PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 17 1A-10C
  • Ester

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Ester
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Ester

ESTER

1 Pada zaman Ahasweros,* dia memerintah 127 buah wilayah,+ dari India sampai ke Etiopia.* 2 Pada masa itu, Raja Ahasweros memerintah di Susan,*+ sebuah kota berkubu.* 3 Pada tahun ketiga pemerintahannya, raja mengadakan jamuan untuk semua pembesarnya dan pegawainya. Para pegawai tentera Persia+ dan Media,+ orang bangsawan, dan para gabenor wilayah, semuanya datang menghadap raja. 4 Raja telah mempamerkan kekayaan dan kemegahan kerajaannya serta menunjukkan kemuliaan dan keagungannya kepada mereka selama berhari-hari, iaitu selama 180 hari. 5 Selepas itu, raja mengadakan jamuan untuk semua orang yang ada di Susan, kota berkubu* itu. Jamuan itu berlangsung selama tujuh hari. Semua orang, baik yang berpangkat tinggi mahupun yang berpangkat rendah, menyertai raja di taman yang terletak di halaman istananya. 6 Halaman itu dihiasi dengan tirai-tirai yang diperbuat daripada kain linen, kain biru, dan kain kapas yang bermutu tinggi. Semua tirai itu digantung pada gelang-gelang perak yang ada pada tiang-tiang marmar, dan diikat dengan tali yang diperbuat daripada kain putih dan kain ungu. Selain itu, terdapat juga sofa-sofa emas dan perak yang diletakkan di atas lantai yang diperbuat daripada mutiara, batu merah,* dan batu marmar yang berwarna putih dan hitam.

7 Raja amat kaya, dan dia mempunyai wain yang sangat banyak. Wain itu dihidangkan di dalam cawan-cawan emas beraneka jenis. 8 Raja tidak mengenakan sebarang peraturan,* dan setiap orang boleh minum seberapa banyak wain yang diingininya. Raja telah memberikan perintah kepada para pegawai istana bahawa setiap orang boleh berbuat sesuka hati mereka.

9 Permaisuri Wasti+ juga mengadakan jamuan untuk para wanita di istana Raja Ahasweros.

10 Pada hari ketujuh, raja minum sehingga dia berasa sangat gembira. Maka dia memanggil tujuh orang pegawai istana yang juga berkhidmat sebagai pelayan peribadinya, iaitu Mehuman, Bizta, Harbona,+ Bigta, Abagta, Zetar, dan Karkas. Dia menyuruh mereka 11 membawa Permaisuri Wasti kepadanya dengan memakai mahkota* diraja. Permaisuri cantik sekali, dan raja ingin menunjukkan kecantikannya kepada orang ramai dan kepada para pembesarnya. 12 Tetapi Permaisuri Wasti berkali-kali mengingkari perintah raja yang disampaikan melalui pegawai-pegawai istana itu. Oleh itu, raja sangat marah, dan kemurkaannya berkobar-kobar.

13 Raja pun meminta pendapat orang yang arif tentang adat pada masa itu. (Raja selalu berbincang dengan mereka kerana mereka arif dalam soal hukum dan undang-undang. 14 Dalam kalangan mereka, yang paling rapat dengan raja ialah tujuh orang pembesar Persia dan Media. Nama mereka ialah Karsena, Setar, Admata, Tarsis, Meres, Marsena, dan Memukan.+ Merekalah yang memegang jawatan yang tertinggi dalam kerajaan dan bebas menghadap raja.) 15 Raja berkata kepada mereka, “Permaisuri Wasti telah mengingkari perintah beta yang disampaikan menerusi para pegawai istana. Menurut hukum, apakah yang harus dilakukan terhadap Permaisuri Wasti?”

16 Maka Memukan berkata di hadapan raja dan semua pembesar yang lain, “Permaisuri Wasti bukan sahaja bersalah terhadap raja seorang,+ malahan terhadap semua pembesar dan semua rakyat di seluruh wilayah pemerintahan Raja Ahasweros. 17 Hal ini demikian kerana jika tindakan permaisuri diketahui oleh wanita-wanita yang lain, mereka tidak akan menghormati suami mereka lagi. Mereka akan berkata, ‘Raja Ahasweros menyuruh Permaisuri Wasti untuk menghadapnya, tetapi permaisuri enggan datang.’ 18 Pada hari ini, isteri-isteri kepada pembesar Persia dan Media yang mendengar tentang kelakuan permaisuri tentu akan mengatakan hal yang sama kepada suami mereka. Akibatnya kebencian dan kemarahan akan timbul. 19 Jika tuanku berkenan, keluarkanlah perintah yang melarang Wasti daripada menghadap tuanku lagi. Perintah itu harus dijadikan undang-undang Persia dan Media agar perintah itu tidak boleh dibatalkan.+ Setelah itu, berikanlah kedudukan Permaisuri Wasti kepada wanita lain yang lebih baik. 20 Apabila perintah itu diumumkan di seluruh kerajaan tuanku yang luas ini, semua isteri pasti akan menghormati suami mereka, baik yang berpangkat tinggi mahupun yang berpangkat rendah.”

21 Cadangan itu menyenangkan hati raja dan para pembesar. Raja pun melakukan apa yang dicadangkan oleh Memukan. 22 Dia mengirim surat ke semua wilayah di bawah pemerintahannya.+ Surat-surat itu ditulis dalam tulisan dan bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa di wilayah masing-masing. Perintah itu mengatakan bahawa setiap suami haruslah menjadi ketua keluarga dan bercakap menurut bahasa bangsanya.

2 Beberapa lama kemudian, apabila kemarahan Raja Ahasweros+ sudah reda, dia teringat akan perbuatan Wasti+ dan tindakan yang telah diambil terhadap Wasti.+ 2 Maka para pelayan peribadi raja berkata, “Carilah anak-anak dara yang muda dan cantik untuk raja. 3 Hendaklah raja melantik wakil-wakil di seluruh wilayah pemerintahannya+ untuk membawa semua anak dara yang muda dan cantik ke rumah wanita* di kota berkubu* Susan.* Serahkanlah mereka ke bawah jagaan Hegai,+ iaitu seorang sida-sida raja yang berkhidmat sebagai penjaga para wanita, dan berikanlah rawatan kecantikan kepada mereka.* 4 Gadis yang paling disukai oleh raja akan menjadi permaisuri untuk menggantikan Wasti.”+ Raja senang hati dengan cadangan itu, maka dia pun melaksanakannya.

5 Di kota berkubu* Susan,+ ada seorang lelaki Yahudi yang bernama Mordekhai.+ Dia ialah anak Yair, cucu Simei, dan cicit Kish daripada suku Benyamin,+ 6 yang telah ditawan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilon. Nebukadnezar juga telah mengambil Yekhonya,*+ iaitu raja Yehuda, dan orang yang lain dari Yerusalem sebagai tawanan. 7 Mordekhai ialah penjaga Hadasa,* iaitu Ester. Ester ialah sepupu Mordekhai.+ Ester seorang gadis yang cantik dan bertubuh molek. Dia menjadi anak angkat Mordekhai selepas kematian ibu bapanya. 8 Apabila kata-kata dan perintah raja diumumkan, ramai gadis dibawa ke kota berkubu* Susan, dan Ester juga dibawa ke sana. Mereka semua diserahkan ke bawah jagaan Hegai,+ iaitu penjaga para wanita.

9 Hegai kagum dengan Ester dan suka* kepadanya. Oleh itu, dia segera mengaturkan agar Ester mendapat rawatan kecantikan*+ dan diberi makanan yang khas. Dia juga memilih tujuh orang gadis dari istana untuk melayani Ester, lalu memindahkan Ester dan dayang-dayangnya itu ke tempat yang terbaik di dalam rumah wanita. 10 Ester tidak memberitahu orang lain tentang bangsanya+ atau latar belakang keluarganya+ kerana dia menurut nasihat Mordekhai.+ 11 Setiap hari, Mordekhai berjalan-jalan di halaman depan rumah wanita untuk mengetahui keadaan Ester, dan bagaimana dia dilayan.

12 Setiap gadis diwajibkan untuk menerima rawatan kecantikan selama 12 bulan, iaitu enam bulan dengan minyak mur,+ dan enam bulan lagi dengan minyak balsam*+ dan pelbagai minyak* yang lain. Selepas selesai menjalani rawatan kecantikan itu, barulah mereka akan menghadap Raja Ahasweros mengikut giliran. 13 Apabila seorang gadis pergi menghadap raja, dia akan diberi apa sahaja yang diingininya untuk dibawa dari rumah wanita ke istana raja. 14 Pada waktu petang, gadis itu akan pergi menghadap raja, dan pada waktu pagi, dia akan kembali ke rumah wanita yang kedua, yang berada di bawah jagaan Saasgas,+ iaitu sida-sida yang mengurus para gundik raja. Gadis itu tidak akan menghadap raja lagi kecuali jika raja berkenan kepadanya dan memanggil namanya.+

15 Kemudian tibalah giliran Ester, anak perempuan Abihail, untuk menghadap raja. (Abihail ialah bapa saudara Mordekhai, dan Mordekhai telah mengambil Ester sebagai anak angkatnya.)+ Ester tidak meminta apa-apa selain apa yang dicadangkan oleh Hegai, sida-sida raja yang bertugas sebagai penjaga para wanita. Sepanjang masa itu, Ester disenangi oleh semua orang yang memandangnya. 16 Pada bulan yang ke-10, iaitu bulan Tebet,* tahun ketujuh pemerintahan Raja Ahasweros,+ Ester dibawa ke istana untuk menghadap raja. 17 Raja mengasihi Ester lebih daripada semua wanita yang lain. Ester mendapat lebih banyak kasih sayang dan perkenan raja berbanding anak-anak dara yang lain. Maka raja mengenakan mahkota* diraja pada kepala Ester dan menjadikannya permaisuri+ untuk menggantikan Wasti.+ 18 Raja mengadakan sebuah jamuan yang besar untuk semua pembesarnya dan pegawainya. Jamuan ini diadakan khasnya untuk Ester. Kemudian raja memberikan pengampunan kepada rakyat di semua wilayah pemerintahannya. Raja juga memberikan banyak hadiah kerana dia sangat kaya.

19 Ketika anak-anak dara*+ dikumpulkan buat kali kedua, Mordekhai duduk di pintu gerbang istana raja. 20 Ester tidak memberitahu orang lain tentang bangsanya atau latar belakang keluarganya+ kerana dia menurut nasihat Mordekhai. Ester terus mematuhi nasihat Mordekhai seperti pada masa dia di bawah jagaannya.+

21 Bigtan dan Teres, iaitu dua orang pegawai istana yang bertugas sebagai penjaga pintu, berkomplot untuk membunuh Raja Ahasweros kerana mereka marah terhadapnya. Pada waktu itu, Mordekhai sedang duduk di pintu gerbang istana raja. 22 Dia mendapat tahu tentang hal itu dan segera memaklumkannya kepada Permaisuri Ester. Kemudian Ester memberitahukan hal itu kepada raja bagi pihak Mordekhai.* 23 Hal itu telah disiasat dan disahkan kebenarannya. Maka kedua-dua orang pegawai itu dihukum gantung. Semua hal itu ditulis di hadapan raja dalam buku catatan tentang peristiwa pada zaman itu.+

3 Beberapa lama kemudian, Raja Ahasweros menaikkan pangkat Haman+ anak Hamedata, seorang lelaki daripada keturunan Agag.+ Raja memberi Haman kedudukan yang lebih tinggi daripada semua pembesar yang ada bersamanya.+ 2 Raja memberikan perintah supaya semua pegawai raja yang berada di pintu gerbang istana membongkok dan bersujud di hadapan Haman. Mereka semua berbuat demikian kecuali Mordekhai. 3 Oleh itu, mereka bertanya kepada Mordekhai, “Mengapakah kamu mengingkari perintah raja?” 4 Tiap-tiap hari, mereka akan menanyakan soalan yang sama, tetapi Mordekhai tidak menghiraukan mereka. Maka mereka melaporkan hal itu kepada Haman untuk mengetahui sama ada Mordekhai boleh dibiarkan untuk terus berbuat demikian atau tidak.+ Sebelum ini, Mordekhai pernah memberitahu mereka bahawa dia berbangsa Yahudi.+

5 Apabila Haman mengetahui bahawa Mordekhai enggan membongkok dan bersujud di hadapannya, Haman pun naik darah.+ 6 Setelah Haman mendapat tahu tentang bangsa Mordekhai, dia tidak berasa puas hati jika dia menyingkirkan Mordekhai seorang sahaja. Jadi dia mula mencari peluang untuk menghapuskan semua orang Yahudi, iaitu semua orang yang sebangsa dengan Mordekhai, yang tinggal di seluruh wilayah pemerintahan Ahasweros.

7 Pada bulan pertama, iaitu bulan Nisan,* pada tahun ke-12+ pemerintahan Raja Ahasweros, mereka membuang Pur+ (iaitu, membuang undi) di hadapan Haman untuk menentukan hari dan bulan yang sesuai.* Akhirnya, masa yang dipilih jatuh pada bulan ke-12, iaitu bulan Adar.*+ 8 Haman berkata kepada Raja Ahasweros, “Ada satu bangsa yang hidup dalam kalangan bangsa-bangsa lain di setiap wilayah pemerintahan tuanku.+ Bangsa ini tercerai-berai dan tersebar luas.+ Hukum mereka berlainan dengan hukum bangsa-bangsa lain, dan mereka tidak mematuhi undang-undang tuanku. Tidak baik jika tuanku membiarkan mereka bertindak sesuka hati. 9 Jika tuanku berkenan, keluarkanlah surat perintah untuk membinasakan mereka. Hamba akan membayar 342,000 kilogram* perak kepada para pegawai untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan raja.”*

10 Oleh itu, raja menanggalkan cincin mohor+ dari jarinya lalu memberikan cincin itu kepada Haman+ anak Hamedata, orang Agag+ yang merupakan musuh orang Yahudi. 11 Kemudian raja berkata kepada Haman, “Lakukanlah apa yang kamu inginkan dengan wang perak dan bangsa itu kerana beta telah menyerahkan semua itu ke dalam tanganmu.” 12 Raja memanggil para setiausahanya+ pada hari ke-13 bulan pertama. Mereka mencatatkan+ segala perintah Haman dalam bahasa yang dituturkan oleh setiap bangsa dan dalam tulisan setiap wilayah. Kemudian surat-surat itu diberikan kepada ketua-ketua gabenor wilayah, para gabenor wilayah, dan pembesar-pembesar setiap bangsa. Surat itu ditulis atas nama Raja Ahasweros dan dimeterai dengan cincin mohornya.+

13 Surat-surat itu dihantar oleh utusan raja ke semua wilayah pemerintahannya. Kandungan surat itu menyatakan bahawa semua orang Yahudi, tua dan muda, kanak-kanak dan wanita, mesti dibunuh, dihapuskan, dan dilenyapkan. Segala harta milik mereka juga harus dirampas.+ Hal ini haruslah dilaksanakan dalam masa satu hari, pada hari ke-13 bulan ke-12, iaitu bulan Adar.+ 14 Kandungan surat itu haruslah disalin dan dikuatkuasakan sebagai undang-undang di setiap wilayah. Kemudian undang-undang itu mesti diumumkan kepada semua rakyat agar mereka dapat bersiap sedia sebelum hari itu tiba. 15 Atas perintah raja, para utusan segera berangkat.+ Undang-undang itu juga diumumkan di kota berkubu* Susan.*+ Sementara itu, raja dan Haman duduk untuk minum-minum, tetapi seluruh kota Susan kucar-kacir.

4 Apabila Mordekhai+ mengetahui segala yang telah berlaku,+ dia mengoyakkan jubahnya lalu mengenakan kain guni dan menaburkan abu* di atas kepalanya. Kemudian dia berjalan-jalan di tengah kota sambil menangis dengan kuat dan pilu. 2 Tetapi dia hanya berjalan sampai ke pintu gerbang istana raja kerana tiada sesiapa pun yang mengenakan kain guni dibenarkan untuk masuk melalui pintu itu. 3 Di setiap wilayah,+ di mana sahaja perintah raja disampaikan, orang Yahudi mula berkabung. Mereka berpuasa,+ menangis, dan meraung-raung. Ramai yang mengenakan kain guni sambil berbaring di atas abu.+ 4 Apabila dayang-dayang dan sida-sida Ester memberitahu Ester apa yang sedang berlaku, dia menjadi sangat gelisah. Kemudian dia menghantar pakaian kepada Mordekhai supaya Mordekhai tidak memakai kain guni lagi, tetapi Mordekhai menolak pemberiannya. 5 Maka Ester memanggil Hatah, salah seorang sida-sida yang ditugaskan oleh raja untuk melayani Ester. Ester menyuruh Hatah untuk bertanya kepada Mordekhai apa yang telah terjadi dan mengapa hal itu terjadi.

6 Maka Hatah pergi berjumpa dengan Mordekhai di lapangan kota, di hadapan pintu gerbang istana raja. 7 Mordekhai memberitahu Hatah apa yang telah berlaku kepada dirinya, dan jumlah wang+ yang telah dijanjikan oleh Haman untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan raja agar orang Yahudi dibinasakan.+ 8 Mordekhai memberi Hatah salinan surat yang telah dikeluarkan di Susan,*+ yang mengandungi perintah raja untuk melenyapkan bangsanya. Dia menyuruh Hatah untuk menunjukkan surat itu kepada Ester dan menjelaskan kandungannya.+ Dia juga meminta supaya Ester pergi menghadap raja dan merayu raja untuk menunjukkan belas kasihan kepada bangsanya.

9 Maka Hatah kembali kepada Ester dan menyampaikan kata-kata Mordekhai kepadanya. 10 Ester mengutus Hatah kepada Mordekhai+ dengan jawapan berikut: 11 “Semua pembesar dan setiap rakyat di seluruh wilayah pemerintahan raja tahu bahawa raja telah menetapkan satu hukum, iaitu sesiapa yang memasuki halaman dalam istana+ tanpa jemputan raja akan dihukum mati. Namun jika raja menghulurkan tongkat emasnya kepada orang itu, orang itu akan terus hidup.+ Tetapi sudah 30 hari raja tidak memanggil aku.”

12 Apabila Mordekhai mendengar tentang apa yang dikatakan oleh Ester, 13 dia mengirim pesanan kepada Ester, “Jangan fikir bahawa kamu lebih selamat daripada orang Yahudi yang lain hanya kerana kamu tinggal di istana. 14 Jika kamu berdiam diri pada masa ini, orang Yahudi tetap ditolong dan dibebaskan dengan cara yang lain,+ tetapi kamu dan keturunan ayahmu akan binasa. Siapa tahu, mungkin kamu telah dipilih menjadi permaisuri untuk membantu bangsamu pada saat-saat seperti ini.”+

15 Kemudian Ester membalas kata-kata Mordekhai, 16 “Kumpulkanlah semua orang Yahudi yang ada di Susan dan berpuasalah+ bagi saya. Jangan makan atau minum selama tiga hari+ dan tiga malam. Saya dan dayang-dayang saya pun akan berpuasa. Selepas itu, saya akan menghadap raja walaupun hal itu melanggar undang-undang. Jika saya harus mati, biarlah saya mati.” 17 Kemudian Mordekhai pergi melakukan semua yang telah dikatakan oleh Ester.

5 Pada hari yang ketiga,+ Ester mengenakan pakaian permaisurinya lalu berdiri di halaman dalam di rumah raja, iaitu halaman yang berhadapan dengan istana. Pada masa itu, raja berada di balairung dan sedang duduk di atas takhtanya yang menghadap pintu masuk. 2 Raja berasa gembira setelah dia melihat Permaisuri Ester sedang berdiri di halaman. Kemudian raja menghulurkan tongkat emasnya kepada Ester,+ maka dia mendekati raja dan menyentuh hujung tongkat itu.

3 Raja bertanya kepada Ester, “Ada apa, permaisuriku? Apakah hajat adinda? Katakanlah. Beta akan memberikan apa sahaja kepada adinda meskipun setengah daripada kerajaan beta!” 4 Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan, hamba ingin menjemput tuanku dan Haman+ ke jamuan yang akan hamba adakan hari ini.” 5 Oleh itu, raja mengeluarkan perintah berikut: “Suruhlah Haman datang dengan segera seperti yang diminta oleh Ester.” Kemudian raja dan Haman menghadiri jamuan yang diadakan oleh Ester.

6 Ketika mereka sedang minum wain, raja berkata kepada Ester, “Apakah hajat dan permohonan adinda? Beta akan menunaikannya. Beta akan memberikan apa sahaja kepada adinda meskipun setengah daripada kerajaan beta!”+ 7 Ester menjawab, “Inilah hajat dan permohonan hamba: 8 Jika tuanku berkenan dan jika tuanku sudi menunaikan hajat dan permohonan hamba, hamba ingin menjemput tuanku dan Haman sekali lagi ke jamuan yang akan hamba adakan esok. Esok semasa jamuan itu, barulah hamba akan mengajukan permohonan hamba.”

9 Pada hari itu, Haman pulang dengan hati yang riang dan gembira. Tetapi ketika Haman nampak Mordekhai di pintu gerbang istana, Mordekhai tidak berdiri dan tidak menunjukkan tanda-tanda takut terhadapnya. Oleh itu, Haman pun naik berang.+ 10 Walau bagaimanapun, Haman menahan dirinya dan terus pulang ke rumahnya. Lalu dia memanggil kawan-kawannya dan isterinya Zeres.+ 11 Haman membangga-banggakan diri di hadapan mereka. Dia menceritakan kepada mereka tentang betapa kayanya dia dan betapa banyaknya anak lelakinya.+ Malah dia juga menceritakan bagaimana raja telah menaikkan pangkatnya dan memberinya kedudukan yang lebih tinggi daripada semua pembesar dan pegawai raja yang lain.+

12 Haman menambah lagi, “Bukan itu sahaja, Permaisuri Ester langsung tidak menjemput orang lain ke jamuannya, kecuali raja dan aku sendiri.+ Esok aku juga dijemput untuk pergi ke jamuan Ester bersama raja.+ 13 Tetapi semua itu tidak dapat memuaskan hatiku selagi aku melihat Mordekhai, orang Yahudi itu, duduk di pintu gerbang istana.” 14 Lalu isterinya dan semua kawannya berkata, “Binalah sebuah tiang yang tingginya kira-kira 22 meter.* Esok pagi, beritahulah raja bahawa Mordekhai harus dihukum gantung pada tiang itu.+ Kemudian pergilah bersama raja ke jamuan itu dengan hati yang lega.” Haman suka dengan cadangan itu, maka dia pun menyuruh orang untuk membina tiang itu.

6 Pada malam itu, raja tidak dapat tidur. Maka dia menyuruh orang untuk mengambil buku catatan tentang peristiwa pada zaman itu+ dan membacakan buku itu di hadapannya. 2 Buku itu mencatatkan bahawa Mordekhai telah mendedahkan komplot pembunuhan Raja Ahasweros yang dirancang oleh Bigtan* dan Teres, iaitu dua orang pegawai istana yang bertugas sebagai penjaga pintu.+ 3 Maka, raja bertanya, “Sudahkah Mordekhai diberi penghormatan dan ganjaran untuk jasa baiknya itu?” Para pelayan peribadi raja menjawab, “Belum tuanku.”

4 Kemudian raja bertanya, “Siapakah yang ada di halaman istana?” Pada waktu itu, Haman sedang berada di halaman luar+ istana. Haman datang kerana dia ingin memberitahu raja tentang niatnya untuk menggantungkan Mordekhai pada tiang yang telah didirikannya.+ 5 Para pelayan peribadi raja berkata kepadanya, “Tuanku, Haman+ sedang berdiri di halaman istana.” Raja pun berkata, “Suruhlah dia masuk.”

6 Apabila Haman masuk, raja berkata kepadanya, “Beta ingin memuliakan seseorang. Apakah yang harus beta lakukan untuknya?” Haman berbisik dalam hatinya, “Siapa yang dimaksudkan oleh raja? Siapa lagi kalau bukan aku?”+ 7 Oleh itu, Haman menjawab, “Tuanku, inilah caranya tuanku memuliakan orang itu: 8 Sediakanlah pakaian kebesaran+ yang dipakai oleh tuanku, dan kuda yang ditunggang oleh tuanku, lengkap dengan perhiasan di atas kepalanya. 9 Kemudian serahkanlah pakaian dan kuda itu kepada seorang pembesar daripada golongan bangsawan. Para pelayan tuanku haruslah mengenakan pakaian tuanku pada orang yang ingin tuanku muliakan. Selepas itu, orang itu akan menunggang kuda tuanku di lapangan kota, dan mereka akan berseru-seru di hadapannya, ‘Beginilah caranya raja memberikan penghormatan kepada orang yang ingin dimuliakannya!’”+ 10 Raja segera berkata kepada Haman, “Cepatlah! Ambillah pakaian dan kuda beta. Lakukanlah untuk Mordekhai, orang Yahudi itu, semua yang kamu katakan tadi. Dia sedang duduk di pintu gerbang istana raja. Jangan abaikan apa-apa pun.”

11 Oleh itu, Haman mengambil pakaian dan kuda raja. Dia mengenakan pakaian raja pada Mordekhai,+ dan Mordekhai pun menaiki kuda itu. Setelah itu, dia mengiringi Mordekhai di lapangan kota sambil berseru-seru di hadapannya, “Beginilah caranya raja memberikan penghormatan kepada orang yang ingin dimuliakannya!” 12 Selepas Mordekhai kembali ke pintu gerbang istana raja, Haman bergegas pulang ke rumahnya sambil menutup kepalanya kerana malu. 13 Haman menceritakan segala yang telah berlaku kepada isterinya Zeres+ dan kawan-kawannya. Maka para penasihatnya dan isterinya berkata, “Mordekhai ialah orang Yahudi. Jika sekarang pun kamu sudah tewas kepada dia, kamu pasti tidak dapat mengalahkannya. Kamu pasti akan tumpas di tangannya.”

14 Sementara mereka masih bercakap, para pegawai istana tiba dan membawa Haman ke jamuan yang disediakan oleh Ester.+

7 Kemudian raja dan Haman+ pergi ke jamuan Permaisuri Ester. 2 Pada hari kedua, semasa mereka sedang minum wain, raja bertanya lagi kepada Ester, “Hai Permaisuri Ester, apakah hajat dan permohonan adinda? Beta akan menunaikannya. Beta akan memberikan apa sahaja kepada adinda meskipun setengah daripada kerajaan beta!”+ 3 Permaisuri Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan dan jika tuanku sudi menunaikan hajat dan permohonan hamba, hamba memohon agar hamba dan bangsa hamba+ dibenarkan untuk terus hidup. 4 Hamba dan bangsa hamba telah dijual+ untuk dibunuh, dihapuskan, dan dilenyapkan.+ Jika kami hanya dijual untuk dijadikan hamba abdi, hamba akan berdiam diri. Tetapi malapetaka ini tidak patut dibiarkan, kerana malapetaka ini merugikan tuanku.”

5 Maka Raja Ahasweros bertanya kepada Permaisuri Ester, “Siapa yang berani berbuat demikian? Di mana orang itu?” 6 Ester menjawab, “Musuh yang menentang kami ialah Haman, lelaki jahat ini.”

Haman menjadi sangat takut kepada raja dan permaisuri. 7 Raja naik berang, lalu dia berdiri dan pergi ke taman istana. Haman sedar bahawa raja bertekad untuk menghukumnya. Maka dia pun berdiri dan menghampiri Permaisuri Ester untuk merayu supaya nyawanya diselamatkan. 8 Apabila raja kembali dari taman dan memasuki tempat jamuan, dia nampak Haman merebahkan dirinya ke atas tempat duduk Ester. Maka raja berkata, “Adakah lelaki ini juga mahu memperkosa permaisuri di dalam istana beta?” Sebaik sahaja raja berkata demikian, mereka menutupi muka Haman. 9 Harbona,+ salah seorang pegawai istana, berkata, “Tuanku, Haman juga mendirikan sebatang tiang yang tingginya kira-kira 22 meter* di rumahnya. Dia ingin menggantungkan Mordekhai, yang telah menyelamatkan tuanku,+ pada tiang itu.”+ Maka raja berkata, “Gantunglah Haman pada tiang itu!” 10 Mereka pun menggantungkan Haman pada tiang yang telah didirikan untuk Mordekhai. Selepas itu, barulah kemarahan raja reda.

8 Pada hari itu, Raja Ahasweros memberi Permaisuri Ester semua harta milik Haman,+ musuh orang Yahudi itu.+ Mordekhai dibawa menghadap raja kerana Ester telah memberitahu raja bahawa mereka mempunyai pertalian darah.+ 2 Kemudian raja menanggalkan cincin mohornya+ yang diambilnya semula daripada Haman, lalu memberikannya kepada Mordekhai. Ester pula melantik Mordekhai untuk mengurus segala harta milik Haman.+

3 Selepas itu, Ester menghadap raja sekali lagi untuk bercakap dengannya. Ester bersujud di hadapan raja sambil menangis dan merayu agar raja memperbaiki keadaan buruk yang disebabkan oleh Haman, orang Agag itu. Ester juga merayu agar raja membatalkan rancangan jahat yang dibuat oleh Haman terhadap orang Yahudi.+ 4 Raja pun menghulurkan tongkat emasnya kepada Ester,+ lalu Ester bangun dan berdiri di hadapan raja. 5 Dia berkata, “Jika tuanku berkenan kepada hamba dan menyayangi hamba, dan jika permohonan hamba munasabah dan baik di mata tuanku, hamba ingin memohon agar tuanku mengeluarkan surat perintah untuk membatalkan surat-surat yang ditulis oleh Haman+ anak Hamedata, orang Agag itu,+ yang mengandungi rancangannya untuk melenyapkan semua orang Yahudi di seluruh wilayah pemerintahan tuanku. 6 Bagaimana mungkin hamba sanggup melihat bangsa hamba ditimpa malapetaka, dan melihat sanak saudara hamba dibinasakan?”

7 Maka Raja Ahasweros berkata kepada Permaisuri Ester dan Mordekhai, orang Yahudi itu, “Lihatlah! Beta telah memberi Ester semua harta milik Haman,+ dan beta telah menggantungkan Haman pada tiang+ kerana dia berkomplot untuk membinasakan orang Yahudi. 8 Tetapi surat perintah yang telah ditulis atas nama beta dan dimeterai dengan cincin mohor beta tidak boleh dibatalkan.+ Namun begitu, beta membenarkan kamu menulis apa sahaja yang kamu inginkan bagi pihak orang Yahudi. Kamu boleh menulis surat itu atas nama beta, dan memeterai surat itu dengan cincin mohor beta.”

9 Oleh itu, pada hari ke-23 bulan ketiga, iaitu bulan Siwan,* para setiausaha raja dipanggil untuk menulis surat menurut segala perintah Mordekhai. Surat-surat ini dikirim kepada orang Yahudi dalam tulisan dan bahasa mereka. Surat-surat ini juga ditulis dalam tulisan dan bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa di setiap wilayah untuk diberikan kepada ketua-ketua gabenor wilayah,+ para gabenor wilayah, dan pembesar-pembesar setiap bangsa+ di kesemua 127 buah wilayah, dari India sampai ke Etiopia.*

10 Surat-surat itu ditulis atas nama Raja Ahasweros, dan dimeterai dengan cincin mohor raja,+ lalu dihantar oleh para utusan yang menunggang kuda pantas, yang dibela khas untuk urusan diraja. 11 Surat-surat itu menyatakan bahawa raja mengizinkan orang Yahudi di semua kota untuk berkumpul dan mempertahankan nyawa mereka. Orang Yahudi dibenarkan untuk membunuh, menghapuskan, dan melenyapkan orang yang bersenjata daripada bangsa dan wilayah mana pun yang mengancam mereka, termasuk wanita dan kanak-kanak. Orang Yahudi juga dibenarkan untuk merampas harta milik mereka.+ 12 Semua itu akan dilaksanakan di semua wilayah pemerintahan Raja Ahasweros dalam masa satu hari, iaitu pada hari ke-13 bulan ke-12 (bulan Adar*).+ 13 Kandungan* surat itu akan dikuatkuasakan sebagai undang-undang di setiap wilayah. Kemudian undang-undang itu mesti diumumkan kepada semua rakyat agar orang Yahudi dapat bersiap sedia untuk melawan musuh mereka pada hari itu.+ 14 Atas perintah raja, para utusan yang menunggang kuda-kuda milik raja berangkat dengan segera. Undang-undang itu juga diumumkan di kota berkubu* Susan.*+

15 Selepas itu, Mordekhai beredar dari hadapan raja sambil memakai mahkota emas yang sangat cantik, pakaian kebesaran yang berwarna putih dan biru, serta jubah yang diperbuat daripada kain ungu yang bermutu tinggi.+ Semua orang di kota Susan bersorak-sorai kerana gembira. 16 Orang Yahudi berasa lega, senang hati, dan gembira, dan orang lain menghormati mereka. 17 Di setiap wilayah dan di setiap kota, di mana sahaja perintah dan undang-undang raja disampaikan, orang Yahudi bersukacita dan bergembira. Mereka mengadakan jamuan dan berpesta ria. Bahkan banyak orang daripada bangsa-bangsa lain menjadi orang Yahudi+ kerana mereka takut terhadap bangsa itu.

9 Pada hari ke-13 bulan ke-12, iaitu bulan Adar,*+ tibalah masanya untuk melaksanakan perintah dan undang-undang raja.+ Itulah hari yang dinantikan oleh musuh orang Yahudi untuk mengalahkan bangsa Yahudi. Tetapi sebaliknya, orang Yahudi mengalahkan orang yang memusuhi mereka.+ 2 Di semua wilayah pemerintahan Raja Ahasweros,+ orang Yahudi berkumpul di kota masing-masing untuk menyerang sesiapa sahaja yang ingin mencederakan mereka. Orang dari semua bangsa berasa takut akan mereka, dan tiada seorang pun yang berjaya mengalahkan mereka.+ 3 Semua pembesar wilayah, ketua-ketua gabenor wilayah,+ para gabenor, dan orang lain yang menguruskan hal ehwal raja, menyokong orang Yahudi kerana mereka takut kepada Mordekhai. 4 Mordekhai memegang kedudukan yang tinggi+ di istana. Dia menjadi semakin terkenal di semua wilayah dan kekuasaannya semakin bertambah.

5 Orang Yahudi menyerang semua musuh mereka dengan pedang dan membinasakan mereka. Ya, mereka membunuh semua musuh mereka. Orang Yahudi memperlakukan orang yang membenci mereka dengan sesuka hati.+ 6 Di kota berkubu* Susan,*+ orang Yahudi telah membunuh seramai 500 orang. 7 Mereka juga membunuh Parsandata, Dalfon, Aspata, 8 Porata, Adalya, Aridata, 9 Parmasta, Arisai, Aridai, dan Waizata, 10 iaitu 10 orang anak lelaki Haman anak Hamedata, musuh orang Yahudi.+ Orang Yahudi membunuh mereka tetapi tidak merampas harta mereka.+

11 Pada hari itu, jumlah orang yang dibunuh di kota berkubu* Susan dilaporkan kepada raja.

12 Raja berkata kepada Permaisuri Ester, “Di kota berkubu* Susan, orang Yahudi telah membunuh dan melenyapkan 10 orang anak lelaki Haman dan 500 orang yang lain. Bagaimana pula dengan wilayah pemerintahan beta yang lain?+ Apa pula yang telah dilakukan oleh orang Yahudi di situ? Sekarang apakah hajat adinda? Katakanlah, dan beta akan mengabulkannya. Nyatakanlah permohonan adinda, dan beta pasti akan menunaikannya.” 13 Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan,+ benarkanlah orang Yahudi di Susan untuk melakukan perkara yang sama pada hari esok, selaras dengan apa yang diperintahkan pada hari ini.+ Selain itu, gantunglah mayat 10 orang anak lelaki Haman pada tiang.”+ 14 Raja pun memberikan perintah untuk melaksanakan hal itu. Perintah itu diumumkan di Susan, dan mayat 10 orang anak lelaki Haman digantungkan.

15 Pada hari ke-14 bulan Adar,+ orang Yahudi di Susan berkumpul sekali lagi. Mereka membunuh 300 orang di Susan, tetapi tidak merampas harta mereka.

16 Orang Yahudi di wilayah yang lain juga berkumpul untuk mempertahankan nyawa mereka+ dan menghapuskan musuh mereka.+ Orang Yahudi telah membunuh 75,000 orang yang membenci mereka, tetapi mereka tidak merampas sebarang harta. 17 Hal itu berlaku pada hari ke-13 bulan Adar, dan mereka berehat pada hari ke-14. Pada hari ke-14, mereka bersuka ria dan berpesta.

18 Tetapi bagi orang Yahudi di Susan, mereka berkumpul pada hari ke-13+ dan hari ke-14.+ Pada hari ke-15 barulah mereka berehat dan bersuka ria serta berpesta. 19 Itulah sebabnya orang Yahudi yang tinggal di luar kota Susan, iaitu mereka yang tinggal di kawasan terpencil, bersuka ria dan berpesta pada hari ke-14 bulan Adar.+ Pada hari itu, mereka juga menghantar makanan kepada satu sama lain.+

20 Mordekhai+ mencatatkan peristiwa-peristiwa itu dan mengirim surat rasmi kepada semua orang Yahudi di seluruh wilayah pemerintahan Raja Ahasweros, baik yang dekat mahupun yang jauh. 21 Dia menyuruh mereka merayakan hari ke-14 dan hari ke-15 bulan Adar pada setiap tahun, 22 kerana pada hari-hari itu, mereka tidak diganggu oleh musuh mereka. Pada bulan itu, kesedihan mereka bertukar menjadi kegembiraan, dan hari perkabungan+ bertukar menjadi hari berpesta ria. Maka orang Yahudi patut bersukacita dan berpesta ria pada hari-hari itu. Mereka juga patut menghantar makanan kepada satu sama lain dan memberikan sedekah kepada orang miskin.

23 Orang Yahudi bersetuju untuk terus menyambut perayaan itu sepertimana yang telah dilakukan oleh mereka. Mereka juga bersetuju untuk melakukan apa yang tertulis dalam surat Mordekhai. 24 Haman+ anak Hamedata, seorang lelaki daripada keturunan Agag,+ iaitu musuh semua orang Yahudi, telah merancang untuk melenyapkan mereka semua.+ Maka dia telah membuang Pur+ (iaitu, membuang undi) untuk menakutkan orang Yahudi dan memusnahkan mereka. 25 Tetapi setelah Ester menghadap raja, raja mengeluarkan surat perintah yang berbunyi:+ “Biarlah Haman sendiri ditimpa muslihat yang dirancangnya terhadap orang Yahudi.”+ Maka Haman dan anak-anak lelakinya digantungkan pada tiang.+ 26 Itulah sebabnya hari-hari itu dikenali sebagai Perayaan Purim. (Purim berasal daripada perkataan Pur.)*+ Setelah orang Yahudi membaca surat Mordekhai, dan mengalami serta melihat apa yang telah berlaku, 27 mereka menetapkan satu peraturan bagi diri mereka, keturunan mereka, dan semua orang yang menyertai mereka.+ Menurut peraturan itu, setiap tahun, mereka wajib merayakan dua hari itu dan melakukan segala yang tertulis mengenainya pada waktu yang telah ditentukan. 28 Kedua-dua hari itu wajib diperingati dan dirayakan oleh setiap keluarga dan setiap generasi di setiap kota dan di setiap wilayah. Orang Yahudi tidak boleh mengabaikan Perayaan Purim, dan semua keturunan mereka tidak harus melupakan hari-hari itu.

29 Dengan kuasa yang dimiliki oleh Permaisuri Ester, iaitu anak perempuan Abihail, dan Mordekhai, orang Yahudi itu, mereka menulis surat yang kedua untuk mengesahkan Perayaan Purim. 30 Surat-surat itu dikirim kepada semua orang Yahudi yang tinggal di 127 buah wilayah+ pemerintahan Ahasweros.+ Kandungan surat itu baik dan dapat dipercayai. 31 Surat itu mengesahkan bahawa Perayaan Purim harus disambut pada waktu yang ditentukan. Hal ini sesuai dengan peraturan yang ditetapkan oleh orang Yahudi, dan sesuai dengan arahan Mordekhai dan Permaisuri Ester.+ Selain itu, orang Yahudi dan keturunan mereka+ juga perlu berpuasa+ dan berdoa dengan sungguh-sungguh.+ 32 Perintah Ester yang mengesahkan hal-hal tentang Perayaan Purim+ dicatatkan dalam sebuah buku.

10 Raja Ahasweros mewajibkan orang di semua negeri dan pulau yang berada di bawah pemerintahannya untuk menjadi buruh paksa.

2 Segala perbuatan dan pencapaiannya yang menakjubkan, dan catatan yang terperinci tentang keagungan Mordekhai+ serta bagaimana raja menaikkan pangkatnya,+ semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman+ raja-raja Media dan Persia.+ 3 Mordekhai, orang Yahudi itu, memegang jawatan yang kedua tertinggi di bawah Raja Ahasweros. Dia dipandang tinggi dan dihormati oleh semua orang Yahudi. Dia juga berjuang untuk kebaikan bangsanya dan menjaga kesejahteraan keturunan mereka.

Merujuk kepada Xerxes I, iaitu anak lelaki Darius Agung (Darius Hystaspis).

Atau “Kus; Habsyah.”

Atau “Susa.”

Atau “sebuah istana.”

Atau “istana.”

Atau “porfir.”

Atau “sekatan.”

Atau “serban.”

Atau “ke harem.” Harem ialah tempat tinggal isteri-isteri atau gundik-gundik raja.

Atau “di istana.”

Atau “Susa.”

Atau “urutlah mereka.”

Atau “Di istana.”

Juga dipanggil Yehoyakhin di 2Ra 24:8.

Maksudnya “Mirtel.” Sejenis tumbuhan.

Atau “ke istana.”

Atau “dan menunjukkan kasih yang setia.”

Atau “agar Ester diurut.”

Lihat Kamus.

Atau “pelbagai krim kecantikan.”

Lihat Lampiran B15.

Atau “serban.”

Atau “wanita-wanita muda.”

Atau “atas nama Mordekhai.”

Lihat Lampiran B15.

Iaitu, masa yang sesuai bagi Haman untuk melaksanakan rancangannya.

Lihat Lampiran B15.

Harfiah, “10,000 talenta.” Lihat Lampiran B14.

Atau mungkin, “Hamba akan memasukkan 342,000 kg perak ke dalam perbendaharaan raja untuk diberikan kepada mereka yang melaksanakan rancangan ini.”

Atau “di istana.”

Atau “Susa.”

Perbuatan ini menunjukkan bahawa seseorang sedang berdukacita atau sedang menyesal atas dosa yang dilakukannya.

Atau “Susa.”

Harfiah, “50 hasta.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “Bigtana.”

Harfiah, “50 hasta.” Lihat Lampiran B14.

Lihat Lampiran B15.

Atau “Habsyah.”

Lihat Lampiran B15.

Atau “Salinan.”

Atau “di istana.”

Atau “Susa.”

Lihat Lampiran B15.

Atau “Di istana.”

Atau “Susa.”

Atau “di istana.”

Atau “Di istana.”

“Pur” bermaksud “Undi.” “Purim” ialah kata jamak bagi “Pur” dan merujuk kepada perayaan orang Yahudi yang disambut pada bulan ke-12. Lihat Lampiran B15.

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi