkhidmat kepada Tuhan dengan semangat yang berkobar-kobar.+ Tetapi mereka berbuat demikian tanpa pengetahuan yang tepat. 3 Oleh sebab mereka tidak mengetahui piawaian Tuhan yang adil,+ mereka berusaha membuktikan bahawa mereka diperkenankan Tuhan menurut cara mereka sendiri,+ dan mereka tidak menurut piawaian Tuhan yang adil.+ 4 Kristus sudah menyebabkan Hukum tidak lagi berkuat kuasa.+ Oleh itu, semua orang yang beriman dapat diperkenankan Tuhan.+

5 Musa menulis tentang orang yang diperkenankan Tuhan kerana mereka mematuhi Hukum: “Orang yang mematuhi Hukum akan hidup.”+ 6 Tetapi sebenarnya seseorang boleh mendapat perkenan Tuhan melalui imannya, kerana Ayat-Ayat Suci menyatakan, “Janganlah bertanya dalam hatimu,+ ‘Siapakah yang akan naik ke syurga?’+ iaitu, untuk membawa Kristus turun; 7 atau, ‘Siapakah yang akan turun ke jurang yang dalam?’+ iaitu, untuk membawa Kristus naik daripada kalangan orang mati.” 8 Apakah yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci? Ayat-Ayat Suci menyatakan, “Perkhabaran itu sangat dekat dengan kamu, seolah-olah di dalam mulut kamu dan dalam hati kamu.”+ “Perkhabaran” itu diterima melalui iman, dan kami sedang menyebarkan perkhabaran itu. 9 Jika kamu mengisytiharkan dengan mulut kamu bahawa Yesus ialah Tuan,+ dan jika kamu beriman dalam hati kamu bahawa Tuhan sudah membangkitkannya daripada kematian, kamu akan diselamatkan. 10 Dengan hati, seseorang beriman untuk mendapat perkenan Tuhan. Namun dengan mulut, seseorang mengisytiharkan perkhabaran itu di hadapan umum+ untuk mendapat penyelamatan.

11 Ada tertulis dalam ayat suci, “Sesiapa yang beriman kepadanya tidak akan dikecewakan.”+ 12 Tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani.+ Mereka semua mempunyai Tuan* yang sama, yang murah hati terhadap semua orang yang berseru kepada-Nya. 13 Hal ini demikian kerana “semua orang yang menyeru nama Yehuwa* akan diselamatkan.”+ 14 Tetapi bagaimanakah mereka dapat berseru kepada-Nya jika mereka belum beriman kepada-Nya? Bagaimanakah mereka dapat beriman kepada-Nya jika mereka tidak mengenal-Nya? Bagaimanakah mereka dapat mengenal-Nya jika tiada orang yang menyebarkan perkhabaran tentang-Nya? 15 Bagaimanakah orang dapat menyebarkan perkhabaran tentang-Nya jika mereka tidak diutus?+ Sebagaimana yang tertulis, “Betapa indahnya kaki orang yang mengkhabarkan berita baik tentang hal-hal yang baik!”+

16 Tetapi, bukan semua orang patuh kepada berita baik. Yesaya berkata, “Yehuwa,* siapakah yang mempercayai perkhabaran* yang kami sampaikan?”+ 17 Sebenarnya, orang hanya dapat beriman selepas mendengar perkhabaran itu,+ dan orang dapat mendengar perkhabaran itu kerana ada orang yang menyampaikan berita tentang Kristus. 18 Namun aku bertanya, Adakah hal itu bermaksud bahawa mereka tidak mendengar perkhabaran itu? Sudah tentu mereka mendengarnya, kerana ada tertulis, “Berita itu telah sampai ke hujung bumi, dan perkhabaran itu telah mencapai seluruh dunia.”+ 19 Namun aku bertanya: Adakah orang Israel tidak memahaminya?+ Tidak, mereka memang memahaminya. Musa pernah berkata, “Aku akan membuat kamu cemburu melalui bangsa yang lain. Aku akan membuat kamu marah melalui bangsa yang bodoh.”+ 20 Kemudian, Yesaya mengucapkan firman Tuhan dengan penuh keberanian, “Aku dijumpai oleh mereka yang tidak mencari Aku.+ Aku menyingkapkan diri kepada mereka yang tidak bertanya tentang Aku.”+ 21 Namun, mengenai orang Israel, Tuhan berfirman, “Sepanjang hari, Aku menghulurkan tangan-Ku kepada bangsa yang ingkar dan degil.”+

11 Maka, aku bertanya: Adakah Tuhan menolak umat-Nya?+ Sudah tentu tidak! Aku juga merupakan orang Israel. Aku keturunan Abraham dan berasal daripada suku Benyamin. 2 Tuhan tidak menolak umat-Nya yang diperhatikan-Nya dari mula-mula lagi.+ Tidakkah kamu tahu apa yang dinyatakan dalam ayat suci tentang Elia semasa dia mengadu kepada Tuhan mengenai orang Israel? 3 “Yehuwa,* mereka sudah membunuh nabi-nabi-Mu dan memusnahkan mazbah-mazbah-Mu. Hanya aku seorang yang tertinggal, dan sekarang mereka berusaha membunuh aku.”+ 4 Namun, apakah jawapan Tuhan kepada Elia? “Masih ada 7,000 orang umat-Ku yang tidak melutut untuk menyembah Baal.”+ 5 Demikian juga halnya sekarang: Ada saki-baki orang Israel+ yang sudah dipilih oleh Tuhan kerana kebaikan hati-Nya yang unggul. 6 Maka, pilihan Tuhan itu bukan berdasarkan perbuatan mereka,+ tetapi berdasarkan kebaikan hati yang unggul.+ Jika pilihan Tuhan itu berdasarkan perbuatan manusia, maka pilihan itu bukanlah berdasarkan kebaikan hati yang unggul.

7 Kalau begitu, apakah yang harus kita katakan? Bukan semua orang Israel mendapat apa yang didambakan oleh mereka. Hanya mereka yang dipilih oleh Tuhan yang mendapatnya.+ Yang lain sudah membiarkan hati sendiri menjadi tidak peka,+ 8 sebagaimana yang tertulis, “Tuhan telah membuat mereka tidur nyenyak.+ Sampai hari ini, mereka tidak mempunyai keupayaan untuk benar-benar memahami perkara yang sudah dilihat dan didengar.”+ 9 Daud juga berkata, “Biarlah jamuan mereka menjadi jerat, perangkap, batu sandungan, dan hukuman, untuk mereka. 10 Biarlah mata mereka diselubungi kegelapan agar mereka tidak dapat melihat, dan biarlah mereka selalu membongkok.”+

11 Maka, aku bertanya: Adakah mereka tersandung dan jatuh sehingga tidak dapat bangun? Sudah tentu tidak! Oleh sebab orang Yahudi melanggar hukum, orang daripada bangsa-bangsa lain diselamatkan supaya orang Yahudi berasa cemburu.+ 12 Jika dunia menjadi kaya kerana mereka melanggar hukum, dan jika bangsa-bangsa lain menjadi kaya kerana jumlah mereka berkurangan,+ fikirkanlah betapa banyaknya kekayaan yang terhasil apabila jumlah mereka menjadi lengkap!

13 Sekarang, aku mahu bercakap kepada kamu yang berasal daripada bangsa-bangsa lain. Oleh sebab aku merupakan rasul yang diutus kepada bangsa-bangsa lain,+ aku menganggap tugasku sebagai tugas yang mulia.+ 14 Aku mencuba membuat bangsaku sendiri cemburu agar dapat menyelamatkan beberapa orang daripada mereka. 15 Hal ini demikian kerana jika mereka ditolak oleh Tuhan,+ dunia berbaik semula dengan Tuhan. Jadi, jika mereka diterima oleh Tuhan, apakah yang akan berlaku? Keadaannya tentu seperti orang mati yang hidup semula! 16 Lagipun, jika sebahagian adunan tepung yang dianggap sebagai hasil pertama adalah suci, seluruh adunan itu juga suci. Jika akar sebatang pokok adalah suci, cabang-cabangnya juga suci.

17 Tuhan telah mengerat beberapa cabang pokok zaitun dan mencantumkan cabang pokok zaitun yang liar, iaitu kamu, di situ, supaya kamu juga menikmati segala yang baik daripada akar pokok zaitun itu. 18 Namun begitu, janganlah bersikap angkuh terhadap cabang-cabang pokok itu.+ Ingatlah bahawa bukan kamu yang menyokong akar itu, tetapi akar pokok itu yang menyokong kamu. 19 Tetapi kamu mungkin berkata, “Cabang-cabang pokok itu dikerat supaya aku dapat dicantumkan.”+ 20 Hal itu memang benar! Disebabkan mereka tidak beriman, mereka dikerat.+ Tetapi kamu tetap berada di situ kerana kamu beriman.+ Janganlah bersikap angkuh, tetapi berwaspadalah. 21 Memandangkan Tuhan tidak membenarkan cabang-cabang yang asal terus bertumbuh pada pokok itu, Tuhan juga tidak akan membenarkan kamu terus bertumbuh pada pokok itu jika kamu berkelakuan seperti mereka. 22 Lihatlah bagaimana Tuhan menunjukkan ketegasan dan kebaikan hati-Nya.+ Tuhan tegas terhadap mereka yang sudah dikerat,+ tetapi Dia baik terhadap kamu asalkan kamu terus memenuhi syarat untuk menerima kebaikan-Nya. Jika tidak, kamu juga akan dikerat. 23 Meskipun begitu, mereka yang sudah dikerat boleh dicantumkan semula jika mereka beriman,+ kerana Tuhan berkuasa untuk berbuat demikian. 24 Kamu dikerat daripada pokok zaitun liar dan dicantumkan pada pokok zaitun yang dipelihara, walaupun hal itu bertentangan dengan apa yang lazim dilakukan. Jika demikian, bukankah lebih mudah bagi Tuhan untuk mencantumkan semula cabang-cabang yang sudah dikerat pada pokok zaitun yang asal?

25 Saudara-saudara, aku mahu kamu tahu rahsia suci ini,+ supaya kamu tidak berfikir bahawa kamu tahu segala-galanya: Bagi sebahagian orang Israel, hati mereka akan menjadi tidak peka sehingga semua orang daripada bangsa-bangsa lain yang dipilih oleh Tuhan dikumpulkan. 26 Dengan cara ini, semua orang Israel+ akan diselamatkan. Seperti yang tertulis, “Penyelamat* akan datang dari Sion+ dan akan membuat keturunan Yakub meninggalkan tabiat berdosa mereka. 27 Inilah perjanjian yang Aku buat dengan mereka+ semasa Aku menyingkirkan dosa mereka.”+ 28 Memang, orang Yahudi menjadi musuh Tuhan kerana mereka menolak berita baik, dan hal itu baik untuk kamu. Namun, disebabkan janji yang dibuat oleh Tuhan dengan nenek moyang mereka, Dia telah memilih beberapa orang antara mereka untuk menjadi sahabat-Nya.+ 29 Hal itu demikian kerana Tuhan tidak mengubah fikiran-Nya tentang orang yang dipanggil-Nya dan kurniaan yang diberikan-Nya. 30 Sebelum ini, kamu tidak mematuhi Tuhan.+ Tetapi sekarang Dia berbelas kasihan terhadap kamu+ kerana orang Yahudi mengingkari-Nya.+ 31 Sekarang Tuhan berbelas kasihan terhadap kamu kerana mereka ingkar. Dia berbuat demikian supaya Dia juga dapat berbelas kasihan terhadap mereka. 32 Tuhan sudah membiarkan mereka semua menjadi seperti tahanan kerana mereka mengingkari-Nya.+ Dengan demikian Dia dapat menunjukkan belas kasihan-Nya kepada mereka semua.+

33 Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Tuhan! Tiada sesiapa pun yang dapat memahami penghakiman dan jalan-jalan Tuhan! 34 “Siapakah yang mengetahui fikiran Yehuwa,* atau siapakah yang boleh menjadi penasihat-Nya?”+ 35 Atau, “siapakah yang pernah memberi Tuhan sesuatu terlebih dahulu, sehingga Tuhan mesti membalasnya?”+ 36 Segala-galanya wujud kerana Dia, melalui Dia, dan untuk Dia. Semoga Tuhan dimuliakan buat selama-lamanya! Amin.

12 Oleh itu saudara-saudara, atas dasar belas kasihan Tuhan, aku merayu kamu supaya mempersembahkan tubuh kamu+ sebagai korban yang hidup, suci,+ dan yang menyenangkan hati Tuhan. Dengan ini, kamu menjalankan khidmat suci dengan menggunakan daya pemikiran kamu.+ 2 Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini,* tetapi ubahlah fikiran kamu+ agar kamu dapat mengetahui*+ kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.

3 Melalui kebaikan hati yang unggul yang diberikan kepada aku, aku memberitahu kamu semua agar tidak menganggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya.+ Kamu haruslah berfikiran sihat, sesuai dengan iman yang diberikan oleh Tuhan kepada kamu masing-masing.+ 4 Tubuh kita mempunyai banyak anggota,+ dan setiap anggota tubuh mempunyai tugas yang berlainan. 5 Begitu juga, walaupun kita ramai, kita semua merupakan satu tubuh yang bersatu dengan Kristus, dan kita masing-masing merupakan anggota yang dihubungkan kepada satu sama lain.+ 6 Disebabkan kebaikan hati Tuhan yang unggul, kita diberi kurnia yang berlainan.+ Oleh itu, jika kita diberi kurnia untuk bernubuat, kita harus bernubuat menurut iman yang diberikan kepada kita. 7 Jika kita diberi kurnia untuk berkhidmat kepada orang lain, kita harus terus berkhidmat kepada orang lain; jika seseorang diberi kurnia untuk mengajar, dia harus terus mengajar.+ 8 Jika seseorang diberi kurnia untuk memberikan galakan,* dia harus terus memberikan galakan;*+ jika seseorang memberikan sumbangan, dia harus melakukannya dengan murah hati;+ jika seseorang memimpin, dia harus memimpin dengan tekun;*+ jika seseorang menunjukkan belas kasihan, dia harus melakukannya dengan gembira.+

9 Kamu harus menunjukkan kasih dengan ikhlas.+ Bencilah apa yang jahat+ dan berpautlah pada apa yang baik. 10 Sepertimana adik-beradik kandung mengasihi satu sama lain, kamu juga harus saling mengasihi. Hendaklah kamu saling mendahului* untuk memberikan hormat.+ 11 Janganlah malas,* sebaliknya hendaklah kamu rajin.*+ Biarlah kuasa suci Tuhan menyemarakkan semangat kamu.+ Abdikanlah diri kepada Yehuwa.*+ 12 Bersukacitalah kerana harapan kamu. Tabahkanlah hati kamu semasa ditimpa kesengsaraan.+ Teruslah berdoa dengan tekun.+ 13 Kongsilah milik kamu dengan umat suci Tuhan menurut keperluan mereka.+ Sambutlah orang dengan ramah.+ 14 Teruslah memberkati orang yang menganiaya kamu.+ Janganlah mengutuk mereka, sebaliknya mintalah Tuhan untuk memberkati mereka.+ 15 Bersukacitalah bersama orang yang bersukacita dan menangislah bersama orang yang menangis. 16 Pandanglah orang lain sepertimana kamu memandang diri kamu sendiri. Janganlah bersikap sombong, sebaliknya hendaklah kamu sentiasa bersikap rendah hati.+ Janganlah menganggap diri kamu bijaksana.+

17 Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan terhadap sesiapa pun.+ Pertimbangkanlah apa yang dianggap baik oleh semua orang. 18 Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai dengan semua orang.+ 19 Hai saudara-saudara yang dikasihi, janganlah membalas dendam. Tetapi biarlah Tuhan memperlihatkan kemurkaan-Nya terhadap kejahatan yang dilakukan,+ kerana ada tertulis, “Yehuwa* berfirman, ‘Akulah yang akan menuntut pembalasan, dan Akulah yang akan membalas kejahatan.’”+ 20 Sebaliknya, “jika musuh kamu lapar, berilah dia makanan; jika dia dahaga, berilah dia minuman. Dengan berbuat demikian, kamu seolah-olah melonggokkan bara yang bernyala di atas kepalanya.”*+ 21 Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi teruslah kalahkan kejahatan dengan kebaikan.+

13 Setiap orang harus taat kepada pihak berkuasa,+ kerana semua kuasa datang daripada Tuhan.+ Pihak berkuasa yang ada sekarang diberi kedudukan masing-masing menurut aturan Tuhan.+ 2 Oleh itu, sesiapa yang menentang pihak berkuasa menentang aturan Tuhan, dan orang yang menentang aturan Tuhan akan membawa hukuman kepada diri sendiri. 3 Orang yang berbuat baik tidak perlu takut kepada pemerintah, hanya orang yang berbuat jahat yang harus takut kepada mereka.+ Jika kamu tidak mahu berasa takut kepada pihak berkuasa, teruslah melakukan apa yang baik,+ dan kamu akan dipuji oleh mereka. 4 Hal ini demikian kerana mereka ialah hamba Tuhan yang berkhidmat demi kebaikan kamu. Tetapi kamu harus berasa takut jika kamu berbuat jahat, kerana kuasa* yang ada dalam tangan mereka bukanlah untuk tujuan yang sia-sia. Mereka ialah hamba Tuhan yang menjatuhkan hukuman kepada orang yang sering berbuat jahat.

5 Maka, ada alasan yang kukuh bagi kamu untuk taat kepada pihak berkuasa, iaitu bukan sahaja kerana takut dihukum, tetapi juga kerana hati nurani kamu.+ 6 Itulah sebabnya kamu juga membayar cukai, kerana mereka ialah hamba Tuhan yang sentiasa berkhidmat kepada orang ramai. 7 Berikanlah kepada pihak berkuasa apa yang berhak diterima oleh mereka. Bayarlah cukai kepada orang yang meminta cukai,+ dan berikanlah ufti kepada orang yang meminta ufti. Takutlah akan orang yang harus ditakuti,+ dan hormatilah orang yang harus dihormati.+

8 Jangan berhutang apa-apa kepada sesiapa pun, tetapi kamu harus saling mengasihi,+ kerana sesiapa yang mengasihi orang lain sudah mematuhi hukum.+ 9 Hukum-hukum seperti, “Jangan berzina,+ jangan membunuh,+ jangan mencuri,+ jangan menginginkan milik orang lain,”+ dan semua hukum yang lain disimpulkan dengan kata-kata ini: “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”+ 10 Seseorang yang mempunyai kasih tidak akan berbuat jahat terhadap orang lain.+ Orang yang mengasihi orang lain sudah mematuhi hukum.+

11 Kamu harus melakukan semua ini, kerana kamu tahu bahawa sekaranglah masanya bagi kamu untuk bangun daripada tidur.+ Hal ini demikian kerana masa kita untuk diselamatkan lebih dekat sekarang berbanding semasa kita mula percaya. 12 Malam sudah larut, dan fajar akan menyingsing. Oleh itu, marilah kita membuang perbuatan-perbuatan yang dilakukan dalam kegelapan,+ dan marilah kita mengenakan senjata-senjata yang digunakan dalam terang.+ 13 Biarlah kelakuan kita baik+ seperti kelakuan orang pada siang hari. Janganlah berpesta liar dan minum sehingga mabuk. Janganlah melakukan hubungan seks yang tidak bermoral dan perkara-perkara yang buruk.*+ Janganlah berkelahi atau bersikap cemburu.+ 14 Janganlah membuat rancangan untuk memuaskan keinginan tubuh yang berdosa.+ Sebaliknya ikutlah teladan Tuan Yesus Kristus.+

14 Sambutlah orang yang lemah imannya.+ Janganlah menghakimi orang yang mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza.* 2 Ada orang yang percaya bahawa dia boleh makan apa-apa sahaja. Tetapi orang yang lemah imannya hanya makan sayur-sayuran. 3 Orang yang makan apa sahaja tidak patut memandang rendah pada orang yang hanya makan makanan tertentu, dan orang yang hanya makan makanan tertentu tidak patut menghakimi orang yang makan apa sahaja,+ kerana Tuhan sudah menerima dia. 4 Siapakah kamu sehingga kamu menghakimi hamba orang lain?+ Tuan kepada hamba itulah yang berhak untuk menentukan sama ada perbuatan hambanya betul atau salah.+ Memandangkan Yehuwa* menolong hamba itu, dia akan mendapat perkenan-Nya.

5 Ada orang yang berpendapat bahawa suatu hari tertentu lebih penting daripada hari yang lain,+ sedangkan orang lain berpendapat bahawa semua hari sama sahaja.+ Setiap orang harus yakin sepenuhnya akan keputusan masing-masing. 6 Orang yang mengutamakan hari-hari tertentu berbuat demikian untuk memuliakan Yehuwa.* Orang yang makan apa sahaja berbuat demikian untuk memuliakan Yehuwa* kerana dia mengucapkan syukur kepada Tuhan.+ Orang yang hanya makan makanan tertentu berbuat demikian untuk memuliakan Yehuwa* kerana dia juga mengucapkan syukur kepada Tuhan.+ 7 Sebenarnya, tiada seorang pun dalam kalangan kita yang hidup semata-mata untuk diri sendiri,+ dan tiada orang yang mati semata-mata untuk diri sendiri. 8 Jika kita hidup, kita hidup untuk Yehuwa.*+ Jika kita mati, kita mati untuk Yehuwa.* Sama ada kita hidup atau mati, kita milik Yehuwa.*+ 9 Kristus mati dan hidup semula supaya dia menjadi Tuan kepada orang mati dan orang hidup.+

10 Oleh itu, mengapakah kamu menghakimi saudara kamu?+ Mengapakah kamu memandang rendah pada saudara kamu? Kita semua akan berdiri di hadapan tempat pengadilan Tuhan.+ 11 Ada tertulis, “Yehuwa* berfirman, ‘Sesungguhnya,+ setiap orang akan berlutut di hadapan-Ku, dan setiap orang akan mengaku di hadapan umum bahawa Akulah Tuhan.’”+ 12 Maka, kita bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kita masing-masing.+

13 Oleh itu, jangan lagi menghakimi satu sama lain.+ Sebaliknya bertekadlah untuk tidak meletakkan batu sandungan atau batu penghalang di hadapan saudara kita.+ 14 Sebagai pengikut Tuan Yesus, aku tahu dan yakin bahawa tidak ada apa-apa pun yang pada dasarnya najis.+ Namun jika seseorang menganggap sesuatu hal najis, maka najislah hal itu baginya. 15 Jika kamu menyinggung perasaan saudara kamu disebabkan oleh apa yang kamu makan, kamu tidak lagi bertindak berdasarkan kasih.+ Janganlah hancurkan imannya dengan apa yang kamu makan, kerana Kristus sudah mati baginya.+ 16 Maka, janganlah membiarkan perkara baik yang kamu lakukan itu dikatakan sebagai sesuatu yang buruk. 17 Hal ini demikian kerana makanan dan minuman tidak menentukan sama ada seseorang akan memasuki Kerajaan Tuhan atau tidak.+ Sebaliknya, dia mesti melakukan apa yang benar, berdamai dengan orang lain, dan bersukacita. Kuasa suci Tuhan akan membantu dia untuk melakukan semua itu. 18 Sesiapa yang mengabdikan dirinya kepada Kristus dengan cara demikian diperkenankan Tuhan dan menyenangkan hati orang lain.

19 Oleh itu, hendaklah kita berusaha untuk menguatkan satu sama lain+ dan melakukan perkara yang membawa perdamaian.+ 20 Jangan lagi meruntuhkan pekerjaan Tuhan semata-mata kerana makanan.+ Segala sesuatu sememangnya tidak najis, tetapi jika apa yang kita makan membuat orang lain tersandung, hal itu tidak baik.*+ 21 Lebih baik tidak makan daging, minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan saudara kamu tersandung.+ 22 Apa yang kamu percayai merupakan hal antara kamu dengan Tuhan. Berbahagialah orang yang tidak menyalahkan dirinya sendiri setelah dia melakukan apa yang dianggapnya benar. 23 Tetapi jika seseorang meragui apa yang telah dimakannya, dia sudah bersalah kerana perbuatannya itu tidak berdasarkan iman. Sesungguhnya, apa-apa perbuatan yang tidak berdasarkan iman ialah dosa.

15 Namun begitu, kita yang kuat haruslah menanggung kelemahan orang yang tidak kuat.+ Janganlah kita menyenangkan diri sendiri sahaja.+ 2 Hendaklah kita masing-masing menyenangkan hati orang lain demi kebaikan mereka, supaya mereka dikuatkan.+ 3 Kita harus berbuat demikian kerana Kristus pun tidak menyenangkan dirinya sendiri.+ Sebaliknya seperti yang tertulis, “Aku sudah menanggung segala celaan yang ditujukan kepada-Mu.”+ 4 Segala yang tertulis sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita,+ supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita+ dan membantu kita bertabah hati.+ 5 Semoga Tuhan yang memberi kamu ketabahan dan kelegaan hati, membolehkan kamu semua memiliki fikiran dan sikap yang dimiliki Kristus Yesus, 6 agar kamu bersatu padu+ dan dengan sebulat suara memuliakan Tuhan, iaitu Bapa kepada Tuan kita, Yesus Kristus.

7 Oleh itu, sambutlah* satu sama lain+ sebagaimana Kristus telah menyambut kamu,+ supaya Tuhan dimuliakan. 8 Aku memberitahu kamu bahawa Kristus telah menjadi hamba kepada mereka yang disunat,+ supaya dia dapat menunjukkan bahawa firman Tuhan sentiasa benar, supaya dia dapat memberikan jaminan bahawa Tuhan akan menunaikan janji yang dibuat oleh-Nya dengan nenek moyang mereka,+ 9 dan supaya bangsa-bangsa lain memuliakan Tuhan kerana belas kasihan-Nya.+ Seperti yang tertulis, “Itulah sebabnya aku akan memuji Engkau dalam kalangan bangsa-bangsa lain, dan aku akan bernyanyi untuk memuji nama-Mu.”+ 10 Ada tertulis juga, “Bergembiralah bersama umat Tuhan, hai bangsa-bangsa.”+ 11 Ada tertulis pula, “Hai segala bangsa, pujilah Yehuwa.* Hendaklah semua orang memuji-Nya.”+ 12 Selain itu, Yesaya berkata, “Seorang daripada keturunan* Isai+ akan bangkit untuk memerintah bangsa-bangsa,+ dan bangsa-bangsa akan berharap kepadanya.”+ 13 Semoga Tuhan yang memberi kamu harapan, mengurniai kamu sukacita dan kedamaian yang melimpah kerana kamu percaya kepada-Nya, supaya dengan kuasa suci Tuhan, harapan kamu bertambah kukuh.+

14 Saudara-saudaraku, aku yakin bahawa kamu sangat baik dan memiliki pengetahuan tentang banyak perkara. Kamu juga dapat saling menasihati.* 15 Namun, aku telah menulis kepada kamu dengan lebih terus terang tentang beberapa perkara untuk mengingatkan kamu sekali lagi. Aku berbuat demikian kerana Tuhan telah menunjukkan kebaikan hati yang unggul kepadaku, 16 agar aku menjadi hamba Kristus Yesus, yang diutus untuk menyampaikan berita baik Tuhan kepada bangsa-bangsa lain. Aku menjalankan tugas suci ini+ supaya bangsa-bangsa lain diterima oleh Tuhan sebagai suatu persembahan yang telah disucikan oleh kuasa suci-Nya.

17 Oleh itu, aku berbangga kerana aku ialah pengikut Kristus Yesus dan kerana aku berkhidmat kepada Tuhan. 18 Aku tidak berani bercakap tentang hal lain, kecuali hal yang telah dilakukan oleh Kristus melalui aku supaya bangsa-bangsa lain patuh kepadanya. Dia telah berbuat demikian menerusi pertuturan dan perbuatanku, 19 menerusi keajaiban dan mukjizat,+ dan menerusi kuasa suci Tuhan. Maka, aku telah menyebarkan berita baik tentang Kristus dengan menyeluruh sepanjang perjalananku dari Yerusalem sampai ke Ilirikum.+ 20 Aku bermatlamat untuk mengisytiharkan berita baik di mana sahaja orang belum mendengar tentang nama Kristus, supaya aku tidak membina di atas asas yang diletakkan oleh orang lain. 21 Hal ini selaras dengan apa yang tertulis, “Mereka yang belum pernah diberitahu tentangnya akan melihat, dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti.”+

22 Itulah sebabnya sudah banyak kali aku dihalang daripada datang kepada kamu. 23 Namun sekarang, tiada lagi tempat yang belum aku kunjungi di kawasan ini. Lagipun, sudah lama* aku sangat ingin datang kepada kamu. 24 Oleh itu, aku berharap dapat berjumpa dengan kamu dalam perjalananku ke Sepanyol, supaya aku dapat menikmati pergaulan dengan kamu untuk seketika waktu. Selepas itu, aku berharap kamu dapat menemani aku untuk sebahagian perjalananku semasa aku meneruskan perjalanan ke Sepanyol. 25 Tetapi sekarang aku hendak pergi ke Yerusalem untuk memberikan bantuan kepada umat suci Tuhan.+ 26 Saudara-saudara di Makedonia dan Akhaya dengan sukacita berkongsi milik mereka dengan memberikan sumbangan kepada orang miskin dalam kalangan umat suci di Yerusalem.+ 27 Mereka memang berbuat demikian dengan sukacita, tetapi sebenarnya mereka berhutang kepada umat suci Tuhan di Yerusalem. Oleh sebab bangsa-bangsa lain telah menerima berkat rohani daripada umat suci Tuhan di Yerusalem, mereka juga wajib menyumbangkan harta milik mereka untuk membantu umat suci Tuhan di Yerusalem.+ 28 Maka, selepas aku menyerahkan sumbangan ini dengan selamat kepada mereka, aku akan melawat kamu dalam perjalananku ke Sepanyol. 29 Aku juga tahu bahawa apabila aku datang, aku akan membawa berkat yang berlimpah-limpah daripada Kristus kepada kamu.

30 Saudara-saudara, demi Tuan kita, Yesus Kristus, dan demi kasih yang dikurniakan menerusi kuasa suci Tuhan, aku menggesa kamu supaya berusaha bersungguh-sungguh bersama aku untuk berdoa kepada Tuhan bagiku,+ 31 supaya aku diselamatkan+ daripada orang di Yudea yang tidak percaya kepada Yesus, dan supaya umat suci di Yerusalem+ senang hati dengan bantuan yang aku berikan kepada mereka. 32 Dengan demikian, jika Tuhan mengizinkan, aku akan datang kepada kamu dengan sukacita dan disegarkan bersama-sama kamu. 33 Semoga Tuhan yang memberikan kedamaian menyertai kamu semua.+ Amin.

16 Aku ingin memperkenalkan kepada kamu saudari kita, Fibi, yang berkhidmat di sidang di Kenkrea.+ 2 Sambutlah dia sebagai salah seorang rakan seiman yang percaya kepada Tuan Yesus. Sambutlah dia sebagaimana kamu menyambut umat suci Tuhan. Bantulah dia jika dia memerlukan apa-apa bantuan,+ kerana dia sudah membantu banyak orang, termasuk aku sendiri.

3 Sampaikan salamku kepada Priska dan Akwila,+ yang bekerja bersama-samaku untuk Kristus Yesus. 4 Mereka mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan aku.+ Bukan aku sahaja, tetapi semua orang dalam sidang bangsa-bangsa lain juga berterima kasih kepada mereka. 5 Sampaikan salam kepada sidang yang berkumpul di rumah mereka.+ Sampaikan salam kepada Epenetus yang aku kasihi. Dia merupakan salah seorang pengikut Kristus yang pertama di Asia. 6 Sampaikan salam kepada Maria yang sudah bekerja keras bagi kamu. 7 Sampaikan salam kepada sanak saudaraku,+ Andronikus dan Yunias, yang pernah dipenjarakan bersamaku. Mereka dipandang tinggi oleh rasul-rasul dan mereka lebih lama menjadi pengikut Kristus daripada aku.

8 Sampaikan salamku kepada Ampliatus yang aku kasihi, dan yang mengikut Tuan Yesus. 9 Sampaikan salam kepada Urbanus, yang bekerja bersama-sama kita untuk Kristus, dan kepada Stakhis yang aku kasihi. 10 Sampaikan salam kepada Apeles, yang setia kepada Kristus. Sampaikan salam kepada seisi rumah tangga Aristobulus. 11 Sampaikan salam kepada Herodion, salah seorang sanak saudaraku. Sampaikan salam kepada seisi rumah tangga Narkisus yang mengikut Tuan Yesus. 12 Sampaikan salam kepada Trifena dan Trifosa, wanita-wanita yang bekerja keras untuk Tuan Yesus. Sampaikan salam kepada Persis yang kita kasihi, kerana dia sudah bekerja keras untuk Tuan Yesus. 13 Sampaikan salam kepada Rufus, hamba terpuji yang dipilih oleh Tuan Yesus, dan kepada ibunya, yang aku anggap sebagai ibuku sendiri. 14 Sampaikan salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas, dan saudara-saudara lain yang ada bersama mereka. 15 Sampaikan salam kepada Filologus dan Yulia, kepada Nereus dan adik perempuannya,* kepada Olimpas, dan kepada semua umat suci yang ada bersama mereka. 16 Sambutlah satu sama lain dengan ciuman.* Semua orang dalam sidang Kristus menyampaikan salam mereka kepada kamu.

17 Saudara-saudara, aku menggesa kamu agar terus berwaspada terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan yang menyebabkan orang lain tersandung. Perbuatan mereka berlawanan dengan apa yang sudah kamu pelajari. Jauhkanlah diri kamu daripada mereka,+ 18 kerana orang sedemikian ialah hamba kepada keinginan* sendiri, dan bukan kepada Tuan Kristus. Mereka mengampu dan menggunakan kata-kata yang manis untuk menipu orang yang naif.* 19 Kepatuhan kamu sudah diketahui semua, dan aku bersukacita bagi pihak kamu. Namun, aku mahu kamu menjadi bijaksana supaya kamu tahu apa yang baik dan tidak dinodai apa yang jahat.+ 20 Tuhan yang memberikan kedamaian akan menghancurkan Syaitan+ di bawah kaki kamu tidak lama lagi. Semoga kebaikan hati Tuan Yesus yang unggul menyertai kamu.

21 Timotius, rakan sekerjaku, mengirim salam kepada kamu. Demikian juga Lukius, Yason, dan Sosipater, sanak saudaraku.+

22 Aku, Tertius, yang menulis surat ini bagi pihak Paulus, mengirim salam Kristian kepada kamu.

23 Gayus+ mengirim salam kepada kamu. Aku menumpang di rumahnya dan sidang juga berkumpul di rumahnya. Erastus yang merupakan bendahari kota dan adik lelakinya,* Kuartus, mengirim salam kepada kamu. 24* ——

25 Berita baik yang aku isytiharkan dan perkhabaran tentang Yesus Kristus menunjukkan bahawa Tuhan dapat meneguhkan kamu. Berita baik ini berkaitan dengan rahsia suci+ yang telah disingkapkan. Rahsia ini tersembunyi untuk jangka masa yang sangat lama, 26 tetapi rahsia ini kini disingkapkan dan diisytiharkan dalam kalangan semua bangsa melalui Ayat-Ayat Suci yang ditulis oleh para nabi. Hal ini sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Tuhan yang kekal agar semua bangsa beriman dan patuh kepada-Nya. 27 Semoga satu-satunya Tuhan yang bijaksana+ dimuliakan untuk selama-lamanya melalui Yesus Kristus. Amin.

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Harfiah, “kami.”

Atau “Aku berhutang.”

Atau “orang bukan Yunani.”

Atau “dan binatang menjalar.”

Atau “hukuman.”

Atau “enggan mengakui.”

Atau “rangka kebenaran dan pengetahuan.”

Atau “dapat diampuni.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “diampunkan.” Harfiah, “ditutupi.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “jaminan; pengesahan.”

Atau mungkin, “Dialah yang mewujudkan perkara yang tidak wujud.”

Atau mungkin, “Maka, kita dapat berdamai.”

Atau mungkin, “tetapi kita bersukacita.”

Atau “dibebaskan; diampunkan.”

Harfiah, “kamu dijadikan mati kepada Hukum.”

Harfiah, “dosa?”

“Apa yang baik” merujuk kepada Hukum Tuhan.

Atau “manusia yang berdosa.”

Atau “anak-anak angkat.”

Perkataan bahasa Ibrani atau Aram yang bermaksud “Ya Bapa!”

Gelaran bagi raja Mesir.

Lihat Lampiran A5.

Atau “dilaksanakan dengan cepat.”

Lihat Lampiran A5.

Yunani, Kyʹri·os. Dalam konteks ini, gelaran “Tuan” boleh merujuk kepada Tuhan atau Yesus.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “laporan.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “Pembebas.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”

Atau “dapat membuktikan kepada diri sendiri.”

Atau “nasihat.”

Atau “nasihat.”

Atau “bersungguh-sungguh.”

Atau “mengambil inisiatif.”

Atau “Janganlah berlengah-lengah semasa melakukan urusan kamu.”

Atau “tekun; mempunyai semangat yang berkobar-kobar.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Iaitu, untuk melembutkan hati seseorang dan meredakan kemarahannya.

Harfiah, “pedang.”

Bentuk jamak bagi perkataan Yunani a·selʹgei·a. Lihat Kamus.

Atau mungkin, “orang yang ragu-ragu dalam hatinya.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “hal itu memudaratkan.”

Atau “terimalah.”

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “akar.”

Atau “mengajar.”

Atau mungkin, “beberapa tahun.”

Atau mungkin, “kakaknya.” Perkataan Yunani yang digunakan boleh merujuk kepada adik perempuan atau kakak.

Harfiah, “ciuman suci.” Dahulu orang Kristian mencium satu sama lain semasa bersalaman.

Atau “perut.”

Atau “lurus hati.”

Atau mungkin, “abangnya.” Perkataan Yunani yang digunakan boleh merujuk kepada adik lelaki atau abang.

Lihat Lampiran A3.

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi