PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 49 1A-6X
  • Efesus

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Efesus
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Efesus

SURAT KEPADA SIDANG DI EFESUS

1 Aku, Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus menurut kehendak Tuhan, menulis surat ini kepada umat suci di Efesus+ yang setia dan yang bersatu dengan Kristus Yesus:

2 Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus.

3 Terpujilah Tuhan dan Bapa kepada Tuan Yesus Kristus. Oleh sebab kita bersatu dengan Kristus, Dia telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga.+ 4 Sebelum dunia diasaskan,* Tuhan telah memilih kita untuk bersatu dengannya,* supaya kita menunjukkan kasih, menjadi suci, dan tidak bercacat cela+ di hadapan-Nya. 5 Menurut apa yang diperkenankan dan dikehendaki-Nya,+ Tuhan telah menentukan terlebih dahulu+ bahawa kita akan dijadikan anak angkat-Nya+ melalui Yesus Kristus. 6 Dengan demikian, Dia akan dipuji atas kebaikan hati-Nya yang unggul dan mulia,+ yang dicurahkan-Nya ke atas kita melalui Anak yang dikasihi-Nya.+ 7 Melalui Anak-Nya, kita ditebus dan dibebaskan. Ya, melalui darahnya,+ dosa kita diampunkan.+ Betapa agungnya kebaikan hati Tuhan!

8 Tuhan telah mencurahkan kebaikan hati yang unggul ke atas kita dengan memberi kita segala kebijaksanaan dan pengertian.* 9 Dia telah menyingkapkan rahsia suci+ tentang kehendak-Nya kepada kita. Rahsia suci ini selaras dengan apa yang diperkenankan-Nya, dan selaras dengan tujuan-Nya 10 untuk melaksanakan sebuah pentadbiran apabila jangka masa yang ditetapkan-Nya tamat. Dengan ini, segala sesuatu, baik perkara di syurga mahupun perkara di bumi,+ dikumpulkan dan ditundukkan kepada Kristus. Ya, segala sesuatu akan dikumpulkan dan ditundukkan kepadanya. 11 Tuhan melaksanakan segala sesuatu mengikut kehendak-Nya. Awal-awal lagi, Dia telah memilih kami untuk bersatu dengan Kristus dan melantik kami sebagai pewaris+ menurut tujuan-Nya, 12 supaya pujian dan kemuliaan diberikan kepada-Nya melalui kami, iaitu orang yang pertama sekali berharap kepada Kristus. 13 Namun, kamu juga berharap kepadanya setelah kamu mendengar ajaran benar, iaitu berita baik tentang penyelamatan kamu. Selepas kamu percaya, Tuhan telah memeterai kamu+ melalui Kristus dengan menggunakan kuasa suci* yang dijanjikan-Nya itu. 14 Kuasa suci itu merupakan jaminan* bahawa kita akan menerima warisan+ yang dijanjikan-Nya. Tuhan berbuat demikian agar umat-Nya+ dibebaskan melalui tebusan,+ dan agar Dia dipuji dan dimuliakan.

15 Oleh sebab itu, sejak aku mendengar tentang iman kamu terhadap Tuan Yesus dan kasih yang kamu perlihatkan terhadap semua umat suci Tuhan, 16 aku tidak henti-henti mengucapkan syukur untuk kamu. Semasa berdoa, aku sentiasa menyebut kamu 17 dan memohon agar Bapa yang mulia, iaitu Tuhan kepada Tuan Yesus Kristus, memberi kamu kuasa suci-Nya semasa kamu menimba pengetahuan yang tepat tentang-Nya.+ Dengan ini, kamu akan menjadi bijaksana dan dapat memahami perkara-perkara yang disingkapkan oleh-Nya. 18 Dia telah membuka mata hati kamu, supaya kamu mengetahui harapan yang diberikan-Nya kepada kamu, supaya kamu mengetahui betapa mulianya kekayaan rohani yang telah disediakan-Nya sebagai warisan untuk umat suci-Nya,+ 19 dan supaya kamu mengetahui betapa unggulnya dan betapa hebatnya kuasa yang ditunjukkan-Nya kepada kita, iaitu orang yang percaya kepada Kristus.+ Kuasa dan kekuatan-Nya yang hebat kelihatan 20 apabila Dia membangkitkan Kristus daripada kematian dan memberinya tempat duduk di sebelah kanan-Nya+ di syurga. 21 Kedudukan Kristus jauh lebih tinggi daripada setiap kerajaan, penguasa, pemerintah, pemimpin, dan nama,+ baik dalam sistem dunia ini* mahupun dalam sistem dunia* yang akan datang. 22 Tuhan telah menundukkan segala sesuatu di bawah kaki Kristus+ dan melantiknya sebagai kepala atas segala sesuatu yang berkaitan dengan sidang.+ 23 Sidang itu tubuh Kristus+ dan dipenuhi dengan sifat-sifat Kristus, iaitu dia yang memenuhi segala sesuatu dalam segala cara.

2 Tuhan telah menghidupkan kamu walaupun kamu sudah mati kerana dosa dan kesalahan kamu.+ 2 Suatu ketika dahulu, kamu berjalan mengikut sistem* dunia ini+ dan mengikut pemerintah yang berkuasa atas udara,+ iaitu kecenderungan mental*+ yang sedang menguasai orang yang ingkar. 3 Sebenarnya kita semua pernah hidup menurut keinginan tubuh yang berdosa+ dan melakukan hal-hal berdosa yang diingini tubuh dan fikiran kita.+ Seperti orang lain, kita merupakan anak-anak yang membangkitkan kemurkaan Tuhan+ sejak lahir. 4 Tetapi Tuhan yang berlimpah-limpah dengan belas kasihan+ telah menunjukkan kasih-Nya yang mendalam terhadap kita+ 5 dengan menghidupkan kita bersama Kristus, walaupun kita sudah mati kerana dosa.+ Sebenarnya, kamu diselamatkan melalui kebaikan hati-Nya yang unggul. 6 Memandangkan kita bersatu dengan Kristus Yesus, Tuhan telah menghidupkan kita bersamanya dan memberi kita tempat duduk di syurga bersamanya.+ 7 Dengan demikian, dalam sistem-sistem dunia* yang akan datang, kebaikan hati Tuhan yang tidak terhingga dinyatakan melalui hal-hal baik yang akan dilakukan-Nya bagi kita yang bersatu dengan Kristus Yesus.

8 Melalui kebaikan hati Tuhan yang unggul, kamu telah diselamatkan kerana kamu beriman.+ Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, tetapi merupakan kurniaan Tuhan. 9 Penyelamatan itu bukan hasil perbuatan kamu.+ Oleh itu, tidak ada seorang pun yang mempunyai alasan untuk bercakap besar. 10 Kita ciptaan* Tuhan, dan kita diciptakan+ supaya kita bersatu dengan Kristus Yesus+ untuk melakukan perbuatan yang baik, yang sudah ditetapkan Tuhan terlebih dahulu untuk kita lakukan.

11 Oleh itu, ingatlah bahawa pada suatu ketika dahulu, sebagai orang daripada keturunan bangsa-bangsa lain, kamu dipanggil “orang yang tidak bersunat” oleh “orang yang bersunat,” iaitu mereka yang disunat oleh manusia. 12 Pada masa itu, kamu tidak mengenal Kristus. Kamu terasing daripada bangsa Israel. Kamu tidak mempunyai bahagian dalam perjanjian-perjanjian yang dibuat berdasarkan janji Tuhan.+ Kamu hidup di dunia ini tanpa harapan dan tanpa Tuhan.+ 13 Namun sekarang, kerana kamu bersatu dengan Kristus Yesus, kamu yang dahulunya jauh daripada Tuhan dapat mendekati Tuhan melalui darah Kristus. 14 Kristuslah yang membawa kedamaian untuk kita.+ Dia telah menyatukan dua kumpulan itu+ dan merobohkan tembok yang memisahkan mereka.+ 15 Dia telah mengorbankan tubuhnya untuk memansuhkan Hukum yang mengandungi perintah-perintah, yang menyebabkan permusuhan antara dua kumpulan itu. Dengan berbuat demikian, dia mendatangkan kedamaian dan menjadikan dua kumpulan itu satu umat*+ baharu yang bersatu dengannya. 16 Melalui tiang seksaan,*+ Kristus menjadikan dua kumpulan itu satu tubuh dan membantu mereka berbaik semula dengan Tuhan. Melalui kematiannya, dia telah melenyapkan permusuhan mereka.+ 17 Dia telah datang dan mengisytiharkan berita baik tentang kedamaian kepada kamu yang jauh daripada Tuhan, dan kepada orang yang dekat dengan Tuhan. 18 Melalui dia, kita semua, iaitu orang daripada kedua-dua kumpulan itu, dapat menghadap Bapa kita tanpa halangan kerana kita semua menerima kuasa suci yang sama.

19 Oleh itu kamu bukan lagi orang asing.+ Kamu memegang kerakyatan+ yang juga dimiliki umat suci Tuhan, dan kamu ialah anggota keluarga Tuhan.+ 20 Kamu telah dibina seperti sebuah bangunan. Para rasul dan para nabi+ ialah asasnya, manakala Kristus Yesus ialah batu penjuru yang utama.+ 21 Seluruh bangunan itu, yang bersatu dengan Kristus dan yang semua bahagiannya dipersatukan dengan erat,+ sedang bertambah besar sehingga menjadi rumah suci bagi Yehuwa.*+ 22 Oleh sebab kamu bersatu dengan Kristus, kamu juga dibina bersama-sama orang lain untuk menjadi sebuah tempat yang didiami Tuhan menerusi kuasa suci-Nya.+

3 Aku, Paulus, dipenjarakan+ demi Kristus Yesus dan demi kamu semua yang berasal daripada bangsa-bangsa lain. 2 Tentu kamu sudah mendengar bahawa aku telah diberi tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga,+ supaya aku menolong kamu meraih manfaat daripada kebaikan hati Tuhan yang unggul. 3 Sebelum ini aku telah menulis secara singkat bahawa suatu rahsia suci telah disingkapkan kepadaku. 4 Maka apabila kamu membaca surat ini, kamu akan tahu bahawa aku memahami rahsia suci+ tentang Kristus. 5 Rahsia itu tidak dinyatakan kepada generasi-generasi yang lampau, sebagaimana hal itu sekarang disingkapkan oleh Tuhan melalui kuasa suci-Nya kepada para rasul dan para nabi-Nya yang suci.+ 6 Inilah rahsia itu: Melalui berita baik, orang daripada bangsa-bangsa lain yang bersatu dengan Kristus Yesus akan mewarisi apa yang diwarisi Kristus, menjadi anggota-anggota di dalam tubuh yang sama,+ dan menerima janji yang juga kami terima. 7 Aku menjadi hamba kepada rahsia suci itu kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul. Dia memberi aku kurniaan percuma ini melalui kuasa-Nya.+

8 Aku lebih kecil daripada orang yang paling berkedudukan rendah dalam kalangan semua umat suci.+ Namun kebaikan hati Tuhan yang unggul diberikan kepadaku,+ agar aku mengisytiharkan berita baik tentang kekayaan Kristus yang tidak terhingga kepada bangsa-bangsa lain, 9 dan agar aku membantu semua orang melihat pentadbiran yang berkaitan dengan rahsia suci itu.+ Sejak masa lampau, rahsia suci itu disembunyikan oleh Tuhan yang menciptakan segala sesuatu. 10 Maka melalui sidang,+ kerajaan-kerajaan dan penguasa-penguasa di syurga dapat mengetahui kebijaksanaan Tuhan yang kini dinyatakan dalam pelbagai cara.+ 11 Hal ini selaras dengan tujuan kekal yang ditentukan oleh-Nya sehubungan dengan Kristus Yesus,+ Tuan kita. 12 Melalui iman kita kepadanya, kita dapat bercakap dengan berani* dan dapat menghadap Tuhan+ dengan yakin dan tanpa halangan. 13 Oleh itu, janganlah kamu berputus asa disebabkan kesengsaraan yang aku alami demi kamu, kerana kesengsaraanku akan membawa kemuliaan bagi kamu semua.+

14 Itulah sebabnya aku berlutut di hadapan Bapa. 15 Setiap keluarga, baik di syurga mahupun di bumi, menerima nama masing-masing daripada-Nya. 16 Aku berdoa agar Tuhan yang berlimpah-limpah dengan kemuliaan menguatkan hati dan fikiran kamu+ dengan kuasa suci-Nya. 17 Aku juga berdoa agar melalui iman kamu, Kristus dan kasih yang harus kamu miliki tinggal dalam hati kamu.+ Semoga kamu berakar umbi+ dan bertapak pada asas yang kukuh,+ 18 supaya kamu bersama semua umat suci dapat memahami dengan sepenuhnya betapa lebarnya, betapa panjangnya, betapa tingginya, dan betapa dalamnya, perkara-perkara yang berkaitan dengan Tuhan, 19 serta dapat mengenal kasih Kristus+ yang lebih unggul daripada pengetahuan. Dengan demikian, kamu dapat dipenuhi dengan segala sifat Tuhan yang dianugerahkan oleh-Nya.

20 Melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diri kita,+ Tuhan dapat melakukan jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta atau fikirkan.+ 21 Semoga Dia diberi kemuliaan dari generasi ke generasi untuk selama-lamanya melalui sidang dan melalui Kristus Yesus. Amin.

4 Oleh itu, aku yang dipenjarakan+ demi Tuan kita, merayu kamu: Hendaklah jalan hidup kamu sesuai+ dengan jalan hidup orang yang dipanggil oleh Tuhan. 2 Hendaklah kamu sentiasa rendah hati,+ lemah lembut, dan sabar.+ Biarlah kasih mendorong kamu untuk bersabar terhadap satu sama lain,+ 3 dan hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya perpaduan yang dikurniakan oleh kuasa suci Tuhan tetap terpelihara.+ 4 Hanya ada satu tubuh+ dan hanya ada satu kuasa suci,+ begitu juga kamu dipanggil oleh Tuhan untuk satu harapan.+ 5 Hanya ada satu Tuan,+ satu kepercayaan, satu pembaptisan, 6 dan satu Tuhan, yang merupakan Bapa kepada semua orang. Dia berkuasa atas semua orang, bertindak melalui semua orang, dan kuasa-Nya bekerja dalam semua orang.

7 Kita masing-masing dikurniai kebaikan hati yang unggul. Hal ini kelihatan daripada cara Kristus membahagikan kurniaan percuma tersebut kepada kita.+ 8 Ada tertulis, “Ketika dia naik ke tempat yang tinggi, dia membawa tawanan-tawanan. Dia memberikan kurnia berupa manusia.”+ 9 Tidakkah ungkapan “dia naik” menunjukkan bahawa dia juga pernah turun ke tempat yang rendah, iaitu ke bumi? 10 Dia yang turun itu juga merupakan dia yang naik+ ke tempat yang jauh lebih tinggi daripada segala langit.+ Dia naik ke situ supaya dia dapat memenuhi segala sesuatu dalam semua cara.

11 Dia mengurniakan sesetengah orang sebagai rasul,+ sesetengah orang sebagai nabi,+ sesetengah orang sebagai penginjil,*+ dan sesetengah orang sebagai gembala dan guru.+ 12 Dia berbuat demikian untuk membetulkan haluan* umat suci Tuhan, untuk berkhidmat kepada orang lain, dan untuk menguatkan tubuh Kristus,+ 13 sehingga kita semua mencapai kesatuan* dari segi kepercayaan dan pengetahuan yang tepat tentang Anak Tuhan. Dengan ini, kita dapat menjadi orang yang matang*+ dan mencapai tahap kematangan Kristus. 14 Oleh itu, kita tidak patut menjadi seperti kanak-kanak lagi, yang diperdaya oleh pelbagai helah, tipu muslihat, dan ajaran palsu+ orang licik, sehingga kita terumbang-ambing seperti perahu yang dipukul ombak dan ditiup angin ke sana sini. 15 Kita harus bercakap benar dan menunjukkan kasih, supaya kita menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala kita.+ 16 Melaluinya, semua bahagian tubuh+ tersusun rapi dan bekerjasama melalui setiap sendi yang memberikan sokongan. Apabila setiap anggota tubuh memainkan peranannya dengan baik, hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan tubuh supaya tubuh itu terus menjadi kuat dalam kasih.+

17 Oleh itu, atas nama Tuan kita, aku berkata kepada kamu dan menggesa kamu: Jangan lagi hidup seperti orang duniawi,+ yang hidup menurut fikiran yang sia-sia.*+ 18 Fikiran mereka diselubungi kegelapan dan mereka terasing daripada kehidupan yang datang daripada Tuhan, kerana mereka enggan mengenal Tuhan dan kerana hati mereka sudah tidak peka.* 19 Mereka tidak lagi peduli tentang piawaian moral dan menjerumuskan diri ke dalam kelakuan yang buruk.*+ Mereka mengamalkan pelbagai jenis kenajisan tanpa rasa puas.

20 Namun, kamu sudah belajar bahawa Kristus bukan seperti itu, 21 kecuali kamu tidak mendengarnya dengan baik semasa kebenaran yang diajarkan oleh Yesus disampaikan kepada kamu. 22 Kamu diajar supaya menanggalkan keperibadian lama+ yang dibentuk menurut kelakuan kamu dahulu, dan yang sedang dirosakkan oleh keinginan yang menyesatkan.+ 23 Hendaklah kamu terus membaharui cara kamu berfikir,*+ 24 dan hendaklah kamu mengenakan keperibadian baharu+ yang diciptakan menurut kehendak Tuhan, dan yang selaras dengan apa yang benar dan setia.

25 Oleh itu, memandangkan kamu sudah membuang segala dusta, hendaklah kamu masing-masing bercakap benar kepada orang lain,+ kerana kita semua ialah anggota satu tubuh.+ 26 Jika kamu marah, janganlah berdosa.+ Janganlah membiarkan kemarahan kamu berlanjutan sampai matahari terbenam,+ 27 dan janganlah berikan peluang* kepada Iblis.+ 28 Orang yang mencuri haruslah berhenti mencuri. Dia harus bekerja dengan rajin dan melakukan kerja yang baik dengan tangannya,+ supaya dia dapat memberikan sesuatu kepada orang yang berkekurangan.+ 29 Janganlah biarkan kata-kata yang busuk keluar daripada mulut kamu.+ Sebaliknya, menurut keadaan dan masa, ucapkanlah kata-kata baik yang dapat menguatkan orang, supaya orang yang mendengar akan mendapat manfaat.+ 30 Selain itu, janganlah menyedihkan* kuasa suci Tuhan.+ Kamu telah dimeterai+ melalui kuasa suci itu supaya kamu ditebus dan dibebaskan pada hari pembebasan.+

31 Buangkanlah segala rasa dendam yang membara,+ kemarahan, perasaan berang, jeritan, kata-kata hinaan,+ dan segala kejahatan.+ 32 Tunjukkanlah kebaikan hati kepada satu sama lain, dan tunjukkanlah belas kasihan.+ Ampunilah satu sama lain dengan rela hati sebagaimana Tuhan juga mengampuni kamu dengan rela hati melalui Kristus.+

5 Maka ikutlah teladan Tuhan+ sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya. 2 Hendaklah hidup kamu sentiasa disertai kasih,+ sepertimana Kristus mengasihi kita*+ dan menyerahkan dirinya bagi kita* sebagai suatu persembahan dan korban yang berbau harum kepada Tuhan.+

3 Jangan ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang menyebut tentang perbuatan seks yang tidak bermoral,* ketamakan, atau setiap jenis kenajisan.+ Hal ini demikian kerana semua itu tidak wajar bagi orang yang suci.+ 4 Selain itu, janganlah menyebut tentang kelakuan yang memalukan, perkara yang bodoh, atau jenaka yang lucah,+ iaitu hal-hal yang tidak senonoh. Sebaliknya, kamu harus mengucapkan syukur kepada Tuhan.+ 5 Kamu sendiri tahu dan sedar bahawa orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,*+ orang yang melakukan perkara-perkara yang najis, atau orang yang tamak,+ iaitu orang yang menyembah berhala, tidak akan mewarisi apa-apa dalam Kerajaan Kristus dan Tuhan.+

6 Janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu dengan kata-kata kosong, kerana hal-hal inilah yang menimbulkan kemurkaan Tuhan terhadap orang yang ingkar. 7 Maka janganlah kamu ada apa-apa hubungan dengan mereka. 8 Dahulu kamu pernah hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu hidup dalam cahaya+ kerana kamu bersatu dengan Tuan kita.+ Maka, teruslah hidup sebagai anak-anak cahaya, 9 kerana buah yang dihasilkan oleh cahaya terdiri daripada segala yang baik, yang jujur, dan yang benar.+ 10 Teruslah mengenal pasti perkara-perkara yang diperkenankan+ Tuan kita. 11 Jangan lagi ikut serta dalam kerja yang tidak berguna, dan yang berkaitan dengan kegelapan.+ Sebaliknya, kamu harus mendedahkan perkara-perkara itu. 12 Hal ini demikian kerana perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka dengan diam-diam itu begitu memalukan sehingga tidak dapat disebut. 13 Segala perkara didedahkan* oleh cahaya. Dengan itu segala perkara yang didedahkan menjadi cahaya. 14 Maka ada tertulis, “Bangunlah, hai kamu yang sedang tidur. Bangkitlah daripada kematian,+ dan Kristus akan menyinarimu.”+

15 Oleh itu, perhatikanlah kelakuan kamu dengan teliti. Janganlah hidup sebagai orang yang bodoh, sebaliknya hiduplah sebagai orang yang bijak. 16 Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya*+ kerana kita hidup pada hari-hari yang jahat. 17 Oleh sebab itu, jangan lagi bersikap tidak munasabah, tetapi hendaklah kamu terus memahami kehendak Yehuwa.*+ 18 Selain itu, janganlah kamu menjadi mabuk kerana wain,+ kerana hal itu akan membawa kepada kehidupan yang tidak bermoral.* Sebaliknya, hendaklah kamu sentiasa dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan. 19 Semasa bercakap kepada satu sama lain,* hendaklah percakapan kamu disertai mazmur, puji-pujian kepada Tuhan, dan lagu rohani.+ Nyanyikanlah pujian+ kepada Yehuwa* dari lubuk hati kamu.+ 20 Dalam segala hal, hendaklah kamu sentiasa bersyukur+ kepada Tuhan dan Bapa kita melalui nama Tuan kita, Yesus Kristus.+

21 Hendaklah rasa takut akan Kristus mendorong kamu untuk taat kepada satu sama lain.+ 22 Isteri haruslah taat kepada suami+ sebagaimana mereka taat kepada Tuan kita. 23 Hal ini demikian kerana suami ialah kepala isteri+ sebagaimana Kristus ialah kepala sidang.+ Sidang ialah tubuh Kristus, dan Kristus ialah penyelamat tubuh ini. 24 Sebagaimana sidang taat kepada Kristus, isteri juga harus taat kepada suami dalam segala hal. 25 Hai para suami, teruslah mengasihi isteri kamu,+ sebagaimana Kristus mengasihi sidang dan menyerahkan dirinya untuk sidang.+ 26 Dia berbuat demikian supaya dia dapat menyucikan sidang dan membersihkannya dengan air, iaitu firman Tuhan.+ 27 Dengan itu, sidang menjadi indah dan suci di matanya, tanpa sebarang noda, kedut, atau cacat cela.+

28 Begitu juga, suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri. Seorang lelaki yang mengasihi isterinya juga mengasihi diri sendiri. 29 Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menyayanginya, sebagaimana yang dilakukan oleh Kristus terhadap sidang. 30 Hal ini demikian kerana kita anggota tubuh Kristus.+ 31 “Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama* isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.”+ 32 Rahsia suci ini+ sangat penting. Aku sedang bercakap tentang Kristus dan sidang.+ 33 Namun, setiap suami dalam kalangan kamu mesti mengasihi isterinya+ sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri, dan isteri pula harus menghormati suaminya dengan mendalam.+

6 Hai anak-anak, selaras dengan kehendak Tuan, patuhilah ibu bapa+ kamu kerana hal ini benar di mata-Nya. 2 “Hormatilah ibu bapa kamu.”+ Itulah perintah pertama yang disertai janji berikut: 3 “Supaya kamu hidup sejahtera* dan berumur panjang di bumi.” 4 Hai bapa-bapa, janganlah memperlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah.+ Sebaliknya, teruslah besarkan mereka dengan disiplin+ dan nasihat* daripada Yehuwa.*+

5 Hai hamba-hamba, patuhilah tuan kamu di bumi+ dengan hati yang ikhlas disertai rasa takut dan hormat yang mendalam, sebagaimana kamu patuh kepada Kristus. 6 Janganlah patuh hanya semasa kamu diawasi, semata-mata untuk menyenangkan hati manusia.+ Sebaliknya, tunjukkanlah kepatuhan sebagai hamba Kristus dan lakukanlah kehendak Tuhan dengan sepenuh jiwa.+ 7 Berkhidmatlah kepada tuan kamu dengan rela hati, seolah-olah kamu berkhidmat kepada Yehuwa*+ dan bukan kepada manusia, 8 kerana kamu tahu bahawa setiap orang, baik hamba mahupun orang bebas, akan menerima ganjaran daripada Yehuwa*+ untuk perbuatan baik yang dilakukannya. 9 Hai kamu yang menjadi tuan, ingatlah akan hal ini sewaktu kamu berurusan dengan hamba-hamba kamu: Jangan mengancam mereka, kerana kamu tahu bahawa Tuan mereka, yang juga merupakan Tuan kamu, berada di syurga,+ dan Dia tidak berat sebelah.

10 Akhirnya, teruslah memperoleh kuasa+ daripada Tuan kita dan daripada kekuatan-Nya yang besar. 11 Kenakanlah seluruh perlengkapan perang+ daripada Tuhan supaya kamu dapat berdiri teguh untuk melawan muslihat Iblis yang licik. 12 Hal ini demikian kerana kita tidak bergelut+ melawan manusia, tetapi melawan kerajaan, melawan pihak berkuasa, melawan pemerintah dunia yang gelap ini, dan melawan roh-roh jahat+ di syurga. 13 Oleh itu, kenakanlah seluruh perlengkapan perang daripada Tuhan+ supaya kamu dapat melawan musuh pada hari yang jahat. Dengan demikian, selepas kamu melakukan semuanya, kamu dapat berdiri teguh.

14 Maka, hendaklah kamu berdiri teguh dengan mengikatkan kebenaran pada pinggang kamu seperti tali pinggang,+ dan dengan mengenakan perisai dada, iaitu kelakuan yang benar.+ 15 Selain itu, hendaklah kesediaan untuk mengisytiharkan berita baik tentang kedamaian menjadi seperti kasut bagi kaki kamu.+ 16 Di samping semua itu, hendaklah kamu sentiasa menggunakan perisai besar iman,+ supaya kamu dapat memadamkan semua anak panah* berapi daripada Si Jahat.+ 17 Terimalah juga penyelamatan sebagai topi besi,+ dan firman Tuhan sebagai pedang yang diberikan oleh kuasa suci Tuhan.+ 18 Dengan setiap bentuk doa+ dan rayuan, teruslah berdoa pada setiap kesempatan di bawah bimbingan kuasa suci Tuhan.+ Untuk berbuat demikian, kamu haruslah sentiasa berjaga-jaga dan merayu kepada Tuhan bagi pihak semua umat suci-Nya. 19 Berdoalah untukku juga, supaya aku tahu apa yang harus aku katakan apabila aku membuka mulutku. Dengan demikian, aku dapat bercakap dengan berani* semasa mengisytiharkan rahsia suci tentang berita baik.+ 20 Demi berita baik ini aku menjadi seorang duta+ yang dirantai. Berdoalah untukku supaya aku dapat bercakap tentang berita baik dengan penuh keberanian sebagaimana yang harus aku lakukan.

21 Tikhikus,+ seorang saudara yang dikasihi dan hamba yang setia kepada Tuan kita, akan memberitahu kamu segala-galanya, supaya kamu tahu tentang keadaanku.+ 22 Aku mengutus dia kepada kamu supaya kamu mengetahui keadaan kami, dan supaya dia dapat melegakan hati kamu semua.

23 Semoga saudara-saudara memiliki kedamaian dan kasih serta iman daripada Tuhan, Bapa kita, dan daripada Tuan Yesus Kristus. 24 Semoga kebaikan hati Tuhan yang unggul menyertai semua orang yang mengasihi Tuan Yesus Kristus dengan kasih yang abadi.

Merujuk kepada kelahiran anak-anak Adam dan Hawa.

Iaitu, Kristus.

Atau “pertimbangan yang baik.”

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Atau “bayaran pendahuluan (wang cengkeram).”

Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”

Atau “zaman.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”

Atau “haluan.”

Lihat Kamus, “Roh.”

Atau “zaman-zaman.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”

Atau “hasil karya.”

Harfiah, “satu insan.”

Lihat Kamus.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”

Atau “penyebar berita baik.”

Atau “untuk melatih.”

Atau “perpaduan.”

Atau “dewasa.”

Atau “yang kosong; yang tidak berguna.”

Harfiah, “sudah tumpul.”

Yunani, a·selʹgei·a. Lihat Kamus.

Atau “membaharui daya yang mendorong pemikiran kamu.”

Atau “ruang.”

Atau “mendukacitakan.”

Atau mungkin, “kamu.”

Atau mungkin, “kamu.”

Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “ditegur.”

Atau “Belilah masa.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “tidak terkawal.”

Atau mungkin, “kepada diri sendiri.”

Lihat Lampiran A5.

Dalam bahasa Yunani, ungkapan ini bermaksud “berpaut erat, seolah-olah melekat pada sesuatu.”

Atau “makmur.”

Atau “arahan; bimbingan.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “peluru; damak.”

Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi