SURAT KEDUA KEPADA SIDANG DI KORINTUS
1 Aku, Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus menurut kehendak Tuhan, dan saudara kita Timotius+ menulis surat ini kepada sidang Tuhan di Korintus, termasuk semua umat suci di seluruh Akhaya:+
2 Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus.
3 Terpujilah Tuhan dan Bapa kepada Yesus Kristus,+ Tuan kita. Dia Bapa yang berbelas kasihan+ dan Tuhan yang melegakan hati kita dalam apa jua situasi.+ 4 Dia melegakan hati* kita semasa kita mengalami segala macam cubaan,*+ supaya dengan kelegaan hati yang kita terima daripada Tuhan,+ kita juga dapat melegakan hati orang lain+ yang mengalami segala macam cubaan.* 5 Sebagaimana kita mengalami banyak penderitaan demi Kristus,+ begitu juga kita mendapat kelegaan hati yang melimpah melalui Kristus. 6 Kami mengalami cubaan* supaya kamu mendapat kelegaan hati dan penyelamatan; kami mendapat kelegaan hati, supaya kamu juga mendapat kelegaan hati, yang akan membantu kamu bertabah semasa menghadapi penderitaan yang kami alami juga. 7 Harapan kami terhadap kamu tidak goyah, kerana kami tahu bahawa sebagaimana kamu mengalami penderitaan seperti kami, kamu juga akan mendapat kelegaan hati seperti kami.+
8 Saudara-saudara, kami mahu kamu mengetahui kesengsaraan yang kami alami di daerah Asia.+ Kesengsaraan itu begitu berat sehingga kami tidak dapat menanggungnya dengan kekuatan sendiri, dan kami tidak pasti sama ada kami dapat terus hidup atau tidak.+ 9 Sebenarnya, kami berasa bahawa kami sudah dijatuhi hukuman mati. Namun hal ini berlaku supaya kami tidak menaruh kepercayaan kepada diri sendiri, tetapi kepada Tuhan+ yang membangkitkan orang mati. 10 Dia telah menyelamatkan kami daripada bahaya maut, dan Dia akan menyelamatkan kami lagi. Kami yakin bahawa Dia juga akan menyelamatkan kami pada masa depan.+ 11 Doa kamu yang sungguh-sungguh+ juga dapat membantu kami, kerana Tuhan akan menjawab doa yang diucapkan oleh banyak orang.+ Dengan demikian, banyak orang akan mengucapkan syukur bagi pihak kami atas bantuan yang kami terima.
12 Kami dapat berbangga akan hal ini: Hati nurani kami memberikan kesaksian bahawa kami telah menunjukkan kesucian dan ketulusan yang berasal daripada Tuhan semasa kami bersama orang di dunia, dan terutamanya semasa kami bersama kamu. Kami tidak bergantung pada kebijaksanaan dunia,+ tetapi pada kebaikan hati Tuhan yang unggul. 13 Sesungguhnya, kami hanya menulis kepada kamu tentang perkara yang dapat kamu baca* dan fahami. Aku berharap kamu akan terus memahami perkara-perkara ini dengan sepenuhnya.* 14 Sampai tahap tertentu, kamu sudah memahami bahawa kami merupakan alasan bagi kamu untuk berbangga, sepertimana kamu juga akan menjadi alasan bagi kami untuk berbangga pada hari Tuan Yesus.
15 Oleh sebab aku yakin tentang hal itu, aku berniat untuk datang kepada kamu terlebih dahulu agar kamu dapat bersukacita buat kali kedua;* 16 aku berniat untuk melawat kamu dalam perjalananku ke Makedonia dan dalam perjalanan kembali dari Makedonia. Kemudian kamu dapat menghantar aku untuk sebahagian perjalananku ke Yudea.+ 17 Semasa aku membuat rancangan ini, adakah aku menganggapnya sebagai hal yang remeh? Adakah aku sebentar berkata “Ya” dan sebentar berkata “Tidak” kerana aku membuat rancangan ini demi kepentingan diri sendiri? 18 Namun sebagaimana Tuhan dapat dipercayai, apa yang kami katakan kepada kamu juga bukanlah “ya” tetapi kemudian “tidak.” 19 Hal itu demikian kerana Yesus Kristus, Anak Tuhan, yang telah diisytiharkan kepada kamu melalui Silvanus,* Timotius,+ dan aku sendiri, bukanlah “ya” tetapi kemudian “tidak.” Sebaliknya sehubungan dengan Yesus, “ya” sentiasa menjadi “ya.” 20 Tidak kira berapa banyak janji Tuhan, semua janji itu telah menjadi “ya” melalui Yesus.+ Melalui dia, kita juga mengucapkan “Amin” kepada Tuhan,+ supaya Tuhan dimuliakan. 21 Tuhanlah yang memberikan jaminan bahawa kamu dan kami merupakan milik Kristus, dan Dialah yang mengurapi kita.+ 22 Dia juga telah memeterai kita+ dan memberikan kuasa suci-Nya*+ dalam hati kita sebagai jaminan bahawa kita akan menerima berkat-berkat yang bakal tiba.*
23 Aku bersumpah demi nyawaku sendiri di hadapan Tuhan bahawa aku belum lagi datang ke Korintus, kerana aku tidak mahu menambahkan kesedihan kamu. 24 Kami bukanlah tuan yang berkuasa atas iman kamu,+ memandangkan kamu dapat berdiri teguh kerana iman kamu sendiri. Sebaliknya kami ialah rakan sekerja yang membawa sukacita bagi kamu.
2 Aku mengambil keputusan untuk tidak membuat kamu sedih lagi pada lawatanku yang akan datang. 2 Jika aku membuat kamu sedih, tiada orang yang dapat menggembirakan aku, kecuali orang yang sudah aku sedihkan. 3 Aku menulis surat itu kepada kamu supaya apabila aku datang, aku tidak akan disedihkan oleh orang yang sepatutnya menggembirakan aku. Hal ini demikian kerana aku yakin bahawa perkara yang membawa sukacita kepadaku turut membawa sukacita kepada kamu semua. 4 Sebelum ini, aku menulis kepada kamu dengan hati yang sangat sedih dan berat, dan dengan menitiskan banyak air mata. Aku berbuat demikian bukannya untuk membuat kamu sedih,+ tetapi supaya kamu tahu betapa dalamnya kasihku terhadap kamu.
5 Jika perbuatan seseorang menimbulkan kesedihan,+ dia bukannya menyedihkan aku, tetapi menyedihkan kamu semua. Aku tidak ingin bercakap terlalu banyak tentang hal ini. 6 Cukuplah disiplin yang sudah diberikan kepada orang itu oleh kebanyakan daripada kamu. 7 Sekarang, hendaklah kamu rela mengampuni dia dan melegakan hatinya,+ supaya dia tidak terlalu sedih sehingga putus asa.+ 8 Oleh itu, aku menggesa kamu untuk meyakinkan dia bahawa kamu mengasihi dia.+ 9 Aku juga telah menulis kepada kamu kerana aku ingin mengetahui sama ada kamu patuh kepada kata-kataku atau tidak. 10 Jika kamu mengampunkan kesalahan seseorang, aku juga akan mengampuni dia. Sebenarnya, semasa aku mengampunkan kesalahan seseorang, aku mengampuninya di hadapan Kristus demi kamu semua. 11 Aku berbuat demikian supaya Syaitan tidak mengambil kesempatan atas* kita,+ kerana kita bukannya tidak mengetahui muslihatnya.+
12 Ketika aku tiba di Troas+ untuk mengkhabarkan berita baik tentang Kristus, sebuah pintu telah dibuka untukku supaya aku dapat berkhidmat kepada Tuan kita. 13 Tetapi aku gelisah kerana aku tidak dapat menjumpai saudaraku Titus.+ Oleh itu, aku mengucapkan selamat tinggal kepada saudara-saudara di situ lalu pergi ke Makedonia.+
14 Tetapi syukur kepada Tuhan! Dia sentiasa memimpin kita dalam perarakan kemenangan bersama Kristus. Melalui kita, Dia telah menyebabkan pengetahuan tentang-Nya tersebar ke merata tempat seperti bau yang harum semerbak. 15 Di hadapan Tuhan, semasa kita mengkhabarkan berita tentang Kristus, kita seperti bau harum yang tersebar dalam kalangan orang yang akan diselamatkan dan orang yang akan dibinasakan. 16 Bagi orang yang akan dibinasakan, kita seperti bau kematian yang membawa maut.+ Namun bagi orang yang akan diselamatkan, kita seperti bau kehidupan yang membawa kehidupan. Siapakah yang layak untuk menjalankan tugas itu? 17 Kamilah yang layak, kerana kami tidak memperdagangkan* firman Tuhan+ seperti yang dilakukan oleh ramai orang. Kami diutus oleh Tuhan, dan di hadapan-Nya, kami sentiasa menjalankan kerja penyebaran dengan ikhlas sebagai pengikut Kristus.
3 Perlukah kami memperkenalkan diri sekali lagi kepada kamu? Atau seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang, perlukah kami menyenaraikan kelayakan kami dalam sepucuk surat dan memberikannya kepada kamu? Atau adakah kamu yang patut memberi kami surat-surat sebegini? 2 Kamu sendiri ialah surat kami,+ yang terukir di hati kami dan yang diketahui serta dibaca oleh semua orang. 3 Sememangnya kamu ialah surat daripada Kristus yang kami tulis sebagai hamba Tuhan.+ Kami menulis surat itu dengan kuasa suci daripada Tuhan yang hidup, dan bukannya dengan dakwat; kami menulisnya pada hati orang,+ dan bukannya pada batu tulis.+
4 Melalui Kristus, kami dapat yakin akan hal-hal itu di hadapan Tuhan. 5 Kami tidak mengatakan bahawa kami layak melakukan tugas ini dengan kekuatan sendiri. Sebenarnya, kelayakan kami datang daripada Tuhan.+ 6 Dialah yang melayakkan kami untuk menjadi hamba kepada perjanjian yang baharu.+ Maka kami bukanlah hamba kepada hukum yang bertulis+ tetapi kepada kuasa suci Tuhan. Hal ini demikian kerana hukum yang bertulis membawa hukuman mati,+ tetapi kuasa suci Tuhan memberikan kehidupan.+
7 Hukum yang membawa hukuman mati itu diukir pada batu+ tetapi mempunyai kemuliaan yang begitu gemilang. Semasa Hukum itu diberikan, umat Israel tidak dapat menatap muka Musa kerana kemuliaan yang bersinar pada mukanya.+ Namun, kemuliaan itu tidak kekal. 8 Jika demikian, tidakkah kerja yang dapat dilaksanakan oleh kuasa suci Tuhan+ mempunyai kemuliaan yang jauh lebih gemilang?+ 9 Jika Hukum yang membawa hukuman mati+ mempunyai kemuliaan,+ kerja yang membolehkan orang mendapat perkenan Tuhan pasti mempunyai kemuliaan yang jauh lebih gemilang!+ 10 Sebenarnya, hukum bertulis yang dahulunya mempunyai kemuliaan telah kehilangan kemuliaannya, kerana terdapat kemuliaan lain yang lebih unggul daripadanya.+ 11 Jika hukum bertulis yang tidak kekal itu pun mempunyai kemuliaan,+ maka perjanjian baharu yang kekal pasti mempunyai kemuliaan yang jauh lebih gemilang!+
12 Memandangkan kami mempunyai harapan sebegini,+ kami dapat bercakap dengan berani.* 13 Kami bukan seperti Musa yang menutupi mukanya dengan selubung+ supaya umat Israel tidak boleh menatap kemuliaan* hukum bertulis yang tidak kekal itu. 14 Sebenarnya fikiran mereka sudah tumpul.+ Sehingga hari ini, selubung itu tidak ditanggalkan semasa perjanjian lama dibacakan.+ Hal ini demikian kerana selubung itu hanya boleh ditanggalkan melalui Kristus.+ 15 Sesungguhnya, sehingga hari ini, hati mereka masih berselubung+ setiap kali kitab-kitab Musa dibacakan.+ 16 Namun selubung itu ditanggalkan+ apabila seseorang berpaling kepada Yehuwa.* 17 Yehuwa* ialah Roh.+ Di mana ada kuasa suci Yehuwa,* di situ ada kebebasan.+ 18 Kita semua mempunyai muka yang tidak berselubung, dan seperti cermin, kita memantulkan kemuliaan Yehuwa.* Seraya kita berbuat demikian, kita diubah kepada imej yang serupa dengan-Nya, dan kemuliaan yang kita cerminkan menjadi semakin gemilang, tepat seperti apa yang dilakukan oleh Yehuwa* yang merupakan Roh.*+
4 Kami mempunyai tugas suci ini kerana Tuhan berbelas kasihan terhadap kami. Oleh itu, kami tidak berputus asa. 2 Kami menolak hal-hal tersembunyi yang memalukan, kami tidak menggunakan tipu helah, dan kami tidak memutarbelitkan firman Tuhan.+ Sebaliknya, kami membuat kebenaran terserlah. Dengan berbuat demikian, di mata Tuhan, kami menjadi teladan baik kepada semua orang.*+ 3 Jika berita baik yang kami khabarkan itu terselubung, berita baik itu terselubung dalam kalangan mereka yang akan dibinasakan. 4 Fikiran mereka yang tidak percaya telah dibutakan+ oleh tuhan sistem dunia ini.*+ Oleh itu, mereka tidak disinari cahaya+ daripada berita baik yang menakjubkan, iaitu berita tentang Kristus yang merupakan gambaran Tuhan.+ 5 Kami tidak menyebarkan berita tentang diri kami sendiri. Sebaliknya, kami menyebarkan berita bahawa Yesus Kristus ialah Tuan kita, dan bahawa kami ialah hamba kamu demi Yesus. 6 Tuhan sendiri pernah berfirman, “Biarlah cahaya bersinar dari kegelapan,”+ dan melalui wajah Kristus, Tuhan telah menyinari hati kami+ dengan pengetahuan tentang-Nya yang menakjubkan.
7 Walaupun kami seperti bekas tanah liat,+ tugas suci yang bagaikan harta karun+ telah diberikan kepada kami. Maka jelaslah bahawa kuasa luar biasa yang kami miliki berasal daripada Tuhan dan bukannya daripada kami sendiri.+ 8 Kami diasak dari semua arah, tetapi kami tidak terhimpit sehingga tidak dapat bergerak; kami kebingungan, tetapi bukanlah sehingga kami tidak ada jalan keluar;*+ 9 kami dianiaya, tetapi kami tidak diabaikan;+ kami dihempas ke tanah, tetapi kami tidak dibinasakan.+ 10 Seperti Yesus, kami sentiasa menghadapi ancaman maut dengan tabah,+ supaya kehidupan Yesus menjadi nyata dalam tubuh kami. 11 Meskipun kami hidup, kami sentiasa berdepan dengan maut demi Yesus,+ agar kehidupan Yesus juga menjadi nyata dalam tubuh kami. 12 Oleh itu, meskipun kami harus menghadapi maut, kehidupan akan terhasil bagi kamu.
13 Ada tertulis, “Aku bercakap kerana aku beriman.”+ Kami juga bercakap kerana kami memperlihatkan iman yang sama. 14 Kami tahu bahawa sebagaimana Tuhan telah membangkitkan Yesus daripada kematian, Dia juga akan membangkitkan kami dan membawa kami serta kamu ke hadirat Yesus.+ 15 Semua perkara ini berlaku demi kamu. Kerana apabila semakin banyak orang bersyukur kepada Tuhan, lebih banyak orang akan menerima kebaikan hati-Nya yang unggul. Dengan demikian, Tuhan dimuliakan.+
16 Itulah sebabnya kita tidak berputus asa. Walaupun tubuh kita semakin lemah, hati dan minda kita dibaharui setiap hari. 17 Kesengsaraan* yang kita hadapi hanyalah sementara dan tidak seberapa berat, tetapi akan mendatangkan kemuliaan yang sangat unggul, besar, dan kekal.+ 18 Kita menumpukan perhatian kepada hal-hal yang tidak kelihatan dan bukannya kepada hal-hal yang kelihatan.+ Hal ini demikian kerana hal-hal yang kelihatan hanyalah sementara, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan kekal selama-lamanya.
5 Kami tahu bahawa rumah kami di bumi, iaitu khemah ini, akan dirobohkan,+ dan bahawa Tuhan akan memberi kami sebuah rumah yang tidak dibuat dengan tangan manusia.+ Rumah itu terletak di syurga dan kekal selama-lamanya. 2 Kami mengerang semasa kami berada di dalam rumah sekarang ini, kerana kami ingin sekali menerima kediaman di syurga yang akan menutupi kami seperti pakaian.+ 3 Maka, kami tidak akan telanjang setelah kami mengenakan kediaman itu. 4 Kami mengerang dan menanggung beban yang berat semasa berada di dalam khemah ini. Bukannya kami ingin menanggalkan khemah ini, tetapi kami ingin mengenakan kediaman di syurga,+ supaya tubuh yang dapat mati digantikan dengan kehidupan kekal.+ 5 Tuhan telah mempersiapkan kami untuk kehidupan sebegini,+ dan Dia memberi kami kuasa suci-Nya sebagai jaminan bahawa kami akan menerima berkat-berkat yang bakal tiba.*+
6 Oleh itu, kita sentiasa penuh dengan keberanian. Selagi tubuh ini menjadi rumah kita, kita jauh daripada Tuan kita.+ Kita tahu akan hal ini 7 kerana kita hidup berdasarkan iman, dan bukannya berdasarkan apa yang dapat dilihat. 8 Oleh sebab itu, kita penuh dengan keberanian. Kita lebih rela tinggal bersama-sama Tuan kita daripada tinggal di dalam tubuh ini.+ 9 Tidak kira sama ada kita tinggal bersamanya atau jauh daripadanya, inilah matlamat kita: Kita ingin menyenangkan hatinya. 10 Hal ini demikian kerana kita semua mesti menghadap tempat pengadilan Kristus. Setiap orang akan mendapat balasan setimpal dengan perbuatan yang sering dilakukannya semasa dia hidup sebagai manusia, sama ada perbuatan baik atau jahat.+
11 Memandangkan kami tahu ertinya takut kepada Tuan kita, kami terus-menerus mengajar orang lain dengan cara yang meyakinkan. Tuhan mengenal kami dengan baik, dan aku berharap agar kamu* juga mengenal kami dengan baik. 12 Kami berkata demikian bukannya untuk membanggakan diri sekali lagi, tetapi untuk mendorong kamu agar kamu berbangga dengan kami. Dengan demikian, kamu dapat menjawab orang yang bermegah atas penampilan luar+ tetapi tidak bermegah atas apa yang ada dalam hati. 13 Jika kami pernah menjadi gila,+ hal itu adalah demi Tuhan. Jika kami berfikiran waras, hal itu adalah demi kamu. 14 Kasih yang dimiliki Kristus menguasai kami, kerana kami memahami hal ini: Satu orang telah mati untuk semua orang,+ kerana semua orang sudah mati. 15 Kristus sudah mati untuk semua orang, supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri,+ tetapi untuk dia yang sudah mati bagi mereka dan yang sudah dibangkitkan.
16 Oleh itu, mulai sekarang kita tidak menilai seseorang menurut sudut pandangan manusia.+ Biarpun kita pernah memandang Kristus dari sudut pandangan manusia, kita tidak lagi memandangnya dari sudut pandangan itu.+ 17 Maka jika sesiapa bersatu dengan Kristus, dia menjadi ciptaan yang baharu.+ Yang lama sudah berlalu, dan yang baharu sudah muncul. 18 Semua ini dilakukan oleh Tuhan. Melalui Kristus, Tuhan membolehkan kita berbaik semula dengan-Nya.+ Dia juga memberi kita tugas untuk membantu orang lain berbaik semula dengan-Nya.+ 19 Maksudnya, melalui Kristus, Tuhan membolehkan orang di dunia berbaik semula dengan-Nya.+ Dia tidak memperhitungkan kesalahan mereka,+ dan Dia telah mengamanahkan kita tugas untuk memberitahu orang lain bahawa mereka dapat berbaik semula dengan-Nya.+
20 Demikianlah kita menjadi duta+ yang berkhidmat bagi pihak Kristus,+ seolah-olah Tuhan memohon kepada orang melalui kita. Kita merayu kepada orang bagi pihak Kristus, “Tolonglah berbaik semula dengan Tuhan.” 21 Tuhan telah menjadikan dia yang tidak pernah berdosa+ sebagai korban untuk dosa kita, supaya melaluinya, kita boleh mendapat perkenan Tuhan.+
6 Kami bekerja bersama dengan Tuhan.+ Maka kami menggesa kamu agar tidak mensia-siakan kebaikan hati Tuhan yang unggul, yang sudah kamu terima.+ 2 Tuhan berfirman, “Pada masa yang Aku perkenankan, Aku mendengarkan engkau. Pada hari penyelamatan, Aku menolong engkau.”+ Lihatlah! Sekaranglah masa yang diperkenankan itu. Lihatlah! Sekaranglah hari penyelamatan itu.
3 Dalam apa cara sekalipun, kami tidak mahu menyebabkan orang lain tersandung supaya tugas suci kami tidak dicela.+ 4 Sebaliknya, dalam segala hal kami menunjukkan bahawa kami ialah hamba Tuhan:+ Kami tabah menghadapi banyak cubaan, kesengsaraan, dan kesusahan. Ada masanya kami serba kekurangan.+ 5 Kami berjerih lelah, tidak tidur malam, dan ada masanya tiada makanan. Kami dipukul, dipenjarakan,+ dan menghadapi rusuhan.+ 6 Kami hidup murni dan selaras dengan pengetahuan tentang kebenaran, dan kami menunjukkan kesabaran+ dan kebaikan hati.+ Kami menunjukkan kasih yang ikhlas,+ dan kami dibimbing oleh kuasa suci Tuhan. 7 Kami bercakap benar dan bergantung pada kuasa Tuhan.+ Di tangan kanan* dan kiri,* kami memegang senjata yang membantu kami melakukan apa yang benar.+ 8 Kami dihormati, tetapi juga dihina. Kami dicela, tetapi juga dipuji. Kami dianggap sebagai pembohong, tetapi sebenarnya kami bercakap benar. 9 Kami dianggap sebagai orang yang tidak dikenali, tetapi sebenarnya kami sangat dikenali. Kami nampaknya hampir mati, tetapi kami masih hidup.+ Walaupun kami dihukum,* kami tidak mati.+ 10 Kami kelihatan berdukacita, tetapi kami sentiasa bersukacita. Kami kelihatan miskin, tetapi kami membuat banyak orang menjadi kaya. Kami seperti tidak memiliki apa-apa, tetapi kami memiliki segala-galanya.+
11 Saudara-saudara di Korintus, kami bercakap kepada kamu dengan terus terang. Kami telah membuka hati kami lebar-lebar untuk kamu. 12 Kasih kami kepada kamu tidak terbatas,*+ tetapi kasih kamu kepada kami terbatas. 13 Aku bercakap kepada kamu seperti bercakap kepada anak-anakku. Lakukanlah hal yang sama terhadap kami, dan bukalah hati kamu lebar-lebar untuk kami.+
14 Janganlah memikul kuk* bersama* orang yang tidak percaya,+ kerana kuk* sedemikian tidak seimbang. Apakah hubungan antara kebaikan dengan kejahatan?+ Atau apakah kaitan antara cahaya dengan kegelapan?+ 15 Lagipun, apakah persamaan antara Kristus dengan Belial?*+ Atau apakah persamaan antara orang yang percaya dengan orang yang tidak percaya?+ 16 Apakah kaitan antara Rumah Tuhan dengan berhala?+ Kita ialah rumah yang dimiliki oleh Tuhan yang hidup.+ Tuhan telah berfirman, “Aku akan tinggal bersama mereka+ dan menyertai mereka. Aku akan menjadi Tuhan mereka dan mereka akan menjadi umat-Ku.”+ 17 “‘Maka, keluarlah daripada kalangan mereka, dan asingkanlah diri daripada mereka,’ firman Yehuwa,* ‘dan jangan lagi menyentuh perkara yang najis’”;+ “‘lalu Aku akan menerima kamu.’”+ 18 “‘Aku akan menjadi bapa kamu,+ dan kamu akan menjadi anak-anak lelaki-Ku dan anak-anak perempuan-Ku,’+ firman Yehuwa,* Tuhan Yang Maha Kuasa.”
7 Saudara-saudara yang dikasihi, memandangkan janji-janji ini+ sudah diberikan kepada kita, maka marilah kita menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa* dan raga.+ Hendaklah kita takut akan Tuhan supaya kita menjadi suci dengan sepenuhnya.
2 Sambutlah kami dengan hati yang terbuka.+ Kami tidak berbuat salah terhadap sesiapa pun, tidak menyesatkan sesiapa pun, dan juga tidak mengambil kesempatan atas sesiapa pun.+ 3 Aku berkata demikian bukan untuk mengutuk kamu. Seperti yang sudah aku katakan sebelum ini, tidak kira apa yang terjadi,* kamu sentiasa dekat di hati kami. 4 Aku dapat bercakap dengan terus terang* kepada kamu, dan aku sangat bangga dengan kamu. Aku berasa sangat lega, dan sukacitaku berlimpah-limpah meskipun kami mengalami banyak penderitaan.+
5 Sebenarnya, semasa kami tiba di Makedonia,+ kami tidak mendapat kelegaan. Sebaliknya kami terus menghadapi pelbagai penderitaan. Kami menghadapi tentangan yang kuat dari luar sidang, dan keadaan dalam sidang juga membuat kami risau. 6 Namun begitu, Tuhan yang melegakan hati orang yang patah semangat+ telah melegakan hati kami melalui kehadiran Titus. 7 Kami berasa lega bukan sahaja kerana kehadirannya, tetapi juga kerana kelegaan yang diperolehnya daripada kamu semua. Dia melaporkan kepada kami bahawa kamu ingin sekali berjumpa dengan aku, bahawa kamu sangat sedih, dan bahawa kamu sangat mengambil berat terhadapku. Hal-hal itu membuat aku lebih bersukacita lagi.
8 Walaupun aku membuat kamu sedih kerana suratku,+ aku tidak menyesal. Pada mulanya aku memang menyesal kerana aku tahu bahawa surat itu telah membuat kamu sedih untuk sementara, 9 tetapi sekarang aku bersukacita. Hal ini bukan kerana kamu telah bersedih, tetapi kerana kesedihan itu telah mendorong kamu untuk bertaubat. Kesedihan kamu selaras dengan kehendak Tuhan. Jadi, kamu tidak mengalami apa-apa kerugian kerana kami. 10 Kesedihan yang selaras dengan kehendak Tuhan menyebabkan orang bertaubat lalu diselamatkan, dan hal itu tidak perlu disesali.+ Namun, kesedihan yang bersifat duniawi membawa kematian. 11 Kesedihan kamu yang selaras dengan kehendak Tuhan telah menghasilkan kesungguhan yang tinggi dalam diri kamu, sehingga kamu membersihkan nama kamu, marah kerana apa yang salah, takut akan Tuhan, dan mempunyai keinginan yang sungguh-sungguh untuk bertaubat. Kamu menunjukkan semangat yang membara dan membetulkan apa yang salah.+ Dalam hal ini, kamu sentiasa menunjukkan bahawa kamu murni.* 12 Aku menulis kepada kamu bukan kerana orang yang berbuat salah+ atau orang yang menderita kerana kesalahan tersebut. Aku menulis surat itu agar kamu dapat menunjukkan kepada diri sendiri dan kepada Tuhan bahawa kamu mendengar kata-kata kami dengan bersungguh-sungguh. 13 Itulah sebabnya kami berasa lega.
Selain kelegaan yang kami peroleh, kami sangat gembira apabila melihat Titus bersukacita. Kamu semua telah menyegarkannya. 14 Aku pernah membangga-banggakan kamu di hadapannya, dan sekarang aku tidak malu dengan apa yang telah aku katakan. Sebagaimana semua perkara yang kami katakan kepada kamu memang benar, apa yang kami bangga-banggakan tentang kamu di hadapan Titus juga terbukti benar. 15 Kasihnya terhadap kamu juga semakin mendalam, kerana dia mengingat bahawa kamu semua telah menunjukkan kepatuhan+ dan menyambut dia dengan penuh hormat. 16 Aku bersukacita kerana aku dapat mempercayai kamu* dalam segala sesuatu.
8 Saudara-saudara, kami ingin kamu tahu tentang kebaikan hati Tuhan yang unggul yang telah diberikan kepada sidang-sidang di Makedonia.+ 2 Semasa diuji dengan kesusahan yang amat berat, mereka masih sangat bersukacita. Biarpun mereka amat miskin, mereka sangat murah hati.* 3 Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka memberi mengikut kemampuan mereka,+ bahkan melebihi kemampuan mereka.+ 4 Atas kehendak sendiri, mereka terus merayu kepada kami dengan bersungguh-sungguh supaya diberi penghormatan untuk memberikan sumbangan dan mengambil bahagian untuk membantu umat suci Tuhan.+ 5 Mereka melakukan lebih daripada apa yang kami harapkan. Mula-mula mereka menyerahkan diri untuk berkhidmat kepada Tuan Yesus, kemudian mereka menyerahkan diri untuk membantu kami, sesuai dengan kehendak Tuhan. 6 Oleh itu, kami menggalakkan Titus+ supaya dia juga menyelesaikan tugas yang dimulakannya dalam kalangan kamu, iaitu tugas untuk mengumpulkan sumbangan yang telah kamu berikan dengan rela hati. 7 Kamu melakukan segala hal dengan baik sekali: Iman kamu teguh, kamu mahir bercakap, kamu kaya dengan pengetahuan, kamu melakukan segala sesuatu dengan gigih, dan kamu mengasihi orang lain sepertimana kami mengasihi kamu. Oleh itu, kami berharap agar kamu juga memberikan sumbangan dengan murah hati.+
8 Apa yang aku katakan ini bukanlah suatu perintah. Aku cuma mahu kamu sedar bahawa orang lain sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh, dan aku juga mahu menguji sama ada kamu memiliki kasih yang sejati atau tidak. 9 Kamu tahu bagaimana Tuan kita, Yesus Kristus, menunjukkan kebaikan hatinya yang unggul. Meskipun dia kaya, dia menjadi miskin demi kamu,+ supaya kamu menjadi kaya melalui kemiskinannya.
10 Dalam hal ini, aku memberikan pandanganku:+ Tugas ini membawa manfaat kepada kamu. Setahun yang lalu, kamu bukan sahaja berhasrat untuk melakukan tugas ini, malah kamu telah memulakannya. 11 Maka, sekarang, selesaikanlah apa yang telah kamu mulakan. Memandangkan sebelum ini kamu rela melakukan tugas ini, lakukanlah apa yang kamu mampu untuk menyelesaikannya. 12 Seseorang yang memberi dengan rela hati sangat diperkenankan Tuhan, kerana Tuhan mahu seseorang memberi berdasarkan apa yang dimiliki,+ bukan apa yang tidak dimiliki. 13 Aku tidak berniat untuk meringankan beban orang lain dengan menambahkan beban kamu. 14 Sebaliknya, hal ini adalah supaya kelebihan kamu sekarang dapat memenuhi kekurangan mereka, dan supaya kelebihan mereka juga dapat memenuhi kekurangan kamu kelak. Dengan itu, tanggungan yang dipikul menjadi sama rata. 15 Ada tertulis, “Orang yang mempunyai banyak tidak mempunyai terlalu banyak, dan orang yang mempunyai sedikit tidak mempunyai terlalu sedikit.”+
16 Syukurlah kepada Tuhan kerana seperti kami, Titus juga sangat prihatin terhadap kamu.+ 17 Dia bukan sahaja menyambut baik galakan kami, malah dia benar-benar ingin melakukan apa yang kami minta. Oleh itu, dia sendiri membuat keputusan untuk pergi kepada kamu. 18 Bersama dengan dia, kami turut mengutus seorang saudara yang dipuji di semua sidang kerana usahanya untuk menyebarkan berita baik. 19 Lagi pula, dia telah dilantik oleh sidang-sidang untuk membawa pemberian ini bersama-sama kami. Pemberian yang akan kami edarkan ini akan memuliakan Tuan kita dan akan membuktikan bahawa kami rela membantu orang lain. 20 Maka kami sangat berhati-hati semasa mengurus sumbangan yang kamu berikan dengan murah hati ini, supaya kami tidak dicela oleh sesiapa pun.+ 21 Kami ‘mengendalikan segala sesuatu dengan jujur, bukan sahaja di hadapan Yehuwa,* tetapi juga di hadapan manusia.’+
22 Kami turut mengutus seorang saudara kita yang lain untuk pergi bersama dengan mereka. Kami telah mengujinya berkali-kali dan mendapati bahawa dia melakukan segala sesuatu dengan tekun. Oleh sebab dia yakin sepenuhnya terhadap kamu, dia akan berusaha dengan lebih tekun. 23 Jika sesiapa mempersoalkan kelayakan Titus, hendaklah dia tahu bahawa Titus ialah rakan sekerjaku yang berkhidmat demi kepentingan kamu. Jika sesiapa mempersoalkan kelayakan saudara-saudara yang datang bersamanya, hendaklah dia tahu bahawa mereka ialah rasul-rasul dalam sidang yang sedang memuliakan Kristus. 24 Oleh itu, buktikanlah kasih kamu kepada mereka,+ dan tunjukkanlah kepada sidang-sidang sebabnya kami membangga-banggakan kamu.
9 Sebenarnya aku tidak perlu menulis kepada kamu tentang bantuan* yang diberikan kepada umat suci Tuhan,+ 2 kerana aku tahu bahawa kamu rela membantu. Aku membanggakan kamu di hadapan orang Kristian di Makedonia. Aku memberitahu mereka bahawa sudah setahun kamu semua yang berada di Akhaya bersedia untuk membantu. Semangat kamu yang membara sudah menyemarakkan semangat kebanyakan daripada mereka. 3 Maka sekarang aku mengutus saudara-saudara itu supaya apa yang kami bangga-banggakan tentang kamu bukanlah cakap kosong belaka. Kamu haruslah bersedia untuk membantu seperti yang telah aku katakan. 4 Jika saudara-saudara dari Makedonia yang datang bersamaku mendapati bahawa kamu tidak bersedia, alangkah malunya kami kerana kami begitu yakin akan kamu. Kamu sendiri pun akan malu. 5 Oleh itu, aku berfikir bahawa aku perlu menggalakkan saudara-saudara itu agar pergi kepada kamu terlebih dahulu untuk mengumpulkan pemberian yang sudah kamu janjikan. Dengan demikian, apabila kami tiba, pemberian kamu yang sudah tersedia itu akan menunjukkan bahawa kamu memberikannya dengan murah hati, dan bukan secara terpaksa.
6 Berkenaan dengan hal itu, sesiapa yang bersikap kedekut semasa menabur benih akan mendapat tuaian yang sedikit, tetapi sesiapa yang murah hati semasa menabur benih akan mendapat tuaian yang banyak.+ 7 Hendaklah setiap orang melakukan apa yang telah diputuskan dalam hati masing-masing. Janganlah melakukannya dengan berat hati atau secara terpaksa,+ kerana Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.+
8 Tuhan dapat mencurahkan segala kebaikan hati-Nya yang unggul kepada kamu, supaya kamu sentiasa berkecukupan dan berlimpah-limpah dengan apa yang kamu perlukan untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.+ 9 Ada tertulis, “Dia selalu murah hati dan memberikan sedekah kepada orang miskin. Kebaikannya akan berkekalan.”+ 10 Dia yang memberikan banyak benih untuk ditabur dan banyak roti untuk dimakan, akan memberikan dan melipatgandakan benih yang kamu tabur. Dia juga akan memberi kamu tuaian yang melimpah disebabkan perbuatan baik kamu. 11 Tuhan memberkati kamu dengan berlimpah-limpah supaya kamu dapat menunjukkan kemurahan hati dalam pelbagai cara. Dengan demikian pemberian kamu yang dikirim melalui kami akan menyebabkan ucapan syukur diberikan kepada Tuhan. 12 Hal ini demikian kerana bantuan yang kamu berikan secara melimpah itu bukan sahaja akan memenuhi keperluan umat suci Tuhan,+ malah akan menyebabkan banyak ucapan syukur diberikan kepada Tuhan. 13 Mereka akan memuliakan Tuhan kerana bantuan yang kamu berikan membuktikan bahawa kamu taat kepada berita baik tentang Kristus yang kamu isytiharkan, dan kerana kamu memberikan sumbangan dengan murah hati kepada mereka dan kepada semua orang.+ 14 Mereka sangat mengasihi kamu dan mereka berdoa dengan bersungguh-sungguh bagi pihak kamu kerana Tuhan telah menunjukkan kebaikan hati-Nya yang sangat unggul kepada kamu.
15 Marilah kita bersyukur kepada Tuhan atas kurniaan percuma-Nya yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
10 Aku, Paulus, sekarang merayu kepada kamu atas dasar kelemahlembutan dan kebaikan hati Kristus.+ Dalam pandangan kamu, aku lemah semasa aku bersemuka dengan kamu+ tetapi berani semasa aku tidak bersama kamu.+ 2 Aku berharap agar apabila aku bersama kamu nanti, aku tidak perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap orang yang berpandangan bahawa kami hidup menurut fikiran duniawi. 3 Walaupun kami hidup di dalam dunia ini, kami tidak berjuang berdasarkan fikiran duniawi. 4 Kami berjuang, bukan dengan menggunakan senjata di dunia ini,+ tetapi dengan senjata daripada Tuhan.+ Senjata-senjata yang berkuasa ini dapat merobohkan perkara-perkara yang sudah berurat berakar. 5 Kami merobohkan pelbagai fikiran yang salah dan merobohkan setiap benteng yang bercanggahan dengan pengetahuan tentang Tuhan.+ Kami menawan setiap fikiran supaya setiap fikiran patuh kepada Kristus. 6 Kami juga bersedia untuk menghukum setiap orang yang tidak patuh+ dan akan berbuat demikian sebaik sahaja kamu membuktikan kepatuhan kamu dengan sepenuhnya.
7 Kamu menilai sesuatu menurut apa yang dapat dilihat dari luar. Jika sesiapa yakin bahawa dirinya milik Kristus, dia harus berfikir lagi tentang hal ini: Sebagaimana dia milik Kristus, kami juga milik Kristus. 8 Tuan kita telah memberi kami kuasa untuk menguatkan kamu dan bukannya untuk melemahkan kamu.+ Biarpun aku sedikit melampau ketika membanggakan kuasa ini, aku tidak berasa malu. 9 Aku tidak mahu kamu berfikir bahawa aku sedang mencuba untuk menakutkan kamu dengan surat-suratku. 10 Hal ini demikian kerana mereka berkata, “Apa yang disampaikan dalam surat-suratnya bernas dan tegas, tetapi semasa dia bersama kita, dia lemah dan kata-katanya pun tidak bererti apa-apa.” 11 Hendaklah orang yang berkata demikian memikirkan hal ini: Apa yang kami tulis dalam surat-surat kami, akan kami lakukan semasa kami bersama-sama kamu.+ 12 Kami tidak berani menyamakan atau membandingkan diri dengan sesetengah orang yang meninggikan diri.+ Mereka tidak berpengertian kerana menilai diri mengikut kayu ukur sendiri dan menghakimi diri mengikut piawaian sendiri.+
13 Tetapi kami tidak membanggakan apa yang terletak di luar lingkungan tugasan kami. Apa yang kami banggakan itu terletak di dalam lingkungan kawasan yang ditentukan oleh Tuhan bagi kami, dan kamu juga termasuk di dalam lingkungan itu.+ 14 Sebenarnya, kami tidak melampaui batas tugasan kami semasa kami mengunjungi kamu, kerana kamilah yang pertama-tama sampai kepada kamu untuk menyampaikan berita baik tentang Kristus.+ 15 Kami tidak membanggakan hasil usaha orang lain yang terletak di luar lingkungan tugasan kami. Namun, kami berharap agar apabila iman kamu semakin bertambah, apa yang telah kami lakukan juga akan bertambah di dalam lingkungan kawasan kami. Dengan demikian kami dapat menggandakan usaha 16 untuk mengumumkan berita baik di negeri-negeri yang lain, supaya kami tidak berbangga atas apa yang sudah dilakukan di dalam lingkungan kawasan orang lain. 17 Ada tertulis, “Sesiapa yang berbangga, hendaklah dia berbangga kerana Yehuwa.”*+ 18 Hal ini demikian kerana Yehuwa* berkenan kepada orang yang dipuji oleh-Nya+ dan bukannya orang yang memuji diri sendiri.+
11 Aku berharap kamu semua akan bersabar dengan sikapku yang sedikit tidak munasabah. Sebenarnya, kamu memang bersabar dengan aku. 2 Sepertimana Tuhan mengambil berat terhadap kamu, aku juga mengambil berat terhadap kamu. Hal ini demikian kerana aku sendiri telah berjanji untuk mengahwinkan kamu dengan seorang lelaki, iaitu Kristus, dan aku mahu mempersembahkan kamu sebagai anak dara yang murni kepadanya.+ 3 Namun demikian, aku takut fikiran kamu akan dirosakkan sehingga kamu tidak mempunyai ketulusan dan kemurnian yang layak diterima oleh Kristus.+ Hal itu telah berlaku kepada Hawa yang digoda oleh kelicikan ular.+ 4 Kamu menerima kata-kata orang yang menyebarkan berita tentang Yesus yang lain, bukannya Yesus yang kami sebarkan. Kamu dipengaruhi oleh kecenderungan mental* yang berbeza daripada apa yang sudah kamu miliki. Kamu juga menerima berita baik yang berbeza daripada apa yang sudah kamu terima.+ 5 Aku menganggap bahawa dalam satu hal pun aku tidak lebih rendah daripada “rasul-rasul” kamu yang sangat hebat itu.+ 6 Biarpun aku tidak mahir bercakap,+ tetapi aku memang mempunyai pengetahuan. Sememangnya, kami sudah menunjukkan pengetahuan itu dengan jelas dalam segala hal dan dengan semua cara.
7 Adakah aku berdosa kerana aku merendahkan diri agar kamu dapat ditinggikan? Adakah aku berdosa kerana aku menyampaikan berita baik tentang Tuhan kepada kamu dengan gembira dan tanpa mengenakan bayaran?+ 8 Aku seolah-olah merompak sidang-sidang lain kerana aku menerima bantuan daripada mereka untuk berkhidmat kepada kamu.+ 9 Semasa aku bersama kamu, aku tidak memiliki apa yang aku perlukan. Namun aku tidak menjadi beban kepada sesiapa pun, kerana saudara-saudara yang datang dari Makedonia telah memberikan apa yang aku perlukan secara melimpah.+ Aku memastikan bahawa aku tidak membebani kamu dalam apa jua cara, dan aku akan terus berbuat demikian.+ 10 Tiada apa-apa yang dapat menghalang aku daripada berbangga+ tentang hal ini di seluruh Akhaya, selagi kebenaran tentang Kristus ada dalam diriku. 11 Mengapakah aku tidak membebani kamu? Adakah aku tidak mengasihi kamu? Tuhan tahu bahawa aku mengasihi kamu.
12 Ada sesetengah orang yang bercakap besar dan mengatakan bahawa mereka merupakan rasul-rasul seperti kami. Jadi aku akan terus melakukan apa yang aku lakukan selama ini+ supaya mereka tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar. 13 Orang sebegini ialah rasul-rasul palsu. Mereka menipu orang dan menyamar sebagai rasul Kristus.+ 14 Sebenarnya, hal itu tidak menghairankan kerana Syaitan sendiri terus menyamar sebagai malaikat cahaya.+ 15 Oleh itu, aku tidak berasa hairan jika hamba-hamba Syaitan juga terus menyamar sebagai hamba-hamba yang melakukan apa yang benar. Namun, kesudahan yang bakal menimpa mereka setimpal dengan perbuatan mereka.+
16 Sekali lagi aku berkata: Janganlah sesiapa berfikir bahawa aku tidak munasabah. Namun, jika kamu masih berfikir sedemikian, tetaplah menerima aku yang tidak munasabah ini agar aku juga dapat berbangga sedikit. 17 Apa yang aku katakan sekarang bukanlah mengikut teladan Tuan kita. Sebaliknya aku bercakap seperti orang yang tidak munasabah, yang bercakap besar dan terlalu yakin kepada diri sendiri. 18 Memandangkan banyak orang berbangga dengan hal-hal duniawi, aku pun mahu berbangga. 19 Oleh sebab kamu begitu “munasabah,” kamu pasti rela bersabar terhadap orang yang tidak munasabah. 20 Sebenarnya, kamu bersabar dan membiarkan orang memperhamba kamu, mengambil kesempatan terhadap kamu, meragut apa yang kamu ada, meninggikan dirinya atas kamu, atau menampar muka kamu.
21 Kami malu untuk mengatakan hal itu, kerana dalam pandangan kamu, kami seolah-olah lemah.
Namun, aku hendak mengatakan sesuatu yang tidak munasabah: Jika orang lain bertindak dengan berani, aku pun mahu bertindak dengan berani. 22 Adakah mereka orang Ibrani? Aku pun orang Ibrani.+ Adakah mereka orang Israel? Aku pun orang Israel. Adakah mereka keturunan Abraham? Aku pun keturunan Abraham.+ 23 Adakah mereka hamba Kristus? Seperti orang gila, aku mengatakan bahawa aku ialah hamba yang lebih baik. Aku melakukan lebih banyak kerja+ dan aku lebih sering dipenjarakan.+ Sudah tidak terkira berapa kali aku dipukul dan sudah banyak kali aku hampir mati.+ 24 Sudah lima kali aku dipukul oleh orang Yahudi, dan setiap kali, aku menerima 39 pukulan.+ 25 Tiga kali aku dipukul dengan kayu,+ dan pernah sekali aku direjam.+ Tiga kali aku mengalami nahas kapal laut,+ dan aku pernah terapung-apung di laut selama satu hari dan satu malam. 26 Aku sering membuat perjalanan. Dalam perjalananku, aku diancam perompak dan menghadapi bahaya kerana sungai-sungai; aku menghadapi bahaya daripada bangsaku sendiri,+ daripada bangsa-bangsa lain,+ dan daripada saudara-saudara palsu; aku menghadapi bahaya di kota,+ di padang belantara, dan di laut. 27 Aku bekerja keras bermati-matian, kerap kali tidak tidur malam,+ lapar, dahaga,+ sering tidak mempunyai makanan,+ kesejukan, dan kekurangan pakaian.
28 Selain hal-hal itu, aku juga mengalami tekanan setiap hari kerana aku khuatir akan keadaan semua sidang.+ 29 Apabila seseorang lemah, tidakkah aku juga berasa lemah? Apabila seseorang tersandung, tidakkah aku naik marah?
30 Jika aku harus berbangga, aku akan berbangga dengan hal-hal yang menunjukkan kelemahanku. 31 Tuhan dan Bapa kepada Tuan Yesus, iaitu Dia yang harus dipuji untuk selama-lamanya, tahu bahawa aku tidak berdusta. 32 Ketika aku berada di Damsyik, gabenor yang dilantik oleh Raja Aretas menjaga kota Damsyik untuk menangkap aku. 33 Namun melalui sebuah tingkap pada tembok kota, aku diturunkan di dalam sebuah keranjang+ dan aku berjaya melarikan diri daripadanya.
12 Aku harus berbangga walaupun hal ini tidak bermanfaat bagiku. Tetapi sekarang, aku akan bercakap tentang penglihatan+ dan perkhabaran daripada Tuan Yesus.+ 2 Aku mengenal seorang lelaki yang bersatu dengan Kristus. Empat belas tahun yang lalu, dia telah diangkat ke syurga yang ketiga secara tiba-tiba. Sama ada dia diangkat bersama tubuhnya ataupun tidak, aku tidak tahu, tetapi Tuhan tahu. 3 Ya, aku mengenal lelaki itu. Dia telah dibawa ke firdaus secara tiba-tiba. Sama ada dia diangkat bersama tubuhnya ataupun tidak, aku tidak tahu, tetapi Tuhan tahu. 4 Semasa di firdaus, dia mendengar kata-kata yang tidak dapat dan tidak boleh diucapkan oleh manusia. 5 Aku akan membanggakan lelaki itu, bukan diriku sendiri. Aku hanya akan membanggakan perkara-perkara yang menunjukkan kelemahanku. 6 Biarpun aku hendak berbangga, apa yang aku ucapkan itu masuk akal, kerana aku bercakap benar. Namun, aku tidak akan berbangga supaya orang hanya akan memuji aku kerana perbuatanku yang dilihat oleh mereka atau kata-kataku yang didengar oleh mereka, 7 dan bukan semata-mata kerana perkhabaran luar biasa yang telah aku terima.
Maka, aku diberi sesuatu seperti duri dalam daging,+ iaitu malaikat Syaitan, untuk terus menampar* aku supaya aku tidak terlalu meninggikan diri. 8 Aku merayu kepada Tuan kita sebanyak tiga kali agar duri tersebut disingkirkan daripadaku. 9 Namun Dia berkata kepada aku, “Kebaikan hati-Ku yang unggul sudah cukup untukmu, kerana kuasa-Ku menjadi nyata sekali semasa engkau lemah.”+ Maka, dengan besar hati, aku akan berbangga dengan kelemahanku, supaya kuasa Kristus terus melindungi aku seperti sebuah khemah. 10 Aku berasa senang hati semasa aku lemah, dihina, serba kekurangan, dianiaya, dan mengalami kesukaran, demi Kristus. Hal ini demikian kerana apabila aku lemah, aku menjadi kuat.+
11 Aku memang bersikap tidak munasabah. Kamu memaksa aku menunjukkan sikap sebegini kerana kamu tidak bercakap tentang perkara baik yang aku lakukan. Walaupun aku bukannya sesiapa dalam pandangan kamu, dalam segala hal, aku tidak lebih rendah daripada “rasul-rasul” kamu yang sangat hebat itu.+ 12 Sememangnya, dengan penuh ketabahan+ dan menerusi tanda, mukjizat, dan perbuatan yang menakjubkan,+ aku membuktikan kepada kamu bahawa aku ialah seorang rasul. 13 Dalam hal apakah kamu kurang diberi penghormatan berbanding sidang-sidang lain? Hanya dalam hal ini: Aku tidak membebani kamu.+ Jika aku bersalah terhadap kamu kerana hal ini, maafkanlah aku.
14 Lihatlah! Inilah kali ketiga aku bersedia untuk datang kepada kamu. Seperti dahulu, aku tidak akan membebani kamu kerana aku menginginkan kamu, bukannya harta kamu.+ Anak-anak+ tidak perlu mengumpulkan harta untuk ibu bapa, tetapi ibu bapalah yang perlu mengumpulkan harta untuk anak-anak. 15 Aku rela menggunakan segala milikku dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk kamu.+ Jika aku begitu mengasihi kamu, mengapakah kamu kurang mengasihi aku? 16 Walaupun begitu, aku tidak membebani kamu.+ Namun, kamu berkata bahawa aku “licik” dan aku menjerat kamu dengan “tipu muslihat.” 17 Aku tidak pernah mengambil kesempatan atas kamu melalui orang yang aku utus kepada kamu, bukan? 18 Aku menggesa Titus untuk datang kepada kamu dan aku mengutus seorang saudara lain bersamanya. Adakah Titus mengambil kesempatan atas kamu?+ Tidakkah kami mempunyai niat yang sama dan bertindak dengan cara yang sama?
19 Adakah kamu menyangka bahawa selama ini kami membela diri di hadapan kamu? Sebenarnya, kami bercakap di hadapan Tuhan sebagai orang yang bersatu dengan Kristus. Saudara-saudara yang dikasihi, semua yang kami lakukan adalah untuk menguatkan kamu. 20 Aku takut apabila aku tiba nanti, kelakuan kamu berbeza daripada apa yang aku harapkan, dan tindakan aku berbeza daripada apa yang kamu harapkan. Aku takut terdapat perkelahian, kecemburuan, ledakan kemarahan, perselisihan, perbuatan mengutuk orang dari belakang, perbuatan mengumpat, keangkuhan, dan kekacauan, dalam kalangan kamu. 21 Aku khuatir apabila aku datang lagi, Tuhanku akan memalukan aku di hadapan kamu. Aku mungkin akan meratap kerana banyak antara orang yang berdosa dahulu tidak bertaubat daripada amalan yang najis, perbuatan seks yang tidak bermoral,* dan kelakuan yang buruk.*
13 Inilah kali ketiga aku hendak datang kepada kamu. “Setiap perkara harus disahkan oleh keterangan* dua atau tiga orang saksi.”+ 2 Walaupun sekarang aku tidak bersama kamu, dengarkanlah kata-kataku seakan-akan aku bersama dengan kamu buat kali kedua. Awal-awal lagi, aku memberikan amaran kepada mereka yang pernah berbuat dosa dan kepada semua orang yang lain, bahawa andai kata aku datang lagi, aku tidak akan melepaskan orang yang berbuat salah. 3 Dengan cara ini, aku akan membuktikan kepada kamu bahawa Kristus memang bercakap melalui aku. Kristus tidak lemah tetapi sangat berkuasa dalam kalangan kamu. 4 Dia memang dihukum bunuh pada tiang dalam keadaan tidak berdaya, tetapi sekarang dia hidup kerana kuasa Tuhan.+ Seperti dia dahulu, kami juga lemah sekarang, tetapi kami akan hidup bersamanya+ kerana kuasa Tuhan, yang sedang bekerja dalam kalangan kamu.+
5 Teruslah menguji diri kamu sendiri untuk mengetahui sama ada iman kamu teguh atau tidak, dan teruslah memeriksa keadaan kamu yang sebenarnya.+ Tidakkah kamu tahu bahawa Yesus Kristus bersatu dengan kamu, kecuali kamu tidak lagi diperkenankan Tuhan? 6 Aku benar-benar berharap agar kamu akan mengetahui bahawa kami memang diperkenankan Tuhan.
7 Kami berdoa kepada Tuhan agar kamu tidak melakukan apa-apa kesalahan. Tujuan kami bukanlah untuk menunjukkan bahawa kami mendapat perkenan orang. Sebaliknya kami ingin kamu melakukan apa yang baik meskipun orang lain tidak berkenan kepada kami. 8 Kami tidak dapat melakukan apa-apa untuk menentang kebenaran, sebaliknya semua yang kami lakukan adalah untuk menyokong kebenaran. 9 Kami pasti bersukacita apabila kamu berkuasa, biarpun kami lemah pada ketika itu; dan kami berdoa agar fikiran kamu terus dibetulkan. 10 Itulah sebabnya aku menulis tentang perkara-perkara ini semasa aku tidak bersama kamu. Dengan ini apabila aku ada bersama kamu nanti, aku tidak perlu menggunakan kuasa yang diberikan oleh Tuan kepadaku untuk bertindak dengan tegas terhadap kamu.+ Hal ini demikian kerana kuasa ini diberikan kepadaku agar aku menguatkan kamu, bukannya melemahkan kamu.
11 Akhirnya saudara-saudara, teruslah bersukacita, teruslah membetulkan fikiran kamu, teruslah menerima galakan daripada orang lain,+ teruslah hidup dengan damai,+ dan hendaklah fikiran kamu sentiasa sehaluan.+ Dengan demikian, Tuhan yang penuh dengan kasih dan kedamaian+ akan menyertai kamu semua. 12 Sambutlah satu sama lain dengan ciuman.* 13 Semua umat suci Tuhan mengirim salam kepada kamu.
14 Semoga kebaikan hati Tuan Yesus Kristus yang unggul dan kasih Tuhan serta kuasa suci-Nya yang dikurniakan kepada kita menyertai kamu semua.
Atau “menggalakkan.”
Atau “kesengsaraan.”
Atau “kesengsaraan.”
Atau “kesengsaraan.”
Atau mungkin, “yang sudah kamu ketahui dengan baik.”
Harfiah, “hingga akhir.”
Atau mungkin, “agar kamu mendapat manfaat sebanyak dua kali.”
Juga dipanggil Silas.
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Atau “sebagai bayaran pendahuluan (wang cengkeram).”
Atau “tidak memperdaya.”
Atau “tidak mencari keuntungan daripada.”
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Atau “kesudahan; penghapusan.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Atau mungkin, “yang dilakukan oleh kuasa suci Yehuwa.”
Harfiah, “kepada hati nurani semua orang.”
Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau mungkin, “sehingga kami putus harapan.”
Atau “Cubaan.”
Atau “sebagai bayaran pendahuluan (wang cengkeram).”
Harfiah, “hati nurani kamu.”
Mungkin untuk menyerang.
Mungkin untuk mempertahankan diri.
Atau “didisiplinkan.”
Atau “tidak sempit.”
Lihat Kamus.
Atau “Janganlah berpasangan dengan.”
Atau “pasangan.”
Perkataan Ibrani yang bermaksud “Tidak Berguna,” yang merujuk kepada Syaitan.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Atau “kecenderungan mental.” Lihat Kamus, “Roh.”
Atau “tidak kira hidup atau mati.”
Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Atau “tidak bersalah.”
Atau mungkin, “dapat menjadi berani kerana kamu.”
Atau “kemurahan hati mereka berlimpah-limpah.”
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “khidmat.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Kamus, “Roh.”
Atau “memukul.”
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Yunani, a·selʹgei·a. Lihat Kamus.
Harfiah, “mulut.”
Harfiah, “ciuman suci.” Dahulu orang Kristian mencium satu sama lain semasa bersalaman.