PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 33 1A-7T
  • Mikha

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Mikha
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Mikha

MIKHA

1 Mikha,*+ yang berasal dari Moresyet, telah menerima perkhabaran daripada Yehuwa tentang Samaria dan Yerusalem. Hal itu berlaku pada zaman pemerintahan raja-raja Yehuda,+ iaitu Yotam,+ Ahas,+ dan Hizkia.+ Mikha menyampaikan apa yang dilihatnya:

 2 “Dengarlah, hai semua orang!

Berikanlah perhatian, hai bumi dan semua yang ada di dalamnya.

Hendaklah Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, menjadi saksi yang menuduh kamu.+

Yehuwa yang berada di Rumah-Nya yang suci akan berbuat demikian.

 3 Lihatlah! Yehuwa sedang keluar dari tempat-Nya.

Dia akan turun dan menginjak tempat-tempat tinggi di bumi.

 4 Gunung-ganang akan mencair di bawah kaki-Nya,+

Dan lembah-lembah* akan terbelah

Seperti lilin yang terkena api,

Dan seperti air yang dicurahkan dari tempat yang curam.

 5 Semua ini berlaku kerana pemberontakan Yakub,

Dan kerana dosa-dosa keturunan* Israel.+

Siapakah yang bertanggungjawab terhadap pemberontakan Yakub?

Bukankah Samaria?+

Siapakah yang bertanggungjawab atas tempat-tempat tinggi di Yehuda?+

Bukankah Yerusalem?

 6 Aku akan menjadikan Samaria timbunan batu di padang,

Dan sebuah tempat untuk menanam anggur;

Aku akan melemparkan batu-batunya ke dalam lembah,

Dan Aku akan membongkar batu-batu asasnya.

 7 Semua patung berhalanya akan dihancurkan,+

Semua pemberian yang diterimanya sebagai upah pelacurannya akan dibakar di dalam api.+

Aku akan memusnahkan semua berhala,

Yang diterimanya sebagai upah pelacurannya.

Upah ini akan digunakan untuk membayar upah pelacur lain.”

 8 Oleh itu, aku akan meraung dan meratap.+

Aku akan berkaki ayam dan bertelanjang.+

Aku akan meraung seperti serigala,

Dan meratap seperti burung unta.

 9 Luka Samaria tidak dapat disembuhkan,+

Dan jangkitannya telah merebak sampai ke Yehuda.+

Tulah ini telah menular sampai ke pintu gerbang umat-Ku di Yerusalem.+

10 “Jangan umumkan hal ini di Gat.

Jangan menitiskan air mata.

Bergulinglah di dalam debu di Bet-afra.*

11 Hai penduduk Safir, keluarlah dalam keadaan telanjang dan dengan rasa malu.

Penduduk Zaanan belum keluar.

Dahulu Bet-haezel ialah tempat naunganmu, tetapi sekarang hanya kedengaran bunyi ratapan di situ.

12 Penduduk Marot menantikan apa yang baik,

Tetapi Yehuwa menurunkan apa yang buruk ke pintu gerbang Yerusalem.

13 Hai penduduk Lakhis,+ pasanglah kuda pada kereta kuda,

Kamulah yang menyebabkan anak perempuan Sion berdosa.

Kamu telah memberontak seperti orang Israel.+

14 Maka kamu akan memberikan hadiah perpisahan kepada Moresyet-gat.

Raja-raja Israel tidak dapat mengharapkan rumah-rumah Akhzib.+

15 Hai penduduk Maresa,+ Aku akan membawa seorang penakluk kepadamu.+

Kegemilangan Israel akan sampai sejauh Adulam.+

16 Kamu akan menggunting rambut dan membotakkan kepalamu demi anak-anakmu yang tersayang.

Biarlah kepalamu botak seperti kepala burung helang,

Kerana anak-anakmu telah ditawan dan dipisahkan daripadamu.”+

2 “Malanglah orang yang jahat!

Sambil berbaring di katil, mereka merancang apa yang buruk.

Apabila pagi tiba, mereka melaksanakannya,

Kerana mereka mampu berbuat demikian.+

 2 Apabila mereka menginginkan ladang orang lain, mereka merampasnya;+

Apabila mereka menginginkan rumah orang lain, mereka merebutnya.

Mereka menggunakan tipu helah untuk mendapatkan rumah seseorang,+

Dan mencuri harta pusakanya.

 3 Oleh itu, Yehuwa berfirman,

‘Aku merancang untuk mendatangkan malapetaka atas kamu,+ dan kamu tidak akan terlepas.+

Kamu tidak akan berjalan dengan angkuh lagi,+ kerana inilah waktunya kamu ditimpa kesusahan.+

 4 Pada masa itu, kamu akan menjadi bahan cerita orang,

Mereka akan meratapi keadaanmu.+

Mereka akan berkata, “Habislah kita!+

Tuhan menyerahkan warisan kita kepada orang lain, ya, warisan kita telah hilang!+

Tanah kita telah diberikan kepada bangsa-bangsa yang tidak setia.”

 5 Maka tidak ada sesiapa yang akan merentangkan tali pengukur,

Untuk membahagi-bahagikan tanah dalam sidang Yehuwa.

 6 “Jangan berkhutbah!” kata mereka,

“Mereka tidak patut berkhutbah tentang hal-hal ini.

Rasa malu tidak akan menimpa kita!”

 7 Hai keturunan Yakub, bukankah kamu telah berkata,

“Adakah Yehuwa* hilang sabar?

Adakah semua ini perbuatan Tuhan?”

Bukankah firman-Ku membawa manfaat kepada orang yang baik?

 8 Tetapi kebelakangan ini, umat-Ku bangkit sebagai musuh.

Kamu menanggalkan hiasan indah dan* jubah orang yang lalu-lalang.

Ya, kamu menanggalkannya daripada orang yang berjalan dengan yakin, seperti mereka yang baru kembali dari perang.

 9 Kamu menghalau kaum wanita dalam kalangan umat-Ku dari rumah mereka yang indah.

Kamu mengambil semua berkat yang telah Aku curahkan ke atas anak-anak mereka, dan kamu tidak mengembalikannya.

10 Bangunlah dan pergilah! Tempat ini bukanlah tempat untuk berehat.

Tempat ini tercemar,+ maka kemusnahan yang dahsyat akan menimpanya.+

11 Jika seseorang mengejar angin dan tipu daya lalu berkata,

“Aku akan berkhutbah tentang wain dan minuman keras,”

Memang sesuai dia menjadi pengkhutbah bangsa ini!+

12 Tetapi Aku pasti akan mengumpulkan kamu semua, hai Yakub.

Aku pasti akan mengumpulkan umat Israel yang tertinggal.+

Aku akan menyatukan mereka, dan mereka akan menjadi seperti biri-biri yang dikumpulkan di dalam sebuah kandang,

Seperti kawanan binatang di tengah-tengah padang rumput.+

Suasana di situ pasti riuh-rendah.’+

13 Seseorang yang membuka jalan ada di hadapan mereka.

Mereka akan merempuh keluar dari pintu gerbang.+

Raja mereka akan berjalan di hadapan mereka.

Yehuwa akan memimpin mereka semua.”+

3 Aku berkata, “Dengarlah, hai para pemimpin Yakub

Dan ketua-ketua keturunan Israel,+

Bukankah kamu patut mengetahui apa itu keadilan?

 2 Tetapi kamu membenci apa yang baik+ dan mencintai apa yang jahat;+

Kamu merobek kulit bangsaku dan mencabik daging dari tulang-tulang mereka.+

 3 Kamu juga makan daging bangsaku+

Dan menanggalkan kulit mereka.

Kamu mematahkan dan meremukkan tulang mereka.+

Mereka seperti makanan di dalam periuk, ya, seperti daging yang dimasak di dalamnya.

 4 Masanya akan tiba apabila kamu akan berseru kepada Yehuwa dan meminta bantuan-Nya,

Tetapi Dia tidak akan menjawab.

Pada masa itu, Dia akan memalingkan muka-Nya daripada kamu,+

Kerana kamu telah melakukan apa yang jahat.+

 5 Para nabi sedang menyesatkan bangsaku.+

Apabila gigi mereka dapat mengunyah sesuatu,*+ mereka akan berseru, ‘Kamu akan aman!’+

Tetapi jika mulut mereka tidak disuap, mereka akan berteriak, ‘Kamu akan binasa!’

Jadi inilah firman Yehuwa kepada nabi-nabi ini:

 6 ‘Kamu tidak akan mendapat penglihatan;+ hari akan gelap-gelita bagimu;+

Kamu akan diselubungi kegelapan, dan tidak dapat meramalkan apa-apa.*

Matahari akan terbenam untuk para nabi itu,

Dan siang hari akan bertukar menjadi gelap.+

 7 Orang yang meramalkan masa depan akan dimalukan,+

Dan mereka yang mengamalkan ilmu ramal pasti kecewa.

Mereka semua akan menutup mulut* mereka dengan malu,

Kerana Tuhan tidak menjawab mereka.’”

 8 Tetapi melalui kuasa suci* Yehuwa, aku dipenuhi kekuatan.

Aku dapat bertindak dengan adil dan berani,

Dan memberitahu Yakub tentang pemberontakannya dan menyatakan dosa Israel.

 9 Dengarlah, hai para pemimpin Yakub

Dan ketua-ketua keturunan Israel,+

Kamu membenci keadilan dan membengkokkan apa yang lurus.+

10 Kamu mendirikan Sion dengan darah dan membina Yerusalem dengan kejahatan.+

11 Untuk mendapat rasuah, para pemimpin kota melaksanakan keadilan,+

Untuk mendapat upah, para imam kota mengajar orang,+

Untuk mendapat wang,* para nabi mengamalkan ilmu ramal.+

Mereka kononnya bersandar pada Yehuwa. Mereka berkata,

“Bukankah Yehuwa menyertai kita?+

Kita tidak akan ditimpa malapetaka.”+

12 Disebabkan perbuatan kamu,

Sion akan dibajak seperti ladang,

Yerusalem akan menjadi runtuhan batu,+

Dan gunung tempat Rumah Tuhan akan menjadi seperti gunung yang berhutan.+

4 Pada hari-hari terakhir,

Gunung tempat Rumah Yehuwa+

Akan berdiri teguh dan menjadi lebih tinggi daripada puncak gunung yang lain,

Serta menjadi lebih tinggi daripada semua bukit.

Orang ramai akan berduyun-duyun ke sana.+

 2 Banyak bangsa akan pergi dan berkata,

“Marilah kita naik ke gunung Yehuwa,

Dan ke Rumah Tuhan Yakub.+

Dia akan mengajar kita haluan-Nya,

Dan kita akan mengikut jalan-Nya.”

Hukum* akan keluar dari Sion,

Dan firman Yehuwa akan keluar dari Yerusalem.

 3 Dia akan menghakimi banyak bangsa,+

Dan menyelesaikan perselisihan kuasa-kuasa besar, baik yang dekat mahupun yang jauh.

Mereka akan menempa pedang menjadi bajak,*

Dan tombak menjadi pisau pemangkas.+

Satu bangsa tidak akan mengangkat pedang untuk melawan bangsa yang lain,

Dan mereka tidak akan belajar berperang lagi.+

 4 Setiap orang akan duduk* di bawah pokok anggur dan di bawah pokok ara masing-masing.+

Tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka berasa takut,+

Kerana perkara ini telah difirmankan oleh Yehuwa, ketua angkatan syurga.

 5 Setiap bangsa akan menyandang nama* tuhan-tuhan mereka,

Tetapi kita akan menyandang nama* Yehuwa, Tuhan kita,+ buat selama-lamanya.

 6 “Pada hari itu,” firman Yehuwa,

“Aku akan mengumpulkan orang yang tempang,

Bangsa yang telah tercerai-berai,+

Dan orang yang telah Aku hukum.

 7 Aku akan mengumpulkan saki-baki orang yang tempang,+

Dan Aku akan menyebabkan bangsa yang telah diusir ke tempat yang jauh menjadi sebuah bangsa yang kuat;+

Yehuwa akan memerintah sebagai raja mereka di atas Gunung Sion,

Mulai sekarang sehingga selama-lamanya.

 8 Hai menara kawanan bebiri,

Gunung kota Sion,+

Kekuasaanmu yang dahulu* pasti akan dikembalikan kepadamu,+

Ya, kerajaan itu akan dikembalikan kepada kota Yerusalem.+

 9 Mengapakah engkau menjerit dengan kuat?

Adakah engkau kesakitan seperti wanita yang hendak bersalin?+

Adakah hal ini disebabkan engkau tidak mempunyai raja,

Dan para penasihatmu sudah meninggal?

10 Hai kota Sion, mengeranglah dan meraunglah

Seperti wanita yang hendak bersalin,

Kerana sekarang engkau terpaksa keluar dari kota dan tinggal di padang.

Engkau akan pergi sejauh Babilon,+

Dan di situ engkau akan diselamatkan.+

Di situ, Yehuwa akan membeli engkau daripada tangan musuh-musuhmu.+

11 Banyak bangsa akan berkumpul untuk menentang engkau.

Mereka akan berkata, ‘Biarlah Sion dihina.

Semoga mata kita melihat hal ini terjadi kepadanya.’

12 Tetapi mereka tidak mengetahui fikiran Yehuwa,

Dan mereka tidak memahami tujuan-Nya.*

Dia akan mengumpulkan mereka seperti berkas-berkas gandum yang baru dipotong lalu dibawa ke tempat mengirik.*

13 Hai kota Sion, bangkitlah dan iriklah gandum,+

Aku akan menggantikan tandukmu dengan tanduk besi,

Dan menggantikan kukumu dengan kuku tembaga.

Engkau akan meremukkan banyak bangsa.+

Engkau akan mengambil keuntungan yang dikaut oleh mereka secara tidak jujur, dan memberikannya kepada Yehuwa.

Engkau juga akan menyerahkan harta mereka kepada Tuan yang benar, iaitu Tuan atas seluruh bumi.”+

5 “Hai penduduk kota yang dikepung,+

Kamu mencederakan diri sendiri;

Kita telah diserang!

Mereka memukul pipi hakim Israel dengan sebatang tongkat.+

 2 Hai Betlehem Efrata,+

Engkaulah yang terkecil dalam kalangan ribuan kota* di Yehuda,

Tetapi daripadamu akan bangkit seorang pemerintah Israel yang mewakili-Ku.+

Pemerintah ini berasal dari zaman purba, dari zaman dahulu.

 3 Tuhan akan meninggalkan mereka

Sehingga waktunya tiba bagi wanita yang bakal bersalin untuk melahirkan anak,

Dan saudara-saudara lelaki pemerintah itu yang masih hidup akan kembali kepada orang Israel.

 4 Dengan kekuatan daripada Yehuwa,

Dan dengan keunggulan nama Yehuwa, Tuhannya, dia akan bangkit dan menggembala mereka.+

Kehebatannya akan sampai ke seluruh pelosok bumi,+

Maka mereka akan hidup aman sentosa.+

 5 Dia akan membawa keamanan.+

Seandainya Assyria menyerang negeri kita dan menginjak-injak menara kita,+

Kita akan melantik tujuh orang gembala, ya, lapan orang pemimpin untuk melawannya.

 6 Mereka akan menggunakan pedang untuk menghukum* negeri Assyria,+

Dan menyerang negeri Nimrod+ di pintu-pintu masuknya.

Apabila Assyria menyerang negeri kita dan menginjak-injak tanah kita,

Dia akan menyelamatkan kita daripadanya.+

 7 Keturunan Yakub yang tertinggal akan hidup dalam kalangan banyak bangsa.

Mereka akan menjadi seperti embun yang turun daripada Yehuwa,

Dan seperti hujan yang membasahi tanaman.

Mereka tidak mengharapkan

Dan tidak menanti-nantikan manusia.

 8 Keturunan Yakub yang tertinggal akan hidup dalam kalangan banyak bangsa,

Dan dalam kalangan orang ramai.

Mereka akan menjadi seperti singa di antara binatang-binatang di hutan.

Mereka akan menjadi seperti anak singa yang berada di tengah-tengah kawanan bebiri,

Yang menerkam dan mencabik-cabik semua bebiri itu.

Tiada sesiapa pun yang dapat menyelamatkan bebiri itu.

 9 Engkau akan mengangkat tanganmu sebagai tanda kemenangan atas musuh-musuhmu.

Mereka semua akan dibinasakan.”

10 “Pada hari itu,” firman Yehuwa,

“Aku akan melenyapkan semua kudamu dan memusnahkan semua kereta kudamu.

11 Aku akan memusnahkan kota-kota di negerimu,

Dan meruntuhkan kubu-kubumu.

12 Aku akan menghentikan segala amalan sihirmu.

Tiada seorang pun yang mengamalkan ilmu sihir dalam kalangan kamu akan terus hidup.+

13 Aku akan memusnahkan patung berhala dan tugu-tugu suci* kamu.

Kamu tidak akan sujud kepada benda-benda buatan kamu sendiri lagi.+

14 Aku akan memusnahkan tiang-tiang suci*+ kamu,

Dan membinasakan kota-kota kamu.

15 Dalam kemarahan-Ku dan kemurkaan-Ku, Aku akan melakukan pembalasan

Terhadap bangsa-bangsa yang tidak patuh kepada-Ku.”

6 Dengarlah firman Yehuwa.

Bangunlah dan buatlah pembelaan bagi dirimu di hadapan gunung-ganang;

Biarlah bukit-bukit mendengar suaramu.+

 2 Hai gunung-ganang dan asas bumi yang kukuh,+

Dengarlah hujah-hujah Yehuwa.

Yehuwa membuat dakwaan terhadap umat-Nya Israel.

Dia akan membuat tuduhan terhadap mereka.+ Dia berfirman,

 3 “Hai umat-Ku, apakah yang telah Aku lakukan terhadap kamu?

Dalam hal apakah Aku telah menyusahkan kamu?+

Jawablah Aku.

 4 Aku telah membawa kamu keluar dari negeri Mesir.+

Aku telah menyelamatkan kamu daripada perhambaan.+

Aku telah mengutus Musa, Harun, dan Miryam+ kepadamu.

 5 Hai umat-Ku, ingatlah akan tawaran Raja Balak dari Moab,+

Dan jawapan yang diberikan oleh Bileam anak Beor kepadanya.+

Ingatlah akan peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan dari Sitim+ ke Gilgal,+

Supaya kamu menyedari bahawa Yehuwa melakukan apa yang benar.”

 6 Apakah yang harus aku bawa semasa menghadap Yehuwa?

Apakah yang harus aku bawa semasa aku bersujud kepada Tuhan di syurga?

Haruskah aku mempersembahkan korban bakar di hadapan-Nya?

Haruskah aku membawa anak lembu yang berumur satu tahun?+

 7 Adakah Yehuwa berkenan jika aku mempersembahkan beribu-ribu ekor kambing jantan?

Ataupun minyak zaitun yang berlimpah-limpah?+

Haruskah aku mempersembahkan anak sulungku kepada-Nya kerana kesalahanku?

Haruskah aku mempersembahkan anak kandungku kerana dosaku?+

 8 Hai manusia, Tuhan telah memberitahu engkau apa yang baik.

Apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripadamu?

Dia ingin engkau berlaku adil,+ mencintai kesetiaan,*+

Dan hidup dengan rendah hati+ di hadapan Tuhan.+

 9 Suara Yehuwa akan kedengaran di kota.

Orang yang bijaksana akan berasa takut setelah mendengar nama-Nya.*

Perhatikanlah tongkat penghakiman, dan lihatlah siapa yang telah menentukan penghakiman.+

10 Adakah kekayaan yang tidak halal masih ada di dalam rumah orang yang jahat?

Adakah takaran palsu yang menjijikkan itu masih ada di dalam rumah mereka?

11 Adakah aku seorang yang baik* jika aku menggunakan neraca palsu,

Atau batu timbangan yang tidak tepat?+

12 Orang kaya di kota melakukan banyak keganasan,

Dan penduduk kota suka berdusta.+

Lidah di dalam mulut mereka sarat dengan tipu daya.+

13 “Oleh itu, Aku akan memukulmu dan mencederakanmu.+

Engkau akan sunyi sepi kerana dosamu.

14 Engkau akan makan, tetapi tidak akan rasa puas;

Engkau akan sentiasa berasa lapar.+

Apa yang engkau simpan, tidak akan selamat.

Apa yang dapat engkau selamatkan, akan Aku hancurkan dengan pedang.

15 Engkau akan menabur benih, tetapi engkau tidak akan menuai hasilnya.

Engkau akan memerah buah zaitun, tetapi engkau tidak akan menggunakan minyaknya.

Engkau akan membuat wain baharu, tetapi engkau tidak akan meminumnya.+

16 Hal ini demikian kerana kamu semua mengikut segala perbuatan Omri dan keluarga Ahab.+

Kamu juga hidup menurut nasihat mereka.

Itulah sebabnya Aku akan membuat orang takut apabila mereka melihat keadaan kamu.

Penduduk kota akan mengetawakan kamu,*+

Dan bangsa-bangsa akan menghina kamu.”+

7 Malanglah aku!

Selepas buah-buahan musim panas dikumpulkan

Dan buah anggur dituai,

Aku tidak menjumpai segugus anggur pun untuk dimakan,

Dan tiada buah ara yang sedap yang aku idamkan.

 2 Orang yang setia telah lenyap dari bumi;

Dalam kalangan umat manusia, tiada orang yang lurus hati.+

Mereka semua menantikan peluang untuk menumpahkan darah.+

Mereka seperti pemburu yang memasang perangkap* untuk menjerat saudara mereka.

 3 Tangan mereka cekap melakukan kejahatan.+

Pemimpin membuat tuntutan,

Hakim meminta ganjaran,+

Dan orang kenamaan menyatakan hasratnya.+

Ya, mereka semua bersubahat.

 4 Orang yang terbaik antara mereka bagaikan duri.

Orang yang paling lurus hati antara mereka lebih teruk daripada semak berduri.

Hari penghakiman yang disebutkan oleh para pengawal mereka* akan tiba.+

Sekarang mereka akan berasa cemas.+

 5 Jangan mempercayai temanmu

Ataupun sahabat karibmu.+

Berhati-hatilah dengan apa yang kamu katakan kepada orang yang berbaring di pangkuanmu.

 6 Hal ini demikian kerana anak lelaki akan menghina bapanya,

Anak perempuan akan melawan ibunya,+

Dan menantu perempuan akan melawan ibu mentuanya.+

Sememangnya, musuh seseorang ialah ahli keluarganya sendiri.+

 7 Tetapi aku akan terus berjaga-jaga sambil menunggu Yehuwa.+

Dengan sabar, aku akan menantikan Tuhan yang akan menyelamatkan aku.+

Tuhanku akan mendengar kata-kataku.+

 8 Hai musuhku, janganlah bersukacita kerana aku ditimpa musibah.

Meskipun aku telah jatuh, aku akan bangkit semula.

Meskipun aku diselubungi kegelapan, Yehuwa akan menjadi cahayaku.

 9 Aku akan menanggung kemurkaan Yehuwa

Kerana aku telah berdosa terhadap-Nya.+

Aku akan terus berbuat demikian sehingga Dia membela aku dan memberikan keadilan kepadaku.

Dia akan membawa aku keluar kepada cahaya.

Aku akan menyaksikan keadilan-Nya.

10 Musuhku juga akan melihat,

Dan dia akan berasa malu kerana dia pernah berkata kepadaku,

“Di manakah Yehuwa, Tuhanmu?”+

Dengan mataku sendiri,

Aku akan melihat dia diinjak-injak seperti lumpur di jalan.

11 Harinya akan tiba dan engkau akan membina tembok-tembok kotamu,

Dan kawasanmu akan diperluas.*

12 Pada hari itu, orang akan datang kepadamu.

Mereka akan datang dari Assyria dan kota-kota Mesir,

Dari Mesir sampai ke Sungai Efrat,

Dari laut ke laut, dan dari gunung ke gunung.+

13 Negeri itu akan menjadi tempat tandus kerana penduduknya,

Ya, kerana apa yang telah dilakukan oleh penduduknya.

14 Gembalakanlah umat-Mu dengan tongkat-Mu. Merekalah kawanan bebiri warisan-Mu,+

Yang tinggal sendirian di dalam hutan, di tengah-tengah kebun buah.

Biarlah mereka menikmati makanan di Basan dan Gilead,+ seperti pada masa dahulu.

15 “Aku akan menunjukkan perkara-perkara yang menakjubkan kepada bangsa Israel,

Seperti yang telah Aku lakukan semasa engkau keluar dari Mesir.+

16 Bangsa-bangsa akan melihat dan berasa malu meskipun mereka perkasa.+

Mereka akan menutup mulut dengan tangan,

Dan mereka akan menjadi pekak.

17 Mereka akan menjilat debu seperti ular;+

Seperti binatang yang menjalar* di tanah, mereka akan keluar dari tempat naungan mereka dengan takut.

Mereka akan menghadap Tuhan Yehuwa dengan gementar.

Ya, mereka akan takut kepada-Mu.”+

18 Tidak ada Tuhan seperti Engkau.

Engkau mengampunkan kesalahan dan melupakan kesilapan+ umat-Mu* yang masih hidup.+

Engkau tidak akan murka untuk selama-lamanya

Kerana Engkau suka menunjukkan kasih-Mu yang setia.+

19 Engkau akan berbelas kasihan terhadap kami lagi.+ Engkau akan memijak-mijak* dosa kami,

Dan melemparkan semua dosa kami ke dasar laut.+

20 Engkau akan menunjukkan kesetiaan-Mu kepada Yakub,

Dan kasih-Mu yang setia kepada Abraham,

Seperti yang Engkau janjikan kepada nenek moyang kami sejak dahulukala.+

Singkatan bagi Mikhael atau Mikhaya, yang bermaksud “Siapakah seperti Yehuwa?”

Atau “dataran-dataran rendah.”

Harfiah, “rumah.”

Atau “di rumah Afra.”

Atau “kuasa Yehuwa.”

Atau mungkin, “daripada.”

Atau “Apabila mereka dapat menggigit sesuatu.”

Atau “tidak dapat mengamalkan ilmu ramal.”

Atau “misai.”

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Atau “perak.”

Atau “Ajaran.”

Harfiah, “mata bajak.”

Atau “tinggal.”

Harfiah, “berjalan dalam nama.”

Harfiah, “berjalan dalam nama.”

Atau “yang pertama.”

Atau “nasihat-Nya.”

Proses memisahkan buah daripada tangkai.

Atau “dalam kalangan keluarga.”

Harfiah, “menggembala.”

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “menunjukkan kebaikan hati, kasih, dan kesetiaan.” Harfiah, “mencintai kasih setia.”

Harfiah, “nama-Mu.”

Atau “yang bersih secara moral.”

Atau “akan bersiul apabila mereka melihat kamu.”

Harfiah, “pukat.”

Harfiah, “kamu.”

Atau mungkin, “Dan perintah akan disebarkan ke tempat yang jauh.”

Atau “reptilia.”

Harfiah, “warisan-Mu.”

Atau “menakluki.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi