SURAT KEPADA ORANG IBRANI
1 Pada masa lampau, banyak kali Tuhan berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi dengan berbagai-bagai cara.+ 2 Tetapi pada akhir zaman ini, Dia berfirman kepada kita melalui Anak-Nya.+ Dia telah melantik Anak-Nya sebagai pewaris segala sesuatu,+ dan perkara-perkara di langit dan di bumi* dijadikan menerusinya.+ 3 Anak ini mencerminkan kemuliaan Tuhan+ dan merupakan gambaran tepat bagi Tuhan.+ Dia memelihara segala sesuatu melalui firman Tuhan yang berkuasa. Selepas dia menyucikan kita daripada dosa,+ dia duduk di syurga di sebelah kanan Tuhan Yang Agung.+ 4 Memandangkan dia telah mewarisi nama yang lebih unggul daripada nama para malaikat,+ dia menjadi lebih penting daripada mereka.+
5 Sebagai contoh, tidak pernah Tuhan berfirman kepada mana-mana malaikat, “Engkaulah anak-Ku. Hari ini, Aku menjadi bapamu,”+ atau, “Aku akan menjadi bapanya, dan dia akan menjadi anak-Ku.”+ 6 Tetapi semasa Tuhan mengutus Anak Sulung-Nya+ ke dunia sekali lagi, Dia berfirman, “Hendaklah semua malaikat Tuhan bersujud kepadanya.”
7 Dia juga berfirman tentang para malaikat, “Dia menjadikan malaikat-Nya makhluk roh, dan menjadikan hamba-hamba-Nya+ api yang berkobar-kobar.”+ 8 Tetapi tentang Anak-Nya, Dia berfirman, “Tuhan ialah takhtamu+ untuk selama-lamanya. Pemerintahan Kerajaanmu adil.* 9 Engkau mencintai keadilan dan membenci kejahatan. Maka Tuhanmu mengurapi engkau+ dengan minyak* dan menjadikan engkau lebih bersukacita daripada sahabat-sahabatmu.”+ 10 Ada tertulis juga, “Ya Tuan, pada mulanya Engkau meletakkan asas bumi, dan langit merupakan karya tangan-Mu. 11 Bumi dan langit akan lenyap, tetapi Engkau akan kekal selama-lamanya. Bumi dan langit akan menjadi usang seperti pakaian, 12 dan Engkau akan menggulung bumi dan langit seperti menggulung jubah atau pakaian. Bumi dan langit akan berubah, tetapi Engkau tetap sama, dan hayat-Mu tidak akan berakhir.”+
13 Namun, tidak pernah Dia berfirman kepada mana-mana malaikat, “Duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku menjadikan musuh-musuhmu sebagai alas kakimu.”+ 14 Bukankah semua malaikat itu makhluk roh yang menjalankan khidmat suci,+ yang diutus untuk berkhidmat kepada orang yang akan menerima penyelamatan?
2 Itulah sebabnya kita perlu menumpukan lebih banyak perhatian kepada perkara-perkara yang sudah kita dengar,+ agar kita tidak sekali-kali hanyut.+ 2 Jika perkhabaran yang disampaikan melalui para malaikat+ terbukti dapat dipercayai, dan setiap orang yang berbuat salah dan yang ingkar dihukum dengan adil,+ 3 bagaimanakah kita dapat melarikan diri jika kita telah mengabaikan penyelamatan yang begitu agung?+ Tuan kitalah yang mula-mula mengisytiharkan penyelamatan itu,+ dan orang yang mendengarnya sudah membuktikan kebenarannya kepada kita. 4 Di samping itu, Tuhan memberikan kesaksian dengan menggunakan tanda-tanda, mukjizat, dan pelbagai perbuatan yang menakjubkan.+ Dia juga memberikan kesaksian dengan membahagi-bahagikan kuasa suci-Nya* menurut kehendak-Nya.+
5 Dia tidak memberi para malaikat kuasa atas dunia yang akan datang,+ iaitu dunia yang sedang kita percakapkan. 6 Namun, terdapat seorang saksi yang pernah menulis, “Siapakah manusia sehingga Engkau mengingat mereka, atau siapakah anak manusia sehingga Engkau menjaganya?+ 7 Engkau menjadikannya sedikit rendah daripada malaikat-malaikat, dan Engkau memberinya kemuliaan dan penghormatan serta melantiknya untuk mengurus hasil ciptaan tangan-Mu. 8 Engkau telah menundukkan segala sesuatu di bawah kakinya.”+ Tuhan memberinya kuasa atas segala sesuatu,+ maka tidak ada apa-apa pun yang tidak dikuasai olehnya.+ Tetapi sekarang kita masih belum melihat segala sesuatu dikuasai olehnya.+ 9 Namun demikian, kita melihat Yesus diberi kemuliaan dan penghormatan kerana dia telah menderita sampai mati.+ Dia dijadikan sedikit rendah daripada malaikat-malaikat,+ dan melalui kebaikan hati Tuhan yang unggul, dia merasai kematian bagi setiap orang.+
10 Segala sesuatu wujud melalui Tuhan dan untuk memuliakan-Nya. Maka, adalah wajar bagi Tuhan untuk menjadikan Pemimpin Utama kita sempurna melalui penderitaan,+ supaya banyak anak dapat dimuliakan+ dan diselamatkan melalui Pemimpin Utama ini.+ 11 Baik Yesus yang menyucikan manusia mahupun mereka yang disucikan+ olehnya berasal daripada Bapa yang sama.+ Itulah sebabnya dia tidak berasa malu untuk memanggil mereka saudara-saudara.+ 12 Dia berkata, “Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudaraku. Aku akan memuji-Mu dengan lagu di tengah-tengah sidang.”+ 13 Dia juga berkata, “Aku akan menaruh kepercayaan kepada-Nya.”+ Dia berkata lagi, “Inilah aku bersama anak-anak muda yang diberikan oleh Yehuwa* kepadaku.”+
14 Memandangkan tubuh “anak-anak muda” ini terdiri daripada darah dan daging, dia juga menjadi darah dan daging+ agar melalui kematiannya, dia dapat membinasakan Iblis+ yang mampu menyebabkan kematian.+ 15 Selain itu, dia juga dapat membebaskan semua orang yang diperhamba seumur hidup kerana takut akan kematian.+ 16 Sesungguhnya, dia bukannya membantu malaikat-malaikat, tetapi dia membantu keturunan Abraham.+ 17 Oleh itu, dia harus menjadi seperti “saudara-saudaranya” dalam segala hal+ agar dia dapat berkhidmat kepada Tuhan sebagai seorang imam agung yang berbelas kasihan dan setia, dan agar dia dapat mempersembahkan korban pendamaian*+ bagi dosa-dosa orang.+ 18 Oleh sebab dia sendiri telah menderita semasa diuji,+ dia dapat membantu orang yang diuji.+
3 Oleh itu, saudara-saudara yang suci, yang sama-sama dipanggil* ke syurga,+ fikirkanlah secara mendalam tentang Yesus, yang kita akui sebagai rasul dan imam agung.+ 2 Dia setia kepada Tuhan yang melantiknya,+ sepertimana Musa juga berkhidmat dengan setia kepada Tuhan di dalam rumah Tuhan.*+ 3 Orang yang membina sebuah rumah mendapat penghormatan yang lebih besar+ daripada rumah itu sendiri. Demikian juga, Yesus layak mendapat kemuliaan yang lebih besar daripada Musa. 4 Sudah tentu setiap rumah dibina oleh seseorang, tetapi Tuhanlah yang membina segala sesuatu. 5 Musa berkhidmat dengan setia di dalam rumah Tuhan* sebagai seorang hamba, dan khidmatnya menjadi kesaksian kepada hal-hal yang akan disingkapkan kelak. 6 Tetapi Kristus menjaga rumah Tuhan dengan setia sebagai anak Tuhan.+ Kitalah rumah Tuhan+ jika kita tetap bercakap dengan berani* dan berpegang teguh pada harapan yang kita banggakan sampai ke akhir.
7 Oleh itu, seperti yang dikatakan menerusi kuasa suci Tuhan,+ “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Ku, 8 janganlah keraskan hati kamu seperti nenek moyang kamu yang membuat Aku sangat murka pada hari mereka menguji Aku di padang belantara.+ 9 Di situ nenek moyang kamu sudah melihat perbuatan-Ku selama 40 tahun,+ tetapi mereka masih menguji dan mencubai Aku. 10 Itulah sebabnya Aku berasa jijik terhadap generasi itu dan berfirman, ‘Mereka selalu mengingkari perintah-Ku dalam hati mereka, dan mereka tidak mengenal jalan-jalan-Ku.’ 11 Maka Aku murka dan bersumpah, ‘Mereka tidak akan menikmati hari rehat-Ku.’”+
12 Saudara-saudara, berhati-hatilah supaya tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang meninggalkan Tuhan yang hidup sehingga mempunyai hati yang jahat dan tidak beriman.+ 13 Teruslah menggalakkan satu sama lain setiap hari selagi masa yang disebut “Hari Ini”+ masih ada. Dengan demikian, tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang menjadi keras hati disebabkan tipu daya dosa. 14 Kita akan menerima apa yang juga diterima oleh Kristus hanya jika kita berpegang teguh pada keyakinan yang kita miliki pada mulanya, dan berbuat demikian sampai akhir.+ 15 Ada tertulis, “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Ku, janganlah keraskan hati kamu seperti nenek moyang kamu semasa mereka membuat Aku sangat murka.”+
16 Siapakah yang mendengar kata-kata ini tetapi masih membuat Tuhan sangat murka? Bukankah mereka semua yang keluar dari Mesir di bawah pimpinan Musa?+ 17 Selain itu, terhadap siapakah Tuhan berasa jijik selama 40 tahun?+ Bukankah terhadap mereka yang berdosa, iaitu mereka yang mati di padang belantara?+ 18 Siapakah yang dimaksudkan oleh Tuhan ketika Dia bersumpah, “Mereka tidak akan menikmati hari rehat-Ku”? Bukankah orang yang dimaksudkan itu orang yang mengingkari-Nya? 19 Maka jelaslah bahawa mereka tidak dapat menikmati hari rehat Tuhan kerana mereka tidak beriman.+
4 Oleh itu, memandangkan Tuhan berjanji bahawa kita masih dapat menikmati hari rehat-Nya, kita patut berwaspada agar tidak ada seorang pun antara kita yang dianggap tidak layak untuk mendapat janji itu.+ 2 Berita baik yang telah diisytiharkan kepada nenek moyang kita juga diisytiharkan kepada kita.+ Tetapi perkhabaran yang didengari mereka tidak mendatangkan manfaat kepada mereka, kerana mereka tidak memiliki iman yang sama dengan iman orang yang patuh. 3 Bagi kita yang beriman, kita akan menikmati hari rehat-Nya. Tetapi bagi mereka yang ingkar, Tuhan pernah berfirman, “Aku murka dan bersumpah, ‘Mereka tidak akan menikmati hari rehat-Ku.’”+ Tuhan berfirman demikian walaupun kerja-Nya sudah selesai sejak dunia diasaskan.*+ 4 Dalam salah satu ayat, Dia berfirman tentang hari ketujuh seperti berikut: “Tuhan berehat daripada semua kerja-Nya pada hari ketujuh.”+ 5 Dia berfirman lagi, “Mereka tidak akan menikmati hari rehat-Ku.”+
6 Mereka yang mula-mula mendengar berita baik yang diisytiharkan tidak dapat menikmati hari rehat Tuhan kerana mereka ingkar.+ Namun demikian, sesetengah orang masih dapat menikmati hari rehat Tuhan. 7 Itulah sebabnya setelah sekian lama, Tuhan berfirman dalam mazmur Daud, seperti yang pernah dinyatakan dalam surat ini, “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Ku, janganlah keraskan hati kamu.” Dengan demikian, sekali lagi, Dia menetapkan satu hari yang disebut “Hari Ini.”+ 8 Sekiranya Yosua+ sudah memimpin mereka ke suatu tempat rehat, maka Tuhan tidak perlu lagi menyebut tentang suatu hari yang lain. 9 Oleh itu, umat Tuhan masih berpeluang menikmati hari rehat seperti hari Sabat.+ 10 Hal itu demikian kerana sesiapa yang menikmati hari rehat Tuhan telah berehat daripada kerja sendiri, sebagaimana Tuhan sudah berehat daripada kerja-Nya.+
11 Oleh itu, marilah kita berusaha sedaya upaya untuk menikmati hari rehat itu, agar tidak ada seorang pun yang menjadi ingkar seperti mereka.+ 12 Firman Tuhan itu hidup, berkuasa,+ dan lebih tajam daripada mana-mana pedang bermata dua.+ Firman Tuhan dapat menusuk dan memisahkan rupa luar seseorang daripada apa yang ada dalam hatinya. Firman Tuhan juga dapat menusuk dan memisahkan sendi-sendi daripada tulang sumsum, dan dapat menilai fikiran dan niat hati seseorang. 13 Tidak ada satu ciptaan pun yang tersembunyi daripada pandangan Tuhan.+ Segala sesuatu jelas kelihatan dan terdedah di mata-Nya, dan kita mesti memberikan pertanggungjawaban kepada-Nya.+
14 Memandangkan kita mempunyai seorang imam agung yang mulia, yang sudah pergi ke syurga, iaitu Yesus, Anak Tuhan,+ marilah kita terus mengisytiharkan bahawa kita beriman kepadanya.+ 15 Hal itu demikian kerana imam agung kita bukanlah imam agung yang tidak dapat bersimpati terhadap kelemahan kita.+ Sebaliknya kita mempunyai imam agung yang telah diuji dalam segala hal seperti kita, tetapi dia tidak mempunyai dosa.+ 16 Oleh itu, marilah kita menghadap takhta Tuhan, iaitu Dia yang mengurniakan kebaikan hati yang unggul, dan berdoa kepada-Nya dengan berani.*+ Dengan demikian, kita dapat menerima belas kasihan dan kebaikan hati yang unggul semasa kita memerlukan bantuan.
5 Setiap imam agung yang dipilih daripada kalangan manusia dilantik untuk berkhidmat kepada Tuhan bagi pihak mereka.+ Tugasnya adalah untuk mempersembahkan pemberian dan korban demi dosa mereka.+ 2 Seorang imam agung dapat berbelas kasihan* terhadap mereka yang kurang pengetahuan dan yang berbuat salah,* kerana dia juga perlu berdepan dengan* kelemahan sendiri. 3 Itulah sebabnya dia juga mesti mempersembahkan korban untuk dosanya sendiri, sepertimana dia mempersembahkan korban untuk dosa orang lain.+
4 Tidak ada seorang pun yang boleh melantik dirinya sendiri untuk tugas yang mulia ini. Seorang imam agung hanya boleh dilantik oleh Tuhan, seperti yang berlaku kepada Harun.+ 5 Begitu juga, Kristus tidak melantik dirinya sebagai imam agung dan memuliakan diri sendiri.+ Sebaliknya Kristus dimuliakan oleh Dia yang berfirman kepadanya, “Engkaulah anak-Ku; hari ini, Aku menjadi bapamu.”+ 6 Dalam ayat yang lain, Dia juga berfirman, “Engkau ialah seorang imam seperti Melkisedek, dan engkau akan menjadi imam untuk selama-lamanya.”+
7 Semasa Kristus hidup di bumi, dia memohon dan merayu dengan seruan dan tangisan+ kepada Tuhan yang dapat menyelamatkannya daripada kematian. Oleh sebab dia takut akan Tuhan, Tuhan mendengar doanya. 8 Walaupun dia Anak Tuhan, dia mempelajari kepatuhan melalui penderitaan yang dialaminya.+ 9 Selepas dia dijadikan sempurna,+ dia diberi tanggungjawab untuk membawa penyelamatan yang kekal kepada semua orang yang patuh kepadanya,+ 10 kerana dia telah dilantik oleh Tuhan untuk menjadi imam agung seperti Melkisedek.+
11 Masih ada banyak perkara tentang Kristus yang ingin kami sampaikan, tetapi susah bagi kami untuk menjelaskannya kerana pendengaran kamu sudah menjadi tumpul. 12 Sebenarnya, sekarang kamu sepatutnya sudah menjadi guru. Tetapi kamu masih lagi memerlukan orang untuk mengajar kamu dari mula mengenai hal-hal asas+ tentang perkhabaran suci Tuhan. Kamu sudah kembali menjadi seperti orang yang memerlukan susu dan bukannya makanan yang keras. 13 Sesiapa yang terus minum susu merupakan anak kecil,+ dan dia tidak mengenal firman yang benar daripada Tuhan. 14 Sebaliknya, orang matang memakan makanan yang keras. Oleh sebab mereka sering menggunakan daya penilaian mereka, daya penilaian mereka sudah terlatih* untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.
6 Sekarang, setelah kita selesai mempelajari ajaran asas+ tentang Kristus, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi matang.+ Janganlah kita berulang kali mempelajari hal-hal asas,* tentang hal bertaubat daripada kerja yang sia-sia, tentang iman kepada Tuhan, 2 tentang pembaptisan, tentang hal meletakkan tangan pada orang,+ tentang pembangkitan orang mati,+ dan tentang penghakiman yang kekal. 3 Jika diizinkan Tuhan, kita akan berusaha untuk menjadi matang.
4 Sesetengah orang pernah menerima cahaya daripada Tuhan+ dan kuasa suci-Nya, dan merasai kurniaan percuma dari syurga. 5 Mereka juga pernah menerima firman Tuhan yang unggul dan berkat-berkat* yang berkaitan dengan sistem dunia* yang akan datang. 6 Namun mereka sudah menolak ajaran sejati.+ Oleh sebab mereka sendiri memakukan Anak Tuhan pada tiang sekali lagi dan memalukannya di hadapan umum,+ adalah mustahil untuk membantu mereka bertaubat lagi. 7 Sebagai contoh, tanah yang menyerap hujan yang sering turun ke atasnya lalu menghasilkan tumbuhan yang berguna bagi orang yang mengusahakannya, akan menerima berkat daripada Tuhan. 8 Tetapi jika tanah itu menghasilkan tumbuhan berduri, tanah itu tidak berguna. Tidak lama kemudian, tanah itu akan dikutuk dan akhirnya dibakar.
9 Saudara-saudara yang dikasihi, meskipun kami berkata demikian, kami yakin bahawa keadaan kamu lebih baik daripada mereka yang sudah meninggalkan iman. Kami yakin bahawa kamu sedang melakukan hal-hal yang berkaitan dengan penyelamatan. 10 Hal ini demikian kerana Tuhan bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan kerja yang telah kamu lakukan dan kasih yang telah kamu tunjukkan demi nama-Nya+ dengan menolong umat suci-Nya, baik dahulu mahupun sekarang. 11 Kami ingin setiap orang dalam kalangan kamu menunjukkan kerajinan yang sama supaya harapan kamu teguh+ dan pasti sampai ke akhir,+ 12 dan supaya kamu tidak menjadi malas.+ Tirulah contoh mereka yang mewarisi apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kerana mereka beriman dan bersabar.
13 Semasa Tuhan berjanji kepada Abraham, Dia bersumpah demi diri-Nya sendiri,+ kerana tidak ada sesiapa pun yang lebih besar daripada-Nya. 14 Dia bersumpah, “Aku pasti akan memberkati engkau dan Aku pasti akan melipatgandakan keturunanmu.”+ 15 Selepas Abraham menunggu dengan sabar, dia menerima janji itu. 16 Semasa manusia bersumpah, mereka bersumpah atas nama orang yang lebih besar daripada mereka, dan hal itu menjadi suatu jaminan sah bagi mereka dan dapat mencegah perselisihan.+ 17 Dalam cara yang sama, semasa Tuhan hendak membuktikan dengan lebih jelas kepada pewaris-pewaris janji-Nya+ bahawa tujuan-Nya* tidak sekali-kali akan berubah, Dia mengangkat sumpah sebagai jaminan firman-Nya.* 18 Kedua-dua perkara itu tidak sekali-kali akan berubah, dan tidak mungkin Tuhan akan berdusta tentangnya.+ Oleh itu, kita yang telah melarikan diri ke tempat perlindungan Tuhan boleh mendapat galakan yang besar untuk berpegang teguh pada harapan yang ada di hadapan kita. 19 Harapan+ kita yang teguh dan pasti bagaikan sauh bagi jiwa* kita. Harapan ini menembusi tirai,+ 20 dan di situ, sudah ada seseorang* yang masuk terlebih dahulu demi kepentingan kita. Orang yang dimaksudkan itu ialah Yesus+ yang telah menjadi imam agung seperti Melkisedek untuk selama-lamanya.+
7 Melkisedek ialah raja Salem, dan dia ialah imam Tuhan Yang Maha Tinggi. Dia bertemu dengan Abraham dan memberkatinya ketika Abraham kembali setelah menewaskan raja-raja.+ 2 Kemudian Abraham memberinya satu persepuluh daripada segala harta rampasan perang. Nama Melkisedek diterjemahkan sebagai “Raja yang Berbuat Benar.” Dia ialah raja Salem, dan raja Salem bermaksud “Raja Kedamaian.” 3 Tidak ada catatan tentang ibu bapanya ataupun salasilah nenek moyangnya, dan tidak ada catatan tentang kelahiran dan kematiannya. Dia dijadikan seperti Anak Tuhan dan merupakan imam untuk selama-lamanya.+
4 Lihatlah betapa pentingnya kedudukan Melkisedek sehingga Abraham, bapa bangsa* kita, telah memberi dia satu persepuluh daripada harta rampasan perang yang terbaik.+ 5 Menurut Hukum, keturunan Lewi+ yang dilantik sebagai imam diperintahkan untuk memungut persepuluhan daripada umat Israel,+ iaitu saudara-saudara mereka, walaupun saudara-saudara mereka itu juga keturunan Abraham. 6 Melkisedek bukan keturunan Lewi, tetapi dia menerima persepuluhan daripada Abraham, dan dia telah memberkati lelaki yang telah menerima janji-janji Tuhan itu.+ 7 Memang tidak dapat dinafikan bahawa orang yang berkedudukan rendah diberkati oleh orang yang berkedudukan tinggi. 8 Orang Lewi yang menerima persepuluhan merupakan manusia yang akan mati. Tetapi Ayat-Ayat Suci membuktikan bahawa Melkisedek yang telah menerima persepuluhan terus hidup.+ 9 Boleh dikatakan bahawa Lewi, iaitu dia yang menerima persepuluhan, juga telah membayar persepuluhan melalui Abraham. 10 Hal ini demikian kerana Lewi sudah berada dalam* Abraham, nenek moyangnya, semasa Melkisedek berjumpa dengan Abraham.+
11 Imam-imam Lewi merupakan suatu aturan yang disediakan dalam hukum yang diberikan kepada umat Israel. Andai kata imam-imam daripada keturunan Lewi+ dapat membawa kesempurnaan, adakah kita masih memerlukan seorang imam seperti Melkisedek?+ Bukankah imam seperti Harun sudah memadai? 12 Tetapi memandangkan aturan tersebut sudah diubah, Hukum juga mesti diubah.+ 13 Lelaki yang dimaksudkan di sini berasal daripada suku yang lain, dan tidak ada seorang pun daripada sukunya yang pernah bertugas di mazbah.+ 14 Jelaslah bahawa Tuan kita berasal daripada keturunan Yehuda.+ Namun Musa tidak pernah mengatakan bahawa imam-imam akan datang daripada suku itu.
15 Hal-hal ini akan menjadi lebih jelas semasa seorang imam lain+ seperti Melkisedek+ muncul. 16 Dia menjadi imam, bukan menurut syarat yang ditetapkan dalam hukum atau berdasarkan keturunannya, tetapi melalui kuasa yang membolehkannya mendapat kehidupan yang tidak dapat musnah.+ 17 Mengenainya, salah satu ayat menyatakan, “Engkau ialah seorang imam seperti Melkisedek,+ dan engkau akan menjadi imam untuk selama-lamanya.”
18 Oleh itu, peraturan sebelum ini telah dibatalkan kerana peraturan itu lemah dan tidak berkesan.+ 19 Hukum tidak dapat menyempurnakan apa-apa pun.+ Tetapi Tuhan telah membawa satu harapan yang lebih baik,+ yang dapat menyempurnakan segala sesuatu. Melalui harapan ini, kita sedang mendekati Tuhan.+ 20 Tambahan pula, Tuhan telah bersumpah semasa melantik Yesus sebagai imam. 21 (Memang, Tuhan tidak bersumpah semasa sesetengah orang menjadi imam. Tetapi Tuhan telah bersumpah semasa melantik Yesus menjadi imam. Mengenainya, Tuhan berfirman, “Aku, Yehuwa,* telah bersumpah, dan Aku tidak akan mengubah fikiran-Ku,* ‘Engkau ialah imam buat selama-lamanya.’”)+ 22 Dengan demikian, Yesus menjadi jaminan bagi satu perjanjian yang lebih baik.+ 23 Selain itu, para imam akan mati dan tidak dapat meneruskan tugas mereka.+ Oleh sebab itu, orang lain harus menggantikan mereka dan menjalankan tugas mereka. 24 Tetapi memandangkan Yesus hidup untuk selama-lamanya,+ tugasnya sebagai imam tidak akan digantikan oleh orang lain. 25 Maka, dia pasti dapat menyelamatkan orang yang mendekati Tuhan melaluinya, kerana dia sentiasa hidup dan dapat membuat permohonan bagi mereka.+
26 Memang sesuai bagi kita untuk mempunyai imam agung sebegini: Dia setia, tidak bersalah, tidak tercemar,+ terasing daripada pendosa, dan diangkat lebih tinggi daripada langit.+ 27 Dia tidak seperti imam-imam agung lain yang harus mempersembahkan korban setiap hari,+ mula-mula untuk dosa sendiri dan kemudian untuk dosa umat.+ Dia mempersembahkan korban sekali sahaja, iaitu semasa dia mempersembahkan dirinya sebagai korban, dan korbannya telah membawa manfaat kepada orang buat selama-lamanya.+ 28 Orang yang dilantik menjadi imam agung menerusi Hukum mempunyai kelemahan.+ Tetapi Anak yang dilantik itu dijadikan sempurna untuk selama-lamanya.+ Dia dilantik menerusi janji Tuhan yang disertai sumpah,+ yang diberikan selepas Hukum.
8 Inilah isi penting daripada apa yang kami katakan: Kita mempunyai imam agung sebegini,+ dan dia sudah duduk di sebelah kanan takhta Tuhan Yang Agung di syurga.+ 2 Dia berkhidmat di Bilik Maha Suci,+ di dalam khemah sejati yang didirikan oleh Yehuwa* dan bukannya manusia. 3 Setiap imam agung dilantik untuk mempersembahkan pemberian dan korban. Maka, imam agung ini juga perlu mempunyai sesuatu untuk dipersembahkan.+ 4 Jika dia berada di bumi, dia tidak dapat menjadi imam,+ kerana sudah ada imam-imam lain yang mempersembahkan pemberian menurut Hukum. 5 Khidmat suci yang dijalankan oleh imam-imam itu merupakan gambaran dan bayangan+ kepada hal-hal di syurga.+ Halnya sama dengan Musa. Semasa dia hendak mendirikan khemah suci, dia diperintahkan oleh Tuhan, “Pastikan engkau membuat segala-galanya menurut reka bentuk yang ditunjukkan kepada engkau di atas gunung itu.”+ 6 Sekarang Yesus diberi tugas yang lebih unggul daripada tugas yang dijalankan oleh imam-imam itu, kerana dia juga merupakan perantara+ bagi perjanjian yang lebih baik.+ Perjanjian itu dibuat secara sah berdasarkan janji-janji yang lebih baik.+
7 Jika perjanjian yang pertama tidak mempunyai cacat cela, maka perjanjian yang kedua tidak diperlukan.+ 8 Tetapi Tuhan menunjukkan kesalahan umat-Nya semasa Dia berfirman, “‘Lihatlah! Masanya akan tiba,’ firman Yehuwa,* ‘apabila Aku membuat perjanjian baharu dengan keturunan Israel dan keturunan Yehuda. 9 Perjanjian ini bukan seperti perjanjian yang telah Aku buat dengan nenek moyang mereka, pada hari Aku memegang tangan mereka untuk memimpin mereka keluar dari Mesir.+ Oleh sebab mereka tidak setia kepada perjanjian-Ku, Aku tidak lagi mempedulikan mereka,’ firman Yehuwa.*
10 “‘Selepas masa itu, Aku akan membuat perjanjian ini dengan keturunan Israel,’ firman Yehuwa.* ‘Aku akan meletakkan hukum-Ku dalam fikiran mereka dan menuliskannya pada hati mereka.+ Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.+
11 “‘Tidak ada seorang pun yang akan mengajar orang yang sebangsa dengannya dan saudara-saudaranya sendiri dengan berkata, “Kenalilah Yehuwa!”* Hal ini demikian kerana mereka semua akan mengenal Aku, daripada orang yang paling kecil sehingga orang yang paling besar. 12 Aku akan mengampunkan perbuatan jahat mereka, dan Aku tidak akan mengingat dosa-dosa mereka lagi.’”+
13 Oleh sebab Tuhan berfirman tentang “perjanjian yang baharu,” Dia menjadikan perjanjian yang sebelumnya itu usang.+ Maka perjanjian yang usang dan lama itu akan segera lenyap.+
9 Perjanjian yang sebelumnya mempunyai peraturan untuk menjalankan khidmat suci dan tempat ibadat yang suci+ di bumi. 2 Di dalam khemah yang didirikan, bilik yang pertama mengandungi kaki pelita,+ meja, dan roti yang sudah dipersembahkan kepada Tuhan.+ Bilik ini dipanggil Bilik Suci.+ 3 Di belakang tirai yang kedua di dalam khemah itu,+ terdapat sebuah bilik yang dipanggil Bilik Maha Suci.+ 4 Di situ terdapat bekas perbaraan emas+ dan tabut perjanjian+ yang seluruhnya disaluti dengan emas.+ Di dalam tabut perjanjian tersebut, terdapat balang emas berisi manna,+ tongkat Harun yang telah bertunas,+ dan batu-batu tulis+ yang padanya tertulis hukum-hukum* Tuhan. 5 Di atas tabut itu ada kerub-kerub* mulia yang membayangi penutup tabut.*+ Tetapi sekarang bukanlah masanya untuk menerangkan hal-hal ini dengan terperinci.
6 Setelah hal-hal itu dipersiapkan, imam-imam akan memasuki bilik pertama di dalam khemah suci untuk menjalankan khidmat suci setiap hari.+ 7 Tetapi hanya imam agung yang boleh masuk ke dalam bilik kedua sekali setahun.+ Pada masa itu, dia mesti membawa darah+ untuk dipersembahkan bagi dirinya+ dan bagi dosa-dosa yang dilakukan oleh umat+ tanpa disedari. 8 Menerusi aturan tersebut, kuasa suci Tuhan menunjukkan dengan jelas bahawa selagi khemah yang pertama masih wujud, jalan masuk ke Bilik Maha Suci masih belum terbuka.+ 9 Khemah yang pertama ini melambangkan* zaman sekarang.+ Walaupun khemah ini mempunyai aturan untuk mempersembahkan pemberian dan korban,+ semua aturan ini tidak dapat menyempurnakan hati nurani orang yang menjalankan khidmat suci.+ 10 Semua ini ditetapkan dalam Hukum Musa dan hanya berkaitan dengan makanan, minuman, dan pelbagai jenis upacara penyucian.*+ Peraturan-peraturan ini berkaitan dengan hal-hal fizikal+ dan hanya berkuat kuasa sehingga tibanya masa yang ditetapkan untuk membetulkan segala sesuatu.
11 Tetapi Kristus datang sebagai imam agung untuk perkara-perkara baik yang sudah ada di sini. Dia masuk ke dalam khemah yang lebih penting dan lebih sempurna. Khemah ini tidak dibuat dengan tangan manusia, ertinya khemah ini bukan sebahagian daripada ciptaan di bumi. 12 Kristus masuk ke dalam Bilik Maha Suci bukan dengan membawa darah kambing atau darah lembu jantan muda, tetapi dengan membawa darahnya sendiri.+ Dia masuk sekali untuk selama-lamanya dan memperoleh pembebasan* yang kekal untuk kita.+ 13 Jika darah kambing dan darah lembu jantan+ serta percikan abu daripada korban anak lembu ke atas orang yang najis dapat menjadikan orang itu bersih di mata Tuhan,+ 14 apatah lagi darah Kristus!+ Memandangkan dia sudah menurut bimbingan kuasa suci Tuhan yang abadi dan mempersembahkan dirinya yang tidak bercacat cela kepada Tuhan, sudah tentu darahnya dapat memurnikan hati nurani kita daripada perbuatan yang sia-sia+ agar kita dapat menjalankan khidmat suci kepada Tuhan yang hidup.+
15 Itulah sebabnya Kristus menjadi perantara bagi perjanjian baharu.+ Dengan demikian, mereka yang telah dipanggil oleh Tuhan dapat menerima warisan abadi yang dijanjikan oleh-Nya.+ Hal itu dapat berlaku kerana Kristus telah mati untuk menebus dan membebaskan mereka daripada kesalahan+ yang dilakukan semasa di bawah perjanjian yang sebelumnya. 16 Semasa membuat perjanjian, orang* yang membuat perjanjian itu perlu mati. 17 Selagi orang itu masih hidup, perjanjian itu tidak sah, kerana suatu perjanjian hanya akan menjadi sah dengan adanya kematian. 18 Oleh itu, perjanjian yang sebelumnya pun tidak berkuat kuasa* tanpa darah. 19 Selepas Musa menyampaikan semua perintah dalam Hukum kepada seluruh umat Israel, dia mengambil darah lembu jantan muda dan darah kambing lalu mencampurkannya dengan air. Kemudian, dia menggunakan bulu bebiri berwarna merah marak dan setangkai rumput hisop lalu memercikkan darah itu pada kitab* perjanjian dan pada seluruh umat. 20 Musa berkata, “Inilah darah perjanjian. Tuhan telah memerintahkan kamu semua untuk mematuhi perjanjian ini.”+ 21 Dalam cara yang sama, Musa memercikkan darah itu pada khemah suci dan pada semua peralatan yang digunakan untuk khidmat suci.+ 22 Ya, menurut Hukum, hampir segala sesuatu disucikan dengan darah.+ Jika darah tidak dicurahkan, dosa pun tidak dapat diampunkan.+
23 Hal-hal yang merupakan gambaran+ kepada perkara-perkara di syurga perlu disucikan dengan cara tersebut.+ Tetapi perkara-perkara di syurga memerlukan korban yang jauh lebih baik. 24 Kristus tidak masuk ke dalam Bilik Maha Suci yang dibuat dengan tangan manusia,+ yang hanyalah tiruan daripada Bilik Maha Suci yang sebenar.+ Tetapi dia masuk ke syurga;+ sekarang di sana, dia menghadap Tuhan bagi pihak kita.+ 25 Dia berbuat demikian, bukan untuk mempersembahkan dirinya berulang kali, seperti yang dilakukan oleh imam agung yang masuk ke dalam Bilik Maha Suci tiap-tiap tahun+ dengan membawa darah yang bukan darahnya sendiri, 26 kerana jika demikian, dia perlu menderita berulang kali sejak dunia diasaskan.* Tetapi sekarang, pada penghujung sistem-sistem ini,* dia sudah menunjukkan dirinya sekali sahaja untuk selama-lamanya, dan dia telah mengorbankan dirinya untuk menyingkirkan dosa.+ 27 Semua orang mesti mati sekali untuk selama-lamanya, dan setelah itu ada penghakiman. 28 Demikian juga, Kristus dipersembahkan sekali sahaja untuk selama-lamanya bagi menanggung dosa banyak orang.+ Dia akan menampakkan diri untuk kali kedua, bukan untuk menyingkirkan dosa, tetapi untuk dilihat oleh mereka yang mencarinya dengan bersungguh-sungguh, supaya mereka diselamatkan.+
10 Hukum hanyalah bayangan+ kepada perkara-perkara baik yang akan datang,+ dan bukannya perkara-perkara itu sendiri. Itulah sebabnya hukum itu* tidak mungkin dapat menjadikan orang yang menyembah Tuhan sempurna+ melalui korban-korban yang sama yang terus dipersembahkan dari tahun ke tahun. 2 Andai kata korban-korban itu dapat menyempurnakan orang yang menyembah* Tuhan, korban pun tidak lagi perlu dipersembahkan kerana setelah mereka dibersihkan, mereka tidak lagi berasa bersalah. 3 Tetapi melalui korban-korban ini, mereka diingatkan tentang dosa-dosa mereka tahun demi tahun.+ 4 Hal ini demikian kerana darah lembu jantan dan darah kambing tidak mungkin dapat menghapuskan dosa.
5 Itulah sebabnya semasa Kristus datang ke dunia, dia berkata, “‘Engkau tidak menginginkan korban dan persembahan, tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagiku. 6 Engkau tidak berkenan kepada korban bakar dan korban dosa.’+ 7 Lalu aku berkata, ‘Ya Tuhan, aku datang untuk melakukan kehendak-Mu, seperti yang tertulis dalam gulungan kitab tentang diriku.’”+ 8 Mula-mula dia berkata, “Engkau tidak menginginkan dan Engkau tidak berkenan kepada korban, persembahan, korban bakar, dan korban dosa.” Korban-korban itu dipersembahkan menurut Hukum. 9 Setelah itu dia berkata, “Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.”+ Maka dia menyingkirkan aturan yang pertama agar dia dapat meneguhkan aturan yang kedua. 10 Melalui “kehendak” itu,+ kita telah disucikan menerusi tubuh Yesus Kristus yang dipersembahkan sekali untuk selama-lamanya.+
11 Selain itu, tiap-tiap hari, setiap imam mengambil tempat masing-masing untuk menjalankan khidmat suci+ dan mempersembahkan korban yang sama berulang kali.+ Tetapi korban-korban itu sama sekali tidak dapat menyingkirkan dosa dengan sepenuhnya.+ 12 Namun, Yesus mempersembahkan satu korban untuk menebus dosa, dan korban itu berlaku untuk selama-lamanya. Dia telah duduk di sebelah kanan Tuhan,+ 13 dan sejak itu, dia menantikan masanya musuh-musuhnya dijadikan sebagai alas kakinya.+ 14 Melalui satu korban yang dipersembahkan, dia menyempurnakan+ orang yang disucikan buat selama-lamanya. 15 Tambahan lagi, kuasa suci Tuhan juga telah memberikan kesaksian kepada kita. Mula-mula, kuasa suci Tuhan berkata, 16 “‘Selepas masa itu, Aku akan membuat perjanjian ini dengan mereka,’ firman Yehuwa.* ‘Aku akan meletakkan hukum-Ku dalam hati mereka, dan Aku akan menuliskannya dalam fikiran mereka.’”+ 17 Kemudian kuasa suci Tuhan berkata, “Aku tidak akan mengingat dosa-dosa dan perbuatan jahat mereka lagi.”+ 18 Maka jika dosa-dosa dan perbuatan jahat itu sudah diampunkan, korban yang dipersembahkan untuk dosa tidak diperlukan lagi.
19 Oleh itu, saudara-saudara, melalui darah Yesus, kita dapat menggunakan jalan yang menuju ke Bilik Maha Suci+ dengan berani.* 20 Jalan itu ialah jalan baharu yang membawa kehidupan. Yesus telah membuka* jalan itu bagi kita dengan menembusi tirai,+ iaitu tubuhnya sendiri. 21 Oleh sebab kita mempunyai imam yang mulia, yang bertanggungjawab atas umat Tuhan,+ 22 marilah kita menghampiri Tuhan dengan hati yang tulus dan iman yang teguh, kerana hati kita dan hati nurani kita sudah dibersihkan*+ dan tubuh kita sudah dimandikan dengan air yang bersih.+ 23 Marilah kita terus mengisytiharkan harapan kita tanpa goyah,+ kerana Dia yang berjanji itu dapat dipercayai.* 24 Marilah kita memperhatikan* satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan* untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik.+ 25 Janganlah abaikan perjumpaan kita+ seperti yang biasa dilakukan oleh sesetengah orang. Sebaliknya hendaklah kita menggalakkan satu sama lain,+ lebih-lebih lagi seraya kamu nampak hari itu semakin mendekat.+
26 Jika kita sengaja mengamalkan perbuatan yang berdosa selepas menerima pengetahuan yang tepat tentang kebenaran,+ tidak ada lagi korban lain yang dapat dipersembahkan bagi dosa-dosa kita.+ 27 Kita hanya dapat menunggu penghakiman dengan rasa takut dan menunggu kemurkaan Tuhan yang bernyala-nyala, yang akan melahap orang yang menentang-Nya.+ 28 Berdasarkan kesaksian dua atau tiga orang, sesiapa yang tidak mengendahkan Hukum Musa akan dihukum mati tanpa belas kasihan.+ 29 Bagaimana pula dengan orang yang telah menginjak-injak Anak Tuhan dan memandang remeh darah perjanjian+ yang menyucikannya serta menghina kuasa suci Tuhan yang memberikan kebaikan hati yang unggul?+ Pada pendapat kamu, tidakkah mereka patut menerima hukuman yang lebih berat lagi? 30 Kita tahu bahawa Tuhanlah yang berfirman, “Akulah yang akan menuntut pembalasan, dan Akulah yang akan membalas kejahatan.” Ada tertulis juga, “Yehuwa* akan menghakimi umat-Nya.”+ 31 Alangkah ngerinya jika kita jatuh ke dalam tangan Tuhan yang hidup!
32 Jangan sekali-kali lupa akan keadaan kamu pada masa lampau. Pada waktu itu, setelah kamu menerima cahaya daripada Tuhan,+ kamu berjuang dengan gigih sambil menanggung penderitaan dengan tabah. 33 Ada kalanya kamu dihina dan menghadapi kesengsaraan di hadapan umum.* Ada kalanya kamu menderita bersama-sama mereka yang mengalami hal-hal itu. 34 Kamu bersimpati terhadap mereka yang dipenjarakan, dan kamu tidak kehilangan sukacita apabila harta milik kamu dirampas.+ Hal itu demikian kerana kamu tahu bahawa kamu mempunyai harta yang lebih baik dan yang berkekalan.+
35 Oleh itu, janganlah berhenti bercakap dengan berani* kerana hal ini akan mendatangkan ganjaran yang besar.+ 36 Kamu memerlukan ketabahan+ supaya selepas kamu melakukan kehendak Tuhan, kamu boleh menerima apa yang telah dijanjikan. 37 Hal itu demikian kerana ada tertulis, “Hanya sebentar lagi,”+ dan “dia* yang akan datang akan tiba dan tidak akan terlambat.”+ 38 “Hamba-Ku yang melakukan apa yang benar akan hidup kerana imannya,”+ dan “jika dia berundur ketakutan, Aku tidak akan berkenan kepadanya.”+ 39 Tetapi kita bukanlah orang yang berundur ketakutan, kerana orang sedemikian akan dimusnahkan.+ Sebaliknya kita ialah orang yang beriman, kerana nyawa orang sedemikian akan terpelihara.
11 Iman ialah keyakinan yang teguh bahawa apa yang diharapkan akan menjadi kenyataan.+ Iman ialah bukti yang kukuh bahawa apa yang dipercayai adalah nyata meskipun hal-hal itu tidak dapat dilihat. 2 Oleh sebab orang pada zaman kuno* beriman, Tuhan telah menunjukkan* bahawa Dia berkenan kepada mereka.
3 Kerana beriman, kita memahami bahawa perkara-perkara di langit dan di bumi* diaturkan menurut firman Tuhan. Dengan demikian apa yang kelihatan itu wujud daripada apa yang tidak kelihatan.
4 Kerana beriman, Habel mempersembahkan korban kepada Tuhan, dan korbannya lebih bernilai daripada korban yang dipersembahkan oleh Kain.+ Dengan imannya itu, Habel menerima kesaksian bahawa dia diperkenankan Tuhan, kerana Tuhan berkenan dengan pemberiannya.+ Kerana imannya itu, Habel masih berkata-kata+ meskipun dia sudah mati.
5 Kerana beriman, Henokh+ dipindahkan supaya dia tidak menderita ketika dia mati. Henokh tidak dijumpai di mana-mana pun kerana Tuhan telah memindahkannya.+ Sebelum dia dipindahkan, Tuhan telah memberikan kesaksian kepada Henokh bahawa dia sudah menyenangkan hati Tuhan. 6 Tanpa iman, tidak ada seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan, kerana sesiapa yang menghadap Tuhan mesti percaya bahawa Dia wujud dan bahawa Dia memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.+
7 Kerana beriman, selepas Nuh+ mendapat amaran daripada Tuhan tentang perkara-perkara yang belum kelihatan,+ dia memperlihatkan rasa takut akan Tuhan dan membina sebuah bahtera+ untuk menyelamatkan rumah tangganya. Melalui imannya, Nuh menunjukkan bahawa dunia ini patut dihukum,+ dan kerana imannya, dia dinyatakan sebagai seorang yang mendapat perkenan Tuhan.
8 Kerana beriman, Abraham+ mematuhi Tuhan semasa Tuhan memanggilnya untuk pergi ke tempat yang akan diberikan sebagai warisan kepadanya. Abraham meninggalkan negerinya meskipun dia tidak tahu ke mana dia akan pergi.+ 9 Kerana beriman, Abraham tinggal sebagai orang asing di tanah yang dijanjikan.+ Dia tinggal di dalam khemah+ bersama Ishak dan Yakub, yang menerima janji yang sama daripada Tuhan.+ 10 Hal ini demikian kerana Abraham menantikan kota yang mempunyai asas yang kukuh, iaitu kota yang direka dan dibina oleh Tuhan.+
11 Kerana beriman, Sara dapat mengandungkan anak meskipun dia sudah berumur.+ Hal ini demikian kerana Sara menganggap Dia yang telah berjanji itu dapat dipercayai.* 12 Oleh sebab itu, melalui seorang lelaki yang dianggap terlalu tua untuk menghasilkan keturunan,*+ banyak anak telah dilahirkan.+ Bilangan mereka sebanyak bintang di langit dan tidak terhitung banyaknya seperti pasir di pantai.+
13 Semua orang ini beriman sampai mati. Walaupun janji-janji Tuhan tidak terlaksana pada zaman mereka,+ dari jauh,+ mereka melihat dan menyambutnya. Mereka menyatakan di hadapan umum bahawa mereka hanyalah orang asing dan penduduk sementara di tempat yang didiami oleh mereka. 14 Orang yang berkata demikian menunjukkan dengan jelas bahawa mereka sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencari tempat yang akan menjadi tempat kediaman mereka. 15 Jika mereka selalu memikirkan tempat yang telah ditinggalkan oleh mereka,+ mereka sebenarnya berpeluang kembali ke situ. 16 Tetapi mereka berusaha untuk mendapatkan tempat yang lebih baik, iaitu tempat yang berkaitan dengan syurga. Maka Tuhan tidak malu untuk disebut sebagai Tuhan mereka,+ dan Dia sudah menyediakan sebuah kota untuk mereka.+
17 Kerana beriman, semasa Abraham diuji,+ dia seolah-olah sudah mempersembahkan Ishak sebagai korban. Lelaki ini, yang telah menerima janji-janji Tuhan dengan gembira, bersedia untuk mempersembahkan anak tunggalnya sebagai korban,+ 18 meskipun Tuhan pernah berfirman kepadanya, “Keturunanmu akan datang daripada Ishak.”+ 19 Abraham percaya bahawa walaupun Ishak mati, Tuhan dapat membangkitkannya daripada kematian. Dalam erti kiasan, dia telah menerima Ishak kembali daripada kematian.+
20 Kerana beriman, Ishak memberkati Yakub+ dan Esau+ dan memberitahu mereka tentang hal-hal yang akan berlaku pada masa depan.
21 Kerana beriman, Yakub memberkati anak-anak Yusuf+ dan menyembah Tuhan sambil bersandar pada kepala tongkatnya+ semasa dia hampir mati.+
22 Kerana beriman, semasa Yusuf hampir mati, dia berkata bahawa umat Israel akan keluar dari Mesir. Dia juga memberikan perintah-perintah tentang pengebumiannya.*+
23 Kerana beriman, ibu bapa Musa menyembunyikan Musa selama tiga bulan setelah dia lahir.+ Mereka melihat bahawa anak itu comel+ dan mereka tidak takut pada perintah raja.+ 24 Kerana beriman, sesudah Musa menjadi dewasa,+ dia enggan dipanggil anak kepada puteri Firaun.*+ 25 Dia memilih untuk dianiaya bersama umat Tuhan daripada menikmati kesenangan hidup berdosa yang bersifat sementara. 26 Dia menganggap bahawa celaan yang ditanggungnya sebagai Orang yang Diurapi* jauh lebih berharga daripada harta karun di Mesir. Dia menumpukan perhatian kepada ganjaran yang bakal diterima. 27 Kerana beriman, Musa meninggalkan Mesir+ tanpa berasa takut akan kemarahan raja.+ Dia tetap teguh seolah-olah dia dapat melihat Tuhan yang tidak kelihatan.+ 28 Kerana beriman, dia merayakan Perayaan Paska* dan memercikkan darah pada tiang pintu agar malaikat Tuhan tidak membunuh* anak lelaki sulung orang Israel.+
29 Kerana beriman, umat Israel menyeberangi Laut Merah seperti berjalan di atas tanah yang kering.+ Tetapi semasa orang Mesir mencuba menyeberanginya, laut itu menelan mereka.+
30 Kerana orang Israel beriman, tembok Yerikho roboh setelah mereka mengelilinginya selama tujuh hari.+ 31 Kerana beriman, Rahab, pelacur itu, menyambut pengintip-pengintip Israel dengan ramah. Oleh sebab itu, dia tidak lenyap bersama-sama mereka yang ingkar.+
32 Apa lagi yang akan aku katakan? Masa tidak akan cukup jika aku bercerita tentang Gideon,+ Barak,+ Simson,+ Yefta,+ Daud,+ dan Samuel+ serta nabi-nabi yang lain. 33 Kerana beriman, mereka menewaskan kerajaan-kerajaan,+ melakukan hal-hal yang benar, mendapat apa yang dijanjikan,+ menutup mulut singa-singa,+ 34 tidak dibakar oleh api yang berkobar-kobar,+ terselamat daripada mata pedang,+ menjadi kuat walaupun mereka lemah,+ perkasa dalam perang,+ dan menumpaskan tentera musuh.+ 35 Wanita-wanita telah menerima kembali orang kesayangan mereka yang telah dibangkitkan.+ Orang lain pula enggan menyangkal iman semata-mata untuk dibebaskan. Mereka sanggup diseksa kerana ingin meraih pembangkitan yang lebih baik. 36 Yang lain menghadapi ujian kerana diperolok-olokkan dan dicambuk. Selain itu, ada yang dirantai+ dan dipenjarakan.+ 37 Ada juga yang direjam,+ diuji, dipotong menjadi dua dengan gergaji, dan dibunuh dengan pedang.+ Mereka mengembara dengan berpakaian kulit biri-biri atau kambing.+ Mereka serba kekurangan, hidup sengsara,+ dan dilayan dengan buruk.+ 38 Dunia ini bukan tempat yang layak untuk mereka. Mereka mengembara di padang gurun, gunung-gunung, gua-gua,+ dan lubang-lubang di bawah tanah.
39 Tuhan telah memberikan kesaksian kepada semua orang ini bahawa mereka mendapat perkenan-Nya kerana mereka beriman. Namun, mereka tidak menerima apa yang dijanjikan, 40 kerana awal-awal lagi, Tuhan telah berfikir untuk memberi kita sesuatu yang lebih baik.+ Dengan ini, mereka tidak akan dijadikan sempurna tanpa kita.
12 Oleh sebab kita mempunyai begitu banyak saksi yang bagaikan awan di sekeliling kita, marilah kita juga membuang segala beban dan dosa yang dapat menjerat kita dengan senang.+ Marilah kita berlari dengan tabah dalam perlumbaan yang ditetapkan di hadapan kita,+ 2 seraya kita memerhatikan Pemimpin Utama iman kita dan Penyempurna iman kita, iaitu Yesus.+ Disebabkan sukacita yang ada di hadapannya, dia tabah menanggung penderitaan pada tiang seksaan* dan tidak peduli bahawa hal itu sesuatu yang memalukan. Sekarang, dia duduk di sebelah kanan takhta Tuhan.+ 3 Dia tabah menanggung cacian orang berdosa+ yang sebenarnya sedang mengutuk diri sendiri. Sesungguhnya, perhatikanlah dia dengan cermat supaya kamu tidak menjadi letih lalu berputus asa.+
4 Dalam pergelutan kamu untuk melawan dosa itu, kamu belum pernah bergelut sehingga mati. 5 Kamu melupakan sama sekali nasihat daripada Tuhan yang memanggil kamu sebagai anak-anak-Nya: “Hai anak-Ku, janganlah meremehkan disiplin daripada Aku, Yehuwa,* dan janganlah berputus asa semasa Aku menegur kamu, 6 kerana Aku, Yehuwa,* mendisiplinkan orang yang Aku kasihi. Sebenarnya, Aku menghukum* setiap orang yang Aku terima sebagai anak.”+
7 Kamu perlu bertabah kerana hal itu merupakan sebahagian daripada disiplin* kamu.+ Tuhan memperlakukan kamu sebagai anak-anak-Nya, dan anak manakah yang tidak didisiplinkan oleh bapanya?+ 8 Tetapi jika kamu semua tidak menerima disiplin sebegitu, kamu sebenarnya merupakan anak-anak haram dan bukannya anak-anak yang sebenar. 9 Tambahan lagi, kita menghormati bapa kita di bumi yang sering mendisiplinkan kita. Oleh itu, tidakkah kita sepatutnya lebih rela tunduk kepada Bapa rohani kita* supaya kita dapat hidup?+ 10 Bapa kita di bumi mendisiplinkan kita untuk jangka masa yang pendek menurut apa yang dianggap baik oleh mereka. Tetapi Tuhan berbuat demikian untuk kebaikan kita supaya kita menjadi suci seperti Dia.+ 11 Memang, semasa disiplin diberikan, hal itu memedihkan hati* dan tidak membawa sukacita. Tetapi kemudian, orang yang sudah dilatih menerusi disiplin akan menuai buah kedamaian, iaitu kehidupan yang diperkenankan Tuhan.
12 Oleh itu, kuatkanlah tangan yang terkulai dan lutut yang gementar.+ 13 Teruslah membuat jalan yang lurus bagi kaki kamu,+ agar orang yang tempang tidak menjadi semakin teruk tetapi disembuhkan. 14 Berusahalah untuk berdamai dengan semua orang+ dan hiduplah dengan suci.+ Orang yang tidak suci tidak boleh melihat Tuan. 15 Berhati-hatilah supaya tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang gagal untuk menerima kebaikan hati Tuhan yang unggul, dan berhati-hatilah supaya tidak ada akar beracun yang tumbuh lalu menimbulkan masalah dan mencemari ramai orang.+ 16 Berwaspadalah supaya tidak ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* atau yang tidak menghargai hal-hal yang suci seperti Esau. Dia telah melepaskan haknya sebagai anak sulung hanya untuk mendapatkan sedikit makanan.+ 17 Kamu tahu bahawa pada kemudian hari Esau ingin mewarisi berkat itu, tetapi dia ditolak. Meskipun dengan tangisan+ dia mencuba sedaya upaya untuk mengubah fikiran bapanya, dia gagal berbuat demikian.
18 Kamu bukannya pergi ke sebuah gunung yang dapat disentuh+ dan yang bernyala-nyala dengan api.+ Di situ ada awan yang hitam, kegelapan yang pekat, dan ribut yang kencang.+ 19 Di situ juga ada bunyi trompet+ yang kuat dan suara yang bercakap.+ Selepas orang ramai mendengar suara itu, mereka merayu agar suara itu tidak bercakap lagi kepada mereka.+ 20 Hal ini demikian kerana mereka sudah berasa takut selepas mendengar perintah berikut: “Jika seekor binatang menyentuh gunung ini, binatang itu mesti direjam.”+ 21 Apa yang dilihat begitu menakutkan sehingga Musa berkata, “Aku takut dan gementar.”+ 22 Tetapi kamu sudah pergi ke Gunung Sion+ dan ke kota Tuhan yang hidup, iaitu Yerusalem di syurga.+ Di situ ada banyak* malaikat 23 yang berhimpun,+ ada sidang anak-anak sulung Tuhan yang telah didaftarkan di syurga, dan ada Tuhan, iaitu Hakim kepada semua.+ Di situ juga ada kehidupan rohani+ yang dimiliki orang baik yang telah disempurnakan,+ 24 ada Yesus, iaitu perantara+ bagi perjanjian baharu,+ dan ada darah yang dipercikkan, yang lebih baik daripada darah Habel.+
25 Pastikan bahawa kamu mendengarkan* Dia yang berfirman. Orang pada masa dahulu yang enggan mendengarkan Tuhan dan amaran yang disampaikan-Nya di bumi tidak dapat melepaskan diri daripada hukuman. Jika begitu, dapatkah kita melepaskan diri daripada hukuman jika kita berpaling daripada Dia yang berfirman dari syurga?+ 26 Pada masa itu, suara-Nya menggoncangkan bumi.+ Tetapi sekarang Dia telah berjanji, “Sekali lagi Aku akan menggoncangkan bumi, dan bukan bumi sahaja tetapi langit juga.”+ 27 Ungkapan “sekali lagi” menunjukkan bahawa perkara-perkara yang dapat digoncangkan, iaitu perkara-perkara yang tidak dibuat oleh Tuhan, akan disingkirkan supaya perkara-perkara yang tidak dapat digoncangkan akan tetap ada. 28 Maka, memandangkan kita akan menerima sebuah Kerajaan yang tidak dapat digoncangkan, marilah kita terus menerima kebaikan hati yang unggul, yang membolehkan kita menjalankan khidmat suci kepada Tuhan dengan rasa takut dan hormat menurut cara yang diperkenankan-Nya. 29 Sebenarnya Tuhan kita adalah seperti api yang memusnahkan.+
13 Sebagai saudara-saudara seiman, hendaklah kamu sentiasa saling mengasihi.+ 2 Janganlah lupa menyambut orang dengan ramah,*+ kerana sesetengah orang telah berbuat demikian dan menyambut malaikat tanpa menyedarinya.+ 3 Ingatlah akan orang yang dipenjarakan,*+ seolah-olah kamu juga dipenjarakan bersama-sama mereka.+ Ingatlah akan orang yang dilayan dengan buruk, seolah-olah kamu juga dilayan dengan buruk bersama-sama mereka. 4 Hendaklah perkahwinan dihormati oleh semua orang, dan katil perkahwinan haruslah tidak tercemar,+ kerana Tuhan akan menghakimi orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral* dan orang yang berzina.+ 5 Hendaklah cara hidup kamu bebas daripada cinta akan wang.+ Sebaliknya hendaklah kamu berpuas hati dengan apa yang kamu miliki,+ kerana Tuhan telah berfirman, “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.”+ 6 Oleh itu, dengan penuh keberanian kita dapat berkata, “Yehuwa* ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?”+
7 Ingatlah akan mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu,+ iaitu mereka yang telah menyampaikan firman Tuhan kepada kamu. Perhatikanlah hasil daripada tingkah laku mereka dan tirulah iman mereka.+
8 Yesus Kristus tetap sama, baik semalam, hari ini, mahupun selama-lamanya.
9 Janganlah disesatkan oleh pelbagai ajaran yang ganjil. Adalah lebih baik jika hati kita diteguhkan oleh kebaikan hati yang unggul daripada diteguhkan oleh makanan,* kerana orang yang terlalu bertumpu kepada makanan tidak akan meraih manfaat daripadanya.+
10 Kita mempunyai mazbah, tetapi orang yang menjalankan khidmat suci di khemah Tuhan tidak berhak untuk memakan korban di atas mazbah itu.+ 11 Imam agung membawa darah binatang-binatang ke dalam Bilik Maha Suci sebagai korban dosa, tetapi bangkai binatang-binatang itu dibakar di luar kawasan perkhemahan.+ 12 Demikian juga, Yesus menderita di luar pintu gerbang kota+ agar dia dapat menyucikan orang dengan darahnya.+ 13 Oleh itu, marilah kita pergi kepadanya di luar kawasan perkhemahan sambil menanggung hinaan yang ditanggung olehnya,+ 14 kerana di sini kita tidak mempunyai kota yang kekal. Kita mencari dengan bersungguh-sungguh kota yang akan datang.+ 15 Melalui Yesus, marilah kita sentiasa mempersembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Tuhan.+ Itulah buah yang kita persembahkan dengan bibir+ apabila kita mengisytiharkan nama-Nya di hadapan umum.+ 16 Selain itu, janganlah lupa untuk berbuat baik dan untuk mengongsi apa yang kamu miliki dengan orang lain,+ kerana korban-korban sebegitu menyenangkan hati Tuhan.+
17 Patuhilah mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu+ dan tunduklah kepada mereka,+ kerana mereka sedang menjaga kamu dan akan bertanggungjawab kepada Tuhan.+ Dengan demikian, mereka dapat menjalankan tugas dengan sukacita dan bukannya dengan keluh-kesah, kerana hal itu akan merugikan kamu.
18 Teruslah berdoa untuk kami, kerana kami percaya bahawa hati nurani kami murni, dan kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.+ 19 Khasnya aku ingin menggesa kamu untuk berdoa agar aku dapat kembali kepada kamu dengan lebih cepat.
20 Tuhan sudah membangkitkan Tuan Yesus, gembala agung kita,+ daripada kematian, dan darah yang mengesahkan perjanjian yang kekal ada bersamanya. Sekarang, semoga Tuhan kedamaian 21 melengkapi kamu dengan segala perkara baik yang diperlukan untuk melakukan kehendak-Nya. Melalui Yesus Kristus, semoga Tuhan menggerakkan kita untuk melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Semoga Tuhan dimuliakan buat selama-lamanya. Amin.
22 Sekarang saudara-saudara, aku menggesa kamu supaya mendengar kata-kata galakanku dengan sabar, kerana surat yang aku tulis ini ringkas sahaja. 23 Aku mahu kamu tahu bahawa saudara kita Timotius sudah dibebaskan. Jika dia segera datang ke sini, aku akan melawat kamu bersama dia.
24 Sampaikanlah salamku kepada semua yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu dan kepada semua umat suci. Mereka yang berada di Italia+ mengirim salam kepada kamu.
25 Semoga kebaikan hati Tuhan yang unggul menyertai kamu semua.
Atau “dan zaman-zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “Tongkat Kerajaanmu ialah tongkat keadilan.”
Harfiah, “minyak kegembiraan.”
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Lihat Lampiran A5.
Atau “korban untuk memohon pengampunan.”
Atau “dijemput.”
Merujuk kepada bangsa Israel.
Iaitu, khemah suci Tuhan.
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Iaitu, sejak anak-anak Adam dan Hawa dilahirkan.
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Atau “bersikap lemah lembut; bersikap sederhana.”
Atau “yang menyimpang.”
Atau “juga dikuasai oleh.”
Perkataan Yunani yang digunakan merujuk kepada latihan yang diterima oleh ahli gimnastik.
Harfiah, “Janganlah kita meletakkan asas lagi.”
Harfiah, “kuasa-kuasa.”
Atau “zaman.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “kehendak-Nya.”
Atau “Dia menambahkan sumpah kepada firman-Nya.”
Atau “kehidupan.”
Atau “seorang pelopor.”
Atau “kepala keluarga.”
Iaitu, dia bakal dilahirkan sebagai keturunan Abraham.
Lihat Lampiran A5.
Atau “tidak akan menyesal.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “perjanjian.”
Kerub ialah malaikat yang berpangkat tinggi.
Atau “tempat pendamaian.”
Atau “ialah suatu perumpamaan bagi; ialah suatu cerita ibarat bagi.”
Harfiah, “pelbagai jenis pembaptisan.”
Harfiah, “penebusan.”
Atau “perantara.”
Harfiah, “dirasmikan.”
Atau “gulungan.”
Iaitu, sejak anak-anak Adam dan Hawa dilahirkan.
Atau “zaman-zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau mungkin, “manusia.”
Atau “yang menjalankan khidmat suci kepada.”
Lihat Lampiran A5.
Atau “yakin.”
Harfiah, “merasmikan.”
Harfiah, “direnjis.” Maksudnya direnjis dengan darah Yesus.
Atau “setia.”
Atau “mengambil berat tentang; memberikan perhatian kepada.”
Atau “saling menggerakkan.”
Lihat Lampiran A5.
Atau “menghadapi kesengsaraan seolah-olah kamu berada di dalam teater.”
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Mungkin merujuk kepada Tuhan.
Atau “Oleh sebab nenek moyang kita.”
Atau “memberikan kesaksian kepada mereka.”
Atau “bahawa zaman-zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “setia.”
Harfiah, “dianggap sudah mati.”
Harfiah, “tulang-tulangnya.”
Gelaran bagi raja Mesir.
Harfiah, “Kristus.”
Lihat Kamus.
Harfiah, “menyentuh.”
Lihat Kamus.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Atau “mencambuk.”
Atau “latihan.”
Atau “Bapa kehidupan rohani kita.”
Atau “mendukacitakan.”
Lihat Kamus.
Atau “berpuluh-puluh ribu.”
Atau “tidak memberikan alasan kepada; tidak mengetepikan.”
Atau “menunjukkan kebaikan hati kepada orang yang tidak dikenali.”
Harfiah, “dibelenggu.”
Lihat Kamus.
Lihat Lampiran A5.
Iaitu, peraturan-peraturan tentang makanan.