ZAKHARIA
1 Pada bulan kelapan tahun kedua pemerintahan Raja Darius,+ Yehuwa berfirman kepada Nabi Zakharia*+ anak Berekia, cucu Ido, 2 “Aku, Yehuwa, sangat murka terhadap nenek moyang kamu.+
3 “Beritahulah umat ini bahawa demikianlah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘Akulah Yehuwa, ketua angkatan syurga. Kembalilah kepada Aku, maka Aku akan kembali kepada kamu.’+ Itulah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga.
4 “Dahulu para nabi berkata kepada nenek moyang kamu, ‘Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, “Berpalinglah daripada haluan kamu yang jahat dan tinggalkanlah perbuatan kamu yang jahat.”’+
“‘Tetapi mereka tidak ambil peduli, dan mereka tidak mengendahkan Aku. Janganlah bersikap seperti mereka,’+ firman Yehuwa.
5 “‘Di manakah nenek moyang kamu sekarang? Dapatkah nabi-nabi itu hidup selama-lamanya? Mereka semua sudah tiada. 6 Namun, segala perintah dan peraturan-Ku yang disampaikan melalui para nabi, iaitu hamba-hamba-Ku, ternyata benar. Aku telah mengingatkan nenek moyang kamu apa yang akan berlaku jika mereka ingkar, dan tidakkah semua perkara itu benar-benar terjadi?’+ Kemudian, nenek moyang kamu bertaubat dan berkata, ‘Yehuwa, ketua angkatan syurga, telah melaksanakan apa yang ditentukan-Nya. Dia membalas kami setimpal dengan segala perbuatan kami.’”+
7 Pada hari ke-24 bulan Syebat,* iaitu bulan ke-11 dalam tahun kedua pemerintahan Darius,+ Nabi Zakharia anak Berekia, cucu Ido, menerima perkhabaran berikut daripada Yehuwa: 8 “Aku nampak suatu penglihatan pada waktu malam. Ada seorang lelaki menunggang seekor kuda merah. Dia berhenti di sebuah lembah, di antara pokok-pokok mirtel. Di belakangnya terdapat beberapa orang lagi yang menunggang kuda berwarna merah, perang, dan putih.”
9 Lalu aku bertanya, “Siapakah mereka tuan?”
Malaikat yang bercakap dengan aku itu menjawab, “Aku akan menunjukkan kepada kamu siapa mereka ini.”
10 Lelaki yang berada di antara pokok-pokok mirtel itu berkata, “Merekalah yang diutus oleh Yehuwa untuk menjelajahi seluruh bumi.” 11 Lalu para penunggang kuda itu berkata kepada malaikat Yehuwa yang berdiri di antara pokok-pokok mirtel, “Kami telah menjelajahi seluruh bumi dan mendapati bahawa seluruh bumi tenang dan tenteram.”+
12 Malaikat Yehuwa berkata, “Ya Yehuwa, ketua angkatan syurga, Engkau sudah murka terhadap Yerusalem dan kota-kota Yehuda+ selama 70 tahun. Sampai bilakah mereka harus menunggu belas kasihan-Mu?”+
13 Dengan kata-kata yang ramah, Yehuwa melegakan hati malaikat yang bercakap kepada aku itu. 14 Kemudian malaikat tersebut berkata kepadaku, “Isytiharkanlah: ‘Demikianlah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Aku mengambil berat dan sangat mengasihi Yerusalem dan Sion.+ 15 Tetapi Aku sangat murka terhadap bangsa-bangsa yang berasa aman dan tenteram.+ Kemurkaan-Ku terhadap umat-Ku hanyalah sedikit,+ tetapi bangsa-bangsa itu membuat penderitaan umat-Ku bertambah parah lagi.”’+
16 “Oleh itu, demikianlah firman Yehuwa: ‘Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, mengisytiharkan, “Aku akan kembali ke Yerusalem dan menunjukkan belas kasihan terhadap penduduknya.+ Rumah-Ku akan dibina semula di situ,+ dan tali penyukat akan direntangkan supaya Yerusalem dibina semula.”’+
17 “Isytiharkanlah hal ini juga: ‘Demikianlah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Sekali lagi kota-kota-Ku akan dipenuhi dengan segala yang baik. Aku, Yehuwa, akan melegakan hati Sion lagi,+ dan Yerusalem akan menjadi tempat pilihan-Ku sekali lagi.”’”+
18 Kemudian aku nampak empat buah tanduk.+ 19 Lalu aku bertanya kepada malaikat yang bercakap kepadaku, “Apakah makna tanduk-tanduk itu?” Dia menjawab, “Tanduk-tanduk itu melambangkan kuasa yang mencerai-beraikan penduduk Yehuda,+ Israel,+ dan Yerusalem.”+
20 Selanjutnya, Yehuwa menunjukkan kepadaku empat orang tukang yang mahir. 21 Aku bertanya, “Apakah tujuan mereka datang?”
Dia menjawab, “Empat orang tukang itu datang untuk menakutkan bangsa-bangsa dan menjatuhkan tanduk mereka, yang telah mencerai-beraikan penduduk Yehuda. Dengan tanduk-tanduk itu, mereka telah menyerang negeri Yehuda dan mencerai-beraikan penduduknya sehingga tiada seorang pun yang dapat mengangkat kepalanya.”
2 Kemudian aku nampak seorang lelaki yang memegang tali penyukat.+ 2 Maka aku bertanya, “Kamu hendak ke mana?”
Dia menjawab, “Aku hendak mengukur Yerusalem. Aku ingin tahu panjang dan lebar kota itu.”+
3 Kemudian, malaikat yang bercakap dengan aku tadi beredar. Semasa dia beredar, satu malaikat lain datang menemuinya 4 lalu berkata kepadanya, “Larilah ke situ dan beritahulah lelaki muda itu, ‘“Yerusalem akan menjadi seperti perkampungan+ yang tidak bertembok kerana kota itu akan penuh dengan penduduk dan ternakan.+ 5 Aku akan menjadi tembok api yang mengelilinginya,+ dan kemuliaan-Ku akan memenuhi kota itu.” Itulah firman Yehuwa.’”+
6 Yehuwa berfirman, “Marilah, hai kamu yang telah Aku cerai-beraikan ke merata tempat!”+
Yehuwa berfirman lagi, “Larikanlah diri dari negeri di utara!”+
7 Hai penduduk Sion yang tinggal di Babilon, larilah dari situ!+ 8 Setelah Tuhan dimuliakan, Dia telah mengutus aku kepada bangsa-bangsa yang merampas harta milik kamu, kerana Yehuwa, ketua angkatan syurga, telah berfirman,+ “Sesiapa yang menyentuh kamu, menyentuh biji mata-Ku.+ 9 Sekarang tangan-Ku akan menentang mereka, dan hamba mereka sendiri akan merampas harta milik mereka.”+ Ketika itu, kamu akan tahu bahawa aku telah diutus oleh Yehuwa, ketua angkatan syurga.
10 “Bersoraklah dengan gembira hai penduduk Sion!+ Aku akan datang+ dan tinggal dalam kalangan kamu,”+ firman Yehuwa. 11 “Pada hari itu, banyak bangsa akan berpihak kepada Aku, Yehuwa, dan menjadi umat-Ku.+ Aku akan tinggal dalam kalangan kamu.” Ketika itu, kamu akan tahu bahawa Yehuwa, ketua angkatan syurga, telah mengutus aku kepada kamu. 12 Yehuwa akan menjadikan Yehuda sebagai milik-Nya di tanah-Nya yang suci, dan Yerusalem akan menjadi tempat pilihan-Nya semula.+ 13 Hai segenap umat manusia, hendaklah kamu berdiam diri di hadapan Yehuwa kerana Dia sudah berangkat dari tempat kediaman-Nya yang suci dan bakal bertindak.
3 Dia kemudiannya menunjukkan Imam Agung Yosua kepadaku.+ Yosua sedang berdiri di hadapan malaikat Yehuwa, manakala Syaitan+ sedang berdiri di sebelah kanan Yosua dan hendak menentangnya. 2 Kemudian malaikat Yehuwa berkata kepada Syaitan, “Hai Syaitan,+ semoga Yehuwa menegur kamu. Semoga Yehuwa, yang telah memilih Yerusalem,+ menegur kamu! Tidakkah orang ini bagaikan sebatang kayu yang disambar keluar daripada api?”
3 Pada masa itu, Yosua memakai pakaian yang kotor dan berdiri di hadapan malaikat. 4 Malaikat itu berkata kepada para pembantunya, “Tanggalkan pakaiannya yang kotor itu.” Kemudian dia berkata kepada Yosua, “Lihatlah! Dosa kamu telah aku singkirkan. Kamu akan diberi pakaian yang bermutu tinggi.”+
5 Kemudian aku berkata, “Pakaikanlah serban yang bersih di atas kepalanya.”+ Lalu mereka memakaikan serban yang bersih di atas kepalanya dan mengenakan pakaian yang bermutu tinggi padanya. Ketika itu, malaikat Yehuwa sedang berdiri di situ. 6 Kemudian malaikat Yehuwa berkata kepada Yosua, 7 “Demikianlah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘Jika engkau menurut kehendak-Ku dan melaksanakan tanggungjawab yang Aku berikan, engkau boleh menjadi hakim di dalam Rumah-Ku+ dan mengurus halamannya. Aku akan mengizinkan engkau menghadap-Ku pada bila-bila masa, seperti yang dapat dilakukan oleh para malaikat yang berada di hadirat-Ku.’
8 “‘Dengarlah, hai Imam Agung Yosua! Kamu dan para imam yang duduk di hadapanmu akan menjadi tanda tentang apa yang akan berlaku pada masa depan. Aku akan mengutus hamba-Ku+ yang dipanggil Tunas.+ 9 Lihatlah batu yang Aku letakkan di hadapan Yosua! Pada batu itu terdapat tujuh mata.* Aku akan mengukir tulisan-tulisan pada batu itu, dan Aku akan menyingkirkan dosa negeri itu dalam masa sehari,’ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.+
10 “‘Pada hari itu, kamu masing-masing akan menjemput jiran kamu untuk berteduh di bawah pokok anggur dan pokok ara kamu,’ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.”+
4 Malaikat yang bercakap kepada aku tadi datang lagi dan mengejutkan aku, seolah-olah mengejutkan orang yang sedang tidur. 2 Dia bertanya kepadaku, “Apa yang kamu nampak?”
Aku menjawab, “Aku nampak sebuah kaki pelita yang diperbuat sepenuhnya daripada emas.+ Ada sebuah mangkuk di atas kaki pelita itu. Terdapat juga tujuh buah pelita di bahagian atas kaki pelita itu,+ dan tujuh buah pelita itu mempunyai tujuh saluran yang dihubungkan dengan mangkuk tersebut. 3 Di sebelah kiri kaki pelita itu ada sebatang pokok zaitun,+ dan di sebelah kanan pun ada sebatang pokok zaitun.”
4 Kemudian aku bertanya kepada malaikat yang bercakap kepadaku, “Apakah maksud benda-benda itu tuan?” 5 Malaikat tersebut bertanya, “Tidakkah kamu tahu?”
Aku menjawab, “Tidak tuan.”
6 Lalu dia berkata kepadaku, “Inilah firman Yehuwa kepada Zerubabel: ‘Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, “Semua perkara ini akan berlaku bukan dengan kekuatan+ tentera ataupun kekuatan manusia, melainkan dengan kuasa suci-Ku.”*+ 7 Di hadapan Zerubabel,+ halangan yang setinggi gunung pun akan diratakan.+ Dia akan membawa keluar batu puncak Rumah Tuhan, dan orang akan berseru, “Betapa indahnya!”’”
8 Kemudian aku menerima perkhabaran daripada Yehuwa lagi. Dia berfirman, 9 “Zerubabel telah meletakkan asas Rumah-Ku+ dengan tangannya sendiri, dan dia juga akan menyelesaikan pembinaan itu dengan tangannya sendiri.”+ Barulah kamu akan tahu bahawa Yehuwa telah mengutus aku kepada kamu. 10 “Janganlah meremehkan permulaan yang kecil itu,+ kerana umat-Ku akan melihat tali unting* yang dipegang Zerubabel lalu bersukacita. Tujuh mata Aku, Yehuwa, yang mengawasi seluruh bumi, juga akan melihat hal itu.”+
11 Kemudian aku bertanya kepada malaikat itu, “Apakah makna dua batang pokok zaitun yang terletak di sebelah kiri dan kanan kaki pelita?”+ 12 Aku bertanya kepadanya lagi, “Apakah maksud dua ranting* pokok zaitun yang mengeluarkan minyak kuning keemasan melalui dua saluran emas itu?”
13 Malaikat tersebut bertanya, “Tidakkah kamu tahu?”
Aku menjawab, “Tidak tuan.”
14 Dia berkata, “Kedua-duanya melambangkan dua orang yang diurapi. Mereka sedang berdiri di sisi Tuhan yang berkuasa atas seluruh bumi.”+
5 Kemudian, aku nampak senaskhah gulungan yang terbang di udara. 2 Malaikat itu bertanya kepadaku, “Apa yang kamu nampak?”
Aku menjawab, “Aku nampak senaskhah gulungan yang terbang di udara. Panjangnya kira-kira sembilan meter dan lebarnya kira-kira empat meter setengah.”*
3 Lalu dia berkata kepadaku, “Inilah kutukan yang akan menimpa seluruh bumi. Kutukan yang tertulis pada satu muka gulungan itu adalah untuk semua pencuri,+ kerana mereka tidak dihukum. Kutukan yang tertulis pada muka sebelah gulungan itu adalah untuk semua orang yang mengangkat sumpah palsu,+ kerana mereka tidak dihukum. 4 Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Aku telah mendatangkan kutukan tersebut, dan kutukan itu akan masuk ke dalam rumah pencuri serta rumah orang yang mengangkat sumpah palsu demi nama-Ku. Kutukan itu akan tinggal di rumah mereka dan menghanguskannya, termasuk kayu-kayu dan batu-batunya.’”
5 Lalu malaikat yang bercakap kepadaku menghampiriku dan berkata, “Lihatlah apa yang muncul lagi.”
6 Maka aku bertanya, “Apa itu?”
Dia menjawab, “Itu merupakan bekas untuk menyukat biji-bijian.”* Dia berkata lagi, “Inilah rupa semua orang jahat yang tinggal di bumi.” 7 Bekas itu mempunyai penutup berbentuk bulat yang diperbuat daripada timah hitam. Aku nampak penutup itu dibuka dan ada seorang wanita sedang duduk di dalam bekas itu. 8 Malaikat itu berkata, “Wanita ini ialah Kejahatan.” Kemudian, dia menolak wanita itu kembali ke dalam bekas lalu menutupnya dengan penutup timah hitam.
9 Aku memandang ke langit dan nampak dua orang wanita terbang dengan laju ke arahku. Sayap mereka seperti sayap burung bangau. Mereka datang lalu mengangkat bekas itu ke langit. 10 Aku pun bertanya kepada malaikat yang bercakap kepada aku tadi, “Ke manakah mereka hendak membawa bekas itu?”
11 Dia menjawab, “Mereka akan membawanya ke Shinar*+ dan membina sebuah rumah bagi wanita itu. Apabila rumah itu sudah siap, dia akan ditempatkan di situ, di tempat yang sesuai untuknya.”
6 Kemudian aku melihat lagi dan nampak empat buah kereta kuda yang datang dari antara dua buah gunung tembaga. 2 Kereta kuda pertama ditarik oleh kuda-kuda merah, yang kedua oleh kuda-kuda hitam,+ 3 yang ketiga oleh kuda-kuda putih, dan yang keempat oleh kuda-kuda yang bertompok dan berbintik.+
4 Kemudian aku bertanya kepada malaikat yang bercakap dengan aku tadi, “Apakah makna kereta kuda ini tuan?”
5 Malaikat itu menjawab, “Inilah empat makhluk roh*+ dari syurga. Mereka baru berangkat setelah menghadap Tuhan yang berkuasa atas seluruh bumi.+ 6 Kereta kuda yang ditarik kuda-kuda hitam sedang menuju ke negeri di utara.+ Kuda-kuda putih hendak menuju ke negeri di barat,* manakala kuda-kuda yang berbintik hendak menuju ke negeri di selatan. 7 Kuda-kuda yang bertompok pula tidak sabar-sabar hendak menjelajahi bumi.” Maka malaikat itu berkata, “Pergilah menjelajahi bumi.” Lalu kuda-kuda itu mula menjelajahi bumi.
8 Kemudian malaikat itu berseru kepadaku, “Lihatlah, kuda yang pergi ke negeri di utara telah meredakan kemurkaan Yehuwa terhadap negeri itu.”
9 Yehuwa berfirman kepadaku lagi, 10 “Ambillah daripada Heldai, Tobiya, dan Yedaya sumbangan yang diberikan oleh orang yang ditawan. Pada hari yang ditentukan, pergilah ke rumah Yosia anak Zefanya bersama dengan mereka yang telah pulang dari Babilon. 11 Buatlah sebuah mahkota daripada emas dan perak, lalu letakkannya pada kepala Yosua+ anak Yehozadak, imam agung itu. 12 Beritahulah dia,
“‘Demikianlah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Inilah orang yang bernama Tunas.+ Dia akan bertunas dari tempatnya sendiri dan membina Rumah Aku, Yehuwa.+ 13 Dialah yang akan membina Rumah Aku, Yehuwa, dan dia akan dihormati seperti raja. Dia akan duduk di atas takhtanya+ sebagai raja dan imam. Dia akan menyempurnakan kedua-dua peranan itu untuk mendatangkan kedamaian.* 14 Mahkota itu akan disimpan di Rumah Aku, Yehuwa, untuk memperingati Helem,* Tobiya, Yedaya,+ dan Hen* anak Zefanya. 15 Selain itu, orang akan datang dari jauh untuk menyertai kerja pembinaan Rumah Aku, Yehuwa.” Kamu akan tahu bahawa Yehuwa, ketua angkatan syurga, telah mengutus aku kepada kamu. Semua itu akan berlaku jika kamu sentiasa mematuhi perintah Yehuwa, Tuhan kamu.’”
7 Pada hari keempat bulan Kislew,* iaitu bulan kesembilan dalam tahun keempat pemerintahan Raja Darius, Zakharia+ mendapat perkhabaran daripada Yehuwa. 2 Penduduk Bethel mengutus Sarezer, Regem-melekh, serta anak buah mereka untuk memohon perkenan Yehuwa. 3 Mereka bertanya kepada para nabi dan para imam di Rumah Yehuwa, ketua angkatan syurga, “Selama bertahun-tahun kami meratap dan berpuasa pada bulan kelima.+ Adakah kami masih perlu berbuat demikian?”
4 Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman kepadaku, 5 “Beritahulah semua penduduk negeri ini dan para imam, ‘Selama 70 tahun ini,+ semasa kamu berpuasa dan bersedih pada bulan kelima dan ketujuh,+ adakah kamu benar-benar melakukannya demi Aku? 6 Semasa kamu makan dan minum, tidakkah kamu melakukannya semata-mata demi keseronokan diri? 7 Dahulu, Yerusalem dan kota-kota di sekelilingnya masih aman damai dan penuh dengan penduduk. Negeb dan Syefela juga masih didiami orang. Tidakkah kamu patut mendengarkan firman Aku, Yehuwa, yang disampaikan oleh para nabi sejak zaman itu lagi?’”+
8 Kemudian Zakharia mendapat perkhabaran berikut daripada Yehuwa: 9 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, telah berfirman, ‘Hakimilah dengan adil dan benar,+ dan tunjukkanlah kasih setia dan belas kasihan+ terhadap satu sama lain. 10 Janganlah menipu balu, anak yatim,+ orang asing,+ ataupun orang miskin,+ dan janganlah merancang perkara yang jahat terhadap satu sama lain.’+ 11 Tetapi mereka enggan mengambil peduli.+ Mereka degil+ dan mereka menutup telinga supaya tidak mendengar.+ 12 Hati mereka keras seperti berlian.*+ Mereka tidak mematuhi hukum dan perintah yang Aku, Yehuwa, sampaikan melalui para nabi yang dibimbing oleh kuasa suci-Ku.+ Itulah sebabnya Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, sangat murka terhadap mereka.”+
13 “Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Oleh sebab mereka tidak mahu mendengar ketika Aku berfirman,+ Aku pun tidak mahu mendengar ketika mereka berseru kepada-Ku.+ 14 Aku mendatangkan angin ribut untuk menyelerakkan mereka dalam kalangan bangsa-bangsa yang tidak dikenali mereka.+ Selepas itu, negeri mereka terbiar; tiada orang yang melalui tempat itu ataupun kembali ke situ.+ Disebabkan mereka, tanah yang indah itu telah menjadi tempat yang menakutkan.’”
8 Aku menerima satu lagi perkhabaran daripada Yehuwa, ketua angkatan syurga. Dia berfirman, 2 “‘Aku mengambil berat terhadap Sion dan sangat mengasihinya.+ Aku pasti akan mempertahankannya, dan musuhnya akan merasai kemurkaan-Ku yang bernyala-nyala.’ Demikianlah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga.”
3 “Aku, Yehuwa, berfirman, ‘Aku akan kembali ke Sion+ dan tinggal di Yerusalem.+ Yerusalem akan dikenali sebagai kota kebenaran,*+ dan gunung Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, akan dikenali sebagai gunung yang suci.’”+
4 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Datuk dan nenek yang sangat tua akan duduk lagi di dataran kota Yerusalem sambil memegang tongkat.+ 5 Dataran kota juga akan penuh dengan budak lelaki dan budak perempuan yang bermain-main.’”+
6 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Pada masa itu, mereka yang masih hidup dalam kalangan umat-Ku mungkin menganggap hal itu mustahil, namun adakah hal itu mustahil bagi-Ku?’ Demikianlah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga.”
7 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Aku akan menyelamatkan umat-Ku dari negeri di timur dan di barat.+ 8 Aku akan membawa mereka kembali, dan mereka akan tinggal di Yerusalem.+ Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Tuhan+ mereka yang setia dan benar.’”
9 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Beranikanlah hati kamu!*+ Kata-kata para nabi yang kamu dengar sekarang,+ juga diucapkan pada masa batu asas diletakkan untuk membina semula Rumah Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga. 10 Sebelum masa itu, pekerja tidak diberi upah, dan tiada orang yang menyewa binatang.+ Orang yang mengembara juga diancam musuh, kerana Aku telah menyebabkan orang saling berlawan.’
11 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Tetapi Aku akan memperlakukan orang daripada bangsa ini yang masih hidup, dengan cara yang lain daripada dahulu.+ 12 Mereka akan menabur benih kedamaian. Pokok anggur mereka akan berbuah, tanah mereka akan mengeluarkan hasil,+ dan embun akan turun dari langit. Semua itu akan dikurniakan kepada orang daripada bangsa ini yang masih hidup.+ 13 Hai orang Yehuda dan orang Israel, walaupun bangsa-bangsa lain+ telah menyebut kamu sebagai contoh semasa mereka mengutuk satu sama lain, Aku akan menyelamatkan kamu dan membuat kamu menjadi berkat kepada orang lain.+ Oleh itu, beranikanlah hati kamu*+ dan janganlah takut!’+
14 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga berfirman, ‘“Dahulu Aku mendatangkan malapetaka kepada kamu kerana nenek moyang kamu membangkitkan kemurkaan-Ku.” Demikianlah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga. “Namun, sebagaimana Aku tidak mengubah* keputusan-Ku untuk menghukum kamu,+ 15 kini Aku juga tidak akan mengubah keputusan-Ku untuk mendatangkan berkat kepada penduduk Yerusalem dan orang Yehuda.+ Oleh itu, janganlah takut!”’+
16 “‘Hendaklah kamu bercakap benar dengan satu sama lain.+ Semasa kamu mengadili orang di pintu gerbang kota, hakimilah berdasarkan kebenaran dan buatlah keputusan yang mendatangkan kedamaian.+ 17 Janganlah merancang perkara yang jahat terhadap satu sama lain+ dan janganlah mengangkat sumpah palsu.+ Aku membenci semua perbuatan itu.’+ Demikianlah firman Aku, Yehuwa.”
18 Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman lagi kepadaku, 19 “Inilah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘Puasa pada bulan keempat,+ bulan kelima,+ bulan ketujuh,+ dan bulan kesepuluh,+ akan menjadi perayaan yang membawa sukacita dan kegembiraan bagi orang Yehuda.+ Hendaklah kamu mencintai kebenaran dan kedamaian.’
20 “Inilah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘Pada masa depan, bangsa-bangsa dan penduduk dari banyak kota akan datang. 21 Penduduk dari kota yang satu akan berjumpa dengan penduduk dari kota yang lain dan berkata, “Marilah kita pergi untuk memohon perkenan Yehuwa dengan sungguh-sungguh. Marilah kita mencari Yehuwa, ketua angkatan syurga. Mari kita pergi bersama-sama.”+ 22 Banyak orang dan banyak bangsa yang kuat akan datang ke Yerusalem+ untuk mencari Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, dan memohon perkenan Aku, Yehuwa.’
23 “‘Pada masa itu, 10 orang daripada semua bangsa dan bahasa+ akan memegang jubah* seorang Yahudi dengan erat sambil berkata, “Kami hendak pergi bersama-samamu,+ kerana kami sudah mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.”’+ Demikianlah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga.”
9 Berikut merupakan perkhabaran Tuhan:
“Aku, Yehuwa, akan menghukum negeri Hadrakh,
Dan Damsyik ialah sasaran hukuman-Ku.+
Mata Aku, Yehuwa, memperhatikan semua manusia,+
Termasuk suku-suku Israel.
2 Hamat,+ negeri jirannya,* juga akan dihukum;
Demikian juga dengan Tirus+ dan Sidon,+ kerana penduduk kota-kota itu begitu bijaksana.+
3 Tirus telah membina kubu-kubunya.
Perak yang dikumpulkannya begitu banyak seperti debu,
Dan emas yang disimpannya banyak bagaikan tanah di jalan.+
4 Aku, Yehuwa, akan merampas harta milik Tirus;
Tenteranya pula akan dikalahkan dan dihumban ke dalam laut.*+
Kota itu akan musnah dijilat api.+
5 Kota Askelon akan melihatnya lalu menjadi takut;
Kota Gaza akan berasa amat terseksa setelah menyaksikannya,
Begitu juga dengan Ekron, kerana harapannya telah hancur.
Raja di Gaza akan lenyap,
Dan Askelon tidak akan didiami lagi.+
6 Pendatang asing akan menduduki Asdod,
Dan Aku akan mematahkan keangkuhan orang Filistin.+
7 Aku akan menyingkirkan daging yang masih berdarah daripada mulut mereka,
Dan membuang makanan yang menjijikkan daripada celah gigi mereka.
Orang yang masih hidup dalam kalangan mereka akan menjadi milik-Ku.
Mereka akan menjadi seperti ketua suku di Yehuda,+
Dan orang Ekron akan menjadi seperti orang Yebus.+
8 Aku akan berkawal di luar rumah-Ku untuk mempertahankannya,+
Supaya tiada orang yang dapat masuk atau keluar.
Penindas tidak akan dibenarkan menceroboh lagi,+
Kerana Aku sudah melihat penderitaan umat-Ku.
9 Bersukacitalah, hai kota Sion!
Bersoraklah dengan gembira, hai kota Yerusalem!
Lihatlah, rajamu datang!+
Dia adil dan akan menyelamatkanmu.*
Dengan rendah hati,+ dia datang dengan menunggang seekor keldai jantan.
Ya, dia menunggang seekor keldai muda.+
10 Kereta kuda yang digunakan dalam peperangan, akan Aku lenyapkan dari Efraim,
Begitu juga dengan kuda di Yerusalem.
Busur yang digunakan dalam peperangan akan dimusnahkan.
Rajamu akan mengisytiharkan kedamaian kepada bangsa-bangsa;+
Kerajaannya akan terbentang dari laut ke laut,
Dari Sungai Efrat sampai ke hujung bumi.+
11 Hai Sion, kerana darah yang mengesahkan perjanjian antara Aku denganmu,
Aku akan membebaskan pendudukmu yang terkurung dalam lubang kering.+
12 Hai para tawanan yang mempunyai harapan, kembalilah ke kubu perlindungan kamu.+
Hai Sion, Aku memberitahu engkau hari ini,
‘Aku akan memberkatimu sebanyak dua kali ganda.+
13 Yehuda akan menjadi seperti busur yang Aku lengkungkan.
Efraim akan menjadi seperti anak panah-Ku.
Hai Sion, engkau akan menjadi seperti pedang seorang pahlawan.
Aku akan membangkitkan pendudukmu
Untuk menyerang orang Yunani.’
14 Aku, Yehuwa, akan menunjukkan bahawa Aku menyertai umat-Ku;
Anak panah yang Aku lepaskan akan terbang sepantas kilat.
Aku, Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, akan meniup trompet,+
Dan Aku akan maju dengan angin ribut dari selatan.
15 Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, akan mempertahankan mereka.
Musuh yang melontarkan batu kepada mereka akan ditundukkan dan dibinasakan.+
Mereka akan bergembira dan bersorak-sorak, seolah-olah mereka telah minum wain.
Mereka akan berasa puas seperti mangkuk yang telah diisi,
Dan seperti sudut-sudut mazbah yang dilumuri darah.+
16 Pada hari itu, Aku, Yehuwa, Tuhan mereka, akan menyelamatkan mereka,
Sebagaimana seorang gembala menyelamatkan kawanan bebirinya.+
Mereka akan bersinar-sinar di tanah-Ku seperti permata pada mahkota.+
17 Keagungan-Ku tiada tandingnya,+
Kebaikan-Ku sungguh menakjubkan!
Pemuda dan pemudi akan bertambah kuat
Dengan adanya bijirin dan wain baharu.”+
10 “Mohonlah kepada Aku, Yehuwa, agar menurunkan hujan pada musim bunga.
Aku, Yehuwa, yang menjadikan awan ribut,
Yang menurunkan hujan untuk manusia,+
Sehingga tanaman di padang tumbuh untuk semua orang.
2 Patung-patung terafim* hanya mengucapkan dusta;
Penglihatan yang diterima oleh para tukang tilik juga palsu belaka.
Mereka bercerita tentang mimpi yang tidak berguna,
Kelegaan hati yang dibawa oleh mereka juga sia-sia.
Itulah sebabnya rakyat merayau-rayau seperti bebiri yang sesat,
Dan menderita kerana tidak mempunyai gembala.
3 Aku murka terhadap para gembala,
Dan Aku akan menghukum para pemimpin yang suka menindas.
Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, telah memperhatikan orang Yehuda yang bagaikan kawanan-Ku.+
Aku telah menjadikan mereka seperti kuda perang-Ku yang gagah.
4 Pemimpin* akan datang daripada suku Yehuda,
Begitu juga dengan pemerintah yang memberikan sokongan.
Daripada suku Yehuda akan muncul busur pahlawan dan pegawai-pegawai.
Ya, mereka semua akan berasal daripada suku Yehuda.
5 Mereka akan menjadi seperti pahlawan-pahlawan di medan perang,
Yang menginjak-injak lumpur di jalan.
Aku, Yehuwa, menyertai mereka dan mereka akan pergi bertempur,+
Lalu menyebabkan musuh-musuh yang menunggang kuda dihina.+
6 Aku akan menyebabkan orang Yehuda menjadi gagah,
Dan Aku akan menyelamatkan keturunan Yusuf.+
Aku akan membawa mereka pulang,
Serta menunjukkan belas kasihan terhadap mereka.+
Mereka akan menjadi seperti orang yang tidak pernah Aku tolak,+
Kerana Akulah Yehuwa, Tuhan mereka, dan Aku akan mengabulkan doa mereka.
7 Orang Efraim pasti menjadi seperti pahlawan yang perkasa,
Mereka akan bersukacita seperti orang yang minum wain.+
Anak-anak mereka akan melihatnya lalu bersukacita;
Aku, Yehuwa, akan menjadi sebab bagi mereka untuk bergembira.+
8 ‘Aku akan bersiul untuk mengumpulkan mereka.
Aku akan menebus mereka;+ bilangan mereka akan bertambah
Dan akan terus meningkat.
9 Seperti benih yang ditaburkan, Aku telah menyebabkan mereka berselerak dalam kalangan bangsa-bangsa lain.
Namun, mereka akan mengingati Aku di tempat yang jauh.
Mereka akan dipulihkan dan kembali bersama anak-anak mereka.
10 Aku akan membawa mereka pulang dari Mesir,
Dan Aku akan mengumpulkan mereka dari Assyria.+
Memandangkan tanah mereka tidak cukup luas bagi mereka semua,+
Aku akan membawa mereka ke Gilead+ dan Lebanon.
11 Aku akan mendatangkan bencana kepada laut yang menghalang mereka.
Aku akan menyeberangi laut itu dan memukul ombaknya.+
Aku akan mengeringkan Sungai Nil yang dalam.
Aku akan menjatuhkan Assyria yang angkuh,
Dan Aku akan memusnahkan tongkat kekuasaan Mesir.+
12 Aku, Yehuwa, akan menguatkan mereka,+
Dan cara hidup mereka akan memuliakan nama-Ku.’+ Demikianlah firman Aku, Yehuwa.”
11 “Hai Lebanon, bukalah pintu-pintumu,
Supaya api dapat menghanguskan pokok sedarmu.
2 Hai pokok juniper, merataplah kerana pokok sedar sudah tumbang.
Pokok-pokok yang megah sudah musnah!
Hai pokok oak di Basan, merataplah
Kerana hutan yang tebal sudah binasa!
3 Dengarlah! Para gembala sedang meraung
Kerana kemuliaan mereka sudah hilang.
Dengarlah! Anak-anak singa sedang mengaum
Kerana belukar yang tebal di sepanjang Sungai Yordan sudah musnah.
4 “Inilah yang difirmankan oleh Yehuwa, Tuhanku: ‘Hendaklah engkau menggembala kawanan bebiri yang akan disembelih.+ 5 Orang yang membeli bebiri itu menyembelih semua bebiri itu,+ tetapi tidak dianggap bersalah. Orang yang menjual kawanan bebiri itu+ pula berkata, “Pujilah Yehuwa! Kayalah aku nanti.” Gembala-gembala itu langsung tidak mengasihani kawanan mereka.’+
6 “Yehuwa berfirman, ‘Aku tidak akan berbelas kasihan terhadap penduduk negeri ini lagi. Aku akan menyebabkan mereka saling menindas, dan mereka juga akan ditindas oleh raja mereka sendiri. Mereka akan menghancurkan negeri ini, dan Aku tidak akan menyelamatkan sesiapa pun daripada tangan mereka.’”
7 Aku mula menggembala kawanan bebiri yang akan disembelih.+ Aku melakukannya demi kebaikan kamu, hai bebiri yang ditindas. Aku mengambil dua batang tongkat: Yang satu aku namakan Perkenan dan yang satu lagi Perpaduan.+ Lalu aku mula menggembala kawanan itu. 8 Dalam masa satu bulan, aku memecat tiga orang gembala kerana aku hilang sabar terhadap mereka, dan mereka juga membenci aku. 9 Akhirnya aku berkata, “Aku tidak mahu menggembala kamu lagi. Yang akan mati, biarlah mati. Yang akan binasa, biarlah binasa. Yang masih hidup akan memakan daging satu sama lain.” 10 Kemudian aku mengambil tongkat yang dinamakan Perkenan+ lalu mematahkannya, maka berakhirlah perjanjian yang aku buat dengan seluruh bangsaku. 11 Demikianlah perjanjian itu dibatalkan pada hari itu. Apabila bebiri yang ditindas melihat aku berbuat demikian, mereka tahu bahawa semua yang berlaku itu telah difirmankan oleh Yehuwa.
12 Kemudian aku berkata kepada mereka, “Jika kamu sudi, bayarlah upahku. Jika tidak, biarlah.” Jadi, mereka memberi aku 30 keping wang perak sebagai upah.+
13 Lalu Yehuwa berfirman kepadaku, “Alangkah bernilainya Aku dalam pandangan mereka! Lemparkan saja wang itu ke dalam tempat penyimpanan harta.”+ Maka aku mengambil 30 keping wang perak itu dan melemparkannya ke dalam tempat penyimpanan harta di Rumah Yehuwa.+
14 Selepas itu, aku mematahkan tongkat kedua yang dinamakan Perpaduan,+ maka putuslah persaudaraan antara Yehuda dengan Israel.+
15 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, “Ambillah peralatan yang dimiliki gembala yang tidak berguna.+ 16 Aku akan melantik seorang gembala di negeri itu. Bebiri yang hampir mati tidak akan dijaganya,+ bebiri yang kecil tidak akan dicarinya, bebiri yang luka tidak akan diubatinya,+ dan bebiri yang sihat tidak akan diberi makanan olehnya. Sebaliknya, dia akan makan daging bebiri yang gemuk+ dan akan mencabut kuku bebiri.+
17 Malanglah gembala-Ku yang tidak berguna itu!+ Dia meninggalkan kawanan bebirinya.+
Sebilah pedang akan mencederakan lengannya dan melukai mata kanannya.
Lengannya akan lumpuh sepenuhnya,
Dan mata kanannya akan menjadi buta.”
12 Berikut merupakan perkhabaran daripada Yehuwa,
Yang membentangkan langit,+
Yang mendirikan asas bumi,+
Dan yang memberikan nafas kehidupan kepada manusia.
Mengenai umat Israel, Yehuwa berfirman,
2 “Aku akan menjadikan Yerusalem seperti sebuah cawan. Bangsa-bangsa di sekitar akan minum daripadanya lalu terhuyung-hayang seperti orang mabuk. Yehuda dan Yerusalem akan dikepung.+ 3 Pada masa itu, Aku akan menjadikan Yerusalem seperti batu yang berat. Mana-mana bangsa yang mencuba mengangkatnya akan cedera parah.+ Semua bangsa di bumi akan berkumpul untuk menyerang Yerusalem.”+ 4 Yehuwa berfirman, “Pada masa itu, Aku akan menyebabkan semua kuda ketakutan, dan para penunggang kuda akan menjadi gila. Mata-Ku akan memperhatikan orang Yehuda, tetapi Aku akan membutakan mata semua kuda musuh. 5 Ketua-ketua suku Yehuda akan berkata dalam hati, ‘Penduduk Yerusalem ialah kekuatan kami, kerana Yehuwa, ketua angkatan syurga, ialah Tuhan mereka.’+ 6 Pada masa itu, Aku akan menjadikan para ketua suku Yehuda seperti periuk yang berisi api di tengah-tengah hutan, dan seperti obor api di tengah-tengah berkas gandum yang dituai.+ Mereka akan membinasakan bangsa-bangsa di sekeliling, baik yang di kiri mahupun yang di kanan.+ Penduduk Yerusalem akan menetap di Yerusalem, di kota mereka sendiri.+
7 “Aku, Yehuwa, akan menyelamatkan khemah Yehuda dahulu, supaya kemuliaan yang dimiliki keturunan Daud dan penduduk Yerusalem tidak akan melebihi kemuliaan orang Yehuda. 8 Pada masa itu, Aku, Yehuwa, akan menjadi seperti perisai di sekeliling penduduk Yerusalem.+ Ketika itu, orang yang paling lemah* dalam kalangan mereka pun akan menjadi sekuat Daud. Keturunan Daud akan memimpin mereka seperti Tuhan, seperti malaikat Yehuwa.+ 9 Pada masa itu, Aku pasti akan melenyapkan semua bangsa yang datang untuk menyerang Yerusalem.+
10 “Aku akan mencurahkan kuasa suci-Ku ke atas keturunan Daud dan penduduk Yerusalem sebagai tanda bahawa Aku berkenan kepada mereka dan mendengarkan rayuan mereka. Mereka akan memandang orang yang ditusuk oleh mereka,+ lalu meratapinya seperti orang yang meratapi kematian anak tunggal sendiri. Mereka akan meratapinya dengan pilu seperti orang yang meratapi kematian anak sulung sendiri. 11 Pada masa itu, ratapan di Yerusalem akan sangat memilukan, seperti ratapan di Hadadrimon, di Dataran Megido.+ 12 Setiap keluarga di negeri itu akan meratap bersendirian: Dalam keluarga keturunan Daud, kaum lelaki akan meratap dalam satu kumpulan, dan kaum wanita akan meratap dalam kumpulan sendiri. Dalam keluarga keturunan Natan,+ kaum lelaki akan meratap dalam satu kumpulan, dan kaum wanita akan meratap dalam kumpulan sendiri. 13 Dalam keluarga keturunan Lewi,+ kaum lelaki akan meratap dalam satu kumpulan, dan kaum wanita akan meratap dalam kumpulan sendiri. Dalam keluarga keturunan Simei,+ kaum lelaki akan meratap dalam satu kumpulan, dan kaum wanita akan meratap dalam kumpulan sendiri. 14 Begitu juga dengan semua keluarga yang lain; kaum lelaki akan meratap dalam satu kumpulan, dan kaum wanita akan meratap dalam kumpulan sendiri.
13 “Pada masa itu, sebuah perigi akan digali untuk membersihkan dosa dan kenajisan keturunan Daud dan penduduk Yerusalem.”+
2 Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, “Pada masa itu, Aku akan menghapuskan nama-nama patung berhala di negeri ini,+ dan tiada sesiapa pun akan mengingati mereka lagi. Aku akan menghapuskan para nabi+ dan mereka yang cenderung melakukan perkara yang menjijikkan. 3 Jika sesiapa hendak bernubuat lagi, ibu bapa kandungnya akan berkata kepadanya, ‘Kamu harus dihukum mati kerana kamu mengucapkan dusta atas nama Yehuwa.’ Kemudian ibu bapa kandungnya akan menikam dia kerana dia telah bernubuat tentang hal-hal yang palsu.+
4 “Pada masa itu, para nabi akan berasa malu dengan penglihatan dan nubuat mereka sendiri. Mereka tidak akan memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu binatang+ untuk menipu orang. 5 Setiap nabi akan berkata, ‘Aku bukan nabi. Aku hanya mengusahakan tanah kerana aku sudah dibeli sebagai hamba sejak muda lagi.’ 6 Jika ada orang bertanya, ‘Mengapakah tubuhmu ada luka?’* dia akan menjawab, ‘Aku mendapat luka ini semasa di rumah kawanku.’”*
7 Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, “Hai pedang, bangkitlah dan seranglah gembala-Ku,+
Yang merupakan sahabat-Ku.
Seranglah gembala+ itu dan biarlah kawanan itu tercerai-berai.+
Tangan-Ku akan menentang mereka yang dipandang rendah.”
8 Yehuwa berfirman,
“Dua pertiga daripada penduduk negeri ini akan mati dibunuh,
Dan satu pertiga lagi akan terus tinggal di sini.
9 Sebagaimana emas dan perak dimurnikan oleh api,
Aku akan menguji mereka yang masih tinggal+
Dan memurnikan mereka.
Mereka akan menyeru nama-Ku,
Dan Aku akan menjawab.
Aku akan berkata, ‘Merekalah umat-Ku,’+
Lalu mereka akan berkata, ‘Yehuwalah Tuhan kami.’”
14 “Lihatlah! Hari Aku, Yehuwa, akan tiba. Pada hari itu, musuh akan merampas hartamu* dan membahagi-bahagikannya di hadapan matamu. 2 Hai kota Yerusalem, Aku akan mengumpulkan semua bangsa untuk memerangimu. Engkau akan ditawan, harta di dalam rumah-rumahmu akan dirampas, dan kaum wanitamu akan dirogol. Setengah daripada pendudukmu akan dibuang negeri, tetapi yang selebihnya tidak akan dipindahkan.
3 “Aku, Yehuwa, akan pergi untuk berperang melawan bangsa-bangsa+ tersebut, sebagaimana Aku melawan musuh-musuh-Ku pada masa lampau.+ 4 Pada hari itu, Aku akan berdiri di Gunung Zaitun+ yang terletak di sebelah timur Yerusalem. Kemudian, Gunung Zaitun akan terbelah dua, dari timur ke barat. Sebuah lembah yang sangat besar akan terbentuk; setengah daripada gunung itu akan bergerak ke utara dan setengah lagi ke selatan. 5 Pendudukmu akan melarikan diri ke lembah yang terletak di antara dua buah gunung itu kerana lembah itu akan sampai ke Azel. Mereka akan lari sebagaimana orang melarikan diri ketika gempa bumi pada zaman Uzia, raja Yehuda itu.+ Aku, Yehuwa, akan datang bersama semua hamba-Ku yang suci.+
6 “Pada hari itu, tidak akan ada cahaya yang bersinar.+ Segala sesuatu akan membeku. 7 Hari itu akan dikenali sebagai hari Yehuwa.+ Pada masa itu, tidak akan ada perbezaan antara siang dengan malam. Pada waktu senja pun, hari itu masih terang. 8 Air kehidupan+ akan mengalir dari Yerusalem+ pada hari itu; separuh akan mengalir ke laut di sebelah timur* dan separuh lagi mengalir ke laut di sebelah barat.*+ Hal ini akan berlaku pada musim panas dan musim sejuk.+ 9 Aku, Yehuwa, akan menjadi Raja yang berkuasa atas seluruh bumi.+ Pada hari itu, semua orang akan menyembah Aku, Yehuwa, sahaja+ dan mereka akan memuji nama-Ku sahaja.+
10 “Dari Geba+ hingga Rimon+ yang terletak di selatan Yerusalem, seluruh negeri akan menjadi seperti Araba.+ Yerusalem akan menjulang tinggi di tempat asalnya,+ dan akan dihuni dari Pintu Gerbang Benyamin+ hingga kawasan di Pintu Gerbang Pertama sampai ke Pintu Gerbang Sudut, serta dari Menara Hananel+ hingga tempat pemerasan buah anggur milik raja. 11 Yerusalem tidak akan dikutuk lalu dibinasakan lagi.+ Kota itu akan didiami dan penduduknya akan tinggal dengan selamat.+
12 “Berikut merupakan penyakit yang akan Aku, Yehuwa, datangkan kepada semua bangsa yang berperang melawan Yerusalem:+ Daging mereka akan reput sewaktu mereka masih hidup. Mata mereka akan reput dalam rongga mata dan lidah mereka akan reput dalam mulut.
13 “Pada hari itu, Aku, Yehuwa, akan mengacau-bilaukan mereka. Mereka akan melawan dan menyerang satu sama lain.+ 14 Penduduk Yehuda juga akan terlibat dalam peperangan di Yerusalem. Kekayaan bangsa-bangsa di sekeliling mereka, termasuk emas, perak, serta pakaian akan dikumpulkan dalam jumlah yang sangat banyak.+
15 “Penyakit yang sama juga akan menimpa kuda, baghal, unta, keldai, dan semua ternakan di perkhemahan musuh.
16 “Semua orang daripada bangsa-bangsa yang masih hidup, yang menyerang Yerusalem, akan datang ke Yerusalem setiap tahun+ untuk menyembah Aku, Yehuwa, iaitu Raja yang merupakan ketua angkatan syurga,+ dan untuk merayakan Perayaan Pondok Daun.+ 17 Namun, jika ada sesiapa daripada bangsa mana pun di bumi ini yang tidak mahu datang ke Yerusalem untuk menyembah Aku, Yehuwa, iaitu Raja yang merupakan ketua angkatan syurga, hujan tidak akan turun bagi mereka.+ 18 Jika penduduk Mesir tidak datang dan masuk ke dalam kota Yerusalem, hujan pun tidak akan turun untuk mereka. Sebaliknya, mereka akan ditimpa penyakit yang Aku, Yehuwa, datangkan kepada bangsa-bangsa lain yang tidak datang untuk merayakan Perayaan Pondok Daun. 19 Itulah hukumannya jika penduduk Mesir dan bangsa-bangsa lain melakukan dosa dengan tidak datang untuk merayakan Perayaan Pondok Daun.
20 “Pada hari itu, ungkapan ‘Kesucian milik Yehuwa!’+ akan diukir pada loceng-loceng kuda. Periuk*+ di rumah milik Aku, Yehuwa, juga akan digunakan seperti mangkuk-mangkuk+ di hadapan mazbah. 21 Semua periuk* yang ada di Yerusalem dan di Yehuda akan menjadi suci dan menjadi milik Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga. Semua orang yang datang untuk mempersembahkan korban akan menggunakan beberapa buah periuk itu untuk merebus daging. Pada hari itu, tidak akan ada lagi orang Kanaan* di rumah milik Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga.”+
Maksudnya “Yehuwa Telah Mengingati.”
Lihat Lampiran B15.
Mungkin bermaksud bahawa batu itu diperhatikan oleh tujuh mata.
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Alat yang digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu benda tegak atau tidak.
Iaitu, ranting-ranting yang sarat dengan buah.
Harfiah, “20 hasta panjang dan 10 hasta lebar.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “Itu merupakan efa.” 1 efa = 22 L.
Iaitu, Babilonia.
Mungkin merujuk kepada empat kumpulan malaikat.
Atau “ke seberang laut.”
Atau “Kerukunan akan wujud antara kedua-dua peranan itu.”
Merujuk kepada Heldai di ayat 10.
Mungkin merujuk kepada Yosia di ayat 10.
Lihat Lampiran B15.
Atau mungkin, “batu yang keras,” seperti batu emeri.
Atau “kota kesetiaan.”
Atau “Kuatkanlah tangan kamu!”
Atau “kuatkanlah tangan kamu.”
Atau “menyesali.”
Atau “hujung jubah.”
Mungkin merujuk kepada negeri Hadrakh atau Damsyik.
Atau mungkin, “Tenteranya akan dikalahkan di laut.”
Atau “dan sudah meraih kemenangan.”
Atau “Patung dewa dewi keluarga; Patung berhala.”
Harfiah, “Menara di sudut tembok,” gambaran untuk seseorang yang memainkan peranan penting seperti ketua.
Atau “yang tersandung.”
Atau “Luka apakah yang ada di antara bahumu?” Iaitu, luka pada dada atau belakang badan.
Atau “rumah orang yang mengasihiku.”
Iaitu, kota yang disebut di ayat 2.
Iaitu, Laut Mati.
Iaitu, Laut Mediterranean.
Atau “Periuk bermulut lebar.”
Atau “periuk bermulut lebar.”
Atau mungkin, “pedagang.”