SURAT PERTAMA KEPADA SIDANG DI TESALONIKA
1 Surat ini daripada Paulus, Silvanus,*+ dan Timotius.+ Surat ini ditujukan kepada sidang di Tesalonika yang bersatu dengan Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus:
Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian.
2 Kami sentiasa bersyukur kepada Tuhan semasa kami menyebut kamu semua dalam doa kami.+ 3 Semasa kami menghadap Tuhan, Bapa kita, kami terus mengingati perbuatan kamu yang didorong oleh iman, dan kerja keras kamu yang didorong oleh kasih. Kami juga tidak pernah lupa tentang ketabahan yang kamu tunjukkan kerana kamu berharap+ kepada Tuan kita, Yesus Kristus. 4 Saudara-saudara yang dikasihi oleh Tuhan, kami tahu bahawa Tuhan telah memilih kamu, 5 kerana kami telah menyebarkan berita baik kepada kamu, bukan dengan kata-kata sahaja, tetapi juga dengan kuasa suci Tuhan* dan dengan keyakinan yang teguh. Hal itu telah memberikan kesan yang mendalam kepada kamu. Kamu sendiri mengetahui apa yang telah kami lakukan demi kamu semasa kami berada dalam kalangan kamu. 6 Kamu telah mengikut teladan kami+ dan teladan Tuan kita,+ kerana kamu menerima firman Tuhan dengan sukacita yang datang daripada kuasa suci Tuhan, meskipun kamu menanggung banyak penderitaan.+ 7 Dengan demikian kamu menjadi teladan kepada semua pengikut Yesus di Makedonia dan Akhaya.
8 Sebenarnya, bukan sahaja orang di Makedonia dan Akhaya yang telah mendengar tentang firman Yehuwa* melalui kamu. Orang di merata-rata tempat juga telah mendengar laporan tentang iman kamu kepada Tuhan.+ Oleh itu, kami tidak perlu berkata apa-apa lagi. 9 Mereka terus melaporkan tentang pertemuan pertama kami dengan kamu, dan bagaimana kamu telah berpaling daripada berhala+ lalu menjadi hamba kepada Tuhan yang hidup dan benar. 10 Mereka juga melaporkan bahawa kamu menantikan kedatangan Anak Tuhan dari syurga,+ iaitu Yesus. Dia telah dibangkitkan oleh Tuhan daripada kematian, dan dialah yang menyelamatkan kita daripada kemurkaan Tuhan yang akan datang.+
2 Saudara-saudara, kamu sendiri tentu tahu bahawa lawatan kami kepada kamu tidak sia-sia.+ 2 Walaupun mula-mula kami telah menderita dan dihina di Filipi,+ seperti yang kamu tahu, Tuhan kita telah mengurniai kami keberanian untuk memberitahu kamu berita baik tentang-Nya,+ meskipun kami menghadapi banyak tentangan.* 3 Nasihat yang kami berikan tidak berdasarkan kepalsuan. Kami juga tidak berniat jahat atau menggunakan tipu daya semasa memberikan nasihat. 4 Sebaliknya, memandangkan Tuhan menganggap kami layak untuk diamanahkan kerja menyebarkan berita baik, kami bercakap, bukan untuk menyenangkan hati orang, tetapi untuk menyenangkan hati Tuhan, iaitu Dia yang menyelidiki hati kami.+
5 Sebenarnya, kamu tahu bahawa kami tidak pernah menggunakan kata-kata yang mengampu, atau berpura-pura kerana mempunyai niat yang tamak.+ Tuhan ialah saksi kami dalam hal ini! 6 Kami juga tidak pernah mencari kemuliaan daripada sesiapa pun, baik daripada kamu mahupun orang lain, meskipun kami boleh menjadi beban yang berat kepada kamu dari segi kewangan kerana kami ialah rasul-rasul Kristus.+ 7 Sebaliknya, kami bersikap lemah lembut dalam kalangan kamu, sebagaimana seorang ibu menyusui dan menjaga anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. 8 Oleh sebab kami begitu mengasihi kamu, kami bukan sahaja bertekad* untuk menyampaikan berita baik tentang Tuhan kepada kamu, malah kami juga bertekad untuk menyerahkan jiwa kami+ kerana kami sangat menyayangi kamu.+
9 Saudara-saudara, tentu kamu ingat bagaimana kami bekerja keras dan bertungkus lumus. Semasa kami menyebarkan berita baik tentang Tuhan kepada kamu, kami bekerja siang dan malam, supaya kami tidak menjadi beban yang berat dari segi kewangan kepada sesiapa pun dalam kalangan kamu.+ 10 Kamulah saksi kami, demikian juga Tuhan, bahawa kelakuan kami setia, benar, dan murni terhadap kamu yang percaya kepada Kristus. 11 Kamu tahu benar bahawa kami memperlakukan kamu sebagaimana seorang bapa+ memperlakukan anak-anaknya. Kami sentiasa menggesa kamu, melegakan hati kamu, dan menasihati kamu,+ 12 supaya kamu terus berjalan dalam cara yang menyenangkan hati Tuhan.+ Dialah yang memanggil kamu untuk memasuki Kerajaan-Nya+ dan menerima kemuliaan-Nya.+
13 Itulah sebabnya kami juga tidak henti-henti mengucapkan syukur kepada Tuhan,+ kerana semasa kami menyampaikan perkhabaran Tuhan kepada kamu, kamu telah mendengar lalu menerimanya, bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Tuhan. Perkhabaran itu benar-benar daripada Tuhan, dan sedang bekerja dalam diri kamu yang percaya kepada Kristus. 14 Saudara-saudara, kamu telah mengikut teladan sidang-sidang Tuhan di Yudea yang bersatu dengan Kristus Yesus. Sebagaimana mereka menderita di tangan orang Yahudi, kamu juga menderita di tangan orang yang sebangsa dengan kamu.+ 15 Orang Yahudi bahkan membunuh Tuan Yesus+ dan para nabi, dan mereka juga menganiaya kami.+ Selain itu, mereka tidak menyenangkan hati Tuhan dan menentang semua orang. 16 Mereka mencuba menghalang kami daripada menyebarkan berita baik kepada bangsa-bangsa lain, padahal kerja ini dapat menyelamatkan orang daripada bangsa-bangsa lain.+ Demikianlah orang Yahudi terus melakukan banyak dosa, tetapi akhirnya kemurkaan Tuhan menimpa mereka.+
17 Namun, saudara-saudara, semasa kami terpisah daripada* kamu untuk waktu yang singkat (kamu jauh di mata, tetapi dekat di hati), kami berusaha dengan sedaya upaya agar dapat berjumpa dengan kamu, kerana kami teringin sekali berbuat demikian. 18 Itulah sebabnya kami ingin datang kepada kamu. Aku, Paulus, pernah berusaha dua kali untuk datang kepada kamu, tetapi Syaitan menghalang jalan kami. 19 Bukankah kamu yang menjadi harapan, sukacita, dan mahkota yang kami banggakan di hadapan Tuan kita, Yesus Kristus, semasa kehadirannya?+ 20 Sesungguhnya kamulah kemuliaan dan sukacita kami.
3 Oleh itu, apabila kerinduan kami terhadap kamu tidak tertahan lagi, kami berfikir bahawa adalah lebih baik untuk tetap tinggal di Atena+ 2 dan mengutus Timotius+ kepada kamu. Dia saudara kita dan hamba Tuhan* yang menyebarkan berita baik tentang Kristus. Kami mengutus dia untuk meneguhkan* kamu dan melegakan hati kamu, supaya iman kamu menjadi kukuh. 3 Dengan demikian tidak seorang pun daripada kamu digoyahkan oleh kesengsaraan sebegini. Kamu sendiri tahu bahawa kita tidak dapat mengelakkan penganiayaan sedemikian.*+ 4 Semasa kami bersama-sama kamu, awal-awal lagi kami telah memberitahu kamu bahawa kita akan menghadapi kesengsaraan, dan kamu sendiri tahu bahawa hal itu memang berlaku.+ 5 Itulah sebabnya apabila kerinduanku terhadap kamu tidak tertahan lagi, aku mengutus Timotius kepada kamu untuk mengetahui sama ada kamu masih setia atau tidak,+ kerana aku khuatir kalau-kalau Si Penggoda+ telah menggoda kamu sehingga kerja keras kami menjadi sia-sia sahaja.
6 Tetapi sekarang Timotius baru sahaja kembali kepada kami setelah melawat kamu,+ dan dia telah membawa berita baik tentang kesetiaan dan kasih kamu. Dia juga memberitahu kami bahawa kamu sentiasa gembira apabila mengenang kami, dan bahawa kamu sangat ingin berjumpa dengan kami sebagaimana kami juga sangat ingin berjumpa dengan kamu. 7 Itulah sebabnya, saudara-saudara, dalam segala penderitaan* dan kesengsaraan kami, kami telah mendapat kelegaan hati kerana kamu dan kerana kesetiaan yang kamu tunjukkan.+ 8 Kami diberi nafas hidup yang baharu jika kamu berdiri teguh sebagai pengikut Tuan kita. 9 Alangkah bersyukurnya kami kepada Tuhan untuk kamu! Hal ini demikian kerana kamu telah menyebabkan kami sangat bersukacita di hadapan-Nya. 10 Siang dan malam kami merayu kepada Tuhan agar kami dapat bertemu dengan kamu, dan agar kami dapat memberi kamu apa yang diperlukan untuk menguatkan iman kamu.+
11 Semoga Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus, membuka jalan bagi kami agar kami dapat datang kepada kamu. 12 Selain itu, semoga Tuan kita menyebabkan kasih kamu terhadap satu sama lain+ dan terhadap semua orang semakin bertambah dan semakin melimpah, sebagaimana kasih kami terhadap kamu juga berlimpah-limpah. 13 Dengan demikian, dia akan menguatkan hati kamu dan menjadikan kamu tidak bercela dan suci di hadapan Tuhan+ dan Bapa kita pada waktu Tuan Yesus+ hadir bersama semua umatnya yang suci.
4 Akhirnya saudara-saudara, atas nama Tuan Yesus, kami memohon dan merayu kamu agar hidup dalam cara yang menyenangkan hati Tuhan+ sebagaimana yang telah kami beritahukan kepada kamu. Memang demikianlah cara hidup kamu, tetapi teruslah berbuat demikian dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. 2 Hal ini demikian kerana kamu mengetahui arahan* yang telah kami berikan kepada kamu atas nama Tuan Yesus.
3 Kehendak Tuhan adalah supaya kamu menjadi suci+ dan menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral.*+ 4 Kamu masing-masing harus tahu bagaimana mengawal tubuh* sendiri+ supaya kamu tetap suci+ dan diperkenankan Tuhan.* 5 Kamu tidak patut mengikut bangsa-bangsa yang tidak mengenal Tuhan,+ yang menuruti nafsu seks yang tidak terkawal+ tanpa rasa puas. 6 Dalam hal ini, janganlah ada orang yang melampaui batas dan mengambil kesempatan atas saudaranya, kerana Yehuwa* akan menghukum orang yang melakukan hal-hal sedemikian. Sebelum ini, kami sudah memberitahu kamu tentang hal itu dan memberikan amaran yang tegas kepada kamu. 7 Tuhan telah memanggil kita supaya kita menjadi suci+ dan bukannya supaya kita menjadi najis. 8 Oleh itu, orang yang menolak ajaran ini, bukannya menolak manusia, tetapi menolak Tuhan+ yang mengurniai kamu kuasa suci-Nya.+
9 Namun, kami tidak perlu menulis kepada kamu tentang bagaimana kamu harus mengasihi saudara-saudara seiman,+ kerana kamu sendiri diajar oleh Tuhan untuk saling mengasihi.+ 10 Sebenarnya, kamu sedang berbuat demikian terhadap semua saudara di seluruh Makedonia. Tetapi saudara-saudara, kami menggesa kamu semua agar terus melakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. 11 Seperti yang telah kami arahkan, berusahalah dengan sebaik-baiknya untuk hidup dengan damai+ tanpa mencampuri urusan orang lain,+ dan bekerjalah dengan tangan kamu sendiri.+ 12 Dengan demikian kamu tidak akan kekurangan apa-apa, dan orang luar+ akan nampak bahawa kamu mengamalkan cara hidup yang baik.
13 Selain itu, saudara-saudara, kami ingin kamu mengetahui apa yang menantikan orang yang sudah tidur dalam kematian,+ supaya kamu tidak bersedih hati seperti orang lain yang tidak mempunyai harapan.+ 14 Jika kita percaya bahawa Yesus telah mati dan dibangkitkan,+ kita juga patut percaya bahawa pengikut Yesus yang setia, yang sudah tidur dalam kematian, akan dikumpulkan oleh Tuhan supaya mereka dapat bersama-sama Yesus.+ 15 Kami memberitahu kamu berdasarkan firman Yehuwa* bahawa semasa kehadiran Tuan kita, kita yang masih hidup sama sekali tidak akan mendahului mereka yang sudah tidur dalam kematian, 16 kerana Tuan kita akan turun dari syurga sambil memegang trompet Tuhan. Dia akan berseru dengan suara yang lantang, dengan suara ketua malaikat,+ dan pengikut Kristus yang sudah meninggal akan bangkit terlebih dahulu.+ 17 Selepas itu, kita yang masih hidup akan dibawa bersama-sama mereka di dalam awan+ untuk berjumpa dengan Tuan kita+ di langit. Dengan demikian, kita akan sentiasa bersama-sama Tuan kita.+ 18 Oleh itu, teruslah melegakan hati satu sama lain dengan kata-kata ini.
5 Saudara-saudara, tidak ada apa-apa yang perlu dituliskan kepada kamu tentang masa dan waktu, 2 kerana kamu sendiri tahu benar bahawa hari Yehuwa*+ akan datang seperti pencuri datang pada waktu malam.+ 3 Apabila orang berkata, “Semuanya damai dan selamat!” pada waktu itulah kebinasaan akan tiba-tiba menimpa mereka+ seperti sakit yang dialami oleh seorang wanita yang hampir bersalin. Mereka sama sekali tidak dapat melepaskan diri. 4 Tetapi kamu, saudara-saudara, kamu tidak hidup dalam kegelapan sehingga hari itu tiba-tiba menimpa kamu sebagaimana siang hari tiba-tiba menimpa pencuri, 5 kerana kamu semua anak-anak cahaya dan anak-anak siang hari.+ Kita bukan milik malam dan bukan milik kegelapan.+
6 Maka, janganlah kita terus tidur seperti orang lain.+ Sebaliknya, marilah kita tetap berjaga-jaga+ dan memelihara daya pemikiran kita,+ 7 kerana mereka yang tidur, tidur pada waktu malam, dan mereka yang mabuk, mabuk pada waktu malam.+ 8 Tetapi bagi kita yang merupakan milik siang hari, hendaklah kita terus memelihara daya pemikiran kita, mengenakan perisai dada iaitu iman dan kasih, dan mengenakan topi besi iaitu harapan penyelamatan.+ 9 Hal ini demikian kerana Tuhan tidak memilih kita untuk merasai kemurkaan-Nya. Sebaliknya Dia memilih kita agar kita diselamatkan+ melalui Tuan kita, Yesus Kristus. 10 Tidak kira sama ada kita berjaga atau tidur,* Yesus mati untuk kita+ supaya kita boleh hidup bersamanya.+ 11 Oleh itu, teruslah menggalakkan* dan menguatkan satu sama lain,+ sebagaimana yang sedang kamu lakukan.
12 Saudara-saudara, kami memohon kepada kamu agar kamu menunjukkan hormat kepada mereka yang bekerja keras dalam kalangan kamu dan yang mengambil pimpinan dalam kerja Tuan kita serta yang menasihati kamu. 13 Tunjukkanlah hormat dan kasih yang lebih mendalam kepada mereka kerana kerja yang dilakukan oleh mereka.+ Teruslah berdamai dengan satu sama lain.+ 14 Saudara-saudara, kami juga menggesa kamu agar memberikan amaran kepada* orang yang tidak bertatatertib,*+ mengucapkan kata-kata yang melegakan hati kepada orang yang murung,* memberikan sokongan kepada orang yang lemah, dan bersabar terhadap semua orang.+ 15 Pastikanlah agar tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang membalas kejahatan dengan kejahatan kepada sesiapa pun.+ Sebaliknya kamu harus sentiasa berusaha melakukan apa yang baik terhadap satu sama lain dan terhadap semua orang yang lain.+
16 Hendaklah kamu sentiasa bersukacita.+ 17 Berdoalah sentiasa.+ 18 Ucapkanlah syukur untuk segala sesuatu.+ Itulah kehendak Tuhan bagi kamu semua yang merupakan pengikut Kristus Yesus. 19 Janganlah padamkan api kuasa suci Tuhan.+ 20 Janganlah memandang hina pada nubuat-nubuat yang disampaikan.+ 21 Periksalah semua perkara,+ dan berpautlah pada apa yang baik. 22 Jauhilah segala bentuk kejahatan.+
23 Semoga Tuhan yang memberikan kedamaian menyucikan kamu semua dengan sepenuhnya. Saudara-saudara, semoga sikap, jiwa,* dan tubuh kamu, tetap murni dan tidak bercela dalam segala hal pada waktu kehadiran Tuan Yesus Kristus.+ 24 Dia yang memanggil kamu itu setia, dan Dia pasti akan berbuat demikian.
25 Saudara-saudara, teruslah berdoa untuk kami.+
26 Sambutlah semua saudara dengan ciuman.*
27 Atas nama Tuan kita, aku mewajibkan kamu agar membacakan surat ini kepada semua saudara.+
28 Semoga kebaikan hati Tuan Yesus Kristus yang unggul menyertai kamu semua.
Juga dipanggil Silas.
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Lihat Lampiran A5.
Atau mungkin, “pergelutan.”
Harfiah, “senang hati.”
Atau “terpaksa meninggalkan.”
Atau mungkin, “dan rakan sekerja Tuhan.”
Atau “menguatkan.”
Atau “kita dilantik untuk hal ini.”
Atau “kekurangan.”
Atau “perintah.”
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Harfiah, “bejana.”
Atau “dihormati orang.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Atau “tidur dalam kematian.”
Atau “melegakan hati.”
Atau “agar menasihati.”
Boleh merujuk kepada orang yang tidak hidup selaras dengan prinsip-prinsip Tuhan.
Atau “yang tawar hati.”
Atau “kehidupan.” Lihat Kamus.
Harfiah, “ciuman suci.” Dahulu orang Kristian mencium satu sama lain semasa bersalaman.