PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 18 1A-42Q
  • Ayub

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Ayub
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Ayub

AYUB

1 Di tanah Uz, terdapat seorang lelaki yang bernama Ayub.*+ Dia seorang yang setia dan tulus hati.+ Dia takut akan Tuhan dan menjauhi kejahatan.+ 2 Dia mempunyai tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. 3 Dia juga memiliki 7,000 ekor bebiri, 3,000 ekor unta, 1,000 ekor lembu, dan 500 ekor keldai. Selain itu, dia mempunyai banyak hamba. Ayub merupakan orang yang terhormat dalam kalangan penduduk di daerah Timur.

4 Setiap anak lelakinya akan mengadakan jamuan di rumah masing-masing secara bergilir. Mereka akan menjemput tiga orang adik perempuan* mereka untuk makan dan minum bersama-sama. 5 Selepas jamuan-jamuan itu diadakan, Ayub akan memanggil anak-anaknya agar dia dapat menyucikan mereka. Dia akan bangun awal pagi untuk mempersembahkan korban bakar+ bagi setiap anaknya. Itulah yang selalu dilakukan oleh Ayub kerana dia berkata, “Mungkin anak-anakku telah berdosa dan mengutuk Tuhan dalam hati mereka.”+

6 Pada suatu hari, malaikat-malaikat*+ menghadap Yehuwa,+ dan Syaitan*+ juga turut hadir.+

7 Yehuwa bertanya kepada Syaitan, “Dari manakah engkau datang?” Syaitan berkata kepada Yehuwa, “Aku telah mengembara ke sana sini dan menjelajahi seluruh bumi.”+ 8 Yehuwa berfirman kepada Syaitan, “Adakah engkau memperhatikan hamba-Ku Ayub? Tiada seorang pun yang seperti dia di bumi. Dia setia dan tulus hati.+ Dia takut kepada-Ku dan menjauhi kejahatan.” 9 Lalu Syaitan berkata kepada Yehuwa, “Adakah Ayub akan menyembah Engkau jika dia tidak mendapat sesuatu daripada-Mu?+ 10 Bukankah Engkau selalu melindunginya+ dan keluarganya serta segala miliknya? Engkau memberkati segala usahanya,+ dan ternakannya juga bertambah banyak di seluruh negeri. 11 Tetapi jika Engkau menghulurkan tangan-Mu dan mengambil segala miliknya, dia pasti akan mengutuk Engkau secara terang-terang.” 12 Maka Yehuwa berfirman kepada Syaitan, “Engkau boleh melakukan apa sahaja dengan segala miliknya. Tetapi engkau tidak boleh mencederakan Ayub.” Lalu Syaitan beredar dari hadapan Yehuwa.+

13 Pada suatu hari, anak-anak Ayub mengadakan jamuan* di rumah abang sulung mereka.+ 14 Pada masa itu, seorang hamba datang kepada Ayub dan berkata, “Kawanan lembu sedang membajak dan kawanan keldai sedang meragut rumput di kawasan yang berdekatan. 15 Tiba-tiba, orang Syeba menyerang kami dan merampas semua binatang itu! Mereka juga membunuh hamba-hamba yang lain! Hanya saya seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.”

16 Sementara hamba itu masih bercakap, seorang lagi hamba datang lalu berkata, “Api daripada Tuhan* turun dari langit lalu membakar habis semua bebiri dan gembala! Hanya saya seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.”

17 Sementara hamba itu masih bercakap, seorang hamba yang lain datang lalu berkata, “Tiga pasukan orang Kasdim+ menyerang kami dan merampas unta-unta kami! Mereka juga membunuh hamba-hamba yang lain! Hanya saya seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.”

18 Sementara hamba itu masih bercakap, seorang lagi hamba datang lalu berkata, “Anak-anak tuan sedang mengadakan jamuan di rumah abang sulung mereka. 19 Tiba-tiba, angin yang kencang bertiup dari padang belantara lalu merobohkan rumah itu! Semua anak tuan terbunuh! Hanya saya seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.”

20 Maka Ayub berdiri dan mengoyakkan jubahnya. Dia mencukur rambutnya lalu bersujud ke tanah. 21 Ayub berkata,

“Aku dilahirkan tanpa apa-apa,

Dan aku akan mati tanpa apa-apa juga.+

Yehuwa telah memberi,+ dan Yehuwa juga telah mengambil semula.

Biarlah nama Yehuwa terus dipuji!”

22 Walaupun semua hal tersebut menimpa Ayub, dia tidak berdosa atau menyalahkan Tuhan.

2 Kemudian malaikat-malaikat*+ menghadap Yehuwa lagi,+ dan Syaitan juga datang menghadap Yehuwa.+

2 Lalu Yehuwa bertanya kepada Syaitan, “Dari manakah engkau datang?” Syaitan berkata kepada Yehuwa, “Aku telah mengembara ke sana sini dan menjelajahi seluruh bumi.”+ 3 Yehuwa berfirman kepada Syaitan, “Adakah engkau memperhatikan hamba-Ku Ayub? Di seluruh bumi, tiada seorang pun yang seperti dia. Dia setia dan tulus hati.+ Dia takut kepada-Ku dan menjauhi kejahatan. Walaupun engkau mencuba menghasut Aku+ untuk mencelakakan dia tanpa sebab, dia tetap setia kepada-Ku.”+ 4 Tetapi Syaitan berkata kepada Yehuwa, “Apabila nyawa seseorang terancam, dia pasti akan mengorbankan segala-galanya supaya dapat terus hidup. 5 Jika Engkau menghulurkan tangan-Mu dan menyakiti tubuhnya, dia pasti akan mengutuk Engkau secara terang-terang.”+

6 Maka Yehuwa berfirman kepada Syaitan, “Engkau boleh melakukan apa sahaja terhadapnya. Tetapi engkau tidak boleh mengambil nyawanya.” 7 Kemudian Syaitan beredar dari hadapan Yehuwa lalu menyebabkan Ayub dijangkiti bisul yang sangat teruk+ dari telapak kaki sampai kepalanya. 8 Ayub duduk di atas abu+ sambil mengikis kulitnya dengan sekeping pecahan tembikar.

9 Isteri Ayub berkata kepadanya, “Apa gunanya kamu tetap setia kepada Tuhan? Kutuklah Tuhan, dan matilah!” 10 Ayub menjawab, “Kamu bercakap seperti seorang wanita yang bodoh. Adakah kita hanya menerima perkara yang baik daripada Tuhan, tetapi tidak menerima perkara yang buruk?”+ Walaupun semua hal tersebut menimpa Ayub, dia tidak mengucapkan apa-apa yang menyebabkannya berdosa.+

11 Tiga orang sahabat Ayub, iaitu Elifas+ orang Teman, Bildad+ orang Suah,+ dan Zofar+ orang Naama, berangkat dari tempat masing-masing setelah mendengar tentang segala kesusahan yang menimpa Ayub. Mereka memutuskan untuk berkumpul dan melawat Ayub supaya mereka dapat melegakan dan menghiburkan hatinya. 12 Ketika mereka masih jauh, mereka nampak Ayub tetapi tidak mengenalnya. Apabila mereka sedar bahawa orang itu ialah Ayub, mereka mula menangis dengan kuat dan mengoyakkan jubah masing-masing. Mereka juga menghamburkan debu ke udara dan ke atas kepala mereka.+ 13 Mereka duduk di atas tanah bersama Ayub selama tujuh hari dan tujuh malam. Mereka tidak mengucapkan sepatah kata pun kepadanya kerana mereka nampak bahawa dia sangat menderita.+

3 Selepas itu, Ayub mulai bercakap dan mengutuk hari kelahirannya.+ 2 Ayub berkata,

 3 “Terkutuklah hari kelahiranku,+

Dan terkutuklah malam itu semasa seseorang berkata, ‘Seorang anak lelaki sudah dilahirkan!’

 4 Semoga Tuhan menghapuskan hari itu daripada ingatan-Nya.

Biarlah hari itu menjadi gelap,

Dan biarlah cahaya tidak bersinar pada hari itu.

 5 Biarlah kegelapan yang pekat menyelubunginya,

Biarlah awan mendung menutupinya,

Dan biarlah kegelapan yang mengerikan meliputinya.

 6 Biarlah malam itu dibelenggu kesuraman,+

Biarlah kesedihan menyelubungi malam itu,

Dan biarlah malam itu dihapuskan daripada hitungan tahun dan bulan.

 7 Ya, biarlah malam itu dipenuhi kesunyian,

Dan biarlah sorakan gembira tidak kedengaran pada malam itu.

 8 Biarlah malam itu dikutuk

Oleh orang yang dapat membangunkan Lewiatan.*+

 9 Biarlah bintang fajar menjadi gelap,

Biarlah malam itu menunggu siang hari yang tidak kunjung tiba,

Dan biarlah malam itu tidak melihat sinaran fajar.

10 Terkutuklah malam itu kerana membiarkan aku keluar dari rahim ibuku,+

Dan membiarkan aku ditimpa kesusahan.

11 Mengapakah aku tidak mati semasa dilahirkan?

Mengapakah aku tidak meninggal semasa aku keluar dari rahim ibuku?+

12 Mengapakah aku disambut dan dipangku?

Mengapakah aku disusui oleh ibuku?

13 Aku sepatutnya sudah berbaring untuk berehat,+

Dan tidur nyenyak tanpa gangguan+

14 Bersama para raja dan penasihat mereka,

Yang membina tempat kediaman yang kini menjadi reruntuhan,

15 Serta bersama para putera* yang memiliki banyak emas,

Dan yang rumah-rumah mereka dipenuhi dengan perak.

16 Mengapakah aku tidak menjadi seperti bayi yang mati dalam kandungan,

Dan seperti anak-anak yang tidak pernah melihat cahaya?

17 Kerana di kubur, orang jahat tidak lagi berasa resah,

Dan orang yang lelah juga dapat berehat.+

18 Di kubur, para banduan mendapat ketenangan,

Dan mereka tidak lagi mendengar suara orang yang mengawasi mereka.

19 Di sana, orang yang berpangkat tinggi dan yang berpangkat rendah sama sahaja,+

Dan hamba-hamba dibebaskan daripada tuan mereka.

20 Mengapakah Tuhan membiarkan orang terus hidup sengsara?

Mengapakah Dia membiarkan orang terus dicengkam penderitaan?+

21 Mengapakah orang yang menanti kematian tidak menemui maut,+

Sedangkan mereka menginginkannya lebih daripada harta karun?

22 Semasa mereka mati dan dikebumikan,

Mereka akan bersukacita dan bergembira.

23 Mengapakah Tuhan membiarkan orang terus hidup tanpa arah tujuan?

Mengapakah Dia membiarkan orang terus hidup tanpa harapan?+

24 Sebagai ganti makan, aku mengeluh,+

Dan seperti air sungai yang terus mengalir, aku terus merintih.+

25 Segala yang membuat aku takut telah menimpa aku,

Dan segala yang membuat aku gerun telah melanda aku.

26 Aku tidak menikmati ketenangan dan ketenteraman,

Dan kesusahanku tidak berkesudahan.”

4 Elifas+ orang Teman itu berkata,

 2 “Adakah kamu akan marah jika aku bercakap?

Aku tidak tahan berdiam diri lagi.

 3 Memang benar kamu telah menasihati banyak orang,

Dan kamu telah menguatkan orang yang tidak bermaya.

 4 Kata-katamu telah menggalakkan orang yang tersandung,

Dan kamu telah meneguhkan orang yang lemah.

 5 Tetapi sekarang, kamu pula yang ditimpa kesusahan, dan kesusahan itu melemaskan kamu.

Kamu dilanda bencana, dan kamu berasa resah.

 6 Bukankah kamu menghormati Tuhan dan setia kepada-Nya?+

Jadi mengapakah kamu hilang keyakinan dan putus harapan?

 7 Fikirkanlah: Pernahkah orang yang tidak bersalah dibinasakan?

Pernahkah orang yang tulus hati dimusnahkan?

 8 Aku telah melihat orang yang membajak ladang kejahatan

Dan orang yang menabur benih kekejian menuai akibatnya.

 9 Dengan hembusan nafas Tuhan, mereka binasa,

Dan dengan hembusan kemurkaan-Nya, mereka lenyap.

10 Singa mengaum, dan anak singa menggeram,

Tetapi bahkan gigi singa yang kuat pun akan patah.

11 Singa mati kerana tiada mangsa,

Dan anak-anak singa tercerai-berai.

12 Suatu perkhabaran telah disampaikan kepadaku secara rahsia,

Dan hal itu dibisikkan di telingaku.

13 Semasa orang tidur nyenyak pada waktu malam,

Aku mendapat penglihatan yang mengganggu fikiranku.

14 Aku dicengkam ketakutan,

Sehingga seluruh tubuhku menggigil.

15 Sesuatu* melintas di hadapanku,

Dan bulu romaku mula meremang.

16 Suatu bayang-bayang muncul di hadapanku;

Lembaga itu berdiri di depanku,

Tetapi aku tidak mengenalnya.

Suasananya sangat sunyi, lalu aku mendengar suara yang berkata,

17 ‘Dapatkah manusia menjadi lebih adil daripada Tuhan?

Dapatkah manusia menjadi lebih suci daripada Penciptanya?’

18 Lihatlah! Tuhan tidak mempercayai hamba-hamba-Nya,

Dan Dia bahkan mencari kesalahan para malaikat-Nya,

19 Apatah lagi dengan manusia berdosa yang bagaikan rumah tanah liat,

Yang dibina di atas debu,+

Dan yang mudah dihancurkan seperti rama-rama.

20 Manusia hidup pada waktu pagi dan diremukkan pada waktu petang;

Mereka lenyap buat selama-lamanya tanpa disedari sesiapa pun.

21 Manusia bagaikan khemah yang jatuh setelah talinya dicabut.

Mereka mati tanpa beroleh kebijaksanaan.

5 “Berserulah! Adakah sesiapa yang menjawabmu?

Kepada malaikat manakah kamu akan berpaling?

 2 Rasa geram akan membuat orang bodoh meninggal,

Dan kecemburuan akan menyebabkan orang dungu mati.

 3 Aku pernah melihat orang bebal mencapai kejayaan,

Tetapi kutukan menimpa tempat tinggalnya secara tiba-tiba.

 4 Anak-anaknya tidak selamat;

Mereka dihancurkan di gerbang kota,+ dan tiada sesiapa pun yang menyelamatkan mereka.

 5 Apa yang dituainya dimakan oleh orang yang lapar,

Bahkan apa yang dipungutnya dari semak berduri diambil,

Dan semua harta miliknya dirampas oleh orang licik.

 6 Kejahatan tidak muncul dari debu,

Dan kesusahan tidak timbul dari tanah.

 7 Seperti bunga api yang pasti melayang ke atas,

Hidup manusia juga pasti dipenuhi keperitan.

 8 Tetapi seandainya aku dalam keadaanmu, aku akan merayu kepada Tuhan.

Aku akan mengadukan perkaraku kepada-Nya,

 9 Ya, kepada Dia yang melakukan hal-hal yang hebat dan menakjubkan,

Kepada Dia yang membuat perkara luar biasa yang tidak terkira.

10 Dia menurunkan hujan ke bumi,

Dan menyiramkan air ke ladang-ladang.

11 Dia meninggikan orang yang hina,

Dan menyelamatkan orang yang hilang semangat.

12 Dia merosakkan rancangan orang licik,

Supaya usaha mereka tidak berjaya.

13 Dia memerangkap orang bijaksana dengan kelicikan mereka sendiri,+

Supaya rancangan mereka digagalkan.

14 Kegelapan menimpa mereka pada siang hari,

Dan mereka meraba-raba seperti pada waktu malam.

15 Tuhan menyelamatkan orang daripada lidah penjahat yang bagaikan pedang.

Dia menyelamatkan orang miskin daripada tangan penindas.

16 Dengan demikian, orang yang hina mempunyai harapan,

Tetapi mulut orang yang jahat akan dibungkam.

17 Sesungguhnya, berbahagialah orang yang ditegur oleh Tuhan!

Maka janganlah menolak disiplin daripada Tuhan Yang Maha Kuasa!

18 Hal ini demikian kerana walaupun Dia melukai, Dia akan membaluti luka itu;

Walaupun Dia menyakiti, Dia sendiri akan mengubati kesakitan itu.

19 Dia pasti akan menyelamatkan kamu, meskipun enam bencana menimpamu secara berturut-turut!

Ya, bencana ketujuh sama sekali tidak akan melandamu!

20 Pada masa kebuluran, Dia akan menebus nyawamu daripada genggaman maut,

Dan pada masa peperangan, Dia akan menebusmu daripada ancaman pedang.

21 Dia akan melindungimu daripada tikaman lidah,+

Dan kamu tidak akan takut sewaktu kebinasaan tiba.

22 Kamu akan tertawa semasa kemusnahan dan kebuluran melanda,

Dan kamu tidak akan gentar terhadap binatang buas di bumi.

23 Batu-batu di ladang akan membuat perjanjian denganmu,

Dan binatang buas akan berdamai denganmu.

24 Kamu akan hidup aman di dalam khemahmu,

Dan tiada satu pun daripada ternakanmu yang akan hilang.

25 Kamu akan mendapat anak yang banyak,

Dan keturunanmu akan menjadi sebanyak tumbuh-tumbuhan di bumi.

26 Seperti bijirin masak yang dituai pada musimnya,

Kamu akan sihat dan kuat ketika kamu meninggal.

27 Kami telah mengkaji semua hal ini, dan hal ini memang benar.

Maka kamu harus mendengar dan menerimanya.”

6 Kemudian Ayub menjawab,

 2 “Seandainya keperitanku+ dapat ditimbang,

Dan seandainya kesusahanku dapat disukat,

 3 Pastilah semua itu lebih berat daripada pasir samudera!

Itulah sebabnya aku mengucapkan kata-kata yang melulu.+

 4 Anak-anak panah Tuhan Yang Maha Kuasa telah menembusi tubuhku,

Dan racun panah itu meresap ke seluruh badanku.+

Tuhan sedang menentang aku, dan aku dicengkam ketakutan.

 5 Adakah keldai liar+ meringkik semasa meragut rumput?

Adakah lembu melenguh semasa mengunyah rumput?

 6 Adakah makanan yang tawar dimakan tanpa dibubuhi garam terlebih dahulu?

Adakah putih telur yang mentah mempunyai rasa?

 7 Aku tidak mahu menyentuh semua itu,

Kerana semua itu* bagaikan makanan yang memualkan.

 8 Alangkah baiknya jika Tuhan mengabulkan permohonanku!

Alangkah baiknya jika Dia memenuhi keinginanku!

 9 Kalaulah Tuhan meremukkan aku,

Kalaulah Dia menghulurkan tangan-Nya dan membunuh aku,+

10 Sudah tentu aku akan tenteram;

Aku akan melompat kegirangan meskipun aku merintih kesakitan,

Kerana aku tidak pernah menentang firman Tuhan Yang Maha Suci.+

11 Adakah aku berupaya untuk terus menunggu?+

Apakah yang sedang menantiku sehingga aku harus terus menempuh kehidupan?

12 Adakah badanku sekuat batu?

Adakah tubuhku ini tembaga?

13 Aku tidak berupaya menyelamatkan diriku;

Segala bantuan yang aku harapkan kini sudah diambil daripadaku.

14 Jika seseorang tidak mengasihi saudaranya dengan setia,+

Dapatkah dia berkata bahawa dia takut akan Tuhan Yang Maha Kuasa?+

15 Sahabat-sahabatku tidak dapat dipercayai;+

Mereka bagaikan air sungai musim sejuk yang sudah membeku.

16 Ais menjadi cair dan air menjadi keruh;

Di bawahnya, salji tersembunyi.

17 Namun pada musim panas, air sungai itu lenyap;

Ketika bahang mentari menyengat, air sungai menjadi kering.

18 Air sungai mengubah alirannya,

Dan mengalir ke padang gurun lalu hilang.

19 Pengembara dari Tema+ mengharapkannya,

Dan perantau dari Syeba+ mencarinya.

20 Namun ketika tiba di sana, mereka diselubungi kehampaan;

Kerana terlalu mengharapkannya, mereka sangat kecewa.

21 Demikianlah kalian dalam pandanganku.+

Ketika melihat betapa dahsyatnya bencana yang menimpaku, kalian menjadi takut.+

22 Adakah aku meminta sesuatu daripada kamu?

Pernahkah aku menyuruh kamu memberikan hadiah kepada orang lain demi kepentinganku?

23 Pernahkah aku minta dibebaskan daripada tangan musuh,

Atau diselamatkan daripada tangan para penindas?

24 Ajarlah aku dan tunjukkanlah kesilapanku,

Lalu aku akan berdiam diri.+

25 Kata-kata yang tulus sungguh menyenangkan!+

Namun dapatkah aku meraih apa-apa manfaat daripada kata-kata kalian?+

26 Kata-kata orang yang patah semangat+ bagaikan tiupan bayu.

Maka mengapakah kamu mencuba mencaci kata-kataku?

27 Kamu sanggup membuang undi untuk menentukan nasib anak yatim,+

Dan kamu sanggup menjual sahabat kamu untuk mendapatkan sesuatu.+

28 Berpalinglah dan pandanglah wajahku,

Kerana aku tidak akan berdusta terhadap kamu.

29 Pertimbangkanlah semua itu dan janganlah salah faham terhadapku.

Ya, berfikirlah semula, kerana aku tidak bersalah.

30 Adakah aku mengucapkan sesuatu yang tidak benar?

Tidakkah aku memahami sebab penderitaanku?

7 “Bukankah hidup manusia di bumi seperti kerja paksa?

Bukankah hidup manusia seperti hidup seorang buruh?+

 2 Manusia seperti seorang hamba yang mendambakan tempat teduh,

Dan seperti seorang buruh yang menanti-nantikan upahnya.+

 3 Berbulan-bulan aku terpaksa hidup dalam kehampaan,

Dan saban malam aku dirundung derita.+

 4 Semasa aku berbaring, aku tertanya bila aku akan bangun.+

Malam terasa begitu panjang, dan aku membolak-balikkan badan sehingga fajar menyingsing.

 5 Tubuhku penuh dengan cacing dan gumpalan debu;+

Kulitku penuh dengan keruping dan nanah.+

 6 Hidupku berlalu dengan cepat sekali,+

Dan berakhir begitu sahaja tanpa harapan.+

 7 Ya Tuhan, ingatlah bahawa hidupku bagaikan hembusan bayu,+

Dan mataku tidak akan menatap kebahagiaan lagi.

 8 Mata yang sedang memandangku tidak akan melihatku lagi;

Engkau akan mencari aku, namun aku sudah tiada lagi.+

 9 Seperti awan yang melayang hilang,

Orang yang turun ke Kuburan* tidak akan kembali lagi.+

10 Dia tidak akan kembali ke rumahnya,

Dan dia tidak akan dikenang lagi di kawasan tempat tinggalnya.+

11 Oleh itu, aku tidak akan menutup mulutku;

Aku akan meluahkan keperitan jiwaku,

Dan menyatakan kepahitan hidupku.+

12 Adakah aku ini laut atau raksasa di dalam laut

Sehingga aku perlu sentiasa diawasi?

13 Ketika aku berkata, ‘Tempat berbaringku akan melegakan aku;

Katilku akan meringankan penderitaanku,’

14 Engkau menakutkan aku dengan mimpi,

Dan mengerikan aku dengan penglihatan.

15 Itulah sebabnya aku lebih rela mati kerana sesak nafas.

Ya, aku lebih rela mati daripada hidup di dalam tubuh ini.+

16 Aku membenci hidupku;+ aku tidak mahu hidup lagi.

Biarkan aku bersendirian, kerana hidupku ini sesingkat hembusan nafas.+

17 Mengapakah Engkau memperhatikan manusia fana,

Dan memberikan tumpuan kepada mereka?+

18 Mengapakah Engkau memeriksa mereka setiap hari,

Dan menguji mereka setiap saat?+

19 Bolehkah Engkau berpaling daripadaku,

Dan membiarkan aku berseorangan agar aku sempat menelan air liurku?+

20 Hai Sang Pemerhati manusia,+ meskipun aku telah berdosa, dapatkah aku mencederakan Engkau?

Mengapakah Engkau menjadikan aku sasaran-Mu?

Adakah aku ini beban yang berat bagi-Mu?

21 Mengapakah Engkau tidak mengampunkan dosaku,

Dan memaafkan kesalahanku?

Tidak lama lagi, aku akan kembali menjadi debu.+

Engkau akan mencari aku, namun aku sudah tiada lagi.”

8 Kemudian, Bildad+ orang Suah+ itu berkata,

 2 “Berapa lama lagi kamu akan terus bercakap begitu?+

Kata-katamu itu hanyalah cakap angin belaka!

 3 Adakah Tuhan akan memutarbalikkan keadilan?

Adakah Tuhan Yang Maha Kuasa akan memesongkan apa yang benar?

 4 Mungkin anak-anakmu telah memberontak dan berdosa terhadap-Nya.

Itulah sebabnya Dia menghukum mereka.

 5 Namun, jika kamu mencari Tuhan+ Yang Maha Kuasa

Untuk memohon belas kasihan daripada-Nya,

 6 Dan jika kamu benar-benar tulus hati dan jujur,+

Dia pasti akan memperhatikan kamu.

Dia akan memulihkan keadaanmu.

 7 Meskipun sekarang kamu dipandang hina,

Kamu pasti hidup makmur pada masa depan.+

 8 Belajarlah daripada generasi sebelumnya,

Dan perhatikanlah semua perkara yang diselidiki oleh nenek moyang kita,+

 9 Kerana kita baru dilahirkan kelmarin; kita tidak tahu apa-apa,

Dan hidup kita di bumi bagaikan bayang-bayang.

10 Mereka pasti akan mengajarmu,

Dan memberitahumu segala perkara yang diketahui mereka.

11 Dapatkah papirus* meninggi jika tidak ditanam di kawasan paya?

Dapatkah mensiang membesar jika tiada air?

12 Walaupun tanaman itu sedang berbunga dan belum lagi dipotong,

Tanaman itu akan menjadi layu, lebih cepat daripada tumbuhan lain.

13 Demikianlah kesudahan orang yang lupa akan Tuhan.

Harapan orang yang jahat* akan lenyap.

14 Mereka berharap kepada perkara yang sia-sia;

Harapan mereka bagaikan sarang labah-labah yang mudah dihancurkan.

15 Mereka akan bersandar pada rumah mereka, tetapi rumah itu akan roboh;

Mereka akan berpegang padanya, tetapi rumah itu tidak akan bertahan.

16 Mereka bagaikan tanaman berair di bawah sinaran mentari,

Yang tunasnya tersebar ke serata taman,+

17 Dan yang akarnya melilit batu

Untuk bertapak di antara batu-batu itu.

18 Tetapi setelah tanaman itu dicabut dari tempatnya,

Tempat tumbuhnya akan berkata, ‘Aku tidak mengenal kamu!’+

19 Ya, demikianlah tanaman itu akan lenyap,+

Lalu tanaman lain akan muncul dan menggantikan tempatnya.

20 Tuhan pasti menerima orang yang setia;

Tetapi Dia tidak akan menolong orang yang jahat.

21 Dia akan membuatmu tertawa,

Dan memenuhi bibirmu dengan sorakan sukacita.

22 Namun orang yang membencimu akan dimalukan,

Dan khemah orang yang jahat akan dimusnahkan.”

9 Kemudian Ayub menjawab,

 2 “Aku tahu bahawa hal itu memang benar.

Tetapi dapatkah manusia fana membuktikan dirinya benar di hadapan Tuhan?+

 3 Jika seseorang ingin berdebat dengan-Nya,+

Orang itu pasti tidak dapat menjawab bahkan satu pun daripada seribu soalan yang diajukan-Nya.

 4 Tuhan amat bijaksana dan berkuasa.+

Siapakah yang dapat melawan-Nya tanpa dicelakakan?+

 5 Dia memindahkan gunung-gunung tanpa disedari sesiapa pun;

Dalam kemurkaan-Nya, Dia menterbalikkan gunung-gunung itu.

 6 Dia menggoncang bumi

Sehingga tiang-tiang bumi bergoyang.+

 7 Dia memerintahkan matahari supaya tidak bersinar,

Dan menyembunyikan bintang-bintang+ agar cahayanya tidak kelihatan.

 8 Dia sendiri telah membentangkan langit,+

Dan Dia berjalan di atas ombak laut yang bergelora.+

 9 Dia telah menciptakan bintang Ash,* bintang Kesil,* dan bintang Kimah.*+

Dia juga menciptakan bintang-bintang selatan.

10 Dia melakukan hal-hal yang hebat dan menakjubkan;+

Dia membuat perkara luar biasa yang tidak terkira.+

11 Dia lalu di hadapanku, tetapi aku tidak nampak Dia;

Dia lalu di sisiku, tetapi aku tidak menyedari kehadiran-Nya.

12 Apabila Dia merampas sesuatu, siapakah yang dapat menentang-Nya?

Siapakah yang dapat berkata kepada-Nya, ‘Apa yang sedang Engkau buat?’+

13 Tuhan tidak akan menahan kemurkaan-Nya;+

Bahkan mereka yang menolong Rahab*+ akan bersujud kepada-Nya.

14 Maka, semasa aku bercakap dengan-Nya,

Aku harus memilih kata-kataku dengan cermat.

15 Meskipun aku tidak bersalah, aku lebih rela berdiam diri.+

Apakah yang dapat aku lakukan selain memohon belas kasihan daripada hakimku?*

16 Semasa aku berseru kepada-Nya, adakah Dia akan menjawab seruanku?

Aku tidak percaya Dia akan mendengarkan aku,

17 Kerana Dia meremukkan aku dengan angin ribut,

Dan menambahkan penderitaanku tanpa alasan.+

18 Dia tidak membenarkan aku menarik nafas;

Dia memenuhi hidupku dengan kepahitan.

19 Dalam hal kekuasaan, Dialah yang lebih berkuasa.+

Dalam hal keadilan, Dia berfirman, ‘Siapakah yang dapat mendakwa Aku di mahkamah?’

20 Meskipun aku tidak bersalah, kata-kata daripada mulutku akan menyalahkan aku;

Biarpun aku tetap setia,* Dia akan menyatakan aku bersalah.

21 Biarpun aku tetap setia,* aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepada diriku;

Aku membenci hidupku.

22 Semuanya sama sahaja. Itulah sebabnya aku berkata,

‘Tuhan akan memusnahkan sesiapa sahaja, tidak kira yang baik atau yang jahat.’

23 Jika banjir melanda secara tiba-tiba lalu meragut nyawa orang yang tidak bersalah,

Dia akan mentertawakan mereka.

24 Bumi telah diserahkan ke dalam tangan orang jahat;+

Tuhan menutupi mata para hakim.

Kalau bukan Dia yang melakukannya, siapa lagi?

25 Hari-hariku berlalu lebih cepat daripada seorang pelari;+

Hari-hariku terbang menghilang tanpa secarik kegembiraan.

26 Hari-hariku berlalu cepat seperti perahu yang meluncur laju,

Dan seperti helang yang menjunam untuk menangkap mangsanya.

27 Meskipun aku berkata, ‘Aku akan melupakan penderitaanku,

Aku akan menjadi ceria dan tidak bersedih lagi,’

28 Aku masih takut kerana semua keperitanku,+

Dan aku tahu bahawa Dia akan tetap menyalahkan aku.

29 Aku akan tetap dinyatakan bersalah.

Jadi untuk apa aku harus bersusah payah membela diri?+

30 Seandainya aku mandi di dalam air salji,

Dan membasuh tanganku dengan sabun,+

31 Dia masih akan melemparkan aku ke dalam kubang,

Sehingga bahkan pakaianku pun berasa jijik terhadapku.

32 Aku tidak dapat melawan Tuhan atau mendakwa-Nya di mahkamah,+

Kerana Dia bukan manusia seperti aku.

33 Tiada sesiapa pun yang dapat menjadi pengadil bagi kami berdua.

Tiada sesiapa pun yang dapat menjadi hakim untuk kami.

34 Sekiranya Tuhan berhenti menghukum aku,

Dan tidak lagi menakutkan aku,+

35 Aku akan bercakap kepada-Nya dengan penuh keberanian,

Kerana aku bukanlah seorang penakut.

10 “Aku membenci hidupku.+

Aku akan meluahkan keresahanku.

Aku akan menyatakan kepahitan jiwaku.

 2 Aku akan berkata kepada Tuhan, ‘Janganlah menyatakan aku bersalah.

Beritahulah aku mengapa Engkau melawan aku.

 3 Apakah manfaatnya Engkau menindas aku?

Mengapakah Engkau menghina ciptaan-Mu+

Dan berkenan kepada rancangan orang jahat?

 4 Adakah Engkau mempunyai mata manusia?

Adakah pandangan-Mu seperti pandangan manusia fana?

 5 Adakah hari-hari kehidupan-Mu seperti hari-hari kehidupan manusia?

Adakah tahun-tahun kehidupan-Mu seperti tahun-tahun kehidupan manusia?+

 6 Jadi mengapakah Engkau mencari kesalahanku

Dan terus memperhatikan dosaku?+

 7 Engkau tahu bahawa aku tidak bersalah;+

Dan tiada sesiapa pun yang dapat menyelamatkan aku daripada tangan-Mu.+

 8 Tangan-Mu sendiri yang telah mencipta dan membentuk aku.+

Namun sekarang, Engkau ingin membinasakan aku.

 9 Ingatlah bahawa Engkau telah mencipta aku daripada tanah liat.+

Tetapi sekarang, Engkau ingin aku kembali menjadi debu.+

10 Bukankah Engkau telah menempatkan aku di dalam rahim ibuku,

Dan membentuk aku di situ?*

11 Engkau menutupi aku dengan daging dan kulit.

Engkau melengkapi aku dengan tulang dan otot.+

12 Engkau telah mengurniai aku nafas kehidupan dan mengasihi aku dengan setia;

Engkau telah menjaga dan memelihara nyawaku.+

13 Tetapi dengan diam-diam, Engkau merancang untuk menimpakan semua ini kepadaku.

Aku tahu bahawa semua ini datang daripada-Mu.

14 Jika aku berdosa, Engkau akan mengawasi aku,+

Dan Engkau tidak akan mengampunkan kesalahanku.

15 Malanglah aku jika aku bersalah!

Meskipun aku tidak bersalah, aku tidak dapat mengangkat kepala,+

Kerana aku diselubungi kehinaan dan penderitaan.+

16 Jika aku mengangkat kepalaku, Engkau akan memburu aku seperti singa,+

Dan Engkau akan menentang aku dengan kuasa-Mu.

17 Kemurkaan-Mu terhadapku semakin berkobar;

Engkau membawa saksi-saksi baharu untuk menentang aku.

Engkau menimpakan penderitaan demi penderitaan kepadaku.

18 Mengapakah Engkau membiarkan aku keluar dari rahim ibuku?+

Aku sepatutnya mati sebelum dilihat sesiapa pun.

19 Dengan demikian aku seolah-olah tidak pernah dilahirkan,

Kerana dari rahim ibuku, aku akan terus dibawa ke kuburan.’

20 Bukankah hari-hariku hampir berakhir?+ Biarlah Tuhan meninggalkan aku keseorangan;

Biarlah Dia memalingkan pandangan-Nya daripadaku, agar aku mendapat secebis kelegaan,+

21 Kerana tidak lama lagi aku akan pergi dan aku tidak akan kembali.+

Aku akan pergi ke tempat yang gelap-gelita,*+

22 Tempat yang dipenuhi kekacauan dan kesuraman,

Tempat yang diselubungi kegelapan yang pekat.

Di situ, yang terang pun menjadi gelap.”

11 Kemudian, Zofar+ orang Naama itu berkata,

 2 “Tiada sesiapakah yang akan menjawab segala kata-kata itu?

Dapatkah seseorang dibuktikan benar dengan bercakap banyak?

 3 Dapatkah cakap anginmu membungkam mulut orang?

Tiada sesiapakah yang akan menegurmu atas kata-kata cemuhanmu?+

 4 Kamu berkata, ‘Ajaranku benar,+

Dan aku suci dalam pandangan Tuhan.’+

 5 Namun, seandainya Tuhan membuka mulut-Nya

Untuk bercakap denganmu,+

 6 Dia akan memberitahumu rahsia untuk memperoleh kebijaksanaan,

Kerana kebijaksanaan diperlihatkan dalam pelbagai cara.

Dengan itu, kamu akan sedar bahawa hukuman Tuhan terhadapmu lebih ringan daripada yang sepatutnya.

 7 Dapatkah kamu memahami perkara-perkara yang dalam tentang Tuhan?

Dapatkah kamu menyelidiki segala sesuatu tentang* Dia Yang Maha Kuasa?

 8 Kebijaksanaan Tuhan lebih tinggi daripada langit. Dapatkah kamu mencapainya?

Kebijaksanaan Tuhan lebih dalam daripada Kuburan.* Dapatkah kamu menyelaminya?

 9 Kebijaksanaan Tuhan lebih luas daripada bumi,

Dan lebih lebar daripada samudera.

10 Jika Dia melalui suatu tempat dan menangkap seseorang lalu membawanya ke mahkamah,

Siapakah yang dapat menghalang-Nya?

11 Tuhan tahu apabila seseorang berdusta.

Adakah Dia akan menutup mata apabila melihat hal yang jahat?

12 Orang dungu hanya akan mula mendapat pemahaman

Apabila keldai liar dilahirkan sebagai manusia.

13 Tadahkanlah tanganmu untuk berdoa kepada Tuhan,

Dan kembalilah kepada-Nya dengan hati yang ikhlas.

14 Jangan lagi melakukan hal-hal yang salah,

Dan jangan biarkan perkara-perkara jahat masuk ke dalam tempat kediamanmu.

15 Dengan demikian, kamu dapat mengangkat kepalamu tanpa rasa malu;

Kamu dapat berdiri teguh tanpa rasa takut.

16 Kamu akan melupakan semua kesusahanmu;

Kenanganmu tentangnya hanyalah seperti air yang mengalir pergi.

17 Hidupmu akan menjadi lebih terang daripada sinaran mentari pada tengah hari;

Bahkah kegelapan akan menjadi seperti sinaran fajar menyingsing.

18 Kamu akan berasa yakin kerana memiliki harapan;

Kamu akan berbaring dengan tenteram kerana semuanya aman.

19 Ya, kamu akan berbaring tanpa apa-apa yang membuat kamu gementar.

Banyak orang akan datang untuk meminta bantuanmu.

20 Tetapi mata orang jahat akan menjadi kabur;

Mereka tidak akan menemui jalan keluar,

Dan yang dinanti-nantikan mereka hanyalah kematian.”+

12 Kemudian Ayub menjawab,

 2 “Memanglah kamu orang yang bijak,

Dan kebijaksanaan akan lenyap apabila kamu mati!

 3 Tetapi aku juga berpengertian.

Aku tidak lebih rendah daripada kamu.

Siapakah yang tidak tahu akan semua perkara itu?

 4 Aku sudah menjadi bahan ketawa bagi sahabat-sahabatku,+

Kerana aku berharap agar Tuhan mendengarkan seruanku.+

Ya, orang yang baik dan tidak bercela seperti aku akan ditertawakan.

 5 Orang yang tiada kerunsingan menghina orang yang ditimpa malapetaka.

Mereka berfikir bahawa hanya orang yang tidak teguh dilanda bencana.

 6 Seperti orang yang menggenggam berhala pujaan mereka,

Para perompak hidup damai sejahtera,+

Dan orang yang mengundang kemurkaan Tuhan hidup aman sentosa.+

 7 Namun bertanyalah kepada binatang-binatang, dan kamu akan diajar;

Bertanyalah juga kepada burung-burung di langit, dan kamu akan diberi pemahaman.

 8 Perhatikanlah* bumi, dan kamu akan mendapat ilmu;

Perhatikanlah juga ikan-ikan di laut, dan kamu akan menerima penjelasan.

 9 Siapakah yang tidak tahu bahawa

Yehuwalah yang menciptakan semua itu?

10 Nafas kehidupan segala makhluk

Dan nyawa setiap manusia ada dalam tangan-Nya.+

11 Bukankah telinga yang menguji kata-kata,

Sebagaimana lidah mengecap makanan?+

12 Bukankah kebijaksanaan ada pada orang tua?+

Bukankah pengertian ada pada orang yang lanjut usia?

13 Tetapi Tuhanlah yang mempunyai kebijaksanaan dan kekuatan;+

Dialah yang mempunyai pengertian dan Dialah yang akan melaksanakan kehendak-Nya.+

14 Apa yang dirobohkan-Nya tidak dapat dibina semula,+

Dan apa yang telah ditutup-Nya tidak dapat dibuka oleh sesiapa pun.

15 Apabila Dia menahan hujan, segala sesuatu menjadi kering;+

Apabila Dia mencurahkan hujan, bumi digenangi air.+

16 Tuhan amat kuat dan bijaksana;+

Para pendosa dan orang yang menyebabkan orang lain berdosa ada dalam kekuasaan-Nya.

17 Dia memalukan para penasihat,

Dan mempersendakan para hakim.+

18 Dia melepaskan belenggu-belenggu yang dikenakan oleh para raja,+

Dan mengenakan pengikat pada pinggang mereka.

19 Dia merendahkan para imam,+

Dan menggulingkan para pemerintah.+

20 Dia membungkam mulut para penasihat yang dipercayai,

Dan merampas kebijaksanaan daripada orang tua-tua.

21 Dia menghina para pembesar,+

Dan melemahkan orang yang berkuasa.

22 Dia mendedahkan perkara-perkara yang tersembunyi dalam kegelapan,+

Dan menerangi tempat-tempat yang kelam.

23 Dia menjadikan bangsa-bangsa kuat supaya mereka dibinasakan;

Dia menjadikan bangsa-bangsa besar supaya mereka ditawan.

24 Dia merampas pengertian para pemimpin,

Dan membuat mereka mengembara tanpa tujuan di tanah yang tandus.+

25 Dia membuat mereka meraba-raba dalam kegelapan,+

Dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk.+

13 “Ya, aku sudah melihat semua itu;

Aku sudah mendengar dan memahami segalanya.

 2 Apa yang kamu tahu, aku pun tahu;

Aku tidak lebih rendah daripada kamu.

 3 Tetapi aku lebih rela berbicara dengan Tuhan Yang Maha Kuasa;

Aku ingin membela perkaraku di hadapan Tuhan.+

 4 Kamu berdusta untuk memburuk-burukkan namaku;

Kamu semua seperti doktor yang tidak berguna.+

 5 Sekiranya kamu bijaksana,

Kamu akan berdiam diri.+

 6 Dengarlah penjelasanku,

Dan perhatikanlah pembelaanku.

 7 Jika kamu berucap bagi pihak Tuhan, mengapa kamu memutarbalikkan keadilan?

Sekiranya kamu berbicara bagi pihak-Nya, mengapa kamu berdusta?

 8 Adakah kamu berpihak kepada Tuhan untuk menentang aku?

Adakah kamu mencuba menjadi pembela-Nya?

 9 Jika Tuhan memeriksa kamu, adakah kamu akan dinyatakan benar?+

Dapatkah kamu menipu Tuhan sebagaimana kamu menipu manusia?

10 Jika kamu berat sebelah, meskipun secara diam-diam,

Dia tentu akan menengking kamu.+

11 Tidakkah kamu takut akan keagungan-Nya?

Tidakkah kamu berasa gentar terhadap-Nya?

12 Seperti abu, kata-kata hikmat kamu tidak berguna;

Seperti tanah liat, pembelaan kamu tidak kukuh.

13 Janganlah bercakap lagi agar aku dapat berkata-kata.

Selepas itu, aku tidak peduli akan apa yang bakal menimpa aku.

14 Aku bersedia untuk menghadapi sebarang bahaya,

Dan aku bersedia untuk mempertaruhkan nyawaku!

15 Walaupun Tuhan akan membunuh aku, aku akan tetap berharap kepada-Nya;+

Ya, aku akan tetap mengadukan perkaraku kepada-Nya.

16 Orang jahat* memang tidak dapat menghadap Tuhan.+

Tetapi aku tahu bahawa aku pasti akan diselamatkan-Nya.+

17 Sekarang dengarlah baik-baik penjelasanku,

Dan cermatilah pernyataanku.

18 Kini aku bersedia untuk mengemukakan perkaraku;

Aku tahu bahawa aku tidak bersalah.

19 Siapakah yang akan berdebat denganku?

Aku akan mati jika aku tetap berdiam diri!*

20 Ya Tuhan, hanya dua perkara yang aku mohon daripada-Mu.

Dengan itu, aku tidak akan lagi menyembunyikan diri daripada-Mu.

21 Jauhkanlah tangan-Mu daripadaku,

Dan janganlah menakutkan aku lagi.+

22 Berfirmanlah dan aku akan menjawab,

Atau, biarlah aku bercakap dan hendaklah Engkau menjawab.

23 Apakah kesalahan dan dosaku?

Nyatakanlah kesilapan dan dosaku.

24 Mengapakah Engkau menyembunyikan diri daripadaku?+

Mengapakah Engkau menganggap aku seperti musuh-Mu?+

25 Mengapakah Engkau menakutkan dan mengejar aku,

Sedangkan aku hanyalah seperti jerami kering dan daun yang ditiup angin?

26 Engkau terus melontarkan tuduhan terhadapku,

Dan Engkau menghukum aku atas dosa yang aku lakukan pada masa muda.

27 Engkau memasung kakiku,

Engkau mengawasi setiap langkahku,

Dan Engkau meneliti setiap jejakku.

28 Oleh itu, aku menjadi seperti benda yang sudah rapuh dan reput,

Dan seperti pakaian yang dimakan gegat.

14 “Kehidupan manusia singkat+

Dan penuh dengan kesusahan.+

 2 Manusia bagaikan bunga yang tumbuh lalu menjadi layu;*+

Manusia bagaikan bayang-bayang yang menghilang dengan begitu cepat.+

 3 Engkau telah memperhatikan aku,

Dan membawa aku menghadap-Mu untuk dihakimi.+

 4 Dapatkah orang yang berdosa melahirkan orang yang tidak berdosa?+

Sama sekali tidak!

 5 Seandainya umur manusia dapat ditentukan,

Seandainya jangka hayat manusia memang singkat,

Engkaulah yang mampu menetapkan batas hidup manusia, dan mereka tidak dapat melangkahinya.+

 6 Berpalinglah daripada mereka agar mereka dapat berehat.

Biarlah mereka menikmati hidup seperti seorang pekerja yang telah menyelesaikan tugasnya.+

 7 Masih ada harapan bagi pokok yang ditebang;

Pokok itu dapat bertumbuh lagi,

Dan menghasilkan ranting-ranting.

 8 Meskipun akarnya menjadi tua,

Dan tunggulnya menjadi kering di tanah,

 9 Sebaik sahaja mendapat air, pokok itu akan bertumbuh lagi;

Seperti pokok yang baru ditanam, pokok itu akan menghasilkan dahan-dahan yang baharu.

10 Tetapi apabila manusia mati, mereka tidak wujud lagi;

Setelah manusia meninggal, ke manakah mereka pergi?+

11 Seperti air laut yang sudah tersejat,

Dan seperti sungai yang sudah kering,

12 Demikianlah manusia yang sudah mati; mereka tidak dapat bangkit semula.+

Mereka tidak akan bangun selama langit ada,

Dan tidak akan terjaga daripada tidur mereka.+

13 Alangkah baiknya jika Engkau menyembunyikan aku di dalam Kuburan!*+

Biarlah aku disembunyikan sehingga Engkau tidak lagi murka,

Dan tentukanlah waktu untuk mengingat aku kembali.+

14 Jika manusia mati, dapatkah mereka hidup semula?+

Sepanjang waktu aku diperhamba,* aku akan terus menunggu

Sehingga pembebasanku tiba.+

15 Engkau akan memanggil aku, dan aku akan menjawab.+

Sesungguhnya, Engkau sangat rindu akan orang yang telah Engkau ciptakan.

16 Namun sekarang, Engkau mengawasi setiap langkahku;

Engkau hanya memperhatikan dosa-dosaku.

17 Engkau enggan melupakan dosa-dosaku;

Engkau menyimpan dosaku di dalam sebuah kantung.

18 Seperti gunung-gunung yang terhakis dan runtuh,

Seperti batu besar yang digulingkan dari tempatnya,

19 Seperti tanah yang dihanyutkan oleh hujan lebat,

Dan seperti batu yang dihakis oleh air,

Demikianlah Engkau menghancurkan harapan manusia fana.

20 Engkau mengalahkan manusia sehingga mereka binasa;+

Engkau mengubah wajah mereka, dan mereka pun mati.

21 Anak-anak mereka dimuliakan, tetapi mereka tidak mengetahuinya;

Anak-anak mereka direndahkan, tetapi mereka tidak menyedarinya.+

22 Manusia hanya menderita ketika masih bernafas;

Mereka hanya merana ketika masih hidup.”

15 Elifas+ orang Teman itu berkata,

 2 “Adakah orang bijaksana akan bercakap kosong?

Adakah orang bijaksana akan terus memikirkan hal yang jahat?

 3 Memberi teguran dengan kata-kata sahaja tidak bermakna,

Dan sekadar bercakap banyak tidak berguna.

 4 Kamu tidak takut terhadap Tuhan,

Dan kamu tidak peduli kepada-Nya.

 5 Kamu berkata-kata sedemikian kerana kesalahanmu,

Dan kamu mengeluarkan kata-kata yang licik.

 6 Aku tidak menyalahkan kamu, tetapi mulutmu sendiri yang menyalahkan kamu;

Ya, kata-katamu sendiri telah menyatakan kamu bersalah.+

 7 Adakah kamu manusia yang pertama dilahirkan?

Adakah kamu dilahirkan sebelum bukit-bukit wujud?

 8 Adakah kamu turut mendengar semasa Tuhan membincangkan hal-hal yang sulit?

Adakah kamu sahaja yang memiliki kebijaksanaan?

 9 Apa yang kamu tahu, kami pun tahu.+

Apa yang kamu faham, kami pun faham.

10 Orang yang tua dan beruban ada dalam kalangan kita;+

Mereka lebih tua daripada bapamu.

11 Adakah kelegaan hati daripada Tuhan tidak cukup bagimu?

Adakah kata-kata kami yang lembut tidak memadai bagimu?

12 Mengapakah kamu terbawa-bawa oleh perasaanmu,

Dan mengapakah matamu berapi-api?

13 Mengapakah kamu menjadi begitu marah terhadap Tuhan,

Sehingga mengucapkan kata-kata hinaan terhadap-Nya?

14 Dapatkah manusia fana dianggap suci di mata Tuhan?

Dapatkah manusia dianggap benar di hadapan Tuhan?+

15 Ketahuilah, Tuhan tidak mempercayai para malaikat-Nya,

Bahkan syurga pun tidak suci di mata-Nya.+

16 Apalagi manusia yang jijik dan keji di mata-Nya,+

Yang menelan kejahatan seperti air sahaja!

17 Dengarlah apa yang ingin aku katakan kepadamu.

Aku akan menceritakan segala yang telah aku perhatikan.

18 Hal-hal ini tidak dirahsiakan dan telah disampaikan oleh orang bijaksana;

Mereka telah menerimanya daripada nenek moyang mereka.+

19 Sejak dahulu lagi, nenek moyang mereka sudah diberi tanah ini,

Dan tiada orang asing yang lalu di kawasan mereka.

20 Orang yang jahat ditimpa penderitaan sepanjang hidup,

Dan orang yang zalim pasti hidup sengsara sepanjang umur.

21 Mereka selalu mendengar bunyi yang menakutkan,+

Dan para perompak menyerang mereka pada masa yang aman.

22 Mereka tidak dapat melepaskan diri daripada maut;*+

Mereka pasti akan dibunuh dengan pedang.

23 Mereka mengembara mencari makanan, namun di manakah mereka akan menjumpainya?

Mereka tahu bahawa hari kematian mereka sudah dekat.

24 Mereka dicengkam perasaan cemas dan resah;

Perasaan sebegitu menguasai mereka seperti raja yang datang menyerang.

25 Demikianlah keadaan orang yang mencuba menentang Tuhan,

Dan yang berani melawan Dia Yang Maha Kuasa.

26 Mereka orang yang sangat degil;

Mereka seolah-olah mengangkat perisai yang besar dan melawan Tuhan.

27 Kemakmuran mereka membuat mereka angkuh;

Kekayaan mereka menyebabkan mereka suka memberontak.

28 Mereka menetap di kota yang akan menjadi reruntuhan;

Mereka mendiami rumah yang akan dikosongkan,

Dan yang akan menjadi timbunan puing.

29 Mereka tidak akan tetap hidup mewah, dan kekayaan mereka tidak akan bertambah;

Segala milik mereka tidak akan berkekalan.

30 Mereka tidak akan terlepas daripada maut;*

Mereka akan menjadi seperti pokok yang rantingnya dibakar api;*

Dengan hembusan nafas Tuhan, mereka akan lenyap.+

31 Mereka tidak patut percaya kepada benda yang tidak berguna,

Kerana yang akan diterima mereka itu pun tidak berguna.

32 Semua ini akan berlaku kepada mereka tidak lama lagi;

Mereka akan menjadi seperti pokok yang dahannya tidak bertumbuh subur lagi.+

33 Mereka akan menjadi seperti pokok anggur yang gugur buahnya,*

Dan seperti pokok zaitun yang jatuh bunganya.

34 Segala usaha orang yang jahat* tidak akan berhasil;+

Api akan memusnahkan tempat kediaman orang yang makan rasuah.

35 Mereka selalu merancang dan melakukan kejahatan;

Hati mereka penuh dengan tipu muslihat.”

16 Ayub menjawab,

 2 “Aku pernah mendengar kata-kata sedemikian;

Kamu sepatutnya melegakan hatiku, tetapi kamu semua menyeksa aku sahaja!+

 3 Bilakah cakap kosong kamu akan berakhir?

Mengapakah kamu terus berkata-kata sebegini?

 4 Jika kamu berada dalam keadaanku,

Aku juga dapat bercakap seperti itu;

Aku dapat menggelengkan kepalaku

Sambil menghina kamu semua.+

 5 Tetapi aku tidak akan berbuat demikian; sebaliknya, aku akan menguatkan kamu,

Dan melegakan hati kamu dengan kata-kataku.+

 6 Jika aku bercakap, adakah penderitaanku akan hilang?+

Jika aku berdiam diri, adakah kesakitanku akan berkurang?

 7 Namun Tuhan telah menyebabkan aku tidak bermaya;+

Dia telah menghapuskan seluruh rumah tanggaku.

 8 Dia telah memerangkap aku, dan orang lain menyaksikannya;

Orang menganggap aku sudah berdosa kerana melihat tubuhku yang kurus kering.

 9 Kerana marah, Dia menggertakkan gigi-Nya;

Seperti musuh, Dia memandang aku dengan penuh kebencian;+

Dia menghancurkan aku dengan kemurkaan-Nya.+

10 Musuh-musuhku membuka mulut untuk melahap aku;+

Mereka menampar mukaku sambil mencaci aku;

Mereka berkumpul untuk menentang aku.+

11 Tuhan membiarkan aku diserang oleh budak-budak lelaki;

Dia melemparkan aku ke dalam tangan orang yang jahat.+

12 Dahulu hidupku aman, tetapi kini Tuhan menghancurkan segala-galanya;+

Dia mencengkam leherku dan meremukkan aku;

Dia menjadikan aku sasaran-Nya;

13 Tanpa belas kasihan, Dia memanah aku dari semua arah;+

Anak panah-Nya menusuk sampai ke ginjalku,+

Sehingga isi perutku* terburai.

14 Dia menyerang aku seperti seorang pahlawan;

Seperti orang yang ingin merobohkan tembok, Dia tidak henti-henti menyerang aku.

15 Aku memakai kain guni kerana sedih,+

Dan aku menjadi begitu hina sehingga terpaksa duduk di atas debu.+

16 Aku menangis sehingga mukaku merah,+

Dan sehingga kelopak mataku bengkak dan hitam.

17 Sebenarnya aku tidak berlaku ganas,

Dan aku berdoa dengan hati yang tulus.

18 Hai bumi, jangan menutupi darahku!+

Jangan diamkan teriakanku.

19 Lihatlah, saksiku berada di syurga!

Dia yang dapat membela aku berada di tempat yang tinggi.

20 Sahabat-sahabatku mencaci aku,+

Dan aku mencucurkan air mata di hadapan Tuhan.*+

21 Biarlah seseorang mengadili perkara antara Tuhan dengan aku,

Seperti yang dilakukan antara seseorang dengan rakannya.+

22 Tahun-tahunku tidak banyak lagi;

Aku akan pergi dan tidak kembali lagi.+

17 “Hari-hariku hampir berakhir, dan nafasku hampir putus;

Yang menunggu aku hanyalah kuburan.+

 2 Orang yang suka mengejek aku berada di sekelilingku,+

Dan aku terpaksa melihat perbuatan mereka yang kejam.*

 3 Ya Tuhan, berjanjilah bahawa Engkau akan menyokong aku.

Jika tidak, siapa lagi yang akan menolong aku?*+

 4 Engkau tidak memberi mereka hati yang berpengertian,+

Itulah sebabnya Engkau tidak meninggikan mereka.

 5 Mereka berkongsi milik dengan sahabat-sahabat mereka,

Sedangkan anak-anak mereka sendiri berkekurangan.

 6 Mereka datang lalu meludahi mukaku,+

Kerana Tuhan telah menjadikan aku bahan ejekan.+

 7 Penglihatanku kabur kerana resah,+

Dan tubuhku kurus kering.

 8 Orang yang tulus hati hairan melihat keadaanku,

Dan orang yang tidak bersalah menjadi marah kerana orang yang jahat.*

 9 Namun demikian, orang jujur tidak akan berganjak daripada haluannya,+

Dan orang yang tidak bersalah akan menjadi lebih teguh.+

10 Kamu semua boleh terus berdebat dengan aku,

Tetapi aku tahu bahawa tiada seorang pun yang bijaksana dalam kalangan kamu.+

11 Hari-hariku hampir berlalu;+

Segala rancangan dan keinginan hatiku sudah hancur.+

12 Sahabat-sahabatku terus berdusta;

Mereka berkata, ‘Terang hampir tiba,’ tetapi yang aku lihat hanyalah kegelapan.

13 Tidak lama lagi, Kuburan* akan menjadi rumahku;+

Tempat tidurku akan terbentang dalam kegelapan.+

14 Aku akan berseru kepada lubang kubur,+ ‘Engkaulah bapaku!’

Aku akan berseru kepada ulat yang memakan bangkai, ‘Engkaulah ibuku dan saudara perempuanku!’

15 Di manakah harapan bagiku?+

Adakah sesiapa berfikir bahawa aku masih ada harapan?

16 Aku akan kembali menjadi debu,

Dan harapanku akan tenggelam bersamaku ke dalam Kuburan.”*+

18 Kemudian, Bildad+ orang Suah itu berkata,

 2 “Sampai bilakah kamu akan bercakap demikian?

Tunjukkanlah bahawa kamu berpengertian dan biarlah kami bercakap.

 3 Mengapakah kamu memandang kami seperti binatang,+

Dan menganggap kami semua dungu?*

 4 Meskipun kamu marah dan menyakiti dirimu,

Adakah bumi akan kehilangan penduduknya,

Atau adakah batu besar akan beralih dari tempatnya?

 5 Orang jahat seperti pelita yang akan dipadamkan;

Mereka seperti api yang tidak akan bernyala lagi;+

 6 Mereka seperti khemah yang pelitanya sudah malap,

Dan seperti lampu yang tidak akan bersinar lagi.

 7 Langkah mereka yang mantap kini tidak bermaya,

Dan rancangan mereka sendiri membuat mereka tersandung.+

 8 Mereka berjalan ke dalam jaring,

Dan kaki mereka tersangkut.

 9 Tumit mereka terperangkap,

Dan mereka tertangkap di dalam jerat.+

10 Perangkap terpasang pada jalan mereka,

Dan tali jerat tersembunyi di tanah.

11 Kengerian terus mengejar mereka,+

Dan mengancam mereka dari semua arah.

12 Kekuatan mereka kini menghilang,

Dan bencana+ menyebabkan mereka jatuh.

13 Kulit mereka dimakan penyakit yang teruk;

Tangan dan kaki mereka reput kerana penyakit itu.

14 Segala yang membuat mereka rasa selamat telah dirampas,

Dan mereka akan dibawa menghadap kematian yang mengerikan.+

15 Kini sesiapa pun boleh tinggal di khemah mereka;

Namun tempat tinggal mereka akhirnya akan dimusnahkan oleh api.*+

16 Mereka akan menjadi seperti pokok yang akarnya kering,

Dan yang dahan-dahannya layu.

17 Mereka tidak akan dikenang lagi di bumi,

Dan nama mereka akan dilupakan orang.

18 Mereka akan lenyap dari dunia ini,

Dan diusir dari cahaya ke dalam kegelapan.

19 Mereka tidak akan mempunyai anak cucu atau keturunan dalam kalangan bangsa mereka,

Dan mereka tidak akan mempunyai waris di negeri mereka.

20 Semasa mereka ditimpa malapetaka, penduduk di barat akan terkejut,

Dan penduduk di timur akan dicengkam rasa takut.

21 Demikianlah kesudahan orang yang berbuat jahat;

Demikianlah keadaan orang yang tidak mengenal Tuhan.”

19 Ayub menjawab,

 2 “Sampai bilakah kamu akan terus menyeksa jiwaku,+

Dan meremukkan aku dengan kata-kata kamu?+

 3 Berulang-ulang* kamu mencela aku;

Kamu terus berlaku kejam terhadapku tanpa rasa malu.+

 4 Sekiranya aku telah berbuat salah,

Aku sendirilah yang akan menanggung akibatnya.

 5 Kamu masih berfikir bahawa kamu lebih baik daripada aku,

Dan menganggap bahawa semua ini memang patut menimpa aku.

 6 Namun Tuhan bertindak dengan tidak adil terhadapku,

Dan Dialah yang memasang perangkap untuk menjerat aku.

 7 Aku berseru kerana kesusahanku, tetapi tidak ada yang menjawab;+

Aku berseru meminta tolong, tetapi aku tidak diperlakukan dengan adil.+

 8 Tuhan meliputi haluanku dengan kegelapan;

Dia menghalang jalanku dengan tembok batu sehingga aku tidak dapat lewat;+

 9 Tuhan telah menanggalkan mahkotaku;

Dia telah menyebabkan aku kehilangan kemuliaanku.

10 Tuhan menghentam aku dari semua arah sehingga aku hancur;

Dia mencabut harapanku seperti orang mencabut pokok.

11 Kemurkaan Tuhan terhadapku menyala-nyala,

Dan Dia menganggap aku seperti musuh-Nya.+

12 Angkatan tentera-Nya mengepung khemahku;

Mereka berkumpul untuk menyerang aku.

13 Tuhan telah memisahkan aku daripada saudara-saudaraku;

Orang yang mengenal aku kini berpaling daripadaku.+

14 Saudara-maraku telah meninggalkan aku,

Dan sahabat-sahabat karibku telah melupakan aku.+

15 Para tetamu+ dan hamba-hamba perempuanku tidak mengenal aku;

Dalam pandangan mereka, aku hanyalah orang asing.

16 Aku memanggil hambaku; aku merayu agar dia berbelas kasihan terhadapku,

Tetapi dia tidak mempedulikan aku.

17 Isteriku tidak tahan dengan bau nafasku,+

Dan saudara kandungku juga berasa jijik terhadapku.

18 Bahkan kanak-kanak pun menghina aku;

Mereka mengejek aku semasa melihat aku.*

19 Sahabat-sahabat karibku semuanya membenci aku;+

Orang yang aku kasihi kini menentang aku.+

20 Badanku hanya tinggal kulit dan tulang,+

Dan aku nyaris kehilangan nyawaku.

21 Kasihanilah aku, hai sahabat-sahabatku.

Kasihanilah aku kerana tangan Tuhan sendiri telah memukul aku.+

22 Tuhan terus menganiaya dan menyusahkan aku.+

Mengapa kamu semua juga berbuat demikian terhadapku?+

23 Alangkah baiknya jika kata-kataku dicatat,

Dan ditulis dalam sebuah kitab!

24 Alangkah baiknya jika kata-kataku diukir pada batu,*

Agar kekal buat selama-lamanya!

25 Aku tahu bahawa penebusku+ memang wujud;

Dia akan muncul di muka bumi pada kemudian hari.

26 Meskipun kulitku habis dimakan penyakit,

Selagi aku hidup, aku masih dapat melihat Tuhan.

27 Aku akan melihat Tuhan dengan mataku sendiri,

Dan bukannya sekadar mendengar tentang-Nya daripada orang lain.+

Tetapi kini batinku sudah letih dan lesu.

28 Kamu berfikir bahawa masalahku berpunca daripada diriku sendiri,

Maka kamu bertanya, ‘Mengapa kami dituduh menganiaya dia?’+

29 Ketahuilah bahawa terdapat hakim yang akan mengadili semuanya.+

Hendaklah kamu takut kepada pedang+

Yang akan digunakan untuk menghukum orang yang berbuat salah.”

20 Kemudian, Zofar+ orang Naama itu berkata,

 2 “Fikiranku sangat terganggu dan aku berasa amat resah.

Itulah sebabnya aku mahu bercakap.

 3 Kata-katamu telah menyinggung perasaanku.

Namun aku berpengertian, maka aku akan menjawab kata-katamu.

 4 Tentu kamu tahu bahawa sejak dahulu lagi,

Sejak manusia mula-mula ditempatkan di bumi,+

 5 Seruan sukacita orang jahat hanyalah sementara,

Dan kegembiraan orang murtad hanyalah seketika.+

 6 Meskipun keunggulan mereka sampai ke langit,

Dan kebesaran mereka mencapai awan,

 7 Tetapi seperti tahi mereka sendiri, mereka akan lenyap selama-lamanya;

Orang yang pernah melihat mereka akan berkata, ‘Di manakah mereka?’

 8 Orang tidak akan menjumpai mereka lagi;

Mereka akan menghilang seperti mimpi dan lenyap seperti penglihatan pada malam hari.

 9 Mereka tidak akan dilihat lagi di tempat tinggal mereka.

Ya, mereka tidak akan dijumpai lagi.+

10 Anak-anak mereka akan meminta bantuan orang miskin,

Dan mereka terpaksa mengembalikan semua harta yang dirampas oleh mereka.+

11 Mereka kuat dan perkasa seperti orang muda,

Tetapi semasa mereka mati, kekuatan mereka akan hancur menjadi debu belaka.

12 Kejahatan bagaikan makanan yang sungguh manis bagi mereka,

Sehingga mereka menyimpannya di dalam mulut.

13 Mereka begitu menikmatinya

Sehingga enggan mengeluarkannya daripada mulut mereka.

14 Namun ketika masuk ke dalam perut mereka,

Makanan itu akan berubah menjadi seperti racun ular berbisa.

15 Mereka akan memuntahkan kekayaan yang ditelan mereka;

Tuhan akan mengeluarkannya dari dalam perut mereka.

16 Mereka akan minum racun ular berbisa,

Dan mereka akan mati dipatuk ular berbisa.

17 Mereka tidak akan menikmati madu dan susu

Yang berlimpah-limpah seperti air sungai yang terus mengalir.

18 Mereka akan menyerahkan harta milik mereka tanpa menikmatinya;

Mereka tidak berpeluang menikmati kekayaan hasil usaha mereka,+

19 Kerana mereka menindas dan tidak mempedulikan orang miskin,

Dan mereka merampas rumah orang lain.

20 Mereka tidak mempunyai ketenangan jiwa,

Dan kekayaan mereka tidak dapat menyelamatkan mereka.

21 Tiada apa-apa lagi yang tertinggal untuk dirampas oleh mereka.

Itulah sebabnya kemakmuran mereka tidak berkekalan.

22 Apabila kemewahan mereka memuncak tinggi, kekhuatiran akan menyelubungi mereka;

Bermacam-macam malapetaka akan menimpa mereka.

23 Semasa mereka makan sepuas-puasnya,

Tuhan akan mencurahkan kemurkaan-Nya yang menyala-nyala.

Seperti hujan lebat, bencana akan turun ke atas mereka.

24 Apabila mereka mencuba melarikan diri daripada senjata-senjata besi,

Anak panah tembaga akan menembusi mereka;

25 Hujung anak panah yang berkilau itu akan menembusi hati* mereka.

Mereka mencabut anak panah itu daripada belakang mereka,

Dan mereka dicengkam ketakutan.+

26 Semua harta mereka akan hilang;

Api yang tidak dinyalakan orang akan membakar mereka,

Dan sesiapa yang masih tertinggal di dalam khemah mereka akan turut binasa.

27 Langit akan mendedahkan dosa-dosa mereka,

Dan bumi akan bangkit menentang mereka.

28 Banjir akan menghanyutkan rumah mereka,

Dan ribut badai akan melanda mereka pada hari kemurkaan Tuhan.

29 Demikianlah kesudahan yang ditentukan oleh Tuhan untuk orang jahat;

Ya, begitulah balasan yang ditetapkan-Nya bagi mereka.”

21 Kemudian Ayub menjawab,

 2 “Dengarlah baik-baik apa yang akan aku katakan;

Hanya itu yang aku minta agar hatiku lega.

 3 Bersabarlah semasa aku bercakap;

Selepas itu, ejeklah aku sesuka hati kamu.+

 4 Adakah keluhanku ditujukan kepada manusia?

Jika ya, mengapa aku masih tetap bersabar?

 5 Pandanglah aku, maka kamu akan tercengang;

Kamu akan terkejut sehingga tidak dapat berkata-kata.

 6 Apabila aku mengenang masa laluku,

Aku menjadi gelisah dan seluruh tubuhku gementar.

 7 Mengapa orang jahat panjang umur?+

Mengapa mereka menjadi kaya?+

 8 Mereka selalu bersama-sama anak mereka,

Dan mereka dapat melihat anak cucu mereka hidup makmur.

 9 Rumah mereka aman dan selamat, dan mereka tidak berasa takut.+

Tuhan tidak mendatangkan hukuman kepada mereka.

10 Lembu mereka beranak tanpa kesulitan;

Lembu mereka membiak dan menjadi banyak.

11 Seperti anak bebiri, anak-anak mereka melonjak keriangan

Dan bermain-main dengan gembira.

12 Mereka menyanyi diiringi tamborin dan kecapi,

Mereka meniup seruling dengan penuh sukacita.+

13 Mereka hidup senang dan bahagia,

Dan mereka meninggal dengan tenang.*

14 Orang jahat berkata kepada Tuhan, ‘Jangan ganggu kami!

Kami tidak ingin mengetahui kehendak-Mu.+

15 Siapa Tuhan Yang Maha Kuasa itu sehingga kami harus menyembah-Nya?+

Apa manfaatnya kami berdoa kepada-Nya?’+

16 Tetapi aku sama sekali tidak setuju dengan pemikiran orang jahat.+

Aku tahu bahawa mereka tidak berkuasa untuk menjamin kemakmuran mereka.+

17 Berapa kerapkah pelita orang jahat dipadamkan?+

Berapa seringkah mereka ditimpa bencana?

Berapa kerapkah Tuhan murka sehingga membinasakan mereka?

18 Pernahkah mereka menjadi seperti jerami yang ditiup angin?

Pernahkah mereka menjadi seperti sekam yang diterbangkan ribut?

19 Tuhan pasti akan menghukum orang jahat dan anak-anak mereka juga akan merasai akibatnya.

Dengan itu mereka akan sedar bahawa Tuhan sedang menghukum mereka.+

20 Namun biarlah mereka sendiri minum daripada cawan kemurkaan Tuhan Yang Maha Kuasa.

Ya, biarlah mereka sendiri merasai betapa dahsyatnya malapetaka yang menimpa mereka,+

21 Kerana adakah mereka peduli tentang apa yang terjadi kepada keturunan mereka

Jika usia mereka dipendekkan?+

22 Dapatkah sesiapa mengajar Tuhan?+

Bukankah Tuhan yang menghakimi semua orang, termasuk para pembesar?+

23 Ada orang yang menikmati hidup yang senang dan bahagia.+

Tetapi mereka mati walaupun masih bertenaga,+

24 Dan walaupun badan mereka masih sihat

Dan tulang mereka masih kuat.

25 Ada pula yang hidup dengan penuh keperitan dan kesengsaraan,

Lalu mati tanpa mengecap kebahagiaan.

26 Namun mereka semua akan mati dan dikerumuni ulat.+

Ya, mereka semua akhirnya akan mati.+

27 Aku memang tahu apa yang kamu fikirkan;

Aku memang tahu rancangan jahat kamu untuk menyalahkan aku.*+

28 Kamu bertanya, ‘Di manakah rumah orang yang terkemuka?

Di manakah tempat kediaman orang yang jahat?’+

29 Belum pernahkah kamu bertanya kepada para pengembara?

Tidakkah kamu meneliti perkara-perkara yang dilaporkan oleh mereka?

30 Orang jahat selalu terselamat semasa bencana melanda;

Mereka selalu terlepas daripada kesengsaraan.

31 Siapakah yang akan menegur orang jahat atas haluan hidup mereka?

Siapakah yang akan membalas perbuatan mereka?

32 Semasa mereka dibawa ke tanah perkuburan,

Ada orang yang akan menjaga makam mereka.

33 Dengan lembut tanah menimbus mayat mereka.+

Demikianlah kesudahan semua orang.+

Ya, seperti mereka, setiap orang juga akan menemui maut.

34 Maka sia-sia sahaja kamu mencuba melegakan hatiku,+

Kerana kata-kata kamu itu hanyalah bohong belaka!”

22 Elifas+ orang Teman itu berkata,

 2 “Dapatkah manusia membawa manfaat kepada Tuhan?

Adakah orang yang berpengertian berguna bagi-Nya?+

 3 Adakah Tuhan peduli jika kamu berbuat benar?

Apakah faedahnya bagi Yang Maha Kuasa jika kamu hidup setia?+

 4 Jika kamu takut dan hormat kepada Tuhan,

Adakah Dia akan menghakimi dan menghukum kamu?

 5 Tetapi kamu asyik berdosa dan melakukan banyak kejahatan.

Itulah sebabnya Tuhan berbuat demikian terhadapmu.+

 6 Dengan sesuka hati, kamu mengambil barang saudaramu sebagai cagaran;

Kamu merampas pakaian orang miskin dan membiarkan mereka telanjang.+

 7 Kamu enggan memberikan minuman kepada orang yang lelah,

Dan enggan memberikan makanan kepada orang yang lapar.+

 8 Kamu telah merampas banyak tanah.

Orang takut kepadamu kerana kamu berkuasa dan berpengaruh.+

 9 Kamu menindas anak-anak yatim,

Dan menyuruh balu pergi dengan tangan kosong.

10 Itulah sebabnya kamu dikelilingi perangkap.+

Kamu diancam dan dicengkam ketakutan secara tiba-tiba;

11 Kamu tidak dapat melihat kerana diselubungi kegelapan,

Dan kamu dilanda banjir yang dahsyat.

12 Lihatlah! Bintang-bintang berada di langit yang tinggi,

Tetapi Tuhan berada di tempat yang paling tinggi di syurga.

13 Namun kamu berkata, ‘Apakah yang diketahui Tuhan?

Dapatkah Dia menghakimi orang jika diselubungi awan tebal?

14 Ketika Dia berjalan di sempadan langit dan bumi,

Kepulan awan menutup pandangan-Nya.’

15 Adakah kamu tetap mengikut haluan

Yang ditempuh oleh orang jahat pada masa lampau?

16 Mereka mati sebelum masa mereka tiba;

Mereka seperti bangunan yang asasnya dihanyutkan banjir.+

17 Mereka telah berkata kepada Tuhan, ‘Jangan ganggu kami!’

Dan, ‘Apakah yang dapat dilakukan oleh Yang Maha Kuasa terhadap kami?’

18 Padahal Tuhanlah yang memberi mereka segala perkara yang baik.

(Aku benar-benar tidak setuju dengan pandangan orang jahat.)

19 Orang baik akan bersukacita semasa melihat orang jahat dimusnahkan;

Orang yang tidak bersalah akan mentertawakan mereka sambil berkata,

20 ‘Musuh kita sudah dibinasakan,

Dan api akan menghanguskan segala sesuatu yang tertinggal.’

21 Hendaklah kamu menghampiri Tuhan dan berdamai dengan-Nya.

Dengan demikian, kamu akan diberkati dengan hal-hal yang baik.

22 Terimalah hukum yang diberikan-Nya,

Dan simpanlah firman-Nya dalam hatimu.+

23 Kembalilah kepada Tuhan Yang Maha Kuasa, maka hidupmu akan menjadi makmur semula;+

Singkirkanlah kejahatan dari tempat kediamanmu,

24 Lemparkanlah emasmu ke tanah,

Dan buanglah emasmu dari Ofir*+ ke lembah berbatu.

25 Dengan itu, Tuhan Yang Maha Kuasa akan menjadi seperti emasmu,

Dan Dia akan menjadi seperti perakmu yang paling bernilai.

26 Tuhan Yang Maha Kuasa akan menjadi sumber kegembiraanmu,

Dan kamu akan menghadap-Nya dengan penuh keyakinan.

27 Semasa kamu merayu kepada-Nya, Dia akan menjawab,

Dan kamu akan menepati segala janjimu kepada-Nya.

28 Segala usahamu akan berjaya,

Dan cahaya akan menyinari jalan hidupmu.

29 Ketahuilah, orang yang angkuh akan direndahkan,

Tetapi orang yang rendah hati akan diselamatkan oleh Tuhan.

30 Sesungguhnya, Dia akan menyelamatkan orang yang tidak bersalah.

Maka jika kamu hidup tanpa cela, kamu pasti akan diselamatkan.”

23 Ayub menjawab,

 2 “Aku sudah kehabisan tenaga kerana mengeluh.

Namun aku akan tetap mengadu kepada Tuhan.+

 3 Seandainya aku tahu di mana Tuhan berada,+

Aku pasti akan pergi ke tempat-Nya.+

 4 Aku akan mengadukan perkaraku kepada-Nya,

Dan aku akan menyatakan semua hujahku.

 5 Aku akan mengetahui bagaimana Dia memberikan jawapan,

Dan aku akan meneliti apa yang akan dikatakan-Nya.

 6 Adakah Dia akan menentang aku dengan kuasa-Nya yang hebat?

Tentu tidak! Sebaliknya, Dia akan mendengar kata-kataku.+

 7 Tuhan akan menyelesaikan aduan orang jujur;

Hakimku akan menyatakan aku tidak bersalah buat selama-lamanya.

 8 Namun ketika aku pergi ke timur, Dia tiada di sana;

Apabila aku pergi ke barat, aku masih tidak menjumpai-Nya.

 9 Dia pergi ke sebelah kiriku, tetapi aku tidak dapat melihat-Nya;

Dia pergi ke sebelah kananku, tetapi aku masih tidak dapat melihat-Nya.

10 Namun Tuhan mengetahui haluan yang telah kutempuh.+

Setelah aku diuji oleh-Nya, aku akan menjadi seperti emas murni.+

11 Aku telah mengikut jalan-Nya dengan setia;

Aku tidak pernah menyimpang daripada haluan-Nya,+

12 Dan aku tidak pernah mengingkari hukum-Nya.

Aku amat menyukai perintah-Nya,+ bahkan melakukan lebih daripada apa yang diminta-Nya daripadaku.

13 Apabila Tuhan menentukan sesuatu, siapakah yang dapat menghalang-Nya?+

Apabila Dia ingin melakukan sesuatu, Dia pasti akan melaksanakannya.+

14 Ada banyak perkara yang ingin dilakukan oleh Tuhan terhadapku,

Dan Dia pasti akan melakukan segala yang dikehendaki-Nya.

15 Itulah sebabnya aku berasa resah dan gelisah;

Apabila aku memikirkan-Nya, aku semakin takut akan-Nya.

16 Tuhan menyebabkan aku berasa gentar;

Tuhan Yang Maha Kuasa telah membuat aku gerun.

17 Mukaku diselubungi kegelapan yang pekat.

Namun begitu, aku tetap tidak akan berdiam diri.

24 “Mengapakah Tuhan Yang Maha Kuasa tidak menetapkan hari penghakiman?+

Mengapakah orang yang mengenali-Nya tidak melihat hari itu?

 2 Orang jahat mengalihkan penanda sempadan tanah orang lain;+

Mereka mencuri bebiri orang lain untuk dijadikan ternakan sendiri.

 3 Mereka merampas keldai kepunyaan anak yatim,

Dan mengambil lembu jantan milik balu sebagai cagaran.+

 4 Mereka tidak membenarkan orang miskin mengikut jalan besar,

Dan orang papa terpaksa bersembunyi daripada mereka.+

 5 Seperti keldai liar,+ orang miskin mencari makanan di padang belantara;

Mereka mencari makanan untuk anak-anak mereka di padang gurun.

 6 Mereka terpaksa memungut hasil* di ladang orang lain,

Dan mengumpulkan sisa anggur dari ladang orang jahat.

 7 Mereka tidur tanpa jubah pada waktu malam;+

Mereka tidak mempunyai selimut untuk memanaskan badan.

 8 Mereka basah kuyup kerana hujan lebat,

Dan mereka terpaksa berlindung di bukit batu.

 9 Anak yang kehilangan bapanya dirampas daripada ibunya;+

Dan pakaian orang miskin diambil sebagai jaminan.+

10 Oleh itu mereka terpaksa keluar tanpa pakaian,

Dan mereka kelaparan semasa memikul berkas gandum.

11 Di tepi tembok ladang anggur, mereka berjerih lelah* di bawah panas terik;

Mereka memeras anggur di tempat pemerasan, tetapi mereka sendiri kehausan.+

12 Di kota, orang yang hampir putus nyawa merintih;

Orang yang cedera parah berseru meminta tolong.+

Tetapi Tuhan nampaknya tidak mengambil peduli.*

13 Orang jahat menolak cahaya;+

Mereka tidak mengenal haluan yang terang,

Dan enggan mengikut jalan itu.

14 Pada waktu subuh, para pembunuh bangun;

Mereka membunuh orang miskin dan orang lemah.+

Pada waktu malam, mereka pergi mencuri.

15 Orang yang berzina menantikan waktu senja;+

Mereka menutup muka mereka,

Dan menganggap bahawa tiada orang yang akan melihat mereka.+

16 Pada waktu malam, pencuri memecah masuk ke dalam rumah orang;

Pada waktu siang, mereka bersembunyi,

Dan mereka mengelakkan cahaya.+

17 Bagi mereka, siang hari seperti waktu malam yang mengerikan,

Tetapi mereka berasa senang dengan kegelapan yang biasanya ditakuti orang.

18 Namun mereka akan dihanyutkan oleh air sungai yang deras;

Mereka tidak akan kembali ke ladang anggur mereka,

Dan tanah kepunyaan mereka akan dikutuk.+

19 Seperti air salji yang hilang kerana cahaya matahari dan kemarau,

Orang berdosa juga lenyap kerana ditelan Kuburan.*+

20 Orang jahat tidak akan dikenang lagi,+ mereka bahkan dilupakan oleh ibu mereka.

Tubuh mereka akan habis dimakan ulat;

Mereka akan dihancurkan seperti pokok yang tumbang.

21 Orang jahat telah menindas balu;

Wanita mandul menjadi mangsa mereka.

22 Meskipun mereka ditinggikan, masa depan mereka tidak terjamin;

Dengan kuasa-Nya, Tuhan akan membinasakan orang yang perkasa.

23 Tuhan membiarkan mereka hidup aman dan makmur,+

Tetapi segala perbuatan mereka sentiasa diawasi oleh-Nya.+

24 Mereka mungkin dimuliakan buat seketika, tetapi mereka akan direndahkan.+

Seperti orang lain, mereka akan mati.+

Mereka akan dilenyapkan seperti gandum yang dipotong daripada tangkai.

25 Dapatkah sesiapa menyangkal kata-kataku,

Dan membuktikan aku pendusta?”

25 Kemudian, Bildad+ orang Suah itu menjawab,

 2 “Kuasa pemerintahan milik Tuhan, dan kekuatan-Nya amat menakjubkan;

Dialah yang mendatangkan kedamaian di syurga.

 3 Dapatkah sesiapa menghitung bala tentera-Nya di syurga?

Adakah tempat yang tidak disinari oleh cahaya-Nya?

 4 Dapatkah manusia fana dibuktikan benar di hadapan Tuhan?+

Dapatkah manusia dinyatakan tidak bersalah?+

 5 Bagi Tuhan, bahkan bulan pun tidak terang,

Dan bintang-bintang juga kelihatan suram.

 6 Apalagi manusia fana yang hanyalah seperti ulat.

Ya, manusia hanyalah seperti cacing dalam pandangan-Nya!”

26 Ayub menjawab,

 2 “Alangkah baiknya bantuan yang kamu berikan kepada orang yang tidak bermaya!

Betapa besarnya pertolongan yang kamu hulurkan kepada orang yang lemah!+

 3 Alangkah bergunanya nasihat yang kamu berikan kepada orang yang tidak berhikmat!+

Betapa dalamnya kebijaksanaan yang kamu perlihatkan di hadapan orang ramai!

 4 Kepada siapakah kamu menujukan kata-kata itu?

Siapakah yang mengilhami kamu untuk berkata sedemikian?

 5 Orang mati berada di bawah samudera dan di bawah segala yang hidup di dalamnya;

Mereka berasa takut dan gementar,

 6 Kerana tiada apa-apa di Kuburan* yang tersembunyi daripada pandangan Tuhan;+

Segala-gala yang ada di dalam jurang kemusnahan* terdedah di mata-Nya.

 7 Tuhan membentangkan langit utara di ruang angkasa,+

Dan menempatkan bumi di angkasa hampa.

 8 Dia mengisi awan dengan air,+

Namun awan tidak pecah walaupun berat airnya.

 9 Tuhan membentangkan awan+

Supaya takhta-Nya tidak kelihatan.

10 Dia menandakan sempadan antara langit dengan laut,+

Dan memisahkan cahaya daripada kegelapan.

11 Apabila Tuhan berseru dengan kuat,

Tiang-tiang penyangga langit bergoyang dan bergetar.

12 Dengan kuasa-Nya, Dia menyebabkan laut bergelora;+

Dengan kebijaksanaan-Nya, Dia menghancurkan raksasa laut;+

13 Dengan tangan-Nya, Dia membunuh ular yang meluncur;

Dan dengan hembusan nafas-Nya, langit menjadi cerah.

14 Tetapi semua itu hanyalah sekelumit daripada perbuatan-Nya yang menakjubkan,+

Dan hanyalah bisikan yang sampai di telinga kita.

Siapakah yang dapat menyelami keagungan Tuhan yang bagaikan guruh yang kuat?”+

27 Ayub terus berucap,

 2 “Demi Tuhan Yang Maha Kuasa, Tuhan yang hidup,

Yang enggan menegakkan keadilan bagiku+ dan yang telah memedihkan jiwaku,+

 3 Aku bersumpah bahawa selagi Tuhan memberi aku nafas kehidupan,+

Dan selagi aku masih bernyawa,

 4 Bibirku tidak akan menyebut kata-kata yang jahat,

Dan lidahku tidak akan mengucapkan kata-kata dusta.

 5 Mustahil aku mengatakan kamu semua benar.

Sampai mati pun aku akan tetap setia kepada Tuhan!*+

 6 Aku akan tetap berpaut pada apa yang benar.+

Selagi aku hidup, hati nuraniku tidak akan menyalahkan aku.

 7 Biarlah kesudahan musuhku menjadi seperti kesudahan orang jahat;

Ya, biarlah kesudahan orang yang menyerang aku menjadi seperti kesudahan orang durjana.

 8 Apakah harapan bagi orang murtad ketika mereka dibinasakan?+

Apakah harapan bagi orang jahat semasa Tuhan menuntut nyawa mereka?

 9 Apabila kesusahan menimpa mereka lalu mereka berseru kepada Tuhan,

Adakah Tuhan akan mendengarkan seruan mereka?+

10 Adakah Tuhan akan menjadi sumber kegembiraan mereka?

Adakah mereka akan selalu berdoa kepada-Nya?

11 Biarlah aku mengajar kamu tentang kuasa Tuhan;*

Aku tidak akan menyembunyikan apa-apa tentang Dia Yang Maha Kuasa.

12 Jika kamu semua mendapat penglihatan,

Mengapa kata-kata kamu langsung tidak bererti?

13 Inilah hukuman Tuhan untuk orang jahat,+

Inilah balasan daripada Dia Yang Maha Kuasa bagi orang kejam:

14 Jika anak mereka banyak, semuanya akan dibunuh dengan pedang,+

Dan semua keturunan mereka akan kebuluran.

15 Mereka yang terselamat akan mati kerana wabak penyakit,

Dan balu mereka tidak akan meratapi kematian mereka.

16 Meskipun perak orang jahat bertimbun-timbun seperti debu,

Meskipun pakaian mereka berlonggok-longgok seperti tanah liat,

17 Dan meskipun mereka menyimpan semua itu,

Akhirnya, orang yang baik akan memakai pakaian itu,+

Dan orang yang tidak bersalah akan membahagi-bahagikan perak itu.

18 Rumah yang dibina mereka seperti kepompong rama-rama yang mudah dihancurkan,

Dan seperti pondok+ sementara yang dibina oleh seorang pengawal.

19 Mereka masih kaya semasa mereka pergi tidur, tetapi kekayaan mereka tidak akan menghasilkan apa-apa;

Apabila mereka membuka mata, segala kekayaan mereka sudah lenyap.

20 Seperti banjir yang melanda, rasa takut akan mencengkam mereka secara tiba-tiba,

Dan ribut pada malam hari akan meniup mereka.+

21 Angin timur akan membawa mereka pergi, lalu mereka akan lenyap;

Angin itu akan menyapu mereka dari tempat kediaman mereka.+

22 Semasa mereka mencuba melarikan diri,+

Angin itu akan melanda mereka tanpa belas kasihan.+

23 Dari tempatnya, angin itu seolah-olah bertepuk tangan*

Dan bersiul+ untuk mengejek mereka.

28 “Ada tempat untuk melombong perak

Dan ada tempat untuk memurnikan emas;+

 2 Besi dijumpai di dalam tanah,

Dan batu dileburkan untuk mendapatkan tembaga.+

 3 Demi mencari batu-batan,

Manusia menembusi kegelapan,

Dan menerokai tempat yang paling dalam dan suram.

 4 Jauh dari tempat yang berpenduduk,

Di tempat yang terpencil, yang tidak dilalui orang,

Manusia menggali lombong lalu turun sambil bergantung pada tali.

 5 Di atas permukaannya, tanah menghasilkan makanan,

Tetapi di bawah permukaannya, tanah dibongkar-bangkirkan.*

 6 Di bawah tanah, terdapat batu nilam,

Dan debu bumi mengandungi emas.

 7 Burung pemangsa tidak tahu jalan ke situ;

Burung lang hitam tidak pernah melihat tempat itu.

 8 Binatang buas tidak pernah melalui tempat itu;

Bahkan singa muda tidak pernah merayau-rayau di situ.

 9 Manusia menggali dasar gunung,

Dan memecahkan batu-batan yang keras sekali.

10 Mereka membuat saluran air+ di gunung batu;

Mereka menjumpai bermacam-macam batu permata.

11 Mereka membendung sumber air

Dan mendedahkan segala yang tersembunyi.

12 Tetapi di manakah kebijaksanaan dapat ditemui?+

Di manakah pengertian dapat dijumpai?+

13 Manusia tidak tahu betapa berharganya kebijaksanaan;+

Kebijaksanaan tidak dapat dicari bahkan di seluruh bumi.

14 Air yang dalam berkata, ‘Kebijaksanaan tidak ada padaku!’

Dan lautan luas berseru, ‘Kebijaksanaan tidak ada padaku juga!’+

15 Kebijaksanaan tidak dapat diganti dengan perak,

Dan tidak dapat dibeli dengan emas murni.+

16 Kebijaksanaan tidak dapat dibeli dengan emas dari Ofir,+

Ataupun dengan batu oniks dan batu nilam yang berharga.

17 Kebijaksanaan tidak dapat diganti dengan kaca dan emas;

Bahkan bejana emas tulen pun tidak dapat mengimbangi nilainya.+

18 Batu permata* dan kristal langsung tidak dapat menandinginya,

Kerana kebijaksanaan jauh lebih berharga daripada mutiara.+

19 Batu topaz+ dari Kus tidak dapat menyamainya.

Sesungguhnya, kebijaksanaan tidak dapat dibeli walau dengan emas yang paling bermutu.

20 Di manakah sumber kebijaksanaan?

Di manakah sumber pemahaman?+

21 Kebijaksanaan disembunyikan daripada burung-burung di langit.

Ya, kebijaksanaan disembunyikan daripada segala makhluk hidup.+

22 Maut dan kebinasaan berkata,

‘Kami hanya mendengar khabar angin tentangnya.’

23 Namun Tuhan mengetahui jalan untuk mencarinya;

Dia sahaja yang mengetahui tempatnya,+

24 Kerana Dia dapat melihat sampai ke hujung bumi;

Dia nampak segala sesuatu yang ada di bawah langit.+

25 Semasa Dia memberi angin kekuatan,+

Ketika Dia menentukan keluasan samudera,+

26 Semasa Dia menetapkan musim hujan,+

Dan ketika Dia menentukan haluan ribut petir,+

27 Pada masa itulah Dia memperhatikan kebijaksanaan dalam hasil kerja-Nya dan menyatakan kebijaksanaan itu;

Dia menetapkannya dan menguji nilainya.

28 Maka Dia berfirman kepada manusia,

‘Takutlah akan Yehuwa, kerana itulah erti kebijaksanaan;+

Berpalinglah daripada kejahatan, kerana itulah maksud pengertian.’”+

29 Ayub meneruskan ucapannya,

 2 “Seandainya keadaanku seperti pada masa lalu,

Pada waktu Tuhan melindungi aku,

 3 Ketika Tuhan menyinarkan cahaya-Nya ke atasku,*

Semasa Dia menerangi kegelapan yang harus kutempuh,+

 4 Ketika aku masih muda dan perkasa,

Dan semasa Tuhan menjadi sahabatku yang sentiasa bersamaku.+

 5 Pada waktu itu Tuhan Yang Maha Kuasa menyertai aku,

Dan semua anakku* ada di sampingku.

 6 Pada masa itu, aku hidup mewah dan menikmati susu yang berlimpah-limpah,

Bahkan gunung batu mencurahkan minyak zaitun bagiku.+

 7 Pada ketika itu, aku selalu pergi ke gerbang kota+

Dan mengambil tempat duduk di dataran kota.+

 8 Orang muda memberi laluan apabila melihat aku,

Bahkan orang tua pun bangun untuk menghormati aku.+

 9 Semasa melihat aku, para pemimpin berhenti bercakap;

Mereka seolah-olah menutup mulut dengan tangan mereka.

10 Orang kenamaan juga tidak bersuara;

Lidah mereka seolah-olah melekat pada lelangit mulut mereka.

11 Semua orang yang mendengar tentangku memuji aku,

Dan mereka yang melihat aku memuliakan aku,

12 Kerana aku menyelamatkan orang miskin yang berseru meminta tolong.+

Aku membantu anak yatim dan sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan,+

13 Dan aku juga melegakan hati para balu.+

Ya, mereka yang menderita sangat menghargai aku.*+

14 Kebaikan bagaikan pakaianku,

Dan keadilan bagaikan serban dan jubahku.

15 Aku menjadi mata bagi orang buta,

Dan aku menjadi kaki bagi orang tempang.

16 Aku menjadi bapa bagi orang miskin,+

Dan aku menegakkan keadilan bagi orang asing.+

17 Aku mematahkan rahang orang jahat,+

Dan menyelamatkan orang yang menjadi mangsa mereka.

18 Aku selalu berkata, ‘Bagaikan butir pasir yang banyak, demikianlah jumlah hari kehidupanku.

Aku akan mati di rumahku sendiri.+

19 Aku umpama pokok yang akarnya menyerap banyak air,

Dan sepanjang malam, embun akan membasahi dahan-dahanku.

20 Orang sentiasa memuliakan aku,

Dan kekuatanku tidak pernah berkurang.’

21 Orang sangat berharap untuk mendengar kata-kataku;

Mereka berdiam diri dan menantikan nasihatku.+

22 Sehabis aku bercakap, orang tidak akan menambah apa-apa lagi;

Bagi mereka, nasihatku bagaikan titisan air hujan yang membasahi tanah yang gersang.

23 Seperti petani yang menantikan hujan, mereka menunggu kedatanganku;

Seperti orang yang menantikan hujan musim bunga, mereka teringin sekali mendengar kata-kataku.+

24 Mereka hampir tidak percaya apabila aku senyum kepada mereka;

Seri wajahku meyakinkan dan menenangkan jiwa mereka,*

25 Dan sebagai pemimpin, aku membimbing mereka.

Aku bagaikan raja dalam kalangan pasukan tenteranya,+

Dan bagaikan orang yang melegakan hati orang yang berkabung.+

30 “Tetapi kini aku diejek+

Oleh orang yang lebih muda daripadaku,

Padahal bagiku, bapa mereka tidak layak pun

Untuk menjaga kawananku bersama anjing gembala.

 2 Bagiku mereka langsung tidak berguna,

Kerana mereka sudah kehabisan tenaga.

 3 Mereka tidak bermaya dan kelaparan

Sehingga mereka terpaksa memakan pasir di tanah yang gersang,

Tanah yang sudah menjadi tandus dan terbiar.

 4 Mereka memetik daun-daun pokok herba*

Dan mengumpulkan akar-akar pokok pahit untuk dimakan.

 5 Seperti pencuri yang ditengking orang,

Mereka ditengking dan dihalau daripada masyarakat.+

 6 Mereka terpaksa tinggal di lereng lembah yang dalam,

Di lubang-lubang tanah, dan di gua-gua batu.

 7 Mereka meraung-raung di antara semak;

Mereka berhimpit-himpit di bawah belukar.

 8 Mereka keturunan orang yang bebal dan tidak berguna;

Mereka telah dihalau keluar dari negeri ini.

 9 Tetapi kini mereka menyanyi untuk mengejek aku;+

Aku sudah menjadi sasaran hinaan mereka.+

10 Mereka membenci aku dan menjauhkan diri daripadaku;+

Mereka meludahi mukaku tanpa rasa malu.+

11 Tuhan telah merendahkan aku dan menyebabkan aku menjadi lemah.

Itulah sebabnya mereka menentang aku tanpa segan-silu.

12 Mereka menyerang aku secara beramai-ramai;

Mereka membiarkan aku melarikan diri,

Tetapi mereka sudah meletakkan halangan di depan kakiku untuk membinasakan aku.

13 Mereka menghancurkan semua jalanku;

Mereka menyebabkan aku semakin menderita.+

Namun tiada seorang pun yang menghalang mereka.*

14 Seperti angin ribut yang memecahkan tembok,

Mereka menyerang aku yang hampir binasa.

15 Aku dicengkam kengerian;

Kemuliaanku lenyap diterbangkan angin;

Seperti awan yang menghilang, demikianlah harapanku untuk diselamatkan.

16 Sekarang aku hampir putus nyawa;+

Saban hari aku hidup sengsara.+

17 Pada malam hari, tulang-tulangku sakit sekali,+

Dan kesakitan yang menusuk itu tidak kunjung berhenti.+

18 Aku berasa seolah-olah jubahku ditarik dengan kuat,*

Dan aku berasa seolah-olah leher bajuku sedang mencekik aku.

19 Ya Tuhan, Engkau telah melemparkan aku ke dalam lumpur,

Sehingga aku menjadi seperti debu dan abu.

20 Aku berseru meminta tolong, tetapi Engkau tidak mendengarkan seruanku.+

Aku berdiri untuk menghadap-Mu, tetapi Engkau tidak mempedulikan aku.

21 Dengan kejam, Engkau memusuhi aku;+

Dengan tangan-Mu yang perkasa, Engkau menentang aku.

22 Engkau mengangkat aku dan membiarkan aku diterbangkan angin;

Kemudian Engkau menghancurkan aku dalam ribut kencang.

23 Aku tahu bahawa Engkau akan membawa aku ke alam maut,

Ke tempat semua manusia akan pergi pada akhirnya.

24 Sesungguhnya tiada sesiapa pun yang akan meremukkan orang yang tidak berdaya,+

Terutamanya semasa orang itu berseru meminta tolong kerana ditimpa musibah.

25 Tidakkah aku menangis bersama orang yang dalam kesusahan?

Tidakkah aku turut bersedih dengan orang yang miskin?+

26 Aku mengharapkan kebahagiaan, tetapi kesusahanlah yang kutemui;

Aku menantikan cahaya, tetapi kegelapanlah yang kujumpai.

27 Perasaanku berkecamuk;

Hari demi hari aku hidup dalam keperitan.

28 Dengan muram,+ aku melangkah dalam kegelapan.

Aku berdiri dan merayu meminta tolong dalam kalangan orang ramai.

29 Aku sudah menjadi seperti kerabat serigala

Dan seperti teman burung unta.+

30 Kulitku sudah menjadi hitam dan mengelupas;+

Tulangku terasa begitu panas seperti dibakar.*

31 Kini kecapiku hanya dimainkan semasa orang berkabung,

Dan bunyi serulingku hanya kedengaran semasa orang meratap.

31 “Aku sudah membuat perjanjian dengan mataku.+

Maka bagaimana mungkin aku memandang gadis muda dengan berahi?+

 2 Apakah berkat yang akan diberikan oleh Tuhan kepadaku?

Apakah yang akan aku terima daripada Dia Yang Maha Kuasa?

 3 Ketahuilah, orang yang jahat pasti akan dilanda bencana,

Dan orang yang kejam pasti akan ditimpa malapetaka.+

 4 Bukankah Tuhan memperhatikan haluanku?+

Bukankah Dia memeriksa setiap langkahku?

 5 Pernahkah aku bercakap bohong?*

Pernahkah aku menipu orang lain?+

 6 Biarlah Tuhan menimbang aku dengan penimbang yang tepat;+

Dengan demikian, Dia pasti akan tahu bahawa aku jujur dan setia.+

 7 Seandainya aku menyimpang daripada haluan yang benar,+

Seandainya aku membiarkan hatiku tergoda oleh apa yang aku lihat,+

Dan seandainya aku membenarkan tanganku dicemari oleh perkara yang jahat,

 8 Maka biarlah orang lain memakan apa yang aku tanam,+

Dan biarlah tanamanku dicabut hingga akarnya.*

 9 Jika hatiku sudah tertarik kepada seorang wanita,+

Dan aku bersembunyi dan menunggunya+ di belakang pintu rumah jiranku,

10 Maka biarlah isteriku mengisar biji-bijian untuk lelaki lain,

Dan biarlah lelaki lain menidurinya,+

11 Kerana perbuatanku itu sangat memalukan,

Dan aku patut dihukum atas kesalahanku itu.+

12 Perbuatan itu bagaikan api yang dapat menghanguskan apa sahaja,+

Bahkan membinasakan segala harta milikku.

13 Jika hamba lelaki dan hamba perempuanku mengadu terhadapku,

Tetapi aku tidak mempedulikan kata-kata mereka,

14 Apakah yang akan kukatakan apabila menghadap Tuhan?

Apakah yang dapat kulakukan semasa Dia mengadili aku?+

15 Bukankah Tuhan yang menjadikan aku, juga menjadikan hamba-hambaku?+

Ya, Tuhanlah yang membentuk kami di dalam rahim ibu kami.+

16 Pernahkah aku mengabaikan orang miskin yang memerlukan bantuan?+

Pernahkah aku mengecewakan para balu?+

17 Pernahkah aku membiarkan anak yatim kelaparan,

Sedangkan aku sendiri cukup makanan?+

18 (Sejak muda lagi, aku menjadi seperti bapa kepada anak yatim,

Dan sejak kecil lagi, aku menjadi pembimbing kepada para balu.)

19 Pernahkah aku membiarkan sesiapa mati kesejukan kerana tidak cukup pakaian?

Pernahkah aku membiarkan orang miskin kekurangan pakaian?+

20 Aku selalu memberi mereka kain bulu agar mereka dapat memanaskan badan.

Maka mereka berterima kasih kepadaku.+

21 Aku tidak pernah mengancam anak yatim+

Yang memerlukan bantuanku di gerbang kota.*+

22 Jika aku enggan membantu orang yang memerlukan pertolongan, biarlah lenganku dicabut daripada bahuku,

Dan biarlah lenganku dipatahkan pada bahagian siku.

23 Aku sangat takut akan hukuman Tuhan,

Dan aku tidak dapat menghadap Tuhan yang mulia jika aku melakukan hal-hal sebegitu.

24 Aku tidak pernah bergantung pada emas,

Dan aku tidak pernah menganggap emas tulen sebagai penyelamatku.+

25 Aku tidak pernah membangga-banggakan kekayaanku,+

Meskipun aku mempunyai banyak harta benda.+

26 Semasa melihat matahari yang bersinar cerah

Atau bulan yang bercahaya indah,+

27 Hatiku tidak pernah tergoda untuk menyembahnya,

Dan aku tidak pernah mencium tanganku sebagai tanda bahawa aku memuja semua itu.+

28 Jika aku melakukan kesalahan sebegitu, aku memang patut dihukum,

Kerana aku telah menolak Tuhan yang benar.

29 Pernahkah aku bersukacita apabila melihat musuhku dibinasakan?+

Pernahkah aku melonjak kegembiraan apabila musuhku ditimpa malapetaka?

30 Aku tidak pernah menyumpahi musuhku supaya mereka mati;+

Aku tidak pernah berdosa sebegitu.

31 Orang yang tinggal bersamaku selalu berkata,

‘Sesiapa yang makan di rumahnya pasti akan kenyang dan puas.’+

32 Rumahku sentiasa terbuka kepada para pengembara;

Aku tidak pernah membiarkan sesiapa pun bermalam di luar.+

33 Pernahkah aku menyembunyikan dosaku?

Pernahkah aku merahsiakan kesilapanku, seperti yang dilakukan orang lain?+

34 Pernahkah aku takut dengan pendapat orang ramai,

Dan pernahkah aku gementar kerana dihina oleh saudara-saudaraku,

Sehingga aku tidak berani bersuara dan takut keluar dari rumah?

35 Alangkah baiknya jika ada orang yang mendengarkan kata-kataku,+

Kerana aku bersumpah bahawa apa yang kukatakan itu semuanya benar!

Semoga Tuhan Yang Maha Kuasa menjawab seruanku!+

Biarlah pendakwaku menulis sepucuk surat tuduhan,

36 Lalu aku akan memikulnya pada bahuku,

Dan mengenakannya seperti mahkota pada kepalaku.

37 Seperti seorang pemimpin, aku akan menghadap Tuhan dengan penuh keyakinan,

Dan aku akan menyatakan secara terperinci segala yang telah kulakukan.

38 Jika tanahku sendiri mengadu tentangku,

Dan tanah yang dibajak menangis kerana aku;

39 Jika aku merampas hasil tanaman milik orang lain,+

Dan menyebabkan pemiliknya berkeluh-kesah,+

40 Maka biarlah yang tumbuh di situ semak berduri dan lalang yang berbau busuk,

Dan bukannya gandum atau barli.”

Sekianlah kata-kata Ayub.

32 Maka tiga orang sahabat Ayub berhenti bercakap, kerana Ayub amat yakin bahawa dia tidak bersalah.+ 2 Tetapi Elihu anak Barakhel, orang Buz,+ daripada puak Ram, menjadi sangat marah terhadap Ayub. Kemarahannya berkobar kerana Ayub tidak menyanjung keadilan Tuhan dan asyik berkata bahawa dia tidak bersalah.+ 3 Dia juga sangat marah terhadap tiga orang sahabat Ayub, kerana mereka tidak dapat menjawab kata-kata Ayub dan bahkan menyatakan bahawa Tuhan itu jahat.+ 4 Elihu menunggu sehingga mereka semua habis bercakap kerana mereka lebih tua daripadanya.+ 5 Apabila dia melihat bahawa tiga orang itu tidak mampu menjawab kata-kata Ayub, dia menjadi semakin marah. 6 Oleh itu, Elihu anak Barakhel mula bercakap,

“Aku masih muda

Sedangkan kamu semua sudah tua.+

Maka aku menahan diri dan tidak menyatakan pendapatku.+

Aku ingin menunjukkan hormat kepada kalian.

 7 Aku berfikir, ‘Biarlah orang yang tua bercakap,

Dan biarlah orang yang lanjut usia memperlihatkan kebijaksanaan mereka.’

 8 Tetapi sebenarnya, kuasa suci* daripada Tuhan

Dan nafas daripada Dia Yang Maha Kuasa yang memberikan kebijaksanaan kepada manusia.+

 9 Orang yang tua tidak semestinya bijaksana,

Dan orang yang lanjut usia tidak semestinya memahami apa yang benar.+

10 Oleh itu, dengarlah semasa aku bercakap.

Biarlah aku menyatakan apa yang aku tahu.

11 Aku mendengar dengan sabar semasa kamu bercakap;

Aku mendengar dengan teliti semasa kamu menyatakan pendapat kamu,+

Dan menunggu sehingga kamu mencari kata-kata yang sesuai.+

12 Aku memperhatikan kamu semua,

Namun kamu tidak dapat membuktikan kesalahan Ayub

Atau menyangkal hujah-hujahnya.

13 Maka janganlah berkata, ‘Kami tahu segala-galanya;

Tuhanlah yang telah membuktikan Ayub bersalah, bukan manusia.’

14 Ayub tidak menujukan kata-katanya kepadaku,

Maka aku tidak akan menggunakan hujah-hujah kamu untuk menjawab kata-katanya.

15 Hai Ayub, mereka bingung dan tidak dapat memberikan jawapan;

Mereka semua sudah putus akal.

16 Aku menunggu, tetapi mereka berdiam diri;

Mereka hanya berdiri di situ tanpa mengatakan apa-apa lagi.

17 Oleh itu, biarlah aku bercakap

Dan menyatakan apa yang aku tahu,

18 Kerana ada banyak perkara yang ingin kukatakan;

Kuasa suci Tuhan mendorong aku untuk bersuara.

19 Sanubariku terasa seperti kirbat wain yang tertutup rapat,

Yang akan meletup jika penutupnya tidak dibuka.+

20 Biarlah aku bercakap agar hatiku lega!

Aku hendak membuka mulut dan memberikan jawapan.

21 Aku tidak akan berat sebelah,+

Dan aku tidak akan mengampu sesiapa pun,

22 Kerana aku tidak pandai mengampu.

Seandainya aku mengampu, Penciptaku akan segera melenyapkan aku.

33 “Hai Ayub, sekarang dengarlah kata-kataku;

Dengarlah dengan teliti semua yang akan kukatakan kepadamu.

 2 Aku mesti berbicara kepadamu;

Aku mesti bercakap kepadamu.

 3 Sesungguhnya, kata-kataku membuktikan bahawa hatiku tulus.+

Dengan ikhlas bibirku menyatakan apa yang aku tahu.

 4 Kuasa suci Tuhan yang telah menciptakan aku,+

Dan nafas Dia Yang Maha Kuasa yang memberikan hidup kepadaku.+

 5 Bersedialah dan nyatakanlah hujah-hujahmu;

Berilah jawapan jika kamu mampu.

 6 Di hadapan Tuhan, kamu dan aku sama sahaja;

Seperti kamu, aku juga dibentuk daripada tanah liat.+

 7 Oleh itu, janganlah takut kepada aku,

Dan janganlah berasa tertekan kerana aku.

 8 Namun, aku selalu mendengar kata-katamu;

Ya, inilah yang asyik kamu katakan:

 9 ‘Aku suci, dan aku tidak berbuat dosa;+

Aku murni, dan aku tidak berbuat salah.+

10 Tetapi Tuhan mencari alasan untuk menentang aku;

Dia menganggap aku seperti musuh-Nya.+

11 Tuhan memasung kakiku;

Dia mengawasi setiap langkahku.’+

12 Tetapi kamu tidak patut berkata demikian, jadi aku akan menjawab kata-katamu:

Tuhan lebih unggul daripada manusia fana.+

13 Mengapa kamu tidak puas hati terhadap-Nya?+

Adakah kerana kamu berfikir Dia tidak menjawab kata-katamu?+

14 Sebenarnya Tuhan telah berfirman berulang kali,

Tetapi tiada sesiapa yang memberikan perhatian.

15 Pada malam hari, semasa orang tidur nyenyak,

Semasa mereka melelapkan mata di atas tempat tidur,

Tuhan telah berfirman melalui mimpi dan penglihatan.+

16 Kemudian Dia membuka telinga mereka supaya mereka mendengar;+

Dia mengukirkan segala ajaran-Nya pada hati mereka.

17 Dia berbuat demikian untuk menjauhkan seseorang daripada kejahatan,+

Dan untuk melindungi orang itu supaya dia tidak menjadi sombong.+

18 Tuhan menyelamatkannya supaya dia tidak masuk ke dalam kuburan,+

Dan memeliharanya agar tidak dibunuh dengan mata pedang.

19 Seseorang dapat memperoleh pengajaran semasa dia terlantar sakit,

Dan apabila dia menderita kerana tulang-tulangnya sakit.

20 Ketika itu, dia kehilangan selera makan;

Makanan yang sedap pun memuakkan baginya.+

21 Dia menjadi kurus kering,

Sehingga tulang-tulangnya pun kelihatan.

22 Apabila dia hampir masuk ke dalam kuburan,

Apabila nyawanya hampir putus,*

23 Alangkah baiknya jika antara ribuan malaikat,

Ada satu malaikat yang diutus kepadanya

Untuk mengajarnya berbuat baik.

24 Dengan demikian, Tuhan akan berkenan kepadanya dan berfirman,

‘Selamatkanlah orang itu agar dia tidak masuk ke dalam kuburan,+

Kerana Aku telah mendapat tebusan untuknya!+

25 Biarlah tubuhnya menjadi lebih segar* daripada tubuh orang muda;+

Biarlah dia menjadi kuat dan perkasa semula, seperti pada masa mudanya.’+

26 Dia akan berdoa kepada Tuhan,+ dan Tuhan akan mendengar doanya.

Tuhan akan berkenan semula kepadanya,

Dan dia akan melihat Tuhan dengan sorakan gembira.

27 Dia akan mengumumkan kepada orang ramai,

‘Aku telah berdosa+ dan memutarbelitkan kebenaran,

Tetapi aku tidak dihukum setimpal dengan kesalahanku.*

28 Tuhan telah menebus nyawaku agar aku tidak masuk ke dalam kuburan.+

Oleh itu, aku dapat terus melihat cahaya.’

29 Sebenarnya, Tuhan telah melakukan semua ini.

Ya, Dia telah berbuat demikian berulang kali.

30 Dia telah menyelamatkan orang itu agar tidak masuk ke dalam kuburan.

Dengan itu, orang tersebut dapat terus melihat cahaya kehidupan.+

31 Hai Ayub, sekarang dengarlah baik-baik.

Berdiam dirilah sementara aku bercakap.

32 Jika ada sesuatu yang hendak kamu katakan, beritahulah aku.

Bercakaplah, kerana aku ingin membantumu agar kamu dibuktikan benar.

33 Tetapi jika tiada, kamu harus mendengar kata-kataku.

Teruslah berdiam diri, dan aku akan mengajarkan hikmat kepadamu.”

34 Elihu meneruskan kata-katanya,

 2 “Hai orang yang bijaksana, dengarlah kata-kataku;

Hai orang yang berilmu, dengarlah ucapanku,

 3 Kerana telingalah yang menguji kata-kata,

Sebagaimana lidah mengecap makanan.

 4 Biarlah kita bersama-sama menentukan apa yang benar;

Biarlah kita bersama-sama memutuskan apa yang baik.

 5 Ayub telah berkata, ‘Aku tidak bersalah,+

Tetapi Tuhan enggan menegakkan keadilan bagiku.+

 6 Haruskah aku berdusta dan mengatakan bahawa aku tidak menginginkan keadilan?

Meskipun aku tidak bersalah, lukaku masih tidak dapat disembuhkan.’+

 7 Siapakah yang seperti Ayub,

Yang menelan segala hinaan seperti menelan air?

 8 Mungkin tidak lama lagi, Ayub akan berteman dengan orang jahat,

Dan dia akan bergaul dengan orang durjana,+

 9 Kerana dia telah berkata,

‘Apa gunanya seseorang berusaha menyenangkan hati Tuhan?’+

10 Maka, hai orang yang berpengertian, dengarlah kata-kataku:

Mustahil bagi Tuhan yang benar untuk melakukan hal yang jahat;+

Dia Yang Maha Kuasa pasti tidak akan berbuat salah!+

11 Tuhan akan memberikan ganjaran kepada manusia sesuai dengan perbuatannya.+

Dia akan membalas manusia setimpal dengan haluan yang ditempuhnya,

12 Kerana Tuhan sama sekali tidak akan berbuat jahat;+

Tuhan Yang Maha Kuasa tidak akan memutarbalikkan keadilan.+

13 Siapakah yang menyuruh-Nya memelihara bumi?

Siapakah yang melantik-Nya menguasai seluruh dunia?

14 Jika Tuhan memilih untuk memusuhi manusia;

Jika Dia mengambil semula nyawa dan nafas kehidupan mereka,+

15 Maka semua manusia pasti akan lenyap,

Dan mereka akan kembali menjadi debu.+

16 Oleh itu, jika kamu berpengertian, tumpukanlah perhatian

Dan dengarlah dengan teliti apa yang akan kukatakan.

17 Patutkah seseorang yang tidak adil menjadi penguasa?

Atau, patutkah pemerintah yang baik dan adil dipersalahkan?

18 Adakah kamu akan berkata kepada raja, ‘Tuanku tidak berguna,’

Atau kepada para pembesar, ‘Kamu semua berbuat jahat’?+

19 Tuhan tidak menyebelahi orang kenamaan,

Dan Dia tidak mengutamakan orang kaya daripada orang miskin,+

Kerana mereka semua ialah ciptaan-Nya.+

20 Manusia mungkin mati secara tiba-tiba+ pada waktu tengah malam;+

Mereka menggeletar ketakutan lalu meninggal;

Bahkan orang yang berkuasa akan disingkirkan, tetapi bukan oleh manusia.+

21 Tuhan memperhatikan perbuatan manusia,+

Dia mengawasi setiap langkah mereka.

22 Tiada kekelaman atau kegelapan yang pekat,

Yang dapat menyembunyikan orang jahat.+

23 Tuhan tidak perlu menentukan waktu bagi manusia

Untuk datang menghadap-Nya dan diadili.

24 Dia menggulingkan penguasa tanpa perlu menyiasat terlebih dahulu,

Lalu melantik orang lain sebagai pengganti mereka,+

25 Kerana Dia tahu apa yang dilakukan oleh mereka;+

Dia menggulingkan mereka pada malam hari, lalu mereka pun musnah.+

26 Tuhan menghukum mereka di khalayak ramai,

Kerana mereka telah melakukan hal yang jahat,+

27 Kerana mereka telah berpaling daripada-Nya,+

Dan kerana mereka tidak mengikut haluan yang dikehendaki-Nya.+

28 Mereka juga menyebabkan orang miskin berseru kepada Tuhan,

Dan Tuhan mendengar seruan orang yang tidak berdaya itu.+

29 Jika Tuhan berdiam diri, siapakah yang dapat mengutuk-Nya?

Jika Dia menyembunyikan diri, siapakah yang dapat melihat-Nya?

Tidak kira Dia menyembunyikan diri daripada satu bangsa atau satu orang, tujuan-Nya sama sahaja:

30 Supaya orang jahat tidak terus memerintah+

Atau mencelakakan rakyat.

31 Hai Ayub, adakah kamu akan berkata kepada Tuhan,

‘Aku dihukum meskipun aku tidak melakukan kesalahan.+

32 Beritahulah aku apa yang tidak kuketahui.

Jika aku telah berbuat salah, aku tidak akan melakukannya lagi’?

33 Kamu berfikir bahawa kamu diperlakukan dengan tidak adil, dan kamu menolak penghakiman Tuhan.

Maka mana mungkin Tuhan akan mengabulkan kehendakmu?

Kamulah yang harus membuat keputusan, bukan aku. Beritahulah aku apa yang kamu tahu.

34 Orang bijaksana yang mendengar kata-kataku

Dan orang yang berpengertian akan berkata kepadaku,

35 ‘Ayub bercakap tanpa pengetahuan,+

Dan kata-katanya membuktikan bahawa dia tidak berpengertian.’

36 Biarlah Ayub diuji* habis-habisan,

Kerana dia berbicara seperti orang jahat!

37 Bukan sahaja dia berdosa, malah dia memberontak;+

Dia bertepuk tangan untuk mengejek kami,

Dan melontarkan kata-kata tuduhan terhadap Tuhan yang benar!”+

35 Elihu meneruskan kata-katanya,

 2 “Adakah kamu begitu yakin bahawa kamu benar

Sehingga kamu berkata, ‘Aku lebih adil daripada Tuhan’?+

 3 Kamu juga berkata, ‘Apa gunanya berbuat baik?*

Apa kelebihannya jika aku tidak berdosa?’+

 4 Tetapi aku akan memberikan jawapan kepadamu,

Dan kepada sahabat-sahabatmu.+

 5 Pandanglah ke langit,

Dan perhatikanlah betapa tingginya awan.+

 6 Jika kamu berdosa, adakah hal itu merugikan Tuhan?+

Jika kamu melakukan banyak kesalahan, apakah kesannya terhadap Tuhan?+

 7 Jika kamu berbuat benar, adakah hal itu berfaedah bagi Tuhan?

Apakah yang dapat kamu berikan kepada-Nya?+

 8 Kejahatanmu hanya membawa kerugian kepada manusia seperti dirimu sendiri,

Dan kebaikanmu hanya mendatangkan keuntungan kepada manusia fana.

 9 Orang meraung semasa ditindas;

Mereka merayu agar dibebaskan daripada cengkaman para penguasa.+

10 Tetapi mereka tidak mencari Tuhan, Pencipta Agung mereka,+

Yang menyebabkan lagu pujian kedengaran pada waktu malam.+

11 Tuhan membuat manusia lebih berpengetahuan+ daripada binatang;+

Dia menjadikan manusia lebih bijaksana daripada burung-burung.

12 Orang berseru kepada Tuhan, tetapi Dia tidak menjawab seruan mereka,+

Kerana mereka jahat dan sombong.+

13 Tuhan pasti tidak mendengarkan seruan orang yang tidak ikhlas;+

Dia Yang Maha Kuasa tidak akan mengendahkan seruan orang sebegitu.

14 Apatah lagi jika kamu berkata bahawa Tuhan tidak mempedulikanmu!+

Ketahuilah bahawa perkaramu ada di hadapan-Nya, maka tunggulah dengan sabar sehingga Dia bertindak.+

15 Kamu telah mengucapkan kata-kata yang melulu,

Tetapi Tuhan tidak menghakimi kamu atau murka terhadapmu.+

16 Hai Ayub, sia-sia sahaja kamu terus berbicara,

Kamu bercakap banyak tanpa pengetahuan yang tepat.”+

36 Elihu berkata lagi,

 2 “Bersabarlah sebentar sementara aku berbicara,

Kerana masih ada banyak yang ingin kukatakan atas nama Tuhan.

 3 Aku akan menyatakan secara terperinci apa yang aku tahu,

Dan aku akan menunjukkan bahawa keadilan merupakan milik Penciptaku.+

 4 Sesungguhnya apa yang kukatakan benar,

Kerana kata-kataku berasal daripada Dia Yang Maha Mengetahui.+

 5 Tuhan amat perkasa+ dan maha bijaksana,

Tetapi Dia tidak menghina sesiapa pun.

 6 Dia akan menegakkan keadilan untuk orang yang menderita,+

Tetapi Dia tidak akan membiarkan orang jahat terus hidup.+

 7 Dia sentiasa memperhatikan orang yang melakukan apa yang benar;+

Dia menabalkan mereka sebagai raja,*+ dan mereka sentiasa disanjung tinggi.

 8 Jika mereka dibelenggu,

Dan diikat dengan rantai penderitaan,

 9 Tuhan akan memberitahu mereka tentang kesalahan mereka,

Yang telah dilakukan mereka kerana didorong oleh sikap angkuh.

10 Dia membuka telinga mereka supaya menerima teguran,

Dan menasihati mereka agar berhenti melakukan kejahatan.+

11 Jika mereka mematuhi Tuhan dan mengabdi kepada-Nya,

Mereka akan hidup sejahtera setiap hari;

Ya, mereka akan hidup makmur sepanjang hayat.+

12 Namun jika mereka enggan mentaati Tuhan, mereka akan dibunuh dengan pedang,+

Dan mereka akan mati tanpa memperoleh pengetahuan yang tepat.

13 Orang jahat marah terhadap Tuhan;

Walaupun Tuhan membelenggu mereka, mereka enggan meminta tolong kepada-Nya.

14 Mereka hidup* bersama para pelacur lelaki di kuil,+

Dan mereka mati ketika masih muda.+

15 Tetapi Tuhan menyelamatkan orang yang menderita,

Dia mendorong mereka untuk mengikut bimbingan-Nya.

16 Hai Ayub, Tuhan akan melepaskan kamu daripada kesusahan;+

Dia akan membawa kamu ke tempat yang luas dan lapang;+

Dia akan menggembirakan hatimu dengan makanan yang berlimpah-limpah.+

17 Kamu akan melihat orang jahat dihukum setimpal dengan perbuatan mereka.+

Ya, keadilan pasti akan ditegakkan dan dilaksanakan.

18 Tetapi berwaspadalah! Jangan biarkan kemarahanmu mendorong kamu untuk berbuat jahat,*+

Dan jangan biarkan dirimu disesatkan oleh rasuah,

19 Kerana jika kamu berbuat demikian, seruanmu untuk meminta tolong sia-sia sahaja,

Dan usahamu untuk menyelamatkan diri daripada kesusahan tidak akan berhasil.+

20 Jangan rindukan malam hari,

Iaitu waktunya orang kembali ke tempat tidur mereka.

21 Berhati-hatilah agar kamu tidak mengikut haluan yang jahat;

Jangan pilih untuk berbuat jahat, sebaliknya pilihlah untuk bertabah semasa menderita.+

22 Ketahuilah! Tuhan sangat berkuasa dan perkasa.

Pernahkah kamu melihat guru yang sehebat Dia?

23 Siapakah yang dapat menentukan* perbuatan Tuhan?+

Atau, siapakah yang dapat berkata kepada-Nya, ‘Apa yang Engkau lakukan itu salah’?+

24 Orang menyanyi untuk memuji perbuatan Tuhan,+

Maka kamu juga harus sentiasa memuji-Nya.+

25 Manusia fana telah melihat perbuatan Tuhan,

Tetapi mereka hanya dapat melihat perbuatan-Nya dari kejauhan.

26 Siapakah yang mengetahui segala-galanya tentang keagungan Tuhan?+

Siapakah yang dapat memahami keabadian-Nya?+

27 Dia menyebabkan air naik ke langit,+

Lalu terbentuklah kabus dan titisan air

28 Yang akan mencurah dari awan,+

Sebagai hujan yang turun ke atas semua manusia.

29 Dapatkah sesiapa memahami bagaimana awan tersebar?

Dapatkah sesiapa mengetahui bagaimana guruh mengguntur di langit?*+

30 Lihatlah bagaimana Tuhan memancarkan kilat+ dari awan,

Dan bagaimana Dia memenuhi samudera dengan air.

31 Dengan melakukan semua ini, Dia memelihara umat manusia,*

Dan menyediakan makanan yang berlimpah-limpah untuk mereka.+

32 Tuhan menggenggam kilat dengan tangan-Nya,

Lalu menyuruhnya menyambar sasaran.+

33 Guruh menyatakan kehadiran Tuhan,

Dan binatang menyatakan kedatangan-Nya.*

37 “Oleh itu, hatiku berdebar-debar

Dan berdegup kencang.

 2 Dengarlah dengan teliti deruan suara Tuhan;

Dengarlah suara-Nya yang bagaikan guruh.

 3 Guruh daripada Tuhan kedengaran di merata tempat,

Dan kilat+ daripada-Nya memancar ke hujung bumi.

 4 Selepas pancaran kilat, kedengaran dentuman guruh;

Itulah suara Tuhan; suara-Nya sangat mengagumkan.+

Sementara suara-Nya kedengaran, kilat sabung-menyabung tanpa halangan.

 5 Suara Tuhan yang bagaikan guruh+ amat menakjubkan;

Perbuatan-Nya yang hebat tidak dapat kita fahami dengan sepenuhnya.+

 6 Dia berfirman kepada salji, ‘Jatuhlah ke atas bumi,’+

Dan kepada hujan, ‘Turunlah dengan lebat.’+

 7 Dia menghentikan segala pekerjaan manusia fana,

Supaya semua orang dapat mengetahui apa yang dilakukan-Nya.

 8 Binatang liar masuk ke dalam sarang,

Lalu berlindung di dalam sarang itu.

 9 Angin ribut bertiup dengan kencang,+

Dan angin sejuk datang dari utara.+

10 Dengan nafas Tuhan, terbentuklah ais,+

Dan seluruh permukaan air membeku.+

11 Dia memenuhi awan dengan wap air,

Dan dari awan, Dia memancarkan kilat.+

12 Awan melayang ke tempat yang diperintahkan Tuhan,

Dan melakukan segala yang diarahkan oleh-Nya+ di seluruh muka bumi.

13 Tuhan memerintahkan awan untuk menghukum manusia,+ untuk membasahi tanah,

Dan untuk menunjukkan kesetiaan dan kasih-Nya.+

14 Hai Ayub, dengarlah kata-kataku;

Fikirkanlah dengan teliti segala perbuatan Tuhan yang menakjubkan.+

15 Tahukah kamu bagaimana Tuhan memberikan perintah kepada awan?

Tahukah kamu bagaimana Dia menyebabkan kilat terpancar dari awan?

16 Tahukah kamu bagaimana awan terapung-apung di langit?+

Dia Yang Maha Mengetahui melakukan perbuatan yang luar biasa ini.+

17 Tahukah kamu bagaimana angin selatan yang bertiup

Menyebabkan pakaianmu menjadi panas dan membuat bumi menjadi sunyi?+

18 Dapatkah kamu menolong Tuhan membentangkan langit,+

Dan menjadikannya kukuh seperti kepingan logam yang berkilat?

19 Beritahulah kami apa yang harus dikatakan kepada Tuhan.

Kami tidak tahu menjawab kerana kami berada dalam kegelapan.

20 Perlukah Tuhan diberitahu bahawa ada sesuatu yang ingin kukatakan kepada-Nya?

Atau, adakah sesiapa yang mempunyai sesuatu yang begitu penting sehingga harus diberitahukan kepada-Nya?+

21 Biarpun cahaya* bersinar terang di langit,

Orang masih tidak dapat melihatnya,

Sehinggalah awan di langit hilang ditiup angin.

22 Sinar keemasan kelihatan di utara,

Dan kemuliaan Tuhan+ mengagumkan manusia.

23 Kita tidak dapat memahami segala-galanya tentang Dia Yang Maha Kuasa.+

Dia sangat berkuasa,+

Dan apa yang dilakukan-Nya sentiasa adil+ dan benar.+

24 Maka setiap manusia harus takut dan hormat kepada Tuhan,+

Kerana Dia tidak berkenan kepada sesiapa pun yang menyangka dirinya bijaksana.”+

38 Kemudian dari angin ribut, Yehuwa berfirman kepada Ayub,+

 2 “Siapakah ini yang mencuba menimbulkan keraguan terhadap firman-Ku,

Dan berkata-kata tanpa pengetahuan?+

 3 Bersedialah seperti lelaki yang gagah;

Aku akan bertanya kepadamu, dan engkau mesti menjawab.

 4 Di manakah engkau semasa Aku meletakkan asas bumi?+

Jika engkau berpengertian, beritahulah Aku.

 5 Tahukah engkau siapa yang menentukan keluasan bumi?

Siapakah yang merentangkan tali penyukat untuk mengukur bumi?

 6 Apakah yang menjadi alas bagi tiang-tiang penyangga bumi?

Siapakah yang meletakkan batu penjuru bumi ini?+

 7 Pada masa itu, bintang-bintang pagi+ berseru dengan sukacita,

Dan semua anak Tuhan*+ bersorak-sorak dengan gembira.

 8 Siapakah yang menutup pintu untuk membendung samudera+

Ketika air laut memancar dari rahim bumi?

 9 Di manakah engkau ketika Aku meliputi laut dengan awan,

Dan menyelimutinya dengan kegelapan yang pekat?

10 Di manakah engkau semasa Aku menetapkan sempadan laut,

Dan memasang pintu dan palangnya?+

11 Aku berfirman, ‘Hingga di sini sahaja, dan tidak lebih jauh lagi;

Di sinilah ombakmu yang kuat mesti berhenti.’+

12 Pernahkah engkau mendatangkan pagi?

Pernahkah engkau memerintahkan agar fajar merekah dari tempat tertentu?+

13 Adakah engkau yang menyuruh cahaya untuk pergi ke hujung bumi,

Dan menghalau orang jahat dari tempat mereka berada?+

14 Apabila cahaya memancar, bentuk muka bumi jelas kelihatan seperti cap pada tanah liat,

Dan semua yang ada padanya kelihatan seperti corak pada pakaian.

15 Kegelapan yang disukai orang jahat sudah hilang,

Dan mereka tidak dapat melakukan keganasan lagi.

16 Pernahkah engkau turun ke sumber air laut?

Pernahkah engkau menjelajahi lautan yang dalam?+

17 Pernahkah sesiapa menunjukkan pintu gerbang maut+ kepadamu?

Pernahkah engkau melihat gerbang alam maut yang gelap-gelita?+

18 Tahukah engkau keluasan bumi ini?+

Jika engkau tahu, beritahulah Aku.

19 Tahukah engkau asalnya cahaya?+

Tahukah engkau di mana sumber kegelapan?

20 Dapatkah engkau menghantarnya pulang ke tempat asalnya?

Tahukah engkau jalan ke tempat kediamannya?

21 Adakah engkau sudah dilahirkan sejak purbakala sehingga engkau mengetahui semua ini?

Adakah engkau sudah hidup begitu lama sehingga engkau memahami semua ini?

22 Pernahkah engkau mengunjungi gudang-gudang salji,+

Atau, pernahkah engkau melawat gudang-gudang hujan batu?+

23 Aku telah menyediakan semua itu untuk hari kesengsaraan.

Aku juga menyediakan semua itu untuk hari pertempuran dan peperangan.+

24 Tahukah engkau di mana sumber cahaya?*

Tahukah engkau tempat asal angin timur yang bertiup ke bumi?+

25 Siapakah yang membuat saluran bagi banjir?

Siapakah yang membuka jalan bagi awan ribut petir?+

26 Siapakah yang menurunkan hujan di tempat yang tidak didiami orang?

Siapakah yang menurunkan hujan di padang belantara yang tidak berpenghuni?+

27 Siapakah yang membasahi tanah yang tandus dan gersang,

Sehingga rumput di situ bertunas?+

28 Adakah hujan mempunyai bapa?+

Siapakah bapa kepada titisan embun?+

29 Siapakah yang memperanakkan ais?

Siapakah yang melahirkan embun beku?+

30 Siapakah yang membuat permukaan air menjadi keras seperti batu?

Siapakah yang menyebabkan permukaan laut menjadi beku?+

31 Dapatkah engkau mengikat bintang Kimah?*

Dapatkah engkau meleraikan ikatan bintang Kesil?*+

32 Dapatkah engkau membimbing bintang-bintang pada waktunya?

Dapatkah engkau memimpin gugusan bintang Ash?*

33 Tahukah engkau hukum-hukum di cakerawala?+

Dapatkah engkau melaksanakan hukum-hukum itu* di bumi?

34 Dapatkah engkau berseru kepada awan

Supaya menurunkan hujan lebat ke atasmu?+

35 Dapatkah engkau mengutus kilat?

Adakah kilat akan datang kepadamu dan berkata, ‘Kami di sini, tuan!’

36 Siapakah yang memberikan kebijaksanaan kepada awan?*+

Siapakah yang mengurniakan pemahaman kepada segala sesuatu yang ada di langit?*+

37 Siapakah yang cukup bijaksana untuk mengira awan?

Siapakah yang dapat menumpahkan air dari tempayan-tempayan di langit?+

38 Siapakah yang menyebabkan debu menjadi lumpur?

Siapakah yang membuat gumpalan-gumpalan tanah melekat?

39 Dapatkah engkau memburu mangsa untuk singa

Atau mengenyangkan anak-anak singa+

40 Semasa singa berehat di dalam gua,

Atau semasa singa menunggu mangsa di dalam sarangnya?

41 Siapakah yang menyediakan makanan bagi burung gagak,+

Apabila burung itu merayau-rayau mencari makanan,

Dan anak-anaknya berseru kepada-Ku meminta tolong?

39 “Tahukah engkau waktunya kambing gunung melahirkan anaknya?+

Pernahkah engkau melihat rusa melahirkan anaknya?+

 2 Tahukah engkau berapa lama kambing dan rusa mengandung?

Tahukah engkau saatnya kambing dan rusa melahirkan anak?

 3 Kambing dan rusa membongkokkan tubuh apabila melahirkan anak.

Selepas itu, rasa sakit pun berhenti.

 4 Anak-anak itu membesar dan menjadi kuat di padang;

Anak-anak itu meninggalkan induknya dan tidak kembali lagi.

 5 Siapakah yang membebaskan keldai liar?+

Siapakah yang melepaskan ikatan keldai liar?

 6 Aku telah memberikan gurun sebagai tempat kediamannya,

Dan Aku sudah memberikan padang garam sebagai tempat tinggalnya.

 7 Keldai liar menjauhi kota yang riuh-rendah,

Dan tidak menghiraukan jeritan orang yang ingin mengejarnya.*

 8 Keldai liar menjelajahi bukit-bukit untuk mencari padang rumput;

Keldai itu merayau-rayau mencari tumbuhan hijau untuk dimakan.

 9 Mahukah lembu liar bekerja untukmu?+

Mahukah lembu liar bermalam di kandang ternakanmu?

10 Dapatkah engkau mengikat lembu liar dan membawanya ke ladang?

Dapatkah engkau menyuruhnya membajak tanah di lembah?

11 Adakah engkau akan bergantung pada kekuatannya yang besar?

Adakah engkau akan menyuruhnya membuat kerja yang berat untukmu?

12 Adakah engkau mengharapkannya untuk mengumpulkan hasil tuaianmu?

Adakah lembu liar akan membawa hasil tuaian itu ke tempat mengirik* tuaian?

13 Burung unta mengepak-ngepakkan sayapnya dengan riang.

Namun adakah hujung sayap dan bulunya setanding dengan hujung sayap dan bulu burung bangau?+

14 Burung unta meninggalkan telurnya di atas tanah,

Dan membiarkan debu memanaskan telur itu.

15 Burung itu tidak sedar bahawa mungkin orang akan memecahkan telurnya,

Atau mungkin binatang liar akan memijak-mijak telurnya.

16 Burung itu tidak mempedulikan anaknya dan memperlakukan anaknya seolah-olah itu bukan anaknya sendiri;+

Burung itu tidak peduli jika usahanya sia-sia sahaja.

17 Aku tidak memberikan hikmat kepada burung unta,

Dan Aku tidak mengurniainya pemahaman.

18 Tetapi apabila burung unta berlari sambil mengepak-ngepakkan sayapnya,

Burung unta mengalahkan kuda dan penunggangnya.

19 Engkaukah yang memberikan kekuatan kepada kuda?+

Engkaukah yang mengurniakan surai yang indah pada tengkuknya?

20 Dapatkah engkau membuatnya melompat seperti belalang juta?

Sesungguhnya, dengus kuda sangat menakutkan.+

21 Dengan kuat, kuda menghentak tanah di lembah,+

Dan berlari menuju ke medan peperangan.+

22 Kuda tidak mengenal erti takut,+

Dan tidak berundur walaupun diancam dengan pedang.

23 Semasa kuda berlari, tempat menyimpan anak panah bergoyang,

Dan apabila disinari cahaya, tombak dan lembing berkilauan.

24 Dengan semangat yang menyala-nyala, kuda itu mara ke depan;

Kuda itu tidak akan tetap berdiam diri* apabila mendengar tiupan trompet.

25 Apabila trompet ditiup, kuda itu meringkik dengan kuat!

Dari jauh, kuda itu sudah mencium bau peperangan,

Dan mendengar laungan perang dan pekikan para panglima.+

26 Adakah kebijaksanaanmu yang membuat burung falkon terbang tinggi,

Dan membentangkan sayapnya semasa terbang ke arah selatan?

27 Engkaukah yang memerintahkan burung helang terbang melayang?+

Engkaukah yang menyuruhnya membuat sarang di tempat yang tinggi?+

28 Burung helang tinggal di gunung batu yang tinggi,

Dan membuat sarang di tebing-tebing batu.

29 Dari situ burung helang mengawasi segala arah,

Dan matanya memerhatikan mangsa dari kejauhan.+

30 Anak-anaknya meminum darah mangsa;

Di mana ada bangkai, di situlah terdapat burung helang.”+

40 Yehuwa berfirman lagi kepada Ayub,

 2 “Patutkah manusia menentang dan menyalahkan Tuhan Yang Maha Kuasa?+

Biarlah orang yang ingin membantah Tuhan memberikan jawapan.”+

 3 Maka Ayub berkata kepada Yehuwa,

 4 “Siapakah aku ini?+

Apakah yang dapat aku katakan kepada-Mu?

Dengan tanganku, aku menutup mulutku.+

 5 Sudah berkali-kali aku bercakap,

Tetapi aku tidak akan menjawab atau berkata-kata lagi.”

 6 Kemudian dari angin ribut, Yehuwa berfirman lagi kepada Ayub,+

 7 “Bersedialah seperti lelaki yang gagah;

Aku akan bertanya kepadamu, dan engkau mesti menjawab.+

 8 Adakah engkau hendak mempersoalkan keadilan-Ku?

Adakah engkau mahu menyalahkan Aku supaya engkau terbukti benar?+

 9 Adakah kuasamu sebesar kuasa Tuhan yang benar?+

Dapatkah suaramu mengguntur sekuat suara-Ku?+

10 Tunjukkanlah kemuliaan dan kekuasaanmu;

Perlihatkanlah keagungan dan keunggulanmu.

11 Curahkanlah kemarahanmu yang menyala-nyala;

Perhatikanlah semua orang yang sombong, dan rendahkanlah mereka.

12 Ya, lihatlah semua orang yang angkuh dan tundukkanlah mereka;

Remukkanlah orang jahat sekarang juga!

13 Kuburkanlah mereka di dalam debu,

Kurunglah mereka di tempat yang gelap.

14 Maka Aku sendiri akan mengakui bahawa*

Engkau dapat menyelamatkan dirimu dengan kekuatanmu sendiri.

15 Sekarang perhatikanlah Behemot,* yang makan rumput seperti lembu.

Seperti engkau, Behemot juga merupakan ciptaan-Ku.

16 Lihatlah kekuatan pada kakinya,

Dan tenaga pada otot perutnya!

17 Ekornya keras seperti kayu sedar,

Dan urat-urat ototnya berjalinan.

18 Tulangnya seperti tiub tembaga,

Dan kakinya seperti batang besi.

19 Behemotlah yang paling menonjol antara ciptaan-Ku.

Hanya Aku, Penciptanya, yang dapat menangkap atau membunuhnya.

20 Gunung-gunung menghasilkan makanan baginya.

Di sanalah semua binatang liar bermain-main.

21 Behemot berbaring di bawah belukar berduri,

Dan bersembunyi di antara rumput-rumput tinggi di paya.

22 Belukar berduri menaunginya,

Dan pokok poplar di lembah* mengelilinginya.

23 Meskipun arus sungai sangat deras, Behemot tidak takut.

Biarpun arus Sungai Yordan+ melanda mukanya, Behemot tetap tenang.

24 Dapatkah sesiapa datang kepadanya dan menangkapnya?

Dapatkah sesiapa menusuk hidungnya dengan cangkuk?

41 “Dapatkah engkau menangkap Lewiatan*+ dengan mata kail?

Dapatkah engkau mengikat lidahnya dengan tali?

 2 Dapatkah engkau memasang tali pada muncungnya?

Dapatkah engkau menusukkan kail pada rahangnya?

 3 Mungkinkah Lewiatan akan bercakap lemah lembut kepadamu,

Dan memohon belas kasihan daripadamu?

 4 Mungkinkah Lewiatan membuat perjanjian denganmu,

Dan bersetuju menjadi hambamu untuk seumur hidup?

 5 Adakah engkau akan bermain dengannya seperti dengan burung,

Atau mengikat dan menjadikannya seperti bahan hiburan bagi anak-anak perempuanmu?

 6 Mungkinkah para nelayan memperdagangkan Lewiatan?

Mungkinkah para saudagar membahagi-bahagikannya antara mereka?

 7 Dapatkah engkau menusuk kulitnya dengan lembing?+

Dapatkah engkau menikam kepalanya dengan tombak?

 8 Sentuhlah Lewiatan; engkau pasti tidak akan melupakan perlawanan itu,

Dan engkau pasti tidak akan mencuba lagi!

 9 Sia-sia sahaja engkau mencuba menangkapnya.

Semua orang yang melihatnya pasti dicengkam ketakutan.

10 Tiada seorang pun yang berani mengusiknya!

Jika demikian, siapakah yang berani menentang Aku?+

11 Siapakah yang pernah memberi Aku sesuatu terlebih dahulu, sehingga Aku mesti membalasnya?+

Sesungguhnya, segala sesuatu yang ada di bawah langit merupakan milik-Ku.+

12 Aku akan terus memberitahu engkau tentang kekuatan Lewiatan,

Tentang kakinya, dan tentang badannya yang dicipta dalam cara yang menakjubkan.

13 Siapakah yang dapat mengoyakkan baju zirahnya?

Siapakah yang dapat menghampiri muncungnya?

14 Siapakah yang dapat membuka mulutnya,

Yang mempunyai gigi yang menakutkan?

15 Sisik pada belakangnya seperti perisai yang tersusun,

Yang terlekat dengan rapat dan rapi.*

16 Sisiknya tindih-menindih dan terikat erat,

Sehingga angin pun tidak dapat masuk di antaranya.

17 Semuanya terlekat dan tercantum rapat,

Sehingga tidak dapat dipisahkan.

18 Cahaya berkilau semasa Lewiatan bersin,

Dan matanya bersinar seperti matahari yang terbit.

19 Kilat terpancar daripada mulutnya,

Dan bunga api berterbangan.

20 Asap berkepul-kepul keluar daripada hidungnya,

Seperti rumput yang dibakar di dalam relau.

21 Nafasnya menyalakan bara,

Dan nyala api keluar daripada mulutnya.

22 Lehernya sangat kuat,

Dan semua orang yang melihatnya dicengkam ketakutan.

23 Kulit pada bahagian perutnya sangat keras,

Seperti kepingan besi yang sangat kukuh.

24 Hatinya seteguh batu.

Ya, hatinya sangat keras seperti batu kisaran.

25 Apabila Lewiatan bangun, orang yang perkasa pun gementar;

Libasan ekornya membuat orang cemas dan takut.

26 Tiada pedang atau tombak yang dapat mengalahkannya;

Tiada panah atau lembing+ yang dapat menewaskannya.

27 Besi dianggapnya seperti jerami,

Dan tembaga seperti kayu reput.

28 Tiada anak panah yang dapat membuatnya lari;

Batu yang dilemparkan kepadanya hanyalah seperti serpihan jerami.

29 Belantan dianggapnya seperti rumput kering,

Dan Lewiatan tertawa apabila mendengar desingan lembing.

30 Perutnya seperti tembikar yang kasar dan tajam;

Apabila Lewiatan bergerak di lumpur, jejaknya jelas kelihatan.+

31 Air yang dalam dikacaunya sehingga menjadi seperti air mendidih;

Laut dikocaknya sehingga menjadi seperti minyak yang berbuih-buih di dalam periuk.

32 Semasa Lewiatan berenang, air laut di belakangnya berbuih;

Buih-buih putih itu kelihatan seperti kepala yang beruban.

33 Lewiatan tidak kenal erti takut;

Di atas bumi, tiada makhluk yang dapat menandinginya.

34 Lewiatan memandang hina terhadap binatang yang sombong;

Sesungguhnya, Lewiatanlah raja antara semua binatang buas.”

42 Kemudian Ayub berkata kepada Yehuwa,

 2 “Sekarang aku tahu bahawa Engkau dapat melakukan segala sesuatu.

Tidak ada apa-apa yang dapat menghalang Engkau daripada melaksanakan kehendak-Mu.+

 3 Engkau berfirman, ‘Siapakah ini yang mencuba menimbulkan keraguan terhadap firman-Ku, dan berkata-kata tanpa pengetahuan?’+

Sesungguhnya, aku telah berkata-kata tentang perkara yang terlalu menakjubkan bagiku,

Padahal aku tidak tahu dan tidak mengerti apa-apa.+

 4 Engkau berfirman, ‘Dengarlah dan Aku akan bercakap kepadamu.

Aku akan bertanya kepadamu, dan engkau mesti menjawab.’+

 5 Dahulu aku hanya mendengar tentang Engkau,

Tetapi kini aku sendiri melihat Engkau.

 6 Itulah sebabnya aku menarik kembali segala kata-kataku,+

Dan dengan menyesal aku duduk dalam debu dan abu.”+

7 Selepas Yehuwa selesai berfirman kepada Ayub, Yehuwa berfirman kepada Elifas orang Teman itu,

“Aku murka terhadapmu dan kedua-dua orang sahabatmu,+ kerana kamu semua tidak mengatakan apa yang benar tentang Aku,+ seperti yang dilakukan oleh hamba-Ku Ayub. 8 Sekarang bawalah tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor bebiri jantan kepada hamba-Ku Ayub, lalu persembahkanlah korban bakar bagi dosa kamu sendiri. Kemudian hamba-Ku Ayub akan berdoa bagi pihak kamu,+ dan Aku pasti akan mendengarkan permohonannya. Dengan demikian, meskipun kamu tidak mengatakan apa yang benar tentang Aku, seperti yang dilakukan oleh hamba-Ku Ayub, Aku tidak akan menghukum kamu atas kebodohan kamu itu.”

9 Maka Elifas orang Teman, Bildad orang Suah, dan Zofar orang Naama, melakukan apa yang diperintahkan oleh Yehuwa, lalu Yehuwa mengabulkan doa Ayub.

10 Setelah Ayub berdoa bagi pihak sahabat-sahabatnya,+ Yehuwa menyingkirkan penderitaan Ayub+ dan memulihkan keadaan Ayub sehingga dia hidup makmur semula. Yehuwa memberinya kekayaan dua kali ganda daripada yang pernah dimilikinya.+ 11 Semua saudara lelaki dan saudara perempuan Ayub, serta semua sahabat lamanya+ datang ke rumahnya lalu menjamu selera bersamanya. Yehuwa telah membiarkan banyak kesusahan menimpa Ayub, maka mereka semua bersimpati terhadapnya dan menghiburkan hatinya. Tiap-tiap seorang daripada mereka memberinya sekeping wang perak dan sebentuk cincin emas.

12 Yehuwa memberkati Ayub dengan lebih berlimpah-limpah pada akhir hidupnya.+ Ayub memiliki 14,000 ekor bebiri, 6,000 ekor unta, 2,000 ekor lembu, dan 1,000 ekor keldai betina.+ 13 Selain itu, dia mendapat tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan lagi.+ 14 Dia menamakan anak perempuannya yang sulung Yemima, yang kedua Kezia, dan yang bongsu Keren-hapukh. 15 Tiada gadis di seluruh negeri yang secantik anak-anak perempuan Ayub. Ayub mewariskan hartanya kepada mereka bersama dengan saudara-saudara lelaki mereka.

16 Selepas itu, Ayub hidup selama 140 tahun lagi dan dia dapat melihat cucu-cicitnya sehingga generasi yang keempat. 17 Akhirnya, Ayub meninggal setelah menikmati umur yang panjang. Dia sangat puas hati dengan kehidupannya.

Mungkin bermaksud “Sasaran Kebencian.”

Atau mungkin, “kakak.” Perkataan Ibrani yang digunakan boleh merujuk kepada adik perempuan atau kakak.

Harfiah, “anak-anak Tuhan.”

Atau “Si Penentang.”

Harfiah, “makan dan minum wain.”

Atau mungkin, “Kilat.”

Harfiah, “anak-anak Tuhan.”

Mungkin merujuk kepada buaya atau binatang air lain yang besar dan kuat.

Atau “pegawai tinggi.”

Atau “Suatu makhluk roh.”

Mungkin merujuk kepada penderitaan Ayub atau kata-kata para sahabatnya.

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “murtad.”

Mungkin merujuk kepada buruj Beruang Besar (Ursa Major).

Mungkin merujuk kepada buruj Orion.

Mungkin merujuk kepada bintang-bintang Pleiades dalam buruj Taurus.

Mungkin merujuk kepada raksasa di dalam laut.

Atau mungkin, “daripada lawanku di mahkamah?”

Atau “Biarpun aku tidak bersalah.”

Atau “Biarpun aku tidak bersalah.”

Harfiah, “Bukankah Engkau telah mencurahkan aku seperti susu dan mengentalkan aku seperti keju?”

Atau “yang gelap dan dibayangi maut.”

Atau “menemui batas keagungan.”

Lihat Kamus.

Atau mungkin, “Bercakaplah kepada.”

Atau “murtad.”

Atau mungkin, “Jika ada yang dapat berdebat denganku, aku akan tetap berdiam diri dan mati.”

Atau mungkin, “lalu dipotong.”

Lihat Kamus.

Secara kiasan, merujuk kepada perhambaan oleh maut.

Atau “kegelapan.”

Atau “kegelapan.”

Iaitu, mereka tidak mempunyai harapan untuk pulih.

Harfiah, “yang gugur buahnya sebelum buahnya masak.”

Atau “murtad.”

Harfiah, “hempeduku.”

Atau mungkin, “Dan aku tidak tidur. Aku tetap berharap kepada Tuhan.”

Atau “melihat pemberontakan mereka.”

Atau “akan berjabat tangan denganku dan menjamin aku?”

Atau “murtad.”

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau mungkin, “menganggap kami tidak suci?”

Atau “belerang.”

Atau “Sudah 10 kali.”

Harfiah, “semasa aku bangun.”

Atau “diukir pada batu dengan pena besi dan dituangkan dengan timah hitam.”

Harfiah, “hempedu.”

Iaitu, mereka tidak menderita semasa mereka mati.

Atau mungkin, “untuk berlaku ganas terhadapku.”

Tempat yang terkenal kerana menghasilkan emas yang paling tinggi mutunya.

Atau mungkin, “memungut makanan binatang.”

Atau mungkin, “mereka membuat minyak daripada buah zaitun.”

Atau mungkin, “Tetapi Tuhan tidak menyalahkan sesiapa pun.”

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “di dalam Abadon.” Lihat Kamus.

Atau “aku akan mengekalkan integritiku!”

Atau mungkin, “mengajar kamu dengan bantuan Tuhan.”

Atau mungkin, “Dari tempat tinggal masing-masing, orang akan bertepuk tangan.”

Nampaknya merujuk kepada kegiatan melombong.

Atau “Batu karang.” Lihat Kamus.

Harfiah, “atas kepalaku.”

Atau “hambaku.”

Atau “mereka yang menderita memberkati aku.”

Atau mungkin, “Mereka tidak membuat aku menjadi muram.”

Atau “pokok herba yang masin.”

Atau mungkin, “Mereka melakukan semua ini tanpa bantuan orang lain.”

Atau mungkin, “Penyakitku yang teruk telah mencacatkan aku.”

Atau mungkin, “begitu panas kerana demam.”

Atau mungkin, “Pernahkah aku bergaul dengan orang yang tidak jujur?”

Atau “Dan biarlah keturunanku lenyap.”

Atau mungkin, “Walaupun ada banyak orang yang berpihak kepadaku di gerbang kota.”

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Atau “nyawanya mendekati para pembawa maut.”

Atau “sihat.”

Atau mungkin, “Dan hal itu tidak bermanfaat bagiku.”

Atau mungkin, “Ya Bapaku, biarlah Ayub diuji.”

Atau mungkin, “Adakah Tuhan peduli jika aku berbuat baik?”

Atau mungkin, “Dia menabalkan raja-raja.”

Atau mungkin, “lenyap.”

Harfiah, “untuk bertepuk tangan,” iaitu sebagai tanda mengejek atau memandang rendah terhadap seseorang.

Atau mungkin, “menghakimi; mencela.”

Atau “mengguntur dari tempat kediaman Tuhan?”

Atau mungkin, “Dia memperjuangkan hak manusia.”

Atau mungkin, “menyatakan apa yang akan datang.”

Iaitu, cahaya matahari.

Ungkapan Ibrani bagi “anak Tuhan” merujuk kepada malaikat Tuhan.

Atau mungkin, “sumber kilat?”

Mungkin merujuk kepada bintang-bintang Pleiades dalam buruj Taurus.

Mungkin merujuk kepada buruj Orion.

Mungkin merujuk kepada buruj Beruang Besar (Ursa Major).

Atau mungkin, “hukum-hukum-Ku.”

Atau mungkin, “kepada manusia?”

Atau mungkin, “Siapakah yang mengurniakan minda yang berpengertian kepada manusia?”

Atau “ingin memaksanya membuat kerja.”

Proses memisahkan buah daripada tangkai.

Atau mungkin, “Kuda itu sangat gembira.”

Atau “akan memujimu kerana.”

Mungkin merujuk kepada badak air.

Atau “wadi.”

Mungkin merujuk kepada buaya.

Atau mungkin, “Sisik-sisiknya yang tersusun ialah kebanggaannya. Semuanya terlekat dengan rapat dan rapi.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi