SURAT PERTAMA KEPADA TIMOTIUS
1 Aku, Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus di bawah perintah Tuhan, Penyelamat kita, dan juga di bawah perintah Kristus Yesus, harapan kita,+ 2 menulis surat ini kepada Timotius,*+ seorang anak yang sejati+ dalam iman:
Semoga kamu dikurniai kebaikan hati yang unggul, belas kasihan, dan kedamaian, daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan kita, Kristus Yesus.
3 Sepertimana aku pernah menggalakkan kamu untuk tinggal di Efesus semasa aku hendak pergi ke Makedonia, sekarang aku juga menggalakkan kamu untuk melakukan hal yang sama, agar kamu dapat memberikan perintah kepada orang tertentu supaya tidak menyebarkan ajaran yang berbeza 4 dan tidak memberikan perhatian kepada cerita-cerita palsu+ dan pertikaian tentang salasilah keluarga. Semua itu sia-sia belaka,+ dan hanya menimbulkan persoalan, serta tidak berkaitan dengan pemberian Tuhan yang disediakan untuk menguatkan iman kita. 5 Sebenarnya, tujuan perintah* ini adalah supaya kita mempunyai kasih+ yang berasal daripada hati yang bersih, hati nurani yang murni, dan iman+ yang tulus. 6 Beberapa orang sudah menyimpang daripada hal-hal itu lalu berpaling kepada perbincangan yang tidak bermakna.+ 7 Mereka mahu menjadi guru-guru+ hukum, tetapi mereka tidak memahami kata-kata mereka sendiri atau hal-hal yang dinyatakan oleh mereka dengan penuh keyakinan.
8 Kita tahu bahawa Hukum itu baik, jika seseorang menerapkannya dengan betul. 9 Ketahuilah bahawa hukum tidak dibuat untuk orang yang melakukan apa yang benar, tetapi untuk orang yang melanggar hukum+ dan yang suka memberontak, orang yang tidak menghormati Tuhan dan yang berdosa, orang yang tidak setia,* orang yang menajiskan perkara-perkara suci, orang yang membunuh ayah atau ibu atau orang lain, 10 orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* lelaki yang meniduri lelaki,* penculik, pendusta, orang yang bersumpah palsu, dan untuk semua perkara lain yang bertentangan dengan ajaran yang sihat.*+ 11 Ajaran ini berdasarkan berita baik yang mulia tentang Tuhan yang gembira, dan berita baik ini telah diamanahkan kepada aku.+
12 Aku bersyukur kepada Tuan kita, Kristus Yesus, yang memberi aku kuasa, kerana dia menganggap aku setia dan memberi aku suatu tugas suci+ 13 meskipun dahulu aku menghina Tuhan, menganiaya umat-Nya, dan bersikap biadab.+ Walau bagaimanapun, belas kasihan telah ditunjukkan kepadaku, kerana pada waktu itu aku tidak sedar akan perbuatanku dan kerana aku tidak beriman. 14 Tetapi Tuan kita melimpahkan kebaikan hati yang unggul kepadaku, dan aku telah menerima iman dan kasih yang ada dalam Kristus Yesus. 15 Kata-kata ini dapat dipercayai dan harus diterima dengan sepenuhnya: Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan pendosa.+ Antara mereka, akulah yang paling teruk.+ 16 Meskipun aku merupakan pendosa yang paling teruk, Kristus Yesus menunjukkan belas kasihan kepadaku supaya kesabarannya yang besar diperlihatkan. Dengan itu, aku menjadi contoh kepada orang yang akan menaruh iman kepadanya untuk mendapatkan kehidupan abadi.+
17 Semoga Raja yang kekal,+ yang tidak dapat musnah,+ yang tidak kelihatan,+ dan yang merupakan Tuhan yang esa,+ diberi kehormatan dan kemuliaan buat selama-lamanya. Amin.
18 Timotius, anakku, aku menyerahkan perintah* ini kepada kamu selaras dengan hal-hal yang dinubuatkan tentang kamu, supaya melalui nubuat-nubuat itu kamu boleh terus berjuang dalam perang yang baik,+ 19 sambil memelihara iman dan hati nurani yang murni.+ Sesetengah orang tidak mempedulikan hati nurani mereka sehingga iman mereka hancur bagaikan kapal yang karam. 20 Antara mereka ialah Himeneus+ dan Aleksander, dan aku telah menyerahkan mereka kepada Syaitan+ agar mereka diajar melalui disiplin supaya tidak menghina Tuhan.
2 Pertama sekali, aku menggesa agar rayuan, doa, permohonan,* dan ucapan syukur, disampaikan demi segala macam orang, 2 demi raja-raja, dan demi semua yang berkedudukan tinggi.+ Dengan demikian, kita dapat terus menjalani kehidupan yang tenang dan tenteram, mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuhnya, dan melakukan segala sesuatu dengan bersungguh-sungguh.*+ 3 Dalam pandangan Tuhan, Penyelamat kita, hal itu baik dan menyenangkan hati-Nya.+ 4 Dia menghendaki segala macam orang diselamatkan+ dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran. 5 Ada satu Tuhan,+ dan ada satu perantara+ antara Tuhan dengan manusia,+ iaitu Kristus Yesus,+ seorang lelaki 6 yang telah menyerahkan dirinya sebagai tebusan yang sepadan untuk semua orang.*+ Kesaksian tentang hal ini akan diberikan pada masa yang ditetapkan. 7 Aku dilantik sebagai penyebar dan rasul+ untuk memberikan kesaksian tentang hal ini.+ Aku menjadi guru kepada bangsa-bangsa lain+ untuk mengajar mereka tentang kepercayaan dan kebenaran. Aku bercakap benar, dan aku tidak berdusta.
8 Oleh itu, aku mahu kaum lelaki di setiap tempat terus berdoa. Orang yang berdoa dengan tangan terangkat haruslah setia+ dan bebas daripada kemarahan+ ataupun perdebatan.+ 9 Begitu juga, kaum wanita harus menghias diri dengan pakaian yang sopan,* dengan sederhana, dan dengan fikiran yang sihat.* Janganlah mereka berdandan dengan gaya rambut yang keterlaluan* atau memakai emas, mutiara, atau pakaian yang sangat mahal.+ 10 Sebaliknya mereka harus menghias diri dengan perbuatan baik, iaitu perbuatan yang sesuai bagi wanita yang mengaku diri sebagai penyembah Tuhan.+
11 Biarlah seorang wanita berdiam diri* dan menunjukkan ketundukan+ yang sepenuhnya semasa belajar. 12 Aku tidak mengizinkan seorang wanita untuk mengajar atau berkuasa atas seorang lelaki. Dia harus tetap berdiam diri.*+ 13 Hal ini demikian kerana Adam dibentuk terlebih dahulu, kemudian barulah Hawa.+ 14 Lagipun, Adam tidak tertipu, tetapi wanita itulah yang tertipu+ lalu melanggar perintah Tuhan. 15 Namun dengan melahirkan anak, kaum wanita akan dilindungi,*+ asalkan mereka terus mempunyai iman, kasih, kesucian, dan fikiran yang sihat.*+
3 Pernyataan ini dapat dipercayai: Jika seseorang sedang berusaha untuk menjadi seorang penyelia,+ dia menginginkan pekerjaan yang baik. 2 Seorang penyelia haruslah tidak bercela, mempunyai seorang isteri sahaja, bersikap sederhana dalam segala hal, berfikiran sihat,*+ bertatatertib, suka menyambut orang dengan ramah,+ layak untuk mengajar,+ 3 bukan seorang pemabuk,+ tidak ganas,* munasabah,+ tidak suka bertengkar,+ tidak mencintai wang,+ 4 mengurus rumah tangganya dengan baik, mempunyai anak-anak yang taat dan berkelakuan baik*+ 5 (jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat menjaga sidang Tuhan?), 6 dan bukan orang yang baru percaya kepada Kristus,+ kerana dia mungkin menjadi angkuh lalu menerima penghakiman yang sama seperti yang sudah diterima oleh Iblis. 7 Dia juga haruslah mempunyai nama baik dalam kalangan orang luar,+ supaya dia tidak dicela* dan jatuh ke dalam perangkap Iblis.
8 Begitu juga, pembantu sidang haruslah berfikiran matang,* tidak menipu,* tidak minum banyak wain, tidak tamak akan keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur,+ 9 dan berpegang pada rahsia suci Tuhan, yang merangkumi kepercayaan kita, dengan hati nurani yang bersih.+
10 Selain itu, hendaklah mereka diuji terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada mereka layak atau tidak. Jika mereka bebas daripada tuduhan,+ barulah mereka boleh berkhidmat sebagai pembantu sidang.
11 Dalam cara yang sama, wanita haruslah berfikiran matang,* tidak memfitnah,+ bersikap sederhana dalam segala hal, dan setia dalam segala sesuatu.+
12 Hendaklah pembantu sidang mempunyai seorang isteri sahaja, dan mereka harus mengurus anak-anak dan rumah tangga sendiri dengan baik. 13 Lelaki yang berkhidmat dengan baik dapat memperoleh nama yang baik. Mereka juga dapat bercakap dengan penuh keberanian* sehubungan dengan kepercayaan kepada Kristus Yesus.
14 Aku berharap dapat datang kepada kamu tidak lama lagi. Namun, aku menulis hal-hal ini kepada kamu 15 supaya jika aku terlambat, kamu akan tahu bagaimana kamu harus hidup dalam rumah tangga Tuhan,+ iaitu sidang milik Tuhan yang hidup, yang merupakan tiang dan penunjang kebenaran. 16 Sesungguhnya, tidak dapat dinafikan betapa agungnya rahsia suci tentang pengabdian kepada Tuhan: ‘Yesus menampakkan diri sebagai seorang manusia,+ mendapat perkenan Tuhan semasa dia dijadikan makhluk roh,+ dilihat oleh para malaikat,+ disebarkan dalam kalangan bangsa-bangsa,+ dipercayai di dunia,+ dan diangkat ke syurga dalam cara yang mulia.’
4 Namun, firman yang diilhami Tuhan menyatakan dengan jelas bahawa akan tiba suatu jangka masa apabila sesetengah orang akan menyangkal iman, kerana mereka menumpukan perhatian kepada ajaran roh-roh jahat dan kepada pernyataan yang menyesatkan+ yang diilhami oleh roh-roh jahat.* 2 Mereka juga mendengarkan dusta+ orang bermuka dua yang mempunyai hati nurani yang tidak peka.* 3 Orang sebegini melarang orang berkahwin+ dan mengarahkan orang supaya menjauhi makanan tertentu.+ Tetapi Tuhan telah menciptakan makanan itu supaya orang yang beriman+ dan yang mengetahui kebenaran dengan tepat boleh memakannya+ dengan mengucapkan syukur kepada-Nya. 4 Hal ini demikian kerana setiap ciptaan Tuhan itu baik.+ Tidak ada apa-apa pun yang patut ditolak+ jika kamu memakannya dengan ucapan syukur, 5 kerana makanan itu sudah disucikan melalui firman Tuhan dan melalui doa.
6 Dengan memberikan nasihat ini kepada para saudara, kamu akan menjadi seorang hamba yang baik kepada Kristus Yesus, iaitu seorang yang dididik dengan perkhabaran tentang kepercayaan kita dan dengan ajaran baik yang telah kamu ikuti dengan teliti.+ 7 Janganlah mendengarkan cerita-cerita palsu+ yang menghina Tuhan, seperti yang diceritakan oleh wanita-wanita tua. Sebaliknya, latihlah dirimu dan bermatlamatlah untuk mengabdikan diri kepada Tuhan. 8 Latihan jasmani* membawa sedikit manfaat, tetapi pengabdian kepada Tuhan membawa manfaat dalam semua perkara. Hal ini demikian kerana pengabdian kepada Tuhan menjanjikan berkat dalam kehidupan sekarang dan kehidupan yang akan datang.+ 9 Pernyataan ini dapat dipercayai dan harus diterima dengan sepenuhnya. 10 Itulah sebabnya kita bekerja keras dan berusaha dengan bersungguh-sungguh,+ kerana kita telah menaruh harapan pada Tuhan yang hidup. Dialah Penyelamat+ segala macam orang,+ terutamanya orang yang setia.
11 Hendaklah kamu terus memberikan perintah-perintah itu dan mengajarkannya. 12 Jangan biarkan sesiapa pun memandang rendah terhadap kamu kerana kamu muda. Sebaliknya, hendaklah percakapanmu, tingkah lakumu, kasihmu, imanmu, dan kemurnianmu, menjadi contoh kepada orang yang setia. 13 Sehingga aku datang, teruslah mencurahkan usaha untuk membaca di hadapan umum,+ memberikan nasihat,* dan mengajar. 14 Janganlah abaikan kurniaan yang ada padamu. Kurniaan itu telah diberikan kepada kamu melalui nubuat, semasa badan penatua meletakkan tangan mereka ke atas kamu.+ 15 Renungkanlah dan tumpukanlah sepenuh perhatian kepada hal-hal ini, supaya kemajuanmu dapat dilihat dengan jelas oleh semua orang. 16 Teruslah memberikan perhatian kepada dirimu sendiri dan kepada ajaranmu.+ Lakukanlah hal-hal ini dengan tekun, kerana dengan berbuat demikian, kamu akan menyelamatkan dirimu sendiri dan mereka yang mendengarkan kamu.+
5 Janganlah menegur lelaki yang tua dengan kasar.+ Sebaliknya, bercakaplah kepadanya seolah-olah dia bapamu, dan bercakaplah kepada lelaki yang muda seolah-olah dia abang atau adikmu. 2 Bercakaplah kepada wanita yang tua seolah-olah dia ibumu, dan bercakaplah kepada wanita yang muda dengan hati yang murni, seolah-olah dia kakak atau adikmu.
3 Hormatilah dan jagalah balu yang langsung tidak mempunyai sesiapa pun untuk membantu mereka.+ 4 Namun, jika seorang balu mempunyai anak cucu, biarlah mereka belajar terlebih dahulu untuk menunjukkan pengabdian kepada Tuhan dengan menjaga keluarga sendiri.+ Mereka harus membalas jasa ibu bapa dan datuk nenek mereka,+ kerana hal ini baik dalam pandangan Tuhan.+ 5 Balu yang tidak mempunyai apa-apa dan langsung tidak mempunyai sesiapa pun untuk membantunya, berharap kepada Tuhan.+ Dia terus merayu dan berdoa siang dan malam.+ 6 Tetapi balu yang hidup untuk memuaskan nafsunya sudah mati meskipun dia masih hidup. 7 Teruslah memberi mereka arahan-arahan* ini supaya tiada sesiapa pun dapat mencela mereka. 8 Jika sesiapa tidak menyediakan keperluan orang di bawah jagaannya, terutamanya anggota rumah tangganya, dia sudah menyangkal iman dan lebih teruk daripada orang yang tidak beriman.+
9 Seorang balu patut dimasukkan ke dalam senarai orang yang memerlukan bantuan jika dia berumur lebih daripada 60 tahun, merupakan isteri kepada seorang suami sahaja, 10 dan dikenali kerana perbuatan baiknya,+ contohnya dia membesarkan anak-anak dengan baik,+ selalu menyambut orang dengan ramah,+ mencuci kaki umat suci Tuhan,+ membantu orang yang menderita,+ dan mengabdikan dirinya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.
11 Sebaliknya, janganlah masukkan balu yang lebih muda ke dalam senarai itu. Hal ini demikian kerana apabila nafsu seks mereka timbul, mereka mahu berkahwin lalu berpaling daripada Kristus. 12 Oleh sebab mereka memungkiri janji yang dibuat sebelum ini, mereka akan dihakimi. 13 Selain itu, mereka juga memupuk tabiat suka membuang masa dengan pergi dari rumah ke rumah. Ya, mereka bukan sahaja membuang masa, malahan mereka mengumpat, campur tangan dalam urusan orang lain,+ dan bercakap tentang perkara yang tidak seharusnya dikatakan. 14 Maka, aku mahu balu yang lebih muda untuk berkahwin,+ melahirkan anak,+ dan mengurus rumah tangga, supaya para penentang tidak berpeluang untuk mencela kita. 15 Sesungguhnya, sesetengah balu sudah pun menyimpang daripada haluan yang benar lalu mengikut Syaitan. 16 Jika seorang wanita yang percaya kepada Yesus mempunyai sanak saudara yang merupakan balu, hendaklah dia membantu mereka supaya sidang tidak dibebankan. Dengan itu, sidang dapat membantu balu-balu yang langsung tidak mempunyai sesiapa pun untuk membantu mereka.+
17 Hendaklah para penatua yang mengambil pimpinan dengan cara yang baik+ dianggap layak untuk menerima lebih banyak penghormatan,+ terutamanya mereka yang bekerja keras untuk mengajar dan menyampaikan firman Tuhan.+ 18 Hal ini demikian kerana ayat suci menyatakan, “Jangan menutup mulut lembu jantan dengan berangus semasa lembu itu sedang mengirik* biji-bijian.”+ Ayat suci juga menyatakan, “Seorang pekerja layak menerima upahnya.”+ 19 Janganlah mendengarkan tuduhan yang dilontarkan terhadap seorang penatua, kecuali tuduhan itu disokong oleh keterangan daripada dua atau tiga orang saksi.+ 20 Orang yang mengamalkan perbuatan yang berdosa+ haruslah ditegur+ di hadapan umum sebagai amaran kepada orang lain. 21 Aku memberi kamu perintah di hadapan Tuhan dan Kristus Yesus serta malaikat yang dipilih oleh Tuhan, supaya kamu mematuhi arahan-arahan ini tanpa prasangka atau sikap berat sebelah.+
22 Jangan sekali-kali meletakkan tangan kamu secara tergesa-gesa ke atas sesiapa pun,*+ dan jangan mengambil bahagian dalam dosa orang lain. Pastikan kamu tetap murni.
23 Jangan lagi minum air sahaja, tetapi minumlah sedikit wain kerana kamu ada masalah perut dan kerana kamu kerap sakit.
24 Dosa sesetengah orang diketahui secara umum, lalu membawa penghakiman dengan serta-merta. Tetapi dosa orang lain menjadi nyata kelak.+ 25 Demikian juga dengan perbuatan baik: Ada yang diketahui umum,+ dan yang tidak diketahui pun tidak akan terus tersembunyi.+
6 Hendaklah orang yang berada di bawah kuk* perhambaan sentiasa menganggap tuan mereka layak mendapat penghormatan penuh,+ supaya nama Tuhan dan ajaran-Nya tidak diburuk-burukkan sama sekali.+ 2 Selain itu, hendaklah hamba yang mempunyai tuan yang percaya kepada Kristus menghormati tuan mereka, kerana mereka merupakan saudara seiman. Sebenarnya, hamba-hamba itu harus berkhidmat dengan lebih rela, kerana orang yang menerima manfaat daripada khidmat baik mereka merupakan rakan seiman dan saudara yang dikasihi.
Teruslah mengajar dan menasihati orang berdasarkan hal-hal ini. 3 Jika sesiapa mengajarkan ajaran lain dan tidak bersetuju dengan ajaran sihat* yang datang daripada Tuan kita,+ Yesus Kristus, atau jika sesiapa tidak bersetuju dengan ajaran yang selaras dengan pengabdian kepada Tuhan,+ 4 dia seorang yang angkuh dan tidak memahami apa-apa.+ Dia tergila-gilakan pertikaian dan perdebatan tentang kata-kata.+ Hal-hal itu menimbulkan sikap iri hati, perkelahian, fitnah,* kecurigaan, 5 dan pertengkaran yang tidak habis-habis tentang perkara remeh, yang dicetuskan oleh orang yang rosak fikirannya+ dan yang tidak lagi memahami kebenaran. Mereka berfikir bahawa pengabdian kepada Tuhan merupakan cara untuk meraih keuntungan.+ 6 Sememangnya, pengabdian diri kepada Tuhan+ yang disertai kepuasan hati akan membawa keuntungan yang besar. 7 Hal ini demikian kerana kita tidak membawa apa-apa masuk ke dalam dunia ini, dan kita juga tidak dapat membawa apa-apa keluar.+ 8 Maka jika kita mempunyai makanan dan pakaian,* kita akan berpuas hati.+
9 Namun begitu, orang yang bertekad untuk menjadi kaya akan menyerah kepada godaan, jatuh ke dalam jerat,+ dan ditawan oleh banyak keinginan yang sia-sia dan yang memudaratkan. Keinginan sebegini menyebabkan orang terjerumus ke dalam lembah kebinasaan dan kemusnahan.+ 10 Sikap cinta akan wang ialah akar kepada segala macam kejahatan. Sesetengah orang telah menyimpang daripada kepercayaan dan menikam diri dengan banyak kesakitan kerana mereka dikuasai sikap cinta akan wang.+
11 Tetapi, hai hamba Tuhan, jauhkanlah dirimu* daripada perkara-perkara itu. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk mengabdikan diri kepada Tuhan dan memupuk kebaikan, iman, kasih, ketabahan, dan kelemahlembutan.+ 12 Berjuanglah dalam perjuangan yang baik untuk mempertahankan iman kita, dan berpeganglah dengan teguh pada kehidupan kekal. Kamu dipanggil untuk menerima kehidupan ini, dan kamu telah membuat pengisytiharan yang baik di hadapan banyak saksi.
13 Di hadapan Tuhan yang memelihara kehidupan segala sesuatu, dan di hadapan Kristus Yesus yang memberikan kesaksian yang baik kepada Pontius Pilatus dengan berani,+ aku memberi kamu arahan 14 untuk mematuhi perintah yang telah aku sampaikan, supaya kamu tidak bercela dan bebas daripada tuduhan sehingga Tuan Yesus Kristus menampakkan diri.+ 15 Pada masa yang ditetapkan, satu-satunya Pemegang Kuasa yang gembira akan menampakkan diri. Dialah Raja atas mereka yang memerintah sebagai raja dan Tuan atas mereka yang memerintah sebagai tuan,+ 16 dan dia sahajalah yang tidak dapat mati.+ Dia tinggal dalam cahaya yang tidak boleh didekati oleh sesiapa pun.+ Tidak ada orang yang pernah atau yang dapat melihatnya.+ Semoga kehormatan dan kekuatan yang berkekalan menyertainya. Amin.
17 Berikanlah perintah kepada mereka yang kaya dalam sistem dunia ini* supaya jangan bersikap angkuh dan jangan berharap kepada kekayaan yang tidak tetap.+ Sebaliknya hendaklah mereka berharap kepada Tuhan yang melimpahi kita dengan semua perkara yang kita nikmati.+ 18 Perintahkanlah mereka supaya berbuat baik, ya, mereka mesti melakukan banyak perbuatan yang baik, bersikap murah hati, dan bersedia mengongsi apa yang dimiliki.+ 19 Dengan berbuat demikian, mereka seolah-olah mengumpulkan kekayaan daripada Tuhan. Hal ini bererti bahawa mereka sedang membina asas yang baik untuk masa depan,+ supaya mereka dapat berpegang teguh pada kehidupan yang sejati.+
20 Timotius, jagalah apa yang sudah diamanahkan kepadamu.+ Berpalinglah daripada percakapan kosong yang mencemari hal-hal yang suci, dan berpalinglah daripada pengetahuan palsu yang menimbulkan percakapan yang bercanggah dengan apa yang benar.+ 21 Sesetengah orang memperagakan pengetahuan sedemikian dan akibatnya mereka telah menyimpang daripada kepercayaan.
Semoga kebaikan hati Tuhan yang unggul menyertai kamu.
Maksudnya “Dia yang Menghormati Tuhan.”
Atau “arahan.”
Atau “tidak mempunyai kasih setia.”
Lihat Kamus.
Atau “orang yang melakukan hubungan homoseksual.”
Atau “berfaedah.”
Atau “arahan.”
Atau “permohonan yang dibuat bagi orang lain.”
Atau “serius.”
Atau “segala macam orang.”
Atau “sesuai.”
Atau “pertimbangan yang baik.”
Harfiah, “dengan mengikat tocang.”
Atau “bertenang.”
Atau “bertenang.”
Wanita dinasihati untuk mengurus rumah tangga dan melatih anak-anak, supaya mereka tidak dijerat oleh sikap malas dan kelakuan yang buruk.
Atau “pertimbangan yang baik.”
Atau “dapat membuat pertimbangan yang baik.”
Atau “tidak memukul orang.”
Atau “serius.”
Atau “dimalukan.”
Atau “serius.”
Harfiah, “tidak mempunyai lidah bercabang.”
Atau “serius.”
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Atau “dan kepada roh-roh yang menyesatkan.”
Atau “hati nurani yang telah diselar dengan besi panas.”
Atau “Senaman.”
Atau “galakan.”
Atau “perintah-perintah.”
Proses memisahkan buah daripada tangkai.
Iaitu, jangan melantik sesiapa pun secara tergesa-gesa.
Lihat Kamus.
Atau “berfaedah.”
Atau “kata-kata hinaan.”
Atau “tempat tinggal.”
Harfiah, “larilah.”
Atau “zaman sekarang.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”