PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • hf bahagian 6 1-3
  • Bagaimana Bayi Mengubah Perkahwinan Anda

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Bagaimana Bayi Mengubah Perkahwinan Anda
  • Keluarga Anda Boleh Bahagia
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • 1 FAHAMI BAGAIMANA BAYI MENGUBAH HIDUP ANDA
  • 2 ERATKAN HUBUNGAN ANDA
  • 3 MELATIH BAYI ANDA
  • Perkahwinan Bahagia dengan Bantuan Tuhan
    Keluarga Anda Boleh Bahagia
Keluarga Anda Boleh Bahagia
hf bahagian 6 1-3
Seorang jururawat membawa bayi yang baru lahir kepada ibu bapa bayi tersebut

BAHAGIAN 6

Bagaimana Bayi Mengubah Perkahwinan Anda

‘Anak-anak adalah anugerah Yehuwa.’​—Mazmur 127:3

Kelahiran seorang bayi dapat membawa kegembiraan dan juga perasaan resah. Bagi pasangan yang baru menjadi ibu bapa, anda mungkin tidak menyangka bahawa kebanyakan masa dan tenaga akan digunakan untuk menjaga bayi anda. Tidur yang tidak mencukupi dan perubahan emosi dapat menjejaskan hubungan anda. Anda berdua perlu membuat penyesuaian untuk menjaga bayi dan mengekalkan perkahwinan anda. Bagaimanakah nasihat Bible dapat membantu anda menangani cabaran-cabaran ini?

1 FAHAMI BAGAIMANA BAYI MENGUBAH HIDUP ANDA

NASIHAT BIBLE: Kasih itu “sabar dan baik hati.” Kasih juga “tidak mementingkan diri sendiri, tidak cepat tersinggung.” (1 Korintus 13:4, 5) Sebagai wanita yang baru bergelar ibu, anda tentu akan memberikan lebih banyak perhatian kepada bayi anda. Namun, suami anda mungkin mula berasa tersisih. Jadi, ingatlah bahawa dia juga memerlukan perhatian anda. Kesabaran dan kebaikan hati anda dapat membantu suami berasa diperlukan dan dia juga berperanan untuk menjaga anak anda.

Seorang ayah menyuap makanan kepada bayi, dan dia menjaga bayi pada waktu malam

“Suami-suami harus hidup dengan isteri kamu dengan penuh pengertian.” (1 Petrus 3:7) Fahamilah bahawa isteri akan menghabiskan banyak tenaga untuk menjaga bayi anda. Tanggungjawab baru ini mungkin membuat isteri anda tertekan, penat, atau tawar hati. Ada kalanya, dia mungkin marah dengan anda, tetapi cubalah bertenang, kerana ‘orang yang bersabar lebih baik daripada orang yang berkuasa.’ (Amsal 16:32) Tunjukkan pengertian dan berikan sokongan yang isteri anda perlukan.​—Amsal 14:29.

ANDA BOLEH:

  • Bapa: Bantu isteri anda menjaga bayi, bahkan pada waktu malam. Kurangkan masa bagi aktiviti lain supaya mempunyai lebih banyak masa untuk bersama isteri dan bayi anda

  • Ibu: Terima bantuan suami untuk menjaga bayi. Jangan mengkritik jika dia melakukan kesilapan, tetapi tunjukkan caranya dengan baik hati

2 ERATKAN HUBUNGAN ANDA

NASIHAT BIBLE: “Mereka menjadi satu.” (Kejadian 2:24) Walaupun bayi anda telah menjadi sebahagian daripada keluarga, ingatlah bahawa anda berdua masih “satu.” Berusahalah untuk mengeratkan hubungan anda.

Isteri, hargailah bantuan dan sokongan suami anda. Penghargaan yang anda tunjukkan adalah seperti “ubat yang menyembuhkan.” (Amsal 12:18) Suami, beritahulah isteri bahawa anda sangat menyayangi dan menghargainya. Pujilah cara dia menjalankan tanggungjawabnya.​—Amsal 31:10, 28.

“Janganlah seorang pun lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi lakukanlah sesuatu untuk kepentingan orang lain.” (1 Korintus 10:24) Lakukanlah apa yang terbaik untuk pasangan anda. Sebagai suami isteri, luangkan masa untuk berbual, memberikan pujian, dan mendengar satu sama lain. Mengenai hubungan seks, jangan pentingkan diri, sebaliknya fikirkan keperluan pasangan anda. Bible berkata, “Janganlah saling jauhkan diri dalam hubungan sebagai suami isteri, kecuali kedua-dua belah pihak bersetuju.” (1 Korintus 7:3-5) Oleh itu, bincangkan hal ini secara jujur. Usaha anda untuk saling memahami dan bersabar akan mengeratkan hubungan anda.

Seorang suami dan isteri meluangkan masa bersama-sama semasa bayi sedang tidur

ANDA BOLEH:

  • Pastikan agar anda berdua meluangkan masa bersama-sama

  • Lakukan sesuatu agar pasangan anda berasa disayangi. Contohnya, berikan kad atau hadiah yang kecil

3 MELATIH BAYI ANDA

Seorang ibu membacakan untuk bayinya

NASIHAT BIBLE: “Sejak kecil lagi engkau telah mengenal Alkitab. Alkitab itu boleh memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan.” (2 Timotius 3:15) Rancanglah apa yang akan anda lakukan untuk mengajar bayi anda. Kebolehan bayi untuk belajar sangat mengagumkan, bahkan sebelum lahir. Semasa di dalam rahim, bayi dapat mengenali suara anda dan bertindak balas dengan emosi anda. Bacalah untuk bayi anda walaupun dia belum dapat memahaminya. Cara ini dapat membantu memupuk minatnya untuk membaca apabila dewasa.

Walaupun masih bayi, anak anda perlu mendengar tentang Tuhan. Biarlah doa anda kepada Yehuwa didengari oleh bayi anda. (Ulangan 11:19) Semasa bermain dengan bayi anda, cakaplah tentang ciptaan Tuhan. (Mazmur 78:3, 4) Seraya anak anda membesar, dia akan merasakan kasih anda kepada Yehuwa dan juga belajar untuk mengasihi Yehuwa.

ANDA BOLEH:

  • Berdoa secara spesifik untuk mendapatkan kebijaksanaan bagi melatih bayi anda

  • Ulangi kata-kata dan maklumat yang penting agar bayi anda dapat mula belajar seawal yang mungkin

BAYI MEMBAWA KESAN BAIK DALAM PERKAHWINAN

Seraya masa berlalu, anda berdua akan menyesuaikan diri dan yakin untuk menjadi ibu bapa. Membesarkan anak dapat menjadikan anda seorang yang lebih pengasih, sabar, dan baik hati. Jika anda bekerjasama dan menyokong satu sama lain, kehadiran bayi akan mengeratkan hubungan anda. Kata-kata di Mazmur 127:3 yang menyatakan bahawa bayi anda ‘adalah berkat Tuhan’ boleh menjadi kenyataan.

TANYALAH DIRI . . .

  • Apakah yang saya lakukan sepanjang minggu lalu untuk menunjukkan penghargaan terhadap usaha suami atau isteri saya demi keluarga?

  • Bilakah kali terakhir saya dan pasangan berbual tentang diri kami dan bukannya bayi kami?

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi